Search This Blog

Monday, November 23, 2015

Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang

ISNIN, 23 NOVEMBER 2015 @ 8:35 PM

PENDUDUK di Kampung Tok Sirat sedang berehat di dewan serbaguna berhampiran kampung tersebut. - Foto Mohd Nazrulaswad

IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 365 orang daripada 94 keluarga dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka di Sungai Siput, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif. Beliau berkata, mangsa banjir di Sungai Siput membabitkan 18 orang daripada empat keluarga dari Kampung Lasah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah manakala 50 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Tok Sirat, ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat. "Kampung-kampung itu dilanda banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat dan menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.2 meter hingga 0.5 meter," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Bagan Serai pula membabitkan Kampung Changkat Lobak, Kampung Matang Tengah dan Air Hitam masih kekal dengan 63 orang daripada 15 keluarga. semua mereka masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, katanya. Beliau berkata, 51 orang daripada 16 keluarga dari Bukit Merah Batu 38 dan Batu 40 di daerah Bagan Serai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah. Di daerah Hilir Perak, Yahya berkata seramai 73 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8 masih berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan. "Sementara itu, seramai 27 orang daripada enam keluarga membabitkan penduduk di Parit 7, Teluk Intan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara," katanya. Sementara itu, mangsa tanah runtuh dari Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu di Pantai Remis masih kekal 83 orang daripada 22 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai. Katanya, agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/99407

98 penduduk pindah, 3 kampung dilanda banjir kilat


23/11/2015 7:20pm

RAUB - Seramai 98 orang membabitkan 28 keluarga dari tiga kampung di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat lewat petang tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, penduduk terbabit adalah dari Kampung Gali Tengah, Temau dan Kampung Tok Machang yang kesemuanya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara berdekatan.
Katanya, seramai 74 orang di Kampung Gali Tengah dipindahkan ke Dewan Serbaguna Gali Tengah, seramai 22 orang di Temau ditempatkan di Masjid Kuala Temau manakala dua mangsa di Kampung Tok Machang dipindahkan di balai raya kampung berkenaan.
"Kejadian berlaku berikutan peningkatan paras air di Sungai Ruan akibat hujan lebat malam tadi, keadaan kini terkawal dan paras air sungai mulai surut," katanya. - K! ONLINE


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz3sJueB2AF 
Hakcipta terpelihara 

Dua beranak maut, tiga cedera

Ipoh: Dua beranak maut manakala tiga yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki keluarga itu hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang di bahagian kiri jalan di kilometer 280.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam, mangsa Mohamad Fadhir Ismail, 35, dan anak sulungnya Mohamad Adam Faris, 5, maut di tempat kejadian manakala isterinya Noorharzuin Halim,32; anak perempuan Noor Adalea Fatiha, 1, dan anak saudaranya Ummi Kalthum Tajuddin, 21, mengalami kecederaan.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shaharuddin Wan Omar berkata, kereta yang dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Gombak dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas melanggar besi penghadang jalan.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, dua beranak berkenaan maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.
"Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 11:22 AM


KENDERAAN tebabas sebelum langgar besi penghadang jalan. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95141#sthash.wMIiP2qX.dpuf

Suami maut, isteri, anak cedera

Slim River: Seorang lelaki maut manakala isteri serta dua anaknya cedera selepas kenderaan jenis Toyota Fortuner dipandu isterinya hilang kawalan sebelum melanggar belakang bahagian belakang sebuah lori pasir di Kilometer 380.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, tidak jauh dari sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Kamalshah Mohd Salleh,50, maut di tempat kejadian manakala isterinya Nor Adilah Md Rejab, 45, serta dua anak pasangan itu, Mohd Izuan,13, dan Hanie Izzatul Nisa, 7, cedera di beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai terlelap mengakibatkan kenderaan berkenaan melanggar belakang lori pasir.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa yang juga suami pemandu kenderaan berkenaan, maut di tempat kejadian manakala isteri serta dua anaknya yang cedera, dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 7:00 PM

