Search This Blog

Wednesday, December 30, 2015

Maut kereta dirempuh masuk parit

Lipis: Seorang anggota tentera terbunuh selepas Proton Wira dipandunya terbabas ke dalam parit akibat dirempuh dari arah belakang oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 12, Jalan Lipis-Benta, dekat Penjom, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Faizal Bohari, 34, yang bertugas di Cawangan Sumber Manusia, Markas Tentera Darat Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur meninggal dunia selepas lima jam dirawat di Hospital Kuala Lipis (HKL).
Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, Mohamad Faizal dalam perjalanan ke Benta dari Kuala Lipis.
Katanya, kenderaan dinaiki isterinya, Zunira Mohamad, 29, berasal dari Gemas, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa dirempuh motosikal berkuasa tinggi ditunggang Mohammad Faiz Mat Jusoh, 24.
“Ia menyebabkannya terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit. Orang ramai yang menyaksikan kejadian menghulurkan pertolongan dan mangsa dihantar ke HKL untuk rawatan.
“Bagaimanapun, Mohamad Faizal disahkan meninggal dunia selepas lima jam dirawat,” katanya.
Menurutnya, isteri mangsa dibenarkan pulang kerana tidak cedera.
“Jenazah mangsa dituntut isterinya dan dikebumikan di Kampung Berembang, Kuala Lipis,” katanya.
Abdul Razak berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang dipercayai menunggang dalam keadaan laju.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 9:31 AM


MANGSA dibawa keluar oleh orang ramai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103232#sthash.akfWhBI4.dpuf

Keluarga rayu Norasyikin segera pulang

Johor Bahru: Sepasang suami isteri merayu orang ramai membantu mengesan anak saudara perempuannya berusia 16 tahun selepas didakwa tidak pulang ke rumahnya di Jalan Kampung Masjid, Masai di sini, sejak kelmarin.
Norasyikin Abdullah dilaporkan tidak pulang ke rumah mereka seperti biasa selepas selesai bekerja sebagai pembersih bangunan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Seri Alam di sini.
Ibu saudaranya, Siti Rohani Osman, 30, berkata kali terakhir dia bertemu gadis berkenaan kira-kira jam 7 pagi kelmarin sebelum meninggalkan rumah untuk ke tempat kerjanya.
“Sepatutnya dia pulang pada jam 5 petang, namun memberikan alasan mahu bertemu rakannya tanpa memberikan sebarang maklumat mengenainya.
“Dia bagaimanapun sempat memaklumkan bertemu seorang lelaki dan akan pulang kira-kira jam 8 malam,” katanya ketika membuat aduan bersama suaminya, Rahmat Salleh, 43, di pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Dia yang bekerja di tempat sama berkata, anak saudaranya itu tiada di lokasi dijanjikan sebaliknya penantiannya di stesen bas Masai pada malam itu hanya sia-sia.
“Saya cuba menghubunginya semula, namun gagal sebaliknya telefon berkenaan sudah dimatikan.
“Berikutan itu saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Masai mengenai kehilangannya,” katanya.
Dia mengharapkan kepulangan anak saudaranya itu dengan segera kerana bimbangkan keselamatannya.
“Saya merayu kepadanya pulang ke rumah, apatah lagi kehilangan Syikin pertama kali sejak dijaga keluarga kami ketika masih bayi.
“Siang dan malam saya menangis kerana risaukan keselamatannya, malah berharap sesiapa menemuinya dapat menghubungi keluarga kami,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Norasyikin diminta menghubunginya di talian 017-7480329.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 9:33 AM


SITI Rohani menunjukkan gambar Norasyikin yang hilang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103234#sthash.kR0Ous3k.dpuf

