Search This Blog

Sunday, January 31, 2016

Virus Zika: Lebih 2,000 wanita hamil Colombia dijangkiti

AHAD, 31 JANUARI 2016 @ 1:44 AM



 WANITA mengandung yang dijangkiti virus Zika, disyaki mampu menyebabkan kerosakan otak pada bayi baru lahir. - Foto Reuters

BOGOTA: Lebih 2,000 wanita mengandung di negara Amerika Selatan itu dijangkiti virus Zika, yang disyaki mampu menyebabkan kerosakan otak pada bayi baru lahir. Institut Kesihatan Kebangsaan (NHI) melaporkan Columbia kini mempunyai 20,297 jangkitan Zika, termasuk 2,116 membabitkan wanita mengandung. Jumlah jangkitan terbaharu itu dilaporkan dalam buletin epidemologi institut berkenaan, sekali gus menjadikan Columbia sebagai negara kedua paling teruk terjejas di rautau itu, selepas Brazil. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) minggu ini memberi amaran, virus itu menular amat laju di benua Amerika dengan tiga juta hingga empat juta kes dijangka direkodkan sepanjang tahun ini. Brazil melaporkan 1.5 juta kes jangkitan Zika. Sejak wabak itu dikesan tahun lalu, 3,718 kes mikrocephaly dilaporkan berbanding purata 163 kes setahun sebelumnya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/119810

Guatemala sahkan berdepan 105 kes Zika

AHAD, 31 JANUARI 2016 @ 10:35 AM


PIHAK berkuasa kesihatan Guatemala hari ini mengesahkan sekurang-kurangnya 105 orang telah dijangkiti virus Zika, yang boleh menyebabkan kerosakan otak pada bayi baru lahir. - Foto EPA

GUATEMALA: Pihak berkuasa kesihatan Guatemala hari ini mengesahkan sekurang-kurangnya 105 orang telah dijangkiti virus Zika, yang boleh menyebabkan kerosakan otak pada bayi baru lahir. Pegawai Epidemioligis Kementerian Kesihatan, Judith Garcia memberitahu akhbar Prensa Libre bahawa 105 kes Zika itu yang membawa kepada semua 200 suspek dengan 68 kes adalah dari tahun 2015. Bagi setiap kes yang disahkan, Garcia berkata kemungkinan tiga lagi pesakit tidak tampil untuk rawatan dan percaya jumlah kes jangkitan Zika lebih besar. "Cuaca panas di Guatemala menjadi faktor mudahnya virus ini," katanya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal minggu lalu memberi amaran virus Zika merebak dengan pantas di benua Amerika Latin, dengan lebih tiga hingga empat juta kes dijangkakan tahun ini. Negara paling teruk dilanda Zika ialah Brazil, dengan lebih 1.5 juta kes direkodkan sejak April tahun lalu. Colombia semalam mengumumkan negara itu mempunyai 20,297 kes jangkitan Zika, termasuk 2,116 orang membabitkan ibu mengandung. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/119862

Warga emas maut motosikal dirempuh treler

Machang: Warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh treler di Kilometer 43, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Kemuning pagi tadi.
Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Muhammad Nor Harun, 80, yang berasal dari Kampung Pek Panyit di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa secara tiba-tiba keluar dari simpang menyebabkan treler dari arah Tanah Merah gagal mengelak sebelum merempuh mangsa.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 6:28 PM


MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111508#sthash.ZzTAjBxO.dpuf

Maut rempuh belakang lori

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori di kilometer 307.1 Lebuh Raya Utara - Selatan, dekat Sungai Besi, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kuala Lumpur apabila motosikal ditunggangnya merempuh lori di depannya.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:05 PM


Mayat mangsa terbaring di atas jalan selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111501#sthash.IvY9rkPh.dpuf

