Search This Blog

Thursday, December 31, 2015

Remaja perempuan disyaki diculik


Abdul Majid menceritakan kes culik anaknya ketika ditemui di Klang semalam.


KLANG – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang di sini Ahad lalu.
Menurut Abdul Majid Landu, 43, anaknya, Nor Amira Atirah dipercayai diculik semasa keluar ke rumah kawannya kira-kira pukul 2 petang.
“Biasanya paling lewat dia akan pulang ke rumah sekitar pukul 8 malam, kami tunggu sehingga pukul 10 dia tidak pulang juga semalam. Bimbang jika perkara buruk berlaku saya dan isteri membuat laporan polis pada Isnin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sultan Suleiman di sini semalam.
Menurut Abdul Majid lagi, anak sulungnya itu sempat menelefon kakak angkatnya, Noor Fazila Misnan, 23, dan memberitahu bahawa dia diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah van berwarna putih.
Dalam perbualan itu juga anak saya memberitahu dia hanya tersedar dan ternampak papan tanda menuju ke Johor Bahru dan katanya, ramai lagi gadis-gadis yang lain turut berada dalam tahanan mereka yang dipercayai diculik untuk dijual.
Perbualan antara mangsa bersama kakak angkatnya yang berdurasi 3 minit 43 saat itu kini telah tersebar secara meluas di laman sosial.
Pada masa sama Abdul Majid berharap agar anaknya itu segera ditemui dan dia sentiasa berdoa agar anaknya sentiasa selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dalam satu kenya­taan di sini semalam mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, remaja terbabit diculik oleh dua lelaki dengan menaiki van putih kira-kira pukul 7 malam pada hari Ahad lalu setelah ibu mangsa membuat satu laporan polis.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes culik di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan siasatan serta operasi untuk mengesan remaja tersebut sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” ujarnya.
Justeru katanya, pihak polis meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan remaja tersebut.
Orang ramai mempunyai boleh terus menyalurkannya di balai polis yang berhampiran atau hubungi terus Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Polis Klang Utara, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa di talian 019-382 9212 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Tarmizi Umar di talian 013-343 0150.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3vrFZ4NlQ 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki hina Sultan didenda RM20,000


ADNAN


JOHOR BAHRU – Seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat pengiklanan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen menghina Sultan Johor dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.
Tertuduh, Adnan Mohd. Yunus, 40, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, Adnan yang memakai baju T berwarna ungu didakwa menggunakan Facebook untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang bersifat jelik di Facebook Astro Awani dengan niat menyakitkan hati serta mengganggu orang lain di Kuala Lumpur pada pukul 2 petang, 17 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Isa Mohamad Basir.
Terdahulu, Mohamad Isa dalam hujah rayuannya memaklumkan mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya yang masih menyara seorang isteri, anak dan ibunya yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Meor Sulaiman bagaimanapun menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas Adnan selain memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Kosmo! pada 21 Disember lalu melaporkan, dua lelaki dipercayai menghina kesultanan Johor dan kerabatnya melalui media sosial ditahan di dua lokasi berasingan pada 19 Disember lalu.
Suspek pertama berusia 40 tahun ditahan di sebuah apartmen di Jalan Kolam Air, Off Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur manakala suspek kedua berusia 39 tahun diberkas di Triang, Pahang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3vrFFSWfj 
Hakcipta terpelihara 

Tiga maut motosikal bertembung


Keadaan dua buah motosikal yang remuk selepas bertembung dalam satu kemalangan di Jalan Tok Burong, Bachok malam kelmarin.


BACHOK – Tiga lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Tok Burong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Ahmad Isyraf Hazim Ismail, 5, bersama sepupunya, Mohd. Syahir Rajani, 14, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Seorang lagi pembonceng motosikal berkenaan, Syahwi Zarfan Sairi, 7, turut cedera parah.
Penunggang motosikal jenis Yamaha 125z yang turut terbabit dalam kejadian itu, Nik Hanzallah Nik Hassan, 19, turut maut manakala pemboncengnya, Lukman Hakim Abu Manaf, 18, dilaporkan cedera parah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125z yang ditunggang Nik Hanzallah dari arah Perupok menghala ke Bachok cuba memotong kenderaan ketika melalui jalan berkenaan.
Katanya, motosikal itu kemudian telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang ditunggang Mohd. Syahir yang datang dari arah bertentangan.
“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pembonceng yang cedera parah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3vrEmTEPp 
Hakcipta terpelihara 

Syarikat penerbangan Turki batal 142 penerbangan



AGENSI - TURKISH Airlines membatalkan sebanyak 142 penerbangan selepas bandar raya Istanbul dilanda salji.


