Search This Blog

Wednesday, December 23, 2015

Lelaki lemas ketika menjala

RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 9:22 AM

Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Seorang lelaki ditemui lemas ketika menjala ikan di kawasan pantai berdekatan Taman Robina dekat sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Mansor Zakaria, 76, dari Permatang Tok Jaya, dipercayai ditarik arus laut ketika menjala bersendirian. Jurucakap bomba berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 11.16 malam tadi sebelum operasi mencari dilancarkan bagi mengesan mangsa. Enam anggota dari Balai Bomba Prai bersama orang ramai terbabit dalam usaha mencari mangsa di kawasan pesisir pantai. "Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di kawasan berbatu tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang," katanya. Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan manakala jenazah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107663

Bot karam: 1 mayat ditemui, 3 mangsa masih hilang

RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 1:14 PM

 Oleh Kandau Sidi kandau@bh.com.my

BINTULU: Mayat seorang daripada empat penumpang yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Rajang berhampiran Rumah Panjang Long Buyun, Belaga di sini, ditemui kira-kira jam 10 pagi tadi. Mayat mangsa yang sedang dikenal pasti identitinya, ditemui terapung oleh penduduk rumah panjang berkenaan tidak jauh dari lokasi dilaporkan karam. Penemuan itu terus dimaklumkan kepada pasukan penyelamat. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipergiatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk mengesan tiga lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107714

Polis tumpas Geng Myvi, selesaikan 23 kes ragut

NAYAH RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 2:51 PM


Oleh Mohd Nazllie Zainul bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Polis bandar raya ini menumpaskan satu kumpulan penjenayah dikenali Geng Myvi yang disyaki mendalangi 23 kes kes ragut sekitar daerah ini dan Penampang sejak enam bulan lalu. Ia susulan penahanan lapan anggota kumpulan berkenaan menerusi serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, antara Ahad lalu hingga semalam. Semua suspek termasuk dua wanita berusia 18 hingga 50 tahun itu ditahan di Kampung Cenderakasih di Kolombong, Luyang dan serta sekitar ibu negeri, susulan laporan polis oleh seorang doktor wanita yang menjadi mangsa ragut terbaharu kumpulan terbabit, Sabtu lalu. Difahamkan, doktor wanita itu diragut berhampiran sebuah restoran Jalan Gaya ketika berjalan sendirian, menyebabkannya kehilangan telefon bimbit serta sejumlah wang tunai. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata susulan laporan polis itu, pihaknya menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai ketua kumpulan ragut berkenaan di Kampung Cenderakasih. "Susulan penahanan suspek, polis mengesan tujuh lagi anggota kumpulan itu serta merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka. "Berdasarkan pemeriksaan, kumpulan terbabit mendalangi 17 kes ragut di sekitar daerah ini serta enam lagi kes di Penampang," katanya di IPD Kota Kinabalu, sebentar tadi. Chandra berkata, kumpulan berkenaan yang menyasarkan golongan wanita sebagai mangsa, menggunakan modus operandi dengan memandu Perodua Myvi dan Axia milik mereka secara perlahan sebaik mengenal pasti sasaran. "Jenayah dilakukan oleh dua suspek iaitu seorang sebagai pemandu dan seorang lagi duduk di kerusi penumpang belakang dengan tingkap terbuka. "Apabila sudah menetapkan sasaran, kereta dipandu perlahan sambil mengekori mangsa dan selepas suspek di bahagian penumpang belakang mendapatkan beg mangsa, mereka terus melarikan diri," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107755

