Search This Blog

Thursday, November 26, 2015

Lelaki cuba terjun kondominium


PENGAWAL keselamatan lelaki (dua dari kanan) diselamatkan oleh
PENGAWAL keselamatan lelaki (dua dari kanan) diselamatkan oleh anggota bomba dan penyelamat dalam cubaan terjun di sebuah kondominium di Banda Hilir, Melaka, malam semalam.
MELAKA 25 Nov. – Seorang pengawal keselamatan lelaki yang dipercayai menghadapi tekanan keluarga cuba terjun dari tingkat 15 sebuah kondominium di Banda Hilir di sini tengah malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam apabila lelaki berusia 57 tahun itu bertindak naik ke tingkat 15 dan duduk di salah satu tingkap di koridor kondominium tersebut.
Difahamkan, bapa kepada tiga orang anak itu menghadapi masalah keluarga menyebabkan dia bertindak sedemikian, bagaimanapun kehadiran isteri­nya ke lokasi kejadian kira-kira dua jam kemudian membuatkan dia akhirnya berubah fikiran.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd. Din berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.03 tengah malam, sebuah jentera bomba dan Pasukan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu bersama 15 anggota termasuk dua pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan dua kali daripada lelaki berkenaan yang memaklumkan dia ingin terjun dari bangunan tersebut.
“Pihak kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk berun­ding dengan lelaki terbabit sebelum mengambil keputusan memanggil isterinya bagi memujuk lelaki terbabit,” katanya.
Kamarulzaman berkata, hasil rundingan dan pujukan isterinya, lelaki itu akur dan bertindak turun dari tingkap koridor sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-cuba-terjun-kondominium-1.162397#sthash.KGtDgOKB.dpuf

Shamsubahrin mohon maaf kepada Mohamad Salleh


Kes saman fitnah selesai

KUALA LUMPUR, 25 Nov -- MOHON MAAF ... Kes saman fitnah Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail (kanan) terhadap Datuk Shamsubahrin Ismail (kiri) diselesaikan secara baik berikutan Shamsubahrin memohon maaf kepada Mohamad Salleh dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.--fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR 25 Nov. – Bekas perunding National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Shamsubahrin Ismail hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail kerana memfitnahnya dalam laman sosial Facebook, antara Mei dan Jun lalu.
Permohonan maaf itu dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dengan kehadiran Mohamad Salleh.
Sehubungan itu, kes saman fitnah yang difailkan Mohamad Salleh, 66, terhadap Shamsu­bahrin, 49, selesai hari ini dengan mahkamah merekodkan penyelesaian tersebut dan membatalkan writ saman serta pernyataan tuntutan tanpa sebarang kos.
Permohonan maaf yang dibaca Shamsubahrin itu menyebut beliau memohon maaf dan menyesal terhadap sebarang tohmahan yang menjejaskan imej dan reputasi Mohamad Salleh.
“Sebagai tanda keikhlasan dan mengetepikan perbezaan yang pernah wujud antara kami, saya memohon maaf dan menyesal terhadap sebarang tohmahan yang memalukan, memberi tekanan serta ketidakselesaan terhadap beliau (Mohamad Salleh) yang berpunca daripada kenyataan dalam laman sosial Facebook milik saya seperti dalam pernyataan tuntutan,” katanya.
Shamsubahrin juga berjanji tidak akan mengulangi kenyataan tersebut atau yang hampir sama dengannya melibatkan Mohamad Salleh, isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tiga anaknya, NFCorp, National Meat & Livestock Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Mohamad Salleh kemudian menerima permohonan maaf itu di samping turut memohon maaf terhadap Shamsubahrin.
“Saya memaafkan Shamsubahrin dan memohon maaf kepada beliau dan saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis menuduhnya menipu saya,” kata beliau.
Terdahulu peguam Al Firdaus Shahrul Naing yang mewakili Mohamad Salleh memaklumkan, kedua-dua pihak telah bersetuju mencapai suatu penyelesaian dan perdamaian berdasarkan terma-terma tertentu dan telah bersetuju untuk tidak memohon sebarang perintah berkenaan kos.
Peguam J. Leela yang mewakili Shamsubahrin kemudian mengesahkan penyelesaian kes saman itu.
Mohd. Zaki turut menyatakan kegembiraannya setelah kes tersebut selesai dengan cara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Terima kasih kepada pihak terlibat kerana telah menyelesaikan perkara ini dengan baik,” ka­tanya yang kemudian bertanya kepada kedua-dua pihak sama ada mahu bersalaman.
Shamsubahrin yang kelihatan ceria kemudian berjalan ke arah Mohamad Salleh dan bersalaman serta memeluknya sambil mengucapkan terima kasih kerana mahu menyelesaikan kes tersebut.
Mohamad Salleh turut diwakili peguam, Syed Ismat Syed Muhamad manakala peguam Zarina Ismail turut mewakili Shamsubahrin.
Pengerusi Eksekutif NFCorp itu memfailkan saman terhadap Shamsubahrin pada 3 Julai lalu atas dakwaan memuatkan naik kenyataan berunsur fitnah tentang dirinya dalam Facebook milik Shamsubahrin atas nama Shamsubahrin Ismail Tom antara 19 Mei dan 23 Jun lalu, yang boleh diakses oleh orang ramai.
Beliau berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh, pada 18 Mei lalu, menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan empat kali terhadap Shamsubahrin atas dakwaan me­nipunya membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.
Semalam, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohamad Salleh daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta dan dua pertuduhan menggunakan dana syarikat selepas Jabatan Peguam Negara menerima permohonan representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/shamsubahrin-mohon-maaf-kepada-mohamad-salleh-1.162411#sthash.p0a2Z2ax.dpuf