ANKARA – Syarikat penerbangan Turki, Turkish Airlines membatalkan sebanyak 142 penerbangan masuk dan keluar dari Istanbul semalam dan memberi amaran gangguan berterusan dijangka untuk tempoh beberapa hari lagi.
Pembatalan itu dibuat ketika bandar raya Istanbul dilanda salji.
Kebanyakan penerbangan yang dibatalkan melibatkan laluan domestik tetapi beberapa laluan ke Eropah dan Asia Barat termasuk Hamburg, Munich, Milan dan Teheran turut terjejas.
Salji nipis yang diramal turun sekitar Istanbul pada 30 Disember dijangka semakin lebat hari ini,” menurut Turkish Airlines dalam satu kenyataan di laman webnya.
Amaran salji turut dikeluarkan oleh Pejabat Gabenor Istanbul. Akhbar tempatan, Hurriyet Daily melaporkan salji diramal turun semalam dan berterusan hingga 2 Januari depan.
Menurut Pejabat Gabenor Istanbul, lebih 1,000 jentera pembersih salji dan mesin berat lain berada dalam keadaan siap sedia untuk bertindak sekiranya salji menutup jalan-jalan di bandar raya itu. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3vrEEIHay 
Hakcipta terpelihara 

Banjir di Pantai Timur makin pulih



KUALA LUMPUR - Keadaan banjir yang melanda tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung sejak beberapa hari lalu semakin pulih hari ini, dengan kesemua mangsa banjir di Kelantan dan Pahang telah pulang ke rumah masing-masing.
Di Terengganu pula, hanya dua buah pusat pemindahan masih dibuka iaitu di daerah Kemaman.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sehingga 8 malam ini jumlah mangsa di dua pusat pemindahan itu adalah seramai 450 orang daripada 106 keluarga.
Dua pusat pemindahan itu ialah Dewan Orang Ramai Seberang Tayor Hulu yang menempatkan 164 mangsa daripada 40 keluarga dan Dewan Sivik Felda Seberang Tayor seramai 286 mangsa daripada 66 keluarga.
Tengah hari tadi, 51 mangsa banjir terakhir di Pahang melibatkan 11 keluarga di daerah Kuantan dibenarkan pulang manakala di Kelantan, 46 mangsa banjir di jajahan Kuala Krai telah dibenarkan pulang kira-kira 11 pagi tadi. - Bernam
a

Awas jika sewa premis perniagaan kepada warga asing



KUALA LUMPUR - Para peniaga di Kuala Lumpur yang didapati menyewakan premis perniagaan mereka kepada warga asing berdepan dengan tindakan tegas termasuk ditarik balik lesen perniagaan mereka.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti situasi yang ada peniaga dikesan menyewakan premis mereka kepada warga asing.
"Tindakan peniaga di premis DBKL yang menyewakan (kepada warga asing), kami akan ambil tindakan.
"Saya sendiri esok akan pergi ke suatu tempat kerana saya sendiri mahu lihat (keadaan itu)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Krismas peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kebanjiran warga asing khususnya warga Afrika yang dilihat menjalankan perniagaan di premis-premis perniagaan di ibu negara.
Terdahulu mengenai sambutan Krismas itu, Tengku Adnan berkata, ia merupakan manifestasi bahawa rakyat di negara ini mampu menghormati agama lain dan hidup bersama walaupun mempunyai perbezaan kefahaman dan kepercayaan.
Katanya, walaupun sambutan itu khusus untuk penganut Kristian, namun sambutan rumah terbuka hari ini dihadiri pelbagai penganut agama lain.
Tengku Adnan turut menyeru rakyat di negara ini untuk mengelakkan permasalahan atau perbezaan kesefahaman yang boleh mencetuskan isu perkauman.
"Program seperti ini menunjukkan keakraban yang sentiasa diterapkan dalam diri kita, justeru menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya pemimpin sama ada pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan serta masyarakat untuk menterjemahkan kebersamaan itu untuk diikuti semua rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.
Turut hadir termasuk Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan.  - Bernam
a

