Search This Blog

Friday, November 20, 2015

Gempa 6.2 magnitud landa Pulau Bonin, Jepun



LOKASI gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang melanda tenggara Pulau Bonin, Jepun. - Sumber met.gov.my
SINGAPURA: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud melanda tenggara Pulau Bonin, Jepun, kira-kira 1,000 kilometer (km) dari Selatan Tokyo hari ini," menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa berlaku di kedalaman 10 km pada jam 5.40 GMT. Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan. - REUTERS

Dua lagi lemas cari kepah lagun Seri Tujoh

JUMAAT, 20 NOVEMBER 2015 @ 5:12 PM

 Oleh Siti Rohana Idris

 TUMPAT: Aktiviti empat sekawan yang mencari kepah di lagun Seri Tujoh di sini bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dipercayai lemas.

Dua kanak-kanak yang dikenali sebagai Khairul Nizam, 11, dan Haikal, 9, dikatakan tidak sempat menyelamatkan diri apabila air pasang secara tiba-tiba. Seorang saksi yang juga rakan mangsa, Mohd Aiman Masoho, 10, berkata mereka ke lokasi mencari kepah itu kira-kira jam 1 tengah hari dan pada masa itu air sungai belum pasang.

"Kami menyeberang sungai dalam jarak sejauh 400 meter untuk ke tempat biasa kami mencari kepah. " Sebaik menyedari air mula pasang, kami mengambil keputusan untuk kembali ke daratan dan ketika itulah tiga kawan saya lemas dan seorang daripada mereka sempat diselamatkan orang kampung yang kebetulan berada di situ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/98659

Reman Pemandu Lori Kes Mayat Tanpa Kepala Disambung Tujuh Hari Lagi


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 12:41 PM
Mahkamah Majistret pada Jumaat melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari lagi ke atas seorang pemandu lori bagi meneruskan siasatan berikutan penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala di dalam longkang pada 13 November lepas. - fotoBERNAMA

TELUK INTAN: Mahkamah Majistret di sini Jumaat melanjutkan tahanan reman terhadap seorang pemandu lori yang disyaki terlibat dalam satu kes bunuh seorang lelaki yang ditemui tanpa kepala di Jalan Kampung Batu 4, Slim River, selama tujuh hari lagi.
Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria memerintahkan tahanan reman suspek lelaki berusia 35 tahun itu disambung bermula dari hari ini sehingga 26 November, bagi membantu siasatan kes pembunuhan lelaki tanpa kepala itu.
Sebelum ini, mahkamah sama memerintahkan suspek ditahan reman selama seminggu yang berakhir pada Jumaat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap diiringi beberapa anggota polis pada pukul 8.50 pagi dan kemudian keluar meninggalkan mahkamah dua jam kemudian.
Mayat K. Ganesan, 50, beralamat terakhir di 136, Taman Slim Indah, Slim River ditemui dalam keadaan tanpa kepala di dalam longkang kira-kira 2.10 pagi, 13 November lepas.
Susulan penemuan mayat itu, polis menahan pemandu lori itu di rumah bapanya di sebuah kampung di Gerik pada hari yang sama.
Sebilah parang panjang kira-kira 0.8 meter dan satu beg silang mengandungi sebilah pisau panjang kira-kira 0.15 meter turut ditemui.
Selain itu, polis menemui satu guni plastik makanan anjing warna merah dan kuning, dan di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam mengandungi kepala manusia yang disyaki kepala mangsa. - BERNAMA

Kes Bunuh Tapah: Suspek Direman Seminggu Lagi


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 11:28 AM
Keadaan rumah yang turut menempatkan bengkel di mana empat kejadian bunuh disyaki berlaku.