Tujuh ditahan miliki kad pengenalan palsu

Melaka: Tujuh lelaki dan wanita dipercayai warga Filipina ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas didapati memiliki pengenalan diri palsu dalan serbuan di dua lokasi berbeza di Kampung Gelam dan Tangga Batu, di sini awal pagi tadi.
Ops ID diketuai JPN dibantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen dari 12 tengah malam hingga 4.30 pagi itu mengesan empat wanita dan tiga lelaki yang menggunakan pengenalan diri Malaysia palsu.
Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman berkata, semua suspek berusia 25 hingga 45 tahun melakukan kesalahan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Kita menemui tiga kad pengenalan diri MyKad, tiga kad pengenalan sementara dan salinan MyKad palsu.
"Kita turut menemui sejumlah kad pengenalan diri milik orang lain iaitu lima disyaki palsu dan satu kad pengenalan bermutu tinggi milik individu yang tidak tinggal di rumah yang diserbu di Tangga Batu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 11:58 AM


ANTARA MyKad palsu yang dirampas. FOTO Mohd Hilmie Hussin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111480#sthash.X3u8YZFf.dpuf

Tewas dalam 45 minit

Alor Gajah: Ular tedung sepanjang hampir tiga meter ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah di kebun Kampung Londang, Masjid Tanah, 7.50 malam tadi.
Reptilia 13 kilogram itu ditemui pemilik kebun terbabit ketika sedang menjalar di kawasan kebun di belakang rumahnya.
Pegawai JPAM Alor Gajah, Leftenan Muda Pertahanan Awam Mohammad Fairul Asikin Kadir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.37 petang.
Katanya, empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menangkap reptilia itu.
"Dengan menggunakan peralatan khas, ular tedung itu ditangkap dalam kira-kira 45 minit,” katanya.
Menurutnya, ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 11:54 PM


IHSAN JPAM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111348#sthash.mpBoRju3.dpuf

Dua beranak terbunuh

Kuantan: Dua beranak maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, dalam kejadian 11.15 pagi itu, Janudin Sukadi, 55, dan anaknya Muhammad Haziq, 23, maut di tempat kejadian.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu Muhammad Haziq cuba memotong sebuah kenderaan namun tidak berjaya lalu bertembung dengan sebuah kereta Nissan Grand Livina dari arah bertentangan," katanya di sini, hari ini.
Muhammad Aidil Roneh berkata, kemalangan itu menyebabkan suri rumah yang memandu Grand Livina, Nora Rasid, 29, cedera parah.
Jenazah Janudin yang bekerja sendiri dan Muhammad Haziq, penuntut Universiti Tenaga Nasional kampus Muadzam Shah, dekat sini, dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 7:20 PM


Keadaan kereta Proton Wira dinaiki bapa dan dan anak lelakinya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105.9 Jalan Kuantan-Segamat. - Foto Ihsan Pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111514#sthash.BdpGLbhW.dpuf

Pelajar, murid maut ketika melintas

Jertih: Seorang pelajar perempuan tingkatan dua dan murid tahun satu terbunuh dalam dua kemalangan berasingan di sini sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah berkata, pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Renek di sini, terbunuh dalam akibat dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika mangsa menyeberang Jalan Tembila untuk ke sekolahnya, 7.20 pagi tadi.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Nurul Syahindah Mohd Paizu, 14, dari Kampung Gong Penaga, di sini.
Dalam kemalangan lain, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jerteh maut dilanggar sebuah kereta Perodua Kancil ketika menyeberang jalan di Jalan Kampung Pulau Panjang, di sini, kira-kira jam 8.10 malam tadi. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 7:21 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111516#sthash.rdpOEKXw.dpuf

3 aktivis dipenjara

Beijing: Mahkamah China semalam menjatuhkan penjara sehingga lima tahun ke atas tiga aktivis prodemokrasi bagi tuduhan menghasut untuk mengguling kerajaan komunis, lapor kumpulan hak asasi manusia.
Mahkamah Rakyat Guangzhou menjatuhkan hukuman paling berat kepada peguam, Tang Jingling, 44, di dalam perbicaraan tertutup, kata Amnesty International, Human Rights Watch (HRW) dan organisasi pemerhati lain.
Aktivis Wang Qingying, 31, dan Yuan Xinting, 44, pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah dan tiga tahun setengah, kata kumpulan itu.
Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan kenyataan rasmi.
Mereka ditahan pada Mei 2014 dalam operasi terhadap kumpulan penentang sempena ulang tahun ke-25 protes prodemokrasi di Dataran Tiananmen pada 4 Jun 1989.
Tuduhan asal adalah menimbulkan kekacauan yang kemudian ditukar kepada tuduhan lebih serius iaitu menghasut kebencian.
“Keputusan terhadap tiga aktivis itu ketidakadilan yang ketara. Mereka tidak pernah mengancam keselamatan negara. Ini usaha pihak berkuasa menutup mulut pengkritik kerajaan,” kata Penyelidik China Amnesty International, Patrick Poon dalam satu kenyataan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:06 AM


