Search This Blog

Friday, December 18, 2015

Rakyat Britain dibunuh selepas minum air jampi


 LIMA: Seorang rakyat Kanada menikam seorang lelaki British hingga mati dalam pergaduhan di sebuah asrama di Peru selepas meminum ayahuasca, sejenis air jampi yang terkenal di Amerika Selatan, kata polis kepada AFP. Pembunuhan berlaku Rabu lalu di sebuah kampung berhampiran bandar Amazon di Iquitos dalam satu acara mistik untuk pelancong. Dalam upacara itu, pelancong diberi sejenis minuman teh mengkhayalkan yang dipercayai dapat menghalau semangat jahat. Siasatan awal mendapati, kedua-dua lelaki yang belum dikenal pasti itu, mengambil minuman itu sebelum bertengkar. Rakyat Britain itu dikatakan lebih dulu menyerang warga Kanada. Ini menyebabkan warga Kanada, 26, mencapai pisau dan menikam mangsa sehingga mati. Mangsa dikejarkan ke hospital tetapi tidak dapat diselamatkan sementara warga Kanada itu kini berada dalam tahanan polis. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106177

Anak saudara wanita pertama Venezuela didakwa seludup kokain

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 7:46 AM

EFRAIN Antonio Campo Flores, Cilia Flores dan Francisco Flores de Freitas.


NEW YORK: Dua anak saudara wanita pertama Venezuela dihadapkan ke mahkamah Manhattan di sini dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat menyeludup kokain ke Amerika Syarikat. Efrain Antonio Campo Flores, 29, dan Francisco Flores de Freitas, 30, ditahan di Haiti November lalu dan dibawa ke New York oleh ejen Penguatkuasaan Pentadbiran Dadah Amerika Syarikat. Mereka adalah anak saudara isteri kepada Presiden Venezuela Nicolas Maduro, Cilia Flores. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Negara pada 2006 hingga 2011. Kedua-dua tertuduh hadir di depan Hakim Paul Crotty dan menafikan tuduhan menyeludup sekurang-kurangnya lima kilogram kokain ke Amerika Syarikat. Campo Flores menangis ketika memasuki bilik mahkamah. Selain kes di Haiti, tertuduh didakwa mengambil bahagian dalam pertemuan untuk merancang penghantaran kokain ke Amerika Syarikat melalui Honduras. Jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106109

Suami gaduh dengan isteri tinggalkan pesawat ketika transit

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 9:30 AM

PATNA: Seorang penumpang penerbangan IndiGo keluar dari pesawat yang sedang transit di sini selepas dikatakan bertengkar dengan isterinya, petang semalam. Mudit Sharma adalah antara enam penumpang yang dalam penerbangan dari Goa ke Lucknow melalui Kolkata dengan menaiki penerbangan IndiGo 6E-633. Kejadian itu disedari apabila isteri Sharma panik dan menjerit di dalam pesawat selepas menyedari suaminya hilang ketika pesawat bersedia untuk berlepas. Usaha pihak lapangan terbang mengesan Sharma menyebabkan penerbangan tertangguh hampir 30 minit. Beliau juga tidak menjawab panggilan ke telefon bimbitnya. Pesawat akhirnya berlepas ke Lucknow pada jam 9.10 malam tanpa Sharma. Seorang penumpang lain dikenali sebagai Gyaneshawar mencatatkan dalam Facebooknya bahawa Sharma keluar dari pesawat dan meninggalkan isterinya. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106127

Kanak-kanak 6 tahun disaman kes kemalangan ski

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 9:53 AM

VIENNA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dituduh di mahkamah Austria kerana menyebabkan seorang wanita cedera parah akibat kemalangan itu ketika bermain ski. Wanita terbabit menuntut ganti rugi berjumlah STG38,000 (RM178,000) di Feldkirch, barat Austria serta sebarang kos masa depan lain yang berkaitan dengan kemalangan itu. Menurut mahkamah, ketika kejadian, wanita itu sedang menuju ke trek ski di resort Hochhaedrich dekat sempadan Switzerland apabila kanak-kanak itu berpusing dan menyebabkan mereka bertembung. Seorang pakar bebas yang dilantik mahkamah memberi keterangan bahawa kedua-duanya tidak memberi perhatian dan oleh itu perlu sama-sama berkongsi kesalahan. Lazimnya, kanak-kanak tidak didakwa dalam kes sivil di Austria namun plaintif menggunakan pengecualian undang-undang iaitu apabila kanak-kanak dapat mengenali akibat tindakannya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106133

Remaja sesat di Gunung Tok Wan ditemui selamat

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 10:52 AM

Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal meor.ahmad@bh.com.my


 KAJANG: Remaja yang sesat ketika mendaki Gunung Tok Wan di sini, semalam ditemui selamat di kawasan anak sungai kira-kira jam 6.30 pagi tadi.    Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, mangsa, Teh Tung Seng, 19, ditemui 500 meter dari puncak gunung iaitu berdekatan anak sungai, dalam keadaan lemah.   "Dia (mangsa) berada dalam keletihan dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.   Seorang rakan Tung Seng, Chai Ming Sueng, 19, ditemui pada jam 5.41 petang semalam kira-kira 2.3 kilometer dari puncak Gunung Tok Wan selepas dilaporkan hilang sejak jam 8 pagi semalam.   Mereka dilaporkan sesat di kawasan gunung berkenaan ketika melakukan pendakian untuk beriadah.
Add caption
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106152

Kakitangan MBPP didakwa miliki, edar dadah

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 1:05 PM

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar ctfa@bh.com.my

 ANGGOTA polis mengiringi kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ahmad Taib Ibrahim, (kiri) atas kesalahan memiliki 25 kilogram ganja mampat dan didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang di sini. - Foto Muhammad Mikail Ong

GEORGETOWN: Seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan berasingan mengedar dan memiliki dadah di Jalan Rawang, di sini, Selasa lalu. Ahmad Taib Ibrahim, 38, yang bekerja sebagai tukang sapu dituduh mengedar 25.784 gram (g) ganja kira-kira jam 2.03 pagi pada 8 Disember lalu di Jalan Rawang, di sini. Dia dituduh di hadapan Majistret L Umma Devi di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang membawa hukuman mati mandatori. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee, manakala Ahmad Taib tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, Ahmad Taib mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki memiliki 38g ganja dan 12g methamphetamin di masa dan tempat yang sama. Dia dituduh di hadapan Majistret Sharifah Izura Syed Mashor di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim dan tertuduh diwakili Cheah Eng Soon. Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106197

Pekerja dihukum gantung sebabkan kematian kanak-kanak

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 12:54 PM

Oleh Shamsul Kamal Amarudin shaka@bh.com.my

SEORANG pekerja besi buruk, C S Senguttuwan dihukum gantung sampai mati atas tuduhan melanggar seorang kanak-kanak tiga tahun lalu. - Foto Supian Ahmad

 IPOH: Seorang pekerja kedai besi buruk dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini selepas didapati bersalah melanggar seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sehingga mati dua tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin, membuat keputusan itu terhadap C S Senguttuwan, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan sepanjang perbicaraan. Senguttuwan dituduh melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian T Thamilarasan yang ketika kejadian berusia tiga tahun di jalan utama Kampung Tersusun, Kopisan Baru, Gopeng, kira-kira jam 11 malam pada 25 Mei 2013. Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10 tahun terhadap Senguttuwan atas dua pertuduhan hampir menyebabkan kematian terhadap S Tarmenthiran, 5, dan S Punjala, 59, di tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Noorin bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu dijalankan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap. Pendakwaan dilakukan oleh Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili Charan Singh.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106193

Dadah: Peniaga terlepas hukuman gantung

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 11:32 AM

 Oleh Shaarani Ismail shaarani@bh.com.my

TAIPING: Seorang peniaga barangan dalam talian terselamat daripada hukuman gantung selepas dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini atas tuduhan mengedar 227 gram ganja pada Jun 2012. Mohd Shuib Abdullah, 52, dari Kampung Jambu di sini dibebaskan selepas Hakim, Datuk Ahmad Nasfy Yasin berpuas hati dengan keterangan pembelaan tertuduh dan memutuskan untuk menerima hujah pembelaan. Beliau berkata, dalam kes berkenaan pihak pembelaan berjaya membuktikan wujud keraguan munasabah. Tertuduh yang memakai baju kemeja putih dan berseluar kelabu kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Langsat, Kampung Jambu, di sini kira-kira jam 2 pagi, 15 Jun 2012. Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106163

Suami isteri didakwa edar ganja 264 gram

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 10:39 AM

Norrasyidah Arshad norrasyidah@bh.com.my

 ANGGOTA polis membawa keluar pasangan suami isteri, Muhammad Lukman Mohamad, 26, dan Nadiah Rahmat, 26 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan mengedar ganja pada 7 Disember lalu. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

BANTING: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, pagi ini atas tuduhan mengedar ganja, 7 Disember lalu. Tertuduh, Muhammad Lukman Mohamad dan Nadiah Rahmat yang berdepan dengan dua tuduhan, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marsilawati Mohamad Shah. Mengikut pertuduhan, Muhammad Lukman dan Nadiah, masing-masing berusia 26, dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, dekat sini pada 7 Disember lalu. Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar ganja seberat 264 gram pada jam 6.45 petang. Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis sama di lokasi dan tarikh yang sama seberat 10,786 gram.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106147

Wanita terjun kereta selamatkan diri

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 8:44 AM

 Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh c.com.my bhnews@bh c.com.my

 BUTTERWORTH: Seorang wanita nekad terjun dari kereta yang dipandunya untuk menyelamatkan diri dalam kejadian culik di kawasan kilang dekat Perai di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 7.58 malam itu, Tan Geik Bee, 30, cedera di kaki kiri selepas dia melompat keluar dari kereta yang dipandunya. Jurucakap polis, berkata ketika kejadian mangsa yang memandu bersendirian, didatangi seorang lelaki tidak dikenali di kawasan letak kenderaan dekat sebuah pasaraya di Seberang Jaya, di sini. Katanya, lelaki itu kemudian bertindak masuk ke dalam kereta mangsa dan mengacukan pisau sebelum meminta wanita itu memandu ke kawasan perindustrian di Perai di sini. "Bimbang dirinya diapa-apakan, mangsa menuruti arahan lelaki itu dan setiba di lokasi yang diminta mangsa bertindak terjun dari kereta kerana mahu menyelamatkan diri. "Mangsa kemudian meminta pertolongan pemandu bas kilang yang melalui kawasan itu selepas kaki kirinya terseliuh dan cedera. Manakala, kereta milik mangsa dibawa lari suspek," katanya. Selain kereta, suspek turut melarikan wang tunai berjumlah RM500, sebuah telefon bimbit, kad pengenalan dan kad debit milik mangsa.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106123

Dua bekas pengarah syarikat bebas tuduhan menipu bank

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 11:29 AM

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali ajohari@bh.com.my


 BEKAS Ketua Pegawai Operasi Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ), Ching Siew Cheong dan bekas Pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ), Datuk Tan Han Kook. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen sebentar tadi melepas dan membebaskan dua bekas pengarah syarikat termasuk seorang bergelar Datuk daripada 134 tuduhan menipu pegawai bank menggunakan dokumen palsu membabitkan wang berjumlah lebih RM67 juta. Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Nasir Nordin, membuat keputusan melepas dan membebaskan bekas Pengarah Koperasi Permodalan Felda Quality (KPFQ), Datuk Tan Han Kook, 61, dan bekas Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Ching Siew Cheong, 53, selepas mahkamah mendapati peguam kedua-dua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.  Mengikut kertas pertuduhan, Han Kook dan Siew Cheong didakwa menipu seorang pegawai bank dengan mengemukakan dokumen palsu bagi memohon tuntutan kemudahan 'Banker Acceptance'. Tindakan kedua-dua tertuduh itu mendorong pihak bank memindahkan RM67,435,143, kepada tiga syarikat pengusaha makanan iaitu Asia Food Link Sdn Bhd, Violet Bonanza Sdn Bhd dan Stanson Marketing Sdn Bhd. Asia Food Link dan Violet Bonanza adalah pembekal kepada KPFQ manakala Stanson Marketing anak syarikat Silver Bird Group Bhd, yang mana Han Kook juga bekas Pengarah Urusan Silver Bird dan Siew Cheong, bekas Pegawai Operasi Silver Bird. Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Malayan Banking Berhad, Tingkat 8, Menara Hap Seng, Jalan P Ramlee di sini, antara 23 Oktober 2011 dan 24 Februari 2012. Bagi setiap tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Peguam Datuk K Kumaraendran mewakili Han Kook manakala Siew Cheong diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.  Sementara itu pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datin Nurshuhaida Azahar. Pendakwaan sebelum ini mengemukakan 25 saksi manakala pembelaan dengan dua saksi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106161

