Search This Blog

Monday, December 21, 2015

Padah tunjuk isyarat lucah ke arah Sultan Johor

Johor Bahru: Lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas disyaki menunjukkan isyarat lucah ke arah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Kilometer 95 Lebuhraya Utara Selatan dekat Yong Peng, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Sultan Ibrahim yang diiringi beberapa orang pegawai polis dalam perjalanan pulang dari Muar ke Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, lelaki yang memandu Perodua Viva itu ditahan di tempat kejadian.
Beliau berkata, suspek ditahan sebelum diserahkan ke Balai Polis Ayer Hitam untuk tindakan lanjut.
"Suspek ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun yang sama," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 4:45 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101602#sthash.LPwAZRXp.dpuf

Pilih kucing lagi bagus

Barnaul: Penduduk di sini mahukan seekor kucing menjadi datuk bandar baru mereka kerana bosan dengan pertelingkahan politik dan perebutan kuasa.
Penduduk bandar Barnaul di Siberia ini yang terletak 2,900 kilometer ke timur Moscow akan mengundi minggu depan untuk memilih datuk bandar baru.
Satu suruhanjaya terdiri daripada ahli majlis perbandaran dan gabenor wilayah akan memilih seorang daripada enam calon yang bertanding.
Bagaimanapun, tidak seorangpun daripada enam orang itu menarik minat penduduk Barnaul.
Kelmarin, satu undi tidak rasmi yang dilakukan secara online meminta penduduk memilih dalam kalangan enam orang itu dan seekor kucing bernama Barsik.
Hasilnya menunjukkan lebih 90 peratus penduduk memilih kucing itu.
Bagi pemerhati, keputusan itu membawa mesej serius yang hendak disampaikan penduduk.
Barnaul, seperti kebanyakan bandar Russia lain, tercemar dengan kegiatan rasuah dalam kalangan pegawainya.
“Hasil undian itu menunjukkan penduduk tidak percaya terhadap semua calon yang bertanding. Bagi mereka, lebih baik melantik kucing menjadi datuk bandar. Ia pasti bersih daripada rasuah,” kata pegawai kanan Parti Komunis tempatan Ivan Karpov.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:06 AM


BARSIK, kucing yang menjadi pilihan penduduk Barnaul.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101440#sthash.KtAN6zcc.dpuf

Enam kereta terbakar

Petaling Jaya : Enam kereta musnah terbakar dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Stesen LRT Taman Jaya, Petaling Jaya kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.58 tengah hari tadi sebelum sepasukan angggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala tiba di lokasi kejadian pada 1.09 petang tadi.
Katanya, kejadian itu membabitkan enam kereta iaitu Toyota Vios dan Proton Wira yang musnah sepenuhnya, Suzuki Swift terbakar 80 peratus, Proton BLM musnah 70 peratus serta Proton Gen 2 dan Honda musnah 20 peratus.
"Pemilik kereta itu dipercayai meletakkan kereta di kawasan berkenaan sebelum menaiki LRT ke tempat kerja masing-masing.
"Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 13.32 petang tadi dan tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 4:29 PM


ANTARA kereta yang terbakar. FOTO Nik Hariff Hassan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101598#sthash.C2oQ0Xjq.dpuf

Pesawat tentera terhempas, 2 terbunuh

Jakarta: Dua juruterbang terbunuh apabila sebuah pesawat tentera Indonesia terhempas di Jawa Tengah.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah pesawat pejuang membuat persembahan penerbangan di ruang angkasa Yogyakarta sebelum ia menjunam dengan laju dan hilang dari pandangan.
Beberapa saat kemudian kelihatan kepulan asap memenuhi ruang udara sementara orang ramai didengar menjerit.
Jurucakap tentera udara Indonesia Dwi Badarmanto mengesahkan pesawat tempur T-50 Golden Eagle itu terhempas ketika melakukan pertunjukan.
“Dua juruterbang terbunuh,” katanya kepada portal berita Detik.
Pertunjukan udara besar-besaran membabitkan tentera udara Indonesia berlangsung di
Yogyakarta sejak kelmarin.
Jun lalu, sebuah pesawat Hercules C-130 terhempas di kawasan kediaman di Medan, bandar terbesar di pulau Sumatera, menyebabkan 142 orang terbunuh dan kemusnahan besar. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:09 AM


