Search This Blog

Monday, November 30, 2015

Lima Maut Dua Serangan Pengebom Berani Mati Wanita Di Utara Cameroon


Diterbitkan: Ahad, 29 November 2015 5:17 PM
Gambar fail yang diambil pada 11 November 2014 menunjukkan orang ramai berjalan di sepanjang jalan utara di Maroua, ibu negara utara Cameroon. Foto AFP

YAOUND: Lima maut dalam dua serangan berani mati oleh dua wanita di wilayah bergolak di utara Cameroon, kata gabenor wilayah itu, Midjiyawa Bakary.
"Dua wanita meletupkan diri mereka sendiri kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) di bandar Dabanga," kata Midjiyawa kepada AFP.
"Angka awal kematian ialah tujuh orang, termasuk dua pengebom berani mati," katanya.
Beliau menambah, dua tentera yang ditempatkan untuk memerangi kumpulan militan Nigeria, Boko Haram turut cedera parah.
Menurut Widjiyawa, Pengebom peratama meletupkan bahan letupannya di dalam sebuah rumah, manakala letupan kedua pula apabila wanita berkenaan meletupkan dirinya di sebuah kedai kimpalan.
Ia merupakan pertama kali pengebom berani mati menyerang Dabanga, sebuah bandar kecil dekat sempadan Nigeria.
Wilayah itu sering kali menjadi sasaran Boko Haram.
Minggu lalu, empat pengebom berani mati wanita meletupkan diri mereka sendiri dekat Fotokol di wilayah yang sama, mengorbankan lima orang.
Secara keseluruhan, lebih 100 orang terbunuh di utara Cameroon dalam 20 serangan berani mati sejak Julai lalu.
Pemberontakan Bokok Haram selama enam tahun menyebabkan sekurang-kurangnya 17,000 maut dan lebih 2.6 juta orang kehilangan tempat tinggal. - AFP

Polis Buru Santa Claus Curi Helikopter


Diterbitkan: Ahad, 29 November 2015 2:55 PM

RIO DE JANEIRO: Polis Brazil sedang memburu Santa Claus Sao Paulo yang memulakan musim membeli belah sempena Krismas dengan mencuri sebuah helikopter.
Perompak menyewa pesawat itu pada Jumaat daripada syarikat perkhidmatan teksi udara di Lapangan Terbang Campo Marte di Sao Paulo untuk kejutan Black Friday," kata Setiausaha Keselamatan negeri pada Sabtu.
Ketika dalam penerbangan itu, Santa memaksa juruterbang mendarat di luar kawasan ladang kecil di pinggir bandar Sao Paulo dimana seorang rakan menemuinya di situ.
Mereka kemudiannya mengikat juruterbang itu sebelum kedua-duanya melarikan diri.
Beberapa jam kemudian, juruterbang itu berjaya melepaskan diri dan memaklumkan polis, bagaimanapun helikopter Robinson model 44 tidak dapat dikesan. -- Reuters

Polis Kedah Rampas 15Kg Dadah, Lima Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 30 November 2015 9:41 AM
Helmi Aris (tengah) bersama pegawai penyiasat ASP Raja Hafiz Raja Razak (kanan) menunjukkan dadah heroin dan peralatan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah makmal haram memproses dadah heroin di Sungai Kob, Kulim pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Ahad. Turut hadir Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah DSP Zulkiflee Rashid (kiri). Foto: Bernama

ALOR SETAR: Polis menahan lima orang dan merampas 15 kilogram dadah jenis syabu dan kafein bernilai RM130,500 dalam satu serbuan ke atas makmal memproses dadah di Sungai Kob, Kulim, Khamis lepas.   

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris berkata dalamserbuan pukul 3.40 petang itu, polis menahan tiga lelaki tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berumur antara 22 dan 55 tahun.   

Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui 5.7kg dadah jenis syabu dan 9.3kg dadah dipercayai kafein serta peralatan memproses dadah.   

