Search This Blog

Thursday, December 3, 2015

186 korban banjir

Chennai: India semalam mengerahkan tentera ke Tamil Nadu dan menutup lapangan terbang utama negeri itu selepas banjir akibat hujan lebat sejak empat minggu lalu semakin buruk hingga menyebabkan hampir 200 terbunuh.
Ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu selepas landasannya dinaiki air memaksa puluhan penerbangan dibatalkan.
Pihak berkuasa berkata, pasukan penyelamat yang membawa bersama mereka kelengkapan menyelam, bot getah dan kelengkapan perubatan ditugaskan memindahkan mangsa di tempat selamat di seluruh negeri itu.
“Sekurang-kurangnya 10,000 polis dan perenang terlatih dikerah untuk membantu usaha menyelamat,” kata Ketua Polis Chennai JK Tripathy.
Menurutnya, 186 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana yang memasuki minggu keempat itu.
“Keadaan memang menyedihkan. Sebahagian kawasan tenggelam sama sekali,” kata SP Selvan, jurucakap Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan SP Selvan.
“Jika hujan berhenti, keadaan akan bertambah baik. Jika ia berterusan malam ini (semalam), lebih banyak masalah akan timbul.
Pihak berkuasa bekata, lapangan terbang itu akan ditutup sekurang-kurangnya sehingga hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Meteorologi India LS Rathore berkata, hujan lebat dijangka berterusan sekurang-kurangnya selama 72 jam lagi.
India mengalami banjir setiap kali musim monsun dari Jun hingga September.
Ratusan mati di Srinagar September tahun lalu dan ribuan lagi penduduk terperangkap di bumbung rumah masing-masing apabila hujan lebat selama beberapa hari menyebabkan air Sungai Jhelum memecahkan tebing.
Sebahagian Chennai terputus bekalan elektrik semalam dan siaran televisyen menunjukkan penduduk di kawasan terjejas mengharungi air paras pinggang dengan ramai menjunjung barangan masing-masing.
Perkhidmatan bas dan kereta api juga terjejas.
Media tempatan melaporkan, sekolah di Chennai terpaksa ditutup sementara peperiksaan ditangguhkan akibat banjir.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:07 AM


PENDUDUK mengharung banjir di Chennai, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97512#sthash.N7EuiY0f.dpuf

Polis, pendatang bertempur lagi

Idomeni (Greece): Polis Macedonia melepaskan gas pemedih mata terhadap ratusan pendatang, kebanyakannya warga Pakistan yang cuba merempuh masuk ke negara itu dari Greece dalam usaha untuk ke negara kaya di utara Eropah.
Keganasan terbaru itu tercetus selepas kira-kira 200 orang tidak dibenarkan menyeberang sempadan mula berjalan beberapa kilometer sepanjang pagar yang baru dibina untuk mencari laluan alternatif.
Polis Macedonia melepaskan gas pemedih mata untuk memaksa mereka berundur dan seorang anggota turut dilihat melepaskan tembakan ke udara.
Ketegangan turut berlaku pada hujung minggu lalu selepas seorang pendatang dipercayai warga Maghribi direnjat dan melecur teruk selepas memanjat bumbung gerabak kereta api.
Keputusan untuk menyaring pendatang berdasarkan kewarganegaraan itu mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi manusia yang menganggap permohonan suaka sepatutnya diberikan atas dasar merit.
Menteri Migrasi Greece, Yannis Mouzalas berkata, kerajaannya cuba memujuk kira-kira 1,500 pendatang yang terkandas di sempadan supaya datang ke Athens dan memohon suaka di negara itu.
Ada pendatang terbabit memberitahu pihak berkuasa Greece mereka rela dihantar pulang ke negara asal, namun kerajaan Pakistan setakat ini tidak mengendahkan permohonan untuk menerima mereka semula.
Organisasi Antarabangsa untuk Imigran (IOM) tiada wang untuk menghantar mereka pulang. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:12 AM


PENDATANG merayu polis Macedonia membenarkan mereka memasuki sempadan dari Greece dalam keadaan hujan lebat di Idomeni.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/97516#sthash.Q6ly4zCY.dpuf