PESAWAT tentera Indonesia buatan Korea Selatan itu terbakar selepas terhempas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101456#sthash.PDxWiU2W.dpuf

Lima cedera kemalangan bas dan treler [METROTV]

Kuala Lumpur: Lima orang cedera dalam kemalangan bas dan treler di Kilometer 35 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Genting Sempah, pagi tadi.
Dalam laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), nahas itu dilaporkan berlaku kira-kira 9 pagi, menyebabkan laluan kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk.
Bagaimanapun, laluan kecemasan di lokasi kemalangan masih dibuka.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada treler yang membawa muatan besi buruk mengundur secara tiba-tiba akibat masalah brek dan bas yang membawa 45 penumpang tidak sempat mengelak sebelum melanggar treler berkenaan.
"Akibat pelanggaran itu, lima penumpang bas mengalami kecederaan ringan dan semua sudah dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan kecemasan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 3:17 PM

JALAN raya sesak teruk selepas kelamangan treler dan bas. FOTO Ghazali Kori


Polis buru empat suspek kes cubaan bunuh

Georgetown: Polis Pulau Pinang memburu empat lelaki dipercayai anggota kongsi gelap bagi membantu siasatan dua kes cubaan bunuh yang berlaku di Sungai Udang dan Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS) pada 8 dan 19 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, kempat-empat mereka dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian cubaan bunuh dua lelaki dalam dua kejadian di SPS.
Beliau berkata, dalam dua kejadian berasingan itu, seorang lelaki berusia awal 30-an ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di kawasan Jeti Batu Musang, Batu Kawan pada 12.10 tengah malam dipercayai ditikam sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, dalam kejadiankedua Sabtu lalu, seorang lelaki berusia 30-an terselamat daripada tembakan yang disasarkan kepadanya ketika pulang ke rumah selepas bermain judi di Sungai Udang, Sungai Acheh, SPS, 12.20 tengah malam.
Zakaria berkata, berdasarkan siasatan kedua-dua kejadian adalah berpunca daripada hutang yang dilakukan kedua-dua mangsa
Beliau berkata, keempat-empat mereka dikenali sebagai Khaw Sim Chok, 50; Tioh Tiang Hock, 38; Siam Kea,20-an dan Jeffrey Ooi Chia Joon, 20-an.
"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:01 PM

MOHD Zakaria Ahmad menunjukkan wajah empat suspek. FOTO Danial Saad

Timbalan Dekan dituduh mencabul

Shah Alam: Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan mencabul kehormatan seorang penuntut perempuannya.
Majistret Surya wati Shawal membenarkan tertuduh Dr Rahmat Ghazali, 57, diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes berkenaan pada 20 Januari depan.
Mengikut pertuduhan, Dr Rahmat dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap penuntut perempuan dengan niat mencabulnya pada 14 Disember lalu, kira-kira 12 tengah hari di Pejabat Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media universiti berkenaan.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 10 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Rustan Sanid menawarkan ikat jamin RM6,000 sebelum peguam tertuduh, M Hafiz Zainol Abidin memohon mahkamah mengurangkan wang ikat jamin berikutan tertuduh masih mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 6:12 PM


Rahmat dituduh melakukan kekerasan jenayah terhadap penuntut perempuan dengan niat mencabulnya pada 14 Disember lalu. FOTO Muhammad Sulaiman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101614#sthash.X3biworm.dpuf

'Mereka tak pernah gaduh'