Katanya ketika serbuan dilakukan lima suspek terlibat baru sahaja selesai memproses dan membungkus dadah itu untuk diedar di pasaran tempatan.   

"Siasatan mendapati rumah itu dijadikan makmal dadah sejak enam bulan lepas dan salah seorang suspek yang dipercayai ketua kumpulan sindiket berkenaan memiliki rekod jenayah berkaitan dadah," katanya pada sidang media pada Ahad.

Helmi berkata pihaknya turut menyita tiga kenderaan pelbagai jenama digunakan sindiket terbabit untuk mengedarkan dadah berkenaan.    

Katanya kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 3 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua deejay disamun 30 mat rempit


Dua deejay disamun 30 mat rempit
Danheshban (kanan) dan rakannya menunjukkkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis USJ 8 selepas disamun kira-kira 30 mat rempit, semalam.
SUBANG JAYA – Dua deejay mengalami detik ngeri apabila diserang dan disamun oleh 30 mat rempit berhampiran Plaza Tol Puchong Barat, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, K Danheshban, 20, bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Alam Megah selepas selesai tugas mengacara sebuah majlis sambutan hari jadi di Damansara.
Ketika sampai di plaza tol berkenaan, Danheshban yang menunggang motosikal berkata, dia terkejut melihat sahabatnya hilang dari pandangan dan ternampak sekumpulan lelaki seolah-olah mengerumuni sesuatu.
“Saya rasa tak sedap hati, jadi berpatah balik ke tempat itu dan ternampak kawan saya. Dia dikepung sekumpulan mat rempit dan pisau diacukan ke mukanya. Saya juga nampak seorang lelaki bawa motosikal jenis Kawasaki RR milik kawan saya tu,” katanya.
Mangsa berkata, kepala rakannya dihentak menggunakan topi keledar selain turut dicederakan di bahagian tangan.
Disebabkan bimbang kejadian bertukar ganas, Danheshban berkata, dia bersama rakannya terus meluru ke arah motosikal untuk melarikan diri selepas kumpulan itu menyamun cincin emas dan telefon bimbitnya.
Tidak berpuas hati dengan tindakannya, lapan daripada puluhan mat rempit itu kemudian mengejar mereka hingga sampai ke satu perumahan di Putra Heights.
Katanya, di situ dia dipukul berkali-kali menyebabkan dia dan rakan mengambil keputusan memanjat masuk pagar sebuah rumah untuk bersembunyi.
“Mat rempit itu tak mahu pergi jadi kami terpaksa jerit polis-polis, akhirnya mereka larikan diri," katanya.
Tambahnya, mat rempit itu kemudian melarikan motosikal jenis Yamaha LC miliknya dan merentap rantai emas yang dipakai.
Menurut mangsa, seorang daripada mat rempit yang cuba melarikan diri berjaya ditangkap.
Suspek katanya, cuba melawan dan memukulnya dengan besi pengunci motosikal, namun akhirnya dapat ditahan dan dibawa ke balai polis.
“Kami dapat cekup seorang sebab dia tak boleh hidupkan enjin motosikal, masa tu kami berdua tahan dia dan hantar ke balai polis,” katanya.
Danheshban berkata, kedua-dua mereka kerugian hampir RM50,000 akibat kehilangan dua motosikal, wang tunai, barang kemas dan dokumen pengenalan diri.
Satu laporan polis kemudiannya dibuat di Balai Polis USJ 8, pagi semalam.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli tidak berjaya kerana beliau gagal dihubungi.

