Search This Blog

Sunday, January 31, 2016

16 lagi penduduk Madaya mati kebulur


GAMBAR fail bertarikh 14 Januari lepas menunjukkan 50 trak Bulan Sabit Merah Syria meninggalkan ibu kota Syria, Damsyik untuk menuju ke bandar Madaya.


DAMSYIK – Sekurang-kurang­nya 16 orang mati kebuluran di bandar Madaya yang dikepung di Syria sejak sebuah konvoi bantuan memasukinya awal bulan ini, menurut pertubuhan kemanusiaan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF).
Pertubuhan itu memberi amaran, beberapa puluh penduduk bandar itu kini di ambang kematian kerana kekura­ngan zat makanan.
MSF berkata, kematian terbaharu itu menjadikan mangsa yang mati ke­buluran di Madaya sejak Disember 2015 meningkat kepada 46 orang.
“MSF mempunyai laporan perubatan bahawa terdapat 46 kematian akibat kebuluran (di Madaya) sejak 1 Disember 2015.
“Namun, korban sebenar tentunya lebih tinggi selepas MSF menerima laporan terdapat penduduk yang kebuluran di kediaman mereka,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan kepada agensi berita AFP.
Terletak di wilayah Damsyik, Madaya telah dikepung oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Keadaan di Madaya dilaporkan antara yang paling teruk di Syria selepas kira-kira 42,000 orang awam di bandar itu dikepung askar-askar Bashar. Mereka juga menanam periuk api di sekeliling bandar itu bagi menghalang penduduk daripada keluar.
Pada 19 Januari lalu, beberapa konvoi membawa makanan dan ubat memasuki bandar Madaya, Fuaa dan Kafraya tetapi bantuan itu tidak mencukupi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0131&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3ym5Pz9pn 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment