Search This Blog

Saturday, December 19, 2015

4 terbunuh

Denpasar: Polis di Bali semalam berkata, mereka merampas ratusan tombak, parang dan panah selepas pergaduhan antara dua kumpulan bertentangan meletus dalam penjara dan di jalan raya di luar menyebabkan empat orang mati.
Pergaduhan bermula lewat kelmarin di Penjara Kerobokan, pusat tahanan kawalan ketat yang menempatkan ramai banduan asing.
Dua banduan terbunuh dan dua cedera dalam pertempuran di penjara itu.
“Pergaduhan berlaku dalam penjara membabitkan banduan,” kata Ketua Polis Bali Sugeng Priyanto.
Seorang banduan mati kerana cedera parah di perut sementara seorang lagi cedera teruk di belakang badan, menurut laporan.
Ketika anggota dua kumpulan terbesar Bali itu bergaduh di dalam penjara yang terletak tidak jauh dari kawasan tumpuan pelancong, anggota mereka di luar tiba dan mendesak supaya dibenarkan masuk.
Polis berusaha menyuraikan mereka, tetapi anggota kumpulan terbabit bergaduh sesama sendiri di jalan raya berhampiran Denpasar, menyebabkan dua terbunuh dan dua cedera.
Semua yang mati dan cedera itu rakyat Indonesia.
Jurucakap polis Bali Heri Wiyanto berkata, pihaknya merampas ratusan tombak, parang dan panah dari dalam penjara dan juga daripada kumpulan yang bergaduh di luar.
Polis memindahkan 59 banduan ke penjara lain di pulau peranginan itu.
Polis juga meningkatkan kawalan keselamatan di luar penjara berkenaan semalam.
Bagaimanapun, sehingga ini, tidak dapat dipastikan punca pergaduhan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:34 AM


SENJATA tajam yang dirampas daripada kumpulan yang bergaduh dibawa keluar dari penjara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101090#sthash.vbdDPVX2.dpuf

Tiga das tembakan

Tumpat: Lelaki berusia 20-an maut dipercayai ditembak ketika cuba menyamun kedai serbaneka di Taman Desa Putra, Pasir Pekan, di sini, kira-kira 3 pagi, hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian, seorang pekerja kedai berkenaan melihat lelaki itu masuk ke kedai sambil memegang parang dan segera menghubungi polis.
Saksi kejadian Murugaiah Karapayan, 69, berkata, dia sedang tidur di premis bersebelahan kedai itu sebelum terjaga apabila mendengar bunyi tiga das tembakan.
"Saya berada di tingkat atas kedai saya dan mendengar bunyi bising dan tembakan itu. Tapi, tidak berani untuk melihat apa yang berlaku.
"Apabila keadaan tenang, barulah saya menghampiri kawasan berkenaan dan melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
"Ketika itu polis sudah mengawasi tempat kejadian," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim akan mengadakan sidang media di Pengkalan Chepa, pada 1.30 petang ini.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 12:27 PM


IHSAN pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101168#sthash.yQN1Rub0.dpuf

Kalau sudah ajal

Nilai: Pemotong rumput terbunuh dirempuh kereta api selepas selesai memotong rumput berhampiran lansadan di sempadan Nilai-Mantin, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata mendiang A Renishkumar, 20, maut dalam kejadian, kira-kira 11 pagi.
Katanya, sebelum kejadian mangsa menjalankan kerja memotong rumput di landasan berkenaan.
"Sebaik selesai memotong rumput, mangsa dikatakan rakam foto menggunakan telefon bimbit dan tidak menyedari kehadiran keretapi terbabit.
"Ketika itu, beberapa rakannya menjerit ke arah manga namun belum sempat mengelak, lelaki itu sudah dirempuh," katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, dekat sini untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 1:13 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101177#sthash.5MnYq81B.dpuf

