Senjata api menjadi kegilaan rakyat AS.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Umpama membeli makanan ringan. Itulah gambaran betapa mudahnya untuk membeli dan memiliki senjata api di Amerika Syarikat (AS).
Di negara Uncle Sam itu, terdapat beratus-ratus kedai menjual senjata api termasuklah di rangkaian pasar raya terkemuka, Walmart.
Malah, penjualan senjata api dilakukan secara terbuka dan terus kepada pelanggan seperti di ekspo senjata api yang dianjurkan hampir setiap minggu di negara tersebut.
Penggunaan senjata api oleh orang awam di AS termaktub dalam Pindaan Kedua Perlembagaan AS yang diluluskan pada 1791.
Perlembagaan kontroversi itu menyebut kebebasan dan hak rakyat untuk menyimpan senjata api tidak boleh dilanggar.
Berdasarkan tinjauan oleh Small Arms Survey pada tahun 2007, AS menjadi negara dengan pemilikan senjata api oleh orang awam tertinggi di dunia iaitu kira-kira 88.8 senjata bagi setiap 100 orang.
Ia diikuti oleh Yaman, Switzerland, Finland dan Serbia.
Penguatkuasaan lemah
Sebenarnya, AS mempunyai undang-undang yang menetapkan pemilikan senjata api.
Individu yang mempunyai rekod jenayah, penagih dadah, pesakit mental dan pernah terbabit dalam kes kekerasan rumah tangga diharamkan untuk memiliki senjata api.
Bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang yang lemah menyaksikan penjualan senjata api terus meningkat saban hari di AS.
Menurut Kementerian Kehakiman AS, pada tahun 2000 sahaja terdapat kira-kira 4,000 tapak penjualan senjata api di seluruh negara Uncle Sam itu.
Jumlah berkenaan dijangka terus meningkat sehingga ke hari ini.
Kelemahan paling ketara ialah tiadanya pemantauan senjata api di internet.
Sesiapa sahaja bebas menjual senjata api mereka di internet dan senjata api diserahkan tanpa melakukan pemeriksaan latar belakang si pembeli.
Transaksi jual beli internet inilah yang telah memberi laluan kepada seorang pemuda, James Holmes memiliki senjata api sebelum melepaskan tembakan rambang di sebuah panggung wayang di pinggir bandar Denver, Aurora pada 2012.
Dalam kejadian itu, seramai 12 orang maut dan 40 lagi cedera.
Menurut polis, Holmes membeli lebih 6,000 peluru dan selaras senapang AR-15 dari sebuah kedai senjata api tempatan.
Tempahan dibuat menerusi internet.
Pada 2011, pegawai tempatan di New York membuat penyelidikan betapa mudahnya membeli senjata api di AS apabila melakukan penyamaran dalam sebuah pameran senjata api di bandar raya berkenaan.
Hasilnya, pegawai yang menyamar berjaya membeli sepucuk pistol dan selaras senapang automatik tanpa melibatkan sebarang prosedur yang rumit
.