Bot karam di Belaga, 4 penumpang hilang

RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 10:56 AM


Oleh Kandau Sidi kandau@bh.com.my BINTULU: Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun hilang manakala lima sempat diselamatkan dalam kejadian bot karam di Sungai Rajang berhampiran Rumah Panjang Long Buyun di Belaga dekat di sini, jam 8.30 malam tadi. Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufiyan Borhan, berkata bot dinaiki sembilan penumpang itu dalam perjalanan dari pekan Belaga ke Rumah Panjang Tanjung untuk sambutan Krismas. Katanya, berdasarkan maklumat terkini, empat mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Sumitasen Thomas,15; Adriana Rosnah,12; Sahirza Mahir, 31, dan Nur Amirsha, 4. Mereka yang terselamat adalah pemandu bot, Liam Kelilit, 50; Bungan Nyaleng, 50; Agnes Liam, 33; Olivia Ploma Thomas, 8, dan Ayu, 4. "Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). "Bagaimanapun, operasi tidak dapat dilakukan malam tadi kerana cuaca gelap dan arus sungai agak kuat, menyebabkan operasi pencarian empat mangsa cuma dapat dilakukan pagi ini," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. Katanya, lima mangsa sempat keluar sejurus bot panjang berkenaan karam sebelum diselamatkan penduduk setempat. "Insiden berlaku di lokasi sama sebuah bot ekspres karam tahun lalu. Operasi SAR ketika ini diperluaskan di sepanjang sungai berkenaan," katanya. Farhan berkata, pihaknya meneliti keperluan penggunaan helikopter bagi membantu kelancaran operasi, sekali gus membolehkan kawasan pencarian keempat-empat mangsa diperluaskan,

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107688

3 kanak-kanak antara 11 pelarian lemas

ANKARA: Sebelas pelarian yang menuju ke Greece, termasuk tiga kanak-kanak lemas di luar pantai Turki, hari ini apabila bot yang dinaiki mereka karam di Laut Aegean.
Agensi berita Anatolia melaporkan, dalam kejadian itu, tujuh lagi pelarian berjaya diselamatkan.
Bencana itu berlaku ketika agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa Pelarian (IOM) mengumumkan, lebih sejuta pendatang dan pelarian sampai ke Eropah tahun ini.
Majoriti daripadanya atau 821,008 pelarian, tiba di Greece.
Turki yang sudah menerima sekurang-kurangnya 2.2 juta pendatang akibat peperangan di Syria, muncul sebagai hub utama pelarian dan pendatang yang mengintai memasuki Eropah. - AFP
Agensi berita Anatolia

Kedai buku Arab Saudi tarik balik buku Trump

SELASA, 22 DISEMBER 2015 @ 11:44 PM

DUBAI: Rangkaian kedai buku Jarir Bookstore, yang berpangkalan di Arab Saudi, bertindak menarik balik buku yang ditulis calon presiden Republikan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dari raknya, hari ini. Tindakan dibuat itu susulan cadangan Trump melarang umat Islam memasuki AS, baru-baru ini. Jarir Marketing Co, sebahagian peruncit terbesar di pentadbiran Diraja negara Teluk itu, mengumumkan tindakannya dalam satu maklum balas Twitter terhadap gesaan pengguna lain supaya memboikot buku tulisan calon pendahulu presiden Republikan itu. Langkah itu adalah tindak balas hebat ke atas kepentingan perniagaan pendahulu Republikan itu di Asia Barat, yang mana jenamanya semakin dibenci akibat ulasan anti-Islamnya itu. - REUTERS


 ORANG ramai kelihatan di pintu masuk kedai buku Jarir Bookstore, Dubai.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107577

Nicolas Cage pulangkan tengkorak dinosaur Mongolia

RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 7:34 AM


NICOLAS Cage. - Foto AFP


 NEW YORK: Aktor Nicolas Cage bersetuju memulangkan tengkorak dinosaur yang dibeli pada harga AS$$276,000 (RM1.18 juta) selepas didapati ia diseludup dari Mongolia, kata ejennya. Ejen aktor itu, Alex Schack berkata, Cage membeli fosil Tarbosaurus bataar pada acara lelongan di New York pada Mac 2007 dan 'menerima sijil ketulenan daripada syarikat lelongan'. Bagaimanapun, pada 2014, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menghubungi aktor itu bagi memaklumkan bahawa penyiasatan selama bertahun-tahun mendapati tengkorak dinosaur itu diseludup secara haram dari Mongolia. Schack berkata, pelakon itu bersetuju menyerahkan tengkorak itu kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri selepas pihak berkuasa mengesahkan fosil itu 'diseludup masuk ke Amerika Syarikat secara haram dan seharusnya pemilik yang berhak ialah kerajaan Mongolia'. Cage, pemenang Anugerah Academy pada 1996 ketika membintangi filem "Leaving Las Vegas," adalah seorang pengumpul tegar dan dilaporkan bersaing dengan Leonardo Di Caprio dalam pembelian fosil. Tiada dakwaan difailkan terhadap aktor itu atau firma lelongan berpusat di Beverly Hills iaitu I.M. Chait. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107643

