Search This Blog

Friday, November 27, 2015

Larikan motosikal berkuasa tinggi selepas pandu uji


 Hari ini, 6:33 petang      Hari ini, 6:46 petang

 
Seorang lelaki melarikan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dipandu ujinya di sebuah pusat jualan di Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi di Nibong Tebal semalam.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikatakan melarikan motosikal jenis Honda CBR 1000RR berwarna putih berkenaan selepas dia membawa keluar dari kedai berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang.

Pemilik syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tong, 52, berkata beliau pada mulanya tidak membenarkan motosikal bernilai hampir

RM100,000 itu dipandu uji memandangkan hujan lebat ketika itu.

"Lelaki itu mendakwa mahu membeli motosikal berkenaan bagaimanapun dia mahu memandu uji terlebih dahulu.

"Saya percayakan lelaki itu kerana dia beritahu hanya mahu pandu uji di sekitar kawasan berhampiran kedai dan berjanji untuk menunggang sekitar Taman Jawi Jaya sahaja," katanya di sini hari ini.

Tong berkata beliau dan seorang pekerjanya mengekori motosikal yang dipandu uji itu kerana risau ia kehabisan minyak.

"Selepas beberapa minit kemudian, pekerja saya kembali dan memaklumkan bahawa motosikal itu sudah tidak kelihatan lagi. Saya terkejut dan terus membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sedang menyiasat.

- Bernama

Terlepas hukuman tembak

Jakarta: Tiga lelaki warga Hong Kong terlepas hukuman mati semalam selepas sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara kepada mereka selepas didapati bersalah menyeludup dadah jenis methamphetamine.
Pendakwa raya sebelum ini memohon ketiga-tiga tertuduh dihukum mati selepas ditangkap bersama 49 kilogram methamphetamine di Jakarta.
Bagaimanapun, hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Ko Chi-yuen manakala dua lagi rakannya, Kwok Fu-ho dan Yang Wing-bun menerima hukuman penjara 20 tahun.
“Kesalahan tertuduh ini berlawanan dengan pendirian tegas Indonesia yang menentang penyalahgunaan dadah,” kata hakim mahkamah daerah Jakarta Barat, Edi Hasmi.
Kesemua tertuduh ditahan dalam satu serbuan di sebuah apartmen di Jakarta Barat baru-baru ini.
Mereka dilaporkan baru mengambil dadah berkenaan dari seorang lelaki untuk diedarkan di negara ini.
Pada awal bulan ini, seorang lagi lelaki Hong Kong, Wong Chi-ping dihukum mati oleh mahkamah di Indonesia selepas didapati bersalah menyeludup 860 kilogram methamphetamine.
Indonesia antara negara yang mempunyai hukuman berat terhadap kesalahan berkaitan dadah dan memperuntukkan hukuman mati.
Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh pasukan penembak tepat.
Sejak 2014 seramai 14 pesalah dadah termasuk 12 warga asing dihukum mati di Indonesia.
Indonesia mempertahankan hukuman itu dan mahu menghukum beberapa pesalah dadah lagi walaupun menerima kecaman banyak pihak.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 7:01 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96074#sthash.9FUR6roz.dpuf

Suspek samun kedai dikenal pasti

Kuala Lumpur: Polis sudah mengenal pasti beberapa suspek yang terbabit dalam insiden samun menggunakan senjata api di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Dang Wangi, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 3.19 pagi itu, sekumpulan 10 individu datang ke premis berkenaan sebelum tiga daripada mereka menyerbu masuk ke dalam kedai dan mengambil beberapa barangan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, ketika kejadian berlaku pertengkaran antara seorang suspek dan pekerja kedai terbabit menyebabkan suspek bertindak melepaskan satu das tembakan.
Bagaimanapun katanya, tembakan terbabit hanya disasarkan pada rak simpanan rokok menyebabkan semua suspek bertindak melarikan diri dengan membawa barangan yang disamun.
"Setakat ini polis sudah mengenal pasti suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan tiada sebarang kecederaan semasa kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati mandatori," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 3:47 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96242#sthash.hPMbERO7.dpuf

