Search This Blog

Sunday, December 6, 2015

Ratu tak serik!

Jakarta: Seorang Ratu Dadah yang terlepas hukuman mati selepas mendapat pengampunan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2012 sekali lagi dijatuhi hukuman yang sama apabila didapati bersalah mengedar dadah.
Meirika Franola atau Ola yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup, dihukum mati oleh mahkamah kerana menjalankan urusan pengedaran dadah dari dalam penjara.
Seorang pegawai mahkamah, Suhadi semalam berkata, hukuman mati terhadap Ola diputuskan barisan tiga hakim Salman Luthan, Margono, dan Sumardiyatmo pada 30 November lalu.
“Ola dihukum mati mengikut tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Mahkamah mendapati ada bukti kukuh Ola mengedar dadah kepada masyarakat,” katanya.
Ola atau dikenali sebagai Ratu Dadah oleh media Indonesia dikaitkan dengan tahanan seorang keldai dadah wanita di lapangan terbang di Bandung.
Wanita yang dikenali sebagai Nur Aisyah itu ditahan bersama 775 gram dadah jenis syabu ketika tiba dari Kuala Lumpur.
Ketika disiasat, Nur Aisyah memberitahu dia diupah Ola untuk membawa dadah itu dari India ke Indonesia.
Ola mula terkenal selepas dia bersama suaminya seorang lelaki warga Afrika, Mouza Sulaiman Domala mengetuai satu sindiket pengedaran dadah bersama dua lagi sepupunya, Rani dan Deni.
Pasangan itu dan Deni ditangkap polis di lapangan terbang Jakarta pada Januari 2000 selepas cuba menyeludup 3.5 kilogram heroin dan tiga kilogram kokain ke London, Britain.
Selepas perbicaraan di mahkamah, ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2012.
Bagaimanapun, Ola dan Deni mendapat pengampunan Susilo yang menjadi Presiden ketika itu dan hukuman mereka ditukar kepada penjara seumur hidup.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:13 AM

OLA

Bookie bola sepak ditahan semula

Singapura: Seorang ahli perniagaan, Dan Tan ditahan semula seminggu selepas dibebaskan dari tahanan lebih dua tahun kerana disyaki mengendalikan sindiket mengatur perlawanan bola sepak dunia.
Polis Singapura berkata, Dan, 51, atau juga dikenali sebagai Tan Seet Eng ditahan lewat kelmarin kerana terbabit dalam aktiviti jenayah.
Tan dibebaskan dari tahanan seminggu lalu selepas mahkamah tertinggi negara itu memutuskan dia ditahan secara tidak sah.
“Kami mengesahkan Dan ditahan untuk siasatan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah.
“Siasatan terhadap lelaki itu masih berjalan,” kata polis dalam satu kenyataan semalam.
Seorang peguam Dan, Hamidul Haq berkata, dia tidak mengetahui dakwaan apa yang dikenakan terhadap lelaki itu yang membawa kepada penahanannya.
“Kami akan berusaha untuk menemui Dan sebelum memikirkan tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti polis akan membenarkan kami berjumpa dengannya atau tidak,” katanya.
Dan pernah dipenjara dan disiasat kerana terbabit dalam sindiket memanipulasi perlawanan di liga bola sepak Itali, Hungary dan Finland. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:15 AM

DAN

'Doktor' sebar HIV dipenjara 25 tahun

Phnom Penh: Seorang pengamal perubatan tidak berlesen dihukum penjara 25 tahun oleh sebuah mahkamah di Kemboja semalam selepas didapati bersalah menjangkiti lebih 100 penduduk dengan virus HIV.
Yem Chrin, 56, menjangkiti penduduk dengan virus HIV yang membawa penyakit AIDS apabila menggunakan semula jarum suntikan.
Sekurang-kurangnya 10 pesakit daripada 106 penduduk kampung Roka di wilayah Battambang yang dijangkiti virus maut itu meninggal dunia.
Jurucakap mahkamah di Battambang berkata, Chrin didapati bersalah berkelakuan kejam dengan menyebabkan kematian, sengaja menyebarkan HIV dan merawat pesakit tanpa lesen.
Chrin ditahan pada Disember tahun lalu dan diletakkan di bawah pengawasan polis kerana bimbang dipukul penduduk kampung yang berang.
Perbicaraannya berlangsung selama lima hari pada Oktober lalu.
Chrin yang merawat penduduk kampung dari 1996 hingga 2014 berkata, dia hanya mahu membantu komuniti itu dan bukan menyebarkan penyakit.
Pesakit yang dijangkiti HIV oleh Chrin berusia lingkungan tiga hingga 82 tahun termasuk beberapa sami
Buddha. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:40 AM


