Search This Blog

Tuesday, December 8, 2015

Dua Maut, Seorang Parah Dalam Kemalangan Empat Kenderaan


Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 2:45 PM

JOHOR BAHARU: Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dengan empat kereta di KM45.2 Lebuh Raya Senai-Desaru, dekat Kota Tinggi, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Abdul Samad Salleh berkata dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, Haris Yusuf, 53, yang memandu kereta Proton Wira dan Tan Hock Sing@Mohamed Abdullah, 68, pemandu Perodua Myvi, maut di tempat kejadian.
Sementara, Mohd Ariffin Ngah, pemandu Nissan Sunny mengalami kecederaan parah.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika Haris yang datang dari arah Pasir Gudang menuju ke Desaru, Kota Tinggi bertindak memotong sebuah kenderaan lain lalu bertembung dengan sebuah lori tangki dari arah Desaru menuju Pasir Gudang," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Akibatnya, lori tangki berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Myvi, Nissan Sunny serta sebuah lagi Proton Wira.
Beliau berkata kedua-dua pemandu berkenaan maut akibat kecederaan parah di kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini, untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.

Dua Pemandu Lori Maut Kemalangan


Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 5:03 PM

IPOH: Dua pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandu mereka bertembung di Kilometer 78 Jalan Sitiawan-Taiping, kira-kira 80 kilometer dari sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harith Kam Abdullah berkata mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi ialah S. Bala, 34, berasal dari Batu 5, Segari dan Ng Chiang Soon, 37, dari Pekan Gurney, Sitiawan.
Kedua-dua mangsa yang cedera parah di badan serta kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat, katanya.
Beliau berkata kejadian berlaku apabila lori yang dipandu Ng dalam perjalanan dari Sitiawan ke Taiping dikatakan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang dipandu Bala.
"Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tersepit dan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa, katanya.

Penerbangan Kecoh, Lelaki Cuba Buka Pintu Kabin


Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 10:51 AM

BERLIN: Anak kapal dan penumpang pesawat Lufthansa berjaya menghalang seorang lelaki yang cuba membuka pintu kabin penerbangan dari Frankfurt menuju Belgrade pada Ahad.
Perkara itu didedahkan pesawat yang berpangkalan di Jerman dengan menegaskan keselamatan penerbangan itu tidak terancam.
"Seorang penumpang bangun dan cuba melakukan sesuatu di pintu, namun berjaya dihalang anak kapal dan penumpang lain.
"Penumpang itu kemudiannya dikawal sepanjang penebangan itu di tempat duduknya dan diserahkan kepada pihak berkuasa di Belgrade.
"Ia adalah pintu biasa yang sudah semestinya tidak boleh dibuka semasa penerbangan, ia bukan pintu kokpit.
"Keselamatan pesawat itu tidak terancam dan ia selamat mendarat di Belgrade," kata jurucakap penerbangan itu, Andreas Bartels.
Bartels bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mahupun warganegara penumpang tersebut.
Sebuah stesen televisyen Serbia melaporkan polis telah menahan seorang lelaki warga Jordan selepas cuba memasuki pintu kokpit pesawat Lufthansa.

Gempa Bumi 7.2 Skala Richter Gegar Tajikistan


Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 5:57 PM

WASHINGTON: Gempa bumi berukuran 7.2 skala Richter melanda timur negara Asia Tengah Tajikistan, Isnin, menurut pakar-pakar Amerika Syarikat.

Gegaran melanda pada pukul 7:50 pagi (waktu tempatan) kira-kira 109 kilometer (67 batu) dari barat bandar Murghob, pada kedalaman 28 kilometer, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Pusat gempa itu terletak di kawasan terpencil lebih kurang 345 kilometer ke timur ibu negara Dushanbe, katanya.