Interpol rampas 4.5 tan gading gajah, badak


LYON: Sebanyak 4.5 tan gading gajah dan badak dirampas manakala 376 orang ditahan dalam operasi polis antarabangsa, kata Interpol.
Interpol dalam kenyataan berkata, Operation Worthy II dikendalikan pasukan polis membabitkan 11 negara bermula Januari hingga Oktober di Habsyah, Kenya, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Sudan, Swaziland, Tanzania, Uganda dan Zambia.
Sehubungan itu, 25 kumpulan penyeludup dilumpuhkan manakala beribu-ribu produk haiwan liar dirampas termasuk lebih 2,000 kulit tenggiling dan 173 kura-kura hidup.
Selain itu, beberapa senjata turut dirampas ketika operasi berkenaan yang membawa polis hingga ke Thailand dan Singapura di mana beberapa tan gading ditemui.
Gading sering dihadiahkan sebagai hiasan dan tangkal serta digunakan dalam perubatan tradisional di merata negara Asia dengan China adalah pasaran utama bagi produk sebegitu. - AFP

Dua ditemui selamat selepas 70 jam tertimbus

BEIJING: Dua orang ditemui selamat awal hari ini selepas tertimbus lebih 70 jam dalam insiden tanah runtuh di tapak buangan sisa bangunan di Shenzhen, China, pada Ahad.
Pegawai Jabatan Bomba wilayah Guangdong berkata, lelaki pertama yang diselamatkan dibawa ke hospital dan disahkan salah seorang daripada 76 yang masih hilang.
Mangsa dikenali sebagai Tian Zeming berasal dari Chongqing di barat daya China.
Seorang lagi yang selamat dikatakan mengalami kecederaan parah dan sedang dikeluarkan dari sisa runtuhan.
Bencana itu menimbus 33 bangunan di zon perindustrian di Shenzhen, pusat pengeluaran utama di wilayah Guangdong bersempadan Hong Kong.
Biro keselamatan awam Shenzhen kelmarin menyiarkan notis secara online memberitahu sekurang-kurangnya 91 hilang dalam kejadian itu.
Pakar geologi di lokasi kejadian berkata, kawasan seluas lebih 60,000 meter persegi ditimbuni lumpur hingga enam meter. - Agensi
ANGGOTA penyelamat tempatan ketika sedang manjalankan operasi mencari dan menyelamat di Shenzhen. - Foto AFP

Polis guna meriam air leraikan penunjuk perasaan


BEKAS pekerja syarikat ternakan ayam membuat tunjuk perasaan di laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza. - Foto AF
BUENOS AIRES: Polis Argentina terpaksa menggunakan meriam air bagi meleraikan tunjuk perasaan membabitkan pekerja ternakan ayam yang berdepan pemberhentian apabila mereka menyekat laluan ke lapangan terbang antarabangsa bandar raya itu.
Pekerja yang melontar batu ke arah polis anti rusuhan berkata, sekurang-kurangnya 10 ahli kumpulan mereka mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Bekas pekerja syarikat ternakan ayam yang bankrap, Cresta Roj menyekat laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza pinggir Buenos Aires sejak minggu lalu sehingga menyebabkan sebahagian penumpang terpaksa mengheret bagasi mereka sehingga dua kilometer untuk menaiki pesawat.
Bekas pekerja itu menuntut diberikan pekerjaan baharu dan gaji yang mereka dakwa masih belum diperolehi.
Jurucakap mereka, Cristian Villalba, menyalahkan Presiden baharu, Mauricio Macri sambil menyifatkan tindakan pihak berkuasa dalam kejadian berkenaan sebagai kejam.
"Mereka beritahu kami boleh terus berpiket jika kami biarkan dua lorong dikosongkan. Hari ini mereka datang beritahu kami ada masa lima minit untuk bersurai atas arahan Mauricio Macri," katanya. - AFP