Kanak-kanak maut treler bapa terbabas



SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas treler yang dipandu bapa tirinya terbabas berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, treler yang membawa muatan kayu tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala arah selatan apabila ia terbabas dan terbalik.
Kemalangan mengakibatkan Siti Nurmalina Mohamad Nazri maut di tempat kejadian.
Beliau berkata, adik mangsa Mohd Haikal, 10, yang turut berada dalam treler tersebut cedera begitu juga dengan bapa mereka. - Bernam
a

Hilang di hutan antara insiden sedih 2015



KEHILANGAN
 tujuh murid Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang Kelantan selama 46 hari antara kisah duka yang membabitkan insiden sesat di hutan yang berlaku pada tahun 2015.
Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David yang berasal dari Pos Tohoi dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.
Operasi mencari dan menyelamat kesemua murid terbabit hanya membuahkan hasil selepas 46 hari operasi dan hanya Misudiar Aluj dan Noreen Yakob ditemui selamat dalam keadaan kurus kering serta tidak bermaya di Sungai Perias 500 meter dari lokasi mereka dipercayai hilang sementara lima rakannya yang lain meninggal dunia.
[ARTIKEL BERKAITAN: Netizen: Syukur murid orang asli ditemui]
TURUT mendapat liputan hangat media adalah kes kehilangan guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, telah memasuki lebih dua bulan namun masih tiada petunjuk baharu berkenaan lokasi beliau berada.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kes kehilangan Jashiah Rabu masih disiasat]
Ibu kepada empat anak itu kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Oktober lepas dan difahamkan menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer.
SEMENTARA itu, dua pemuda dilaporkan hilang ketika mencari kayu di kawasan hutan Bukit Jabal di Dungun sejak 17 Mei akhirnya ditemui selamat lima hari kemudian.
Mohd Faizal Abdul Wahab, 29 dari Kampung Che Lijah, manakala rakannya, Mohd Norfarhan Mustaffa Harun, 28 dari Kampung Bukit Lat buntu dan keletihan untuk mencari jalan keluar dengan meredah bukit namun hanya menemui kawasan paya yang sama.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dua pemuda sesat lima hari sesat ditemui selamat]
Mangsa hanya mengalas perut dengan memakan umbut palas dan meminum air daripada akar pokok untuk memberikan tenaga selama lima hari terperangkap di dalam hutan berkenaan.
LAGI laporan hilang di hutan membabitkan dua remaja ketika merentas Hutan Simpan Ayer Hitam di Taman Wawasan 5 dekat Puchong 15 September lalu berakhir tragedi apabila kedua-dua remaja sesat hampir 15 jam sebelum ditemui dalam keadaan keletihan.
Sinar Harian difahamkan, mangsa Syah Muhammad Yusuf Shahbadul, 19, dan Muhammad Helmee Mustapa, 20 yang pertama kali masuk ke hutan simpan berkenaan menuju ke lokasi air terjun untuk menikmati keindahan alam semula jadi namun buntu dan gagal mencari jalan keluar selepas meminum seteguk air terjun terbabit.
Hutan Simpan Ayer Hitam adalah kawasan larangan kepada orang awam dan beberapa individu pernah dilaporkan sesat di kawasan sama.
DI Negeri Sembilan, seorang pelajar sebuah kolej yang mendaki Gunung Datuk, Rembau secara berseorangan sesat selepas gagal menemui jalan keluar semasa menuruni gunung berkenaan pada 29 September lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Azman, 30, pada mulanya akan mendaki gunung berkenaan bersama 19 rakannya yang lain, namun ketika tiba seperti waktu dijanjikan, tiada seorang rakannya itu hadir malah mesej WhatsApp kepada mereka turut tidak berbalas menyebabkan dia mengambil keputusan mendaki seorang diri.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sesat angkara gurauan rakan]
Dia kemudian menelefon pihak berkuasa selepas gagal menemui jalan pulang dan berjaya ditemui pada  9.15 malam pada hari yang sama.
GARA-GARA menggunakan laluan sendiri ketika mendaki puncak Bukit Jambul, Pulau Pinang 12 Oktober lalu, seorang lelaki tersesat hampir 15 jam.
I Som Chay, 26, tersesat hampir 15 jam dipercayai mendaki seorang diri dan tidak dapat mencari jalan keluar kerana keadaan semakin gelap.
Mangsa yang menghubungi pihak polis selepas gagal menjumpai jalan turun berjaya diselamatkan 9.55 pagi keesokan harinya.
SELAIN itu, seorang warga emas ditemui dalam keadaan selamat selepas dilaporkan hilang di hutan pusat Rekreasi Ulu Chepor di Ipoh pada 29 November lalu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas ditemui selamat selepas 12 jam sesat]
Foo Wan Thot, 80, ditemui pasukan bomba dan penyelamat ketika mereka sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan keselamatan yang lain.
Warga emas terbabit dipercayai sesat ketika melakukan ‘jungle trekking’ di hutan pusat rekreasi tersebut.
SEMENTARA itu, seorang pencari petai yang tersesat kira-kira 18 jam di Bukit Haji Omar, Kampung Belau, Merbok, Kedah berjaya menemui jalan pulang setelah menyusuri paip air bukit yang menghubungkan sebuah perkampungan, 6 November lalu.
Mangsa, Abdullah Ali, 57, keluar seorang diri untuk meninjau dusun petai di kawasan berkenaan gagal mencari jalan keluar hampir sembilan jam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pencari petai sesat 18 jam]