Khalid arah tahan lelaki fitnah PM

Kuala Lumpur: Ketua Polis negara mengarahkan seorang lelaki yang memuat naik status berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di akaun Facebooknya dikesan untuk dikenakan tindakan.
Pemilik akaun yang menggunakan nama sebagai ‘Faisal bin Rohban’ itu memuat naik status mendakwa Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansur terbabit dalam beberapa kes pembunuhan.
Antara kes pembunuhan dimaksudkan pemilik akaun berkenaan ialah model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, penyiasat persendirian P Balasubramaniam , bekas Pengerusi Ambank Hussain Ahmad Najadi dan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya mengarahkan anggota Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) mengesan dan menahan lelaki itu.
"PCIRC@PDRMsia, kesan dan tahan penama di bawah ini kerana menghasut," katanya menerusi Twitter petang tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 8:38 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96021#sthash.Du22KU3d.dpuf

584 mangsa banjir di Kuala Selangor

Kuala Selangor: Seramai 584 penduduk membabitkan 89 keluarga berada di lima pusat pemindahan mangsa banjir di daerah ini sehingga 7 pagi tadi.
Pengerusi Operasi Banjir Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Parit (SK) Mahang masih mencatatkan rekod tertinggi dengan 207 orang membabitkan 49 keluarga.
"Manakala 56 orang membabitkan 10 keluarga ditempatkan Balai Raya Kampung Bukit Kuching dan 17 orang daripada 5 keluarga di Balai Raya Kampung Bukit Cherakah.
"Di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Bukit Hijau terdapat seramai 29 orang membabitkan tujuh keluarga," katanya.
Shamsul berkata, bagi penempatan banjir di Surau Ladang Tuan Mee terdapat 28 orang daripada sembilan keluarga sementara Balai Raya Kampung Asahan mempunyai 37 orang membabitkan sembilan keluarga.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 1:51 PM


ANTARA mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor. FOTO Faiz Anuar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96233#sthash.cIOqsmEJ.dpuf

Penganggur disyaki rogol pelajar

Kampar: Lelaki berusia 23 tahun diberkas polis semalam kerana disyaki merogol pelajar perempuan sekolah menengah di Malim Nawar, di sini.
Penganggur berasal dari Malim Nawar itu ditahan, susulan laporan polis dibuat bapa pelajar berusia 13 tahun terbabit selepas mengetahui melalui aplikasi Wechat di telefon bimbit, anaknya itu melakukan hubungan seks dengan suspek .
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati pelajar berkenaan berkenalan dengan suspek melalui Wechat pada 8 November lalu dan selepas berkenalan dalam talian selama beberapa hari, suspek dan pelajar berkenaan mula bertemu di pekan Kampar.
Menurutnya, pada kali kedua bertemu iaitu 20 November lalu, suspek mengajak mangsa melakukan hubungan seks di dalam Tandas Awam Plaza Kranji, Jalan Market, di sini, dan pada awalnya mangsa menolak, namun akur apabila lelaki berkenaan berjanji tidak akan berpisah dengannya.
"Suspek sekali lagi mengadakan hubungan seks dengan mangsa pada 22 November lalu di tempat sama.
"Namun, pada 25 November lalu, bapa pelajar berkenaan terbaca mesej di dalam WeChat anaknya yang menyatakan sudah tiada dara dan selepas mangsa menceritakan kejadian sebenar, bapa terus membawa pengadu datang ke Balai Polis Malim Nawar untuk buat laporan," katanya di sini hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 12:42 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96219#sthash.ul3TqopN.dpuf

