Search This Blog

Sunday, December 20, 2015

Warga emas gantung diri di gerbang

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:17 PM

Kota Darul Ehsan Oleh Safeek Affendy Razali bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai menggantung dirinya di pintu gerbang Kota Darul Ehsan, Lebuhraya Persekutuan, awal pagi tadi. Mayat lelaki berkenaan yang tergantung di tepi tiang pintu gerbang berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan sekitar jam 4.30 pagi. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman, berkata pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Pantai, untuk menurunkan mayat yang tergantung pada ketinggian 30 meter. "Sepasukan pegawai dan anggota Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kemudian melakukan pemeriksaan dan siasatan di tempat kejadian. "Untuk peringkat awal, tiada sebarang elemen berunsurkan jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kematian lelaki berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai bunuh diri," katanya ketika dihubungi BH. Beliau berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Saksi kejadian diminta menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan. Kejadian berkenaan turut menyebabkan kesesakan teruk laluan dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya, pada jam 6.30 pagi tadi, disebabkan sebahagian pemandu memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106771

Wanita maut ditikam suami

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:44 PM

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bh.com.my



JOHOR BAHRU: Seorang wanita ditemui mati dipercayai ditikam suaminya sendiri, dalam kejadian di rumah mereka, di Taman Kluang Barat, dekat Kluang, di sini awal pagi tadi.

Mayat tukang jahit berusia 47 tahun itu ditemui oleh anak lelakinya yang berusia lingkungan 20-an, yang pulang ke rumah mereka kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat, berkata mayat wanita itu ditemui ditindih oleh suaminya yang tidak sedarkan diri.


Katanya, wanita itu dipercayai ditikam beberapa kali di dada, manakala suaminya yang bekerja sebagai tukang masak turut menggelar tangannya, dipercayai cuba membunuh diri.

"Siasatan awal polis mendapati kes itu berpunca dari masalah rumah tangga sebelum mangsa dipercayai dibunuh oleh suami sendiri yang kemudian cuba membunuh diri sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, suspek dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Lelaki maut langgar pokok

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 12:12 PM

Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal
meor.ahmad@bh.com.my



KUALA LUMPUR: Seorang penganggur maut selepas kereta yang dipandunya melanggar sebatang pokok, dalam kejadian di Jalan Manjalara menghala ke Sri Damansara, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Mangsa K Piragasbathi, 24, dikatakan memandu berseorangan terbabas ke lorong kiri dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata lelaki itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


"Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai memandu dengan laju hingga menyebabkan dia hilang kawalan.

"Mangsa yang menetap di Taman Kepong dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Anak maut, bapa cedera MPV rempuh treler

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:50 PM


Oleh DJ Dolasoh


GERIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun maut manakala bapanya cedera dalam nahas membabitkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex di Kilometer (KM) 3, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, Rabi'atul Adawiyah Emri Fazliq yang juga penumpang MPV, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala bapanya, Emri Fazliq Mohd, 40, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manap Baharom berkata, siasatan awal polis mendapati treler yang dirempuh MPV berkenaan dipercayai mengalami kerosakan dan kenderaan terbabit berada di laluan sebelah kiri jalan menghala ke Jeli.
"Bagaimanapun selepas kira-kira dua jam berada di bahu jalan, sebuah MPV yang dipercayai dipandu laju dan datang dari arah Gerik menghala Jeli tidak menyedari treler berkenaan rosak kerana keadaan jalan raya yang gelap.
"MPV berkenaan cuba mengelak ke kanan jalan, bagaimanapun ia gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler terbabit.
"Akibat dari rempuhan itu, MPV terbabit mengalami kerosakan teruk dan remuk pada bahagian kiri penumpang dan mengakibatkan penumpang meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah pada bahagian kepala.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Manap berkata, pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan mengenai kes itu masih diteruskan.

Lelaki maut nahas Iswara-MyVi

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 3:08 PM


Oleh Nik Sukry Ramli

RAUB: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 349, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Raub, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 pagi itu, mangsa, Leong Kam Sang, 54, yang memandu kereta jenis Proton Iswara mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah. 
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, nahas dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Kam Sang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MyVi dinaiki lima sekeluarga itu. 
Pemandu MyVi, Zulkarami Amin Nudin dan isterinya, Norliyana Raya, kedua-duanya berusia 29 tahun, serta tiga anak mereka berusia antara setahun hingga empat tahun, hanya cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Raub.
Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk tujuan bedah siasat.

