Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, tembakan tersebut mengenai seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang kanak-kanak warga Myanmar berusia dua tahun.
Lelaki berkenaan cedera parah di bahagian perut sebelah kanan sementara kanak-kanak berkenaan pula cedera di paha kanan.
Ketua Polis Daerah Sentul, R. Munusamy berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil.
Menurut beliau, siasatan di lokasi kejadian turut menemukan lima kelongsong peluru dan dua anak peluru.
“Siasatan awal mendapati terdapat lebih kurang lima suspek yang menaiki dua kenderaan melepaskan secara rambang ke arah orang ramai.
“Susulan itu juga, bertindak atas maklumat kita seterusnya membuat satu tangkapan terhadap seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Munusamy memberitahu, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Tambahnya lagi, usaha mengesan saki baki ahli kumpulan terbabit masih dijalankan untuk mengesan semua suspek.