CHRIN dikawal polis ketika hadir ke mahkamah di Battambang pada Oktober lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97755#sthash.FtrZcbI2.dpuf

11 penumpang bas mini maut kemalangan

Bandung: Seramai 11 penumpang sebuah bas mini maut dan lima parah selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori berhampiran Tol Cipali di sini semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang (waktu tempatan) berlaku ketika bas mini yang sarat dengan 19 penumpang itu terbabas sebelum melanggar belakang sebuah lori.
Jurucakap polis, Sulistyo Pudjo Harton berkata, bas mini itu yang dalam perjalanan dari arah Jakarta menuju Cirebon dipercayai dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar lori berkenaan.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan ramai penumpang tercampak dari bas berkenaan yang remuk teruk.
“Kemalangan ini menyebabkan 11 penumpang maut, lima cedera parah dan tiga lagi cedera ringan,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital Bandung untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Katanya, apabila polis tiba, lori yang dilanggar bas mini itu sudah tiada di lokasi kejadian.
“Kami kini menyoal beberapa saksi dan cuba mengesan lori terbabit,” jelasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:40 AM


KEADAAN bas mini yang remuk selepas melanggar belakang sebuah lori di Tol Cipali, Bandung, semalam.

18 maut ditimbus

Bengkulu: Seramai 18 penduduk yang menunggu kebun durian mereka dipercayai maut selepas ditimbus tanah runtuh di kampung Lebong Tandai di Bengkulu Utara, Sumatera semalam.
Pasukan penyelamat menemui tiga mayat dan baki 15 mangsa dipercayai masih tertimbus di dalam timbunan tanah, pokok serta batu sedalam lima meter.
Jurucakap agensi penyelamat, Sutopo Purwo Nugroho berkata, hujan lebat menyebabkan lereng bukit berhampiran dusun durian berkenaan runtuh pada awal pagi semalam.
“Tanah runtuh ini menimbus kira-kira 20 pondok menunggu durian milik penduduk kampung.
“Semua mangsa yang hilang tidur dalam pondok berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya.
Menurutnya, usaha mencari mangsa yang tertimbus berdepan kesukaran kerana lokasi berkenaan sukar dimasuki jentera berat.
“Pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki kerana jalan ke kawasan ini tidak dapat dilalui kenderaan.
“Kami terpaksa berjalan kaki selama tiga jam untuk tiba ke lokasi sambil membawa peralatan ringan.
“Peluang untuk menemui mangsa yang terselamat sangat tipis kerana ditimbus terlalu dalam,” jelasnya.
Sementara itu, ketua kampung Lebong Tandai, Munta Alimun memberitahu, tanah runtuh itu juga menyebabkan jalan perhubungan penduduk terputus.
“Semua penduduk terputus hubungan kerana tiada kenderaan yang boleh masuk atau keluar dari kampung kami.
“Ramai penduduk hanya mempunyai bekalan makanan yang mampu bertahan selama dua atau tiga hari,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 5:41 AM


ANGGOTA penyelamat mengusung mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Bengkulu, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97759#sthash.9LAurowZ.dpuf

