Search This Blog

Thursday, January 21, 2016

7 rumah hangus, 30 penduduk hilang tempat tinggal



Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Tujuh rumah hangus mengakibatkan 30 penghuni hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Gudon, dekat Menggatal di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu, kebanyakan penghuni rumah papan berkenaan tiada di rumah kerana keluar bekerja mengakibatkan sebahagian besar mangsa tidak sempat menyelamatkan dokumen serta barangan berharga.
Bagaimanapun, tindakan pantas bomba mengawal kebakaran berjaya menyelamatkan lebih 20 rumah daripada turut musnah.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Penduduk, Hailil Abdul Hanu, 22, berkata ketika kejadian dia berada di rumah sendirian sebelum terjaga sebaik terasa haba panas serta terdengar jeritan dari luar rumah.
"Sebaik membuka pintu, saya terkejut apabila melihat kepulan asap dari rumah jiran semakin menghampiri kediaman saya menyebabkan saya lari menyelamatkan diri tanpa sempat membawa dokumen penting serta barangan berharga," katanya.
Seorang lagi mangsa, Basir Abdullah, 31, berkata ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana dia keluar bekerja sebagai pemandu bas, manakala ibu saudara serta isterinya mempunyai urusan di luar.
"Saya dapat tahu rumah terbakar apabila terima panggilan daripada jiran. Ketika itu saya bawa penumpang di Putatan dan bergegas pulang namun sebaik tiba, rumah sudah hangus terbakar," katanya yang belum tahu di mana akan tinggal selepas ini.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Afendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.11 pagi sebelum menghantar 45 anggota bersama lima jentera daripada Balai Bomba Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu.
"Sebaik tiba, empat rumah sudah terbakar sepenuhnya dan bomba segera mengawal kebakaran untuk mengelak api terus merebak ke rumah berdekatan," katanya sambil menambah punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment