Search This Blog

Sunday, December 13, 2015

Lelaki Warga Yaman Didakwa Miliki Pisau 'Spring'



Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2015 1:53 PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Yaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis atas tuduhan memiliki sebilah pisau 'spring', minggu lepas.

Al Attas Mohammed Abobakr Hussein, 29, yang datang ke Malaysia menggunakan visa pelancong, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Banth Singh.

Dia didakwa memiliki pisau itu di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang pada 5.10 petang 5 Disember lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana dia seorang warga asing dan kesalahan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon diberikan jaminan atas alasan dia hanya datang dengan niat melancong.
Mahkamah menetapkan 4 Januari 2016 untuk sebutan semula kes.

Bekas Kakitangan Syarikat Pembekal Tembakau Lepas Dan Bebas Tuduhan Rasuah


Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2015 2:42 PM
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan sebuah syarikat pembekal tembakau, menarik nafas lega apabila dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat daripada pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM20,000.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Datuk Dr Ronald Louis Richards, 52, untuk mengetepikan keputusan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen pada 20 Februari 2014.

Pada 20 Februari 2014, Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan denda RM100,000 selepas Richards didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang pengurus syarikat keselamatan.

Mohd Azman berkata Hakim Mahkamah Sesyen telah tersalah arah dalam mengambil kira isu perundangan dan fakta ketika membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman  terhadap Richards.

Katanya, Hakim Mahkamah Sesyen telah tersilap membuat keputusan bahawa sekeping cek berjumlah RM20,000 yang diperoleh daripada saksi ke-12 pendakwaan yang diterima dalam bentuk pinjaman adalah rasuah sebaliknya ia adalah berbentuk pinjaman mesra.

"Mahkamah turut mendapati tiada isu pembaharuan kontrak kerja kawalan keselamatan seperti yang dibincangkan dalam perjumpaan antara perayu (Richards) dengan syarikat tersebut.

"Sebaliknya pembaharuan kontrak tersebut berdasarkan prestasi Richards dalam syarikat tersebut dan pinjaman tersebut telah dilangsaikan oleh anak Richards sendiri," kata hakim.

Justeru itu, katanya mahkamah berpendapat adalah tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.

Pada 24 Mei 2012, Richards didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya sekeping cek CIMB Bank kepunyaan syarikat Strikeforce Security Sdn Bhd bernilai RM20,000 daripada A. Kanapathy.

Cek itu dibayar kepada Syarikat Asia Pacific Flight Training bagi tujuan membiayai yuran pengajian Lesen Juruterbang Pesawat Persendirian (PPL) anak lelaki Richards.

Pemberian cek itu sebagai satu upah kepada tertuduh yang terbabit dalam mencadangkan pembaharuan kontrak kerja kawalan keselamatan syarikat terbabit di JT International di Shah Alam.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di RHB Bank Centre, Jalan Tun Razak di sini pada 17 Jun 2008 dan didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala Richards diwakili peguam Afifudin Hafifi.

Bapa Mengaku Tidak Bersalah Cabul Anak Kandung


Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2015 2:54 PM

KUALA LUMPUR: Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas pertuduhan mencabul anak kandungnya berusia tujuh tahun, bulan lepas.
Tertuduh, seorang pemandu lori didakwa melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Cheras, di sini antara 6.30 pagi hingga 3 petang, pada Nov lepas.
Tertuduh, yang berusia 39 tahun didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Majistret Muhamad Faizal Ismail, bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana penjamin tidak hadir ke mahkamah.
Mahkamah juga menetapkan 26 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Rizalman Berkelakuan Aneh, Isteri Sembunyi Pisau - Mahkamah NZ Diberitahu


Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2015 3:35 PM
Muhammad Rizalman Ismai
PETALING JAYA: Bekas Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail berkelakuan aneh untuk beberapa minggu dan isterinya bimbang dia akan membunuh diri, lapor New Zealand Herald.

Menurut kenyataan itu, isteri Rizalman menggambarkan rentetan kesihatan dan masalah tingkah laku yang dihadapinya apabila dia mengambil alih jawatan sebagai atase tentera di Wellington.

Peguamnya, Dr Donald Stevens dipetik sebagai berkata bahawa isteri Rizalman bimbang dia akan membunuh diri. "Dia menerangkan tentang pisau yang disembunyikan di dalam rumah."

Stevens dipetik sebagai memberitahu Mahkamah Tinggi Wellington pada Jumaat bahawa dia merancang untuk meneliti penghujahannya secara menyeluruh kerana ini adalah kali pertama Rizalman mempunyai 'peluang sebenar untuk memberitahu ceritanya'.