PENUNJUK perasaan memegang sepanduk dengan gambar Wang, Yuan serta Tang dalam protes diadakan di Hong Kong.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111219#sthash.GFJ2Ykjj.dpuf

Pondan campak anjing dari tingkat empat masuk jel

Bangkok: Seorang pondan dihukum penjara dua bulan oleh di sebuah mahkamah, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencampak seekor anjing keluar dari tingkat empat apartmennya.
Yonlada Jampasri, 23, dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencampak anjing itu keluar balkoni kerana berang selepas ia berak di dalam rumah.
Dia didakwa menyebabkan kecederaan dan kekejaman terhadap haiwan yang melanggar undang-undang Pencegahan Kekejaman dan Perlindungan Kebajikan Haiwan.
Hukuman itu dikurang kepada dua bulan selepas Yonlada mengaku bersalah.
Selepas hukuman dijatuhkan, Yonlada terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.
Yonlada mengaku mencampak anjing milik rakan serumahnya keluar balkoni di tingkat empat dalam satu kejadian kelmarin.
Dia kemudiannya menyerah diri kepada polis selepas rakan serumahnya, Meyanee Sitthisuk, 23, membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Meyanee berkata, dia dan anjing dari baka Chihuahua itu tinggal bersama Yonlada di apartmen berkenaan selama 10 hari sebelum kejadian berkenaan.
Yonlada memberitahu polis, dia tidak suka haiwan dan hilang pertimbangan selepas anjing itu berak di dalam rumah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:06 AM


YONLADA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/110934#sthash.rZhtqPSt.dpuf

6 bulan tak gerak

Carolina Selatan: Dua anggota keluarga seorang wanita berusia 82 tahun yang maut selepas tidak berganjak dari kerusinya selama enam bulan, semalam didakwa atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian.
David Scott Howell dan Carole Beam Howell ditahan pada 21 Januari lalu dan didakwa mendera atau cuai sehingga menyebabkan kematian kakak Carole, Barbara Beam.
Barbara meninggal dunia pada 2 Januari tahun lalu di rumahnya di Greenville. Dia tinggal di rumah itu bersama pasangan berkenaan.
Menurut polis, Carole mendakwa Barbara tidak mampu bergerak dan tidak berganjak langsung dari kerusinya sejak enam bulan sebelum kematiannya.
Hasil pemeriksaan menemui kesan lekuk akibat kerusi itu pada badan
Barbara. Kerusi itu turut menunjukkan tanda-tanda kerosakan akibat cecair badan Barbara.
Carole mendakwa pada pagi Barbara ditemui mati, dia cuba menyuapkan air tetapi kakaknya tidak dapat menelan.
Disebabkan itu dia memberikan kepingan ais kepada Barbara, tetapi tidak lama kemudian melihat wanita itu sudah meninggal dunia.
Laporan bedah siasat menunjukkan Barbara maut akibat darah beku yang terbentuk kerana duduk terlalu lama. Koroner Parks Evans mendapati punca kematian akibat kecuaian.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:04 AM


HOWELL
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/110930#sthash.kJ1hNq0J.dpuf