Keadaan kereta dinaiki empat sekeluarga yang remuk teruk selepas melanggar belakang lori pasir. - Foto Ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95222#foto

2 sahabat maut kereta terjunam ke dalam sungai


23/11/2015 6:47pm

KERETA yang dipandu Ponnudurai bersama rakannya Balasugantharajan


KLANG - Dua rakan baik maut dipercayai lemas selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Kapar di sini awal pagi semalam.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, mangsa S. Ponnudurai, dan A. Balasugantharajan masing-masing berusia 21 maut
selepas kereta yang dipandu Ponnudurai dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.
"Kereta yang dinaiki mereka dari arah Kuala Selangor ke susur Bukit Kapar kemudiannya terjunam ke dalam sungai.
"Kejadian itu disedari orang ramai sebelum cuba membantu dan berjaya membawa naik pemandu kereta berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan kecemasan.
"Namun, pemandu yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri itu kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz3sJohITaS 
Hakcipta terpelihara 

Dua Beranak Maut, Tiga Cedera Berhampiran Plaza Tol Ipoh


Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 4:53 PM

IPOH: Dua beranak terbunuh manakala tiga yang lain cedera selepas kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 280.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, Ahad malam.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh DSP Wan Shaharuddin Wan Omar berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, ialah Mohamad Fadhir Ismail, 35, dan anaknya, Mohamad Adam Faris, 5.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan, dan jenazah mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Wan Shaharuddin berkata isteri mangsa, Noorharzuin Halim, 32, dan anak perempuan mereka iaitu Noor Adalea Fatiha, 1, serta anak saudaranya, Ummi Kalthum Tajuddin, 21, pula cedera dalam insiden itu.
Beliau berkata mereka dibawa ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, dalam kejadian itu, Mohamad Fadhir yang memandu kereta jenis Mitsubishi bersama keluarganya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan.
Wan Shaharuddin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiga Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rompak Akauntan Dalam Lif


Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 2:18 PM

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang didakwa berpakat dan merompak seorang akauntan dalam lif sebuah kondominium di Setapak bulan lalu sehingga menyebabkan kecederaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini.

Kru filem Ahmad Shafizi Shafei, peniaga Muhammad Qusyahreen Zainurdin dan juruteknik Mohamad Faizal Shamsudin didakwa pada Isnin kerana merompak Lim Lian Lee, 26, dan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu di dalam lif utama kondominium Prima Setapak, Setapak di sini pada 17 Oktober lalu kira-kira pukul 11.45 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 21 Disember.

Hakim Jagjit juga memerintahkan ketiga-tiga mereka melaporkan diri di balai polis Sentul pada minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan.

Dilaporkan bahawa seorang wanita telah diekori oleh dua lelaki memasuki lif yang kemudian menendang dan mencederakannya hanya untuk mendapatkan wang dalam beg tangannya.

Rompakan menakutkan itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup, yang telah tersebar luas di media sosial.

Serangan itu menyebabkan mangsa patah dua batang gigi dan mengalami lebam di seluruh badannya.

Benjy Bebas Daripada Tuduhan Miliki Dadah


Diterbitkan: Isnin, 23 November 2015 5:13 PM
Benjy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin daripada dua pertuduhan memiliki dadah pada Mac lepas.

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada dua pertuduhan memiliki dadah pada Mac lepas. 

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor membuat keputusan itu terhadap Benjy, 38, dan rakan wanitanya Julia Ernie Jamaludin, 26, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Benjy dan Julia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 3.01 gram dan memiliki dadah jenis sama 1.71 gram di The Reeds Boutique Hotel, Jalan Yap Ah Shak, Dang Wangi di sini pada 9.30 malam, 5 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga memerintahkan Julia membela diri bagi pertuduhan memiliki dadah sama seberat 0.37 gram di tempat, waktu dan tarikh sama dan menetapkan 4 dan 5 Jan tahun depan bagi membela diri.

