KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari mulai 18 April untuk perbicaraan kes seorang pembantu tahfiz yang didakwa terlibat dengan aktiviti keganasan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu ketika kes berkenaan disebut semula di hadapannya hari ini.
Hadharami Hashim, 38, didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas menggunakan senjata api dan perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi dan perbuatan itu dianggap sebagai mengugut orang awam di Syria.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 31 Ogos hingga 29 November 2014, mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hassan dan Nabila Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam Shahredzan Johan. - Bernam
a