Hilang tempat tinggal

Manila: Ribuan orang hilang tempat tinggal akibat kebakaran besar di kawasan setinggan di Manila yang turut menyebabkan ratusan banduan bertempiar menyelamatkan diri dari sebuah penjara berhampiran.
Kira-kira 500 banduan wanita yang digari dipindahkan dari Penjara Bandar Manila ke gereja berhampiran untuk sementara waktu selepas api mula menjilat tembok luar pusat tahanan berkenaan, kata pegawai biro penjara kebangsaan, Superintendan Carolina Borrinaga.
Kejadian itu kebakaran besar kedua di Manila dalam tempoh hanya dua minggu.
“Mujur bomba sempat sampai sebelum penjara terbakar. Memang kita bernasib baik.
“Banduan terbabit dibawa semula ke penjara sebaik api berjaya dikawal,” kata Carolina.
Kebakaran pagi semalam itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 500 rumah setinggan di Quiapo terbakar, mengakibatkan sehingga 5,000 orang hilang tempat tinggal, kata jurucakap bomba kebangsaan, Renato Marcial.
Katanya, ada bomba yang pengsan akibat asap tebal dan kehangatan api, tetapi tiada penduduk cedera.
Penduduk yang berusaha menyelamatkan kediaman mereka turut cuba memadamkan api menggunakan air dalam baldi, manakala ramai yang lain menyelamatkan diri dengan memikul pakaian, televisyen serta perabot yang mampu dibawa.
Beberapa letupan kecil turut berlaku apabila tong gas masak terbakar.
Sementara itu, Marcial berkata, kebakaran mungkin berlaku selepas ramai penduduk menggunakan dapur gas dan menyalakan lampu kerana untuk menyiapkan sambutan Krismas.
Sebelum ini, pada 26 November lalu, kira-kira 800 rumah setinggan di Mandaluyong terbakar menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal. Mereka kini menumpang di taman awam, gimnasium dan sekolah sementara pihak berkuasa berusaha menyediakan kediaman sementara.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:03 AM


PENDUDUK membantu bomba memadamkan kebakaran.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97950#sthash.Fpl64SGN.dpuf

Lain bunuh diri lain yang mati

Madrid: Seorang lelaki berusia 81 tahun mati selepas dihempap seorang wanita yang terjun dari tingkat tujuh sebuah bangunan kerana cuba membunuh diri.
Lelaki warga emas itu duduk di atas bangku bersama isterinya apabila wanita berusia 48 tahun berkenaan menghempapnya.
Kejadian berlaku Rabu lalu di bandar peranginan Alicante.
Menurut akhbar tempatan El Mundo, wanita yang berdepan dengan tekanan hidup itu dibawa ke hospital di San Juan dengan kecederaan teruk.
Bagaimanapun, dia dilapor stabil.
Isteri lelaki itu yang berusia 85 tahun juga dimasukkan ke hospital sama kerana terkejut.
Pada 2013, seorang lelaki di Korea Selatan terjun dari tingkat 11 sebuah bangunan di Seoul dan menghempap seorang kanak-kanak berusia lima tahun.
Lelaki itu mati di tempat kejadian sementara kanak-kanak berkenaan mati beberapa hari selepas itu akibat kecederaan otak. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:04 AM


ALICANTE di Sepanyol, tempat kejadian berlaku.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97964#sthash.bsQycA5U.dpuf

Ketua ajaran sesat hadapi hukuman berat

London: Seorang ketua ajaran sesat berdepan mati di dalam penjara selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan serangan seksual ke atas dua wanita dan mengurung anaknya sendiri selama 30 tahun.
Aravindan Balakrishnan, 75, yang dikenali ‘Comrade Bala’ didapati bersalah atas 14 daripada 16 tuduhan yang dihadapinya pada perbicaraan di London, kelmarin.
Ketika membacakan keputusannya, hakim Deborah Taylor memberitahu Aravindan supaya bersedia dengan hukuman berat, setimpal dengan kesalahannya.
Lelaki itu juga dihantar ke penjara sementara menunggu laporan pemeriksaan psikiatrik.
Hukuman akan dijatuhkan 29 Januari depan.
Dalam keterangannya kepada Mahkamah Southwark County sebelum ini, anak Aravindan berkata, bapanya mengurung dia dan dua wanita lain selama 30 tahun di rumahnya dengan menakutkan mereka menggunakan ugutan dipanah petir jika meninggalkan rumah itu.
Dalam keterangan itu juga, dia mendakwa pintu dan tingkap di rumah berkenaan berkunci dan semua kunci disembunyikan.
Wanita berkenaan turut mendakwa, walaupun sakit, mereka tidak pernah dibenarkan berjumpa doktor dan Aravindan yang berasal dari Singapura hanya ketawa dan langsung tidak kisah dengan keadaan kesihatan mereka.
Dia ditahan dua tahun lalu selepas anak perempuannya menghubungi pertubuhan kebajikan untuk memberitahu dia dan dua lagi wanita termasuk seorang rakyat Malaysia dikurung di rumah mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:04 AM


ARAVINDAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98176#sthash.4SIjrM6G.dpuf