Pekerja dituduh perkosa orang utan

Surabaya: Seorang kakitangan Zoo Surabaya ditangkap dan didakwa atas tuduhan menyerang beberapa haiwan secara seksual termasuk menyebabkan seekor orang utan betina bunting, lapor Kalimantan Press.
Perbuatan lelaki berusia 38 tahun itu terbongkar selepas dirakam beberapa kamera tersembunyi yang dipasang kakitangan keselamatan zoo selepas ada yang menyuarakan rasa sangsi terhadapnya.
Kakitangan zoo, Akhiroel Yahya berkata: “Ada haiwan nampak terangsang secara seksual apabila tiba masa untuk memberi mereka makan.
“Tetapi, apa yang paling membuatkan kami mengesyaki sesuatu tidak kena ialah melihat orang utan tertua kami, Marylin, hamil sedangkan dia tidak pernah bercampur dengan orang utan lain disebabkan sifatnya yang agresif,” katanya.
Pengarah zoo, Abdoel Hakim yang marah dengan kejadian itu mengakui mengambil masa untuk mengenal pasti apa sebenarnya berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 1:48 PM


SUSPEK (kiri) dan Marylin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101181#sthash.CVfyUufn.dpuf

Lima beranak lemas

Hulu Terengganu: Suami isteri dan tiga anak perempuan mereka lemas dalam kejadian di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, pagi ini.
Kesemua mayat ditemui antara 11 pagi hingga 1.30 tengah hari oleh anggota Bomba dan Penyelamat.
Keluarga itu dipercayai menetap di Puncak Alam, Selangor.
Mereka dikatakan pulang bercuti di Kampung Bukit Tunggal sebelum pergi ke kawasan air terjun itu pagi tadi.
Team Harian Metro di Terengganu sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 2:13 PM

Obama temui mangsa serangan San Bernardino

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 3:59 PM

PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama memberikan ucapan selepas mengadakan pertemuan dengan sebahagian besar keluarga mangsa serangan senjata di San Bernardino, semalam. - Foto Reuters WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengadakan pertemuan dengan sebahagian besar keluarga mangsa serangan senjata di San Bernardino selama tiga jam semalam. Beliau tersentuh dengan sifat toleransi yang ditunjukkan keluarga mangsa insiden 2 Disember itu. Obama menyifatkan semua keluarga mangsa adalah lambang kekuatan, perpaduan dan kasih sayang masyarakat San Bernardino dan seluruh Amerika Syarikat. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106545

Bongsu yatim piatu [METROTV]

Hulu Terengganu: Hanya anak bongsu lima sekeluarga yang ditemui lemas di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, selamat dalam kejadian kira-kira 10 pagi, hari ini.
Mohd Hasif, 9, selamat kerana sedang bermain pasir di tepi air terjun itu ketika kejadian.
Dalam kejadian itu, suami isteri dan tiga anak perempuan mereka ditemui lemas.
Kesemua mayat ditemui antara 12.17 hingga 12.37 tengah hari oleh orang awam dan Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Mangsa dikenali sebagai Abdul Halim Samian, 44; Nurul 'Adila @ Salaiwati Awang, 39, serta tiga anak mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.
Keluara berkenaan dipercayai menetap di Puncak Alam, Selangor.
Mereka pulang bercuti di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu sebelum pergi ke kawasan air terjun itu.
Pegawai Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Abdullah Zawawi Mohamed, berkata pihaknya terima panggilan kecemasan pada 11.35 pagi.
Katanya, anggota Balai Bomba Kuala Berang dan Kuala Terengganu ke lokasi kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 3:35 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101190#sthash.i3pYsY4w.dpuf