"Mungkin ada sedikit keraguan bahawa Rizalman berada dalam keadaan mental yang tidak normal," katanya, sambil menambah doktor sebelum itu mendapati bahawa ia mungkin disebabkan oleh tekanan, kebimbangan, potensi kemurungan dan potensi penyalahgunaan dadah.

Laporan itu juga menyebut Stevens sebagai berkata bahawa rakan-rakan Rizalman juga perasan dia berkelakuan pelik selama beberapa minggu sebelum kejadian 9 Mei tahun lepas.

Malah kolonel Malaysia juga mempertimbangkan untuk menghantar Rizalman pulang ke Malaysia kerana kelakuannya yang tidak normal itu.

Menurut Stevens, bukti telah menunjukkan tingkah laku Rizalman terus merosot sehingga berlakunya serangan yang didakwa.

"Rizalman berakata desakan yang tidak baik telah mempengaruhi fikirannya," katanya.

Lelaki berusia 39 tahun itu mengaku bersalah bertindak tidak sopan menyerang seorang wanita berusia 21 tahun di flatnya pada 9 Mei 2014.

Walau bagaimanapun, Rizalman mempertikaikan aspek-aspek tertentu pertuduhan terhadapnya.

Penumpang Pesawat Biadap Dikutuk Di China


Diterbitkan: Jumaat, 11 Disember 2015 10:13 AM

GAMBAR seorang wanita meletakkan kakinya di tempat letak tangan seorang lagi penumpang wanita sebuah pesawat menjadi viral dan dikutuk netizen di China.
Tindakan kurang sopan itu dilakukan seorang penumpang pesawat AirAsia ketika penerbangan dalam dari Bangkok ke Xi'an, China.
Gambar berkenaan dirakam penumpang yang menjadi mangsa kepada wanita berkenaan selepas enggan menurunkan kakinya.
Tindakan wanita itu berkongsi gambar tersebut di laman sosial Weibo kemudian menjadi viral dan mendapatkan kutukan daripada netizen di China.
Wanita itu berkata, dia tidak gembira dengan tindakan penumpang di belakangnya dan sikap biadap seperti ini perlu dihentikan kerana menganggu orang lain.

Pemain Bola Sepak Honduras Maut Ditembak 18 Kali


Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2015 9:56 AM

SEORANG pemain bola sepak kebangsaan Honduras terbunuh selepas ditembak di depan sebuah pusat membeli-belah di La Ceiba di negara tersebut.
Ketika kejadian, Arnold Peralta dilapor baru selesai membeli pakaian untuk bayi perempuannya yang baru dilahirkan.
Ketika mangsa berjalan keluar dari pusat membeli-belah itu, suspek telah melepaskan 18 tembakan ke arah Peralta sambil disaksikan isterinya.
Akibat kecederaan parah, bekas pemain kelab Rangers berusia 26 tahun itu maut di tempat kejadian.
Isteri mangsa, Vanessa Oliva yang berada di lokasi itu ketika kejadian kelihatan meraung di sisi mayat Peralta.
Jurucakap polis berkata, mangsa terbunuh akibat terkena tembakan di bahagian dada dan kepala.
Pihak berkuasa mengesahkan tiada suspek ditahan ketika ini, namun usaha mengesan pembunuh sedang dijalankan.
Peralta yang kini mewakili skuad Olimpia di Tegucigalpa dilapor menjadi mangsa keganasan di Honduras yang merupakan negara yang mencatatkan kes pembunuhan tertinggi di dunia.

Anak Lelaki Muammar Gaddafi Diculik


Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2015 10:11 AM

ANAK bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi iaitu Hannibal dilapor telah diculik di Lubnan.
Hannibal yang terkenal dengan sikap 'playboy' sebelum ini diketahui berada di Lubnan selepas stesen televisyen negara itu mendedahkan identitinya.
Anak diktator berusia 40 tahun itu sebelum ini melarikan diri bersama ibu dan adik perempuanya ke Lubnan selepas rakyat Libya bangkit menentang Gaddafi.
Pemimpin nombor satu Libya iaitu Gaddafi dibunuh oleh rakyatnya selepas ditangkap ketika bersembunyi di dalam lognkang pada 2011.
Ketika itu seorang lagi anak lelaki Gaddafi turut dibunuh oleh kumpulan tersebut.