Menurutnya, semua arah yang dilaluinya hanya ternampak sisa pokok-pokok tumbang menyebabkan dia gagal untuk mencari arah untuk pulang.

Dia bagaimanapun hanya berjaya pulang selepas menyusuri paip air bukit di hutan berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan keletihan dan kelaparan oleh penduduk kampung
.

Kisah Zulkifli bunuh perompak jadi viral



SEJAK
 semalam media sosial dibanjiri kisah mengenai seorang lelaki dikenali sebagai Zulkifli yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan gara-gara menikam seorang perompak sehingga mati di rumahnya, di Kerteh, Terengganu.
Kisah itu mendapat perhatian netizen yang rata-rata bersimpati dengan nasib bapa malang itu dan menuntut agar nasib beliau dibela.
Tidak kurang juga yang mempertikaikan penahanan itu susulan Zulkifli didakwa mempertahankan keselamatan keluarganya daripada perompak yang menceroboh ke rumahnya.
Melalui perkongsian di page Facebook, Selamatkan Zulkifli, lelaki berusia 50 tahun itu dikatakan hadir ke mahkamah pada Ahad lalu untuk sebutan kesnya selepas dibebaskan dengan ikat jamin namun ditahan semula apabila kesnya disebut bawah Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini Zulkifli dikatakan telah membayar ikat jamin sebanyak RM15,000 ketika didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
Menurut Facebook Selamatkan Zulkifli itu juga, mahkamah dijadualkan bersidang 24 Januari ini di Terengganu dan difahamkan dia kini sedang ditahan sementara di Penjara Marang.
Laman Facebook Selamatkan Zulkifli yang dicipta sejak pagi semalam itu telah mendapat leih 36,000 likes setakat jam 7 malam ini
.

Pasukan khas jejak remaja dilarikan van putih


Gambar hiasan

SHAH ALAM – Polis Sleangor menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejak seorang remaja yang dipercayai hilang dilarikan suspek menaiki van putih.
Perkara ini dimaklumkan Ketua Polis Selangor dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan penyiasat ini ditubuhkan bagi menjejak dan mengesan lokasi remaja berusia 14 tahun tersebut.
“Kini, siasatan serta operasi untuk mengesan remaja terbabit sedang giat dijalankan.
“Justeru, polis meminta kerjasama semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menggugat keselamatan remaja tersebut,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta menyalur sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan kepada mana-mana balai polis yang berhampiran atau hubungi terus Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Polis Klang Utara, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa di talian 019-3829212 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Tarmizi Umar di talian 013-3430150.
Mengulas berkenaan kes terbabit, Abdul Samah berkata, sebelum itu, ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya itu kira-kira jam 2.30 petang, Ahad lalu, selepas dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga laporan polis dibuat pada keesokannya.
Katanya, pada peringkat awal, mangsa masih boleh dihubungi oleh ibunya menerusi telefon bimbit di mana anaknya itu memaklumkan bahawa dia keluar untuk berjumpa rakannya.
Tambahnya, siasatan awal polis mendapati, kali terakhir mangsa dilihat kira-kira jam 7 malam, Ahad lalu, bersama seorang lelaki Cina yang dipercayai merupakan teman lelakinya di sebuah kedai makan di Muara Ikan Bakar di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.
“Siasatan juga mendapati remaja perempuan tersebut  memang sering keluar rumah untuk berjumpa dengan rakannya.
“Malah, remaja tersebut juga pernah beberapa kali pulang lewat ke rumah tetapi tidak pernah melarikan diri dari rumah selain tidak mempunyai masalah serius dengan ahli keluarganya,” katanya.
Katanya lagi, bagaimanapun, semalam kira-kira jam 7.30 malam, ibu mangsa telah menerima panggilan telefon daripada anaknya itu yang memberitahu telah dilarikan oleh dua lelaki yang tidak dikenali semasa dalam perjalanan ke rumah.
“Mangsa juga memberitahu dirinya telah dibawa ke sebuah gudang dengan menaiki sebuah van warna putih,” katanya.
Insiden berkenaan kehilangan remaja  dikenali Nur Amirah Athirah Abdul Majid dari rumah keluarga di Pelabuhan Klang telah menjadi viral di laman media sosial Facebook.
Kes ini diklasifikasikan sebagai kes culik di bawah seksyen 363 Kanun Keseksaan
.