Lagi penduduk Palestin ditembak


Lagi penduduk Palestin ditembak
Anggota keselamatan Israel memeriksa mayat pemuda Palestin yang ditembak mati di Pintu Damsyik, semalam. - Foto AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Keganasan tentera Israel di Tebing Barat meragut satu lagi nyawa penduduk Palestin.
Kejadian itu berlaku semalam berhampiran Pintu Damsyik, yang juga laluan ke kota lama Baitulmaqdis.
Mangsa dikenal pasti sebagai Basim Salah, seorang pemuda dari Nablus.
Seperti biasa, Israel menuduh mangsa cuba menikam seorang anggota polis bagi menghalalkan pembunuhan tersebut.
"Suspek ditembak selepas dia menikam dan mencederakan anggota polis yang berkawal," kata jurucakap polis Israel, Luba Samri.
Dalam perkembangan berasingan, tentera Israel dilaporkan bertindak menyerang dan menutup sebuah stesen radio Palestin kerana didakwa menghasut rakyat Palestin agar melancarkan serangan ke atas penduduk Yahudi.
Ibu pejabat stesen Dream Radio diserang Sabtu lalu dan beberapa peralatan turut dimusnahkan dan dirampas.
Sebelum ini, dua lagi stesen radio Palestin diarah tutup atas alasan sama. - Press TV

Indonesia siasat kematian 31 budak di Papua


Indonesia siasat kematian 31 budak di Papua
Seorang kanak-kanak dua tahun dirawat di pusat kesihatan di Nduga kerana disyaki mengalami gejala penyakit malaria.
JAKARTA - INDONESIA. Menteri Kesihatan Nila Farid Moeloek berkata, kementeriannya telah menghantar satu pasukan ke Papua untuk menyiasat kematian 31 kanak-kanak di wilayah paling timur Indonesia itu.
Katanya, pasukan itu dihantar ke daerah Nduga untuk mengenal pasti punca kematian kanak-kanak yang berumur dua tahun ke bawah tersebut.
"Saya diberitahu kanak-kanak terbabit mengalami demam panas, sawan dan cirit-birit sebelum mereka mati. Tetapi maklumat itu masih belum disahkan," katanya.
Sementara itu pengarah kawalan penyakit dan alam sekitar, Muhammad Subuh berkata adalah sukar bagi pihaknya untuk menentukan kemungkinan punca kematian kanak-kanak tersebut.
"Terdapat juga laporan mengenai kematian haiwan ternakan di Nduga. Apa pun, Papua mencatatkan kes malaria tertinggi.
"Selain itu, terdapat juga kemungkinan bahawa meningitis dan bronkitis menyumbang kepada kematian tersebut," katanya. - Jakarta Post

Rizalman mengaku bersalah di mahkamah New Zealand

ISNIN, 30 NOVEMBER 2015 @ 10:19 AM

MUHAMMAD Rizalman Ismail. - FotoAFP

WELLINGTON, New Zealand: Bekas atase tentera Malaysian di Wellington yang diekstradisi ke New Zealand selepas meninggalkan negara itu di bawah imuniti diplomatik, mengaku bersalah terhadap serangan seksual. Muhammad Rizalman Ismail berdepan dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun berhubung tuduhan itu. Mahkamah dijadualkan mendengar hujah berhubung fakta yang dipertikaikan Jumaat ini sebelum menjatuhkan hukuman. Ringkasan polis menyatakan mangsa yang berusia 21 tahun itu sedang menonton filem di dalam bilik tidurnya pada Mei 2014 apabila Rizalman memasuki rumah yang tidak berkunci itu dengan hanya memakai baju. Menurut ringkasan itu, wanita itu menjerit dan Rizalman memegang bahu mangsa sebelum dia dapat melepaskan diri dan menelefon polis dari bilik airnya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/101012

Kereta mewah hangus terbakar



Oleh Siti Azila Alias


SEBUAH kereta jenis BMW terbakar dalam kejadian di Kilometer 34.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Genting Sempah, di sini, petang tadi. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Sebuah kereta mewah jenis BMW hangus selepas terbakar dalam kejadian di Kilometer 34.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, petang tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, berkata tujuh anggota dari Balai Bomba Selayang bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.53 petang.
"Anggota yang tiba 18 minit kemudian mendapati kenderaan berwarna putih itu terbakar seratus peratus.
"Tiada mangsa terbabit dalam kejadian. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Kejadian berkenan turut viral di laman sosial apabila ia dirakam pengguna yang melalui lebuh raya terbabit.
Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai pemilik kenderaan terbabit dan difahamkan dia berjaya keluar sejurus menyedari kenderaannya terbakar.

