Search This Blog

Saturday, November 21, 2015

Kesan pasport palsu melalui kesalahan ejaan


pasport
Gambar hiasan.
MELAKA - Jabatan Imigresen Melaka menahan tujuh orang‎ atas kesalahan memiliki pasport palsu bagi tempoh dari Januari hingga semalam.
Timbalan Pengarah Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, mereka yang terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan di bawah Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).
"Kesemua mereka ini kita dapat kesan daripada operasi penguatkuasaan yang kita buat.
"Kebiasaannya pasport palsu ini kita dapat kesan daripada kesalahan ejaan, cara cetakan juga berlainan daripada cetakan sebenar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, pada tahun lepas Imigresen berjaya mengesan 11 kes di bawah kesalahan sama melibatkan lima perempuan warga China, tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India. - Bernama

Buruh bebas hukuman gantung


Krishnan dilepas dan dibebaskan daripada hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam.

IPOH – Seorang buruh terselamat daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi, di sini semalam melepas dan membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang lelaki di Simpang Pulai, kira-kira dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap S Krishnan, 28, di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Krishnan bersama dua individu yang masih bebas didakwa membunuh S Susindran, 22, di sebuah rumah beralamat No. 18, Hala Pulai Timur 7, Chandan Desa, Simpang Pulai, di sini antara jam 2.30 hingga 3 petang, 9 November 2013.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Keputusan itu dibuat selepas Che Mohd Ruzima mendapati saksi gagal mengenal pasti dan membuktikan Krishnan merupakan salah seorang daripada dua lagi individu yang masuk ke rumah itu untuk melakukan pembunuhan tersebut.
Menurutnya, kes itu bergantung kepada keterangan saksi melibatkan kawad cam yang dijalankan pada 18 Julai tahun lalu.
Jelasnya, laporan kawad cam adalah keterangan sokongan pertama dan dalam kes ini saksi gagal mengecam tertuduh sebagai salah seorang daripada tiga orang yang terlibat menjadikan laporan kawad cam tidak boleh diterima oleh pihak mahkamah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala Krishnan diwakili peguam Charan Singh.

Tali barut punca sempadan negara terus dibolosi


ceroboh
Gambar hiasan
ALOR SETAR - Dua pangkalan hadapan yang ditempatkan di kawasan perairan Sabah untuk meningkatkan tahap keselamatan perairan negara dari segala bentuk ancaman, dilihat memberi kesan positif namun masih dibolosi ekoran wujudnya tali barut.             
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Johari Baharom berkata, kawalan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan sudah dipertingkat, namun kelicikan tali barut yang merupakan orang dalaman sukar mematahkan cubaan segelintir menceroboh negara ini tanpa dokumen sah.           
“Kedua-dua pangkalan hadapan itu dilengkapi sistem radar serta bot ronda yang membolehkan pasukan keselamatan memberi respon cepat jika berlaku sebarang ancaman.
"Kawalan sudah diperketatkan, namun kewujudan tali barut ini yang menjadi dalang kemasukan pihak luar yang mengancam negara termasuk pendatang tanpa izin,” katanya, kepada media, selepas majlis pra-pelancaran dan pengundian pasukan Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Umno Malaysia, hari ini.           
Menurutnya, kejadian penculikan dan serangan sebelum ini menunjukkan ia berlaku dengan perancangan rapi, dan seolah didalangi orang dalaman.           
"Negara dibolosi bukan sebab tiada penguatkuasaan, tetapi kelicikan orang dalaman ini yang memainkan peranan menyediakan laluan tikus. Kita belum kenal pasti tali barut ini, namun mereka sudah berada dalam negara,” katanya.           
Sehubungan itu, pemantauan individu yang keluar masuk ke negara ini perlu dipantau dengan memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan sah untuk merekodkan kemasukan mereka.          
"Kita akan tambah jumlah pangkalan hadapan dari semasa ke semasa dengan meninjau lokasi bersesuaian. Saya akui ia berkesan kerana kita berjaya mematahkan cubaan penculikan baru-baru ini,” katanya. ‎             
Mohd Johari turut mengingatkan pegawai penguatkuasa di kawasan sempadan Thailand lebih tegas menjalankan amanah menjaga keselamatan negara, bagi mengelak kemasukan individu dikehendaki termasuk pengebom berani mati yang dilaporkan memasuki negara baru-baru ini.           
"Tidak dinafikan kawasan sempadan negara bolos apabila golongan itu dikesan berada dalam negara, disebabkan itu sudah beberapa kali saya tegaskan pemantauan dan kawalan sempadan perlu diperketatkan,” katanya.           
Menurutnya, kelonggaran seperti angkat tangan bagi memasuki laluan khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam perlu dibanteras sepenuhnya tanpa pengecualian.           
“Saya sokong tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan arahan sebelum ini, tidak membenarkan pegawai kerajaan Malaysia dan Thailand menggunakan laluan itu sewenang-wenangnya, kecuali kepada anggota tentera dan polis. Pegawai perlu dapatkan kebenaran khas jika libatkan urusan rasmi kerajaan,” katanya.