Bomba Silap Sembur Buih Pada Pesawat Lain


Diterbitkan: Sabtu, 12 Disember 2015 3:36 PM
Pesawat Fuzhou Airlines dilitupi dengan semburan buih oleh pasukan bomba yang mana amaran kebakaran sebenarnya dari pesawat lain. Foto WEIBO

SINGAPURA: Lapangan terbang di wilayah Fujian, China terpaksa ditutup selama 90 minit susulan insiden memalukan selepas pasukan bomba tersilap memberi respons kepada amaran kebakaran apabila membuat semburan buih pada pesawat lain.
Media China melaporkan bahawa insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Fuzhou Changle pada Khamis lalu melibatkan sebuah pesawat Boeing 737-800 dari Air China yang sedang menunggu untuk berlepas.
Seorang juruterbang dekat sebuah pesawat Fuzhou Airlines mendapati percikan api dari enjin kanan milik pesawat Air China dan memaklumkan perkara tersebut kepada menara kawalan lapangan terbang.
Menara kawalan bertindak pantas dengan mengarahkan lapan jentera bomba ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, kesemua jentara bomba melepasi pesawat terlibat yang telah pun mematikan enjinnya, dan telah menyembur Fuzhou Airlines selepas mengesan haba dari enjinnya.
Pasukan bomba kemudiannya dimaklumkan oleh menara kawalan bahawa mereka telah tersilap menyembur pesawat lain.
Pesawat Fuzhou Airlines yang telah disembur terpaksa menjalani pemeriksaan manakala penumpangnya perlu dipindahkan dan disediakan penginapan untuk bermalam.
Air China dalam satu kenyataan berkata, percikan dari enjin pesawat itu adalah "normal" dan tidak menimbulkan sebarang risiko terhadap pesawat.
Menurut kenyataan itu, bahagian bahan api pesawat akan memberikan amaran sekiranya enjin beroperasi dalam tekanan rendah.
Mengenai persoalan Air China mengapa pasukan bomba dihantar tanpa mendapatkan pengesahan daripada syarikat penerbangan itu terlebih dahulu mengenai isu percikan, seorang pegawai lapangan terbang berkata: "Ia merupakan satu cara sahaja untuk memastikan kesemuanya berjalan baik dalam keadaan kecemasan.
"Netizen telah memberikan reaksi yang berbeza-beza mengenai insiden itu, dengan antaranya mempersalahkan pasukan bomba di atas kegagalan mereka mengenal pasti logo syarikat penerbangan.
Sebahagian yang lain memuji pegawai menara kawalan kerana mengambil tindakan tegas dan pantas. – The Straits Times/Asia News Network

Suspek cabul dibelasah hingga lembik

Suspek cabul dibelasah hingga lembik
Sedutan rakaman menunjukkan seorang ahli tinju (kanan) membelasah suspek cabul kanak-kanak
12 DISEMBER 2015

AFRIKA SELATAN - JOHANNESBURG. Akibat tidak sabar menunggu keputusan mahkamah, seorang ahli tinju bertindak membelasah seorang suspek kes cabul kanak-kanak, baru-baru ini.
Menurut Dailystar, suspek tersebut dibelasah sehingga tidak bermaya oleh waris mangsa seorang kanak-kanak perempuan yang mendakwa dicabul oleh suspek.
Dalam satu rakaman video, peninju menumbuk dan menendang suspek sambil rakannya bersorak dan menjerit "pukul lagi,"
Tak cukup dengan itu, peninju itu juga membuat ugutan untuk merogol isteri suspek jika suspek disabitkan kesalahan mencabul anak perempuannya.
Polis yang menyiasat rakaman video tersebut bagaimanapun belum membuat keputusan untuk mendakwa peninju berkenaan atas tuduhan ugutan
.

Guna dron untuk tangkap dron

Guna dron untuk tangkap dron
Demonstrasi tangkapan dron oleh Polis Metropolitan Jepun (MPD).
12 DISEMBER 2015
 TOKYO - JEPUN. Polis Metropolitan Jepun (MPD) kini mempunyai skuad khas untuk menangkap dron yang digunakan untuk tujuan jahat.
Menurut Dailymail, penubuhan skuad tersebut buat selepas sebuah dron menceroboh pejabat perdana menteri, April lepas.
MPD dilaporkan akan menerima satu angkatan dron yang setiap satunya dilengkapi dengan jaring.
"Kemungkinan pengganas menyerang menggunakan dron itu tetap ada," kata seorang pegawai kanan MPD di laman web Asahi Shimbun.
Angkatan dron MPD dikatakan akan meronda bangunan-bangunan milik kerajaan untuk mengesan sebarang aktiviti luar biasa.
Dalam kejadian April lalu, sebuah dron yang membawa bahan radioaktif dan mendarat di bumbung pejabat perdana menteri dipercayai dikendalikan oleh aktivis yang menentang rancangan kerajaan Jepun untuk terus menggunakan tenaga nuklear
.

