Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek berusia 30-an dikatakan telah pergi ke premis tersebut untuk memeras ugut mangsa sebanyak RM30.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Setapa Yusoff berkata, selepas menyedari tindakan suspek, beberapa pelanggan yang berada di situ cuba untuk menahannya sehingga berlaku pergelutan.
“Selepas menerima laporan daripada orang ramai, beberapa anggota polis telah dihantar ke tempat kejadian dan suspek yang telah ditahan oleh orang awam diserahkan kepada anggota terbabit untuk tindakan lanjut.
“Lelaki warga Thailand itu luka di bahagian atas kepala, bengkak di mata kanan selain luka di seluruh badan, dia kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala berpunca daripada pintu jeriji kedai tersebut yang menghempap kepalanya.
Setapa berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek mengalami pendarahan teruk di bahagian kepala sehingga terpaksa dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan kecil.
“Setakat ini kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut,” tambahnya.