Blade Runner Bersalah Bunuh Teman Wanita


Diterbitkan: Khamis, 3 Disember 2015 6:48 PM

BLOEMFONTEIN: Mahkamah Rayuan tertinggi di Afrika Selatan mengubah keputusan terdahulu apabila memutuskan atlet paralimpik Oscar Pistorius bersalah membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp pada Hari Valentine 2013.
Tahun lalu, hakim mengenakan hukuman penjara lima tahun dan kini menjalani hukuman tahanan dalam rumah. Bagaimanapun pihak pendakwaan menganggap atlet yang dikenali sebagai Blade Runner itu sepatutnya dikenakan hukuman lebih berat.
Pistorius ke mahkamah untuk menghadapi keputusan kes itu yang mendapati dia bersalah membunuh. Jika bersabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Atlet itu membunuh Steenkamp ketika wanita itu berada dalam tandas berkunci dengan melepaskan empat das tembakan.
Susulan keputusan terbaharu ini, Pistorius akan kembali menjalani hukuman penjara, lapor wakil BBC, Pumza Fihlani di Johannesburg.
Membacakan keputusan yang dicapai lima panel, Hakim Lorimer Leach berkata, sepatutnya Pistorius tahu tembakan menggunakan senjata itu boleh menyebabkan seseorang itu terkorban.
Bagaimanapun, Pistorius masih mempertahankan tindakannya itu kerana menganggap rumahnya dimasuki penceroboh.
Hakim berkenaan bagaimanapun membandingkan tindakan Pistorius umpama pengebom yang menghidupkan bahan letupan itu di tempat awam tanpa tahu siapa mangsanya.
Pada tahap ini, Pistorius masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Perlembagaan, bagaimanapun ia hanya boleh berlaku jika peguamnya boleh mengetengahkan haknya mengikut Perlembagaan telah dicemari. --Reuters

Datuk Bandar Chicago sembunyi rakaman polis






CHICAGO – Datuk Bandar Chicago, Rahm Emanuel (gambar) cuba menyembunyikan klip video memaparkan anggota polis kulit putih, Jason Van Dyke me­nembak seorang remaja kulit hitam, Laquan McDonald, 17 sebanyak 16 kali daripada diketahui umum selama beberapa bulan.
Seminggu selepas rakaman itu didedahkan, Emanuel bertindak memecat ketua polis Chicago, Garry McCarthy, menubuhkan sebuah jawatan kuasa bertindak bagi mengawasi pasukan polis dan meluaskan penggunaan kamera badan dalam kalangan pe­nguatkuasa undang-undang.
Emanuel dipercayai ber­usaha untuk menyembunyikan video itu daripada orang ramai sejak beberapa bulan lalu.
Ramai aktivis berang terutamanya selepas mereka mendapati klip video itu pertama kali timbul semasa Emanuel berkempen untuk bertan­ding bagi penggal kedua dan cuba memancing undi penduduk kulit hitam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3tDa2iRwD 
Hakcipta terpelihara 

Tamil Nadu dilanda banjir besar




AFP - SEORANG lelaki menolak basikal tiga rodanya meredah banjir selepas hujan lebat di Chennai, India kelmarin.


CHENNAI – Hujan paling le­bat dalam tempoh 100 tahun menyebabkan banjir besar di negeri Tamil Nadu, selatan India dengan beribu-ribu orang dipindahkan, kilang-kilang ditutup manakala lapangan terbang di ibu negeri Tamil Nadu, Chennai turut lumpuh.
Chennai yang dihuni 6 juta penduduk merupakan bandar keempat terbesar di India.
Kota raya itu merupakan hab industri automotif dan teknologi maklumat untuk beberapa syarikat antarabangsa seperti Ford Motor, BMW AG, Infosys, Tata Consultancy Services serta Cognizant Technology Solutions Corp.
Beribu-ribu kilang di pinggir Chennai terpaksa ditutup selepas air bah menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menenggelamkan sekurang-kurangnya sebuah landasan di lapangan terbang utamanya.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan memberitahu pagi semalam bahawa sekitar 35 pener­­bangan dibatalkan.
“Kami telah menggerakkan operasi menyelamat tetapi cabaran terbesar ialah mencari jalan untuk memulihkan lapangan terbang dan beberapa jalan utama yang ditenggelami air,” kata pegawai kanan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan di New Delhi, Anurag Gupta.
Terdahulu, Perdana Menteri Na­rendra Modi mengarahkan pasukan penyelamat dan separa tentera melancarkan operasi menyelamat serta pengagihan bantuan di Chennai.
Dalam perkembangan berkaitan, beratus-ratus penyelam dan anggota pasukan tentera memasuki rumah yang ditenggelami air dan membawa mangsa yang cedera ke hospital.
Pihak berkuasa berkata, lebih sejuta orang terjejas dalam banjir kali ini dengan sebahagian penduduk mengadu pasukan penyelamat lambat bertindak. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3tDZdmsBg 
Hakcipta terpelihara 

