Search This Blog

Friday, December 25, 2015

Ribut ragut 11 nyawa, darurat diisytihar di Mississippi

JUMAAT, 25 DISEMBER 2015 @ 12:13 PM

MISSISSIPPI: Wilayah di selatan Amerika Syarikat mula dilanda kebimbangan dan suasana cemas pada Khamis selepas ribut meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa dan Mississippi mengisytiharkan perintah darurat di beberapa kawasan yang dibadai puting beliung.
Kira-kira 100 juta penduduk Amerika dijangka bergerak sepanjang musim cuti Hari Natal ketika Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan meramalkan ribut kencang dari wilayah tengah Amerika hingga ke pantai teluk dan cuaca panas di New York.
Ribut yang diiringi angin kencang menyebabkan lebih 20 puting beliung di Arkansas, Illinois, Indiana, Mississippi, Tennessee dan Michigan.
Ribut kencang selaju 160 kilometer membadai melepasi utara Mississippi sehingga meranapkan lebih 100 kediaman dan bangunan lain sebelum beralih haluan ke barat Tennessee.
Sementara itu, Gabenor Mississippi, Phil Bryant, berkata perintah darurat diisytiharkan di kawasan yang terjejas akibat ribut membabitkan 14 puting beliung yang membadai ganas di wilayah berkenaan.
"Semua orang berkampung di sini di Mississippi hari ini bagi menghulurkan bantuan dan memantau bencana ini," katanya. - Reuters.

Mayat pelajar tahfiz lemas Isnin lalu ditemui

JUMAAT, 25 DISEMBER 2015 @ 4:52 PM

Oleh Aslina Abu Bakarx

KUALA TERENGGANU: Mayat pelajar tahfiz yang lemas di Pantai Rhu 10, Setiu, Isnin lalu, Muhamad Wafiq Mohd Noor, 17, ditemui terdampar di tepi Pantai Rhu Muda, Marang oleh orang awam kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan pengecaman oleh anggota keluarga.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik HSNZ apabila keluarga jenazah Muhammad Wafiq melakukan sujud syukur sebaik pengecaman mayat dibuat dan disahkan kembar mangsa, Muhammad Wafiy Mohd Noor, 17.
Meskipun sedih, keluarga jenazah lega apabila pencarian selama lima hari di sekitar laut di daerah Setiu terjawab.
Muhammad Wafiy berkata, pengecaman jenazah dibuat berdasarkan wajah dan pakaian yang dipakai oleh kembarnya itu ketika kejadian.

"Alhamdulillah, saya masih dapat mengecam wajah kembar saya itu meskipun badannya sudah bengkak, malah pakaian yang dipakainya masih lagi elok.
"Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi. Meskipun kembar saya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, kami bersyukur kerana jenazahnya masih sempurna biarpun sudah lima hari hilang di laut," katanya.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Nor Ismail, 59, mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri, anggota keselamatan dan penduduk kampung termasuk nelayan kerana membantu usaha pencarian.
"Alhamdulillah, akhirnya anak saya berjaya ditemui setelah sekian lama usaha pencarian dijalankan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam usaha pencarian anak saya," katanya