Wanita rempuh pejalan kaki didakwa membunuh


LOKASI kejadian rempuhan di Las Vegas Strip.
LAS VEGAS: Seorang wanita dari Oregon didakwa membunuh selepas merempuh kereta dipandunya ke arah pejalan kaki di Las Vegas Strip yang menyebabkan seorang mati dan berpuluh lagi cedera.
Penyiasat pula masih mencari petunjuk apa sebenarnya yang mendorong tertuduh melakukan rempuhan berkenaan.
Lakeisha N Holloway, 24, didakwa membunuh atas kematian seorang wanita dari Arizona berusia 32 tahun yang berada dalam kumpulan pejalan kaki berkenaan.
Holloway, yang bakal muncul di mahkamah hari ini, kini ditahan di penjara khas berasingan dengan banduan yang memerlukan pengawasan ketat termasuk mereka yang cuba membunuh diri.
Peguam Daerah Clark County, Steve Wolfson berkata, pihaknya menjangkakan dakwaan tambahan dikenakan terhadap Holloway apabila hasil penyiasatan diumumkan.
Pihak berkuasa berkata, Holloway memandu kereta di Las Vegas selama lebih seminggu bersama anak perempuan berusia 3 tahun dengan menggunakan lesen tamat tempuh. - Reuters

Bas langgar pesawat Air India


NEW DELHI: Sebuah bas syarikat Jet Airways melanggar pesawat Air India pada awal pagi semalam di Lapangan Terbang Kolkata menyebabkan suasana cemas buat seketika.
Bagaimanapun, pegawai berkata, tiada kemalangan jiwa akibat daripada nahas berkenaan.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.40 pagi Selasa selepas pemandu bas itu didakwa tertidur menyebabkan kenderaan itu terbabas dari laluan dan melanggar pesawat jenis ATR 42 yang berada di petak nombor 32, sebelah kanan lapangan terbang berkenaan.
Pemandu bas itu kemudiannya ditahan dan disoal siasat oleh beberapa agensi di lapangan terbang terbabit.
Air India berkata, pesawat itu dijadualkan berlepas ke Silchar dari Kolkata.
"Kami akan mengeluarkan kenyataan lengkap dalam tempoh terdekat," katanya.
Sumber di lapangan terbang berkata, pemandu bas itu dikenali sebagai Momin Ali ketika disoal siasat memberitahu dia tertidur ketika memandu dan bas itu terkeluar dari laluan asal dan melanggar kapal terbang berkenaan.
Pegawai menolak kemungkinan nahas itu mempunyai kaitan dengan jarak penglihatan kerana tiada jerebu dilaporkan pada pagi hari kejadian.
"Siasatan sudah diarahkan yang akan dikendalikan pengurus keselamatan serantau, Ketua Pengarah Penerbangan Awam," kata Pengarah Lapangan Terbang Kolkata, AK Sharma. -Agensi

Juruterbang tak sempat beri nama anak lelaki

NEW DELHI: Timbalan Komandan, Bhagwati Prasad Bhatt iaitu juruterbang pesawat yang membawa anggota tentera India yang terhempas berhampiran lapangan terbang utama di sini, sepatutnya memberi nama anak lelaki berusia sebulan dalam beberapa hari lagi.
Nahas tragik semalam itu bukan hanya meragut nyawa juruterbang itu tetapi membuatkan ahli keluarganya memikirkan apakah ini satu ketidakadilan.
Dalam entri Twitternya, sehari sebelum kematiannya, Bhatt menulis: "Seorang budak miskin yang kemudiannya menyertai Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) kini seorang juruterbang menerbangkan pesawat untuk negara."
"Kami belum sempat menamakan anak bongsu. Kami sepatutnya mengadakan majlis besar-besaran.
"Anak sulung, umur empat tahun, sempat melihat wajah bapanya tapi yang bongsu akan membesar tanpa seorang bapa.
"Hidup ini tidak adil. Tidak tahu apa nak diperkatakan," kata abang Bhatt, Rajender Bhatt.
Bhatt, 38, dikurniakan seorang lagi anak, menetap di Sarojini Nagar, adalah seorang lelaki yang bangga dengan kerjayanya. - Agensi

Dua cedera letupan di lapangan terbang Turki


Pegasus berkata, letupan berlaku pada kira-kira jam 2.05 pagi waktu tempatan apabila tiada penumpang di kawasan itu dan operasi berjalan seperti biasa.
Polis bersenjata raifal dan jaket kalis peluru mengenakan kawalan ketat di pintu masuk ke lapangan terbang itu selepas letupan, memeriksa kenderaan di kawasan terbabit manakala helikopter polis berlegar di situ.
Seorang mangsa dilaporkan cedera parah apabila luka di kepala manakala seorang lagi cedera di tangan dan kedua-duanya dirawat di sebuah hospital.
Sementara itu, pengendali Lapangan Terbang Sabiha Gokcen dalam kenyataan berkata, tiada masalah dengan rutin berlepas dan mendarat di situ dan penyiasatan terhadap punca letupan diteruskan. - Reuters