Seorang wartawan AFP di Dushanbe berkata gegaran kecil turut dirasai di bandar itu.
Gempa bumi itu turut dirasai di ibu negara jiran Kyrgyzstan ke utara, bahagian utara Afghanistan ke selatan dan juga berhampiran Pakistan dan India, tetapi tiada kerosakan segera dilaporkan.

"Saya dapat merasakan tingkap bergerak dan ia hanya berlaku apabila ada gempa bumi. Bilik itu berayun, " kata Sara Seerat, seorang peguam di  Islamabad, ibu negara Pakistan.

Dua maut kemalangan lima kenderaan

Johor Bahru: Dua maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.2 Lebuhraya Senai-Desaru dekat Pasir Gudang, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Abd Samad Salleh berkata, kemalangan kira-kira 6.30 pagi itu membabitkan lori tangki, dua Proton Wira, Datsun dan Perodua Alza.
Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Tan Hock Sing@Mohamed Abdullah, 68, berasal dari Tanjung Sedili Kota Tinggi dan Haris Yusuf, 53, dari Panchor Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Mangsa yang parah pula dikenal pasti sebagai Mohd Ariffin Ngah dan dia dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 12:01 PM


Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98480#sthash.QmPSMBVd.dpuf

Kenderaan klon RM30 juta disita

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 371 kenderaan klon bernilai RM30 juta dalam tempoh setahun sejak November tahun lalu.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, melalui operasi khas dalam tempoh berkenaan, dua anggota sindiket turut ditahan
Katanya, pelbagai kenderaan klon dirampas, antaranya Honda Jazz, Honda Civic, Honda Odyssey, Honda Stream dan Toyota Wish.
"Kenderaan itu dibawa masuk melalui negara jiran iaitu Singapura dan dijual dengan harga yang murah antara RM12,000 hingga RM20,000 sebuah.
"Pembeli tahu mereka membeli kenderaan klon kerana dijual dengan harga yang lebih murah," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Operasi Khas di JPJ Panji, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ), Datuk Azam Baki
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 2:35 PM


Ismail ( kanan ) bersama Azam ( dua dari kanan ) memeriksa sebahagian daripada 371 kenderaan klon bernilai RM30 juta yang disita JPJ. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98492#sthash.ReZbSIxE.dpuf

Dua maut lori bertembung

Beruas: Dua pemandu lori maut apabila lori dipandu mereka bertembung dalam kejadian di Jalan Sungai Rotan, dekat sini, 8.55 pagi tadi.
Mangsa, lelaki berusia 45 dan 49 tahun maut di tempat kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.03 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping ke tempat kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis turut membantu.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
"Kemalangan itu membabitkan lori enam tan dipandu mangsa berusia 45 tahun dan lori 12 tan dipandu mangsa berusia 49 tahun," katanya.
Menurutnya, mangsa yang tersepit dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi diketuai Penguasa Bomba Kanan II Mohd Hisham Osman dan tamat sepenuhnya pada 11.42 pagi.
Pix : anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 3:26 PM


Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang maut. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98496#sthash.Rn44xyDs.dpuf

Lelaki jatuh ketika seberang sungai dikhuatiri lemas

Rantau Panjang: “Saya berdoa biarlah dia ditemui selamat,” kata Awang Noh Awang Chik, 61, bapa kepada Mohd Khairul, 27, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari tebing Sungai Golok di sini, malam kelmarin.
Mohd Khairul dipercayai lemas ketika cuba menyeberangi sungai itu dari negara jiran bersama rakannya yang sempat menyelamatkan diri, jam 10 malam.
Difahamkan ketika kejadian, kedua-dua mangsa dihanyutkan arus sungai.
Awang berkata, dia dimaklumkan berhubung kejadian menimpa anak keempat daripada tujuh beradik itu jam 6 pagi semalam oleh rakan anaknya dikenali Nijam, 27.
“Sebelum itu, Mohd Khairul keluar rumah di Kampung Banggol Kulim di sini, sekitar 3 petang (kelmarin) dan pulang sekitar jam 11 atau 12 malam.
“Tetapi sampai pagi tadi (semalam) dia tak pulang. Sebaliknya Nijam datang memaklumkan Khairul jatuh ke sungai,” katanya, di sini, semalam.
Berikutan itu dia membuat laporan pagi semalam, di Balai Polis Rantau Panjang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Rahmat Kamaruzaman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 8.00 pagi semalam.
Katanya, sepasukan 18 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan Pengkalan Kubor turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Katanya, kawasan carian tertumpu di lokasi mangsa terjatuh hingga ke Jambatan Muhibbah sejauh lebih satu kilometer.
“Operasi turut dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bermula 9 pagi tadi (semalam) sehingga 6 petang.
“Kami belum jumpa petunjuk dan operasi bersambung hari ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 8:12 AM