Dua anggota polis cedera dilanggar remaja

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 5:49 PM


Oleh Shaarani Ismail

BIDOR: Dua anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah cedera selepas dilanggar pasangan remaja berusia 21 dan 19 tahun yang menaiki kereta berhampiran lampu isyarat Plaza Tol Bidor di sini, malam semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Lans Korporal Muhaini Mahamawi, 26, bengkak kaki kiri, manakala rakannya, Konstabel Polis Sukarela (SP), Sivaprakasam Krisnan cedera kaki dan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak Din Keliaw, berkata kejadian berlaku ketika kedua-dua anggota itu melakukan rondaan cegah jenayah bermotosikal di sekitar kawasan Bidor berhampiran jambatan Kampung Chang, Jalan Paku di sini.
"Semasa membuat rondaan, mereka ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dengan nombor pendaftaran AER 5567 dinaiki seorang lelaki dan wanita dalam keadaan mencurigakan dan menghampiri kenderaan itu untuk membuat pemeriksaan.
"Bagaimanapun, apabila menghampirinya, kereta itu dipecut laju ke arah Jalan Bruseh. Mereka mengejar dan meminta pemandunya berhenti namun tidak diendahkan dan terus memecut melepasi lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Bidor.
"Selepas melepasi lampu isyarat itu, Muhaini mendapati kenderaan berkenaan tiba-tiba membuat pusingan U dan terus melanggar motosikal ditunggang Sivaprakasam menyebabkan anggota itu terjatuh," katanya.
Som Sak berkata, kereta itu kemudian mengundur ke belakang dan sekali lagi melanggar Sivaprakasam sebelum memecut ke arah Muhaini serta cuba melanggarnya.
Muhaini sempat mengelak dan melompat dari motosikal ditunggangnya, bagaimanapun terus dilanggar suspek mengakibatkan kaki kirinya bengkak.
Suspek kemudian melarikan diri menuju arah Bidor.
"Kedua-dua anggota terbabit kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Bilik Gerakan dan dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan. Muhaini dirawat sebagai pesakit luar, manakala Sivaprakasam masih dalam pemerhatian doktor," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan di Kilometer (KM) 61 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pagi tadi.
Katanya, ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis ganja.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan.

Remaja maut tertikam keris ketika persembahan silat

 AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:37 PM

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah


PERTUNJUKAN silat dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Patau-Patau di Labuan, semalam. - Foto ihsan pembaca
LABUAN: Seorang remaja maut selepas tertikam dengan keris ketika membuat pertunjukan silat dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Patau-Patau di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Mohd Amil Zulkarnain, 17, mengalami luka di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk rawatan. 
Beliau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di jantung yang menyebabkan pendarahan yang banyak.
Pemangku Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pihak hospital jam 1.23 tengah hari semalam. 
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tertikam oleh sepupunya sendiri berumur 17 tahun . 
"Mangsa dan suspek berada di majlis perkahwinan dan membuat pertunjukan silat menggunakan keris. Ketika melakukan aksi silat, suspek dipercayai tertikam mangsa menyebabkan mangsa mengalami luka.
"Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan, bagaimanapun tidak dapat menyelamatkannya.
"Suspek sudah ditangkap dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya. 
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Indonesia berusaha selamatkan penumpang kapal

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:04 PM

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia berusaha mencari jalan mendekati kapal yang membawa lebih 100 penumpang, lapor media, selepas feri berkenaan hanyut di laut bergelora di perairan pulau Sulawesi. Menurut Republika, pasukan penyelamat dihalang mendekati feri berkenaan disebabkan angin kuat dan ombak tinggi, dengan kapal lebih besar dipanggil untuk membantu. Laporan lain menyangkal dakwaan terdahulu yang menyatakan bot itu karam, dengan pegawai tempatan dilaporkan berkata ia hanyut selepas berdepan masalah ketika ribut. Terdahulu, jurucakap Kementerian Pengangkutan, J A Barata, mengesahkan feri itu yang membawa 118 penumpang termasuk 19 kanak-kanak, mengalami kemalangan berikutan ombak setinggi empat hingga lima meter. Feri itu meninggalkan Kolaka di tenggara Sulawesi pagi semalam menuju Siwa ke barat kepulauan itu apabila ia menghantar isyarat kecemasan berhampiran destinasinya. - AFP


PASUKAN menyelamat dalam misi mencari mangsa feri yang tenggelam 15 batu dari Kolaka, tenggara Sulawesi pada tahun 2011. - Foto AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106765