Warga Nigeria didakwa tipu dua wanita di Facebook


Sekadar gambar hiasan. - Foto Internet

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan menipu dua wanita yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook membabitkan kerugian berjumlah RM10,500 pada Ogos lepas.
Collins Sparklys Obianke, 33, yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar, didakwa di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim dan Majistret Salamiah Salleh bagi setiap pertuduhan itu.
Di hadapan Mohd Azali, Collins Sparklys didakwa menipu S. Vanitha, 31, bahawa dia dapat membekalkan bungkusan mengandungi telefon bimbit, tiga pasang kasut, tiga utas rantai, komputer riba, beg pakaian dan barangan serta wang AS$20,000 sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang sebanyak RM7,500 ke dalam akaun Maybank milik Mislia Jamaat.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank UEP, Subang Jaya di sini antara 1.34 petang 24 Ogos lepas hingga 9.19 pagi 25 Ogos lepas.
Di hadapan Salamiah pula, Collins Sparklys didakwa menipu Foo Pooi Yun, 38, dengan menggunakan modus operandi sama sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun Maybank milik Noor Idawati Abdul Hamid di kawasan Bukit Puchong di sini pada 3.41 petang, 14 Sept lepas.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mohd Azali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Salamiah menetapkan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari dan Siti Fatimah Yahya manakala peguam L.A.Gomes mewakili Collins Sparklys. - Bernam
a

Hadapi lima pertuduhan rogol dua anak saudara


Tertuduh (tengah) dibawa keluar selepas selesai pertuduhan dibacakan ke atasnya.

KOTA BHARU – Seorang pemadu jentolak mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, tadi, terhadap lima tuduhan merogol dua anak saudaranya, antara Ogos dan November lalu.
Lelaki yang berusia 42 tahun terbabit didakwa merogol dua beradik berusia 16 dan 15 tahun berkenaan di rumah nenek mereka di alamat Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh.
Dia didakwa pada tiga tuduhan merogol mangsa yang berusia 15 tahun iaitu pertama dalam Ogos; kedua September dan ketiga Oktober, tahun sama. Ketiga-tiga kejadian masing-masing didakwa berlaku pada jam 7 hingga 8 pagi.
Sementara, dua lagi tuduhan rogol didakwa dilakukan terhadap mangsa yang berusia 16 tahun,  juga kali pertama pada Ogos dan kedua pada November.
Kejadian tersebut turut didakwa berlaku masing-masing pada jam 7 hingga 8 pagi.
Kelima-lima dakwaan dijalankan mengikut 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat minimum 10 kali.
Pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya negeri tidak mencadangkan sebarang jaminan susulan tuduhan serius yang dihadapi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Januari 2016 dan tertuduh akan ditahan sehingga prosiding seterusnya
.

110 wartawan maut sepanjang 2015


Seorang wartawan Palestin, Halid Ahmed maut selepas terkena bedilan tentera Israel.
PARIS - Kumpulan hak asasi media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mendedahkan seramai 110 pengamal media maut di seluruh dunia sepanjang 2015.
RSF dalam laporan tahunannya semalam berkata, seramai 67 wartawan maut ketika bertugas sementara 43 yang lain meninggal dunia dalam keadaan yang tidak jelas.
Selain itu menurut laporan AFP, 27 wartawan bukan profesional dan tujuh lagi petugas media turut terbunuh.
Menurut laporan itu lagi, angka kematian tinggi berikutan sebahagian besarnya disebabkan keganasan disengajakan terhadap golongan wartawan dan menunjukkan kegagalan inisiatif untuk melindungi petugas media.
"Dua pertiga wartawan terbunuh di negara-negara zon peperangan pada 2014. Bagaimanapun, keadaan mitu berbeza pada 2015 apabila dua pertiga wartawan terbunuh di negara-negara aman," kata ketua setiausaha RSF, Christophe Deloire.