Keluarga enggan beri kenyataan


Tee Choi Peng (kiri ) menuntut mayat dua anaknya Tee Cong Ming dan Tee Cong Shern yang dipercayai disembelih isterinya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, semalam. – Utusan/ismail kamadin
ALOR SETAR 2 Dis. – Suasana pilu menyelubungi bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini apabila anggota keluarga menguruskan mayat dua beradik yang maut dipercayai akibat disembelih ibu kandung sendiri di Sungai Petani, semalam.
Bapa kepada mangsa, Tee Choi Peng, 36, nenek, Choo Kah Boy, 53, serta datuk mangsa, Saw Weng Chon,60, tiba di HSB kira-kira pukul 1 tengah hari ini dan enggan memberi sebarang kenyataan kerana terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa Tee Cong Ming, 5 dan Tee Cong Shern, 3.
Turut kelihatan di kawasan itu ialah ahli-ahli sukarelawan Buddhist Tzu Chi yang membantu menenangkan emosi ahli keluarga mangsa serta melakukan upacara keagamaan di situ.
Weng Chon berkata, dia amat sedih dengan kematian dua orang cucunya itu dan tidak mahu diganggu pihak media.
“Saya tidak tahu apa-apa dan sibuk dengan urusan pengebumian cucu saya,” ujarnya sambil menangis di pekarangan bilik mayat di HSB di sini hari ini.
Sementara itu, Kah Boy ketika ditemui pula berkata, bapa kepada dua orang cucunya itu baru sahaja tiba dari Singapura pagi ini dan terus menguruskan mayat anak-anaknya di HSB.
Bagaimanapun ketika ditanya dengan lebih lanjut mengenai kejadian yang berlaku semalam, Kah Boy hanya mendiamkan diri lalu meninggalkan kawasan bilik mayat tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam di sebuah rumah di Lorong 11 Taman Wira Indah Sungai Petani, mayat dua beradik itu ditemukan berlumuran darah oleh Weng Chon yang baru pulang dari berniaga di Pekan Lama Sungai Petani.
Dia mendapati kedua-dua cucunya terlentang secara bersebelahan dalam salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan.
Kedua-dua mereka dipercayai dibunuh oleh ibu kandung mereka sendiri yang berusia 35 tahun yang kini berada di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut kerana ibu mangsa turut mengelar pergelangan tangan sendiri dalam kejadian itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/keluarga-enggan-beri-kenyataan-1.164961#sthash.2WUvyvnp.dpuf

29 warga Myanmar tempuh 
perjalanan 10 hari sebelum ditahan


Syed Basri Syed Ali (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang daripada pendatang asing warga Myanmar yang ditahan ketika cuba menyusup masuk ke negara ini di Kompleks Unit Pencegahan Pnyeludupan Chuping, Perlis, semalam. utusan/Muhamad Iqbal Rosli.
PADANG BESAR 2 Dis. – Penat lelah 29 warga Myanmar termasuk dua wanita menempuh perjalanan selama 10 hari dari negara mereka menerusi jalan laut dan darat untuk masuk ke negara ini tidak berbaloi apabila mereka ditahan ketika cuba menceroboh di kawasan sempadan di ladang getah Chuping, di sini malam tadi.
Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 52 tahun itu juga terpaksa membayar RM5,000 seorang kepada ejen yang menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan di tapak pembinaan atau restoran di Kuala Lumpur.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan pukul 9.30 malam itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.
“Berdasarkan maklumat awal, mereka menaiki bot selama sehari dari Myanmar sehingga ke Ranong, Thailand sebelum dibawa ejen sehingga ke Hatyai seterusnya ke Danok, Thailand, dengan berjalan kaki dan menaiki bas, selama sembilan hari.
“Sebaik sahaja sampai di Danok, mereka diarah berjalan kaki dan menceroboh masuk ke sempadan Malaysia di Chuping menerusi pagar rosak sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Syed Basri, berdasarkan dua warna tali yang diikat pada pergelangan kaki pendatang asing terbabit, kesemua mereka akan diambil oleh dua tekong berlainan.
Bagaimanapun katanya, dalam operasi disertai 25 anggota risikan UPP itu, tiada tekong atau ejen ditangkap.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3), Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/29-warga-myanmar-tempuh-8232-perjalanan-10-hari-sebelum-ditahan-1.164932#sthash.xDZQxTYa.dpuf