2 maut, dua cedera nahas di Kajang

KAJANG: Dua maut, sementara dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki melanggar pokok di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bukit Dukong, Lebuh Raya Cheras-Kajang, malam tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kenderaan dinaiki empat lelaki itu hilang kawalan ketika melalui di lokasi lalu terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba Kajang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 malam.
"Kesemua mangsa adalah lelaki berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun.
"Dua daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala, dua lagi cedera dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Banjir kilat landa zon industri Bayan Lepas



BANJIR kilat di Jalan Bayan Lepas sebentar tadi.
BAYAN LEPAS: Hujan lebat hampir dua jam petang tadi, mengakibatkan kawasan rendah sekitar Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas mengalami banjir kilat.
Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan teruk tiga kilometer di Jalan Bayan Lepas selain puluhan kereta dan motosikal rosak dimasuki air.
Semua aliran trafik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terpaksa dilencongkan ke jalan alternatif berikutan laluan menghala ke pusat bandar ditutup. Turut mengalami banjir kilat adalah kawasan kampung di Teluk Kumbar membabitkan lebih 10 rumah penduduk.
Sehingga jam 9.30 malam, kesesakan masih berlaku dan laluan masih ditutup kecuali bagi kenderaan berat.


BANJIR kilat di Jalan Bayan Lepas sebentar tadi.

BANJIR kilat di Jalan Bayan Lepas sebentar tadi.

Telefon celup 30 hari

Kuala Lumpur: Jual telefon pintar tiruan yang hanya mampu berfungsi tidak lebih 30 hari. Itu antara taktik penipuan segelintir penjual telefon pintar ‘celup’ yang dikesan sudah memperdaya ratusan mangsa di seluruh negara.
Ketua Seksyen Harta Intelek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya Othman Nawang berkata, pihaknya mengesan penipuan licik itu yang didapati semakin berleluasa membabitkan peniaga tempatan.
Menurutnya, peniaga licik ini biasanya menjadikan golongan pekerja warga asing, warga emas atau golongan yang kurang mahir berhubung model telefon pintar sebagai sasaran kegiatan penipuan.
“Siasatan mendapati sindiket menjadikan telefon pintar keluaran syarikat telekomunikasi China sebagai sasaran kegiatan itu. Memang sukar membezakan telefon palsu dan tulen berikutan bentuk, saiz serta berat telefon palsu ini menyamai telefon pintar tulen.
“Bagaimanapun telefon pintar palsu ini tidak bertahan lama berikutan ia mudah rosak dan gagal berfungsi secara mendadak,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:09 AM


PENGUAT kuasa KPDNKK memeriksa premis jual telefon pintar palsu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96760#sthash.un6VxPGi.dpuf

Reaksi tidak sekata

Johor Bahru: Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berhubung larangan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri ini bermula 1 Januari depan menerima pelbagai reaksi daripada peniaga dan orang awam.
Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata penduduk terkejut dengan titah pengharaman vape oleh Sultan Johor seperti disiarkan akhbar berbahasa Inggeris dan tersebar meluas di Internet semalam.
Pembantu jualan kedai vape yang hanya mahu dikenali Fadhil, 28, berkata, dia mengetahui larangan berkenaan selepas membaca laporan yang disiarkan di laman sosial.
“Saya bekerja sepenuh masa di kedai ini sejak dua tahun lalu dan selesa dengan pekerjaan sekarang.
“Namun, saya mungkin mencari pekerjaan lain jika pengharaman itu dikuatkuasakan.
“Bagi saya, pengharaman itu mungkin disebabkan kesan negatifnya, namun tanpa disedari, ramai pelanggan termasuk diri saya berhenti menghisap rokok disebabkan vape dan diharap keputusan itu dipertimbangkan semula,” katanya.
Bekas penghisap vape, Asmuni Musiran, 26, berkata, pengharaman vape mungkin baik untuk kesihatan serta keselamatan penggunanya.
Bagaimanapun katanya, peniaga hilang punca pendapatan jika larangan itu dikuatkuasakan.
Menurutnya, dia berharap keputusan yang dibuat mengambil kira setiap aspek.
“Saya pernah menjadi pengguna vape, namun berhenti kerana tidak sesuai selepas mengalami batuk dan kembali menghisap rokok,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:11 AM


