KUALA LUMPUR - Empat remaja lelaki maut apabila bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 12.8 Lebuhraya Guthrie di sini, malam tadi.
Mereka dikenali sebagai Shariffudin Zailani dan Syawalnizam Azman, masing-masing berumur 21 tahun, Mohd Zaki Yahya, 23, serta Muhammad Habiibullah Ruslan, 20.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Rozi Jidin berkata dalam kejadian jam 11.32 malam itu, kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dipercayai kumpulan penunggang motosikal berkenaan sedang mengadakan konvoi dari Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) sebelum memasuki Lebuhraya Guthrie.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh treler yang berada di hadapan mereka," katanya ketika dihubungi pemberita.
Mohd Rozi berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernam
a