Gempa bumi 6.4 magnitud gegar selatan Mexico

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 7:36 AM

 ORANG ramai berkumpul di jalan ketik gempa bumi berukuran 6.4 magnitud menggegar selatan Mexico. - Foto EPA

MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud menggegar selatan Mexico dan kesan gegaran dapat dirasai di negara jiran, Guatemala, kata pihak berkuasa. Kajian Geologikal Amerika Syarikat menyatakan, gempa pada kedalaman 97 kilometer itu melanda pada kira-kira jam 1.49 tengah hari waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia) di wilayah Chiapas, kira-kira 11 kilometer ke selatan bandar Tres Picos. Sehubungan itu, Penyelaras Perlindungan Awam Mexico, Luis Felipe Puente berkata, pegawai negeri dan majlis perbandaran tidak melaporkan sebarang kerosakan 'buat masa ini.' Puente menerusi Twitter berkata, gempa bumi dirasai secara 'sederhana' di wilayah Oaxaca dan 'kuat' di Chiapas dan Tabasco. Katanya, 'beberapa kawasan' di tengah Mexico City turut merasai kesan gegaran berkenaan. Pada awalnya USGS merakam gempa itu berukuran 6.6 magnitud. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106105

4 maut, seorang cedera dalam kemalangan di Kota Tinggi

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 1:41 PM

Oleh S Anand Kumar anand@bh.com.my

KEADAAN dua kenderaan yang remuk teruk akibat bertembung menyebabkan empat maut. - Foto ihsan Bomba Johor

 KOTA TINGGI: Empat maut, manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di kilometer 56.7, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, tiga lelaki yang menaiki Proton Satria dari arah Sungai Rengit menghala Kota Tinggi, di sini, dipercayai terbabas sebelum melanggar Proton Saga dari arah bertentangan. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata akibat pertembungan itu, tiga lelaki berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mereka dikenali sebagai Muhamad Rizan Ab Kadir, 34, beralamat di Pasir Gudang; Mohd Remey Wahab, 28, dari FELDA Air Tawar 1, Kota Tinggi dan seorang lagi mangsa dipercayai berusia 30 tahun. Katanya, turut maut dalam kemalangan itu ialah penumpang bahagian depan Proton Saga, Fatimah Yet, 41, beralamat di FELDA Air Tawar 2, Kota Tinggi, di sini. "Pemandu Proton Saga, Md Jefri Johari, 43, dari FELDA Air Tawar 2, Kota Tinggi, di sini, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. Rahmat berkata, semua mayat dibawa ke Hsopital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Katanya, siasatan awal polis mendapati kemalangan terbabit berpunca dari Proton Satria yang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106203

Tindakan undang-undang menanti pereka, penyebar berita palsu

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 1:13 PM

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan fhatihah@bh.com.my

MELAKA: Polis Melaka akan menyiasat individu yang sengaja mereka cerita dan menyebarkan kejadian tidak wujud membabitkan 'seorang' kanak-kanak sekolah ditemui mati tergantung di sebuah pasar raya di negeri itu, baru-baru ini. Siasatan dijalankan mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998 atau Akta Hasutan 1984.Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Chuah Ghee Lye, menyifatkan berita penyebaran sebuah patung kanak-kanak berpakaian sekolah digantung di siling pasar raya di sini yang menjadi viral dalam kalangan orang ramai menerusi aplikasi Whatsapp itu sebagai perbuatan nakal dan sengaja mahu mencetuskan khabar angin. "Saya nak mengingatkan pengguna sosial media jangan buat cerita (reka), mereka boleh disiasat kerana menyalahgunakan media sosial dan mencetuskan huru-hara."Sama juga seperti penyebaran kes seorang kanak-kanak perempuan India diculik, di sini baru-baru ini, itu juga tidak betul. Kita boleh siasat apa tujuan mereka melakukan sedemikian mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pemakaian pangkat pemangku Deputi Superintendan (DSP) dan Asisten Komisioner (ASP) kepada 21 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, sebentar tadi.Katanya, jika berita yang disebarkan itu turut menimbulkan rasa cemas dalam kalangan rakyat di negara ini, individu berkenaan juga boleh disiasat mengikut Akta Hasutan 1984. "Bagaimanapun, bagi kes kanak-kanak perempuan India itu, saya belum menerima sebarang laporan daripada ahli keluarganya," katanya

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106199

Tiga perompak ikat 11 penghuni banglo

JUMAAT, 18 DISEMBER 2015 @ 2:01 PM

Oleh Muhammad Yusri Muzamir yusri.muzamir@bh.com.my

GEORGETOWN: Tiga lelaki melarikan wang tunai serta barang berharga bernilai RM100,000 dalam satu kejadian samun di sebuah banglo tiga tingkat di Greenlane Heights, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 3 pagi itu, suspek dikatakan masuk melalui pintu kaca di bahagian tepi banglo terbabit. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata ketiga-tiga suspek juga bertindak mengikat 11 penghuni banglo itu menggunakan kabel elektrik dan telefon. "Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang mengesan tiga suspek yang memecah masuk banglo berkenaan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106208

Kes Kehilangan Jashiah Masih Disiasat


Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 12:52 PM
Jashiah masih belum ditemui sehingga hari ini.

KUALA LUMPUR: Kehilangan guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, memasuki hari ke-56 pada Jumaat namun masih tiada petunjuk baharu berkenaan lokasi beliau berada.
Ketua Balai Polis Kuala Kubu Bharu ASP Mohd Razip Md Tahir berkata polis telah melakukan pelbagai usaha tetapi Jashiah masih gagal dikesan malah anggota keluarganya turut menemui jalan buntu.
"Kita masih menyiasat kes ini dan risikan juga dijalankan bagi mengesan mangsa walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada 10 November lepas," katanya.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan Jashiah supaya tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan.
Ibu kepada empat anak itu kali terakhir dilihat jirannya keluar dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Oktober lepas dan difahamkan menghala ke kawasan Hutan Simpan Bukit Kutu dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain sejauh kira-kira 10 kilometer. - BERNAMA

Operasi Buru Peniaga Vape Di Johor Bermula


Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 9:17 AM
Antara produk vape yang dirampas dalam serbuan di Johor Baru.