94 peratus serangan pengganas oleh bukan Islam - FBI

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 2:37 PM

NEW YORK: Umat Islam tidak wajar dikaitkan dengan keganasan apabila laporan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendapati tindakan ganas di Amerika Syarikat lebih kerap dilakukan penduduk Latin dan berketurunan Yahudi. Malah sejak 1980, 94 peratus serangan pengganas di Amerika Syarikat dilakukan penduduk bukan beragama Islam. Selain itu, Eropah berdepan 1,000 serangan pengganas sejak lima tahun lalu dan tidak sampai dua peratus daripada penjenayah beragama Islam, menurut laporan Huffington Post. Orang Islam membunuh tidak sampai 0.0002 peratus rakyat Amerika sejak tragedi 11 September 2001, menurut kajian Keganasan Islam-Amerika 2013 oleh Universiti Carolina Utara. "Amerika berdepan 14,000 pembunuhan pada 2013. Sejak kejadian 11 September, keganasan Islam-Amerika meragut 37 nyawa di Amerika daripada 190,000 pembunuhan yang dilakukan pada tempoh itu," menurut kajian itu. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106523

Penjaga zoo didakwa buntingkan orang utan

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 1:14 PM

 PENJAGA zoo di Surabaya mendapati Marilyn, bunting tiga bulan lalu.

SURABAYA: Seorang penjaga zoo ditangkap dan didakwa melakukan serangan seksual terhadap beberapa haiwan, termasuk membuntingkan seekor orang utan betina. Akhbar Kalimantan Press melaporkan, lelaki berusia 38 tahun itu dirakam melakukan perbuatan terkutuk itu dengan kamera yang disorokkan oleh pegawai keselamatan zoo selepas timbul kesangsian mengenai tingkah laku tidak bermoral beliau terhadap haiwan. "Sebahagian haiwan seolah-olah terangsang apabila tiba masa memberi mereka makan. Apa yang lebih mencurigakan kami adalah apabila kami mendapati orang utan paling tua di sini, Marilyn, bunting tiga bulan lalu. "Ia tidak pernah berhubungan dengan mana-mana orang utan lain kerana bersifat agresif, ia memang tidak masuk akal," kata seorang pekerja di zoo itu, Akhiroel Yahya. Mereka mengaku mengambil masa sebelum dapat menjelaskan apa sebenarnya berlaku. "Pada awalnya, kami bingung dengan apa yang berlaku. Marilyn tidak bercampur dengan haiwan lain sejak 10 tahun lalu, ia memang misteri. "Cuma apabila kami memasang kamera keselamatan baru kami menyedari kebenarannya," katanya. Apabila disoal pihak berkuasa, lelaki berkenaan menafikan sebarang salah laku sebaliknya menegaskan ia berlaku secara sukarela. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106511

Mangsa tembak di Narathiwat meninggal dunia

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 4:04 PM

Oleh Azman Mahmood azmanm@bh.com

MOHAMAD Shahriduwan, 24.

 KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang parah ditembak di Jalan Narathiwat-Takbai, Narathiwat, Thailand, Isnin lalu, meninggal dunia kira-kira 8 malam tadi waktu tempatan. Perkara itu disahkan bapa arwah, Ismail Ahmad, 66, ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. Katanya, Mohamad Shahriduwan, 24, menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Phochanee Pachara, 38, dan ahli keluarganya selepas lima hari dirawat di Hospital Narathiwat. "Alhamdulillah, urusan menghantar pulang jenazah berjalan lancar dan selamat tiba di rumah di Kampung Kedai Buloh, Badang di sini jam 12 tengah hari tadi," katanya. Jenazah Mohamad Shahriduwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Badang, di sini, sebentar tadi. Dalam kejadian 5 petang, 14 Disember lalu, Mohamad Shahriduwan dan isterinya yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat diserang sekumpulan lelaki sebelum ditembak. Arwah parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Narathiwat, manakala isterinya cedera.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106547

Filipina sahkan kepala milik Bernard Then - KPN

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 3:40 PM


BERNARD Then Ted Fen.