Awang Noh melihat lokasi Mohd Khairul yang dikhuatiri lemas terjatuh ke Sungai Golok.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98438#sthash.41FfbbEa.dpuf

Warga emas nasihat penyamun gelang

Tumpat: Seorang warga emas sempat menasihati peragut yang melarikan gelang emas dipakainya supaya tidak melakukan perbuatan itu kerana dilaknat Allah SWT.
Bagaimanapun, tindakan itu ibarat mencurah air ke daun keladi apabila lelaki berusia 25 tahun terbabit tidak mengendahkannya, malah menolak wanita itu hingga jatuh.
Aminah Awang Teh, 62, yang juga pemilik kedai runcit di Kampung Jubakar Pantai, di sini, berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi Sabtu lalu ketika lelaki itu berpura-pura mahu membeli minyak di kedainya.
“Dia minta mak cik isikan petrol di dalam plastik untuk motosikalnya dengan alasan mudah dipegang. Sebelum itu, mak cik sudah isi separuh di dalam botol.
“Belum habis mengisi minyak itu, dia menyambar tangan mak cik dan cuba meragut gelang emas di tangan kanan.
“Kami bergelut ketika itu dan sempat mak cik pegang tangannya dan nasihatkan supaya tidak berbuat demikian kerana dia bakal ditangkap. Lagipun perbuatan itu dilarang Allah SWT.
“Mak cik kenal dia sebab itu nasihat begitu, tapi dia tidak endahkan dan tolak mak cik sehingga jatuh,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Akibat kejadian itu, Aminah cedera ringan dan kerugian RM1,500.
Katanya, dia tidak sangka kejadian itu berlaku apatah lagi sudah mengenali lelaki terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan terbabit.
“Kami mengesan suspek berdasarkan keterangan mangsa dan berjaya menangkapnya pada hari kejadian.
“Berlaku sedikit pergelutan kerana suspek bertindak agresif dan kes disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan kerana meragut,” katanya.
Sebelum itu, gambar lelaki berkenaan viral di laman sosial kerana didakwa meragut dan berjaya ditahan penduduk kampung.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 7:01 AM


SUSPEK berjaya ditahan pada hari kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98558#sthash.It7vOFjl.dpuf

Setinggan di Mumbai terbakar



AGENSI - kepulan asap hitam menyelubungi penempatan setinggan Kandivali di Mumbai India semalam.


MUMBAI – Kebakaran besar memusnahkan sebuah kawasan setinggan di Mumbai semalam, kata pihak berkuasa dengan ramai penduduk dikhuatiri terperangkap dalam penempatan padat tersebut.
Rakaman video dan gambar di laman Twitter menunjukkan kepulan asap hitam menyelubungi setinggan Kandivali, dengan beberapa laporan menyatakan, api merebak selepas beberapa tong gas meletup.
“Ini kebakaran besar. Anggota polis dan bomba sudah berada di sana. Mereka sedang sibuk dengan usaha menyelamat tetapi berdepan banyak masalah kerana kawasan itu terlalu padat.
“Kami khuatir penduduk di setinggan itu mungkin terperangkap,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Mumbai, Dhananjay Kulkarni kepada agensi berita AFP tanpa memberikan jumlah mangsa yang terlibat.
Dua individu dilaporkan melecur dan dibawa ke sebuah hospital untuk dirawat, tambah Dhananjay.
Seorang pegawai bomba di Mumbai berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kebakaran itu sekitar pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.
“Sebanyak 16 jentera bomba telah dihantar, manakala anggota-anggot kami bertungkus lumus untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya.
Pada Jun lalu, kebakaran di sebuah blok pangsapuri di Mumbai membunuh tujuh orang selepas mereka terperangkap di dalam lif di tingkat atas bangunan tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3tgDZMTgW 
Hakcipta terpelihara 