Laut terluka

Kuantan: Penduduk dan pengunjung di sekitar Pantai Balok, dekat sini, dikejutkan dengan perubahan air laut berwarna kemerah-merahan di pantai berkenaan, semalam.
Situasi itu disedari oleh orang ramai selepas hujan berterusan yang melanda daerah ini sejak petang Ahad lalu.
Malah, kebanyakan pengunjung yang singgah ke pantai itu hairan dengan situasi terbabit sehingga ada yang mengaitkannya dengan kesan perlombongan bauksit di daerah ini.
Sehingga petang semalam, imej fenomena yang disifatkan sebagai ‘laut merah’ oleh penduduk tempatan itu disebarkan secara meluas di media sosial sehingga menjadi viral.
Penduduk, Zulkifli Samad, 23, berkata, dia hairan dengan perubahan air laut berkenaan yang tidak pernah berlaku di pantai berkenaan sebelum ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada kalangan pengunjung yang singgah di pantai itu membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan aktiviti riadah.
“Saya lihat air itu keruh dan berwarna kemerah-merahan. Ramai yang kata ini disebabkan oleh debu pencemaran bauksit, tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya,” katanya.
Menurutnya, memandangkan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini, peniaga di kawasan itu menasihatkan supaya pengunjung tidak bermain air.
“Saya harap pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar dapat menyiasat punca kejadian ini.
“Ini kerana ia boleh memberi imej negatif kepada pantai terbabit yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati situasi sama turut dikesan di kawasan persisiran pantai di sepanjang Jalan Beserah-Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini.
Kesan debu merah turut dilihat pada batu di kawasan pantai terutama selepas air pasang.
Pada Mei lalu, penduduk di daerah ini dikejutkan dengan fenomena ‘laut merah’ yang dapat dilihat sepanjang persisiran pantai di Tanjung Gelang berhampiran Pelabuhan Kuantan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menjelaskan bahawa fenomena itu tidak berbahaya kepada hidupan marin di perairan berkenaan berdasarkan keputusan ujian terhadap sampel air di kawasan itu.
Ia dikatakan berpunca daripada kesan pencemaran debu bauksit yang memasuki Sungai Pengorak sebelum mengalir ke laut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:43 AM


PENGUNJUNG berjalan di pesisir Pantai Batu Hitam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103434#sthash.rEtQPrtx.dpuf

Ratu cantik maut

Guatemala City: Seorang bekas ratu cantik Guatemala mati ditembak selepas kereta dinaikinya diserang lelaki bersenjata dalam kejadian dipercayai polis sebagai jenayah terancang.
Helen Lopez Roblero maut bersama dua rakannya selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan terhadap kereta di dinaiki mereka di Malacatan yang terletak di sempadan dengan Mexico.
Helen memenangi gelaran ratu cantik bandar itu tiga tahun lalu.
Polis bagaimanapun, dikecam hebat selepas dituduh gagal membantu selepas mangsa menjerit meminta bantuan di dalam kereta berkenaan.
Kementerian awam negara itu melancarkan siasatan terhadap pegawai polis yang tiba di tempat kejadian, tetapi tidak membantu Helen.
Dalam rakaman video direkodkan saksi yang datang membantu sejurus selepas kejadian 17 Disember lalu itu, Helen dapat didengar meminta tolong beberapa kali.
Rakaman turut menunjukkan dua orang di tempat duduk depan kereta itu masih memakai tali pinggang keledar dan berlumuran darah.
Mayat seorang perempuan dilihat terbaring di tempat duduk belakang dan polis menemui lebih 100 peluru di tempat kejadian.
Polis percaya kejadian itu pembunuhan yang dirancang. Guatemala antara negara dengan kadar pembunuhan paling tinggi di dunia iaitu satu kematian setiap 90 minit.
Rakan Helen, Alicia Carias, dan seorang lelaki Edwin Esturban mati dalam kejadian itu manakala seorang lagi rakan, Jose Lopez Castanon, terselamat.
Helen dibawa ke hospital, tetapi meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Media tempatan melaporkan kejadian didalangi pengedar dadah di bandar itu, tetapi tiada penangkapan dibuat setakat ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:26 AM


Helen
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103419#sthash.xHp4cicU.dpuf

Bom motosikal

Peshawar (Pakistan): Sekurang-kurangnya 21 terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas penyerang nekad Taliban menaiki motosikal berisi letupan merempuh kenderaannya ke pintu pagar utama sebuah pejabat kerajaan di Mardan, barat laut Pakistan.
Kejadian itu menunjukkan Taliban masih mampu melancarkan serangan walaupun serbuan tentera terhadap ibu pejabatnya didakwa melemahkan kumpulan berkenaan.
Ketua polis daerah, Faisal Shahzad berkata: “Kejadian akibat pengebom berani mati menaiki motosikal. Anggaran mangsa cedera 63 orang.”
Letupan itu memusnahkan pintu masuk ke pejabat cawangan daerah Pihak Berkuasa Pangkalan Data dan Pendaftaran Negara (NADRA) yang bertanggungjawab mengeluarkan kad pengenalan.
Rakaman televisyen menunjukkan tembok depan bangunan musnah manakala puing serta besi bertaburan di jalan.
Buruh, Nasir Khan, 29, yang cedera terkena serpihan besi pada kaki kanannya berkata: “Saya sedang beratur menunggu giliran untuk membaharui kad pengenalan.
“Tiba-tiba saya terdengar seorang menjerit ‘Allahu Akbar’ sebelum terjatuh ke lantai.
“Udara dipenuhi asap serta debu. Saya tidak dapat melihat apa-apa. Sebaik tenang saya melihat keadaan sekitar amat mengejutkan, cuma ada serpihan daging serta darah manusia di barisan yang sebelum itu dipenuhi orang ramai.”
Jurucakap bahagian Jamatat-ul-Ahrar Taliban Pakistan, Ehsanullah Ehsan mengaku pihaknya bertanggungjawab bagi serangan itu dalam e-mel dihantar kepada AFP.
“Pejabat itu diserang kerana ia institusi penting negara Pakistan yang kafir. Kami akan melancarkan serangan lagi,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:29 AM