Geng pecah rumah ‘VIP’ tumpas


Empat ditahan bersama wang tunai, barang kemas RM3 juta

SEBAHAGIAN peralatan pecah rumah yang digunakan geng Amerika Latin ketika memecah masuk rumah orang kenamaan di sekitar Ampang, Selangor, sejak beberapa bulan lalu
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Kegiatan sekumpulan warga Amerika Latin yang memecah masuk rumah orang kenamaan di sekitar Ampang sejak beberapa bulan lalu tumpas selepas empat anggota mereka diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Bukit Jaya di sini pagi ini.
Turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu ialah barangan kemas, jam berjenama dan pelbagai mata wang asing bernilai RM3 juta.
Sebahagian daripada barangan yang dirampas dipercayai milik seorang ahli perniagaan cari gali minyak warga Belanda bergelar Datuk yang rumahnya dipecah masuk kumpulan ini pada 31 Oktober lalu.
Menurut sumber, empat yang ditahan merupakan dua lelaki dan seorang wanita Mexico serta seorang lelaki Columbia berusia antara 19 hingga 32 tahun.
Ujarnya, kesemua mereka ini hidup mewah di kondominium serta memandu kereta berjenama hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan.
Tambahnya, mereka juga dipercayai menghantar sejumlah besar wang kepada keluarga di negara asal.
“Modus operandi mereka ialah menyelinap masuk ke kawasan perumahan orang kenamaan menaiki kereta mewah untuk mengaburi mata orang ramai termasuk pengawal keselamatan.
“Mereka kemudian akan menekan loceng mana-mana kediaman dan sekiranya tidak berjawab rumah itu akan menjadi sasaran untuk dipecah masuk,” katanya di sini.
Sumber itu memberitahu, dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah yang berlaku di daerah Ampang yang melibatkan rumah orang kenamaan.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kegiatan pecah rumah,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/geng-pecah-rumah-vip-tumpas-1.162420#sthash.ODvRA6RT.dpuf