Jenazah penuntut perubatan Universiti Cairo selamat dikebumi

SELASA, 22 DISEMBER 2015 @ 11:48 PM


Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin hanneeyzah@bh.com.my

 BAPA, Roselan A, Rahman, 56 (dua dari kanan) menyentuh keranda anaknya, pelajar Perubatan Tahun 6 Universiti Cairo, Nur Izzati Izyan Roselan, 23 yang meninggal dunia akibat menghidapi SLE selamat, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan turut di saksikan sambil hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan). - Foto Aswadi Alias


MARANG: Jenazah Nur Izzaty Izyan Roselan, penuntut perubatan di Universiti Cairo, Mesir, yang meninggal Jumaat lalu akibat penyakit Systemic Lupus Erythemitosus (SLE), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tasek, Bukit Payong, di sini, malam ini.    Terdahulu, jenazah Allahyarham berusia 23 tahun tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, jam 9.20 malam dengan penerbangan Malaysia Airlines (MAS).    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut bersama keluarga Allahyarham, termasuk bapa, Roselan A Rahman, 56 dan adiknya, Nur Syahirah, 17, menunggu ketibaan jenazah di LTSM.    Jenazah kemudian dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Tasek untuk diberi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk pengebumian. Nur Izzaty Izyan, disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 malam (waktu Malaysia) Jumaat lalu, selepas dirawat di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) Hospital Kasr El Aini.   Allahyarham yang juga anak kedua daripada empat beradik sebelum itu ditemui terjatuh dalam bilik air oleh rakan serumahnya, sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Roselan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang memastikan kelancaran urusan menghantar pulang jenazah anaknya ke Malaysia. Sementara itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan mengadakan tahlil buat Allahyarham sebagai tanda ingatan dan penghargaan terhadap bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107581

Sesak 10km di PLUS, lori kontena terbalik di Taiping

RABU, 23 DISEMBER 2015 @ 11:05 AM

Oleh Farah Suhaidah Othman bhnews@bh.com.my

KEMALANGAN jalan raya melibatkan lori kontena di Kilometer 210.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. - Foto Ihsan Bomba

TAIPING: Seorang kanak-kanak parah manakala ibu bapanya cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lori kontena terbalik di Kilometer 210.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata tiga sekeluarga itu membabitkan pemandu dan penumpang lori terbabit. "Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk kira-kira 10 kilometer (km) bermula dari Plaza Tol Kamunting hingga Changkat Jering. "Semua mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans. "Difahamkan, lori kontena terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Pulau Pinang. "Selepas terbabas, ia dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu terbalik merintangi jalan, menyebabkan kesesakan di laluan berkenaan. "Setakat jam 10.30 pagi ini, kerja mengalihkan lori kontena terbabit masih dijalankan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. Sementara itu, Jurucakap PLUS berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan berkenaan kira-kira jam 8 pagi. "Lori kontena yang terbalik itu menghalang laluan trafik kiri dan kanan jalan, menyebabkan kesesakan bagi pengguna menghala ke selatan. "Pemandu dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di susur keluar Kamunting dan masuk semula ke susur keluar Changkat Jering atau Kuala Kangsar," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/107689

Mayat Ditemui Terapung Dipercayai Mayat Pelajar Lemas Di Pantai Setiu


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 3:46 PM
-foto THE STAR

SETIU: Mayat yang ditemui terapung kira-kira 500 meter di laut dipercayai mayat pelajar berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas selepas berenang di pantai Rhu 10 pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Setiu Elias Abu Bakar, pada Selasa berkata mayat itu masih belum dikenal pasti.

Elias berkata pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat telah melihat mayat dengan baju-T oren terapung beberapa kilometer dari tempat di mana kedua-dua pelajar itu hilang pada pukul 10.55 pagi.

"Mayat akan dibawa ke jeti Merang di Kampung Mangkuk, di sini sebelum dibawa ke Hospital Setiu," katanya.