Banjir makin buruk


SEBAHAGIAN kawsan di bandar Cockermouth ditenggelami air kelmarin.


LONDON – Pasukan tentera digerakkan kelmarin selepas banjir melanda lebih banyak bandar di daerah Cumbria, barat England, dengan pihak berkuasa mengisytiharkan ‘bencana besar’ menimpa kawasan berkenaan.
Banjir kali ini disebabkan oleh Ribut Desmond yang membawa hujan lebat dan angin kencang ke Britain.
Selain England, beberapa kawasan di Scotland dan Wales Utara turut terjejas akibat ribut itu, manakala kerajaan mengeluarkan sekitar 100 amaran banjir teruk di seluruh Britain, kebanyakannnya melibatkan penempatan di tebing sungai.
“Pihak tentera telah digerakkan untuk membantu mereka yang terjejas akibat Ribut Desmond dan banjir,” kata Perdana Menteri, David Cameron dalam satu kenyataan di laman Twitter.
Menurut Cameron, beliau akan mempengerusikan satu mesyuarat Kabinet tergempar semalam bagi memastikan segala usaha dilakukan untuk membantu mangsa banjir.
Di Carlisle yang merupakan bandar paling utama di Cumbria, polis menasihati penduduk supaya berada di dalam rumah kelmarin selepas kebanyakan jalan ditenggelami air.
Banjir turut dilaporkan di Cockermouth, Appleby, Windermere, Kendal, Keswick dan beberapa bandar lain di Cumbria. Beratus-ratus keluarga telah dipindahkan di daerah itu, manakala banyak hospitalnya terputus hubungan. Jalan-jalan raya dan landasan kereta api pula dihalang oleh banjir dan tanah runtuh sementara bekalan elektrik ke beribu-ribu kediaman turut terejejas.
“Pada masa ini, hospital kami di Lancaster, Kendal dan Cumberland Barat paling teruk terjejas,” kata pengarah kesihatan tempatan, Doktor Craig Melrose.
Di London, polis berkata, seorang lelaki berumur 90 tahun meninggal dunia pada Sabtu lalu selepas dia ditiup angin kencang dan melanggar sisi sebuah bas yang bergerak semasa berada di kaki lima jalan. – dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3tgCwJ1d9 
Hakcipta terpelihara 

Rebah sebelum masuk stadium



Mangsa meninggal dunia setelah rebah di pekarangan parkir Stadium Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Hasrat seorang warga emas untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dengan Pahang di Stadium Shah Alam di sini kelmarin tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia akibat serangan jantung.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Zainal Maudin, 60, tiba-tiba rebah di pekarangan parkir motosikal di stadium berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (gambar kecil) berkata, kejadian itu disedari beberapa penonton lain yang berada di kawasan berkenaan.
“Difahamkan, mangsa yang merupakan penyokong pasukan Selangor meninggal dunia sebelum masuk ke dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.
“Mangsa yang datang dari Hulu Selangor disahkan mati mengejut akibat serangan jantung dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, dalam perlawanan berkenaan, Selangor menang 2-0 ke atas Pahang sekali gus layak ke final Piala Malaysia 2015 menentang Kedah.
Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 12 Disember ini.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3tgBQmMhN 
Hakcipta terpelihara 