SEORANG lelaki yang cedera dalam kejadian itu dirawat di Hospital Lady Reading, Peshawar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103423#sthash.mNXBG6Hz.dpuf

Jatuh dalam kawah gunung berapi ketika bergambar

Yogyakarta: Seorang pendaki dipercayai maut selepas terjatuh ke dalam kawah Gunung Merapi di sini ketika cuba bergambar di puncak berkenaan.
Seorang anggota penyelamat, Dimar berkata, mangsa yang dikenali sebagai Eri Yunanto, 21, jatuh ke dalam kawah gunung berapi itu pada Sabtu lalu.
“Eri terjatuh ke dalam kawah sedalam 200 meter ketika bergambar di puncak gunung berkenaan pada pagi Sabtu lalu,” katanya.
Menurutnya, mangsa dan empat rakannya yang juga pelajar di Universiti Atmajaya di Yogyakarta mula mendaki gunung berkenaan pada malam Jumaat lalu.
“Pada pagi Sabtu, Eri dan dua lagi rakannya meneruskan pendakian ke kawah gunung berapi setinggi 300 meter untuk bergambar.
“Selepas mangsa terjatuh, rakan-rakannya segera turun dan membuat laporan mengenai insiden itu kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Menurutnya, 100 anggota penyelamat melancarkan operasi mencari mangsa tetapi usaha berkenaan masih gagal.
“Keadaan dalam kawah itu sangat bahaya dan kami juga perlu memastikan keselamatan anggota penyelamat,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:30 AM


GAMBAR hiasan menunjukkan seorang pendaki wanita bergambar di tebing kawah Gunung Merapi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103425#sthash.2fy5IIdX.dpuf

Seluar tersangkut jadi penyelamat

Novosibirsk (Russia): Seorang lelaki yang tergelincir ketika mencuci tingkap kediamannya di tingkat 15 terselamat dari maut apabila seluarnya tersangkut di bucu tingkap.
Kejadian yang berlaku di sebuah bangunan kediaman di sini menyebabkan lelaki itu tergantung di luar tingkap selama 30 minit sebelum diselamatkan.
Pasukan penyelamat berkata, lelaki itu tergantung dalam keadaan kepala ke bawah dan sebelah kakinya tersangkut di bucu tingkap.
Katanya, keadaan lelaki itu disedari orang ramai yang terkejut apabila melihat mangsa tergantung di tingkat 15 sambil menjerit meminta tolong.
“Keadaan semakin mencemaskan apabila angin kencang menyebabkan badan lelaki itu berayun.
“Bagaimanapun, jiran yang menyedari keadaan lelaki itu kemudian bertindak memecahkan pintu rumah mangsa sebelum menyelamatkannya,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyelamat yang tiba tidak lama selepas itu mendapati lelaki berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Lelaki ini sangat bernasib baik kerana dia pasti terbunuh sekiranya terjatuh dari ketinggian ini,” jelasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:33 AM


GAMBAR menunjukkan lelaki itu tergantung dengan sebelah kakinya tersangkut di bucu tingkap.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103431#sthash.hiNDUfIf.dpuf

58 juta pokok di AS diancam kemarau




KIRA-KIRA 58 juta batang pokok besar di California terancam akibat kemarau. - GAMBAR HIASAN