Seorang maut banjir di Riyadh, Qatar


Sebahagian kenderaan tenggelam selepas banjir melanda daerah Labban, di Riyadh, semalam. AFP
RIYADH 25 Nov. – Seorang maut apabila hujan lebat yang melanda Arab Saudi buat hari kedua berturut-turut mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Riyadh, mengakibatkan sebanyak 72 buah kenderaan terpaksa diselamatkan daripada tenggelam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sekolah-sekolah masih ditutup hari ini ketika jalan-jalan utama ditenggelami air, memaksa pengguna jalan raya meninggalkan kenderaan masing-masing bagi menyelamatkan diri.
Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 72 buah kenderaan terpaksa diselamatkan berikutan paras air yang semakin meningkat, manakala seorang jurugambar AFP pula merakamkan gambar kira-kira 10 kereta tenggelam di daerah Labban, ba­rat Riyadh.
Menurut agensi itu, mangsa yang maut menetap di Rimah, timur laut Riyadh, namun butiran lanjut tidak disertakan.
Di negara jiran, Qatar, banjir teruk melumpuhkan ibu negaranya, Doha, sehingga menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad yang baru dibuka tahun lalu, namun tidak meng­akibatkan pembatalan penerbangan.
Selain memaksa penutupan sekolah, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) turut ditutup dan hanya akan dibuka semula minggu depan.
“Berikutan cuaca buruk, Kedutaan AS di #Qatar ditutup hari ini,” demikian pengumuman di Twitter kedutaan berkenaan.
Banjir minggu lalu di Madinah dan Jeddah mengakibatkan lapan orang maut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/seorang-maut-banjir-di-riyadh-qatar-1.162459#sthash.qgTKTN0c.dpuf

Kaji semula projek Sungai Segget


Kaji semula projek Sungai Segget
Keadaan banjir kilat kali ketiga berlaku kelmarin di lokasi sama. - Foto Ihsan pembaca
JOHOR BAHRU - Susulan kejadian banjir kilat yang melanda bandaraya Johor Bahru dua kali berturut- turut dalam tempoh dua minggu dan terkini berlaku kelmarin menimbulkan kekesalan dan persoalan pelbagai pihak.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mahu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) mengkaji semula perancangan serta pengurusan projek Sungai Segget yang didakwa lemah sehingga menyebabkan banjir kilat sedangkan tidak berlaku fenomena air pasang di Selat Tebrau.
“Lebih menghairankan walaupun lima pam air dipasang selepas kejadian banjir kilat dua minggu lalu, banjir terus berlaku.
"Ia menunjukkan ada sesuatu tidak kena dengan projek Sungai Segget berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Nur Jazlan berkata, sebelum projek berkenaan dilaksanakan, kejadian banjir kilat tidak kerap berlaku di pusat bandaraya ini tetapi kini sebaliknya.
Katanya, Irda sebagai pihak berkuasa bertanggungjawab terhadap pembangunan Iskandar Malaysia terutama di pusat bandaraya perlu serius menjaga nama baik Iskandar Malaysia dan negara.
Beliau berkata, Irda perlu mengatasi segera masalah itu sebelum lebih banyak kerugian ditanggung penduduk di bandaraya tersebut.
Sementara itu, Irda dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah berjaga- jaga bagi membendung kejadian banjir kilat berlaku di bandaraya ini.
"Pemasangan pam sedutan dan sistem amaran telah berjaya mengelakkan kerosakan harta awam dan swasta dalam kejadian banjir kilat, kelmarin.
“Pam sedutan telah diaktifkan apabila air pasang bermula pada jam 9.49 pagi, walau bagaimanapun disebabkan hujan lebat berpanjangan yang bermula pada kira-kira jam 10.55 pagi, aliran air itu naik kepada kira-kira setengah meter sekitar kawasan yang terjejas di hadapan Komtar JBCC pada kira-kira jam 12.25 tengahari.
“Keadaan itu bagaimanapun dapat diatasi kurang daripada 30 minit hasil tindakan pantas yang diambil selain menutup Jalan Wong Ah Fook bagi semua kenderaan kira-kira jam 12.20 tengahari sebagai satu lagi langkah keselamatan mengelakkan sebarang kerosakan kepada kenderaan,”katanya.
Irda sekali lagi menegaskan kejadian banjir tersebut disebabkan oleh gabungan dua faktor iaitu air pasang mengalir ke pusat dan aliran air hujan lebat berpanjangan.
“Irda menegaskan bahawa banjir tidak disebabkan oleh kerja-kerja pemulihan Sungai Segget kendalian pihak berkuasa itu,” katanya.
Projek pemulihan tersebut dijangka siap Jun 2016 bertujuan eningkatkan kualiti air dan udara selain  menghidupkan Jalan Wong Ah Fook sebagai destinasi pelancongan.
Kejadian banjir kilat itu merupakan kali ketiga berlaku di lokasi sama di mana sebelum ini pada 31 Julai  dan 16 November lalu.