Padah beritahu isteri hendak kahwin lain


Bunuh
Gambar Hiasan.
KAHERAH - MESIR. Seorang wanita 41 tahun membunuh suaminya selepas lelaki itu menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.
Mangsa berusia 50 tahun yang dikenali sebagai Yusri memberitahu hasrat untuk berkahwin dengan seorang gadis muda kepada isterinya di kediaman mereka yang terletak di Kaherah.
Berlaku pertengkaran antara kedua pasangan itu sehingga menyebabkan wanita yang dikenali sebagai Nima gagal mengawal kemarahannya dan bertindak menikam suaminya itu di kepala dengan menggunakan objek tajam.
"Wanita itu tidak dapat menerima hakikat bahawa suaminya itu ingin berkahwin lain kerana dia telah berkorban selama 28 tahun bekerja di merata tempat untuk membantu suaminya itu menyara keluarga," kata sumber polis dipetik Emirates 24/7.

Nenek redah api selamat cucu

Nenek redah api selamat cucu
TANAH MERAH - Seorang warga emas nekad meredah api yang sedang marak untuk menyelamatkan cucunya apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Gual Petai Lima, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Zainiah Mat, 62, sempat menyelamatkan diri sebelum berpatah balik dan masuk semula ke dalam rumah yang sedang terbakar apabila teringat cucunya, Fayyad Fitri Ridzuan, 3, itu masih berada di dalam rumah.
Tindakan berani itu menyebabkan Zainiah melecur teruk di beberapa bahagian badan termasuk kaki dan muka, manakala cucunya melecur di tangan kiri.
Zainiah dan Fayyad Fitri yang cedera dikejarkan ke Hospital Tanah Merah sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
Suami Zainiah, Rahim Che Deraman, 62, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang minum petang di sebuah warung tidak jauh dari rumahnya dan terus bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
Menurutnya, selain Zainiah dan Fayyad Fitri, seorang lagi cucunya, Fayyad Danial, 1, dan menantunya, Siti Aisyah berada di dalam rumah ketika kejadian.
“Saya diberitahu, selepas berjaya menyelamatkan Fayyad Fitri, isteri saya terus jatuh dan rebah di tangga rumah kerana kakinya cedera teruk akibat melecur.
“Siti Aisyah dan Fayyad Danial tidak cedera sebab mereka sempat keluar rumah untuk selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Rumah anak disambar api
Dalam kejadian itu, rumah seorang anak Rahim, Mohd Sukri, 34, yang terletak bersebelahan turut disambar api dan menyebabkan kerosakan pada bahagian dapur.
Sebuah kereta Perodua Kancil milik Mohd Sukri yang diletakkan di tepi rumah ayahnya yang terbakar turut hangus dalam kejadian tersebut.
Mohd Sukri berkata, dia berada di rumah seorang kawan dan hanya tinggal isterinya, Azila Che Hassan, 24, serta tiga anak mereka berusia 2 hingga 7 tahun di rumah itu ketika kejadian.
“Apabila saya balik selepas diberitahu seorang rakan, bahagian dapur rumah saya sudah disambar api tetapi nasib baik api dapat dikawal daripada merebak dengan bantuan orang kampung,” katanya.
Adun salur bantuan peribadi
Sementara itu, Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha yang melawat tempat kejadian berkata, beliau akan menyalurkan bantuan peribadi bagi membaiki rumah yang rosak akibat kejadian tersebut.
“Bagi rumah mangsa yang musnah sama sekali, saya akan berhubung dengan agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) secepat mungkin untuk menyalurkan bantuan.
“Saya juga akan berhubung dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membantu mangsa yang hilang tempat tinggal,” katanya.
Susulan kebakaran itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memastikan keselamatan sistem pendawaian elektrik di kediaman masing-masing bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kebanyakan rumah kampung jarang menukar sistem pendawaian  elektrik dalam tempoh lama dan pada masa sama, ada pertambahan plug yang tidak sepatutnya hingga boleh menyebabkan litar pintas,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.33 petang dan tiba di lokasi kebakaran pada jam 6.03 petang.
“Seramai enam anggota bersama dua jentera dan seorang bomba sukarela dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal api tiga minit selepas operasi dimulakan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan apabila kami sampai, dua mangsa yang cedera sudah dihantar ke hospital oleh jiran. Kerugian dianggarkan RM50,000,” katanya.

