KUALA KRAI - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya menahan 22 pendatang asing tanpa izin (Pati)  termasuk dua wanita dalam operasi khas sekatan jalan raya di Pahi, semalam.
Komander UPP Kelantan,Mohd Asri Yahya berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 50 tahun.
"Pada operasi ini kita menahan kira-kira 20 bas ekspress dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan negeri di Pantai Barat.
"Hasil pemeriksaan mendapati Pati ditahan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain  pasport tamat tempoh," katanya kepada pemberita, semalam.
Mohd Asri berkata, Pati ditahan  terdiri daripada  warganegara Bangladesh, Indonesia, Kemboja dan Myanmar.
Beliau berkata,fokus operasi empat jam bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu tertumpu kepada  warga asing yang menggunakan perkhidmatan awam.
Menurutnya, pada operasi sama,UPP Kelantan turut menjalankan pemeriksaan biasa terhadap lori barang dan lain-lain kenderaan.
"Hasil pemeriksaan ke atas lori dan kenderaan lain kita tidak menemui  apa-apa yang  mencurigakan.
"Operasi melibatkan 17 anggota UPP turut dibantu empat anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai," katanya.
Katanya, kesemua yang ditahan dihantar ke Depoh Imigresen Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, tangkapan 22 Pati semalam adalah yang kedua di Kelantan, pada tahun ini
.