36 penabur dalam kepala

Beijing: Seorang wanita tertembak dirinya di kepala 36 kali dengan pistol penabur buatan sendiri milik suaminya.
Suaminya, Zhang Tung, mereka sendiri senjata berkenaan untuk memburu burung.
Selepas kembali memburu, dia menyiang burung berkenaan di dapur dengan meninggalkan pistol yang masih berisi penabur itu dilantai di sebalik pintu dapur di rumah mereka di Chengdu di wilayah Sichuan, barat daya China.
Isterinya yang cuba mengalihkan pistol itu tertekan pemicu pistol itu, menyebabkan 36 bebola keluli dalam senjata berkenaan menembusi kepalanya.
Zhang yang cemas menelefon ambulans dan isterinya dibawa ke hospital.
Doktor mengeluarkan 35 butir penabur itu dalam satu pembedahan, kecuali sebutir yang terlalu sukar dikeluarkan.
Keadaan isteri Zhang dikatakan masih kritikal.
Kecederaan yang dialami wanita itu boleh dilihat dalam filem x-ray yang menunjukkan penabur itu di dalam kepalanya.
Zhang mungkin didakwa kerana membuat senjata api secara haram. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:07 AM

DOKTOR berjaya membuang 35 bebola keluli daripada kepala isteri Zhang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98207#foto

Lebih 90 Rakyat Malaysia Masih Terkandas Di Chennai


Diterbitkan: Jumaat, 4 Disember 2015 4:00 PM

NEW DELHI: Lebih daripada 90 rakyat Malaysia masih terkandas di bilik hotel dan rumah mereka dengan pihak berkuasa India memperhebatkan operasi besar-besaran bagi mencari dan menyelamat mangsa.
Lebih banyak bot dan helikopter digunakan hari ini berikutan lawatan perdana menteri Narendra Modi lewat petang semalam ke kawasan yang terjejas teruk dengan gelombang kedua banjir.
Konsul Jeneral Malaysia R. Citra Devi ketika dihubungi berkata sehingga lewat malam tadi, kira-kira 249 rakyat Malaysia menghubungi pusat krisis banjir yang ditubuhkan pejabatnya untuk memberikan bantuan.
"Kira-kira 158 daripada mereka diselamatkan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dan ada yang berjaya mencari jalan ke Tiruchi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bengaluru di Karnataka," tambah Citra.
Beliau berkata sehingga pukul 10 pagi tadi, 91 pelancong dan pelajar Malaysia masih terkandas tetapi kebanyakan daripada mereka berada di 'zon selamat' dengan beberapa kawasan banjir sudahpun surut.
"Satu-satunya masalah utama yang kami hadapi di sini pada masa ini ialah kekurangan makanan dan kami tidak mempunyai sokongan logistik yang mencukupi khususnya bot untuk menyelamatkan mereka," kata Citra.
Konsul Jeneral itu berkata kebanyakan kedai dan pejabat masih ditutup dan bandar raya itu masih belum pulih.
Beliau berkata cuaca hari ini baik dengan beberapa stesen minyak di bandar itu sudah beroperasi.
Jabatan Meteorologi India (IMD) meramalkan lebih banyak hujan akan turun di Tamil Nadu pada 36 jam akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa penerbangan India mengumumkan tujuh penerbangan komersil beroperasi semula pagi ini dari pangkalan udara Rajali kira-kira 70 kilometer dari Chennai manakala lapangan terbang antarabangsa masih ditutup kerana landasan ditenggelami air.
Menteri Dalam Negeri India Rajnath Singh memberitahu Parlimen semalam bahawa sebanyak 269 orang maut akibat hujan lebat di Tamil Nadu, 54 di Andhra Pradesh dan dua kematian dicatatkan di Puducherry.-- Bernama