Mangsa lemas di lagun Sri Tujoh ditemui


Mangsa lemas di lagun Sri Tujoh ditemui

Mangsa kedua ditemui oleh pihak bomba.
TUMPAT - Dua sahabat yang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di lagun Sri Tujoh dekat Kampung Jubakar Pantai ditemui mati lemas, pagi ini.
Mangsa pertama, Mohd Faiz Haikal Mohd Firdaus,8, ditemui terapung pada jam 7.55 pagi.
Manakala rakannya, Khairul Nizam Zulkifli, 10 ditemui selang dua jam kemudian kira-kira jam 10.40 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Penolong Penguasa Bomba, Bustan Karudin berkata kedua-dua mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi mereka lemas di lagun Sri Tujoh itu.
"Mangsa pertama ditemui terapung kira-kira 20 meter dari tebing. Manakala mangsa kedua ditemui pada jarak 100 meter dari tebing," katanya.
Menurutnya, operasi mencari mangsa kedua, Khairul Nizam turut dibantu penduduk kampung apabila   pukat ditahan di lokasi tersebut dengan harapan mayat tersangkut padanya.
"Usaha itu berjaya, mayat Khairul Nizam yang tersangkut pada pukat berjaya diheret ke darat dengan bantuan orang awam,"katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Merangkak selamatkan anak, isteri


Merangkak selamatkan anak, isteri

Kereta Mahadi juga rosak teruk dihempap pokok tumbang.
GUA MUSANG - “Kami mengucap panjang apabila tiba-tiba rumah ditimpa pokok tumbang,” kata Mahadi Muhamad, 40, apabila rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar, dekat sini, ranap ditimpa pokok kertas tumbang, tengah hari kelmarin.
Menurutnya, kejadian itu berlaku jam 12 tengah hari ketika dia lima beranak termasuk bayi perempuan yang baru berusia sebulan berada dalam rumah.
Katanya, tiba-tiba bunyi dentuman kuat sebelum pokok sebesar pemeluk tumbang menyebabkan atap rumahnya runtuh dan keadaan ketika itu kelam-kabut.
“Perkara paling saya bimbang ketika itu, isteri dan bayi yang baru lahir menyebabkan saya merangkak menyelamatkan mereka bersama dua lagi anak,” katanya.
Menurutnya, selain rumah ranap, sebuah kereta miliknya yang diparkir bawah pokok berkenaan juga rosak teruk.
Katanya, dia tidak sangka pokok berusia lebih 10 tahun di tepi rumah tumbang tiba-tiba.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua selamat berikutan dahan pokok kayu tumbang di tengah-tengah rumah manakala isteri dan bayi berada tidak jauh dari situ.
“Kami lihat dahan kayu menembusi bumbung dan memang rumah itu tidak mampu lagi dibaiki semula kerana terlalu teruk,” katanya.
Katanya, buat sementara ini dia sekeluarga menumpang di rumah ibu bapa di rancangan tanah berkenaan.
Mahadi turut mengucapkan terima kasih kepada Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Naib Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Fadzly Mohd Daud yang memberi perhatian segera.