4 daripada 118 penumpang kapal hilang ditemui selamat

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 11:40 AM

MAKASSAR: Empat daripada lebih 100 penumpang kapal yang hilang di perairan Sulawesi, Indonesia semalam, ditemui masih hidup, kata pihak berkuasa ketika pasukan penyelamat terus mengharungi laut bergelora mencari mangsa lain. "Pagi ini, empat penumpang iaitu dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak ditemui selamat. Mereka dibawa ke hospital di Siwa," kata jurucakap Kementerian Pengangkutan J A Barata, dalam satu kenyataan. Barata berkata, beberapa kapal mencari dan menyelamat dikerah mencari lebih ramai mangsa di kawasan itu, yang menyaksikan ombak setinggi sehingga lima meter direkodkan. Dilaporkan 118 penumpang dan anak kapal berada dalam bot itu. - AFP


PASUKAN menyelamat dalam misi mencari mangsa feri yang tenggelam 15 batu dari Kolaka, tenggara Sulawesi pada tahun 2011. - Foto AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106737

Lirik anti-Amerika punca konsert pop Korea Utara batal

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 1:30 PM

BEIJING: Kumpulan pop Korea Utara membatalkan konsert yang sepatutnya diadakan di ibu kota China minggu lalu apabila pihak berkuasa membantah lirik 'anti-Amerika' dalam pertunjukan itu. Kumpulan Moranbong mengadakan lawatan ke China dan dijadual mengadakan persembahan di Beijing pada 12 Disember lalu, tetapi membatalkannya tiga jam sebelum pertunjukan bermula. Sumber berkata, agensi penapisan di China tidak meluluskan lirik yang merujuk Amerika Syarikat sebagai 'serigala penuh cita-cita' dan lirik yang mengagung-agungkan Perang Korea 1950-53. "China tidak meminta lirik itu diubah tetapi ia tidak lulus imbasan penapisan. "Beijing melihat lirik itu adalah provokasi terhadap Amerika," kata sumber yang enggan dikenali. China cuba bertindak sebagai orang tengah antara Amerika dan Korea Utara dan berulang kali cuba membuatkan kedua-dua musuh itu mengendurkan retorik mereka. - Agensi


 Kumpulan Moranbong  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106780

Jet pejuang Indonesia terhempas, dua juruterbang maut

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 2:32 PM

BANGKAI pesawat tentera Indonesia yang terhempas di tengah Jawa semasa melakukan pertunjukan udara di Yogyakarta. - Foto EPA

 JAKARTA: Dua juruterbang maut apabila pesawat tentera Indonesia terhempas di tengah Jawa, lapor media tempatan. Video yang tersiar di media sosial menunjukkan jet pejuang itu melakukan pertunjukan di udara di Yogyakarta sebelum menjunam dengan laju ke tanah dan hilang daripada pandangan. Beberapa saat kemudian, asap tebal dan hitam muncul ketika orang ramai dalam video itu kedengaran menjerit. Jurucakap tentera udara Indonesia, Dwi Badarmanto mengesahkan pesawat juang T-50 Golden Eagle itu terhempas ketika sesi pertunjukan. "Dua juruterbang maut," katanya kepada laman web berita, Detik.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106792

Lelaki cerita pengakhiran filem Star Wars dibelasah

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 4:11 PM

CALIFORNIA: Seorang lelaki berusia 20 tahun terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana cedera parah dipukul peminat Star Wars selepas menjerit menceritakan pengakhiran filem francais itu. Lebih malang lagi apabila polis mewajarkan tindakan peminat filem itu yang memakai kostum ketika memukul Raymond Chatfield. Chatfield berjalan keluar selepas menyaksikan tayangan perdana Star Wars: The Force Awakens malam Khamis lalu dan menceritakan filem itu di depan kira-kira 100 peminat yang menanti di lobi untuk tayangan seterusnya. "Saya sedang menanti dalam barisan untuk menonton tayangan waktu petang. Beliau berjalan melepasi barisan dan menceritakan pengakhiran filem itu dan mula ketawa. "Beliau benar-benar merosakkan keadaan," kata seorang saksi. Tiga lelaki yang menanti di lobi, memakai kostum watak Star Wars, menyerang dan mencederakan Chatfield dengan serius sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital Bakersfield, California. Polis, bagaimanapun tidak menangkap penyerang dan membenarkan mereka menonton filem itu seperti dirancang. "Kami mendapati ia serangan yang wajar," kata seorang pegawai. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106836

Nahas feri: Dua mayat kanak-kanak ditemui

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 2:40 PM

 JURUCAKAP Kementerian Pengangkutan, J A Barata.