PUTRAJAYA: Pasukan keselamatan Filipina mengesahkan kepala yang ditemui di selatan negara itu adalah milik Bernard Then Ted Fen, 39, warga Malaysia yang dilaporkan dipenggal kumpulan penculiknya, bulan lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pengesahan itu dibuat berdasarkan ujian DNA.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106541

Tersepit van langgar lori

Melaka: Remaja lelaki berusia 13 tahun tersepit di tempat duduk penumpang selepas van dinaiki melanggar belakang lori di Kilometer 221.1 Lebuh Raya PLUS arah utara, berhampiran susur keluar Tol Simpang Ampat, dekat sini, 2 pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Roslan Manas berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 2.02 pagi.
"Kami menggunakan pemotong hidraulik dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Pemeriksaan awal mendapati remaja itu cedera di kedua-dua kaki dan mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, pemandu van yang juga bapa mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:50 PM


Van yang terbabit kemalangan 2 pagi tadi. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100992#sthash.CP5RrHMU.dpuf

Banglo disamun, 11 kena ikat

Georgetown: Tiga lelaki berpoteng dan berpakaian serba hitam melarikan wang dan barang berharga bernilai RM100,000 dalam kejadian samun banglo tiga tingkat di Greenlane Heights, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 3 pagi itu, suspek dikatakan masuk melalui pintu kaca bahagian tepi rumah banglo terbabit.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata suspek mengikat sebelas penghuni kediaman itu menggunakan kabel elektrik dan telefon.
"Sehingga ini, polis masih menjalankan siastan lanjut dan sedang mengesan tiga suspek terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:24 PM


KAWASAN perumahan berlakunya kejadian tiga lelaki melarikan wang dan barang berharga bernilai RM100,000 di Greenlane Heights. FOTO Mikail Ong
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100990#sthash.CM9njYJy.dpuf

Tinggal sehelai sepinggang

Bentong: Empat puluh satu orang tinggal sehelai sepinggang selepas 10 rumah teres yang didiami di Kampung Baru Cina, Karak, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Bagaimanapun, semua mangsa termasuk seorang lelaki OKU tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pahang berkata, pihaknya mengambil masa lebih sejam untuk memadamkan kebakaran, yang dikatakan bermula pada 10 malam.
"Hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada rumah yang dihuni seorang lelaki mental.
"Tapi, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian," katanya ketika dihubungi.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 11:21 AM


IHSAN Bomba dan Penyelamat
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101164#sthash.VjXwmvey.dpuf

'Berita palsu dah tiga kali'

Kuala Lumpur: “Bukan sekali, tetapi sudah tiga kali berita palsu ayah kononnya meninggal dunia tersebar di Internet,” kata Putera Hang Nadim, 24, anak bongsu seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin, 81, yang kesal dan kecewa dengan penyebaran berita palsu mendakwa pelakon dan pengarah terkenal itu meninggal dunia awal pagi semalam.
Menurut Hang Nadim, mereka sekeluarga kecewa dan terkilan dengan sikap individu yang sanggup menyebarkan berita palsu itu tanpa mengetahui keadaan sebenar pelakon tersohor itu.
Hang Nadim berkata, keadaan kesihatan bapanya baik walaupun ingatannya semakin merosot akibat menghidap Alzheimer sejak empat tahun lalu.
“Saya terkejut kerana sejak awal pagi tadi (semalam) dihubungi ramai orang bertanyakan perkara ini. Ia tidak benar sama sekali dan jelas direka-reka.
“Saya kurang pasti motif pihak berbuat demikian. Ia untuk kepentingan sendiri, tetapi kesannya besar kepada masyarakat,” katanya.
Jins yang menghidap Alzheimer sejak empat tahun lalu kini hanya berehat di rumahnya di Hulu Klang, di sini.
Nadim berkata, penyebaran berita palsu ini turut membuatkan ibunya Puan Sri Halijah Abdullah sedih dan tertekan.
Menurutnya, mereka sekeluarga baru pulang bercuti dari Korea Selatan dua minggu lalu sebelum terus ke kampung halaman ibunya di Pahang.
“Saya minta pengguna Internet bijak membuat pertimbangan sebelum berkongsi cerita sebegini.
“Jangan percaya khabar angin tersebar melainkan berita keluar daripada mulut kami sendiri,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 7:10 AM


JINS Shamsuddin berkeadaan sihat. Turut bersama Halijah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100923#sthash.xkEM9Yzg.dpuf

Mana mahu sorok?