Benjy pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan dadah sebanyak tiga kali iaitu pada 2009, 2011 dan 2013. Pada 2009 dan 2011, dia di denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret manakalapada 2013, dia dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Pada 8 April lepas, Benjy dan rakannya didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.32 kg. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala peguam Farhan Read mewakili Benjy dan Julia diwakili peguam Nor Rabiatul Bahari.

Samseng 'taik kucing'

Sichuan (China): Rakaman penyangak yang berhajat merompak pengguna mesin ATM akhirmya ‘makan diri’ apabila dia dibelasah sampai terbaring.
Rakaman kamera litar tertutup itu dipetik semula oleh CCTV News yang berpejabat di China dan dimuatnaik pada 18 November.
Ia berlaku di sebuah bank di bandar Deyang, di Wilayah Sichuan.
Mengikut maklumat, perompak itu sudah ditahan polis. - CCTV News
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:36 PM



PETIKAN daripada video yang menunjukkan penyamun dibelasah mangsanya (kanan) di bank di Sichuan. FOTO CCTV News
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94967#sthash.VnjTwvry.dpuf

Tiga termasuk remaja perempuan mati ditembak

Baitulmaqdis: Tiga orang Palestin termasuk seorang remaja perempuan terbunuh selepas menyerang penduduk Israel menggunakan pisau dan kereta dalam tiga kejadian berasingan di Tebing Barat, semalam.
Dalam satu kejadian, seorang wanita Israel parah ditikam lelaki Palestin sebelum penyerangnya ditembak mati tentera.
Sebelum itu, budak perempuan Palestin berusia 16 tahun yang cuba menikam seorang rakyat Israel maut dilanggar penjajah Yahudi menggunakan kereta sebelum ditembak mati askar.
Tentera Israel berkata: “Seorang orang awam dan tentera bertindak pantas menembak perempuan itu.
Pasukan keselamatan Palestin mengesahkan remaja itu sebagai Asheraqat Qatanani, dari kem pelarian Askar berhampiran Nablus.
Ayahnya, Taha Qatanani berkata, Asheraqat pergi ke sekolah seperti biasa pada paginya dan terkejut mendengar berita kematiannya.
“Memang saya terdengar perbualan dengan abangnya menyebut mahu menikam, namun kami tidak memandang serius. Jika itu mahu dilakukannya, dia berjaya melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki Palestin yang memandu teksi cuba merempuh orang awam sebelum menyerang mereka menggunakan pisau, namun ditembak mati.
Polis dalam satu kenyataan berkata: “Seorang lelaki Palestin menggunakan teksi untuk merempuh orang ramai.
“Apabila cubaannya itu gagal, dia keluar membawa pisau dan cuba menikam mereka. Dia mati ditembak orang awam. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:16 AM


POLIS Israel memeriksa mayat seorang pemandu teksi Palestin yang mati ditembak selepas merempuh orang awam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95084#sthash.vgg12Ppj.dpuf

100 ditelan bumi

Yangon: Sekurang-kurangnya 100 terbunuh dan ratusan hilang dalam tanah runtuh di kawasan perlombongan jed yang terpencil di utara Myanmar, lewat Sabtu lalu.
Mereka yang terbunuh dipercayai mengorek timbunan sisa lombong dilonggok jentera pengorek sebuah syarikat perlombongan di kawasan itu untuk mengeluarkan batu paling berharga dihasilkan di Myanmar.
Kejadian itu menyebabkan puluhan pondok pelombong yang tidak diketahui jumlahnya tertimbus.
Pegawai pihak berkuasa pentadbiran tempatan Nilar Myint berkata, utara Kachin belum ada mangsa terselamat ditemui.
“Kami hanya melihat mayat dan tiada siapa tahu berapa ramai orang sebenarnya tinggal di sana.
“Hanya seorang ditemui hidup-hidup, malangnya dia meninggal dunia tidak lama kemudian.”
Penduduk kampung berhampiran, Zaw Mohe Htet berkata, dia mendengar jeritan orang yang menyaksikan kejadian yang bergegas membantu rakan rakan terperangkap.
“Malah penduduk kampung yang lebih jauh lokasinya juga dapat mendengarnya,” katanya.
Kejadian tanah runtuh ancaman biasa dihadapi penduduk setempat yang memilih tinggal di kawasan timbunan sisa lombong dengan harapan menemui jed bernilai ribuan dolar.
Pekerja penyelamat dari Palang Merah Myanmar, tentera, polis dan penduduk setempat cuba membantu menggali mangsa keluar dari timbunan tanah, tetapi usaha mereka terhalang oleh cuaca buruk, kata Nilar Myint.
Myanmar kaya dengan sumber jed terbaik di dunia.
Dalam laporannya Oktober lalu, kumpulan Global Witness menganggarkan nilai jed dihasilkan pada 2014 sahaja adalah $31 bilion (RM133 bilion), bersamaan hampir separuh KDNK negara itu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:20 AM