Rogol gadis bawah umur




LIMA lelaki termasuk seorang remaja diiringi keluar dari mahkamah selepas dituduh atas kesalahan merogol gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Lima lelaki termasuk seorang remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di tandas sebuah taman rekreasi di sini pada September lalu.
Tertuduh ialah Muhammad Nuzul Ikhram Nurallail, Mohamad Ridzuan Mohd. Asri dan Muhammad Azlan Lazan yang masing-masing berusia 19 tahun manakala Muhammad Saiful Fauzi, 18, dan seorang remaja berusia 16 tahun.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh itu mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan serentak terhadap mereka di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abd. Aziz.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dan seorang lagi yang masih bebas didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di tandas awam taman rekreasi Taman Setia Tropika di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada 30 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurashikin Ibrahim manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Nurashikin dalam hujah pendakwaannya tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap kesemua tertuduh yang semuanya berasal dari Johor Bahru dan memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya masih menunggu laporan perubatan serta sampel Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Mohamad Haldar memutuskan tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Disember depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3tgB4upwW 
Hakcipta terpelihara 

Rizalman salahkan pegawai kanan




Rizalman


WELLINGTON, New Zealand – Bekas pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Muhammad Rizalman Ismail mendakwa dia tertekan di tempat kerja disebabkan pegawai-pegawai kanan yang korup.
Selain itu, Rizalman turut mendakwa budaya menyalahkan kakitangan bawahan menyebabkan dia diberikan penilaian buruk.
Pendedahan terbaru itu merupakan sebahagian daripada laporan seorang Profesor Psikiatri Universiti Auckland, Graham Mellsop ke atas keadaan mental Rizalman yang didedahkan di Mahkamah Tinggi Wellington semalam, lapor akhbar New Zealand Herald.
Rizalman, 39, minggu lalu me­ngaku berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita, Tania Billingsley di rumahnya pada bulan Mei 2014, tetapi dia mempertikai beberapa aspek kes pendakwaan ke atasnya.
Pendengaran di mah­kamah semalam diadakan bagi memilih versi fakta kes yang akan diguna pakai sebelum hukuman dijatuhkan.
Rizalman sebelum ini mendakwa melihat Billingsley yang ketika itu berumur 21 tahun, di Brooklyn dan wanita itu memberi satu pandangan seolah-olah membenarkan defendan mengikutnya pulang.
Rizalman memaklumkan dia mahu berbual dengan mangsa tentang masalah yang dihadapinya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3tgAiIpV0 
Hakcipta terpelihara 

Buaian gergasi tapak pesta tumbang di PD



OPERASI tapak pesta ria keluarga di PD Waterfront terpaksa digantung selepas buaian gergasi yang lebih dikenali sebagai swing ride tumbang.


PORT DICKSON – Suasana ceria musim cuti persekolahan di tapak pesta ria keluarga di PD Waterfront di sini awal pagi semalam bertukar cemas apabila permainan buaian gergasi tumbang menyebabkan tiga pe­ngunjung cedera.
Dalam kejadian pada pukul 12.05 pagi itu, Hawa Liana Kamar Bashah, 21, dilaporkan patah kaki kiri akibat tersepit pada kerusi buaian, manakala Abd. Rahman Mohamad, 35, dan Nor Aminur Rahid Nor Hisham, 17, cedera ringan.
Kedua-duanya lelaki itu dikatakan tercampak dari kerusi masing-masing ketika buaian yang turut dikenali sebagai swing ride sedang berpusing pada ketinggian tiga meter.
Sepasukan anggota dari Ba­lai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menge­luarkan mangsa yang tersepit.
Mereka terpaksa menggunakan tangga untuk memotong rantai buaian setinggi kira-kira tiga meter bagi menurunkan mangsa.
Ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson di sini untuk rawatan dan dua daripada mereka dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3tgA9OQdG 
Hakcipta terpelihara 