 MAKASSAR: Dua kanak-kanak adalah korban pertama kemalangan feri di perairan di tengah Indonesia, kata pihak berkuasa, ketika usaha mencari dan menyelamat diteruskan di laut bergelora untuk mencari mangsa terselamat. Jurucakap Kementerian Pengangkutan, J A Barata, berkata seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan di perairan pulau Sulawesi, lokasi feri penumpang membawa 118 orang berdepan masalah ketika ribut lewat semalam. Kapal mencari menemui 19 orang yang masih hidup pagi ini di laut itu yang ombaknya mencecah lima meter tinggi, dan menyukarkan usaha menyelamat. "Dua kanak-kanak terkorban," kata Barata dalam kenyataan, tanpa mengulas lanjut. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106794

Mohd Shukri maut ketika periksa dandang - Adik

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 3:38 PM


FATIMAH Ismail menatap wajah anaknya, Mohd Shukri Sulaiman pada telefon pintar selepas menerima perkhabaran yang anaknya terbunuh ketika sedang memeriksa sebuah tangki berasaskan produk plastik di Abu Dhabi, Arab Saudi, malam tadi. Turut bersedih adik mangsa, Faizol Sulaiman (kiri). - Foto BERNAMA


BESUT: Mohd Shukri Sulaiman, 45, pekerja warga Malaysia di kilang plastik di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), terbunuh semalam apabila sebuah dandang tiba-tiba meletup ketika diperiksa. Adik mangsa, Faizol, 42, berkata keluarga mereka dimaklumkan mengenai kejadian malang menimpa Mohd Shukri itu oleh rakan abangnya yang bekerja di syarikat sama dan juga berasal dari Besut. Ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Padang Landak di sini, hari ini, katanya rakan abangnya, Ahmad Syukkri Md Nor, 33, memaklumkan kepada mereka pada kira-kira pukul 2 pagi semalam. "Ahmad Syukkri memaklumkan yang beliau telah mendengar letupan kuat pada pagi berkenaan dan pergi ke tempat kejadian sebelum menemui mangsa terbakar hampir keseluruhan badan berdekatan dengan dandang (boiler) di situ," katanya. Mohd Shukri bekerja sebagai juru dandang dengan Al-Borouge Pte Company Limited sejak 2011. Faizol berkata, abangnya Saria, 52, dijangka berlepas ke Abu Dhabi hari ini untuk urusan mengenal pasti jenazah arwah dan urusan berkaitan. Katanya, Mohd Shukri ialah anak keenam daripada 11 beradik dan arwah meninggalkan seorang isteri, Azmahani Mamat, 43, serta empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara 14 dan 7 tahun yang tinggal di Indera Mahkota, Kuantan. Faizol berkata, abangnya pernah bertugas dengan Petronas di Kerteh, Syarikat Grace di Kuantan, YTL di Paka, Malaysia Newsprint Industry (MNI) di Mentakab dan Electric Suplly Board di Kulim sebelum menyertai syarikat di UAE itu. Sementara itu, ibu arwah Fatimah Ismail, 72, berkata beliau reda kerana apa yang terjadi adalah kehendak Allah. Katanya, Mohd Shukri ada pulang bercuti selama seminggu pada 7 Disember dan telah membawa beliau bersama keluarganya bercuti di Kundasang, Sabah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106813

Air Terjun Belukar Bukit ditutup susulan lima sekeluarga lemas

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 6:36 PM

Oleh Aslina Abu Bakar bhkt@bh.com.my

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (Kiri) dan turut serta isterinya To' Puan Halina Zakaria (Kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Hasif Mohd Halim, 8 yang kehilangan ibubapa dan tiga kakaknya dalam kejadian lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Belukar Bukit. - Foto Syafiq Ambak