Pasangan suami isteri terselamat


Pasangan suami isteri terselamat
Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat. Kesemua mangsa selamat dan dirawat di Hospital Bentong.
BENTONG - Pasangan suami isteri nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 43.3 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, sekitar jam 12.15 tengah hari semalam.
Pasangan terbabit, Wan Ibrahim Wan Hamid, 60, dan isterinya, Zaleha Abidin, 55, memandu kenderaan jenis Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kereta dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori yang berada di lorong kanan laluan sama.
“Berdasarkan siasatan mendapati lori yang membawa muatan besi bunga dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebaik tiba di sebuah selekoh di lokasi kejadian.
“Sebaik terbabas, lori terbabit dipercayai melanggar Vios dipandu mangsa yang berada di lorong kiri laluan sama,” katanya.
Katanya, kesemua mangsa yang terlibat tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan penyelamat.
“Pemandu Vios mengalami kecederaan ringan di kaki dan muka manakala penumpang mengalami kecederaan terseliuh leher dan calar di badan,” katanya.
Pemandu lori pula katanya mengalami kecederaan ringan di perut dan badan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
“Semasa kejadian cuaca baik dan jalan kering. Keadaan jalan dua lorong satu hala garisan berputus-putus serta jalan selekoh menurun bukit,” katanya.
Mansor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

4 lelaki ditahan bantu kes belasah pelajar


ALOR SETAR - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat kes membelasah pelajar Tingkatan Satu sehingga mengalami pendarahan pada usus dan buah pinggang, di sebuah sekolah agama rakyat di Pokok Sena, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kesemua suspek yang berumur lingkungan 15 hingga 17 tahun itu ditangkap di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kota Setar 8.45 malam tadi.
Seorang lagi suspek akan ditahan hari ini, katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian 3 pagi itu, Mohd Irfan Azizan, 13, berasal dari Kampung Permatang Kaka, Megat Dewa, Kodiang dibelasah lima pelajar senior di luar bilik asrama sekolah itu.
Adzaman berkata, mangsa dipukul kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik rakan suspek selepas mangsa dikatakan orang paling awal masuk ke dalam bilik asrama. - Bernama

SPRM tahan 33 suspek kes rasuah sejak Januari


SPRM

SPRM
KOTA BHARU - Seramai 33 suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sejak Januari tahun ini hingga semalam berhubung pelbagai kes rasuah.

Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Aban berkata, penahanan itu melibatkan 25 kakitangan kerajaan Persekutuan dan negeri, enam orang awam dan dua kakitangan swasta.

"Jika dilihat statistik sepanjang 10 tahun lepas, seramai 11 individu didakwa pada setiap tahun dengan lebih 350 laporan dikemukakan, juga pada setiap tahun.

"Namun, sejak 2014, kita menerima kira-kira 160 laporan yang semakin berkualiti dan hasilnya, lebih ramai yang berjaya didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita pada Program Gerak Mesra Merakyatkan SPRM: Karnival Futsal SPRM Sempena Hari Anti Rasuah Sedunia 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua kes berkenaan melibatkan rasuah antara RM300 dan RM80,000.

Ab Aziz berkata, daripada jumlah berkenaan seramai empat suspek telah didapati bersalah, 21 kes masih dalam proses pendakwaan, dua laporan tatatertib dikemukakan kepada agensi terlibat, empat kes masih dalam siasatan, satu kes disenarai hitam dan satu kes ditutup kerana kekurangan bukti. - Bernama