WASHINGTON - Sejumlah 58 juta batang pokok besar di California terancam akibat kemarau terburuk pernah melanda negeri itu sejak 2011, menurut satu kajian yang diterbitkan kelmarin.
Walaupun fenomena cuaca El Nino menghasilkan lebih banyak hujan, hutan-hutan di California mungkin mengalami perubahan kekal akibat perubahan iklim dunia, jelas laporan tersebut.
Selain kekurangan air, suhu tinggi dan serangga perosak dikenali sebagai kumbang kulit kayu turut meningkatkan risiko kemusnahan hutan, kata laporan yang disiarkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
“California bergantung kepada hutannya untuk bekalan air dan simpanan karbon di samping produk balak, pelancongan dan rekreasi. Hutan-hutan ini amat penting secara ekologi, ekonomi dan budaya,” kata pakar ekologi Institut Carnegie, Greg Asner.
“Kemarau ini menyebabkan hutan-hutan terbabit berdepan bahaya besar secara jangka panjang dan boleh memberi impak kepada habitat haiwan serta biodiversiti,” tambahnya.
Kajian itu memantau hutan-hutan di California menggunakan peralatan pengimejan berpandukan laser.
Kumpulan penyelidik terbabit mendapati sekitar 10.6 juta hektar hutan dengan sehingga 888 juta batang pokok besar, termasuk pokok kayu merah Sequoias yang terkenal telah menghadapi kekurangan air teruk antara 2011 hingga 2015.
Daripada jumlah tersebut, sehingga 58 juta batang pokok telah menghadapi kekurangan air yang diklasifikasikan sebagai sangat berbahaya kepada kelangsungan jangka panjang hutan terbabit. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3vkpXQ3Tr 
Hakcipta terpelihara 

Lalu lintas tergendala kerana arnab



GAMBAR lebuh raya M11 di London yang dirakam baru-baru ini.- AGENSI


LONDON, Britain – Aliran lalu lintas di sebuah lebuh raya yang sibuk di sini terhenti seketika apabila seorang pemandu bertindak menyelamatkan seekor arnab yang terperangkap di tengah jalan berkenaan.
Dia memberhentikan kenderaannya semata-mata untuk menyelamatkan arnab yang cuba melintas lebuh raya itu.
Menurut beberapa pengguna laman sosial, arnab itu berada di laluan kenderaan laju di sebuah lebuh raya M11 yang menghubungkan Cambridge dan London.
Pemandu yang tidak didedahkan identitinya sanggup bergadai nyawa dengan menyeberangi tiga laluan yang sibuk itu semata-mata mahu mengambil haiwan tersebut.
Tindakan berani pemandu tersebut menyebabkan pengguna lebuh raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka bagi membolehkan dia membawa arnab itu ke tempat yang selamat.
Bagaimanapun, beberapa pengguna laman sosial menyifatkan tindakan pemandu itu menyentuh perasaan sebaliknya segelintir pihak pula mengkritik tindakan yang boleh mengundang maut selain menyebabkan kemalangan.
“Tindakannya itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah orang lain kerana ia boleh menyebabkan pemandu lain berasa terkejut apabila melihat seseorang berdiri di tengah-tengah lebuh raya yang sibuk,” kata seorang pengguna laman sosial yang enggan dikenali. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3vkoyFJze 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki mati letupkan mesin jualan kondom



mesin jualan kondom di bandar Munster ini meletup dan menyebabkan seorang lelaki terbunuh pada Sabtu lalu. - AGENSI


MUNSTER, Jerman – Seorang pemuda mati pada malam menjelang Hari Krismas selepas mesin jualan kondom yang cuba dipecah meletup dan mengenai mukanya.
Lelaki berusia 29 tahun itu cuba meletupkan mesin jualan kondom tersebut di sini untuk mencuri wang di dalamnya.
Namun, ketika mesin itu meletup, satu serpihan besi mengenai mukanya, menyebabkan lelaki itu pengsan.
Dua rakannya yang masing-masing berusia 27 dan 29 tahun membawa lelaki itu ke hospital tetapi dia meninggal dunia tidak lama kemudian.
Polis memberitahu akhbar tempatan, The Local.de bahawa tiga lelaki itu tidak mengambil wang atau kondom yang bertaburan dari mesin itu selepas letupan berlaku.
Beberapa anggota polis menemui kondom dan wang berkenaan berselerakan di sebatang jalan di sini selepas menerima aduan penduduk setempat.
- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1230&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3vkoicNYA 
Hakcipta terpelihara 