ANGGOTA Palang Merah Myanmar dan orang ramai mengeluarkan mayat mangsa dari tempat kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95088#sthash.vgfjaCnv.dpuf

Tiga maut teguk arak buatan sendiri

Kota Tasikmalaya (Indonesia): Tiga penduduk di bandar ini maut dan dua lagi terpaksa dirawat di hospital selepas minum arak buatan sendiri.
Kejadian berlaku selepas semua mangsa makan malam bersama di sebuah gerai di bandar ini pada Khamis lalu sebelum berpesta arak.
Polis berkata, semua mangsa membeli arak itu dari sebuah kedai berhampiran sebelum mencampurkannya dengan minuman ringan.
“Pada keesokan harinya semua mangsa dilaporkan muntah-muntah dan pengsan di rumah masing-masing,” katanya.
Menurutnya, seorang mangsa berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia ketika berada di rumah manakala dua lagi menghembus nafas terakhir di hospital.
“Dua lagi penduduk masih dirawat di hospital dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” jelasnya.
Menurutnya, polis sedang mengesan individu yang membuat dan menjual arak berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:22 AM


SEORANG penduduk dirawat di hospital selepas minum arak buatan sendiri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95092#sthash.MvVsibeJ.dpuf

Polis tumpas sindiket cetak dokumen palsu

Jakarta: Polis di bandar ini kelmarin menahan lapan pemilik kedai percetakan kerana didapati terbabit mencetak dan menjual dokumen palsu.
Semua pemilik kedai percetakan itu beroperasi di sebuah pasar di Jakarta Pusat dan dipercayai aktif melakukan penipuan itu sejak dua hingga tiga tahun lalu.
Jurucakap polis, Heri Heryawa berkata, semua pemilik kedai itu membuat dokumen palsu kerana mahu mengaut keuntungan yang besar.
“Dokumen palsu ini biasanya dipesan pelanggan dan pemilik kedai itu mencetak dengan bayaran tertentu.
“Antara dokumen yang dipalsukan termasuklah kad pengenalan, kad keluarga, buku nikah, sijil sekolah dan ijazah universiti,” katanya.
Setiap dokumen palsu berharga antara Rp200,000 (RM62.53) hinggalah Rp1 juta (RM312.67) bergantung kepada jenis dokumen.
Menurutnya, suspek membuat dokumen palsu dengan menggunakan komputer untuk mengimbas dan meniru dokumen yang asli.
“Biasanya pelanggan akan datang ke premis ini membawa contoh dokumen asli untuk diimbas sebelum dicetak dengan maklumat pelanggan.
“Kami kini mencari semua pelanggan kedai terbabit kerana yakin dokumen itu pasti disalahgunakan,” tegasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:24 AM


ANGGOTA polis menunjukkan kepada wartawan dokumen palsu yang dirampas dari sindiket pemalsuan dokumen.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95096#sthash.pXmDkvDc.dpuf