Pengurus Kewangan Kumpulan Mafia Ditahan Polis


Diterbitkan: Sabtu, 5 Disember 2015 11:12 AM

MEXICO CITY: Pasukan keselamatan persekutuan Mexico berjaya menahan adik kepada ketua kartel dadah generasi baharu di Jalisco yang bertanggungjawab menguruskan kewangan kumpulan mafia berkenaan.
Suspek, Antonio Oseguera Cervantes, 57, ditahan oleh polis dan tentera tanpa sebarang tembakan dilepaskan ketika dia memandu keseorangan di Tlajomulco de Zuniga, barat Jalisco.
Ketua Polis Persekutuan, Enrique Galindo berkata, penahanan suspek yang menguruskan kewangan kumpulan kartel itu adalah satu kejayaan besar pihaknya.
Jelasnya, Oseguera bekerja mengikut arahan abangnya iaitu Nemesio Oseguera atau digelar “El Mencho.”
Antonio Oseguera dilapor pernah dipenjara di Mississippi, Amerika Syarikat sebelum dibebaskan pada 2011.
Pada Jun lalu, pihak berkuasa berjaya menahan anak lelaki Nemesio Oseguera iaitu Ruben Oseguera Gonzalez yang digelar “El Menchito”.

Pengganas Serang London Tube


Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 1:59 PM

LONDON: Polis Britain sedang menyiasat kejadian tiga rakyatnya yang ditikam di stesen kereta api bawah tanah di sini pada Sabtu yang dikaitkan dengan pengganas.
Kejadian itu menyebabkan kesan darah memenuhi ruang membeli tiket di stesen berkenaan.
Saksi di Stesen Leytonstone menjerit "Kamu bukan Muslim" kepada suspek lelaki yang ditahan polis selepas menembak senapang elektrik, manakala satu bahagian lagi menunjukkan seorang pegawai polis pula menjerit "Buang pisau itu"demikian gambaran pada rakaman video amatur.
Serangan itu berlaku selepas Parlimen negara itu mengundi untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan Negara Islam (IS) daripada Iraq ke Syria.
Pasukan Anti-Pengganas Britain (CTC) sedang menyiasat kejadian pada pukul 7 malam pada Sabtu itu.
"Kami menggendalikan kes ini sebagai insiden pengganas," kata Komander CTC, Richard Walton.
Setakat ini, seorang lelaki ditahan di timur subbandar di sini.
Video amatur yang tersebar menerusi Internet menunjukkan percikan darah dan cap jari ditemui di kawasan tiket stesen kereta api berkenaan.
Kata Ibu Pejabat Scotland Yard, suspek lelaki itu dilaporkan telah mengancam dan mengugut orang awam menggunakan pisau.
"Tindakan itu menyebabkan seorang mengalami kecederaan serius, manakala dua lagi cedera ringan," katanya.-- AFP

13 Maut Apabila Bas Mini Dirempuh Komuter Di Jakarta Barat


Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 1:23 PM

JAKARTA: Tiga belas orang maut apabila bas mini Metromini yang dinaiki mereka dirempuh komuter elektrik di laluan Kalideres-Grogol berhampiran Stesen Angke, Jakarta Barat di sini, Ahad.
Siaran berita televisyen tempatan melaporkan, akibat rempuhan itu bas mini yang cuba melintasi rel komuter berkenaan remuk setelah diseret sejauh 400 meter dalam kejadian 8.48 pagi itu.
Pegawai Hubungan Manusia syarikat KAI Commuter Jabodetabek, Eva Chairunnisa dipetik sebagai berkata bagaimanapun kesemua penumpang komuter terselamat.
Beliau berkata, kerja-kerja mengeluarkan bangkai bas yang tersepit pada bahagian kepala komuter itu masih dilakukan dan pihaknya masih belum boleh membuat kenyataan berhubung punca kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Seksyen Tambora, Wirdhanto berkata setakat ini polis mengesahkan 13 orang maut manakala tiga lagi parah. Kesemua mereka adalah penumpang bas mini terbabit.
Katanya, kesemua mengsa dihantar ke Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo, Jakarta Pusat dan hospital berhampiran.
Kemalangan itu mengakibatkan laluan menuju ke Angke di Jakarta Barat mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga sekarang. -- Bernama

Dadah Bernilai Hampir RM400,000 Dirampas Woodlands


Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 9:36 AM
- Gambar hiasan

SINGAPURA: Pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Woodlands (ICA) menemui kira-kira 1.4 kilogram heroin and 1 kilogram kanabis bernilai S$130,400 (S$1=RM3.01) dalam treler yang didaftar di Malaysia, Jumaat.

Kenyataan bersama ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata seorang pemandu warga Malaysia berumur 27 tahun dan barangan yang dirampas itu kemudiannya dirujuk kepada CNB untuk siasatan lanjut.