Peniaga telefon bimbit menipu telah direman


Jangan buat spekulasi - Tajudin

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan, siasatan mengenai kes penipuan penjualan telefon bimbit sedang dijalankan berdasarkan laporan yang diterima di samping termasuk menahan peniaga terbabit.
Tajudin Md. Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan membabitkan penipuan penjualan telefon bimbit hasil laporan mangsa-mangsa sebelum ini.
“Salah seorang suspek dalam dua kes tersebut telah ditangkap dan kini direman sehingga esok manakala seorang lagi masih dikehendaki serta sedang dikesan.
“Selain itu, serbuan juga pernah dilakukan di kompleks membeli-belah terbabit kelmarin dengan berjaya merampas 500 unit telefon bimbit disyaki palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mempersoal mengapa peniaga menipu tidak ditahan.
Sebelum itu, dua aktivis PPIM dilaporkan ditahan polis hampir 24 jam bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan di Kompleks Kota Raya pada dua minggu lalu.
Dalam pada itu, Tajudin juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu dan menjejaskan siasatan.
“Pihak polis akan meneruskan siasatan dan menyiapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada pihak pendakwaan,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/peniaga-telefon-bimbit-menipu-telah-direman-1.174384#sthash.DHHxNcpf.dpuf

Suspek tikam pemandu teksi dikenal pasti


Mazlan Lazim bersama fotofit suspek kes bunuh pemandu teksi, Sudin Awang di persimpangan lampu isyarat Pasir Mas-Salor di IPK Kelantan, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 29 Dis. – Polis mengenal pasti identiti suspek yang disyaki terlibat dalam kes tikam seorang pemandu teksi warga emas di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor, di sini semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, identiti suspek yang berusia lewat 20-an itu diperoleh menerusi lakaran wajah yang dibuat dengan bantuan beberapa saksi di lokasi kejadian tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan mak­lumat daripada saksi, suspek adalah warga tempatan, berkulit gelap dan berbadan kurus.
“Polis sedang mempergiatkan siasatan serta mengumpul maklumat bagi mengesan suspek dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Semalam seorang pemandu teksi warga emas maut selepas diserang seorang penunggang motosikal menggunakan senjata tajam semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Mas-Salor.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Sudin Awang, 67, yang memandu teksi Proton Wira sedang membawa seorang penumpang lelaki dikatakan datang dari arah Dewan Beta, di sini.
Suspek kemudian dikatakan ber­tindak memecahkan cermin depan dan belakang kiri kereta sebelum memaksa Sudin keluar dari kereta dan menikam mangsa dengan senjata tajam.
Tambah Mazlan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek berkenaan diminta tampil memberi maklumat kepada pihak polis.
“Kita juga masih menyiasat motif sebenar kejadian memandangkan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, musuh atau melakukan sebarang masalah,” katanya.
Mazlan memberitahu, hasil laporan bedah siasat yang diperoleh pihaknya, mangsa telah ditikam dari arah belakang sehingga menembusi bahagian paru-paru sedalam enam sentimeter.
“Mangsa juga mengalami kecederaan yang amat serius akibat berlaku banyak pendarahan. Kita memandang serius kes ini dan usaha mengesan suspek akan terus dipergiatkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suspek-tikam-pemandu-teksi-dikenal-pasti-1.174334#sthash.EbKkRQGb.dpuf