'Mat Despatch' gagal lari

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri di sekatan jalan raya yang dilakukan Ibu Pejabat Polis (IPD) Trafik Kuala Lumpur di Segambut, gagal apabila dia berjaya dicekup selepas dikejar sejauh 300 meter tengah hari tadi.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 29 tahun yang dikehendaki polis itu, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan cuba melarikan diri menghala Mont Kiara apabila menyedari ada sekatan jalan raya oleh polis.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nazri Hussain berkata, beberapa anggota trafik mengejar lelaki itu sejauh 300 meter sebelum berjaya menahannya.
"Pemeriksaan mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat itu menggunakan lesen palsu dan nombor pendaftaran motosikalnya juga palsu.
"Dia turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah di Sentul, " katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu, motosikal berkenaan disita dan suspek dibawa ke IPD Trafik untuk siasatan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 8:54 PM


Suspek yang ditahan selepas cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Segambut, tengah hari tadi. - Foto Ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96025#sthash.MguXzkG9.dpuf

Remaja maut, ahli keluarga parah

Sepang: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas van dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 34.7 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) selepas susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala Nilai, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Julieanah Mahfud maut di tempat kejadian manakala tiga ahli keluarganya di dalam van berkenaan iaitu dua wanita dan seorang lagi kanak-kanak, cedera parah.
Pemandu Proton Iswara berkenaan hanya cedera ringan.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat KLIA berkata, kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta Proton Iswara dipandu seorang lelaki.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.18 petang dan sebuah jentera dengan sembilan anggota dikerah ke tempat kejadian.
"Setiba di tempat kejadian pada jam 3.37 petang, mereka mendapati sebuah van terbakar manakala sebuah Proton Iswara remuk bahagian depan.
"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh 10 minit tetapi van berkenaan musnah sepenuhnya.
“Mangsa dalam kereta Proton Iswara berjaya dikeluarkan orang awam," katanya ketika dihubungi.
Julieanah Mahfud, 13, maut di tempat kejadian. - Foto Ihsan Bomba 
Difahamkan mangsa bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor, ke Melaka.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 9:15 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96030#foto

Tragedi perigi kebun kelapa sawit

Jertih: Dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan sembilan tahun ditemui mati lemas dalam sebuah perigi lama di Kampung Alur Keladi, dekat sini, kira-kira 5.30 petang tadi.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Hakim Syahrul Azman, 7, dan Mohammad Nabil Nuriman, 9, dipercayai terjatuh ke dalam perigi berkenaan ketika bermain dalam kebun kelapa sawit.
Mangsa dikatakan ke kawasan itu tanpa diketahui ibu bapa dan dipercayai tergelincir ke dalam perigi lama yang dipenuhi air berikutan musim hujan.
Mereka ditemui terapung di permukaan air dalam perigi oleh seorang penduduk yang kebetulan lalu di situ sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang kemudiannya bergegas ke lokasi serta mengejarkannya ke Unit Kecemasan Hospital Besut tetapi disahkan sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 11:04 PM


Jenazah dua kanak-kanak yang lemas dalam perigi di bawa ke hospital. - Foto MOHAMMAD ISHAK
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96043#sthash.3OeFl3yi.dpuf

Pemandu wanita pantas halang motosikal peragut

GEORGETOWN: Tindakan pantas seorang wanita menghalang motosikal dinaiki lelaki yang baru meragut wanita lain dengan menggunakan keretanya, berjaya menahan suspek berkenaan di Lebuh Chulia, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, peragut berusia 39 tahun berkenaan telah meragut wanita berusia 58 tahun yang berada di tepi jalan.
"Ketika kejadian, wanita berkenaan sedang menunggu rakannya dan tiba-tiba datang motosikal ditunggang suspek, bertindak menarik beg tangan mangsa yang disangkut pada bahu kanannya,"
"Ekoran kejadian itu, mangsa terjatuh dan mukanya terkena jalan sehingga menyebabkan kecederaan, dalam masa sama seorang pemandu kereta yang terlihat kejadian itu bertindak menghalang motosikal suspek," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, motosikal yang ditunggang lelaki itu terbabas sebelum dia terjatuh dan ditahan oleh orang ramai sebelum menyerahkannya kepada polis.
Mior Faridalatrash berkata, mangsa wanita yang cedera dan luka di tangan dan di lutut kanan serta patah gigi depan itu mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Pulau Pinang.
Katanya siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.
"Polis percaya lelaki itu aktif menjalankan kegiatan samun dan ragut di sekitar daerah ini," katanya menambah lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan cedera.
"Polis amat menghargai peranan dan keberanian yang ditunjukkan masyarakat dalam sama-sama membanteras kes jenayah... penjenayah akan sedar tindakan mereka bukan sahaja dipantau polis tetapi juga masyarakat awam," katanya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 2:40 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96237#sthash.qKSr3vPR.dpuf

