Warga asing yang berasal dari Indonesia dan Myanmar itu dipercayai bekerja sebagai pemandu lori serta pengawal keselamatan di kawasan lombong.
Operasi bersepadu dikenali sebagai Op Sayang itu diadakan selama tiga jam bermula pukul 3 petang melibatkan 63 pegawai dan anggota penguat kuasa Imigresen Putrajaya, Pahang dan Terengganu.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Pahang, Mohd. Rosli Mat Nun berkata, PATI terlibat cuba melarikan diri selepas mengesan kenderaan Jabatan Imigresen memasuki kawasan ladang kelapa sawit di tanah rancangan ber­kenaan.
Bagaimanapun katanya, kesemua mereka yang tinggal di rumah kongsi dalam kawasan lombong di situ berjaya ditahan anggota jabatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mereka yang berumur antara 20 hingga 45 tahun tidak lagi bekerja selepas operasi melombong bauksit terpaksa dihentikan akibat arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah seperti pasport dan permit kerja termasuk tinggal lebih masa dalam negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rosli, kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Terengganu untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigre­sen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Sementara itu, dalam operasi berasingan malam semalam, seramai 33 warga asing ditahan selepas Jabatan Imigresen menyerbu secara serentak sebuah kelab malam dan rumah urut di bandar ini.
Mohd. Rosli memberitahu, 21 orang wanita bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang sedang sibuk melayan pelanggan ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Dua orang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Sembilan orang wanita lagi ditahan di sebuah rumah urut, dipercayai turut menawarkan khidmat seks kerana tinggal lebih masa,” ujarnya.