Search This Blog

Sunday, January 31, 2016

33 lagi mati lemas

Ankara: Sekurang-kurangnya 33 orang mati lemas dan 75 yang lain diselamatkan selepas bot yang mereka naiki untuk ke Greece karam di luar pantai barat Turki.
Agensi berita Turki, Dogan, dan datuk bandar tempatan berkata, pasukan pengawal pantai Turki masih berusaha mencari dan menyelamat di kawasan tempat bot itu karam di pesisir pantai Ayvacik.
Setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah pendatang yang menaiki bot berkenaan.
“Sekurang-kurangnya 33 orang mati. Bagaimanapun, saya bimbang jumlah itu mungkin meningkat apabila pasukan penyelam meneruskan gerakan mencari,” kata Mehmet Unal Sahid, datuk bandar Ayvacik.
“Penduduk tempatan dikejutkan pada awal pagi dengan jeritan pendatang meminta tolong. Kami melancarkan gerakan mencari sejak Subuh,” kata Mehmet.
Agensi berita Dogan melaporkan, sekurang-kurangnya lima daripada yang mati itu kanak-kanak. Mangsa yang diselamatkan dihantar ke hospital dengan simptom hipotermia.
Menurutnya, pendatang itu yang terdiri daripada rakyat Syria, Afghanistan dan Myanmar berlepas dari pantai di wilayah Canakkale untuk ke pulau Lesbos, Greece, apabila bot mereka berdepan masalah.
Seorang jurugambar melaporkan melihat mayat seorang kanak-kanak yang masih lengkap berpakaian, antara yang terdampar di pantai berbatu di Ayvacik.
Satu lagi mayat kanak-kanak ditemui terapung di laut.
Kebanyakan yang berjaya diselamatkan ialah kanak-kanak dan wanita.
Kejadian berlaku dua hari selepas 25 pendatang, termasuk 10 kanak-kanak mati lemas di luar pantai pulau Greece, Samos.
Lebih sejuta pelarian dan pendatang tiba menerusi jalan darat dan laut di negara Kesatuan Eropah tahun lalu untuk mencari kehidupan lebih baik dan hampir 4,000 daripada mereka mati dalam cubaan itu, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM). - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:06 AM


MAYAT seorang kanak-kanak yang terdampar di pantai Ayvacik, Turki, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111421#sthash.xFEutB9b.dpuf

No comments:

Post a Comment