Rajuk terjun suami tak masak mi

Jiaozuo (China): Gara-gara merajuk kerana suaminya enggan memasak mi, seorang wanita mengancam terjun dari tingkat empat sebuah apartmen di sini baru-baru ini.
Kejadian berkenaan dipercayai berpunca selepas si suami mahu memasak nasi untuk hidangan tengah hari, tetapi wanita itu mendesak meminta mi.
Pasangan itu dilaporkan bertengkar selepas si suami enggan menuruti kemahuan isterinya dan terus memasak nasi.
Kerana merajuk dengan sikap suaminya itu, wanita berkenaan bertindak memanjat tingkap di kediaman mereka dan mengancam untuk terjun.
Wanita berusia 50-an itu dilihat duduk di atas belebas tingkap kediamannya yang terletak di tingkat empat.
Saksi berkata, wanita itu menjulurkan kakinya ke bawah tingkap dan mengancam terjun.
“Dia sangat emosi dan menjerit serta mengancam untuk membunuh diri,” katanya.
Beberapa jiran cuba memujuk wanita itu supaya turun, tetapi dia enggan menyebabkan suaminya menghubungi bomba untuk meminta bantuan.
Apabila bomba tiba wanita itu masih enggan turun dari tingkap dan terus menjerit memarahi suaminya.
Bagaimanapun, selepas sejam dipujuk bomba wanita itu akhirnya bersetuju turun dari tingkap. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 10:40 AM


WANITA itu duduk di atas belebas tingkap dan mengancam untuk terjun.

Tempat tinggal enam sekeluarga dijilat api.

Kuala Nerus: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka sejak lebih 15 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Kampung Paya Bukit Tok Beng, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, rumah milik Muhamad Chik, 54, dan isteri, Kamariah Mamat, 51, musnah dijilat api yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Difahamkan kejadian berlaku ketika hujan lebat dan petir.
Bagaimanapun, ketika kejadian pasangan itu menghantar anak sulung mereka Nur Shaadah, 27, ke Seremban manakala dua lagi anaknya masing-masing berada di Kuala Lumpur dan Besut sementara anak bongsu mereka Muhammad Syukri Naim, 11, tinggal di rumah saudara mereka yang terletak 50 meter dari rumah mereka.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Penguasa Bomba, Mohd Zulkhairul Mohd Razilah yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 3:24 PM



TEMPAT tinggal enam sekeluarga dijilat api. FOTO Syahirah Abdullah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95187#sthash.37pAOSaI.dpuf

Mangsa banjir Kuala Selangor meningkat

Kuala Selangor: Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor meningkat 15 mangsa kepada 596 mangsa membabitkan 125 keluarga di enam pusat pemindahan daerah ini setakat 10.30 pagi tadi.
Pengerusi Operasi Banjir Daerah, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, setakat ini keadaan banjir di daerah ini semakin pulih selepas operasi pengepaman dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.
Beliau berkata, mereka bersedia kerana ramalan berlaku air pasang besar selama dua hari bermula esok.
"Kami bersedia untuk menghadapi situasi itu dan segala keperluan untuk mangsa banjir berada dalam keadaan mencukupi.
"Kami juga dapat maklumat air di beberapa kampung di Bestari Jaya sudah dinaiki air tapi tiada penduduk dipindahkan setakat ini," katanya dalam sidang media di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 3:21 PM


KEADAAN banjir di Kuala Selangor semakin pulih. FOTO Ekhwan Haque
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95184#sthash.jPmjTLAz.dpuf

Kereta terbabas, terbakar

Georgetown: Seorang lelaki selamat selepas kereta dipandu terbabas sebelum terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di Jalan Perak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 10 malam itu, pemandu berusia 30-an itu dikatakan memecut keretanya ketika tiba di persimpangan lampu isyarat sebelum merempuh pembahagi jalan.
Bagaimanapun dia masih meneruskan perjalanan walaupun kereta itu itu terbakar di bahagian enjin.
Seorang penunggang motosikal kemudian mengambil alat pemadam api di stesen minyak berhampiran dan membantu mangsa memadam kebakaran sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba selepas itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Timbalan Penguasa Bomba Yamin Tekor berkata, setakat ini pihaknya masih menyiasat punca kebakaran terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 2:22 PM