Kluang: “Ibu dan ayah tidak pernah bergaduh, malah untuk mendengar mereka bertengkar pun susah apatah lagi sehingga sampai membunuh seperti ini,” kata Koh Ming Yang, anak kedua Sia May Lian, 47, yang dipercayai mati dibunuh suaminya di rumah mereka di Jalan 30, Taman Kluang Barat, di sini, semalam.
Ming Yang, 22, berkata, jam 5.20 pagi semalam, dia yang baru pulang daripada bekerja di restoran di bandar Kluang terkejut apabila menemui ibunya terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, bapanya yang berusia 52 tahun turut ditemui tidak sedarkan diri di atas badan ibunya dengan kesan kelar di pergelangan tangan.
“Sebaik membuka pintu rumah saya terkejut melihat ibu dan ayah tidak sedarkan diri. Pada masa sama juga banyak darah mengalir menyebabkan saya bergegas ke rumah kakak untuk bantuan dan menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang, semalam.
Menurutnya, ibu bapanya sering bersama walau ke mana mereka pergi seolah-olah tidak timbul sebarang masalah, malah keakraban mereka bagaikan tidak ada apa mampu memisahkan pasangan itu.
“Apa yang berlaku pagi ini (semalam) adalah sesuatu yang tidak disangka, ia mimpi ngeri kepada kami empat beradik,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa, Hamidi Samsai, 47, berkata, ketika kejadian dia bersiap ke tempat kerja jam 6 pagi dan terkejut mendapati orang ramai memenuhi rumah mangsa serta kehadiran ambulans.
“Pada mulanya saya fikir ada ahli keluarga jiran sakit, tetapi apabila diberitahu seorang daripada mereka mati dibunuh, saya terkejut,” katanya.
Hamidi berkata, lebih tujuh tahun dia mendiami kawasan perumahan itu, namun tidak sekali pun dia mendengar pasangan berkenaan bergaduh atau bertengkar.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa seorang tukang jahit manakala suspek iaitu suaminya bekerja sebagai tukang masak.
Katanya, mangsa ditemui terbaring dan berlumuran darah manakala suspek tertiarap di atas badan wanita itu.
“Suspek ditemui luka di pergelangan tangan dipercayai cuba membunuh diri selepas membunuh isterinya itu. Malah, pisau pemotong daging dan gunting turut ditemui bersebelahan suspek,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 8:53 AM


SIA maut dipercayai dibunuh Koh (kiri) di kediaman mereka, semalam.

Bukan air kencing unta

Riyadh: Pegawai kesihatan Saudi menutup sebuah kedai ubat tradisional selepas mendapati botol yang didakwa mengandungi air kencing unta sebenarnya berisi air kencing seorang pekerja kedai itu.
Pegawai berkenaan melakukan pemeriksaan mengejut di kedai ubat di bandar Qunfudah itu apabila menyedari seorang pekerja menggigil ketika ditanya mengenai 70 botol yang tersembunyi di belakang almari dalam kedai itu.
“Mereka mendapati botol itu diisikan air kencing manusia. Pekerja itu kemudian mengaku ia air kencingnya.
“Pegawai berkenaan serta-merta menyita kedai itu,” lapor akhbar Sada. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:06 AM


SEORANG pegawai memeriksa botol yang didakwa berisi air kencing unta.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101438#sthash.1v8KGOBw.dpuf

Perancang serangan bom ditahan

Jakarta: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit merancang serangan bom pada cuti akhir tahun.
Suspek yang dikenali dengan nama samaran Abu Karim ditangkap malam kelmarin di sebuah rumah sewa di daerah Sukohorjo, Jawa Tengah oleh skuad antikeganasan polis, Densus 88.
Satu sumber skuad berkenaan berkata, polis memperoleh maklumat mengenai Abu Karim daripada seorang suspek pengebom yang ditahan terdahulu.
Sumber yang enggan dikenali itu bagaimanapun, tidak menyebut di mana dan bila suspek terbabit ditahan atau sasaran dan tujuan mereka.
“Kami mengesyaki Abu Karim terbabit menyembunyikan suspek pengebom yang kami tahan sebelum ini. Setakat ini, kami menahan enam individu yang ada hubungan dengan rancangan untuk mengebom sasaran di Jawa dan Sumatera.
“Mujur kami menahan mereka sebelum mereka melakukan serangan itu,” kata sumber berkenaan.
Ketika ditanya sama ada kumpulan itu merancang melakukan serangan dengan menyasarkan perhimpunan Krismas atau Tahun Baru, sumber Densus itu berkata, mereka merancang melakukannya tidak lama lagi.
“Mereka terdiri dari kumpulan yang dipengaruhi IS (Negara Islam). Antara yang kami rampas di rumah itu ialah peralatan membuat bom,” kata sumber itu.
Pegawai kanan polis minggu lalu memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku serangan keganasan menjelang tahun baru, termasuk Maulidur Rasul yang disambut sehari sebelum Krismas.
Kira-kira 150,000 anggota keselamatan terdiri daripada 80,000 polis dan 70,000 tentera dikerah untuk mengawal keadaan sepanjang cuti berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:09 AM