Sorok dalam gunung

Rome: Polis antimafia Itali memberkas dua ketua gangster yang lesap dengan seorang daripadanya hilang sejak hampir 20 tahun lalu selepas didapati ‘hidup seperti haiwan’ apabila bersembunyi di dalam pergunungan di Reggio Calabria, selatan Itali dengan kelengkapan senjata.
Giuseppe Ferraro, 47, dan Giuseppe Crea, 37, kedua-duanya ahli tertinggi kumpulan jenayah yang berkuasa dan kaya, ‘Ndrangheta, berada dalam senarai buruan paling berbahaya Itali, kata polis kepada AFP.
Ferraro yang didapati bersalah secara in absentia (tanpa kehadirannya) dalam beberapa siri pembunuhan kejam dan digambarkan sebagai ‘amat berbahaya’ oleh polis, berjaya melesapkan diri selama 18 tahun.
Manakala Crea, dikehendaki kerana pembabitan dengan mafia dan peras ugut, menghilangkan diri sejak 10 tahun lalu.
Ferraro turut dipercayai terbabit menembak mati saingannya, Domenico Bonarrigo dalam perang antara geng. Orang suruhan Bonarrigo kemudian membalas dendam dengan membunuh Francesco Raccosta yang dipercayai pembunuh Bonarrigo, apabila diberi makan hidup-hidup kepada babi pada 2013.
Pendakwa raya Federico Cafiero De Raho berkata: “Mereka bersembunyi dalam kubu konkrit terselindung di sebalik semak dan pokok tebal,” katanya.
“Mereka hidup seperti haiwan, sejuk dan terputus hubungan dengan masyarakat, tetapi masih mempunyai cukup pengaruh untuk mentadbir urusan kumpulan mereka.”
Polis yang menyerbu kubu mereka menemui koleksi senjata ringan termasuk koleksi pistol yang digantung di dinding.
Gambar disiarkan polis menunjukkan seorang daripada mereka berbaju hitam dan jaket coklat ketika ditangkap, dengan beberapa kotak tomato ceri dan termos dilihat bersebelahan sinki dapur di belakangnya.
‘Ndrangheta terkenal kerana mengawal sebahagian besar perdagangan kokain di dunia, dengan polis menggambarkan kumpulan itu sebagai sindiket paling aktif, terkaya dan paling berkuasa di Eropah.
SENJATA yang ditemui tergantung di dinding.
“Hari ini, satu lagi hari yang baik untuk negara, kerana keadilan sekali lagi menang dan dilakukan dengan begitu hebat,” kata Menteri Keadilan Itali, Angelino Alfano dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:05 AM


SEORANG daripada dua ketua mafia yang ditahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111214#sthash.ySiUViR8.dpuf

33 lagi mati lemas

Ankara: Sekurang-kurangnya 33 orang mati lemas dan 75 yang lain diselamatkan selepas bot yang mereka naiki untuk ke Greece karam di luar pantai barat Turki.
Agensi berita Turki, Dogan, dan datuk bandar tempatan berkata, pasukan pengawal pantai Turki masih berusaha mencari dan menyelamat di kawasan tempat bot itu karam di pesisir pantai Ayvacik.
Setakat ini tidak dapat dipastikan jumlah pendatang yang menaiki bot berkenaan.
“Sekurang-kurangnya 33 orang mati. Bagaimanapun, saya bimbang jumlah itu mungkin meningkat apabila pasukan penyelam meneruskan gerakan mencari,” kata Mehmet Unal Sahid, datuk bandar Ayvacik.
“Penduduk tempatan dikejutkan pada awal pagi dengan jeritan pendatang meminta tolong. Kami melancarkan gerakan mencari sejak Subuh,” kata Mehmet.
Agensi berita Dogan melaporkan, sekurang-kurangnya lima daripada yang mati itu kanak-kanak. Mangsa yang diselamatkan dihantar ke hospital dengan simptom hipotermia.
Menurutnya, pendatang itu yang terdiri daripada rakyat Syria, Afghanistan dan Myanmar berlepas dari pantai di wilayah Canakkale untuk ke pulau Lesbos, Greece, apabila bot mereka berdepan masalah.
Seorang jurugambar melaporkan melihat mayat seorang kanak-kanak yang masih lengkap berpakaian, antara yang terdampar di pantai berbatu di Ayvacik.
Satu lagi mayat kanak-kanak ditemui terapung di laut.
Kebanyakan yang berjaya diselamatkan ialah kanak-kanak dan wanita.
Kejadian berlaku dua hari selepas 25 pendatang, termasuk 10 kanak-kanak mati lemas di luar pantai pulau Greece, Samos.
Lebih sejuta pelarian dan pendatang tiba menerusi jalan darat dan laut di negara Kesatuan Eropah tahun lalu untuk mencari kehidupan lebih baik dan hampir 4,000 daripada mereka mati dalam cubaan itu, kata Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM). - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:06 AM