Lari lintang-pukang diserbu Jawi


Cubaan pelanggan beragama Islam melarikan diri ketika serbuan dibuat di premis jualan nombor ekor di Jalan Gombak Setia dan Jalan Langkawi di ibu negara.

KUALA LUMPUR - Lintang-pukang. Itu situasi yang berlaku ketika serbuan ke atas premis-premis jualan nombor ekor di Jalan Gombak Setia dan Jalan Langkawi oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, semalam.
Rata-rata pelanggan beragama Islam bertindak cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Salah seorang warga asing yang ditahan mengaku bukan Islam bagi melepaskan diri, manakala seorang lagi remaja berusia 19 tahun memberi alasan hanya menolong bapa saudara membeli tiket nombor.
Ketua Penguatkuasa Agama Jawi, Wan Jaafar Wan  Mohd berkata, seramai 22 berjaya ditahan dalam serbuan ke atas empat premis di dua lokasi berkenaan.
Menurutnya, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan orang Islam membeli nombor ekor berdasarkan pemerhatian dan aduan.
“Mereka yang cuba melarikan diri kali ini dilihat lebih agresif berbanding operasi sebelum ini.
“Mereka yang ditahan untuk tempoh 24 jam dibawa ke pejabat Jawi untuk proses dokumentasi dan diambil keterangan untuk penilaian membolehkan kes dibawa ke mahkamah. Bagaimanapun bagi warga asing, kita akan bawa ke mahkamah esok,” katanya selepas mengetuai Operasi Cegah Jenayah Syariah (Judi), berkenaan.
Beliau menambah, mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 18, Akta 559, Kesalahan Jenayah Syariah, Wilayah Persekutuan, 1997.
“Mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dua keluarga dibenarkan pulang


Dua keluarga dibenarkan pulang
Kerja-kerja membina laluan air di setiap jalan memasuki rumah mangsa banjir di Parit 57L Pengkalan Ara sedang giat dijalankan.
HILIR PERAK – Lapan mangsa banjir daripada dua keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Ara, Labu Kubong dibenarkan pulang ke rumah, petang semalam selepas banjir surut.
Pegawai Pertahanan Awam Bagan Datoh, Mohd Zaidi Ahmad yang ditugaskan menjaga pusat banjir tersebut berkata, mangsa yang dibenarkan pulang adalah mereka yang tinggal di Parit 3/7L dan Parit 5/7L.
“Banjir didapati surut sepenuhnya di Parit 3/7L, manakala Parit 5/7L belum surut sepenuhnya.
“Sebab itu hanya satu keluarga sahaja dari Parit 5/7L dibenarkan pulang selepas air tidak lagi memasuki rumah mereka sehingga tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, pasukan penyelamat akan membantu kesemua mangsa untuk berpindah semula ke rumah mereka dengan mencuci kediaman mangsa.
“Bagi 21 mangsa lain mereka belum dibenarkan pulang kerana rumah mereka  masih digenangi air walaupun paras air surut.
“Kita hanya akan membenarkan mereka pulang selepas paras air surut sepenuhnya dan keselamatan mereka terjamin,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Pengkalan Ara, Mohd Fauzi Itam berkata, pihaknya berharap kerajaan memandang serius masalah banjir yang menjejaskan beberapa rumah di kampungnya.
“Setiap kali musim hujan, air dari ban akan melimpah masuk ke kawasan sama dan apabila banjir ia akan melibatkan keluarga yang sama.
“Perkara ini saya telah bawakan kepada pihak atasan dan hasilnya, semalam mereka telah mengorek ban tersebut selain membina jalan baharu yang mempunyai laluan air untuk mengalir di bawahnya,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan banjir SK Changkat Jong tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, jumlah mangsa masih lagi seramai 71 orang daripada 20 keluarga terjejas.
“Kesemua mangsa masih lagi tidak dibenarkan pulang kerana air di Lorong Mesra masih belum surut dan kerja-kerja mengepam keluar air masih lagi dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