Mangsa belasah senior cedera hati, omemtum


ALOR SETAR - Hasil pembedahan terhadap pelajar tingkatan satu yang dibelasah sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah agama di Pokok Sena Khamis lalu mendapati terdapat kecederaan pada hati dan omemtum mangsa.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, keadaan tersebut menyebabkan pendarahan pada organ mangsa.
Jelasnya, mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 1.34 pagi, semalam selepas laporan polis dibuat.
"Rawatan segera telah diberikan selepas mangsa mengadu mengalami sakit kuat di bahagian perut dan hasil pemeriksaan CT Scan dan Ultrasound mendapati berlaku kecederaan pada hati mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizan berkata, mangsa yang telah menjalani pembedahan selama enam jam kini berada dalam keadaan stabil dan berada di bawah pengawasan rapi doktor pakar hospital terbabit.
Semalam, media melaporkan Mohd Irfan Azizan, 13, yang berasal dari Kampung Permatang Kaka, Megat Dewa, Kodiang mengalami pendarahan selepas dibelasah sekumpulan pelajar senior sekolah agama rakyat di Pokok Sena pada Khamis lalu.
Mangsa dipukul kerana dituduh mencuri telefon bimbit milik rakan suspek atas alasan mangsa dikatakan orang paling awal masuk ke dalam bilik asrama.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, Polis telah menahan seorang lagi suspek berumur 18 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Semalam, empat suspek berusia ditahan 15 hingga 17 tahun ditahan Polis kira-kira pukul 8.45 malam tadi bagi membantu siasatan. - Bernama

Gadis ditemui mati didera dalam tempoh lama


KUALA LUMPUR - Hasil bedah siasat kes gadis yang ditemui mati di sebuah pangsapuri di Cheras Utama, Cheras petang semalam mendapati mangsa telah didera dalam tempoh yang lama.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata terdapat banyak kesan bengkak teruk pada muka dan seluruh badan mangsa serta luka yang disyaki kesan seterika panas di kedua-dua betisnya.
"Sementara itu, bekas teman lelaki mangsa yang ditahan semalam akan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 November bagi membantu siasatan.
"Hasil siasatan lanjut, polis mendapati bekas teman lelaki mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ditemui mati di rumah bekas kekasih]
Polis menemui mayat gadis berusia 19 tahun itu kira-kira pukul 5.10 petang semalam setelah menerima maklumat. 
Difahamkan, mangsa sebelum ini tinggal bersama bekas teman lelakinya di rumah  berkenaan namun telah keluar dari rumah tersebut pada Oktober lepas kerana berlaku  perselisihan faham.
Siasatan awal mendapati mangsa kemudian pulang ke rumah lelaki itu pada Rabu lalu dalam keadaan cedera teruk.
Lelaki berkenaan ingin membawa mangsa ke hospital, tetapi mangsa enggan dan menyatakan bahawa dia telah dikejar dan dipukul oleh teman lelakinya yang baharu.
Sehubungan itu, polis sedang memburu seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.  -Bernama

Mahfuz akui masih lagi ahli Pas


Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
ALOR SETAR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa beliau masih ahli Pas dan tidak menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) seperti yang hangat diperkatakan pada masa kini.
Beliau berkata, penyertaannya dalam banyak program anjuran Pakatan Harapan di Kedah adalah atas dasar rakan seperjuangan.
“Saya hadir (program Pakatan Harapan) adalah sebagai ahli parlimen kepada anjuran program yang diadakan dalam kawasan Pokok Sena.
“Ini bukan gimik untuk saya masuk Amanah, saya masih ahli Pas. Sejak sebelum PRU sampai hari ini, nak menang pun kami bersama menggerakkan usaha atas nama Pas dan DAP,” katanya selepas menghadiri program Kayuhan Gerek Anak Malaysia anjuran Pusat Komuniti Derga, di sini, semalam.
Menurutnya, kehadiran beliau dalam program anjuran DAP adalah dalam konteks pelbagai kaum dan agama, khususnya dalam kalangan generasi anak muda di Parlimen Pokok Sena.
“Saya tidak fikir kerana perbezaan ideologi politik kita harus bercanggah antara satu sama lain. Yang penting kita kena melihat soal kepentingan rakyat yang ada dalam kawasan kita,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memfailkan saman terhadap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), Akmal Nasir berhubung isu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), beliau menyifatkan ia hak masing-masing.
“Itu adalah hak dia (Jamil Khir) untuk saman Now. Tapi sewajarnya pihak berkuasa melakukan penyiasatan terhadap Yapeim.
“Walaupun penafian dibuat dalam Parlimen, tetapi persoalannya ialah penyiasatan yang dilakukan. Sebab itu wajar bagi Jamil Khir dan dua orang berpangkat dalam jawatankuasa itu digantung tugas sementara sehingga siasatan selesai,” katanya.
Mahfuz berkata, ia bagi mengelak mereka daripada menggunakan kuasa untuk menyembunyikan dokumen dan menekankan pegawai berkenaan daripada menyerahkan apa-apa dokumen kepada pihak berkuasa.