Alor Setar: Tindakan tiga wanita warga Indonesia bersembunyi di bawah katil dan dalam almari gagal apabila mereka dikesan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri dalam Op Sapu di Taman Mutiara di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri Mohamad Yusri Hashim berkata, operasi diketuai Penolong Pengarah Imigresen negeri Nar Azaman Ibrahim bersama 12 anggota itu menahan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang warga tempatan dalam serbuan jam 1.30 pagi.
Menurutnya, di lokasi pertama, tiga wanita warga Indonesia diberkas bersama seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki pemilik rumah sewa yang didiami wanita terbabit.
Katanya, di lokasi kedua, pihaknya menahan tiga lelaki warga Bangladesh di rumah kongsi di Jalan Bukit Pinang.
“Hasil pemeriksaan, enam PATI berusia 24 hingga 40 tahun tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
“Lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi pendatang asing yang melakukan kesalahan,” katanya.
Sebelum itu, seramai 16 PATI terdiri 12 lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki Myanmar ditahan di dua premis kilang berasingan di Kawasan Perusahaan Mergong, kelmarin.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan seperti melanggar syarat pas, tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal lebih masa di negara ini.
“Semua mereka yang ditahan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 6:47 AM


WANITA warga Indonesia bersembunyi di bawah katil dan dalam almari.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101048#sthash.SOnNDMQg.dpuf

Jengkaut 'tergolek'

Melaka: “Keadaan ketika itu umpama gempa bumi, kerana saya dapat merasakan gegaran dan mendengar bunyi dentuman yang amat kuat,” kata Mohd Razif Bakrillah, 30, ketika menceritakan detik cemas jengkaut tergelincir dari treler mengangkutnya sebelum terbalik di atas jalan.
Kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Pekan Masjid Tanah, di sini, 3.40 petang semalam, dipercayai berlaku selepas treler terbabit menghadapi masalah brek dan disedari pemandunya selepas gagal memperlahankan kenderaan berat terbabit.
Ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dan lantai premis terbabit bergegar menyebabkan dia menyangka kawasan itu di landa gempa bumi.
“Ketika itu saya memang terkejut kerana bunyi dentuman amat kuat namun lega selepas dimaklumkan ia akibat jengkaut berkenaan yang terbalik. Sejurus kemudian saya melihat orang ramai bergegas menghampiri jentera berat itu untuk melakukan pemeriksaan kerana khuatir ada mangsa yang terperangkap.
“Suasana ketika itu amat cemas kerana orang ramai mendapati ada sebuah motosikal dihempap jentera berat itu namun penunggangnya dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari Solok Limau untuk menghantar jengkaut berkenaan ke tapak projek di Kuala Linggi.
Beliau berkata, ketika sampai di lokasi kejadian pemandu treler terbabit gagal memperlahankan kenderaannya sebelum memasuki laluan bersebelahan dan muatan dibawanya tergelincir dan terbalik.
“Kejadian dipercayai berlaku akibat treler yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu gagal berhenti ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat.
“Akibat itu jengkaut yang dibawanya tergelincir jatuh dan terbalik ke atas jalan lalu menghempap motosikal milik seorang warga emas berusia 65 tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, siasatan dilakukan warga emas itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kemalangan juga tidak membabitkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 6:52 AM


Keadaan jengkaut terbalik di Jalan Pekan Masjid Tanah, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101057#sthash.Lnny7KF3.dpuf

