KOTA KINABALU - Seorang penumpang kereta dan seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan berasingan awal pagi ini, kata Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra.
Beliau berkata, dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Pelabuhan Sabah pada kira-kira 4 pagi, penumpang kereta dikenal pasti sebagai Deandly Masintan, 29, tersepit di tempat duduk hadapan dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital Queen Elizabeth 2.
"Dua rakan mangsa yang berumur 21 dan 29 tahun masih menerima rawatan di hospital Queen Elizabeth 2," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dari arah Kota Kinabalu menuju ke Likas itu terbabas lalu melanggar pokok yang berada di atas pembahagi jalan.
Beliau berkata, penunggang motosikal dikenal pasti sebagai Nerrell Esa Gidong, 21, maut selepas motosikalnya melanggar bahagian tepi sebelah kanan sebuah van sekolah yang sedang keluar ke jalan utama di Jalan Bantayan/Kionsom, Inanam, pada kira-kira 5.30 pagi.
Chandra berkata, pelanggaran itu menyebabkan pemuda itu tercampak ke laluan  bertentangan dan dilanggar sebuah kenderaan.
Katanya siasatan awal mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu van sekolah itu yang masuk ke jalan utama tanpa memberi isyarat. - Bernam
a