Gadis ditemui maut di lantai

Kuala Lumpur: Gadis berusia 19 tahun ditemui mati dengan kesan bengkak pada muka dan luka di betis di pangsapuri di Cheras Utama, Cheras.
Mayat mangsa ditemui di bilik dalam keadaan terlentang di atas lantai oleh polis yang tiba di pangsapuri selepas menerima maklumat, 5.10 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata mangsa sebelum ini menetap bersama bekas teman lelakinya di rumah itu.
Bagaimanapun, katanya, mangsa keluar dari rumah itu berikutan berlaku perselisihan faham, Oktober lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa kemudian pulang ke rumah lelaki itu, pada Rabu lalu, dalam keadaan bengkak di muka dan badan selain terdapat luka di kedua-dua betis.
“Lelaki itu ingin membawa mangsa ke hospital tetapi gadis itu menyatakan bahawa dia dikejar dan dipukul oleh teman lelakinya yang baru,” katanya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 12:25 AM


FOTO HIASAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94521#sthash.jE5KRAW3.dpuf

Seorang maut, lima parah

Sungai Petani: Seorang lelaki maut manakala lima yang lain parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Taman Berangan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Wira, S Pavithran, 18, manakala pemandu, K Saravanan, 33, dan dua lagi penumpang kereta itu K Saranrao, 18 dan S Kanesram, 21, parah.
Turut parah, suami isteri yang menaiki kereta Honda City.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Proton Wira hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan Honda City dinaiki suami isteri itu.
“Pavithran yang duduk di belakang maut sementara yang lain parah.
“Suami isteri itu dibawa orang awam ke Hospital Pakar Metro sejurus kemalangan,”€ katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 12:25 PM


Kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki, malam tadi. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94719#sthash.HlvW6N9k.dpuf

Lelaki dan wanita diburu

Kuala Lumpur: Polis memburu lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang gadis yang ditemui di pangsapuri di Cheras Utama, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.
"Kita juga sedang menunggu laporan penuh punca kematian dari pihak hospital. Suspek berusia 25 tahun yang juga bekas teman lelaki mangsa ditahan semalam untuk membantu siasatan.
"Suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah sebelum ini. Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dari mengambil sebarang dadah ketika kejadian berlaku,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian jam 5.10 petang semalam, gadis berusia 19 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai bilik dengan kesan bengkak pada muka dan kesan luka di betis.
Chong berkata, mangsa dikatakan pernah tinggal bersama suspek sejak Februari lalu sebelum keluar dari rumah itu bulan lepas selepas berlaku perselisihan faham.
"Siasatan awal polis mendapati, Rabu lalu, mangsa pergi ke rumah suspek dalam keadaan muka dan badannya bengkak selain luka di kedua-dua betis kesan seterika.
"Susulan itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
ends14
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 4:07 PM