elaki nafi keretanya terlibat


Lelaki nafi keretanya terlibat
Laporan polis yang dimuatkan dalam Facebook dan Facebook tertera nombor kereta lelaki terbabit.
BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki membuat laporan polis bagi menjelaskan kenderaannya tidak terbabit dalam kes kehilangan bayi berusia 12 hari di Kota Laksamana, di sini kelmarin.
Pemilik Perodua Kelisa itu turut menafikan terbabit dalam penculikan bayi berkenaan seperti yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook lewat petang kelmarin.
Difahamkan, status berserta gambar seorang bayi dimuat naik oleh seorang wanita yang meminta orang ramai mengesan kereta dengan nombor pendaftaran MBC3027 kerana melarikan bayinya.
Bagaimanapun, lelaki itu dalam laporan polisnya mengatakan berada di kawasan perumahan terbabit kira-kira jam 6 petang untuk bertemu dan mengambil barang daripada rakannya sebelum dia didatangi sepasukan polis bertanyakan mengenai kereta warna biru berkenaan.
Difahamkan, pengadu yang membuat naik laporan polis di dalam akaun Orang Melaka turut menjalani prosedur menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu kepada pengawal keselamatan untuk dicatit dalam buku rekod.
Melalui laporan berkenaan juga, pengadu mendapati buku rekod pelawat tersebut mencatit alamat rumah kawannya yang salah tidak seperti diberitahunya kepada pengawal keselamatan.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata,  lelaki terbabit tidak dianggap sebagai suspek berhubung kes kejadian kehilangan bayi berkenaan.