RUMAH tempat Abu Karim ditahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101452#sthash.4Sa0txFF.dpuf

78 masih hilang

Siwa: Seramai 78 orang masih belum ditemui selepas hampir 24 jam sebuah feri hilang setelah berdepan dengan masalah di tengah laut yang bergelora di luar pantai Sulawesi, lewat petang kelmarin.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan feri itu karam.
Pegawai kementerian pengangkutan berkata, setakat ini, tiga disahkan mati, dua daripadanya kanak-kanak sementara 39 yang lain diselamatkan selepas mereka ditemui berpaut pada pelampung selama beberapa jam.
Pasukan mencari dan menyelamat masih belum menemui feri itu, kata polis.
Feri yang membawa 118 penumpang dari sekitar pulau Sulawesi menghantar isyarat kecemasan lewat petang Sabtu.
Usaha mencari baki 78 mangsa berdepan dengan masalah kerana keadaan laut yang bergelora dengan ombak setinggi lima meter.
Apabila ditanya sama ada feri itu karam, jurucakap polis Sulawesi Selatan Frans Barung berkata: “Mungkin ia, mungkin tidak.
“Kami masih belum menemuinya kerana cuaca tidak bagus.”
Menurutnya, feri berkenaan dibuat daripada gentian kaca menyebabkan dia tidak mudah karam.
Pihak berkuasa terputus hubungan dengan feri itu lewat petang Sabtu dan ia gagal tiba di destinasinya di Siwa seperti yang dijadualkan.
Pegawai mulanya menolak laporan feri itu karam, sebaliknya berkata, ia hanyut selepas mengalami masalah enjin.
Gerakan mencari membabitkan polis, tentera laut dan juga pasukan mencari dan menyelamat.
Ketua pasukan mencari dan menyelamat tempatan Roki Asikin berkata, ombak kuat menyebabkan usaha membawa mangsa yang terselamat ke pantai mengambil masa sehingga tiga jam.
Indonesia yang terdiri daripada 17,000 pulau banyak bergantung kepada perkhidmatan feri. Bagaimanapun, industri itu mempunyai rekod keselamatan yang buruk dan kemalangan meragut nyawa sering berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:11 AM


PASUKAN perubatan merawat mangsa kemalangan feri yang ditemui selamat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101464#sthash.dYcjpVjY.dpuf

Letupas Gas: 11 Cedera, Lapan Gagal Dikesan


Diterbitkan: Isnin, 21 Disember 2015 9:45 AM

MOSCOW: Seramai 11 cedera manakala lapan lagi masih gagal dikesan selepas satu letupan gas memusnahkan sebahagian blok sebuah pangsapuri di Volgograd pada Ahad.
"11 orang sedang dirawat di hospital, mereka termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita warga emas," kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Oleg Salagai.
Gabenor Volgograd, Andrey Bocharov berkata, setakat ini seramai lapan penghuni pangsapuri berkenaan masih gagal dikesan.
Ketika kejadian pada tengah hari itu, letupan berlaku di tingkat tujuh bangunan pangsapuri sembilan tingkat berkenaan.
Letupan kuat berkenaan menimbulkan suasana panik sehingga terdapat penduduk yang terperangkap.
Usaha menyelamat masih diteruskan termasuk mengesan mereka yang dilaporkan sebagai hilang ketika ini.

Empat Penumpang Feri Karam Ditemui Selamat


Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 11:07 AM

MAKASSAR, Indonesia: Empat daripada lebih 100 penumpang sebuah feri yang karam ditemui selamat pada Ahad.
"Pagi ini, empat penumpang yang terdiri daripada dua lelaki, seroang wanita dan kanak-kanak ditemui dalam keadaan selamat.
"Mereka telah dibawa ke hospital Siwa (di selatan Sulawesi berdekatan kawasan feri itu dilaporkan hilang) untuk menerima rawatan lanjut," kata jurucakap Kementerian Pengangkutan J.A Barata.
Beliau menjelaskan, usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan di lautan tersebut.
Kumpulan penyelamat mendakwa, usaha menyelamat berdepan kawasan lautan yang luas untuk menemui sesebuah pulau.
Feri yang karam pada Sabtu itu didakwa membawa 89 penumpang dewasa, 19 kanak-kanak dan 10 kru.