JOHOR BARU: Operasi memburu peniaga vape di sini sudah dilancarkan, bermula dengan mereka yang menjual cecair yang mengandungi nikotin menjelang penguatkuasaan larangan terhadap produk itu di negeri ini pada 1 Januari depan.
Polis yang dibantu agensi negeri dan persekutuan, menyerbu tiga permis perniagaan, dua di Taman Century dan satu di Larkin dengan merampas produk bernilai RM380, 385.
Nikton tersenarai dalam Akta Racun dan produk mengandung bahan terlarang itu hanya boleh dijual oleh ahli farmasi.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata sebanyak 6,924 botol cecari vape dirampas dan dihantar untuk analisis.
Manakala, kira-kira 190 produk dan aksesori vape turut dirampas dalam operasi pada 15 Dismber lalu.
Empat lelaki berusia antara 23 dan 70 tahun yang bekerja di premis perniagaan tersebut ditahan dan kemudiannya dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan.

"Kami sedang menunggu keputusan pegawai kimia untuk mengesahkan bahawa cecair itu mengandungi nikotin sebelum tindakan lanjut diambil," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua lelaki tersebut turut gagal mempamerkan lesen perniagaan yang sah dan tidak meletakkan papan tanda harga yang betul.

"Ini adalah serbuan pertama kami terhadap peniaga vape dan pastinya ia tidak akan menjadi yang terakhir.

"Saya telah mengarahkan Ketua Jabatan Narkotik untuk menjalankan operasi di seluruh negeri ini," katanya.

Malah, Wan Ahmad turut mengkritik Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah kerana jahil tentang undang-undang.

Beliau berkata kejahilan itu tidak memberi hak untuk menyimpan atau menjual produk yang mengandungi bahan terlarang seperti nikotin.

Menurut laporan, Mohd Ridzuan yang mewakili 50 peniaga vape di Johor mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dan agensi yang terlibat dalam serbuan itu.

Dalam reaksi balasnya, Wan Ahmad berkata, mereka tidak perlu takut dengan ugutuan itu kerana polis menguatkuasakan undang-undang persekutuan.

"Sekiranya Ikhlas masih mahu menyaman kami berhubung perkara itu, terpulang kepada mereka," katanya.

Johor merupakan negeri pertama yang mengenakan larangan terhadap penjualan dan penggunaan vape kerana bimbang mengenai kesihatan orang ramai.

Peniaga Kritikal Ditembak Dua Lelaki Bermotosikal


Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2015 8:34 PM

JOHOR BARU: Seorang peniaga dilapor kritikal akibat ditembak dua individu bermotosikal di depan rumahnya di Taman Gaya, Saleng di sini, Rabu malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian pukul 11 malam itu, seorang pekerja mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori turut cedera akibat terkena serpihan tembakan.
"Semasa mangsa dan pekerjanya berada di depan rumah berbual-bual, tiba-tiba datang dua lelaki menaiki motosikal dan melepaskan beberapa tembakan ke arah mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 39 dan 23 tahun kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
"Kejadian tembak itu dipercayai akibat pergaduhan yang tidak diketahui puncanya sebelum ini dan siasatan berhubung kes tersebut sedang giat dijalankan," katanya. - Bernama

Lelaki Maut Jatuh Tingkat 16 Hotel


Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2015 5:08 PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 Hotel Taragon Puteri Bintang di sini.
Mangsa yang merupakan ahli perniagaan berusia 53 tahun itu dikenal pasti sebagai Lee Chee Ming, ditemui berpakaian kemeja-T warna kelabu dan seluar pendek kelabu di tingkat bawah hotel berkenaan di Jalan Changkat Thambi Dollah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian pada kira-kira pukul 7.15 pagi Khamis.
"Dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang bergegas ke tempat kejadian.
"Kami temui tiga puntung tokok dan 14 cap jari di biliknya. Pada masa ini, kami masih menyiasat bagaimana kejadian berlaku," katanya sambil menambah bahawa mangsa berasal dari Desa Melayu, Bandar Baru Nilai.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah saisat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dua Lagi Suspek Kes Isteri 'Datuk' Maut Ditetak Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 18 Disember 2015 2:46 PM

TAIPING: Dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes menetak seorang wanita dengan parang sehingga maut di Taman Lake View, di sini, ditahan reman selama tujuh hari.
Perintah reman yang bermula hari ini terhadap kedua-dua lelaki berusia 25 dan 32 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Taiping N. Mageswari di Mahkamah Majistret di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada masa sama, tempoh tahanan reman seorang suspek berusia 57 tahun yang ditahan sebelum ini dilanjutkan seminggu lagi mulai hari ini.
Sementara itu, seorang wanita berusia 78 tahun yang juga ditahan sebelum ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Dalam kejadian 11 Dis lepas, seorang wanita berusia 68 tahun, dipercayai isteri kedua kepada pesara bergelar 'Datuk' maut selepas ditetak dengan parang di belakang leher di rumahnya kira-kira pukul 7.30 malam.
Ketika kejadian, mangsa dan suaminya telah dikunjungi saudara perempuan terdekatnya berusia 78 tahun bersama pekerjanya seorang lelaki berumur 57 tahun dan sebaik mereka berada dalam rumah, dua lelaki memakai topeng dan bertopi keledar meluru masuk ke rumah tersebut.
Seorang suspek bertindak mengikat suami mangsa dengan kain selendang tetamu wanita itu manakala tetamu lelaki diugut dengan parang diletakkan di lehernya.
Mangsa telah dibawa ke bilik tidur oleh kedua-dua suspek sebelum tetamu lelaki itu ke bilik tidur berkenaan dan mendapati mangsa telah meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

Motosikal terbabas, dua sahabat maut

ROHANA ISMAIL

18 DISEMBER 2015

Mangsa maut di tempat kejadian.

TUMPAT - Dua sahabat baik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas di Jalan Tumpat - Pengkalan Kubor berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, mangsa, Amir Imran Zamri, 15 (penunggang) dan rakannya, Muhammad Fariez Aizat  Mohamad Mohktar, 17 (pembonceng) maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan itu berlaku apabila Amir Imran dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunganginya sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pembetung yang berada di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian tersebut.