Berebut gigit nenek

Papar: Seorang wanita warga emas yang keluar mencari siput menerima lebih 30 jahitan di kaki dan punggung selepas diserang tiga anjing liar berhampiran pantai Palm Beach, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.15 pagi, Tumin Pandati, 88, terpaksa dikejarkan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan.
Menurut mangsa, ia adalah kejadian pertama dialaminya sepanjang mencari siput di sekitar pantai berhampiran rumahnya.
“Ketika mencari siput, saya menyedari seekor anjing liar menyalak dan menerkam dari belakang serta menyerang saya.
“Saya cuba menghalau anjing berkenaan menggunakan pisau sebelum tiba-tiba dua ekor lagi menerkam saya,” katanya.
Tumin berkata, kumpulan anjing liar itu menyerang dan menggigitnya sebelum disedari dua pekerja di pusat peranginan berhampiran yang kemudiannya berjaya menghalau haiwan berkenaan.
“Saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, pekerja pusat peranginan, Abd Aziz Nasrul, 40, berkata dia melihat sekumpulan anjing ‘berebut’ sesuatu di tepi pantai kira-kira 200 meter dari tempat kerjanya.
“Sebaik menyedari haiwan ini menyerang manusia, saya bersama seorang lagi rakan segera membantu.
“Saya melihat wanita berkenaan terbaring dalam kesakitan dengan kesan koyakan pada kaki dan punggung,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Roger Crowhurst, 43, mengakui kehadiran banyak anjing liar mengancam keselamatan orang ramai.
“Saya bimbang sekiranya tiada langkah pencegahan diambil pihak berkuasa, kehadiran anjing liar ini mampu menggugat keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.
“Malah pernah berlaku beberapa insiden serangan anjing liar sebelum ini sehingga menyebabkan kecederaan.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi memaklumkan masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:19 AM


Lokasi Tumin diserang tiga anjing liar berhampiran pantai Palm Beach.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101076#sthash.Gs70UTEI.dpuf

Michael Moore kutuk Donald Trump

New York: Penerbit filem dokumentari Michael Moore membantah gesaan Donald Trump untuk melarang Muslim memasuki Amerika Syarikat.
Aktivis sosial itu menunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di New York semalam dengan membawa sepanduk berbunyi ‘We are all Muslims’ (Kami semua Muslim).
Moore berada di menara itu sehingga polis tiba dan meminta dia meninggalkan tempat itu.
Moore yang pernah memenangi Oscar kerana pembabitannya dalam bidang perfileman kemudian mengutuskan surat terbuka kepada Trump, calon parti Republikan dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun depan dengan mengecam serangannya terhadap penganut Islam.
Dia menuduh bilionair hartanah itu menyerang Muslim semata-mata kerana takut kepada mereka.
“Kita berada dalam tahun 2015 dan seperti ramai orang kulit putih, anda takut dengan semangat jahat yang memburu kamu. Dalam otak anda, semangat jahat itu semuanya Muslim. Bukan setakat kumpulan militan, tetapi SEMUA MUSLIM,” tulis Moore dalam akaun Facebooknya.
Dia juga mengingatkan Trump mengenai prinsip kesamarataan dan kebebasan beragama yang diperjuangkan Amerika Syarikat.
“Kerana terdesak dan tidak waras, kamu menggesa semua Muslim diharamkan memasuki negara ini. Saya dibesarkan dengan kepercayaan kita semua sama, tidak kira bangsa, prinsip mahupun warna kulit. Ini bermakna jika anda mahu mengharamkan Muslim, anda perlu mengharamkan saya. Dan semua orang,” kata Moore.
Kenyataannya itu mendapat 34,000 ‘like’ dan dikongsi lebih 10,000 kali dalam masa kurang sejam selepas ia dimuat naik. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:22 AM


MOORE menunjuk perasaan di hadapan Menara Trump di New York
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101078#sthash.zJg47j1h.dpuf