Pesawat Tentera Terhempas, Dua Juruterbang Terbunuh


Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 2:06 PM
Pesawat pejuang jenis T-50 Golden Eagle.

JAKARTA: Sebuah pesawat latihan supersonik milik Tentera Udara Indonesia (TNI AU) jatuh ketika sedang membuat pertunjukan aerobatik di Lapangan Terbang Adi Sucipto di Jogjakarta pagi Ahad.
Dua juruterbang pesawat itu disahkan terkorban dalam nahas berkenaan.
Media-media tempatan memetik Ketua Bahagian Penerangan TNI AU Marsma Dwi Badarmanto sebagai berkata, dalam kejadian 10 pagi waktu tempatan, pesawat T-50 Golden Eagle milik TNI AU jatuh ketika melakukan aksi terbang menjunam rendah dalam pertunjukan Gebyar Dirgantara itu.
Laporan televisyen tempatan Metronews memetik seorang saksi yang dikenali sebagai Wina berkata, beliau terlihat kepulan asap keluar dari pesawat itu sebelum ia terjunam tajam dan jatuh ke bumi.
Ekoran kemalangan itu, pertunjukan udara berkenaan dibatalkan dan pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan mengenai punca nahas.
Pada perkembangan lain, usaha mencari dan menyelamat 122 penumpang dan anak kapal sebuah feri Marina yang dilaporkan tenggelam di laut Sulawesi semalam masih dijalankan.
Setakat ini, Badan SAR Nasional (Basarnas) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan mangsa feri terbabit.
Menurut laporan Basarnas, feri itu disahkan karam di perairan Siwa di Sulawesi akibat dipukul ombak dan taufan pada kira-kira pukul 3 petang Sabtu.
Media tempatan memetik Ketua Basarnas Sulawei Selatan, Roky Asikin sebagai berkata, feri yang diperbuat daripada fiber itu belayar dari Kolaka, Sulawesi Tenggara untuk ke Siwa, daerah Wajo.
Katanya, kesemua penumpang dan anak kapal dipercayai tenggelam bersama-sama feri berkenaan dan pihaknya belum dapat mengesahkan nasib kesemua penumpang dan anak kapal terbabit.

22 Hilang Tanah Runtuh Di Taman Perindustrian China


Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 7:24 PM

DIKEMASKINI
BEIJING: Sekurang-kurangnya 22 orang hilang dalam satu kejadian tanah runtuh besar di taman perindustrian di selatan China yang menimbuskan 22 bangunan pada Ahad, lapor media tempatan.
Terdahulu, dilaporkan seramai 44 orang hilang dalam kejadian itu.
Media melaporkan lebih 1,500 anggota pasukan kecemasan melakukan operasi mencari di lokasi kejadian.
Menurut agensi berita Xinhua, pasukan penyelamat menyelamatkan seramai tujuh orang dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan.
Kira-kira 900 orang telah dipindahkan sebelum kejadian tanah runtuh berlaku pada pagi, menurut akhbar Shenzen Evening News.
Bulan lalu, satu kejadian tanah runtuh yang melanda kawasan luar bandar di wilayah Zhejiang mengorbankan 38 orang. - AFP

Tertembak Tetamu Ketika Majlis Perkahwinan


Diterbitkan: Isnin, 21 Disember 2015 10:05 AM

GARA-GARA terlampau gembira dalam satu majlis perkahwinan, seorang lelaki yang sedang memegang selaras rifal automatik tertembak sehingga mati lelaki yang berdiri di depannya.
Ketika kejadian di Iraq, lelaki berkenaan merupakan sebahagian daripada tetamu dan sedang bergembira termasuk menepuk tangan.
Ketika tetamu lain bersorak, menari dan bertepuk tangan, lelaki tersebut tiba-tiba tertekan picu senjatanya dan terkena seorang lelaki lain.
Mangsa maut di tempat kejadian manakala suasana bertukar panik dan tetamu lain lari meninggalkan majlis tersebut.
Tetamu majlis perkahwinan di Iraq membawa senjata kerana bimbang serangan daripada puak tertentu ketika mereka meraikan pengantin.