KEDAI vape aktif beroperasi di sekitar bandar raya Johor Bahru.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96762#sthash.9j3GGYrx.dpuf

'Banjir termenung' landa 4 kampung

Rantau Panjang: Penduduk di empat kampung di daerah ini terutama di kawasan rendah mula dilanda banjir sejak tiga hari lalu kesan limpahan air Sungai Golok.
Empat kampung terbabit ialah Tersang, Lachang, Kelawar dan Bongor dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Tinjauan Harian Metro mendapati, penduduk membina titi alternatif di depan rumah dan mula menggunakan sampan untuk ke jalan utama.
Penduduk Kampung Tersang, Ismail Salleh, 68, berkata, hujan lebat Jumaat lalu menyebabkan air sungai berdekatan rumahnya melimpah dan memenuhi halaman rumah.
Katanya, setiap tahun keadaan itu pasti berlaku kerana kedudukan kampung itu rendah dan berdekatan sungai Golok.
“Air ini menyebabkan ‘banjir termenung’ berlaku selama beberapa hari dan ia lebih teruk apabila hujan berterusan.
“Namun, saya bersyukur kerana air tidak naik ke rumah, tetapi kami sekeluarga perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan di musim tengkujuh.
“Selepas banjir tahun lalu, saya membina ruang baru lebih tinggi bersebelahan rumah sedia ada dan meletakkan semua barangan berharga di situ,” katanya ketika ditemui semalam.
Suri rumah, Zubaidah Awang Senik, 59, berkata, penduduk sudah biasa berdepan banjir lebih 20 tahun lalu dan menjadikan pengalaman itu untuk sentiasa bersedia.
“Boleh dikatakan semua rumah akan dinaiki air. Jadi kami perlu membuat persediaan rapi terutama menyelamatkan barang berharga.
“Ini untuk mengelakkan saya daripada menanggung kerugian seperti tahun sebelum ini” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:58 AM


ISMAIL mencari ubi sebagai bekalan makanan musim banjir.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96750#sthash.v7qgZvuM.dpuf

Makmal dadah dalam dusun diserbu

Alor Setar: Rahsia sebuah rumah terpencil dalam sebuah dusun buah-buahan di Sungai Kob, Kulim, dijadikan makmal untuk memproses dadah untuk pasaran tempatan terbongkar apabila polis merampas dadah jenis heroin dan kafein bernilai RM130,500 pada Khamis lalu.
Dalam serbuan jam 3.40 petang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman bersama JSJN Kedah turut menahan tiga lelaki dan sepasang suami isteri warga asing berusia 22 hingga 54 tahun.
Ketua JSJN Kedah Superintendan Helmi Aris berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya melakukan risikan sejak enam bulan lalu bagi memantau pergerakan sindiket terbabit yang menjalankan aktiviti secara nomad.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan tiga lelaki terbabit bersama pasangan suami isteri warga Myanmar itu dipercayai sedang memproses dadah dan gagal melarikan diri selepas kawasan berkenaan dikepung.
“Hasil pemeriksaan mendapati rumah terbabit dijadikan makmal haram untuk memproses dadah dan menemui 5.7 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan 9.3kg kafein dianggarkan bernilai RM130,500.
“Berikutan itu, lima suspek termasuk ketua mereka berusia 30-an yang mempunyai rekod jenayah ditahan, manakala tiga buah kereta jenis Honda Civic, Ford Ranger dan Proton Waja bernilai RM78,000 turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:05 AM