Kali pertama yang amat memilukan

Jeli: Kali pertama menaiki bas ekspres, tetapi amat memilukan apabila ia berakhir dengan tragedi buat Abdul Rahim Hashim, 68, yang kehilangan isteri dan anak bongsu selepas mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 124 di Batu 14, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Grik, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira-1.30 pagi itu, isteri Abdul Rahim, Hasiah Osman, 57, dan anak bongsunya, Muhamad Amir, 16, meninggal dunia di tempat kejadian selepas bas dinaiki bergesel dan berlanggar dengan lori muatan papan lapis.
Turut terbunuh, dua lagi penumpang bas, Nor Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, dari Kampung Mengabang, Batu Rakit, Terengganu dan Mohd Syafiq Azrul Azmi, 25, dari Kampung Losong, Terengganu
Seramai 26 penumpang bas turut cedera dalam kemalangan itu.
Difahamkan, kemalangan berlaku apabila bas dipandu lelaki berusia 26 tahun yang dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Kuala Terengganu hilang kawalan lalu bergesel dan berlanggar dengan lori itu.
Menurut Abdul Rahim, hasrat isterinya untuk melihat cucu sulung mereka yang berusia 30 hari buat kali pertama di Kampung Gong Badak juga tidak kesampaian.
Katanya, Isteri bersungguh-sungguh mahu menaiki bas buat pertama kali kerana mahu melihat cucu tersayang.
"Selama ini, kami tidak pernah menaiki bas dan mahu mencuba menaiki kenderaan berkenaan bersama anak bongsu.
"Pada awalnya perjalanan lancar, namun sebaik tiba di lokasi kejadian saya yang sedang tidur terkejut apabila terdengar bunyi rempuhan kuat," katanya ketika ditemui di Hospital Jeli, di sini, hari ini.
Menurutnya, sebaik membuka mata, dia mencari isteri dan anaknya.
Katanya, dia melihat isterinya di atas jalan dan mendapati isterinya meninggal dunia.
"Saya terus mencari anak dan selepas sejam baru menemuinya dalam keadaan tersepit di antara bas dan lori.
"Luluh hati melihat isteri dan anak dalam keadaan begitu, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Katanya, jenazah isteri dan anaknya akan dikebumikan di Kampung Alma, Bukit Mertajam selepas proses bedah siasat di Hospital Jeli.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 4:57 PM


Hasiah (kiri) dan Muhamad Amir (kanan) serta Afiqah (tengah), tiga daripada empat penumpang bas yang maut dalam kemalangan bas ekspres di Batu 14, Jalan Raya Timur Barat, Jeli-Grik, awal pagi tadi. FOTO Syamsi Suhaimi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102533#sthash.n8zcBAHk.dpuf

Empat maut, budak cedera

Johor Bahru: Empat maut, manakala seorang kanak-kanak cedera apabila kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dan terbakar di jambatan Sungai Dohol, Kota Tinggi, kira-kira 7 pagi tadi.
Menurut jurucakap jabatan bomba dan penyelamat Kota Tinggi, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran kereta pada 7.04 pagi tadi.
Katanya, jentera dikendalikan pegawai dan lima anggota bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada 7.23 pagi.
"Land Rover dinaiki empat sekeluarga dari Singapura yang dalam perjalanan ke Mersing melanggar papan tanda di jambatan berkenaan dan terbabas ke arah bertentangan.
"Kenderaan berkenaan kemudian bertembung dengan Toyota Vios yang dalam perjalanan ke Kota Tinggi yang dipandu wanita.
"Pemandu dan penumpang dua kenderaan itu mati rentung di tempat kejadian manakala kanak-kanak menaiki Land Rover berjaya diselamatkan oleh orang awam," katanya.
Menurut jurucakap itu lagi, keluarga yang maut berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita selain seorang kanak-kanak lelaki.
"Usaha mengenl pasti identiti mangsa sedang dijalankan manakala kanak-kanak yang diselamatkan kini ditempatkan di Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 1:30 PM

ANGGOTA Bomba mengeluarkan mayat yang rentung dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102521#sthash.E18ucqi5.dpuf

Empat maut, 26 cedera

Jeli: Empat maut manakala 26 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas ekspres serta lori di Batu 14, Jalan Jeli-Gerik kira-kira 1.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, kemalangan berlaku apabila bas dar Grik ke Kuala Terengganu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, akibatnya berlaku pergeseran sebelum kemalangan.
"Kemalangan itu menyebabkan empat maut dan 26 mangsa lain cedera.
“Mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu.
"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 9:37 AM


BOMBA mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102499#sthash.y5fRlKPr.dpuf

Bau asap penyelamat

Seremban: Tiga sekeluarga terselamat selepas segera keluar rumah selepas terhidu bau asap sebelum rumah teres dua tingkat didiami mereka di Taman Jujur, di sini, musnah dalam kebakaran 11 pagi tadi.
Difahamkan, kebakaran yang bermula dari bahagian atas rumah berkenaan turut merebak ke dua rumah yang terletak di bahagian belakang rumah itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.04 pagi dan dua jentera dengan kekuatan 15 anggota ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
"Penghuni rumah berusia 20 tahun bersama dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan enam tahun berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah sebaik terhidu bau asap.
"Kebakaran itu turut merebak ke dua rumah berhampiran. Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa setengah jam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, rumah pertama yang terbakar musnah 100 peratus manakala dua rumah lagi terbakar antara 15 hingga 20 peratus.
Beliau berkata, bahagian forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:31 PM