Buruh binaan didakwa terima RM100,000

17 DISEMBER 2015
mahkamah

 PETALING JAYA - Seorang buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM100,000, tahun lepas.
Rozaini Zainudin, 37, didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan akaun CIMB, syarikat Kascolite Trading yang didaftar atas nama tertuduh, dengan menerima wang RM98,363.70 dari akaun Bank United National Association Miami, Miami Florida, Amerika Syarikat milik syarikat perabot, International Marketing LLC di CIMB Bank cawangan Jalan Gasing di sini pada pukul 2.30 petang, 26 Ogos 2014.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pembiayaan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.  
Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir mencadangkan jaminan RM50,000. Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon agar jumlah itu dikurangkan atas alasan dia hanya bekerja sebagai buruh dan pendapatannya tidak tetap.
Hakim Manira Mohd Nor membenarkan Rozaini diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Tayar pesawat A320 pecah ketika mendarat

17 DISEMBER 2015
AirAsia

SIBU - Pesawat A320 AirAsia tidak dibenarkan berlepas di Lapangan Terbang Sibu malam ini, selepas tayar belakangnya meletup sebaik sahaja mendarat kira-kira 7.20 malam ini.
Pengurus Malaysia Airport Berhad Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, kesemua 138 penumpang serta enam anak kapal penerbangan AK6440 itu tidak mengalami kecederaan, dan pesawat tidak dibenarkan berlepas setelah diarah ke 'Bay 3', sebaik sahaja mendarat.
Beliau berkata kejadian itu mengakibatkan satu unit lampu di tepi landasan mengalami kerosakan, namun ia tidak menjejaskan jadual lain-lain penerbangan, malam ini.
"Pesawat sudah diletakkan di 'open bay' kami dan sedang dibaiki manakala lampu landasan sudah ditukar," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan Sibu-Kuching pada 7.50 malam ini, terpaksa menunggu sebuah pesawat AirAsia lain yang dijangka berlepas awal pagi ini.
Menurutnya punca insiden masih dalam siasatan.
Sementara itu, difahamkan kejadian tersebut mengakibatkan kelewatan selama beberapa jam bagi dua lagi penerbangan, MH3383 ke Kuching dan MH3660 ke Miri. - Bernama

Syabas rugi besar, pemaju curi air

Syabas

17 DISEMBER 2015

SHAH ALAM - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerugian hampir RM500,000 akibat tindakan sebuah syarikat pemaju tapak pembinaan di Setia Alam mencuri air sejak 2010. Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Loh Pit Mui berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pemaju itu dikesan hasil sisatan unit penguatkuasaan Syabas.

Katanya serbuan Syabas dan SPAN ke tapak pembinaan di Presint 12, Setia Alam di sini kira-kira 12 tengah hari mendapati pemaju berkenaan melakukan penyambungan secara terus daripada paip utama dengan menggunakan paip berukuran 32 milimeter.

"Sambungan itu kemudiannya menyalurkan bekalan air ke tapak projek bagi tujuan pembinaan serta bagi kegunaan pekerja-pekerjanya. Ujian klorin yang dilakukan juga menunjukkan bekalan air yang digunakan adalah air terawat," katanya ketika ditemui pemberita di tapak pembinaan berkenaan di sini hari ini.

Loh berkata bagi kes yang tidak boleh dikompaun, mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

48 wanita dipaksa jadi pelayan

WARTAWAN SINAR HARIAN

18 DISEMBER 2015

 Kesemua wanita warga asing dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk tujuan kemas kini rekod dan dokumentasi.

 PERAI - Risikan selama seminggu ke atas sebuah pusat hiburan di Perai oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang bersama Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berjaya menyelamatkan 48 wanita warga asing.
Mereka berumur antara 20 hingga 30 tahun terdiri daripada 29 warganegara Vietnam dan 19 warganegara China dipercayai dipaksa menjadi pelayan di pusat hiburan itu sejak sebulan lalu.
Serbuan pada jam 12.50 pagi itu mendapati kesemua wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum mereka diperdaya untuk bekerja di pusat hiburan berkenaan.
Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan berkata, siasatan awal mendapati kesemua wanita itu dikawal dan berada dalam pemerhatian pemilik pusat hiburan berkenaan sepanjang masa.
“Pemeriksaan di premis hiburan itu tidak menemui peralatan yang boleh dikaitkan dengan aktiviti seks.
“Namun, kita tidak menolak kemungkinan wanita itu bukan sahaja digunakan sebagai pelayan tetamu tetapi turut terlibat dalam aktiviti seks di luar premis berkenaan selepas mencapai persetujuan dengan pelanggan,” katanya.
Kesemua mereka kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk tujuan kemas kini rekod dan dokumentasi.
Mereka juga ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Pemilik pusat hiburan dan penjaga premis itu gagal dikesan kerana dipercayai melarikan diri sebaik menyedari premis itu dikepung.

Bayi 22 hari antara mangsa banjir

17 DISEMBER 2015


LABUAN - Seorang bayi berusia 22 hari adalah antara 25 mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Balai Bomba Kg Layangan di sini pada petang Rabu. Tiga keluarga dari Kg Ganggarak dipindahkan pasukan bomba Labuan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam), manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Perbadanan Labuan dan anggota jawatankuasa Umno Labuan membekalkan barangan keperluan asas kepada keluarga terbabit.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Layangan, Muhamad Azman Awang memberitahu Bernama bahawa dewan komuniti balai itu terpaksa dijadikan pusat pemindahan kerana pihak berkuasa tempatan tidak menyediakan pusat pemindahan.

"Saya percaya kejadian ini tidak diduga, tapi kami sedia membantu. Anggota kami diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Menurut seorang mangsa yang tidak mahu dikenali, rumahnya dinaiki air sejak jam 2 pagi dan air melepasi paras bahaya pada tengah hari.

"Kali ini paling buruk kerana air naik hingga hampir ke paras kepala kami dan kami terpaksa berpindah tanpa sempat menyelamatkan harta benda," katanya.

Semua keluarga tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing dalam kejadian banjir itu berikutan hujan berterusan yang berpunca daripada Taufan Melor sejak semalam. - Bernama

Gara-gara kertas dinding terlebih 10 gulungan

WARTAWAN SINAR HARIAN

 17 DISEMBER 2015

 Chin How menunjukkan gambar rumah serta dokumen berkaitan yang difailkan ke TTPM.