Mekanik, anak disambung reman 38 hari lagi


Kes pembunuhan kejam empat individu di sebuah bengkel kenderaan di Tapah

Mekanik (dua dari kanan) dan anaknya (kiri) ditahan semula selepas dilanjutkan tempoh reman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama 38 hari di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
IPOH 29 Dis. - Tempoh reman seorang mekanik berusia 57 tahun dan anak lelakinya yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan kejam empat individu di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Pahang, Tapah dekat sini, dilanjutkan 38 hari lagi.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Suhaima Mohd. Nor terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini hingga 5 Februari tahun depan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Suhaima mengeluarkan perintah tersebut bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan terhadap kedua-dua suspek mengikut akta tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Jaafar membuat permohonan berkenaan dengan mengemukakan dua kenyataan bertulis daripada pasukan polis dan pihak pendakwaan.
Mohamad Suffian berkata, tempoh reman kedua-dua suspek perlu dilanjutkan bagi melengkapkan siasatan selain tindakan mereka itu telah mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat.
Kedua-dua mereka yang tiba ke mahkamah dengan menaiki kenderaan berasingan sebelum ini direman selama 21 hari bermula 9 Disember lalu dan berakhir hari ini.
Pada 9 Disember lalu, pihak pendakwaan membuat permohonan sama di mahkamah itu memberitahu kedua-dua beranak tersebut perlu ditahan mengikut POCA kerana tindakan mereka telah mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat yang merasakan diri mereka turut terancam kerana suspek tidak mengira bangsa semasa melakukan jenayah.
Selain itu, perlakuan jenayah yang didakwa dilakukan mekanik dan anaknya itu juga disifatkan amat kejam, tidak berperikemanusiaan dan amat berbahaya.
Pada 8 Disember lalu, kedua-dua mereka ditangkap semula di Mahkamah Majistret Tapah dekat sini setelah dibebaskan daripada tahanan reman berhubung siasatan kes pembunuhan keempat melibatkan pekerja bengkel milik suspek, Ng Ah Leng, 36, yang dilaporkan hilang pada 30 Oktober 2012.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Goh Kok Liang berkata, kedua-dua mereka dibebaskan atas nasihat Ketua Unit Pendakwaan (KUP) Perak, Yusaini Amer Abdul Karim kerana sehingga kini identiti mangsa masih tidak dapat dikenal pasti.
Mekanik dan anak lelakinya itu serta isteri dan seorang lagi anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) telah ditahan reman bermula 27 Oktober lalu.
Bagaimanapun, setelah ditahan reman hampir 36 hari, isteri dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dibebaskan tanpa sebarang syarat selepas didapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Akhbar sebelum ini melaporkan polis berjaya merungkai misteri kehilangan empat individu di daerah ini sejak tahun 2012 ekoran penahanan empat sekeluarga di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini pada 26 Oktober lalu.
Kesemua mangsa dipercayai dibunuh secara kejam sama seperti kes melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh dan dibakar di atas zink manakala tulang dan abu dibuang ke dalam sungai.
Polis mengesahkan antara mangsa ialah Jasbeer Singh, 46, yang berasal dari Sungai Lah, Chenderiang, dekat sini yang hilang pada 26 Ogos lalu.
Tiga lagi mangsa ialah V.Gunavathi yang dilaporkan hilang pada Mac tahun lalu, Ng Chor Kee, 54, yang hilang pada Jun tahun lalu manakala Ah Leng yang bekerja di bengkel suspek hilang pada Oktober 2012.
Polis mengenal pasti motif pembunuhan ialah hutang, urus niaga tanah yang gagal dan pekerja bengkel yang mencuri hak milik majikannya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mekanik-anak-disambung-reman-38-hari-lagi-1.174328#sthash.lqZ6Ix1z.dpuf

Broker saham ditahan menipu


SEREMBAN 29 Dis. –Seorang lelaki dipercayai broker saham berusia 45 tahun bersama dua pembantunya ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan berjumlah RM645,229 hujung tahun lalu.
Md. Shah Shairie
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan itu dibuat setelah polis menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun yang mendakwa ditipu suspek pada 2014.
Beliau berkata, pada Disember 2014, mangsa telah didatangi suspek yang mengaku sebagai ejen mendakwa boleh membuat pelaburan di Bursa Kuala Lumpur dan mendakwa dirinya seorang broker saham yang hebat.
“Mangsa kemudian membuat bayaran secara berperingkat-peringkat melalui transaksi bank dan bayaran secara tunai dengan jumlah yang telah dilaburkan sebanyak RM645,229.
“Selepas hampir setahun, mangsa tidak memperoleh sebarang pulangan dan suspek memberikan pelbagai alasan setiap kali ditanya hingga mendorong mangsa membuat aduan polis,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seremban 2 di sini hari ini.
Jelasnya, sepasukan anggota polis telah menahan suspek dan dua pembantunya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 41 tahun dan 25 tahun dalam serbuan di sebuah pejabat dan rumah di sini.
Muhamad Zaki berkata, polis turut merampas wang tunai bernilai RM363,370 serta pelbagai dokumen termasuk tiga kenderaan di dua lokasi tersebut.
“Tangkapan pertama melibatkan dua suspek iaitu lelaki dan perempuan di sebuah pejabat pada pukul 4.30 petang semalam manakala seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah kira-kira 11 jam selepas itu.
“Saya percaya lebih ramai mangsa penipuan kes ini akan tampil membuat laporan polis. Saya menyeru agar masyarakat lebih berwaspada dengan pelaburan seperti ini,” katanya.
Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, katanya, polis turut meminta seorang lelaki, Md. Shah Shairie Abdul Rahman, 32, untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan kes terbabit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/broker-saham-ditahan-menipu-1.174280#sthash.wEPNiNw3.dpuf