Penuhi impian dengan kereta klon


Sebahagian daripada 31 buah kenderaan klon yang disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Panji, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Toyota Alphard berharga RM25,000! Demikian pendedahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kegiatan mengklonkan pelbagai jenis kenderaan mewah di negara ini.
Satu sumber JPJ memberitahu, sehingga kini dipercayai kira-kira 3,000 hingga 5,000 buah kenderaan klon jenama mewah sudah diseludup masuk dari beberapa buah negara jiran seperti Thailand oleh sindiket mengklonkan kenderaan yang berpusat di ibu negara.
Bayangkan, dalam Ops Khas Kereta Klon oleh JPJ selama tiga hari bermula Jumaat lalu di daerah ini, JPJ berjaya merampas 31 buah kenderaan klon mewah seperti BMW, Mini Cooper, Mercedes-Benz, Honda dan Toyota. Semua kenderaan klon terpakai dari negara jiran itu lazimnya dijual pada harga bawah RM25,000 sebuah iaitu cuma 10 peratus daripada harga sebenar kenderaan itu.
Kata sumber JPJ itu, modus operandi sindiket yang didalangi warga tempatan itu akan mencari pelanggan yang mahu membeli kereta klon secara online dan mengambil deposit sebanyak RM5,000 bagi setiap tempahan kenderaan.
Selepas beberapa hari, kenderaan itu akan dihantar kepada pembeli menggunakan khidmat keldai kereta klon atau dihantar sendiri oleh ketua sindiket.
Kebanyakan pemilik kenderaan klon mengakui mereka tahu kereta dibeli adalah kereta klon tetapi disebabkan tidak mampu memiliki kenderaan sebenar, mereka mengambil risiko membeli kereta klon.
“Pembeli kereta klon merupakan golongan pertengahan yang ingin tampil bergaya dan ada dalam kalangan mereka merupakan penjawat awam,” kata sumber JPJ itu lagi.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti Ops Khas Kereta Klon oleh JPJ itu sempat menemu bual seorang penjawat awam berusia 40-an yang ditahan di sini kerana membeli kereta Honda Jazz klon menerusi sebuah sindiket di ibu negara.
“Saya menghubungi sindiket itu dan memberitahu model yang diingini. Apabila ada stok, mereka meminta deposit sebelum kereta diserahkan kepada saya,” katanya.
Turut ditahan dalam operasi itu ialah sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara Machang yang menaiki Honda Jazz yang diklon di Thailand.
Selain pemilik kereta klon, seorang ahli sindiket berusia 33 tahun turut ditahan JPJ di hadapan sebuah kafe berhampiran sebuah pasar raya di sini pada pukul 6.30 petang kelmarin.
Suspek ketika itu datang ke sini untuk menghantar kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard berwarna putih dari Kuala Lumpur.
Suspek yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Nibong Tebal, Pulau Pinang tetapi berasal dari Temerloh, Pahang mendakwa dia melakukan kerja itu bagi menambah pendapatan.
Menjelaskan lebih lanjut, sumber JPJ itu memberitahu, Toyota Alphard itu ditempah pelanggan pada harga RM25,000 dan siasatan mendapati MPV itu menggunakan nombor pendaftaran daripada kenderaan jenis sama di negara ini.
“Apa yang membezakan kenderaan klon dan kenderaan asal hanyalah nombor casis dan nombor enjin yang telah diubah suai oleh sindiket,” kata sumber JPJ.
Dalam operasi sama, JPJ turut menahan seorang lelaki keldai kereta klon berusia 30-an yang dalam perjalanan menghantar kereta Honda Civic warna hitam kepada pelanggannya pada Jumaat lalu.
Kedua-dua suspek itu kini disiasat dan JPJ juga sedang mencari saki-baki ahli sindiket terbabit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3tg9Wx9kj 
Hakcipta terpelihara