JOHOR BAHRU - Impian seorang pengurus melihat kediaman yang baru dibeli di Taman Molek, di sini, dihiasi dengan kertas dinding diingini tidak kesampaian apabila ditipu oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkenaan.
Lew Chin How, 37, bersetuju menggunakan perkhidmatan tersebut dengan bayaran RM6,637 termasuk kos upah serta tambahan kos RM1,050 kerana saiz rumahnya agak besar, Jun lalu.
“Saya ke kedai itu semula untuk bertanyakan perkembangan lanjut tentang tempahan yang dibuat namun dimaklumkan individu yang menyelia saya telah berhenti kerja dan saya kemudian dilayan oleh pekerja lain.
“Pekerja itu memaklumkan rekaan yang saya minta tiada dalam simpanan mereka dan saya perlu membuat bayaran tambahan RM1,248 untuk rekaan baharu.
“Setelah diukur, dia memberitahu sejumlah kertas dinding diperlukan namun saya fikir kurang daripada jumlah yang dicadangkan. Oleh sebab mahu cepat siap, saya ikut saja cadangannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, setelah pemasangan kertas dinding dibuat, ada baki 10 gulungan dan Chin How menuntut kembali wangnya namun gagal menyebabkan dia membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, semalam.
“Pihak yang menyelia saya berjanji untuk memulangkan wang saya, namun mereka masih gagal berbuat demikian sejak tiga bulan lepas sehingga saya membuat tuntutan ganti rugi di TTPM,” katanya.
Setelah mendengar penjelasan Chin How, Presiden R Nadarajah mengarahkan kedai perkhidmatan itu membayar RM2,856.70 untuk kos dan upah perkhidmatan 10 gulung kertas dinding yang lebih termasuk cukai.

Jurujual rugi RM89,000 beg bimbit dilarikan

16 DISEMBER 2015

JOHOR BAHRU - Seorang jurujual hartanah kerugian sejumlah RM89,000 apabila beg bimbit miliknya dilarikan dua lelaki di stesen minyak di Jalan Pontian di sini semalam. Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Mohd Taib Ahmad berkata pihaknya giat menjalankan usaha mengesan dan mencari kedua suspek yang dipercayai warga Indonesia termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di bank tempat mangsa mengeluarkan wang.‎


"Sebelum itu, mangsa mengeluarkan wang sebanyak RM50,000 dan RM39,000 sehari sebelum kejadian daripada bank untuk dibayar kepada syarikatnya" katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian pada 11 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun sedang mengepam tayar kereta yang bocor di stesen minyak berkenaan.


"Mangsa kemudiannya didatangi dua lelaki menunggang motosikal biru dan mengambil beg bimbit hitam daripada tempat letak kaki bahagian penumpang kereta mangsa," kata Mohd Taib.
Beliau berkata kedua-dua suspek melarikan diri sejurus mengambil beg mangsa yang berisi wang tunai RM89,000, kad kredit, kad ATM, lesen memandu dan pasport antarabangsa.


Mohd Taib berkata mangsa yang merupakan jurujual hartanah di sebuah syarikat di bandar raya ini yang menyedari insiden tersebut bertindak mengejar suspek, namun tidak berjaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya. - Bernama

Banjir lumpur pertama dalam 40 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN

17 DISEMBER 2015


 Yusli (tengah) menunjukkan antara barangan perniagaan miliknya untuk majlis perkahwinan pelanggan yang sudah tidak boleh digunakan lagi. BATU PAHAT - Kehidupan enam keluarga di Lorong 1, Kampung Solok Wan Moh, di sini, terjejas apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat berlumpur baru-baru ini, yang didakwa berpunca daripada pembangunan tidak terkawal di kawasan sekitar.

Penduduk, Yusli Masro, 53, berkata, banjir kilat petang Jumaat lalu, menyebabkan dia kerugian hampir RM5,000 apabila beberapa barang miliknya musnah sama sekali.

Menurutnya, ia termasuk peralatan katering yang tidak sempat diselamatkan akibat air naik terlalu cepat.
“Dalam kejadian itu, tidak sampai 10 minit keseluruhan rumah saya dimasuki air. Saya dan isteri pula sedang buat persiapan barangan untuk tempahan katering bagi majlis perkahwinan yang akan berlangsung 26 Disember ini.

“Habis semua barang perniagaan kami seperti beras, tong gas dan kain untuk buat khemah majlis tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Manakala Saniah Bahari, 62, pula berkata, sepanjang 40 tahun tinggal di kampung berkenaan, ini kali pertama dia menjadi mangsa banjir kilat.

Menurutnya, dalam tempoh dua bulan ini, sudah dua kali air banjir lumpur masuk rumahnya dan dia turut mengalami kerugian akibat beberapa barangan termasuk perabot miliknya musnah.

Sementara itu, Adun Parit Yaani, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya akan membawa masalah berkenaan kepada pihak berkaitan termasuk pemaju projek pembangunan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya harap bagi mengelakkan kejadian ini berulang, pihak pemaju perlu membuat satu longkang konkrit besar dan tembok khas bagi mengelakkan limpahan air memasuki rumah penduduk sekitar, selain pemantauan berterusan oleh pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan ke rumah mangsa kejadian berkenaan yang turut disertai Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Pekerja kuari maut dihempap forklift

17 DISEMBER 2015
mayat

 Gambar hiasan


KOTA KINABALU - Seorang pekerja kuari warga Indonesia‎ maut selepas forklift dipandu terbalik dan menghempapnya di kawasan kuari di Jalan Kionsom dekat sini, kira-kira 2.45 petang tadi.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mangsa yang dikenali sebagai Petrus Tupen Lanan, 45, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk dan bahagian belakang.
"Kejadian berlaku semasa mangsa, pemandu forklift menuruni bukit di kawasan kuari. Apabila sampai di satu selekoh, mangsa hilang kawalan dan forklift dipandunya terbalik dan menghempap mangsa," kata Chandra dalam kenyataan di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.‎ - Bernama

Wanita pura-pura beli tudung

WARTAWAN SINAR HARIAN

 18 DISEMBER 2015


Julianita menunjukkan rakaman di mana wanita itu menyorokkan diri di dalam kedainya sebelum ditangkap orang ramai dan diserahkan kepada polis. TUMPAT - Seorang wanita yang berpura-pura mahu membeli tudung diberkas orang ramai selepas mencuri duit dalam laci di sebuah kedai tudung di Wakaf Bharu.
Pemilik kedai itu, Julianita Yang, 31, berkata, kejadian Isnin lalu meninggalkan kesan trauma pada pekerjanya yang dikenali sebagai Anis, 18, kerana berlaku pergelutan dengan pencuri berkenaan.
Julianita berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1.15 petang, Anis bersendirian di dalam kedai itu dan didatangi wanita yang kononnya mahu membeli tudung.