Kecewa petisyen bauksit ditolak


Kecewa petisyen bauksit ditolak
Ahli Geram dan masyarakat Kuantan turut hadir ke Parlimen semalam untuk memberi sokongan terhadap petisyen untuk memberhentikan lesen eksport bahan mineral berkenaan.
KUANTAN – Penolakan Speaker Dewan Rakyat terhadap petisyen mendesak Kerajaan Pusat untuk menggantung lesen pengeksportan bauksit buat sementara disifatkan satu keputusan yang tidak munasabah.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, keputusan tersebut tidak boleh diterima akal memandangkan petisyen tersebut merupakan suara rakyat dan dewan sepatutnya menerima untuk dibahaskan terlebih dahulu.
“Kita dapat lihat kesan alam sekitar terhadap warga Kuantan amat teruk, malah ujian sampel air di sungai Kuantan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sendiri mendapati adanya kandungan merkuri berada di Kelas 5 yang boleh mengakibatkan penyakit serius.
“Selain itu, pencemaran alam sekitar juga antaranya penyebab supaya lesen pengeksportan digantung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Semalam, Fuziah bersama Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman; Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, Adun Beserah, Andansura Rabu, Adun Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabbar dan Adun Semambu, Lee Chean Chung termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) yang hadir ke Parlimen kecewa dengan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Fuziah berkata, lesen pengeksportan bauksit yang wajar digantung sementara dan bukan lesen perlombongan bauksit kerana jika lesen perlombongan yang digantung, terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab boleh melakukan perlombongan haram.
“Dengan ketiadaan kegiatan pengeksportan, permintaan juga akan menurun dan seterusnya menghapuskan keperluan untuk mendapatkan bekalan,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, penolakan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat dengan tiga alasan iaitu petisyen tersebut dikemukakan seorang ahli parlimen sedangkan dalam rayuan tersebut dua ahli Parlimen terlibat iaitu dari Kuantan dan Indera Mahkota.
“Saya tidak boleh terima alasan ini kerana sebelum ini ada ahli parlimen yang membawakan satu usul sehingga empat pemimpin dalam rayuannya. Jadi dalam rayuan ini kenapa tidak membenarkan dua penama ada dalam rayuan berkenaan,” katanya.
Katanya, bagi alasan kedua, terdapat penama yang tidak menandatangani atau meletakkan cap jarinya serta tidak melengkapkan nama dengan nombor kad pengenalan dalam kertas rayuan tersebut.
Seterusnya, Fuziah memberitahu, bagi membolehkan rayuan tersebut diperkenan untuk diluluskan dan dibawa ke Majlis Mesyuarat, matlamat dan tujuan rayuan ini hendaklah diteliti.
“Jadi dalam hal ini, speaker Dewan Rakyat meminta agar kerajaan pusat akan mengadakan pelbagai siri rundingan dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan dan merangka pelan tindakan pemulihan jangka pendek dan jangka panjang secara holistik.
“Ini termasuk usaha kerajaan mengemas kini undang-undang di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 meliputi aspek pelesenan, pemprosesan, keselamatan dan kesihatan pekerja, penjagaan terhadap alam sekitar serta pemulihan tanah lombong,” katanya.

Pemuda bakar motosikal bapa


pdrm

KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda bertindak biadab dengan membakar motosikal milik bapanya sebagai tanda protes apabila kehendaknya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan, dalam satu kejadian di Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu disedari kedua orang tuanya selepas pulang ke rumah setelah beberapa hari bersembunyi di rumah anak-anak  yang lain kerana dipercayai tidak tahan melayan kerenah suspek, 22.
Timbalan Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Superintendan Nik Mohd Zain Nik Omar berkata, sehari sebelum insiden itu, suspek dikatakan telah menelefon salah seorang kakaknya yang tinggal di Batu Rakit, Kuala Nerus.
Jelasnya, suspek berbuat demikian untuk mengetahui di mana kedua orang tua mereka berada kerana difahamkan, kedua-duanya sudah beberapa hari meninggalkan rumah.
“Bagaimanapun, kakaknya memberitahu dia tidak tahu. Suspek mula naik angin selepas mendengar jawapan itu kerana dia yakin kedua orang tuanya berada di rumah kakaknya.
“Suspek yang tidak berpuas hati apabila kakaknya itu enggan memberi kerjasama setelah puas dipaksa telah bertindak ke rumah berkenaan beberapa jam kemudian,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Nik Mohd Zain berkata, setibanya di rumah tersebut, suspek terus menyerang masuk ke dalam rumah mencari kedua orang tuanya yang ketika itu sedang bersembunyi di rumah salah seorang anak mereka yang lain.
“Setelah puas menggeledah mencari kedua orang tuanya, suspek mula naik hantu sebelum mengugut kakaknya yang dia akan membakar motosikal milik bapa mereka yang ada di rumah jika masih enggan memberitahu lokasi kedua orang tua itu berada.
“Kakak suspek yang sudah lali dengan perangai panas barannya tidak mengendahkan ugutan tersebut sebelum suspek meninggalkan rumah,” katanya.
Keesokannya (hari kejadian), kedua orang tua suspek balik ke rumah mereka sebelum terkejut melihat motosikal jenis Honda milik bapanya sedang terbakar di halaman rumah.
Menurutnya, kedua orang tua itu yakin suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati apabila permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan sebelum mereka mengambil keputusan bersembunyi di rumah anak-anak lain.
“Ini sebab, kedua orang tuanya mendakwa tidak tahan melayan kerenah suspek yang sebelum ini sering meminta wang dipercayai untuk membeli dadah.
“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Remaja tikam bapa tak mengaku salah