2 lelaki diberkas rancang serangan malam tahun baru


Tentera Belgium membuat rondaan di Brussels susulan ancaman pengganas pada November lalu.

BRUSSELS - BELGIUM. Polis Belgium memberkas dua individu yang disyaki merancang serangan di ibu negara Brussels, pada malam tahun baru.
Pendakwa raya persekutuan memberitahu, dua lelaki itu ditangkap dalam operasi berasingan sekitar bandar Liege pada Ahad dan Isnin lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis turut menemui seragam tentera dan material propaganda kumpulan militan IS, namun tiada senjata api atau bahan letupan dijumpai.
Menurut laporan Reuters, Pihak pendakwa raya bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai serbuan tersebut, mahupun plot serangan pada malam 31 Disember ini.
Polis turut merahsiakan identiti kedua-dua lelaki yang ditahan.
"Serbuan di sekitar Brussels tiada kaitan dengan serangan di Paris yang telah meragut 130 nyawa pada November lalu," kata jurucakap polis
.

Amazon suruh pelanggan buang hoverboard


Hoverboard
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pelik tapi benar, laman membeli-belah atas talian, Amazon meggesa pelanggan yang membeli hoverboard melalui mereka supaya membuang peranti tersebut.
Menurut laporan Digital Trends, Amazon memaklumkan perkara tersebut kepada pelanggan-pelangan mereka melalui emel susulan kejadian letupan dan kebakaran melibatkan peranti tersebut.
"Kami berharap anda faham bahawa keselamatan dan kepuasan anda sebagai pelanggan Amazon terjamin," kata Amazon di dalam emel.
"Pelanggan yang membeli hoverboard yang didatangkan dengan soket yang tidak mengikut piawaian United Kingdom perlu berikan peranti tersebut ke pusat kitar semula dan akan dipulangkan wang dalam tempoh tiga hari," jelas Amazon.
Awal bulan ini, United Kingdom Trading Standards merampas 15,000 hoverboard selepas tiga kes kebakaran yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 10 hari didapati berpunca dari peranti tersebut.
Beberapa syarikat penerbangan melarang Hoverboard daripada disimpan di dalam bagasi kerana dikhuatiri mampu meletup.
[ARTIKEL BERKAITAN: 90 peratus hoverboard dirampas di Britain]

Penumpang cuba bunuh diri dalam pesawat


Keadaan tandas pesawat yang dipenuhi darah.

FUJIAN - CHINA . Seorang penumpang lelaki berusia 20-an didakwa cuba membunuh diri dengan menghantukkan kepala di singki tandas sebuah pesawat berulang kali, Ahad lepas.
Menurut Shanghaiist, kejadian berlaku dalam sebuah penerbangan dari Haikou dan menuju ke Xiamen.
Anak kapal pesawat terpaksa membuka tandas pesawat menggunakan kunci pendua dan menemui lelaki tersebut yang sedang menghentak kepalanya.
Lelaki tersebut bagaimanapun berjaya ditenangkan dan dipakaikan pembalut kepala kerana darahnya keluar dengan banyak.
Menurut dua penumpang lain, kejadian berlaku disebabkan lelaki tersebut dilanda tekanan perasaan
.

Hoverboard meletup, terbakar di pusat membeli-belah


Sebuah hoverboard meletup dan terbakar di sebuah pusat membeli-belah di Amerika Syarikat, semalam. (Bawah) keadaan hoverboard selepas kebakaran.

HOUSTON - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah hoverboard meletup dan terbakar secara tiba-tiba di sebuah pusat membeli-belah yang dipenuhi orang awam, semalam.
Menurut laporan Mirror UK, pemilik asal hoverboard berkenaan telah memulangkan hoverboard berkenaan yang mengalami masalah bateri ke sebuah kedai di pusat membeli-belah Deerbrook di Humble, kelmarin.
Kakitangan kedai tersebut kemudian cuba mengecas bateri hoverboard semalam dan sebelum peranti tersebut meletup dan terbakar.
Orang ramai terpaksa dikeluarkan dari pusat membeli-belah berkenaan dan pegawai keselamatan menggunakan alat pemadam api untuk memadam api kebakaran.
Jawatankuasa Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC) kini menyiasat kejadian tersebut
.