Semalam sekumpulan 10 orang yang terdiri daripada dua orang guru dan lapan pelajar dari pelbagai sekolah menengah di Johor, yang datang ke negeri ini untuk menghadiri majlis agama, telah melawat pantai itu di mana mereka juga dikatakan telah berenang di situ.

Pihak berkuasa berkata mengikut siasatan awal, tujuh daripada kumpulan itu telah naik ke darat meninggalkan tiga yang lain apabila ketiga-tiga mereka tiba-tiba dilihat bertarung dengan ombak dan arus deras.

Salah seorang daripada mereka, Ahmad Izzat Shahruddin, 17, berjaya diselamatkan oleh ahli kumpulan yang lain manakala dua lagi hilang.

Mereka yang dikhuatiri lemas telah dikenal pasti sebagai Mohd Naim Adnan dari Kampung Seri Bengkal, Baru Pahat, Johor dan Mohd Wafiq Mohd Nor dari Parit Yani, Yong Peng, Johor.

Mohd Naim dan Ahmad Izzat adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato 'Seth, Yong Peng manakala Mohd Wafiq adalah dari Sekolah Menengah Sains Batu Pahat.

Pemandu Lori Bauksit Terlibat Kemalangan Ragut Nyawa Guru Direman


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 5:00 PM
Gambar twitter @VersedAnggerik

KUANTAN: Seorang pemandu lori bauksit ditahan reman selama dua hari bermula Selasa bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut melibatkan seorang guru dalam kejadian di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang petang Isnin.
Perintah reman terhadap suspek yang berusia 35 tahun berasal dari Jengka itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Ruziani Tuan Lah atas permohonan Pegawai Penyiasat Trafik Insp Ameerul Asraf Ghazali. 
Suspek difahamkan menyerah diri pada pukul 10 malam tadi dengan ditemani isterinya di Balai Polis Trafik Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Akta 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian pukul 3 petang Isnin seorang guru Sekolah Kebangsaan Balok Nohaili Ahmad Zabidi, 40 maut setelah kereta yang dinaikinya terkena tayar tengah lori membawa muatan bauksit yang tercabut. - Bernama

Seorang Maut Dilanggar Bas Ketika Cuba Bantu Rakan Maut Dalam Kemalangan


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 4:24 PM

KUALA LUMPUR: Hasrat lima pekerja pembersihan jalan untuk membantu mengalihkan rakan mereka yang maut dilanggar kereta ke tepi jalan, tidak kesampaian apabila mereka turut dilanggar oleh sebuah bas mengakibatkan seorang daripada mereka meninggal dunia.   
Dalam kejadian di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban pagi Selasa, empat daripada pekerja itu cedera parah.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata, dalam kejadian pertama yang berlaku kira-kira 6.15 pagi itu, pekerja pembersih jalan, R. Veeraiyan, 45, maut dilanggar sebuah kereta yang dipandu dari arah bandar raya menghala ke tol Sungai Besi itu.
"Lima rakan sekerja mangsa kemudiannya mendapatkan mangsa untuk membawanya ke tepi jalan, namun sebuah bas merempuh mereka," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.
Seorang lagi pekerja yang terbunuh itu ialah R.Chinnaiyan, 45 tahun. 
Empat mangsa lagi yang cedera parah itu kini dirawat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala dua yang maut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Nahas Chiang Mai: Pemandu Bas Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 6:00 PM

BANGKOK: Polis Thailand mengesahkan pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Chiang Mai-Chiang Rai, hingga meragut 13 nyawa rakyat Malaysia telah ditahan.
Suspek, Somporn Bualuang, berusia 58 tahun melarikan diri sejurus nahas dekat daerah Doi Saket pada pagi Ahad lalu.
Samporn akan dikenakan tindakan kerana cuai dan menyebabkan kecederaan serta kematian.
Polis juga menerima laporan langgar lari dari seorang pemandu pikap.
Keterangan saksi juga sudah dirakam polis.
Terdahulu, pihak berkuasa negara jiran itu mengesahkan kemalangan maut itu berpunca daripada pemandu bas yang cuba melarikan diri setelah melanggar sebuah trak pikap.
Pemandu bas itu dilaporkan melanggar sebuah trak pikap di Mae Khajan di wilayah Chiang Rai, bagaimanapun gagal untuk berhenti.
Difahamkan, pemandu pikap berkenaan kemudian mengejar bas terbabit menyebabkan pemandu bas memecut laju dan hilang kawalan.
Bas itu kemudian telah merempuh sebuah kereta serta melanggar tiang lampu sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbalik.
Pemandu bas terbabit adalah antara 12 mangsa yang tercedera, dua daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Lelaki Maut Selepas Terjun Bangunan Di Sitiawan