Orang gaji berumur 11 tahun didera bintang sukan

13 DISEMBER 2015
Orang gaji berumur 11 tahun didera bintang sukan
Keadaan Mahfuza Akhter ketika ditemui dan (gambar kecil) Shahadat Hossain.
DHAKA - BANGLADESH . Seorang kanak-kanak yang bekerja sebagai pembantu rumah mendakwa didera majikannya yang juga merupakan seorang bintang sukan kriket.
Laporan CNN mengatakan Mahfuza Akhter ditemui orang awam di tepi jalan di bandar Dhaka sambil menangis dan mempunyai kesan lebam di muka dan badan.
Mahfuza mendakwa beliau sebelum itu bekerja dengan Shahadat Hossain dan isteri, Nritto Shahadat.
"Mereka pukul saya dengan kayu dan peralatan dapur. Mereka juga menumbuk, menampar dan mencakar saya," kata Mahfuza sambil menunjuk bekas parut kesan penderaan.
Hossain dan isteri kini berada dalam tahanan reman dan menghadapi tuduhan mendera kanak-kanak dan mengambil pekerja dibawah umur
.

Lelaki tak siuman dirantai 25 tahun

Ramallah: Polis di bandar Hebron, Tebing Barat, menahan seorang lelaki kerana merantai adiknya yang didakwa tidak siuman di belakang rumah mereka sejak 25 tahun lalu.
Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas polis menyerbu rumah berkenaan setelah menerima maklumat daripada orang tidak dikenali.
Beberapa anggota keluarga lain juga ditahan seketika untuk disoal siasat.
Menurut polis, mangsa yang berusia 36 tahun menghidap masalah mental dan ditemui dalam keadaan comot serta dirantai pada kaki di bangsal keluarganya.

“Siasatan awal menunjukkan dia dirantai sejak 25 tahun lalu,” kata Ketua Polis Hebron Kolonel Mohammad Tayem.
Seorang pegawai kebajikan bandar itu berkata, lelaki itu kini diserahkan kepada pihaknya sementara menunggu siasatan selesai.
“Sepanjang 25 tahun lalu, tidak ada siapa yang membantu lelaki berkenaan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 7:53 AM


KEADAAN lelaki itu dengan dirantai di belakang rumah keluarganya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99696#sthash.AMoP8Si6.dpuf

Cara ajar suami curang

Mexico City: Seorang wanita mengambil keputusan membalas dendam terhadap suaminya yang curang ketika lelaki itu berpacaran dengan wanita simpanannya.
Si isteri dirakam duduk di atas bonet kereta BMW milik suaminya untuk menghalang dia memandu kereta itu bersama kekasihnya.
Polis cuba menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah mereka selepas pasangan itu bergaduh di tepi jalan raya yang sibuk.
Apabila wanita simpanan itu keluar dari kereta dan cuba meninggalkan tempat kejadian, si isteri dilihat menampar mukanya.

Rakaman kejadian itu menjadi viral selepas ia dimuat naik ke Internet.
Beberapa pengguna membahaskan wanita yang mana lebih cantik.
Seorang pengguna mengulas kejadian itu dengan menulis: “Lelaki itu mungkin kaya raya sehingga menjadi rebutan dua wanita.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 7:54 AM




ISTERI lelaki berkenaan duduk di atas kereta untuk menghalang suaminya memandu bersama wanita simpanannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99698#sthash.lTLH6oTJ.dpuf

9 maut dalam kebakaran di Manila

Manila: Sembilan orang mati dalam kebakaran besar di sebuah kawasan setinggan di bandar raya ini semalam, kejadian ketiga seumpamanya dalam masa beberapa minggu.
Penduduk hanya berjaya menyelamatkan pakaian, ketika melarikan diri dari kebakaran di kawasan Damayang Lagi itu, kata seorang mangsa yang terselamat, Arman Altoveros.
“Kebakaran merebak begitu cepat. Semuanya musnah dalam masa beberapa minit,” kata lelaki berusia 43 tahun itu.
Antara mangsa ialah kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Api dan asap tebal memerangkap kanak-kanak itu bersama lapan yang lain di rumah mereka, kata jurucakap bomba Filipina Renato Marcial.
Kejadian terbaru itu, meningkatkan angka kematian berkait dengan kebakaran di Filipina kepada 323, lebih tinggi berbanding 228 tahun lalu.
Kebakaran berkenaan memusnahkan 50 rumah, menyebabkan 600 hilang tempat tinggal.
Kebakaran adalah bencana biasa di Manila, tempat jutaan penduduk tinggal di kawasan setinggan.
Minggu lalu, 5,000 orang hilang tempat tinggal selepas kebakaran besar memusnahkan sebuah kawasan setinggan lain.
Ia juga memaksa pemindahan sementara 500 banduan dari penjara berhampiran. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 7:58 AM