Keadaan rumah yang musnah 100 peratus. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102531#sthash.5hCPz5Sj.dpuf

Mangsa bunuh dibungkus kain putih

Cheras: Lelaki warga Myanmar berusia 20-an ditemui mati dengan kesan tikaman di perut berhampiran tangki air, di Jalan Semerah Padi, di sini, petang tadi.
Mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan berbungkus pada 2.43 petang sebelum melaporkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di rumah di Kampung Cheras baru, sebelum di campak di lokasi penemuan.
Katanya, mangsa dipercayai ditikam menggunakan pisau rambo di bahagian perut sebelum dibungkus dengan kain putih.
"Seorang lelaki warga Myanmar berusia 20-an sudah ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 7:25 PM


Mayat lelaki warga Myanmar yang ditemui petang tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102363#sthash.lVzAEbKz.dpuf

Tak serik agaknya

Kuantan: Polis menahan dua lelaki dipercayai aktif edar pil kuda secara kecil-kecilan di Taman Aneka Jaya, Permatang Badak, di sini, awal pagi ini.
Dalam serbuan kira-kira 1 pagi itu, suspek berusia 33 dan 38 tahun ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai Inspektor Azli Ishak dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata polis yang melakukan pemeriksaan fizikal menemui dua paket plastik mengandungi ketulan jernih disyaki syabu bersama 23 pil Yaba.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripadanya mempunyai empat rekod dadah.
"Seorang lagi suspek dikehendaki polis melakukan jenayah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah selain mempunyai tujuh rekod lampau,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang positif `amphethamine’ kini direman di Balai Polis Kuantan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 11:36 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102510#sthash.jIW37LCl.dpuf

Remaja OKU ditemui lemas

Kota Bharu: Remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun ditemui lemas dalam tali air di Kampung Padang Mokkan, Peringat di sini, pagi tadi.
Jasad remaja lembam itu ditemui 11.55 pagi oleh anggota bomba dan penyelamat kira-kira 100 meter dari lokasi dia terjatuh.
Ketua Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PDDA) Kota Bharu, Shamsuddin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.53 pagi dan 10 anggota iaitu empat dari unit PDDA dan enam anggota daripada balai bomba Pasir Tumboh bergegas ke lokasi kejadian.
"Bomba bersama penduduk kampung berusaha mencari mangsa yang ditemui sejam kemudian di dalam tali air sedalam tiga meter.
"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 5:03 PM


PENDUDUK kampung membawa naik mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102348#sthash.fiudNirb.dpuf

Dua remaja lelaki lemas

Johor Bahru: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun masing masing ditemui lemas di Pantai Desaru Bandar Penawar Kota Tinggi Johor kira-kira 10 pagi dan 12 tengah hari, hari ini.
Jurucakap jabatan bomba dan penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai dua remaja berkenaan yang dikhuatiri lemas kira-kira 7.24 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
"Sebuah jentera, van, pajero dan bot dinaiki 17 anggota bomba termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) diketuai Pegawai Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail bergegas ke tempat kejadian dan tiba kira-kira 8 malam.
"Setibanya di tempat kejadian didapati benar berlaku kejadian lemas membabitkan dua mangsa yang dikenali sebagai Albar Donar manakala identiti seorang lagi sedang dikenalpasti.
"Kedua mangsa ditemui oleh pasukan bomba dan orang awam di kawasan kejadian kira-kira 10.34 pagi dan 12.15 tengahari dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 1:34 PM


FOTO Ahmad Othman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102332#sthash.Yj7EON6o.dpuf