KUALA NERUS: Kerajaan negeri mengarahkan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) menutup Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, berkuat kuasa serta-merta susulan tragedi mengorbankan lima sekeluarga, semalam. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain yang mempunyai kawasan rekreasi air terjun berisiko, menutup kawasan itu terutama sepanjang musim hujan ini bagi mengelak kejadian sama berulang.  Kerajaan negeri juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kajian mengenai tahap kelajuan pusaran air dan kepala air di lokasi rekreasi air terjun seluruh negeri ini. Selain itu, kerajaan negeri turut merancang membina pintu air di kawasan yang berbahaya dan berpotensi berlaku kepala air terutama ketika musim tengkujuh. JPS juga diminta membuat kajian sama ada amaran kecemasan perlu diletakkan di kawasan rekreasi air terjun berarus deras. Katanya, kerajaan negeri juga akan meminta semua agensi terbabit dengan pengurusan hutan lipur termasuk Jabatan Perhutanan, pejabat daerah dan PBT melakukan kajian dari segi keselamatan serta kemudahan asas di kawasan itu. "(Tindakan ini dilakukan kerana) Kami memandang serius keselamatan pengunjung kawasan rekreasi di negeri ini," katanya selepas melawat Mohd Hasif Mohd Halim, 8, di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal di sini, hari ini.  Mengulas mengenai Air Terjun Belukar Bukit yang terabai sejak tiga tahun lalu, Ahmad Razif meminta MDHT mengkaji semula hak jagaan lokasi berkenaan sama ada membabitkan Jabatan Perhutanan atau Pejabat Daerah Hulu Terengganu atau MDHT. "Saya lihat di sini ada beberapa percanggahan mengenai penjagaan taman rekreasi ini sama ada (bawah pentadbiran) pejabat daerah atau MDHT... sebab itulah keadaan lokasi ini terabai. "Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan lokasi ini dibaik pulih dalam tempoh terdekat," katanya. Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim Safian, 44, dan isteri, Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39, bersama tiga anak perempuan mereka lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Bagaimanapun, Mohd Hasif, 8, iaitu anak bongsu pasangan itu yang berada di atas darat, terselamat.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106858

Air Terjun Belukar Bukit sepi selepas tragedi



Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA BERANG: Tragedi lima sekeluarga lemas di Air Terjun Belukar Bukit di sini, semalam, menyebabkan kawasan rekreasi itu sunyi sepi hari ini. 
Tinjauan BH ke lokasi itu sejak pagi hingga tengah hari ini mendapati, walaupun keadaan cuaca baik, tiada pengunjung datang untuk berkelah mungkin bimbang keselamatan mereka susulan kejadian menyayat hati semalam.
Kawasan rekreasi itu dipilih sebagai antara lokasi pelancongan oleh kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, namun tinjauan juga mendapati keadaannya tidak terurus dan terbiar.
Malah, tiga kiosk perniagaan yang dibina di kawasan itu juga terbiar tanpa dimanfaatkan peniaga.
Kemudahan awam seperti tandas, tempat berteduh dan wakaf yang disediakan juga dalam keadaan kotor, selain timbunan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung tidak dibersihkan.

BH dimaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) ada meletakkan tanda amaran dan larangan mandi di beberapa lokasi di kawasan air terjun itu, namun hanya tinggal tiang kerana perbuatan vandalisme pihak tidak bertanggungjawab. 
Akibatnya, peringatan dan amaran yang cuba disampaikan pihak berkuasa kepada pengunjung menerusi papan tanda disediakan supaya mereka lebih berhati-hati ketika mandi di kawasan air terjun itu tidak sampai. 
Seorang penduduk tempatan, Muhammad Nazri Mat Sharif, 36, berkata kawasan rekreasi itu sudah hampir tiga tahun terbiar.
"Sebelum ini kawasan ini dijaga oleh belia Belukar Bukit. Tetapi sejak tiga tahun lalu lokasi ini seperti terbiar.
"Saya berharap pihak berkuasa lebih cakna mengenai keselamatan dan pemeliharaan lokasi kunjungan ramai ini supaya perkara sama tidak berulang," katanya. 
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim Safian, 44, dan isteri, Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39, bersama tiga anak perempuan mereka lemas selepas mandi di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. 
Bagaimanapun, seorang anak pasangan itu, Mohd Hasif, 8, yang berada di daratan ketika kejadian terselamat.


PAPAN tanda Air Terjun Belukar Bukit di Kuala Berang.

TIGA kiosk perniagaan yang dibina terbiar tanpa dimanfaatkan peniaga.

TANDA amaran yang rosak akibat daripada perbuatan vandalisme.

WAKAF yang disediakan dalam keadaan yang kotor.