MAYAT seorang kanak-kanak yang terdampar di pantai Ayvacik, Turki, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111421#sthash.xFEutB9b.dpuf

Komrad Bala dijel 23 tahun

London: Seorang ketua ajaran sesat berfahaman Maoist yang didapati bersalah merogol dan memukul pengikut wanitanya serta mengurung anaknya sendiri selama lebih 30 tahun, dipenjara selama 23 tahun, semalam.
Aravindan Balakrishnan, 75, yang juga dikenali sebagai Komrad Bala, menggunakan penderaan seks dan keganasan fizikal serta mental untuk mengekalkan wanita itu di bawah kawalannya.
Pendakwa raya berkata, dia mengubah kumpulan Komunis London Selatan yang diketuainya menjadi ajaran sesat peribadi dengan anggotanya mempercayai dia Tuhan.
“Anda bertindak kejam ke atas mereka,” kata hakim Deborah Taylor ketika menjatuhkan hukuman itu di Mahkamah Southwark di London.
Anak kandungnya, Katy Morgan-Davies, yang dilahirkan oleh seorang daripada wanita dalam tahanannya, juga dibuli dan dipukul tidak dibenarkan meninggalkan rumah, bersekolah, bermain dengan rakan dan juga mendapatkan rawatan doktor.
“Dia gemarkan keganasan dan bersikap seperti diktator. Dia mahu menjadi seperti Stalin, Mao atau Pol Pot,” kata Katy dalam wawancara dengan Sky News tidak lama dulu.
Balakrishan, menafikan semua tuduhan itu, tetapi dia di dapati bersalah oleh Mahkamah Southwark di London Disember lalu atas kesalahan selama hampir 34 tahun, termasuk kekejaman terhadap kanak, mengurung, merogol dan serangan tidak bermoral.
Dia bermula dengan menjadi ketua sebuah kumpulan komunis yang dinamakan Institut Pekerja di selatan London pada 1970-an dengan mengikuti ajaran Pengerusi Mao Zedong, pengasas China moden.
Lama kelamaan jumlah anggota kumpulan itu berkurangan.
Dia mengancam baki pengikutnya, yang terdiri daripada beberapa wanita, termasuk seorang wanita Melayu berasal dari Jelebu Negeri Sembilan, Siti Aisyah Abdul Wahab, dengan apa yang digelarnya jentera kawalan minda kuasa ghaib yang dinamakannya ‘Jackie’ - singkatan daripada Jehovah, Allah, Christ, Krishna dan Immortal Easwaran.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:06 AM


Balakrishnan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111423#sthash.ZYhXRDXk.dpuf

4 terperangkap 36 hari terselamat

Shanghai: Empat pekerja yang terperangkap di dalam lombong gipsum sejak 36 hari lalu berjaya di selamatkan lewat kelmarin.
Operasi terakhir untuk menyelamat keempat-empat pekerja berkenaan mengambil masa dua jam apabila mereka ditarik ke permukaan seorang demi seorang dengan menggunakan ‘kapsul’ penyelamat.
Mereka antara 29 pelombong yang terperangkap sedalam 200 meter apabila lombong itu runtuh.
Hanya satu mayat ditemui selepas kejadian itu, 11 berjaya diselamatkan pada hari kejadian sementara nasib 13 yang lain masih tidak diketahui.
Mengulas mengenai operasi itu kelmarin, Zhang Shuping, Dauk Bandar Linyi, berkata, mereka menggunakan pelbagai kelengkapan pengesan untuk mencari mangsa.
“Malangnya, kami tidak dapat mengesan 13 lagi yang hilang,” katanya.
Keempat-empat lelaki yang berjaya diselamatkan itu diselimut dan mata mereka ditutup sebaik ditarik keluar sebelum dimasukkan ke ambulans dan dihantar ke hospital untuk rawatan.
Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan teruk, kata Zhang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:07 AM