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta. FOTO Zulaikha Zainuzman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95180#sthash.4Akx4gTR.dpuf

Jurulatih memandu mengaku beri rasuah

Johor Bahru: Seorang jurulatih memandu, Chiah Yeo Shong, 65, dijatuhi hukuman denda RM15,000 dan penjara sehari di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah sejumlah RM1,000 kepada kakitangan Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan, Rilek bagi meluluskan 23 pelajar sekolah memandu pada 26 Mac lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohamad Haldar Abdul Aziz juga menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 12.30 tengah hari di restoran di Pasaraya Tesco Tebrau sebagai dorongan untuk menguruskan ujian undang-undang berkomputer lesen memandu sebagai jaminan meluluskan 23 calon.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 12:04 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/95153#sthash.hCOUadHI.dpuf

Jumlah mangsa menurun

Kuala Selangor: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan di daerah ini menurun kepada 581 mangsa membabitkan 123 keluarga.
Pengerusi Operasi Banjir Daerah Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, keadaan banjir yang semakin pulih menyebabkan ramai mangsa dibenarkan pulang.
"Lebih 400 mangsa membabitkan 75 keluarga masih menetap di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang berbanding lebih 800, semalam.
"Di pusat pemindahan Masjid Simpang Tiga terdapat 29 mangsa daripada tujuh keluarga, 52 mangsa membabitkan 10 keluarga di Kampung Bukit Kuching.
"Selain itu, 32 mangsa membabitkan 13 keluarga ditempatkan di Kampung Bukit Cerakah dan 34 mangsa daripada sembilan keluarga di Kampung Bukit Hijau," katanya.
Menurutnya, walaupun berlaku penurunan bilangan mangsa, kenaikan paras air di kawasan Ladang Tuan Mee menyebabkan pusat pemindahan dibuka semula membabitkan 29 mangsa daripada sembilan keluarga.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan paras air di sungai Rantau Panjang pada paras 7.46 meter iaitu bawah paras bahaya manakala sungai Parit Mahang pula 3.84 meter (amaran).
"Di sungai Seri Aman pula berada pada paras 5.51 meter (berjaga-jaga)," katanya.
Menurutnya, JPS kini sedang berusaha mengepam keluar air banjir ke sungai berhampiran menggunakan lapan pam.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 1:24 AM


SITI Norkhatijah Mohd Yahya yang hamil memeluk dan berseloroh dengan anaknya Siti Nuralisya, dua tahun, di Pusat Perpindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang. FOTO Nazran Jamel
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94992#sthash.UKqbkOzK.dpuf

Mangsa di Perak naik sedikit

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak, hari ini, meningkat kepada 286 orang daripada 77 keluarga berbanding 280 semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif, berkata daripada jumlah itu 35 mangsa daripada 10 keluarga dari Batu 40, Bukit Merah, Bagan Serai, kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.
“Enam belas penduduk daripada enam keluarga di Batu 38, Bukit Merah, pula ditempatkan di pusat pemindahan sama berikutan paras air di kedua-dua kawasan itu kini 0.9 meter,” katanya.
Yahya berkata, 68 orang daripada 19 keluarga di daerah Hilir Perak, membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Kampung Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8, kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong. Menurutnya, 22 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Parit 7, Teluk Intan pula ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara, Teluk Intan.
“Enam puluh dua mangsa daripada 15 keluarga di Bagan Serai membabitkan Kampung Changkat Lobak, Matang Tengah dan Kampung Air Hitam ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak,” katanya.
Yahya berkata, hujan berterusan sejak petang Jumaat lalu, menyebabkan air naik setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter di kawasan terbabit, berpunca daripada limpahan air sungai berhampiran.
Sementara itu, 83 orang daripada 22 keluarga mangsa tanah runtuh membabitkan penduduk Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Radhuaniah, Kampung Padang Serai. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 9:44 PM


FOTO ini dirakamkan pada 18 November, yang memaparkan pasukan keselamatan memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Changkat Jong, Perak. FOTO Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94984#sthash.VIftF5yR.dpuf