Operasi SAR Jururawat Hilang Ditangguhkan

AHAD, 20 DISEMBER 2015 @ 6:06 PM


Oleh Rudi Affendi Khalik dan Nurul Hidayah Bahaudin bhnews@bh.com.my


PASUKAN Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat jururawat Hospital Umum Sarawak (HUS) Nurul Wazieyana Mohd Yusof 23, di Pantai Pasir Pandak. - Foto ihsan Bomba

SANTUBONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) jururawat Hospital Umum Sarawak (HUS), Nurul Wazieyana Mohd Yusof, 23, yang hilang dipercayai dihanyutkan arus deras di Pantai Pasir Pandak, di sini sejak sembilan hari lalu ditangguhkan petang tadi. Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii, berkata keputusan itu berikutan faktor cuaca, termasuk fenomena air pasang di lokasi pencarian yang dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan pegawai dan anggota penyelamat. Bagaimanapun, beliau menjelaskan pasukan penyelamat akan meneruskan pemantauan di sepanjang kawasan pesisir pantai bagi mencari petunjuk baharu yang boleh membantu gerakan mencari dan menyelamat mangsa. "Operasi SAR besar-besaran hanya dapat disambung semula pada 24 Disember ini kerana paras air (laut) ketika ini agak tinggi serta arus kuat di lokasi penugasan yang dikhuatiri boleh membahayakan anggota penyelamat. "Ketika ini paras air mencecah 0.5 meter dan dijangka surut kepada 0.3 meter menjelang sambutan Krismas, 25 Disember ini. Misi SAR nanti bertumpu di kawasan beting di Tanjung Siong, kira-kira tiga kilometer dari pusat operasi yang disyaki tempat mangsa terbenam," katanya. Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat penyelarasan operasi SAR mangsa lemas berkenaan di Pusat Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak di lokasi kejadian, di sini sebentar tadi. Katanya, pasukan penyelamat tidak menolak kemungkinan mangsa berada di kawasan beting itu berdasarkan pertukaran warna air dan bau ketika bot pasukan penyelamat menjalankan rondaan di lokasi berkenaan. "Biarpun mengesyaki mangsa berada di lokasi itu, kita sukar mengatur gerak unit skuba ke sana untuk menjalankan misi pencarian atas menyelam atas faktor keselamatan," katanya. Ling Hii berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujudnya faktor serangan buaya berdasarkan analisa pada pakaian mangsa yang ditemui, selain keterangan saksi, Mohamad Kamaruddin Haiqal, yang kali terakhir bersama jururawat berkenaan. Malah, sepanjang operasi SAR dilaksanakan, anggota penyelamat beberapa kali terserempak reptilia ganas itu hingga menimbulkan kebimbangan. "Kita juga menemui beberapa organ dalaman iaitu jantung dan hati, namun masih menunggu keputusan daripada pihak forensik sama ada ia adalah organ dalaman manusia atau tidak," katanya. Justeru, orang ramai diminta agar tidak menyebarkan spekulasi liar yang mengelirukan. "Kita harus menghormati perasaan keluarga mangsa terutama kedua-dua ibu bapanya yang turut menyertai operasi ini," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106850

11 pelancong Malaysia maut nahas bas di Thailand



BANGKOK: Sebelas pelancong Malaysia terbunuh dalam nahas bas di utara Thailand ketika dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai tengah hari tadi.
Bas yang membawa 21 pelancong itu sedang menuruni jalan bukit apabila pemandunya hilang kawalan dan melanggar beberapa kereta sebelum terbalik.
Kolonel Manote Sudsawat dari Balai Polis Doi Saket berkata, pemandu bas berkenaan adalah antara mereka yang terselamat dan dikejarkan ke hospital.
Polis pada awalnya menyatakan mangsa adalah rakyat China tetapi kemudian mengesahkan mereka adalah rakyat Malaysia.

Stor kilang plastik hangus

Johor Bahru: Sebuah stor kilang plastik musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Sungai Tiram 14.5, Ulu Tiram di sini, 2 pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira 2.15 pagi dan 28 anggota termasuk pegawai bersama tiga jentera bergegas ke tempat kejadian.
"Kami sampai ke tempat kejadian seawal 2.35 pagi dan ketika ini operasi pemadaman sisa kebakaran masih berjalan bagi memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya.
"Operasi diketuai oleh Ketua Balai Bomba Johor Jaya, Tahrin Saat dan dibantu oleh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
"Sehingga kini tiada mangsa yang terbabit sementara itu punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 11:47 AM


FOTO ihsan Bomba Johor
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101351#sthash.GQGwwzQ6.dpuf