“Dua jam wanita itu berada dalam kedai, dia cuba macam-macam tudung di dalam bilik persalinan, dia panggil pekerja saya minta betulkan selendang dipakainya.


“Anis mula rasa curiga dan takut sebab ternampak kepala wanita itu botak, tapi dia beritahu dia hidap leukemia, sebab itu kepalanya botak,” katanya.


Menurutnya, pekerjanya rasa tidak selesa lalu meminta wanita itu datang semula tetapi mula ke kaunter pembayaran meletakkan beberapa helai tudung untuk dibayar.


“Ketika Anis sedang bungkus tudung itu, wanita itu bertindak mengeluarkan tali beg dan jerut leher Anis.
Anis rebah atas sofa dekat laci, sepantas kilat dia ambil wang dalam laci.


“Menyedari Anis kesakitan, dia bangunkan Anis dan sempat beritahu dia terdesak mencuri sebab kesempitan hidup untuk jaga tiga anak,” katanya.


Kemudiannya, Anis bertindak menolak pencuri itu namun dia sempat tarik baju Anis tetapi selepas bergelut Anis berjaya melepaskan diri dan meminta tolong di kedai sebelah.


Katanya, orang ramai datang membantu Anis dan kemudiannya berjaya menangkap pencuri wanita itu sebelum diserahkan kepada polis.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan berkenaan.

‘Sudah dua minggu Najiba hilang’

WARTAWAN SINAR HARIAN


18 DISEMBER 2015

 Mohd Shakir ditemani isterinya menunjukkan salinan laporan polis dan gambar anaknya, Najiba yang hilang sejak dua minggu lalu.


PASIR PUTEH - Pasangan warga Rohingya dari Myanmar resah apabila anak perempuan mereka yang hilang sejak dua minggu lalu belum dapat dijejaki.


Keadaan itu menyebabkan Mohd Shakir Abdul Kadir, 40, dan isterinya, Sahara Bibi Abu Kalam, 25, berusaha siang dan malam untuk mencari anaknya, Najiba, 12.


Mohd Shakir berkata, dia membuat salinan gambar anaknya serta meletakkan nombor telefon dan menampalnya di lokasi tertentu di sekitar daerah ini dengan harapan orang ramai yang mempunyai maklumat menghubunginya.


“Saya sudah bertanyakan saudara saya yang tinggal di Kota Bharu, saya bertanyakan kepada kawan-kawan di rumah kongsi tempat saya bekerja, tapi semua orang tidak tahu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Cempaka, Kampung Kelubi Jalan Kota Bharu di sini, semalam.


Menurutnya, pada 5 Disember lalu, Najiba meminta izin untuk keluar membeli makanan kira-kira jam 11 malam di kedai runcit yang terletak hanya kira-kira 60 meter dari rumahnya.


Katanya, selepas 10 minit Najiba tidak kelihatan, dia mengambil keputusan untuk keluar mencarinya.
“Saya tak tunggu lama, saya cari Najiba kerana biasanya dia keluar sekejap saja tetapi dia tidak ada di kawasan itu, saya bertanyakan kepada orang ramai tetapi orang tak tahu ke mana dia pergi.


“Saya dan isteri terus cari di kawasan sekitar tetapi tidak jumpa, saya tidak boleh menjangkakan ke mana dia pergi kerana setahu saya dia tidak mempunyai kawan di sini,” katanya yang membuat laporan polis pada keesokannya.


Mohd Shakir berkata, Najiba yang belum benar-benar fasih berbahasa Melayu, ketika keluar malam itu memakai seluar panjang hijau dan baju-T kuning.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Najiba boleh menghubunginya di talian 018-4737813.


Mohd Shakir bersama keluarga tinggal di daerah ini sejak tiga tahun lalu untuk bekerja sebagai buruh binaan di Bandar Baharu Pasir Puteh, dekat sini.


“Saya harap dapat jumpa Najiba secepat mungkin...fikiran saya terganggu, nak bekerja pun tak senang,” katanya.

Juruteknik maut 'ditelan' enjin pesawat

18 DISEMBER 2015

MUMBAI - INDIA. Juruteknik penerbangan Air India maut apabila disedut ke dalam enjin pesawat yang diletakkan di Lapangan Terbang Mumbai, India.
Insiden berlaku apabila pembantu juruterbang penerbangan Mumbai-Hyderabad AI 619 tersalah anggap isyarat dengan menghidupkan enjin dan mangsa, Ravi Subramanian disedut ke dalam enjin pesawat berkenaan.
"Juruteknik Air India disahkan meninggal dunia dan punca kejadian masih disiasat," kata jurucakap Air India, Ashwani Lohani.
"Kami menzahirkan rasa sedih dan kesal di atas insiden tragis tersebut," tambahnya dipetik Hindustan Times
Sementara itu, sumber Air India berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat memastikan bagaimana mangsa boleh berada berdekatan pesawat dan hanya siasatan lanjut akan dapat memastikan sama ada ia adalah kecuaian manusia atau sebaliknya.
Polis tempatan, syarikat penerbangan dan pihak berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.

