Search This Blog

Tuesday, January 19, 2016

5 penyamun tersungkur

Shah Alam: Sekumpulan penyamun pecah rumah yang menyasarkan kediaman mewah di sekitar Lembah Klang dan Seremban, Negeri Sembilan, tumpas apabila lima lelaki ditahan polis minggu lalu.
Semua penjenayah terbabit diberkas dalam beberapa siri serbuan di Serdang, Bandar Tasik Selatan dan jeti Stulang Laut, Johor Bahru.
Mereka yang berusia antara 32 dan 44 tahun itu ditahan pasukan khas dalam ‘Ops Serantau’ susulan kes pecah rumah bersenjatakan parang di Country Height, Kajang, minggu lalu, dipercayai membabitkan empat lelaki warga Indonesia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 32 dan 42 tahun di pangsapuri Persiaran Desa Serdang 12 Januari lalu, jam 7.30 petang.
“Hasil soal siasat, polis menahan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun di dalam kereta di pangsapuri Tasik Height, Bandar Tasik Selatan, 14 Januari lalu, jam 10 pagi.
“Beberapa jam kemudian, polis menahan seorang lagi ahli kumpulan terbabit iaitu lelaki warga Indonesia berusia 41 tahun di jeti Stulang Laut, Johor Bahru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.
Mohd Adnan berkata, dengan penahanan itu, pihaknya percaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 kes pecah rumah di sekitar Sungai Buloh, Shah Alam, Meru, Petaling Jaya, Bangi, Seri Kembangan dan Seremban.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 49 barang kemas, 79 jam tangan pelbagai jenama bernilai RM200,000 dan beberapa peralatan pecah rumah.
Menurutnya, seorang daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan pernah menjalani hukuman.
“Semua suspek direman sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
“Mangsa kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang dan Seremban diminta menghubungi Asisten Superintendan Rozaiman Hashim di talian 019-2413978 atau Deputi Superintendan Zulkifli Abu Bakar (019-3996513) bagi menuntut barangan mereka,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:14 AM


Mohd Adnan (tiga kiri) menunjukan peralatan samun yang dirampas pada sidang media, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108358#sthash.IRBoJl7u.dpuf

No comments:

Post a Comment