Treler itu yang membawa papan diperiksa sebaik tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands

32 Pekerja Maut Pelantar Minyak Di Laut Kaspia Terbakar


Diterbitkan: Ahad, 6 Disember 2015 10:05 AM

BAKU: Seramai 32 pekerja telah terbunuh dan 42 berjaya diselamatkan dari pelantar minyak luar pesisir yang terbakar di perairan kawalan Azerbaijan di Laut Kaspia, menurut ketua jawatankuasa bebas, Sabtu.

Syarikat tenaga negeri, SOCAR enggan mengulas.

"Menurut maklumat kami, 32 pekerja meninggal dunia, manakala 42 pekerja telah diselamatkan semalam.

"Api di platform akhirnya berjaya dipadamkan," kata Mirvari Gakhramanly, Ketua Jawatankusa Pelindung Hak Pekerja Minyak  Azerbaijan, kepada Reuters.

SOCAR pada Jumaat berkata bahawa kebakaran berlaku selepas saluran paip gas di platform rosak dalam keadaan angin kencang. Ia berkata percubaan menyelamat adalah rumit kerana ribut yang teruk.

Seorang pekerja memanggil seorang wartawan Reuters dari platform dan berkata terdapat 84 orang yang terperangkap di sana. Pekerja itu tidak mahu namanya disiarkan.

SOCAR juga berkata bahawa pekerja-pekerja juga telah hilang selepas kemalangan di satu lagi platform minyak luar pesisir semasa ribut.

Satu operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, katanya.

Seramai 14 pekerja telah terbunuh dalam kemalangan di pelantar minyak dan gas SOCAR pada 2014.

Ahli perniagaan maut, 
isteri parah ditembak di Hatyai


LEE AH HAN maut dipercayai ditembak ketika dalam perjalanan ke bandar Hatyai, selatan Thailand, semalam.
ALOR SETAR 4 Dis. – Seorang ahli perniagaan Malaysia maut, manakala isterinya parah selepas ditembak bertubi-tubi dengan senjata M-16 ketika dalam perjalanan ke bandar Hatyai, selatan Thailand, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan (1 petang Malaysia) semasa mangsa Lee Ah Han, 54, dan isterinya berusia 40-an yang juga warga Malaysia dalam perjalanan dari sempadan Malaysia-Thailand di Danok ke Hatyai.
Menurut sumber, semasa tiba di persimpangan lampu isyarat di Ban Khlong Pom, Kanchanawanit Sadao-Hatyai Road iaitu kira-kira 45 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand, kedua-dua mereka yang menaiki kereta Mercedes-Benz didatangi dua lelaki menaiki sebuah kereta.
“Suspek kemudian melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah Ah Han dan isterinya sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber itu, Ah Han yang juga dikenali sebagai Ali Baba, berasal dari bandar ini dan terlibat dalam pelbagai projek hartanah di selatan Thailand meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Dengan bantuan orang ramai, isteri mangsa dihantar ke Hospital Prince of Songkhla University (PSU) untuk rawatan,” katanya.
Sementara itu, abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, beberapa ahli keluarga juga sedang berada di Hatyai untuk urusan menuntut mayat dan melawat isteri mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ahli-perniagaan-maut-8232-isteri-parah-ditembak-di-hatyai-1.165811#sthash.4mXbwobj.dpuf

Tembak kakak kerana mengundi


Gambar hiasan.
ISLAMABAD - PAKISTAN. Seorang lelaki menembak mati kakaknya kerana mengingkari arahannya untuk tidak mengundi pada pilihan raya tempatan Pakistan.
Pembunuhan tersebut berlaku di banda Taxila, 25 kilometer barat Islamabad pada Selasa.
Pegawai polis tempatan, Naeem Abbas berkata, Danish Ali, 20, berang dengan tindakan kakaknya, Asifa Noreen, 32, seorang guru yang tetap membuang undi walaupun dilarang.
"Berdasarkan laporan yang dibuat bapa mangsa, Ali menembak Noreen dengan pistol miliknya di kediaman mereka dan anak perempuannya itu mati serta merta di tempat kejadian," kata Abbas dipetik AFP.
Polis masih mencari Ali yang melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Insiden kejadian wanita yang dibunuh kerana mengundi jarang berlaku, walaupun sebelum ini beratus-ratus wanita Pakistan dibunuh setiap tahun dalam kes-kes keganasan rumah tangga atau atas alasan mempertahankan maruah keluarga.
Sementara itu, The Aurat Foundation yang merupakan kumpulan yang berperanan membela nasib kaum wanita di Pakistan berkata, lebih 3,000 wanita dibunuh dalam kes serangan sejak tahun 2008.