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 7:22 PM

LUMUT: Seorang lelaki berumur 34 tahun ditemui mati selepas terjun dari tingkat enam bangunan Wisma Ganda di Sitiawan, Isnin.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mangsa yang terjun dari bangunan sembilan tingkat itu.
"Siasatan awal mendapati mangsa naik ke bangunan berkenaan dan terjun melalui koridor bangunan tersebut. Punca sebenar masih belum dikenal pasti.
"Bagaimanapun, setakat ini tiada unsur-unsur jenayah ditemui," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, di sini Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat. - Bernama

Orang Awam Bantu Berkas Lelaki Rompak Wanita


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 7:36 PM

SANDAKAN: Seorang lelaki yang dipercayai merompak seorang wanita di sini berjaya diberkas polis dengan bantuan orang awam, Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superitendan Fadzil Mohd Ali berkata, dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa, seorang wanita berusia lingkungan 30-an sedang duduk di dalam kereta sambil menunggu seorang rakannya.
Seorang lelaki kemudian tiba-tiba masuk ke dalam kereta tersebut dan mengacukan sebilah pisau ke pinggang kiri mangsa, katanya.
"Mangsa yang ketakutan bertindak menyerahkan telefon bimbitnya kepada suspek dan terus menjerit meminta pertolongan setelah suspek melarikan diri," katanya di sini, Selasa.
Menyedari kejadian itu, orang awam mengejar dan berjaya menangkap suspek sebelum menyerahkannya kepada polis, katanya.-- Bernama

Lima Sekeluarga Maut, Enam Cedera Nahas Di Tatau


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 8:00 PM

BINTULU: Lima sekeluarga maut serta enam cedera termasuk seorang bayi perempuan berumur lima bulan dalam satu kemalangan melibatkan kenderaan pacuan empat roda dan kereta sedan di KM77 Jalan Tatau-Sibu pada kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Balai Bomba Tatau Azrel Izaidi Ahmad berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Tatau manakala kenderaan sedan jenis Nissan Sentra dalam perjalanan dari Tatau ke Sibu.
"Kenderaan sedan tersebut hilang kawalan dan terus melanggar Hilux menyebabkan lima orang termasuk pemandu kenderaan sedan maut dan seorang bayi cedera," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa malam.
Beliau berkata, lima mangsa yang maut di tempat kejadian ialah Robin Igat, 49, Jawan Jungan, 39, Melati Robin,24, Mandah Medan,20-an, dan Marriane Riyung Jawan, 5.
"Seorang lagi penumpang iaitu bayi perempuan berusia lima bulan bernama Lorraine Jawan cedera dan telah dikejar ke Klinik Selangau untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.
Beliau berkata, pemandu hilux Jimbun Barendak, 47, tidak cedera manakala isterinya Moni Nanang, 44, Biah Chaong, 70, Loxsley Jimbun, 15, Eric Sap Jimbun, 11 dan Joseley Ericca Jimbun, 3, mendapat kecederaan kaki, mulut serta tangan dan kini mendapat rawatan.-- Bernama

Kanak-Kanak Dipercayai Diseret Buaya Hilang Di Sungai


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 11:47 PM

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun hilang selepas dipercayai diserang buaya di sungai Kampung Bungin, Spaoh, Betong kira-kira 300km dari sini petang Selasa.
Jurucakap bomba dalam satu kenyataan malam ini berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan Fakhrul Dahari, pelajar tahun 4 Sekolah Kebangsaan Bungin, pada kira-kira pukul 3.49 petang dari Balai Polis Betong.
Katanya difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu seorang saksi memberitahu bahawa beliau hanya sempat melihat seekor buaya mengheret kanak-kanak berkenaan ke dalam sungai.
Beliau berkata bomba dengan kerjasama penduduk tempatan melancarkan gerakan mencari sebaik tiba di tempat kejadian, namun sehingga operasi ditangguhkan pada kira-kira pukul 7 malam dan kanak-kanak berkenaan masih belum ditemui.
Operasi bersambung esok.-- Bernama 