Helmi (tengah) bersama timbalannya, Zulkiflee Rashid (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Sungai Kob.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96756#sthash.qlb16kEw.dpuf

2 sepupu ghaib 6 hari tanpa jejak

Kuala Lumpur: Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan sepupunya berusia 15 tahun terus menjadi misteri apabila kedua-dua mereka gagal dijejaki sejak enam hari lalu.
Mangsa, Nurul Hazieratul Hana, 12, dan Nurul Syafiqah Sha’ari, 15, dilaporkan hilang ketika berada di rumah di Desa Pandan, Jalan Kampung Pandan, di sini, petang Selasa lalu.
Ibu Nurul Syafiqah, Zuraidah Tahir, 44, berkata, anaknya hilang selepas dihantar ke rumah bapa saudaranya itu.
Menurutnya, Nurul Syafiqah dihantar ke rumah berkenaan berikutan cuti persekolahan serta menemankan adiknya, Ain Nuraudah, enam tahun, yang dijaga bapa saudaranya itu.
Dia berkata, anaknya itu bermain di kawasan berhampiran rumah berkenaan sebelum diambilnya selepas pulang bekerja.
“Saya tinggal di Kajang, namun setiap hari saya akan ke Desa Pandan untuk menghantar anak saya itu. Selalunya saya akan menghubungi telefon bimbitnya dan meminta Nurul Syafiqah turun ke bawah pangsapuri kerana saya sudah menunggu.
“Bagaimanapun pada hari kejadian, telefon bimbitnya ditutup dan saya diberitahu bahawa saudaranya (Nurul Hazieratul) turut gagal dijejaki ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Katanya, anak perempuannya tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik serta tidak pernah pulang lewat ke rumah sekiranya keluar bermain atau ke rumah kawannya.
Sehubungan itu, orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Zuraidah di talian 017-2741394 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:06 AM


Nurul Hazieratul (kiri) bersama Nurul Syafiqah dilaporkan hilang sejak petang Selasa lalu di Desa Pandan, Kuala Lumpur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96758#sthash.mWbRAS5S.dpuf

Jururawat terkedu klinik desa hangus

Sungai Petani Kepulangan seorang jururawat daripada tugas lawatan dari rumah ke rumah menerima kejutan apabila melihat api marak dalam kebakaran yang memusnahkan Klinik Desa Kampung Pulau Sayak, Pantai Merdeka, dekat sini, semalam.
Kebakaran jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan keseluruhan pusat kesihatan kecil yang memberi perkhidmatan kepada lebih 2,000 penduduk membabitkan lima kampung berhampiran hangus sama sekali.
Rusnita Abd Rahman, 39, berkata, sebaik selesai menjalankan tugas di luar, dia pulang semula ke klinik, tetapi terkejut apabila melihat asap tebal keluar dari bilik pemeriksaan sebaik tiba di pagar lalu bergegas membuka pintu premis terbabit.
Menurutnya, dia melihat api pada alat penghawa dingin yang mula marak ke bilik bersebelahan lalu bergegas berlari ke arah stesen minyak berhampiran bagi meminta bantuan serta menelefon rakannya supaya menghubungi pihak bomba.
“Saya bersama beberapa penduduk kemudian berlari semula ke klinik bagi menyelamat barangan penting, tetapi hanya sempat membawa keluar sebahagian kecil fail sebelum api mula menyambar sebahagian besar klinik.
“Namun kesemua fail rawatan ibu mengandung, kanak-kanak dan bayi serta pelbagai peralatan klinik yang ada gagal diselamatkan berikutan api marak dengan cepat menyebabkan terpaksa keluar untuk menyelamatkan diri.
“Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat sahaja api memusnahkan keseluruhan klinik terbabit,” katanya memaklumkan bertugas seorang diri, manakala rakannya sedang bercuti.
Penduduk Zaharah Saad, 49, berkata dia terkejut melihat jururawat berkenaan berlari ke arah stesen minyak miliknya dalam keadaan tergesa-gesa seolah-olah ada sesuatu berlaku.
“Ketika itu saya lihat dia (Rusnita) kelihatan begitu panik lalu mendapatkannya dan bertanya apa berlaku. Rusnita kemudian memberitahu klinik desa terbakar menyebabkan saya segera berlari ke rumah bagi memaklumkan kepada suami dan anak untuk membantu menyelamatkan barang, tetapi gagal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.44 tengah hari sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak sebelum dapat dikawal pada jam 1.14 tengah hari dan dipadam sepenuhnya lima minit kemudian. Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:15 AM