Beijing keluar amaran merah kedua

Shanghai: Pihak berkuasa China mengeluarkan amaran merah buat kali kedua dalam masa sebulan selepas bandar itu dijangka diselubungi pencemaran teruk dari Sabtu hingga Selasa depan.
Amaran itu sekali gus membawa kepada reaksi kecemasan seperti mengehadkan penggunaan kereta dan penutupan sekolah.
Selepas berdekad berdepan pertumbuhan ekonomi tidak terkawal, kepemimpinan China mengambil tindakan tegas untuk mengurangkan tahap pencemaran udara, air dan tanah termasuk asbut yang melanda bandar besar negara itu.
Amaran merah kali kedua itu dikeluarkan selepas perjanjian mengenai perubahan iklim dicapai di Paris awal bulan ini, menetapkan tempoh peralihan penggunaan bahan api daripada fosil untuk menangani krisis pemanasan global.
Amaran merah pertama dikeluarkan 7 Disember lalu dengan mengehadkan kenderaan dan menghentikan kerja pembinaan.
Dalam satu kenyataannya, Perkhidmatan Kaji Cuaca Beijing berkata, penggunaan kenderaan perlu dihadkan dan aktiviti pembakaran bunga api dan barbeku di luar diharamkan.
Mereka turut mengesyorkan sesi persekolahan dibatalkan.
Penduduk bandar sebelum ini mengkritik pihak berkuasa kerana lewat mengeluarkan amaran merah bagi asbut yang sering melepasi tahap bahaya indeks pencemaran.
Banyak bandar di China mengalami indeks pencemaran kritikal. Shanghai mengharamkan aktiviti luar dan pihak berkuasa mengehadkan kerja di kawasan pembinaan dan kilang awal minggu ini. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:30 AM


SEPASANG suami isteri menunggang motosikal di jalan raya di Beijing dengan menggunakan topeng mulut, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/101084#sthash.Jt68wPeJ.dpuf

Dua Lagi Suspek Kes Isteri 'Datuk' Maut Ditetak Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 2:46 PM

TAIPING: Dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes menetak seorang wanita dengan parang sehingga maut di Taman Lake View, di sini, ditahan reman selama tujuh hari.
Perintah reman yang bermula hari ini terhadap kedua-dua lelaki berusia 25 dan 32 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Taiping N. Mageswari di Mahkamah Majistret di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada masa sama, tempoh tahanan reman seorang suspek berusia 57 tahun yang ditahan sebelum ini dilanjutkan seminggu lagi mulai hari ini.
Sementara itu, seorang wanita berusia 78 tahun yang juga ditahan sebelum ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Dalam kejadian 11 Dis lepas, seorang wanita berusia 68 tahun, dipercayai isteri kedua kepada pesara bergelar 'Datuk' maut selepas ditetak dengan parang di belakang leher di rumahnya kira-kira pukul 7.30 malam.
Ketika kejadian, mangsa dan suaminya telah dikunjungi saudara perempuan terdekatnya berusia 78 tahun bersama pekerjanya seorang lelaki berumur 57 tahun dan sebaik mereka berada dalam rumah, dua lelaki memakai topeng dan bertopi keledar meluru masuk ke rumah tersebut.
Seorang suspek bertindak mengikat suami mangsa dengan kain selendang tetamu wanita itu manakala tetamu lelaki diugut dengan parang diletakkan di lehernya.
Mangsa telah dibawa ke bilik tidur oleh kedua-dua suspek sebelum tetamu lelaki itu ke bilik tidur berkenaan dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

Rompak Kedai Emas Dengan Tukul Besi


Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 10:06 PM

KUALA LUMPUR: Sebuah pemilik kedai emas kerugian kira-kira RM80,000 selepas dirompak dua individu yang bersenjatakan tukul besi di Jalan Maxwell, Rawang petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata dalam kejadian 3.20 petang itu, dua suspek yang memakai topi keledar serta sarung tangan telah masuk kekedai itu sebelum bertindak memecahkan cermin ruang pameran barang kemas. 

"Ketika kejadian, empat wanita pembantu kedai berada di ruang pameran itu. Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata pembantu kedai terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada pelanggan ketika kejadian itu berlaku.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. -Bernama