Budak maut MPV rempuh treler

Gerik: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun maut manakala bapanya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 3, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli dekat sini, 4.40 pagi tadi.
Mangsa Rabi'atul Adawiyah Emri Fazliq yang juga penumpang MPV terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala bapanya, Emri Fazliq Mohd, 40, hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manap Baharom berkata, siasatan awal polis mendapati treler yang dirempuh MPV berkenaan dipercayai mengalami kerosakan dan kenderaan terbabit berada di laluan sebelah kiri jalan menghala ke Jeli.
"Kenderaan yang dipandu bapa mangsa dari arah Gerik menghala Jeli tidak menyedari treler berkenaan rosak kerana keadaan jalan raya yang gelap.
"Walaupun cuba mengelak ke kanan jalan, namun berikutan jarak kenderaan yang terlalu dekat menyebabkannya terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler itu," katanya.
Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami kecederaan manakala pemandu MPV mendapatkan rawatan di Hospital Gerik dan mangsa maut dihantar ke hospital sama.
Pix : Bomba mengeluarkan mangsa kemalangan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 12:34 PM


FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101353#sthash.KkY5Hnq9.dpuf

Terlepas pesawat

Sepang: Gangguan sistem daftar masuk perjalanan dan bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selama 30 minit pagi semalam menimbulkan kekecohan sehingga ada penumpang terlepas penerbangan.
Tinjauan Harian Metro semalam mendapati ratusan penumpang terkandas, malah ada yang terlepas penerbangan terutama bagi penerbangan antarabangsa dan domestik.
Bagaimanapun, keadaan kembali normal dan terkawal apabila sistem pulih kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Seorang penumpang AirAsia Lizawati Ngadni, 36, berkata, dia terlepas pesawat ke Kuching, Sarawak disebabkan gangguan sistem berkenaan.
“Pada mulanya, saya dan suami sudah berputus asa, namun seorang kakitangan AirAsia meminta kami ke kaunter perkhidmatan mendapatkan tiket baru.
“Alhamdulillah, tiket kami digantikan dan dibenarkan berlepas hari ini (semalam). Walaupun terpaksa beratur lebih sejam, usaha kami berbaloi dan dapat meneruskan percutian ke Kuching,” katanya, semalam.
Wahidah Harun, 44, berkata, dia terpaksa berpatah balik ke klia2 dari rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan apabila ibunya terlepas penerbangan akibat kesesakan itu.
“Sepatutnya, pesawat ibu saya untuk ke Aceh, Indonesia pada jam 1.15 tengah hari hari ini (semalam), tetapi akibat kesesakan berikutan gangguan sistem itu, keadaan menjadi kelam kabut dan terpaksa beratur lebih sejam hanya untuk mendaftar masuk.
“Akibatnya, ibu terlepas pesawat dan tiketnya digantikan untuk penerbangan pada 7.45 pagi esok (hari ini),” katanya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:18 AM


KEADAAN kaunter AirAsia yang sesak di klia2, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101337#sthash.3eeR8Fzw.dpuf

Datuk Seri tipu hidup mewah

Miri: Seorang individu warga asing bergelar Datuk Seri dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket menipu warga asing yang mahu mencari pekerjaan di negara ini.
Difahamkan, ada warga asing yang menjual rumah dan tanah semata-mata untuk menyediakan bayaran AS$8,000 (RM34,240) kepada sindiket berkenaan untuk datang ke negara ini sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.
Ketika mendedahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu berkenaan hidup mewah dan mempunyai banyak wang dengan menipu warga asing yang terdesak mahu berhijrah ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, individu itu bukan dalam kalangan orang kenamaan (VIP), tetapi menerima anugerah gelaran itu dan berkahwin dengan wanita warga tempatan.
“Kami yakin pembabitan dia dalam kes ini.
“Namun, siasatan lengkap masih dijalankan dan individu terbabit dikenakan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen 2015 di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad dan Masir Kujat serta Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya mengenal pasti 95 peratus warga asing terutama dari Bangladesh diikuti Indonesia dan Myanmar mempunyai dokumen sah memasuki negeri ini sebelum diperdaya sindiket berkenaan apabila tiada pekerjaan diberikan, malah pasport mereka dirampas.
Menurutnya, sindiket berkenaan tidak berperikemanusiaan kerana mengambil peluang terhadap kesusahan orang lain semata-mata untuk mendapatkan wang dengan ada ahli sindiket yang begitu kaya dengan mempunyai kereta dan banglo mewah.
“Saya mahu Jabatan Imigresen memandang serius kegiatan ini. Kami bukan saja mahu membanteras kemasukan pendatang tanpa izin tetapi mengesan dan menghapuskan sindiket yang memeras warga asing,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau mengumumkan pembinaan Kuarters Depoh Tahanan Imigresen Semuja, Serian dengan kos RM60 juta bermula pada 30 Mei tahun depan.
Turut diluluskan pembinaan Pos Kawalan Sempadan Imigresen di Ba’kelalan, Lawas membabitkan kos RM20 juta.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:16 AM


Ahmad Zahid bersama Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim (kiri) tiba di Majlis Sambutan Hari Imigresen Malaysia 2015 di Miri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101323#sthash.2sQoo10R.dpuf

Akhirnya pergi...