SEORANG daripada empat pelombong (tengah) yang berjaya ditarik keluar dari lombong sedalam 200 meter.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111434#sthash.AOMwW0OM.dpuf

Ketua mafia kena tangkap

Rome: Polis antimafia Itali menangkap seorang ketua samseng yang dikehendaki di Naples selepas dia keluar dari tempat persembunyiannya untuk melihat anaknya yang baru dilahirkan.
Nicola de Martino, 23, sebelum ini dituduh menganggotai kumpulan jenayah terancang Camorra.
Waran tangkap antarabangsa dikeluarkan terhadapnya kerana kaitannya dengan kumpulan mafia, penyeludupan dadah dan pemilikan senjata secara haram.
Media tempatan melaporkan De Martino yang bersembunyi sejak 2014 ditangkap ketika tiba di sebuah apartmen di Saviano, kawasan kejiranan di Naples, tempat dia berjanji dengan isterinya untuk melihat anak lelakinya yang baru dilahirkan.
Camorra, antara sindiket mafia terkenal dan paling lama di Itali didedahkan menerusi novel karya wartawan Roberto Saviano berjudul ‘Gomorrah’ dan filem terbitan 2008 yang berjudul sama. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:04 AM


DE Martino (dua dari kanan) ditahan polis, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111415#sthash.PX3iyRtx.dpuf

Polis Siasat Sindiket Jual-Beli Organ Manusia Di Hospital


Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2016 11:40 AM

JAKARTA: Polis sedang menyiasat satu sindiket jual-beli organ manusia terutamanya buah pinggang yang beroperasi di tiga buah hospital termasuk sebuah hospital kerajaan di sini.
Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, polis mengesahkan terdapat sindiket membeli dan menjual buah pinggang secara haram dikendalikan oleh beberapa orang awam yang menjadi orang tengah dan diuruskan oleh pegawai perubatan di hospital-hospital tertentu.
Jurucakap Bahagian Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia Umar Surya Fana dipetik sebagai berkata, setakat ini polis telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan selain menyiasat pengurusan hospital yang dipercayai terbabit dalam sindiket membeli dan menjual organ manusia itu.
Polis juga sedang menyiasat seorang bekas banduan dipercayai menjadi antara peniaga organ manusia.
Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah kesalahan perdagangan manusia iaitu membeli dan menjual organ manusia.
Modus operandi sindiket itu ialah orang tengah akan menerima pesanan organ manusia dari hospital, kemudian orang tengah itu akan mencari individu daripada golongan miskin yang sanggup menjual organ dalam tubuh mereka demi mendapatkan wang.
Umar berkata, penjual organ itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital-hospital tertentu sebelum melakukan pemindahan organ kepada pesakit yang memerlukannya.
Hasil siasatan awal mendapati individu yang menjual buah pinggang itu dibayar kira-kira RM15,000 dan organ itu kemudian dijual sehingga mencecah harga RM100,000 kepada pesakit yang memerlukannya.
Katanya, perbuatan mengambil organ manusia secara sembarangan adalah satu kesalahan kerana terdapat undang-undang yang melarang golongan pekerja kasar seperti buruh dan sebagainya menjadi penderma organ. 

Komander Tentera Laut AS Mengaku Bersalah Dalam Skandal 'Si Gemuk Leonard'


Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2016 2:07 PM
Leonard Francis

PETALING JAYA: Komander tentera laut Amerika Syarikat Michael Misiewicz, salah seorang tertuduh dalam skandal 'Si Gemuk Leonard' yang melibatkan rakyat Malaysia, mengaku bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah San Diego pada Khamis.

Misiewicz, yang dilahirkan di Kemboja didakwa telah mengalihkan kapal ke pelabuhan-pelabuhan Asia untuk kontraktor pertahanan Malaysia, Leonard Francis yang digelar 'Fat Leonard', sebagai pertukaran untuk pelacur, wang tunai, dan hadiah bukan berbentuk wang yang lain.

