Search This Blog

Sunday, January 17, 2016

Amukan surat amaran

Segamat: Tertekan selepas menerima surat amaran daripada majikan akibat gagal mengemukakan sijil sakit, dua beranak nekad memotong 421 anak pokok sawit milik majikannya di sebuah ladang sawit di Kilometer 8, Jalan Tenang ke Labis, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, tindakan itu susulan laporan polis diterima daripada pengurusan ladang di kawasan terbabit selepas mendakwa anak pokok sawit berusia enam bulan ditebas dipercayai angkara khianat.
Katanya, kejadian berkenaan disedari seorang pekerja ladang yang terkejut melihat kesan kemusnahan pada anak pokok berkenaan jam 7 pagi Khamis lalu.
“Pekerja terbabit yang ingin menyiram anak pokok berukuran 0.3 meter itu terkejut mendapati kesan kemusnahan pada pokok berkenaan.
“Melihat kepada keadaan anak pokok dikerat, pihak pengurusan ladang membuat satu laporan polis selepas mendakwa mengalami kerugian bernilai ribuan ringgit,” katanya ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati semua anak pokok sawit di tapak semaian berkenaan dimusnahkan menggunakan senjata tajam.
“Hasil pemerhatian mendapati, keratan dipercayai berlaku pada awal pagi kelmarin dan menahan dua suspek lelaki yang juga pasangan anak-beranak dan buruh ladang berusia 60-an dan 17 tahun,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek itu di tahan jam 4 petang kelmarin ketika berada di kuaters kediaman di ladang itu untuk membantu siasatan mengenai kejadian
dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pihak pengurusan ladang itu.
“Suspek disyaki terbabit dalam kejadian ini kerana difahamkan baru-baru ini pihak pengurusan memberikan amaran lisan terhadap mereka selepas bercuti seminggu dan gagal mengemukakan sijil sakit serta memberi alasan munasabah,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 447 kerana menceroboh juga khianat dan saksi kejadian diminta menghubungi IPD Segamat di talian 07-9324222 untuk membantu siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:19 AM


KESAN potongan pada sebahagian daripada 421 anak sawit angkara khianat.

No comments:

Post a Comment