SEORANG kanak-kanak mencari sesuatu yang mungkin masih boleh dipakai di celah sisa kebakaran di Manila, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99702#sthash.IM8V0ldv.dpuf

Padah tolak ajakan

Pattaya: Seorang pelancong warga Britain cedera dipukul seorang pondan selepas dia menolak ajakan untuk mengadakan hubungan seks.
Leslie Murphy, 69, memberitahu polis, dia berjalan seorang diri di pantai Jomtien di sini awal pagi semalam sebelum terserempak dengan sekumpulan pondan.
Katanya, beberapa pondan itu menghampiri dan memeluknya sebelum mempelawa dia melakukan hubungan seks.
Bagaimanapun, Murphy menolak ajakan pondan berkenaan dan memarahi mereka sebelum beredar dari situ.

Jurucakap polis berkata, ketika Murphy berjalan di sebatang jalan raya menuju ke hotel dia dihampiri dua pondan yang menunggang motosikal.
“Seorang pondan berkenaan turun dari motosikal dan membelasah Murphy dengan topi keledar sebelum melarikan diri.
“Murphy yang cedera di muka dibantu seorang pemandu teksi dan dibawa ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Menurutnya, Murphy diberi rawatan kecemasan di balai polis sebelum dihantar ke hospital selepas membuat aduan.
Polis kini mengesan pondan yang menyerang lelaki itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:09 AM


KEADAAN Murphy ketika membuat laporan di sebuah balai polis di Pattaya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/99870#sthash.ZgbiUS7q.dpuf

Isteri Datuk diserang, mati ditetak


Jenazah isteri kepada seorang pesara bergelar Datuk dituntut anggota keluarga di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.


IPOH – Isteri seorang pesara bergelar Datuk maut selepas ditetak pada belakang leher di rumahnya dekat Taman Lake View, Taiping malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam, mangsa yang berusia 68 tahun dan suami­nya yang berumur 82 tahun dikunjungi oleh seorang wani­ta yang merupakan saudara terdekat mereka bersama seorang pekerja lelaki wanita tersebut.
Sebaik kedua-dua tetamu berumur 78 dan 57 tahun itu masuk ke dalam rumah, dua lelaki bersenjatakan parang serta memakai topeng dan topi keledar bertutup penuh tiba-tiba muncul sebelum meluru masuk.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, salah seorang suspek terus bertindak mengikat kedua-dua tangan serta kaki Datuk berkenaan menggunakan selendang kepunyaan tetamu wanita terbabit.
“Pekerja lelaki itu pula diugut dan diacukan parang pada lehernya sebelum isteri Datuk tadi dibawa ke sebuah bilik tidur.
“Beberapa minit kemudian, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri manakala mang­sa ditemui dalam kea­daan berlumuran darah di dalam bilik,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3u9dEM0Ex 
Hakcipta terpelihara 

Masjid di California dibaling bom api




AP - ANGGOTA bomba kelihatan berusaha memadamkan kebakaran di sebuah masjid di bandar Coachella, California kelmarin.


LOS ANGELES – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyiasat kejadian sebuah masjid di negeri California yang cuba dibakar kelmarin, kata beberapa pegawai.
Beberapa pegawai masjid itu dipetik sebagai berkata oleh media AS bahawa seseorang telah membaling bom api ke arah bangunan tersebut.
Pasukan bomba bergegas ke Pusat Islam Palm Springs di bandar Coachella sejurus selepas asap dan api dilihat keluar dari bangunan masjid itu sekitar tengah hari, kata seorang jurucakap Jabatan Bomba Daerah Riverside.
Tiada kecederaan dilaporkan, manakala anggota-anggota bomba berjaya memadamkan api dalam masa setengah jam.
Jurucakap pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Los Angeles, Laura Eimiller berkata, ejen-ejen FBI kini membantu polis tempatan menyiasat perbuatan khianat itu.
Insiden tersebut berlaku sembilan hari selepas sepasang suami isteri beragama Islam di Sand Bernardino, kira-kira sejam pemanduan dari Palm Springs, membunuh 14 orang dan mencederakan 22 lagi dalam serangan yang disiasat oleh FBI sebagai se­rangan keganasan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3u9bNOSd1 
Hakcipta terpelihara