GRO berusia 17 tahun antara dicekup

Klang: Seorang remaja wanita warga Vietnam berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) antara enam individu yang ditahan dalam Ops Noda di bandar ini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam serbuan jam 11 malam itu, lima GRO warga Vietnam termasuk remaja terbabit dan seorang pengurus premis ditahan.
Beliau berkata, ketika operasi yang diketuai Inspektor Mohd Anuar Ibrahim dijalankan, semua GRO terbabit sedang asyik melayan pelanggan sambil berhibur dengan bunyi muzik yang kuat.
"Semua GRO yang ditahan berusia 17 hingga 20-an di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk siasatan lanjut sebelum di hantar ke Lokap Berpusat Shah Alam manakala 12 pelanggan dibebaskan selepas proses dokumentasi.
"Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain bekerja tanpa permit di negara ini," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 2:13 PM


FOTO ihsan polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102338#sthash.BY8p3N8q.dpuf

Lanjut reman suspek kes bunuh isteri datuk

Taiping: Tempoh reman dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan isteri kedua lelaki bergelar Datuk di Taman Lake View, Taiping, 11 Disember lalu dilanjutkan selama enam hari sehingga 30 Disember ini.
Majistret Rosnee Mohd Radzuan mengeluarkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 25 dan 32 tahun selepas tempoh reman pertama kedua-duanya berakhir hari ini.
Tempoh reman dilanjutkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang suspek lelaki berusia 57 tahun yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis hari ini manakala suspek wanita berusia 78 tahun sudah dibebaskan 17 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa berusia 68 tahun maut salepas dipercayai ditetak dengan parang di leher di rumahnya di Taman Lake View, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 2:14 PM


DUA suspek kes pembunuhan isteri datuk di mahkamah. FOTO Yahya Zainuddin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102340#sthash.mu7kvX7c.dpuf

Lelaki maut bertembung motosikal

Machang: Seorang lelaki berusia 52 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain di Jalan Pangkal Gong, Kampung Sungai Buloh di sini, semalam.
Mangsa Tee Kim Teck meninggal dunia di Hospital Machang jam 12.15 tengah malam tadi selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Penunggang sebuah lagi motosikal mengalami patah peha dan parah di kepala sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu mangsa Tee Kim Teck dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mata Ayer di sini.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang oleh Tee bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah bertentangan sebelum motosikal milik Tee terbakar.
"Tee meninggal dunia jam 12.15 tengah malam tadi di Hospital Machang manakala seorang lagi mangsa dikejarkan ke HUSM.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 2:28 PM


FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102342#sthash.lYf6vAcW.dpuf

Mayat budak dibaham buaya ditemui

Betong: Mayat budak lelaki berusia 11 tahun yang dibaham buaya di Kampung Bungin, Spaoh, di sini, ditemui pasukan penyelamat pada 3.45 petang tadi.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sri Aman Mohammad Raffy Saibi berkata, mayat Fakrul Dahari, ditemui terapung dengan kesan gigitan di paha, kaki dan kepala kira-kira dua kilometer dari tempat dia diserang buaya.
"Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai penemuan mayat berkenaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat,"katanya.
Katanya, selain bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung terbabit dalam operasi SAR berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 5:06 PM


Anggota pasukan penyelamat mengangkat mayat Fakrul untuk dibawa ke Hospital Limbang. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102350#sthash.ynH6LsCD.dpuf

Seorang lagi mangsa bot karam ditemui

Bintulu: Seorang lagi mayat mangsa tragedi bot karam di Sungai Rajang ditemui petang tadi.
Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Melay Tingom berkata, mayat mangsa ditemui pada 2 petang, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Identiti mangsa dikenali sebagai Adrina Risnah, 12.
Setakat ini, dua mangsa sudah ditemui dan dua masing hilang.
Mayat seorang lagi mangsa, Sahirza Mahir, 31, ditemui pada 10 pagi semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 5:15 PM


PEMANTAUAN udara di sekitar lokasi tragedi bot panjang karam di Sungai Rajang, Belaga. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102352#sthash.qPQsdozE.dpuf

