KOTA KINABALU - Dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 30.2 Jalan Tuaran-Kota Kinabalu awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malik berkata ketika kejadian pada 6.20 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dari arah Kota Kinabalu menghala ke Tuaran tidak sempat mengelak Proton Saga BLM yang memasuki simpang Hospital Tuaran lalu merempuh bahagian hadapan kereta itu.
"Perlanggaran itu menyebabkan Nissan Navara hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi jalan lalu merempuh Perodua Viva yang datang dari arah Kota Kinabalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pemandu Proton Saga BLM, Jusit Teo, 66, dan isterinya Tainis Intigan, 58, dari Kampung Panjut Tuaran, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan bahagian badan, katanya.
Abdul Fuad berkata lima mangsa yang cedera iaitu pemandu dan empat penumpang Perodua Viva serta pemandu Nissan Navara berusia antara 18 dan 52 tahun dibawa ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut. - Bernam
a