BANGUI - AFRIKA . Program Makanan Sedunia (WFP) mendakwa 2.5 juta penduduk atau separuh daripada populasi di Republik Afrika Tengah kini berdepan kebuluran akibat krisis politik yang berlarutan selama tiga tahun di negara itu.
Timbalan Pengarahnya, Guy Adoua berkata, konflik keganasan agama itu telah memberi impak besar kepada penduduk dan kebanyakan daripada mereka terpaksa hidup dalam keadaan serba daif.
"Satu daripada enam penduduk di Bangui diancam masalah kekurangan makanan yang teruk hingga menyebabkan ada terpaksa menjual harta benda milik mereka. Situasi ini sememangnya membimbangkan kerana penduduk terutamanya kanak-kanak berisiko mengalami kekurangan zat makanan," katanya.
Menurutnya, agensi di bawah PBB terbabit telah menyediakan sokongan nutrisi kepada 400,000 penduduk sejak bulan lalu melalui pelbagai program termasuk pengagihan makanan ke kawasan terjejas teruk. - Press TV