Polis selesai 24 kes curi motosikal, 28 ditahan


KANGAR 20 Nov. – Polis berjaya menyelesaikan 24 kes curi motosikal dengan tertangkapnya 28 lelaki dalam Op Lejang di sekitar negeri ini yang bermula 27 Oktober lalu hingga kelmarin.
Shafie Ismail
Semua lelaki yang ditahan berusia antara 15 dan 43 tahun dan beralamat di negeri ini dan Kedah.
Ketua Polis negeri, Se­nior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, pihaknya telah menubuhkan Pasukan Khas Lejang yang dianggotai tiga pegawai kanan, 17 anggota di daerah Kangar, Arau dan Padang Besar selepas kejadian curi motosikal menjadi jenayah tertinggi di negeri ini.
Menurutnya, pada tahun lalu, 302 kes curi motosikal daripada 741 kes jenayah dilaporkan manakala 322 kes curi motosikal dilaporkan iaitu 49 peratus daripada 656 kes jenayah yang direkodkan sejak Januari sehingga semalam.
“Lebih kurang 20 hari Op Lejang dilaksanakan, penurunan 11 kes curi motosikal apabila 17 kes sahaja dilaporkan berbanding sebelum itu iaitu 28 kes,” katanya di sini semalam.
Shafie memberitahu, pihaknya mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 12 (2) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) sementara ujian saringan air kencing ke atas 21 suspek pula didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Ujarnya, pihaknya berjaya me­rampas semula empat buah motosikal Honda EX5, sebuah Modenas Kriss, enam rangka motosikal dan sebuah enjin serta komponen motosikal yang kesemuanya bernilai RM14,200.
Beliau berkata, tiga suspek akan dituduh mengikut Seksyen 379KK kerana mencuri sebuah kenderaan motor atau mana-mana bahagian komponen kenderaan motor yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
“Selain itu, empat suspek dituduh mengikut Seksyen 29 (1) KK di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM500, tujuh mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB dan seorang Seksyen 28 (i)(ii) KK,” katanya.
Kata Shafie, kes kecurian motosikal ini juga disebabkan kecuaian mangsa yang meninggalkan motosikal dalam keadaan enjin tidak dimatikan atau kunci ditinggalkan pada motosikal.
Shafie Ismail
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-selesai-24-kes-curi-motosikal-28-ditahan-1.160622#sthash.SuScdObs.dpuf

Keluarga Nur Zalila tunggu keputusan ujian DNA


Rokiah Awang menunjukkan gambar  Nur Zalila  Ibrahim  yang hilang
Rokiah Awang menunjukkan gambar Nur Zalila Ibrahim yang hilang sejak dua tahun yang lalu di rumahnya di Kampung Jejulok, Pengkalan Kubor, Kelantan, kelmarin.
TUMPAT 20 Nov. – Keluarga Nur Zalila Ibrahim, 10, kanak-kanak yang hilang dua tahun lalu berdebar menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap dua rangka manusia yang dijumpai di Kampung Pak Keral, Tumpat, Isnin lalu.
Kakak mangsa, Nurul Huda, 20, berkata, selepas penemuan rangka berkenaan, ibunya, Rokiah Awang, 46, dipanggil ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk diambil sampel darah bagi tujuan ujian DNA.
“Kami berdebar menunggu keputusan ujian DNA ini. Sudah bertahun-tahun lamanya kami menunggu kepulangan Nur Zalila.
“Bagaimanapun masih terlalu awal mahu kaitkan rangka itu dengan adik saya. Jika benar salah satu rangka itu adik saya, kami sekeluarga reda,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada Jun 2013, akhbar melaporkan kehilangan Nur Zalila, dipercayai dilarikan seorang wanita tomboi dikenali sebagai Along yang merupakan kenalan kepada Nurul Huda.
Turut lesap motosikal jenis EX5 berwarna merah dengan nombor pendaftaran DBV5347 yang dinaiki mereka.
Bagaimanapun, motosikal ber­kenaan ditemukan beberapa hari kemudian di dasar tali air Kampung Pak Keral selepas tersangkut pada jala milik seorang penduduk kampung.
Sementara itu, Isnin lalu, penduduk Kampung Pak Keral sekali lagi gempar apabila menemukan tulang serta tengkorak berselerakan dipercayai milik dua manusia serta sepasang korset ketika melakukan kerja-kerja pembersihan tali air.
Berikutan penemuan itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim tidak menolak kemungkinan dua rangka berkenaan mungkin merungkai misteri kehilangan Nur Zalila serta Along.
Menurut beliau, pihak polis kini masih menunggu keputusan ujian DNA untuk mengesahkan identiti rangka yang ditemukan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/keluarga-nur-zalila-tunggu-keputusan-ujian-dna-1.160643#sthash.GQ7zNJUO.dpuf