Bekalan elektrik terputus, 14 maut


Penduduk duduk di atas palet kayu sementara menunggu bantuan tiba.- Foto: AFP
CHENNAI - INDIA. Sekurang-kurangnya 14 orang meninggal dunia akibat gangguan bekalan kuasa elektrik di salah sebuah hospital yang dilanda hujan lebat di bandar Chennai, semalam.
Menurut laporan awal, 14 pesakit dibawa ke Hospital MIOT dalam keadaan kritikal dan mereka gagal diselamatkan selepas alat bantuan pernafasan berhenti berfungsi ketika sedang menerima rawatan.
Setiausaha Kesihatan Tamil Nadu berkata, pihak berkuasa negeri telah menyediakan yang terbaik dalam menyediakan penjagaan kesihatan sempurna untuk rakyatnya di semua hospital.
"Semua usaha telah diambil untuk menyediakan bantuan yang mungkin kepada semua penduduk yang terjejas banjir di seluruh negeri," katanya turut menggesa media supaya tidak menyebarkan berita yang terus membuatkan penduduk semakin panik.
Sementara itBekalan elektrik terputus, 14 mautu, laporan lain mendakwa sekurang-kurangnya 40 pesakit telah dibawa ke hospital di bandar sama untuk menerima rawatan, namun 15 daripada mereka meninggal dunia kerana alat bantuan pernafasan terhenti dan terkena kejutan elektrik, lapor Zeenews.

Pengajar institut memandu pun tidak ikut peraturan jalan raya


HULU TERENGGANU 5 Dis. - Seorang pengajar institut memandu turut ditahan bersama 70 pengguna jalan raya kerana memandu melebihi had laju di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), di sini semalam.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintenden Kamaludin Mohamad berkata, lelaki berusia 40 tahun itu didapati memandu dengan kelajuan 132 kilometer sejam.
Beliau berkata, kebanyakan kesalahan yang dilakukan ialah memandu melebihi had laju.
"Purata dua hingga tiga kes direkod sehari melibatkan kemalangan seperti terbabas, langgar belakang, langgar haiwan ternakan dan lopak air," katanya.- BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengajar-institut-memandu-pun-tidak-ikut-peraturan-jalan-raya-1.165870#sthash.j64EIfBQ.dpuf

Dua beranak ditemukan 
mati di dalam rumah


BUKIT MERTAJAM 2 Dis. – Seorang jiran yang melintasi hadapan sebuah rumah di Taman Mas dekat Perai di sini, terkejut selepas melihat seorang lelaki tergantung pada pintu bilik di tingkat atas rumah itu.
Sejurus selepas itu, dia segera memaklumkan kepada penghuni rumah terbabit yang terus menghubungi polis pada pukul 8.50 pagi ini.
Polis yang membuat pemeriksaan turut menemukan mayat seorang lagi wanita warga emas dipercayai ibu lelaki berusia 45 tahun itu yang terbaring di atas katil di bilik bawah rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, tiada sebarang kesan kecederaan ditemukan pada mayat wanita berusia 75 tahun itu yang dipercayai menghidap penyakit berdasarkan penemuan botol ubat berhampiran katilnya.
“Rumah itu didiami lima anggota keluarga, namun ketika kejadian abang lelaki ini keluar bekerja di luar kawasan.
“Jiran mereka yang ingin ke tempat kerja ternampak mayat lelaki itu tergantung pada alang pintu bilik sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Rusli, lelaki itu dipercayai mati antara pukul 1 pagi hingga 8.30 pagi ini dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Jelasnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali berkata, anak saudara lelaki itu memberitahu ada terdengar bunyi benda terjatuh dari bilik bapa saudaranya kira-kira pukul 1.30 pagi ini, namun tidak dihiraukan.
“Dia dan ibunya terkejut apabila diberitahu ada mayat tergantung pada alang pintu bilik dihuni bapa saudaranya,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-beranak-ditemukan-8232-mati-di-dalam-rumah-1.164874#sthash.xV5mxuP5.dpuf