Geng Tiger Loong tumpas

Ampang Jaya: Polis menumpaskan kumpulan samun berbahaya dikenali sebagai 'Geng Tiger Loong' apabila menahan tiga lelaki selepas menyamun premis perniagaan di Kampung Tasik Permai Ampang, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam kejadian 10 malam Isnin lalu geng terbabit masuk ke premis berkenaan dengan membawa senjata parang.
"Suspek kemudian mengacukan parang kepada pekerja sebelum mengambil wang tunai sebanyak RM20,000 dari kaunter kedai berkenaan.
"Hasil siasatan dan maklumat orang ramai, polis mengesan kenderaan yang disyaki digunakan suspek sebelum menahan mereka.
"Semua suspek berusia lingkungan umur 34 hingga 36 tahun. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM2,363 yang dipercayai hasil rompakan.
"Kumpulan ini didapati aktif melakukan samun sejak September lalu. Hasil tangkapan ini, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di sekitar Ampang Jaya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 5:51 PM

Timbalan Menteri bantu mangsa kemalangan

Seremban: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan mencuri tumpuan ramai apabila membantu mangsa kemalangan di Kilometer 8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, berhampiran Mambau, di sini, hari ini.
Sumber polis berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari, Ahli Parlimen Tapah itu yang dalam perjalanan ke Bukit Pelandok, Port Dickson, dekat sini mengarahkan pemandunya memberhentikan kenderaan.
Katanya, Saravanan kemudian bersama pengguna jalan raya yang lain membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Dalam kejadian itu, empat individu tersepit dalam kenderaan apabila kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas.
"Bagaimanapun semua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 6:52 PM


MANGSA cedera ringan selepas kereta terbabas. FOTO Khairul Najib Asarullah Khan

Jumpa mayat ketiga

Bintulu: Mayat mangsa ketiga tragedi bot karam di Sungai Rajang, Belaga, dekat sini, Nur Amirsha,4, ditemui petang tadi, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat berhampiran tebing sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di Hata Gobel berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke klinik Belaga sebelum diserahkan kepada keluarga.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat(SAR) dihentikan pada 6 petang tadi berikutan faktor cuaca dan akan disambung esok pagi mengesan mangsa terakhir, Sumitasen Thomas, 15.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 8:03 PM


Anggota bomba mengangkat mayat Nur Amirsha untuk dihantar ke Klinik Belaga. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102365#sthash.lhzqfHgx.dpuf

Lelaki parah kereta langgar tiang telefon

Alor Setar: Lelaki berusia 24 tahun parah selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang telefon berdekatan Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Langkawi, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 1.20 pagi itu, mangsa Mohd Azaimat Hashim yang memandu kereta berseorangan hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian sebelum terbabas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra, Penolong Penguasa Bomba Mohd Akmal Mohd Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.23 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa didapati tersepit dan cedera di muka serta kepala.
"Usaha membawa keluar mangsa berjaya dilakukan beberapa minit kemudian.
"Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Langkawi untuk menerima rawatan," katanya.
Sementara itu dalam satu kejadian berasingan seorang lelaki parah sementara penumpang perempuan cedera ringan selepas kereta dinaiki terbabas di Jalan Bukit Perak, Pendang, di sini, 1 pagi tadi tadi.
Mangsa masing-masing berusia 53 tahun yang tersepit diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 10:02 AM


KERETA mangsa yang terbabas berdekatan Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Langkawi. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102501#sthash.hqQnsjP4.dpuf

Dua polis disyaki campur kes mahkamah

Johor Bahru: Dua anggota polis termasuk inspektor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencampuri kes mahkamah.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kejadian berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan menegaskan semua pegawai dan anggotanya sudah diingatkan supaya tidak terbabit dalam apa jua aktiviti negatif.
"Sebaik sahaja saya mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Johor saya sudah mengingati semua Ketua Jabatan dan Ketua Polis supaya menyampai apa jua pesanan saya kepada semua pegawai dan anggota di bawah seliaan mereka supaya tidak terbabit didalam apa jua aktiviti negatif dan salah satu ialah perbuatan seperti ini" katanya.
Beliau berkata demikian selepas dihubungi di sini, hari ini.
Difahamkan reman terhadap dua suspek terbabit oleh SPRM sudah dipohon dan dibenarkan sehingga Isnin ini selepas mereka didakwa terbabit mencampuri kes mahkamah yang diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan susulan).
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 10:35 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102503#sthash.1JoV7Sk3.dpuf