Lemas dalam lombong ketika memukat

Gambar Shamsudin Husin
Chukai: Seorang buruh ladang lemas dipercayai terjatuh dalam lombong di Ladang Bandi Air Putih, dekat sini, ketika memukat ikan, petang ini.
Mangsa dikenali sebagai Yahya Junoh, 37, beralamat di Kampung Baru Pak Ba, Sungai Tong, Setiu, ditemui lemas oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Cheneh kira kira jam 2.45 petang tadi, kira kira 10 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.
Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba Balai Cheneh Baharu Hasbulah Halipah berkata, mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 5:17 PM


Anggota Bomba dan Penyelamat mencari Yahya Jusoh, 37 (gambar kecil) yang lemas dalam lombong. - Foto SHAMSUDIN HUSIN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96253#sthash.UXVlTReC.dpuf

Serah 34 kenderaan

Bukit Kayu Hitam: Sebanyak 34 kenderaan mewah bernilai RM4 juta yang dilaporkan hilang sebelum ditemui semula di negara jiran diserahkan semula kepada pihak berkuasa negara jiran oleh Polis Diraja Thailand (RTP) untuk tindakan lanjut, semalam.
Difahamkan, semua kenderaan itu dilaporkan hilang antara 2008 hingga 2012 lalu dan dipercayai ditukar nombor pendaftaran untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Pakar perunding Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad) Mohd Yusof Idris berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Thailand mengesan kenderaan terbabit berdasarkan siasatan terhadap nombor casis kenderaan terbabit.
Menurutnya, antara kenderaan yang diperoleh semula termasuk Toyota Vellfire dan Alphard, Mercedes Benz, BMW, Nissan GTR, Audi, Honda serta Lamborghini yang mendapat permintaan di negara jiran terbabit.
“Semua kenderaan terbabit dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang menjadi tumpuan sindiket mencuri kenderaan mewah.
“Polis Thailand menyerahkan kenderaan ini kepada PDRM pada 24 November lalu di Bangkok sebelum urusan membawa pulang kenderaan ini dilakukan hari ini (semalam).
“Kebanyakan kenderaan itu masih dalam keadaan baik dan hanya ditukar nombor pendaftaran,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.
Urusan membawa pulang kenderaan itu melalui pekan Dannok, Thailand ke negara ini disertai anggota Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4) Bukit Aman dan dibantu polis negara jiran.
Mohd Yusof berkata, pihaknya mengesan kenderaan lain yang dilaporkan hilang dan masih berada negara itu secara berperingkat.
Katanya, proses membawa pulang kenderaan mewah itu perlu mematuhi syarat dan prosedur ditetapkan berdasarkan laporan kehilangan kenderaan berkenaan.
“Semua kenderaan itu diserahkan kepada syarikat insuran berikutan semua pemilik kenderaan terbabit mendapat pampasan masing-masing selepas membuat tuntutan ekoran kehilangan kenderaan mereka.
“Setakat ini, kami serahkan kes ini kepada polis untuk menyelesaikannya berikutan kejayaan menemui kenderaan mewah ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:33 AM


MOHD Yusof (kanan) melihat sebahagian kenderaan mewah dilaporkan hilang di Thailand yang dikembalikan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96115#sthash.DALDrfBB.dpuf

Tertuduh kekal pengakuan

Kuala Pilah
Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menetapkan 22 Disember depan untuk pengurusan kes terhadap seorang pemandu lori yang dituduh merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, November tahun lalu.
Hakim Sazlina Safie menetapkan tarikh berkenaan bagi membolehkan serahan dokumen dilakukan selepas tertuduh Ahmad Affifuddin Ismail, 30, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan dikenakan ke atasnya.
Pada 20 Oktober lalu, mahkamah sama menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Ahmad Affifudin yang diwakili peguam Abdul Aziz Hamzah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Seremban, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 namun gagal berbuat demikian sebelum dia dibawa ke lokap.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kikir, Bahau.
Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa melahirkan bayi lelaki secara songsang di sebuah klinik kesihatan di Bahau pada jam 9 pagi, 8 Ogos lalu.
Bagaimanapun, bayi terbabit meninggal dunia di HTAN akibat radang usus jam 4.40 pagi, 12 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:35 AM


TERTUDUH dibawa polis selepas tidak dijamin ahli keluarga.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96117#sthash.1Cz9yJPN.dpuf

Ajal isteri balik kampung

Seremban: Kepulangan pasangan suami isteri ke kampung halaman bagi menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 245.6, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, kelmarin.
Mangsa Wizana Moktie, 40, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kundang, Rawang maut di tempat kejadian manakala suaminya Mohd Fauzan Hamidon, 44, yang juga anggota bomba Pangkalan Udara Subang cedera di kepala.
Kemalangan berlaku jam 11.35 malam apabila pasangan terbabit dari Rawang, Selangor dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Melaka bagi menghadiri kenduri kahwin.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda Land Cruiser Prado dipandu Mohd Fauzan merempuh belakang lori sarat muatan minyak masak.
“Kejadian mengakibatkan lori terbabit terbabas ke lorong kecemasan akibat tayar belakang rosak. Wizana yang duduk di bahagian hadapan penumpang parah dan maut di lokasi kejadian.
“Pemandu lori R Murugan, 34, bersama kelindannya M Navindan, 18, tidak cedera. Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat manakala suaminya dimasukkan ke Zon Kuning HTJ,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Rudi Hartono berkata, tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.21 malam.
“Sebaik tiba, kami mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit tersepit selepas kenderaannya remuk. Kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:43 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96123#sthash.yRFCWIS1.dpuf

2 rakan karib 'pergi' bersama

Melaka: Dua wanita yang juga rakan karib menghuni Pusat Jagaan Kasih Sayang Prasanna, Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini, ditemui meninggal dunia oleh penyelia pusat jagaan itu pagi semalam.
Difahamkan dalam kejadian jam 6.30 pagi, Gan Ah Poh, 56 dan Ng Ah Ting, 53, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat dua premis berkenaan oleh penyelia pusat jagaan terbabit ketika melakukan pemeriksaan rutin.
Penyelia pusat jagaan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Raj 30-an, berkata, ketika pemeriksaan dilakukan dia mengesyaki ada perkara tidak kena berikutan pintu bilik stor di tingkat dua bangunan itu separuh terbuka.
“Saya ke ruang terbabit untuk melakukan pemeriksaan sebelum melihat Ah Pong tertonggeng, selain mendapati ada kesan darah pada lantai.
“Saya mendekati mayat mangsa dan mendapati bahagia kening wanita itu tertusuk skru peralatan senaman di bilik berkenaan,” katanya ketika ditemui di pusat jagaan terbabit.
Raj berkata, cemas dengan keadaan itu, dia mengarahkan empat lagi penjaga pusat itu membantu mengejutkan 30 penghuni sambil menghubungi polis dan pihak hospital.
Namun ketika mengejutkan penghuni dia mendapati Ah Ting yang ketika itu tidur di ruang tamu di tingkat dua tidak memberikan tindak balas ketika diminta untuk bangun.
“Ketika ditemui tubuh wanita itu kaku, pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat kedua-dua mangsa pada jam 7 pagi.
“Siasatan awal mendapati seorang daripada wanita itu terjatuh manakala rakannya dipercayai diserang sawan sebelum meninggal dunia, mayat kedua-duanya mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat daripada hospital. Siasatan awal mendapati kematian mangsa tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:45 AM