Lelaki Ditemui Mati Gantung Diri Di Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan


Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 4:35 PM
Gambar fail gerbang Kota Darul Ehsan.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai menggantung diri di pintu gerbang Kota Darul Ehsan dekat Lebuhraya Persekutuan, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, mayat berkenaan yang digantung pada ketinggian 30 meter ditemui orang ramai yang melalui kawasan itu yang kemudiannya menghubungi polis pada kira-kira pukul 4.30 pagi.
"Anggota polis dan bomba tiba di tempat kejadian dan menurunkan mayat tersebut," katanya.
Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Sharul berkata, setakat ini tiada sebarang eleman jenayah dikesan sebagai punca kematian.

Dua Ditahan Hina Kesultanan Johor Di Media Sosial


Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 7:07 PM
Gambar fail Istana Bukit Serene di Johor.

JOHOR BARU: Dua lelaki dipercayai menghina kesultanan Johor dan kerabatnya melalui media sosial ditahan di lokasi berasingan pada Sabtu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
Beliau berkata, suspek pertama berumur 40 tahun ditahan di sebuah apartmen di Jalan Kolam Air, Off Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur manakala suspek kedua berumur 39 tahun ditahan di Triang, Pahang.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek pertama dan dua buah telefon bimbit daripada suspek kedua.
"Polis turut menjumpai gambar-gambar Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) dan Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang telah diguna pakai suspek kedua bagi memuat naik gambar dalam laman Facebook," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini Ahad.
Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, yang sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman empat hari mulai Sabtu (19 Disember) untuk siasatan.
Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihak polis masih menyiasat beberapa kes lain berkaitan dengan penghinaan terhadap keluarga diraja itu dan percaya lebih banyak tangkapan akan dibuat tidak lama lagi.
"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan kenyataan berbaur fitnah atau hasutan yang boleh mencemarkan kredibiliti kerabat diraja ataupun mana-mana individu," katanya.
Selain itu, beliau turut meminta agar masyarakat menggunakan laman sosial secara profesional dengan mengambil kira perkara sensitif yang boleh menyinggung perasaan orang lain. - Bernama

Dua Cedera Insiden Gaduh Di Kota Raya


Diterbitkan: Ahad, 20 Disember 2015 9:02 PM

KUALA LUMPUR: Dua orang cedera dalam insiden pergaduhan di sebuah kedai telefon bimbit di Kompleks Kota Raya dan kira-kira 20 orang mendakwa ditipu oleh kedai berkenaan.
Polis berkata, keadaan itu kini dalam keadaan terkawal dan sedang mencari suspek yang mencetuskan kekecohan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang Ahad.
Dilaporkan bahawa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan sidang media di luar kedai dan menuntut bayaran balik kepada mereka yang didakwa telah ditipu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi, Timbalan Supt M.Gunalan berkata, kekecohan itu dipercayai melibatkan dua kumpulan berbeza.
"Mereka datang sejurus selepas kumpulan berkenaan mengadakan sidang media di luar kedai untuk menuntut bayaran balik. Terdapat kira-kira 20 orang datang yang membawa kayu dan helmet, sehingga mencetuskan pergaduhan melibatkan lapan pekerja kedai berkenaan.
"Berdasarkan apa yang kita lihat, hanya satu meja yang dipecahkan oleh mereka yang bergaduh, dan beberapa telefon bimbit hilang. Mereka yang cedera ringan dirawat di Hospital Tung Shin.
Insiden di kedai itu kecoh secara dalam talian selepas seorang pelanggan mendakwa dipaksa membayar RM10,000 untuk empat telefon bimbit selepas dia hanya berjanji untuk membayar RM800.
Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju kemudiannya mengetuai kumpulan "baju merah" di luar Kota Raya pada Jumaat lalu dan menuntut supaya memboikot kompleks berkenaan.
PPIM bagaimanapun secara terbuka bertentangan dengan Ali Tinju dengan mengatakan bahawa perkara itu adalah isu kepenggunaan dan bukan perkauman.