RAHAYU Abu Hassan memeriksa fail yang diselamatkan selepas klinik desa terbakar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96770#sthash.zXhkXDo0.dpuf

Tragedi Subuh

Yan: Suasana tenang penghuni pondok agama sedang melakukan wirid sebaik selesai menunaikan solat Subuh bertukar menjadi kelam-kabut apabila mereka dikejutkan dengan kebakaran beberapa rumah di Pondok Haji Hussien, Guar Chempedak, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 pagi, tujuh rumah musnah dalam kebakaran itu menyebabkan tujuh penghuni termasuk pasangan suami isteri hilang tempat tinggal selain tinggal sehelai sepinggang manakala harta benda mereka hangus.
Mangsa yang juga saksi Fatimah Din, 71, berkata ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Subuh di rumah itu dan bersiap-siap menghadiri kursus umrah di Sungai Petani kerana akan berangkat ke tanah suci Makkah pada Februari tahun depan.
Menurutnya, secara tiba-tiba dia terhidu bau hangit dan terdengar bunyi letupan kecil dari bumbung lalu mendongak untuk melihat sebelum mendapati api sedang marak.
Dia menjerit meminta tolong sambil tangannya menyambar beberapa helai pakaian dan dihimpunkan di atas katil untuk dibawa keluar.
“Bagaimanapun, saya bertambah cemas sebaik melihat serpihan zink dan juga kayu yang terbakar jatuh ke lantai menyebabkan api merebak di bahagian bawah pula.
“Ketika itu saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, apatah lagi melihat api merebak di lantai rumah sebelum terdengar suara anak jiran menjerit memanggil saya supaya keluar menyelamatkan diri.
“Dalam keadaan cemas, saya bergegas keluar meninggalkan rumah tanpa sempat mengambil pakaian yang dihimpunkan kerana bimbang berlaku kejadian buruk,” katanya.
Fatimah berasal dari Jitra dan tinggal sebatang kara selepas berpisah dengan suami sejak lebih 30 tahun lalu tanpa dikurniakan cahaya mata menyebabkan dia mengambil keputusan tinggal di pondok terbabit bagi mempelajari agama.
“Saya memang tiada rumah sendiri dan sebelum ini saya hanya tinggal menumpang di rumah saudara-mara saja sehingga dapat tinggal di pondok ini sejak lima tahun lalu,” katanya.
Mangsa lain, Salmah Aziz, 57, berkata ketika kejadian dia berada di masjid berdekatan sebelum semua jemaah dikejutkan dengan berita kebakaran pondok agama berkenaan.
Katanya, ketika itu semua jemaah sedang berwirid kerana baru selesai menunaikan solat Subuh, namun wirid mereka terhenti apabila didatangi penduduk berdekatan memberitahu mengenai kejadian itu.
“Hanya Allah tahu perasaan hiba saya sebaik melihat rumah yang menjadi tempat berteduh selama ini musnah sekelip mata, namun saya reda ketentuan ini,” katanya.
Anak kepada seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, dia baru selesai solat sebelum dikejutkan dengan jeritan meminta tolong lalu membuka tingkap dan mendapati rumah jiran terbakar.
Dia dan keluarga tinggal di Alor Setar dan datang bermalam di rumah ibunya, petang kelmarin sempena cuti sekolah selain mahu menghadiri majlis kenduri saudara mereka di Guar Chempedak.
Pengurus Pondok Haji Hussien, Mohd Nazri Abd Rahman berkata, dia dimaklumkan hanya dua rumah yang berpenghuni ketika kejadian manakala yang lain keluar menunaikan solat berjemaah di masjid berdekatan.
Dia yang tinggal berdekatan terdengar bunyi bising lalu keluar dari rumah untuk melihat dan mendapati api marak membakar rumah.
“Saya bergegas memeriksa keadaan dan mendapati penghuni keluar menyelamatkan diri sebelum kami membawa keluar beberapa tong gas bagi mengelak letupan sementara menanti ketibaan bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Safuwan Md Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.29 pagi dan 13 anggota membabitkan dua jentera dari BBP Guar Chempedak dan juga BBP Yan dikejarkan ke lokasi kejadiaan.
Sebaik tiba, pihaknya mendapati tujuh rumah kelas C terbakar dan api dikawal pada jam 6.43 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:17 AM