Mangsa banjir di Perak meningkat 315 orang



KEADAAN banjir di sekitar daerah Kerian, Bagan Serai. - Foto ihsan Bomba
IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 315 orang pagi ini berbanding 286 orang malam tadi, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif.
Beliau berkata mangsa banjir terbaharu di Bukit Merah, Batu 38 dan Batu 40 daerah Bagan Serai iaitu seramai 34 orang daripada 12 keluarga yang dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah berikutan air naik setinggi 0.9 meter akibat hujan lebat petang semalam.
"Sementara, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak, membabitkan Kampung Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8, masih kekal dengan 167 orang daripada 52 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mangsa tanah runtuh pula berkurangan dari 75 orang kepada 61 orang membabitkan Kampung Padang Serai, Batu Hampar, Beruas yang masih ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Radhuaniah, Kampung Padang Serai.
"Mangsa banjir di Bagan Serai, membabitkan Kampung Changkat Lobak, Matang Tengah dan Kampung Air Hitam, meningkat kepada 53 orang daripada 14 keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak," katanya.
Hujan yang berterusan sejak petang semalam menyebabkan air naik antara 0.2 meter hingga 0.9 meter di kawasan terbabit, akibat daripada limpahan air sungai berhampiran, katanya. - BERNAMA

Polis buru pelajar Bangladesh bunuh rakan senegara




Oleh Norashikin Leman

KETUA Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat menunjukkan gambar suspek utama dalam kes pembunuhan Hosen Ridoy. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KAPAR: Polis sedang giat mengesan seorang pelajar warga Bangladesh yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan rakan serumahnya pada 5 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang itu, suspek, Hosen Ridoy, 18, dikatakan memukul mangsa, 20, yang juga rakan senegaranya dengan objek keras selepas berlaku perselisihan faham di rumah sewa mereka di jalan Raja Mokhtar, di sini.
Difahamkan, suspek yang baru tiga minggu tiba di negara ini, tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang selalu membulinya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata mangsa yang mengalami pendarahan teruk di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa dikatakan suka membuli suspek yang baru menyewa di rumah berkenaan bersama dua lagi rakan senegaranya dan baru bekerja (sambilan) di tempat sama dengan mangsa bekerja.
"Perbuatan mangsa yang suka membuli suspek menyebabkan suspek bertindak balas dengan memukul mangsa sehingga mati.
"Ketika kejadian, dua rakan lain turut berada di rumah dan polis telah menahan dua rakan suspek untuk soal siasat, manakala suspek melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Klang Utara, di sini, sebentar tadi.
Mohd Yusoff berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan polis juga sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian itu melalui soal siasat yang dijalankan terhadap dua rakan serumah mereka.
Beliau berkata, polis juga sedang menyiasat bagaimana suspek dan mangsa boleh sampai dan bekerja di kawasan Klang Utara sedangkan mereka memegang pas pelajar di dua kolej berlainan di ibu negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek boleh menghubungi IPD Klang Utara atau balai polis berdekatan," katanya.
Kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh kerani




Oleh Badrul Kamal Zakaria

MUAR: Polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang juga kerani sebuah sekolah agama di Bukit Pasir di sini pada 16 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata lelaki terbabit yang juga jiran terdekat mangsa ditahan kira-kira jam 6 petang tadi di Taman Setia Kasih, Sungai Terap di sini.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan lelaki terbabit di rumahnya yang terletak tidak jauh daripada lokasi kejadian yang juga rumah mangsa.
"Lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam dan sudah berkeluarga itu ditahan kerana gagal memberi keterangan yang memuaskan kepada pihak polis ketika siasatan dijalankan," katanya.
Kamarul Zaman berkata, ujian saringan air kencing pula mendapati suspek positif mengambil dadah jenis Amphetamine.
Beliau berkata, pemeriksaan rekod pula mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah kekerasan dan memiliki dadah.

4 pelajar sekolah agama ditahan sabit kes buli


Oleh Suzalina Halid

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata empat pelajar lelaki berusia antara 15 dan 18 tahun ditahan pada jam 8.45 malam tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
"Kita sudah tahan empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kejadian itu dan seorang lagi dipercayai akan ditangkap dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, pelajar berusia 13 tahun, Mohd Irfan Azizan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini selepas mengalami kecederaan dan pendarahan serius di beberapa bahagian badan akibat dibelasah lima senior di asrama sekolah berkenaan.
Pelajar berasal dari Kodiang itu ditumbuk dan ditendang rakan senior selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka.
KES buli yang menjadi viral di laman sosial. - Gambar hiasan