Kota Bharu: “Akhirnya, kami hilang dia yang menjadi tempat bergantung selama ini,” kata Ismail Ahmad, 66, bapa kepada Mohamad Shahriduwan, 24, yang parah ditembak di Narathiwat, Selatan Thailand, Isnin lalu.
Mohamad Shahriduwan meninggal dunia jam 8 malam, kelmarin waktu tempatan selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Narathiwat.
Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Salehah Sudin, 38, atau Phochanee Pachara (nama Thailand) dan ahli keluarga lain.
Jenazahnya dibawa pulang ke Kampung Kedai Buloh, di sini dan tiba untuk pengebumian jam 12.30 tengah hari semalam.
Menurut Ismail, sepanjang anak kesembilan daripada 10 beradik itu dirawat, mereka sekeluarga tidak putus berdoa supaya dia sedar daripada koma dan pulih, walaupun mungkin mengambil masa lama.
“Besar harapan kami untuk melihat dia kembali membuka mata, namun takdir Allah SWT, tiada siapa yang dapat menghalang.
“Saya reda dengan ketentuan ini meskipun terlalu sedih kerana arwah anak yang baik dan banyak berjasa untuk keluarga. Dia tempat bergantung kami sekeluarga.
“Harapan saya supaya pihak berkuasa menyiasat kes ini dengan baik dan menahan segera suspek yang menyebabkan kematian anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia parah, manakala isterinya warga Thailand yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat cedera ditembak di jalan raya Narathiwat-Takbai dekat Kampung Kaluwa, daerah Muang Narathiwat jam 5 petang, 14 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat Kolonel Polis Manit Yimsai dilaporkan berkata, pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah isteri apabila diserang dari kereta.
Manit berkata, isteri Mohamad Shahriduwan yang memandu kereta ketika itu berjaya mengawal kenderaannya dan seterusnya melanggar kereta suspek hingga terbalik, namun mereka dapat melarikan diri.
Beliau berkata, isteri mangsa terus memandu kereta hingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Salehah ketika ditemui kelihatan sugul dan masih bersedih dengan kehilangan suami tersayang.
“Kami baru tujuh bulan berkahwin, namun dia pergi meninggalkan saya. Ternyata Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:20 AM


Salehah menunjukkan gambar arwah suaminya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101339#sthash.ifzVGAfj.dpuf

Menantu tetak ibu mentua

Butterworth: “Abang ipar ambil parang dari kereta dan menetak tangan emak selepas bertengkar. Dia kemudian menyerang bapa dan abang,” kata seorang ahli keluarga mangsa tetak di Jalan Merbau Kudung, Sungai Dua, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.24 malam kelmarin, tiga beranak cedera parah selepas ditetak dua lelaki yang juga ahli keluarga mereka di sebuah kedai motosikal.
Mangsa, Ching Hian Hock, 58, Ooi Ah Bee, 53, dan Ching Boon Tatt, 29, cedera parah di tangan akibat ditetak dengan parang serta gergaji besi.
Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali itu berkata, selepas menyerang ibunya, abang ipar itu kemudian pergi ke kedai motosikal dan menyerang bapa serta abangnya pula.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan keadaan agak kelam-kabut. Kakak turut pergi ke kedai dan cuba menahan suami daripada terus menyerang bapa dan abang.
“Kami segera menghubungi polis untuk meminta bantuan dan menghantar ibu, bapa dan abang ke hospital swasta berhampiran.
“Selepas kejadian itu, abang ipar pulang ke rumahnya dan ditahan polis. Punca kejadian kerana abang ipar yang tidak bekerja sering meminta duit daripada kakak selain selalu bergaduh,” katanya.
Sementara itu, sumber polis berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perbalahan dalam keluarga berkenaan dan kedua-dua suspek yang tidak berpuas hati menyerang mangsa.
“Difahamkan, suspek ialah menantu dan besan kepada mangsa dan pergaduhan berpunca daripada rasa tidak puas hati sesama mereka,” katanya.
Menurutnya, dua suspek itu ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) tidak lama selepas kejadian dan polis merampas parang serta gergaji yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan semua mangsa dihantar ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:20 AM


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101343#sthash.yC7amSx6.dpuf