ANGGOTA polis mengangkat dua mayat warga emas dijumpai mati di sebuah pusat jagaan di Jalan Laksamana Cheng Ho, Melaka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96125#sthash.eWBTk0OO.dpuf

15 maut helikopter terhempas

Moscow: Seramai 15 orang terbunuh di Russia semalam selepas helikopter awam membawa pekerja pelantar minyak terhempas di Siberia.
Helikopter Mi-8 itu yang membawa 22 penumpang dan empat anak kapal terhempas berhampiran bandar Igarka, Siberia Barat, kira-kira 2,800 kilometer di timur laut Moscow.
Pihak berkuasa pengangkutan tempatan berkata dalam satu kenyataan: “Lima belas terbunuh dan 10 kini dirawat di hospital akibat kecederaan dialami.”
Difahamkan, hubungan dengan helikopter itu terputus kira-kira 15 minit sejurus berlepas dari lapangan terbang Igarka.
Punca kejadian masih disiasat. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:57 AM


PIHAK berkuasa memeriksa bangkai helikopter yang terhempas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96068#sthash.gkA842TH.dpuf

Remaja diarah bayar pampasan RM3.55 juta

Bangkok: Sebuah mahkamah di sini semalam mengarahkan keluarga remaja perempuan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan sembilan orang maut dan empat lagi cedera membayar pampasan berjumlah 30 juta baht (RM3.55 juta) kepada mangsa.
Remaja itu, Orachorn Thephasadin Ayudhya yang memandu sebuah kereta Honda Civic melanggar belakang sebuah van penumpang di atas jejambat di lebuh raya Din Daeng-Don Muang pada 27 Disember 2010.
Ketika kejadian Orachorn berusia 16 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu.
Kemalangan itu menyebabkan van berkenaan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke bawah jejambat.
Pada 2011, Orachorn didakwa memandu tanpa lesen, memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Mahkamah semalam turut mengarahkan keluarga Orachorn membayar pampasan berkenaan kerana ibu bapanya gagal memantau anak mereka itu.
Seramai 28 plaintif terdiri daripada keluarga mangsa yang maut dan mangsa yang cedera memfailkan saman bagi menuntut pampasan dari Orachorn.
Mahkamah mengarahkan bayaran pampasan dari 4,000 baht (RM473) hingga 1.8 juta baht (RM212,859) termasuk faedah untuk setiap mangsa terbabit. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:59 AM


ORACHORN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96072#sthash.1Ooaew2N.dpuf

Mayat lelaki warga emas ditemui terapung

Kuantan: Mayat lelaki warga emas ditemui terapung di Sungai Galing Besar, di sini, di belakang pasaraya pagi tadi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mayat mangsa, Koh Hong Tong, 76, ditemui kira-kira 9.30 pagi oleh orang ramai yang melalui tempat kejadian.
"Polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menaikkan mayat mangsa ke tebing sungai.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa berasal dari Bukit Ubi, di sini, berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui padanya," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 8:52 PM


MAYAT mangsa ditemui terapung. FOTO ihsan Polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96023#sthash.VlaW6xbk.dpuf

Tak sedar diekori

Melaka: Seorang wanita kerugian lebih RM1,200 selepas dia disamun dua lelaki menunggang sebuah motosikal ketika melalui lorong belakang sebuah hotel di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa yang berusia 20-an berjalan seorang diri tidak menyedari dia diperhatikan dua lelaki menunggang motosikal Yamaha 125Z
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata suspek kemudian menghampiri mangsa sebelum pemboncengnya menarik beg tangan wanita itu dan memecut laju meninggalkan lokasi kejadian.
“Kerugian yang dialami mangsa membabitkan sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan barangan peribadi disimpan di dalam beg yang dilarikan kedua-dua suspek terbabit.
“Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh atas jalan dan dia cedera ringan di tangan dan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 7:43 AM


ANTARA gambar rakaman CCTV yang menjadi viral.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96086#sthash.98Rto0BE.dpuf