Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, suspek yang merupakan seorang penganggur mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah tetapi ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya negatif.
Menurutnya, identiti mangsa masih tidak dapat disahkan berikutan keputusan laporan bedah siasat tidak dapat diputuskan kerana masih menunggu keputusan ujian makmal.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati luka di kedua-dua belah betis mangsa adalah kesan seterika manakala lebam dan luka di anggota badan mangsa dipercayai kesan dera bagi tempoh yang agak lama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kok sin juga memberitahu, polis sedang mengesan seorang lelaki dan perempuan berketurunan Cina bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemukan maut dalam keadaan terlentang di atas lantai di sebuah rumah di Cheras Utama, di sini oleh pasukan polis kira-kira pukul 5 petang.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan bekas lelaki mangsa bagi membantu siasatan.
Difahamkan, suspek mengenali mangsa selama tiga tahun dan tinggal di rumah berkenaan sejak Februari lalu.
Walau bagaimanapun, suspek mendakwa mangsa keluar dari rumahnya pada bulan lalu namun kelmarin datang semula dalam keadaan bengkak dan luka di beberapa bahagian badan akibat dipukul oleh teman lelaki barunya.