The Associated Press melaporkan bahawa Misiewicz mengaku bersalah terhadap setiap satu tuduhan untuk setiap konspirasi melakukan rasuah dan sogokan kepada pegawai awam semasa pendengaran di Mahkamah Persekutuan San Diego.

Dia berdepan sehingga 20 tahun penjara maksimum jika dihukum bagi kedua-dua pertuduhan, kata laporan itu.

Kesalahan Misiewicz adalah yang kelapan dalam skandal rasuah besar-besaran yang melibatkan Francis dan pegawai-pegawai berpangkat tinggi dalam Tentera Laut Amerika Syarikat.

Francis, pemilik Glenn Defense Marine Asia Ltd (GDMA), yang menyediakan perkhidmatan kapal di pelabuhan Asia Tenggara, pada awal tahun lepas mengaku memberi pelbagai 'hadiah' untuk pegawai-pegawai.

Ini adalah sebagai pertukaran untuk maklumat sulit yang membantunya mengalihkan laluan kapal tentera laut AS bernilai berjuta-juta dolar. Dia kini menunggu hukuman.

Antara 2011 dan 2012, Misiewicz dipercayai menerima tiket teater, perkhidmatan pelacuran dan lain-lain barang, termasuk tiket ke konsert Lady Gaga.

Pendakwa mendapati bahawa dia telah memberikan laluan kapal kepada Francis, dan mereka kemudian bekerja bersama-sama untuk mengalihkan kapal ke pelabuhan Pasifik di mana GDMA dikenakan tarif palsu dan yuran lain.

Misiewicz menjadi tajuk utama pada tahun 2010 apabila dia kembali ke negara asalnya, Kemboja, di mana pada zaman kanak-kanaknya dia telah diselamatkan dari keganasan rejim Khmer Rouge.

Dia telah dijaga oleh seorang pekerja kedutaan Amerika Syarikat ketika berusia enam tahun dan berpindah ke Illinois pada tahun 1973.

Misiewicz mendaftar di Akademi Tentera Laut dan dinaikkan pangkat sebelum menjadi komander pemusnah, USS Mustin.

Rumah Menteri Greece Dilontar Bom Petrol


Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2016 6:10 PM
Alekos Flabouraris. Foto thetoc.gr

ATHENS: Kediaman seorang menteri Greece di tengah Athens dilontar bom petrol oleh sekumpulan penyerang tidak dikenali pada awal pagi Sabtu.
Polis berkata, insiden itu mengakibatkan kerosakan tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut polis, serangan tersebut berlaku di luar kediaman menteri, Alekos Flabouraris yang merupakan penasihat utama kepada Perdana Menteri, Alexis Tsipras, di pusat bandar di kawasan Exarchia.
Parti pemerintah berhaluan kiri Syriza mengutuk serangan berkenaan dengan mengatakan bahawa ia tidak akan menjejaskan demokrasi di negara tersebut.
Insiden serangan terhadap ahli politik, pegawai perbankan dan ahli perniagaan merupakan sesuatu yang luar biasa di Greece, negara yang mempunyai sejarah panjang dalam keganasan politik. - Reuters

Penumpang Alami Detik Ngeri Pesawat Menjunam 24,000 Kaki


Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2016 6:59 PM

PENUMPANG sebuah pesawat merasai pengalaman ngeri apabila pesawat itu menjunam 24,000 kaki dalam masa hanya lima minit.
Seorang penumpang yang terkejut dengan insiden itu menceritakan detik cemas apabila pesawat Air Canada bagi penerbangan 549 mengalami masalah tekanan udara sehingga memaksa ia membuat pendaratan cemas.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan dalam penerbangan dari New Jersey ke Vancouver pada Jumaat malam.
Tekanan udara di dalam kabin yang merosot menyebabkan topeng oksigen dikeluarkan secara automatik.
Amaran kecemasan diisytiharkan dan juruterbang menurunkan pesawat secara mendadak dari paras 34,000 kaki kepada 10,000 kaki dalam masa lima minit.
Pesawat itu kemudiannya dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto.
Jurucakap Air Canada, Angela Mah berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden pesawat yang membawa 107 orang itu. - Mirror