KOTA BHARU – Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mengedar 72 gram dadah, 7 Januari lalu.
Muhammad Nazri Mohd Zin, 38, dan Mohd Fadhil Ruslan, 26, didakwa mengedar 598 pil dadah jenis metamphetamine di sebuah rumah di Taman SP Machang Ketereh, di sini, pada jam 11.10 pagi, tarikh itu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka, namun tiada pengakuan direkodkan pada prosiding itu.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohamad Firdaous Mohamed Idris kemudian memohon tarikh sebutan untuk pengurusan kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan susulan tuduhan serius yang dihadapinya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mac depan, sementara mereka akan ditahan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini.
Bertindak atas maklumat, rumah didiami mereka diserbu sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, sebelum pemeriksaan lanjut menjumpai kesemua dadah berkenaan.
Mereka diwakili peguam, Nik Saiful Adli Burhan@Jaohari.