KEADAAN enam pondok Haji Hussein yang musnah dalam kebakaran awal pagi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96772#sthash.Y7OOYZ7l.dpuf

300 peluru di tepi pantai

London: Polis di pekan Redcar dikejutkan dengan penemuan 300 butir peluru bersepah di atas pantai seterusnya menyebabkan kawasan berkenaan ditutup kepada lalu lintas serta orang ramai.
Seorang lelaki menemui peluru itu di atas pantai berkenaan sekitar jam 10 pagi (waktu tempatan) Sabtu lalu. Sebanyak 300 butir peluru 5.56mm ditemui, tetapi masih menjadi misteri bagaimana ia boleh berada di situ.
Penemuan itu turut mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan dalam pada seluruh Eropah kini diselubungi ketakutan serangan oleh Negara Islam (IS).
Seorang penduduk memuji kepekaan lelaki yang menghubungi polis itu.
“Memandangkan apa yang berlaku di Paris, kita semua memang bertanggungjawab bersikap peka,” katanya.
Jurucakap polis Clevelend berkata, kejadian itu kini disiasat, tetapi tiada bahaya terhadap orang awam dan setakat ini belum ada tangkapan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:00 AM


ANGGOTA polis membungkus peluru yang ditemui.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96652#sthash.B8ynDlZR.dpuf

Maut dalam serombong

California: Seorang lelaki disyaki penyamun maut selepas tersangkut dalam serombong sebuah kediaman di California, lewat kelmarin, apabila pemilik rumah yang tidak menyedari kehadirannya menyalakan api di pendiangannya.
Syerif Daerah Fresno Leftenan Brandon Pursell berkata, seorang pemilik rumah di pekan Huron terdengar bunyi jeritan tidak lama selepas dia menyalakan api.
Lelaki itu terus menghubungi talian kecemasan selain cuba memadam api selepas rumahnya mula dipenuhi asap.
Bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian menggunakan gerudi tukul untuk memecahkan serombong dibuat daripada batu bata itu dalam usaha menyelamatkan lelaki terbabit.
Malangnya, lelaki itu tidak sempat diselamatkan. Identitinya masih belum diketahui.
Pursell berkata, lelaki itu pada mulanya masih bernafas dan bergerak ketika operasi menyelamat dimulakan.
Portal berita KFSN melaporkan, siasatan awal menunjukkan lelaki itu memanjat masuk ke serombong itu pada malam sebelumnya untuk menyamun rumah itu.
Malangnya, dia tersangkut di dalam.
Sehari kemudian, pemilik rumah itu yang tidak menyedari kehadirannya menyalakan api di penghadang berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:07 AM


BOMBA memecahkan serombong rumah untuk menyelamatkan lelaki itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96690#sthash.5nJIy52I.dpuf