Kuala Lumpur: Remaja perempuan yang menikam leher bapanya kerana marah apabila dilarang daripada terus menjalin hubungan dengan seorang gadis Ahad lalu, tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi, atas pertuduhan menikam bapanya dengan pisau.
Lum Kar Yee, 18, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Noor.
Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan pisau terhadap bapanya, Lum Su Hai, 45, di sebuah rumah di Taman Desa Bakti, Jinjang, di sini, jam 10.30 pagi, Ahad lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding tadi, mahkamah membenarkan permohonan peguam Farhan Read yang mewakili Lum supaya anak guamnya dihantar ke hospital bagi mendapatkan penilaian psikiatri.
Mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula.
Sebelum ini media melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian dipercayai berlaku kerana remaja perempuan itu yang masih belajar, tidak berpuas hati apabila bapanya tidak merestui hubungannya dengan seorang gadis.
"Siasatan awal mendapati ketika pertelingkahan berlaku, suspek dikatakan mengambil sebilah pisau pemotong sayur bertindak menikam bapanya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 4:51 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95983#sthash.DiwSCl0c.dpuf

Dua lelaki biadap dihukum

Georgetown: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman terhadap dua lelaki yang memaki hamun dan melempar wang kepada anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bulan lalu.
Tertuduh, Bok Kwong Shen, 25, dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM5,200.
Rakannya, Leong Wai Loon, 19, dijatuhkan hukuman melakukan khidmat masyarakat selama 150 jam dan turut dikenakan denda RM100.
Kedua-duanya kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan Majistret Sharifah Izura Syed Mashor.
Dua tertuduh berkenaan diwakili peguam Tan Guat Cheng dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkifli.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 4:26 PM


LEONG (kiri) and Bok (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret. FOTO Mikail Ong
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95981#sthash.2glduJnJ.dpuf

Suri rumah dituduh bunuh anak tiri

Shah Alam: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, bagi menghadapi tuduhan membunuh anak tirinya berusia lima tahun antara 19 hingga 20 November lalu.
Zuraidah Basuki, 36, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Noorshakinah Ahmad Kamarudin.
Tertuduh dituduh membunuh kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang juga anak tirinya, Nurul Aamieranda Amran, di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor antara jam 10 malam 19 November hingga jam 2 pagi 20 November lalu.
Noorshakinah menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 4:06 PM


Zuraidah Basuki, 36, enghadapi tuduhan membunuh anak tirinya berusia lima tahun. - Gambar MOHD ASRI SAIFUDDIN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95970#sthash.2d78L80B.dpuf

Mokbiey didakwa

Kota Bharu: Wanita dikenali Mokbiey yang dikaitkan dengan video viral pergaduhan wanita dalam kejadian di Wakaf Mek Zainab bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas tuduhan mencederakan dan mencabul kehormatan mangsa.
Tertuduh, Putri Nur Shasha Shamrila Zamri, 22, yang juga ibu tunggal bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed.
Mengikut pertuduhan tertuduh bersama rakannnya yang sudah dituduh didakwa mencederakan mangsa, Nur Azzlaila Suzzana Ab Halim, 24, dengan menggunakan kaki dan tangan sehingga mendatangkan kecederaan di kawasan rumah di Wakaf Mek Zainab, di sini, pada 10 pagi, 15 Oktober lalu.
Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, dia bersama-sama seorang yang sudah dituduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa yang sama, pada masa, tarikh dan kawasan yang sama.
Kesalahan berkenaan, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripadanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapakan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 1:10 PM


TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95936#sthash.Iy0sZpub.dpuf

Adik bapa, ipar disyaki dalang culik bayi

Melaka: Empat individu ditahan termasuk suami isteri yang juga saudara kandung bapa bayi diculik Selasa lalu yang dipercayai dalang penculikan di Taman Kota Laksamana.
Pasangan terbabit masing-masing berusia 24 dan 25 tahun, ditahan di dua lokasi berasingan pada 10.30 malam hingga 11.30 malam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, tangkapan pertama dilakukan ke atas wanita berusia 24 tahun yang juga adik ipar kepada bapa mangsa yang ditahan bersama dua lagi wanita dipercayai pekerjanya berusia 21 tahun, selepas ibu bapa mangsa menyerahkan wang tebusan RM200,000 kepada suspek pada 10.30 malam tadi di pusat tuisyen di Taman Gadong Perdana, di sini.
"Susulan tangkapan itu, polis menyerbu kediaman keluarga mangsa di Taman Kota Laksamana dan menahan lelaki berusia 25 tahun yang juga adik kepada bapa mangsa untuk membantu siasatan.
"Kita percaya penculikan ini bermotifkan masalah kewangan yang dihadapi suami isteri terbabit," katanya.
Ghee Lye berkata, kesemua empat suspek ditahan reman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.
Polis akan melakukan tangkapan lain sekiranya mendapati masih ada individu terlibat, katanya.
Bayi berusia 12 hari itu diselamatkan sepasukan polis, di Taman Gadong Perdana, malam tadi.
Berita berkaitan
Polis selamatkan bayi diculik: http://bit.ly/1TfVnw1
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 1:57 PM

SUSPEK wanita ditahan polis. FOTO Rasul Azli Samad

Wanita didakwa bunuh anak tiri



Oleh Rafidah Mat Ruzki
SHAH ALAM: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana membunuh anak tirinya yang berusia lima tahun, minggu lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Zuraidah Basuki, 36, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh Nurul Aamieranda Amran di Bandar Puncak Alam, di sini, antara jam 10 malam 19 November hingga jam 2 pagi 20 November lalu.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Majistret Nurshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sani

Bekas Pengarah Urusan TEKUN didakwa lulus pinjaman RM200,000


Datuk Abdul Rahim Hassan
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan mendapatkan suapan dengan meluluskan permohonan pinjaman program perintis TEKUN berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat e-learning yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Datuk Abdul Rahim Hassan, 59, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Abdul Rahim didakwa menggunakan jawatannya ketika itu, bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan dua permohonan pinjaman program perintis TEKUN Nasional berjumlah RM200,000 melalui dua transaksi, masing-masing kepada syarikat Dynamind Enterprise.
Abdul Rahim didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengetahui bahawa dia mempunyai kepentingan dengan pemilik syarikat Dynamind iaitu Khairul Fadly Mahammad yang juga menantu tertuduh dan anak saudaranya (anak saudara tertuduh), Khairiyah Khalid yang juga rakan kongsi dalam syarikat berkenaan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat TEKUN Nasional di Bandar Tasik Selatan pada 31 Mac 2014.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Shakimah Ibrahim daripada SPRM menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Hasnal Redzua Merican yang mewakili Abdul Rahim memohon mahkamah memberikan jaminan RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan kedua-dua pertuduhan itu membabitkan transaksi yang sama, tarikh dan tempat sama.
"Anak guam saya juga merupakan pesara kerajaan dan isterinya juga tidak bekerja. Oleh itu, jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin adalah memadai," katanya.
Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.
Mahkamah juga memerintahkan Abdul Rahim menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan memberi kebebasan untuk tertuduh memohon pasport sekiranya diperlukan.
- BERNAMA