Keluarga rayu cari warga Britain hilang di Krabi

17 DISEMBER 2015

LONDON - BRITAIN. Keluarga seorang warga Britain yang dilaporkan hilang ketika bercuti berseorangan di Krabi, Thailand merayu orang ramai membantu mencari lelaki itu. Jordan Jacobs, 21, dipercayai menaiki kenderaan milik seorang lelaki warga Thailand yang baru dikenalinya berdekatan Hostel Pak Up di Krabi dan kali terakhir dilihat di sebuah restoran di Pulau Kho Phi Phi Don.
Jordan yang berasal dari Lyneham, Wiltshire sebelum itu menelefon keluarganya dan memberitahu dia sedih dan takut.
Sementara itu, menurut kakak kepada Jordan, Emily berkata, ibunya menerima mesej melalui Facebook dari adiknya itu pada Sabtu lalu yang memberitahu dia tidak akan bertemu lagi dengan kami dan meminta maaf kerana tidak dapat lagi berjumpa dan berkata di sayangkan kami.
"Dia sedih dan berkata lelaki itu tidak membenarkan dia pulang dan itu menakutkannya.
"Ia bukan seperti adik saya. Minggu lepas dia berkata, akan pulang untuk sambutan Krismas," katanya.
Dalam pada itu, Emily turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua di seluruh dunia di atas sokongan yang diberikan di Facebook.
"Sebarang maklumat walaupun kecil bagi anda mungkin akan memberi kesan besar dalam proses pencarian Jacob,' katanya lagi.
Jurucakap Pejabat Luar Negeri berkata, pihaknya mengesahkan mengenai kehilangan warga Britain itu pada 12 Disember lalu dan akan memberi bantuan kepada keluarga mangsa.
Jacob digambarkan berambut hitam, bermata coklat serta mempunyai tatu di lengan dan dada.

Mangsa taufan Melor meningkat

Manila: Penduduk di kawasan luar bandar Filipina yang dibadai taufan Melor terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah apabila banjir melanda kawasan kediaman mereka, semalam.
Pihak berkuasa berkata, jumlah kematian akibat taufan berkenaan kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 11 orang.
Dalam pada itu, hujan lebat di bandar Manila malam kelmarin menyebabkan jalan raya dinaiki air dan menjejaskan aliran trafik.
Bagaimnapun, keadaan semakin reda menjelang pagi semalam.
Jumlah kematian meningkat selepas pihak berkuasa di Mindoro, pulau pertanian dengan kepadatan penduduk 1.2 juta, kira-kira 120 kilometer ke selatan Manila, melaporkan tujuh penduduk terbunuh di situ.
Gabenor Mondoro, Aurelio Umali berkata air naik dengan pantas di beberapa bahagian pulau itu dan memaksa penduduk berlindung di bumbung rumah masing-masing.
Sebelum ini, empat orang dilaporkan terbunuh di Samar, timur Filipina, kawasan pertama taufan Melor melanda selepas merentas Lautan Pasifik pada Isnin lalu
Taufan berkenaan juga menyebabkan jutaan penduduk terputus bekalan elektrik di timur Filipina dan tiada jaminan bekalan itu akan disambung semula sebelum Krismas.
Majlis bencana Filipina juga berkata, sehingga semalam, kira-kira 120,000 orang masih berada di tempat perlindungan.
Dalam pada itu, pegawai cuaca berkata, ia memantau satu lagi ribut petir yang bergerak di timur Pasifik berhampiran Mindanao, pulau di selatan negara itu.
Purata 20 taufan membadai Filipina setahun, kebanyakannya menyebabkan kematian, dengan yang terkuat selalunya berlaku pada hujung tahun.
Oktober lalu, taufan Kop- pu menyebabkan 54 kematian dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah selepas ia membadai kawasan tanaman padi di utara negara itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 10:52 AM


SEORANG penduduk kampung mengangkat barangan miliknya sambil meredah banjir di wilayah Sorsogon, selatan Manila, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100673#sthash.EcNWTRsX.dpuf

164kg dadah dimusnahkan

Jakarta: Agensi Antidadah Indonesia memusnahkan 164 kilogram dadah methaphetmaine yang dirampas, beberapa minggu selepas mencadangkan penggunaan buaya untuk mengawal penjara.
Ketua Agensi Dadah Kebangsaan (BNN) Budi Waseso turut menyertai acara berkenaan.
Dadah dalam beberapa beg pakaian itu dirampas dalam serbuan bulan lalu, menurut laporan media tempatan.
Turut dijumpai ialah 141 pil ekstasi.
Seramai l0 suspek ditahan dalam serbuan berkenaan.
“Mereka berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” kata Budi.
Budi sebelum ini mengumumkan rancangan membina sebuah penjara yang akan digunakan untuk menempatkan pesalah dadah di sebuah pulau yang dikelilingi buaya.
Dia merancang melakukan lawatan ke beberapa bahagian di Indonesia untuk mencari buaya yang ganas bagi digunakan untuk mengawal penjara.
“Buaya lebih berkesan untuk menghalang penyeludup dadah melarikan diri dari penjara kerana ia tidak boleh dirasuah,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 10:50 AM


SEBAHAGIAN daripada 10 suspek yang ditangkap bersama 164 kilogram dadah ditunjukkan kepada wartawan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100671#sthash.GaTTFdLl.dpuf

Selepas Melor, Onyok pula dijangka badai Filipina

Manila: Ribut baru dengan hujan lebat dijangka melanda selatan Filipina hari ini ketika penduduk di utara negara itu bergelut dengan banjir selepas Taufan Melor membadai wilayah berkenaan.
Ribut baru yang dinamakan ‘Onyok’ dilapor menghala ke Mindanao selepas Melor bergerak lebih jauh ke utara menuju Laut China Selatan setelah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa.
Melor membadai timur negara itu Isnin lalu dan kemudian menyebabkan banjir besar di wilayah tengah dan utara kepulauan berkenaan.
Meskipun Taufan Melor meninggalkan Filipina kelmarin, banjir sedalam semeter masih menenggelamkan sebahagian kawasan pertanian yang terletak kira-kira sejam pemanduan di utara Manila.
Pegawai pengurusan bencana tempatan berkata, paras banjir dijangka meningkat apabila air dari bahagian lain pulau Luzon mengalir ke dataran rendah itu.
Bagaimanapun, sebahagian penduduk masih bertahan di rumah mereka dengan berlindung di atas bumbung kerana yakin ia tidak akan tenggelam.
Sementara itu, di Mindanao, yang dijangka dibadai Onyok hari ini, persiapan menghadapinya sudah dilakukan.
Filipina dilanda kira-kira 20 ribut dan taufan, kebanyakannya menyebabkan kematian.
Taufan Washi yang melanda Mindanao pada 2011 meragut 1,200 nyawa sementara setahun selepas itu, 1,900 orang mati apabila pulau di selatan Filipina itu dibadai Taufan Bopha. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:13 AM


PENDUDUK di bandar La Paz, selatan Manila berlindung di bumbung rumah mereka selepas kawasan berkenaan di naiki air.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100880#sthash.x4d9fKuq.dpuf