Masih mampu hantar mesej sejurus nahas


Wiyang Lautner sempat menggunakan telefon bimbit ketika cuba untuk keluar daripada kereta Lamborghini miliknya yang remuk selepas kemalangan. AGENSI
SURABAYA 2 Dis. – Seorang lelaki dirakam masih lagi mampu menaip mesej walaupun tersepit di dalam kereta mewah Lamborghini milik­nya yang mengalami kemalangan sehingga menyebabkan seorang maut, manakala dua lagi cedera.
Mail Online melaporkan, Wiyang Lautner, 24, dirakam oleh saksi kejadian menaip mesej dan bercakap dengan telefon bimbit ketika cuba untuk keluar daripada kereta yang remuk.
Wiyang kemudian ditahan atas kesalahan berlumba dengan sebuah kereta Ferrari sebelum hilang kawalan dan melanggar satu pasangan perte­ngahan umur serta seorang peniaga tepi jalan di sini, baru-baru ini.
Polis berkata, mereka yang ce­dera dikenali sebagai Mujianto, 44, dan Srikanti, 41, manakala Kuswanto, 51, maut selepas diheret beberapa meter oleh kereta Lamborghini itu sebelum berlanggar dengan sebatang pokok.
“Ketika kejadian, Mujianto bersama isterinya Srikanti yang berasal dari kampung berhampiran sedang membeli susu daripada peniaga tepi jalan sebelum secara tiba-tiba mereka dilanggar.
“Siasatan kini sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan yang dipercayai akibat daripada lumba haram,” kata polis.
Jurucakap Balai Polis Surabaya, Lily Djafar berkata, sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh daripada tempat kejadian turut rosak selepas dilanggar kereta mewah berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/masih-mampu-hantar-mesej-sejurus-nahas-1.164788#sthash.dhDwoIuq.dpuf

Banjir besar tenggelamkan Chennai


SEORANG lelaki menolak becanya sambil mengharungi banjir di sebatang jalan di Chennai, India, kelmarin. AFP
CHENNAI 2 Dis. – Hujan lebat tanpa henti sejak 24 jam lalu di beberapa bahagian di Chennai, menjejaskan lebih kurang sejuta penduduk sekali gus memaksa ribuan penduduk berpindah, kilang-kilang ditutup, dan melumpuhkan lapangan terbang di sini.
Buat masa ini, tiada kematian dicatatkan dan kemusnahan akibat banjir hanya akan diketahui apabila situasi pulih.
Kementerian Dalam Negeri melaporkan, sebanyak 18 kece­deraan dilapor berkaitan bencana tersebut.
Pegawai Lembaga Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), Anurag Gupta berkata, banjir yang memaksa pembatalan 25 penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, mengakibatkan keadaan huru-hara apabila ramai penumpang terkandas.
“Cabaran terbesar adalah bagaimana untuk membersihkan lapangan terbang yang tenggelam dan jalan-jalan utama,” katanya.
Pengasas badan ramalan kaji cuaca swasta, Skymet, Jatin Singh berkata, hujan lebat dijangka berterusan dalam masa 24 jam lagi, keadaan paling buruk dalam tempoh 100 tahun.
Sementara itu, beratus-ratus penyelam dan anggota tentera dikerahkan ke kawasan bencana bagi menyelamatkan mangsa daripada rumah masing-masing dan membawa mereka yang ce­dera ke hospital.
Menurut pihak berkuasa, di­sebabkan mangsa banjir terlalu ramai, ada kalangan penduduk merungut bantuan lewat tiba di kawasan mereka.
Rakaman televisyen turut memaparkan sebahagian mangsa banjir terpaksa memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri, mengharungi banjir pada paras dada, serta mengusung warga emas menggunakan pengusung.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan memaklumkan, beribu-ribu kilang di pinggir Chennai juga terpaksa ditutup ekoran bencana yang berlaku yang turut menjejaskan bekalan tenaga elektrik. – REUTERS