Kru Pesawat Ditahan Sedang Asyik Ambil Dadah


Diterbitkan: Selasa, 22 Disember 2015 10:05 PM

JAKARTA: Badan Narkotika Nasional (BNN) mengesahkan tiga kru sebuah syarikat penerbangan tambang murah milik Indonesia adalah antara empat orang yang ditahan dalam satu serbuan kerana terbabit dengan kes dadah.
Siaran-siaran berita televisyen tempatan memetik Ketua Kepala BNN Budi Waseso sebagai berkata, mereka ditahan ketika sedang mengadakan pesta dadah di sebuah apartmen di Wilayah Tengerang dekat sini, Isnin.
Katanya, mereka yang ditahan ialah seorang Pembantu Juruterbang, seorang pramugari, seorang pramugara dan seorang wanita suri rumah yang juga teman kepada salah seorang kru terbabit. 
Kesemua mereka berumur antara 20 dan 34 tahun dan ketika ditahan dalam keadaan khayal dan sedang asyik mengambil dadah jenis syabu dan menghisap ganja.
"Ketika kami geledah barang bukti sudah habis digunakan. Mereka berpasang-pasangan...tetapi fokus kami ialah untuk membongkar jaringannya," kata beliau dalam satu sidang media. 
Penangkapan kru penerbangan membabitkan kes dadah ini adalah yang kebeberapa kali berlaku di Jakarta termasuk dua juruterbang pernah ditahan kerana disahkan penagih dadah pada 2012. -- Bernama 

Tanah Runtuh: Dua Ditemui Selamat Selepas 70 Jam Tertimbus


Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2015 11:28 AM
Antara mangsa yang berjaya dikeluarkan.

BEIJING: Dua orang ditemui selamat awal pagi Rabu selepas tertimbus lebih 70 jam dalam insiden tanah runtuh di tapak buangan sisa bangunan di Shenzhen, China, pada Ahad.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba wilayah Guangdong, lelaki pertama yang berjaya dikeluarkan disahkan antara salah seorang daripada 76 mangsa yang masih hilang.
Mangsa yang dikenal sebagai Tian Zeming dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan susulan.
Zeming berasal dari Chongqing di barat daya China.
Seorang lagi mangsa yang selamat dikatakan mengalami kecederaan parah dan sedang dikeluarkan dari sisa runtuhan.
Bencana itu menyebabkan 33 bangunan di zon perindustrian di Shenzhen, pusat pengeluaran utama di wilayah Guangdong bersempadan Hong Kong tertimbus.
Biro keselamatan awam Shenzhen pada Isnin menyiarkan notis secara online memberitahu sekurang-kurangnya 91 hilang dalam kejadian itu.
Pakar geologi di lokasi kejadian berkata, kawasan seluas lebih 60,000 meter persegi ditimbuni lumpur sehingga enam meter. 

Suspek Sembelih Majikan Bunuh Diri Dalam Penjara


Diterbitkan: Rabu, 23 Disember 2015 12:23 PM
Yassin ketika ditahan pihak berkuasa selepas membunuh majikannya di Isere, Perancis.

PARIS: Seorang lelaki warga Perancis yang didakwa menyembelih dan menggantung kepala majikannya di pagar sebuah kawasan industri bertindak membunuh diri di dalam penjara, lapor pihak berkuasa pada Rabu.
Yassin Salhi, 35, ditemui menggantung dirinya di sel yang dihuni menggunakan cadar pada malam selasa.
Yassin sebelum ini dilapor melakukan pembunuhan ngeri terhadap Herve Cornara di Isere pada pertengahan Jun.
Suspek menggantung kepala majikannya di pagar sebuah kilang dan turut memasang bendera kumpulan militan Negara Islam (IS) di sekelilingnya.
Selepas ditahan, Yassin telah dikurung bersendirian dan tidak dianggap akan membunuh diri oleh pihak penjara.
Bagaimanapun suspek pernah cuba membunuh diri dengan meletupkan diri, tetapi berjaya diselamatkan oleh petugas penjara.