TAPAH: Polis mendapat perintah tahanan reman baharu untuk tempoh tujuh hari ke atas empat sekeluarga yang disyaki terlibat dalam empat kes bunuh di sini.
Jurucakap polis berkata, suspek akan direman sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan kehilangan operator bas pelancong, V. Gunawaty sejak Mac 2014.
Ia adalah reman ke tiga sejak keempat suspek terlibat iaitu mekanik berusia 57 tahun, isterinya yang berusia 54 tahun dan anak lelaki mereka yang berusia 17 dan 20 tahun sejak ditahan pada 26 Oktober di rumah mereka yang juga bengkel di Jalan Pahang di sini di mana pembunuhan itu didakwa berlaku.
Suspek empat sekeluarga itu sebelum ini direman 25 hari bagi membantu siasatan berkaitan dua mangsa, Jasbeer Singh dan Ng Chor Kee, ejen alat ganti yang dilaporkan hilang pada Jun 2014.
Dilaporkan kehilangan Jasbeer yang juga ejen tahan pada Ogos telah membawa kepada rumah usang suspek.
Keempat-empat mangsa dipercayai dipukul hingga mati dan mayat mereka dibakar sebelum abu dibuang ke sungai di belakang rumah suspek.
Setakat ini, polis belum mengesahkan identiti mangsa walaupun ahli keluarga keempat-empat individu yang hilang itu telah tampil memaklumkan kemungkinan mereka dibunuh.
Seorang lagi yang dilaporkan hilang adalah konduktor bas, Ng Ah Leng @ Mohan yang kali terakhir dilihat keluarganya pada akhir 2012.

Rasuah: Peneroka Cameron Highlands Dipenjara Tiga Tahun, Denda RM100,000


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 6:16 PM

KUALA LUMPUR: Akibat menawarkan rasuah RM20,000 bagi mengelak dikenakan tindakan ekoran penerokaan secara haram, seorang peneroka tanah Cameron Highlands dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis.
Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Meng Lee, 45, setelah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara 12 bulan.
Meng Lee didakwa memberi rasuah kepada Penolong Pegawai Tanah dan Daerah Cameron Highlands, Pahang, Abdul Rahim Sulaiman, 51, supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya mengikut Seksyen 425, Akta Tanah Negara 1956 iaitu meneroka secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla, Kampung Raja dan tanah kerajaan di Blue Valley, Ulu Telom di daerah itu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tanah kerajaan Blue Valley, Ulu Tenom, Cameron Highlands antara 4 sehingga 5.30 petang pada 7 Okt 2013 mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Rosbiahanin turut menolak permohonan peguam S. Devarandan yang mewakili tertuduh, bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan permohonan membayar denda secara ansuran.
"Undang-undang dan peraturan tanah ada di negara kita. Kalau kita tidak ikut undang-undang, akan banyak lagi kejadian buruk yang akan berlaku di Cameron Highlands.
"Kamu yang tinggal di sana pun pasti kamu tahu kesan yang berlaku daripada penerokaan haram seperti bencana banjir dan tanah runtuh," kata Rosbiahanin ketika membacakan penghakiman.
Dalam rayuan tertuduh, Devarandan memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya kerana perlu menanggung isteri, anak serta bapa yang berusia 82 tahun selain faktor kesihatan Tan yang menghidap penyakit darah tinggi, asma dan pernah diserang angin ahmar.
Pegawai Pendakwa daripada SPRM Wan Ahmad Nidzam Wan Omar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam berikutan kes itu membabitkan isu alam sekitar di Cameron Highlands.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 13 saksi manakala dua saksi bagi pihak pembelaan.-- Bernama

Pemimpin PSM Akan Didakwa Di Bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi & Multimedia Isnin Ini


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 9:11 PM
S. Arutchelvan

PETALING JAYA: Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan, akan didakwa di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia pada Isnin kerana mengkritik badan kehakiman dalam sabitan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari.

Setiausaha Agungnya A. PSM Sivarajan berkata parti itu telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bahawa Arutchelvan akan didakwa pada Isnin mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Arutchelvan mengutuk keputusan Mahkamah Persekutuan di laman Facebook berikutan sabitan terhadap Anwar dan telah ditahan di bawah Akta Hasutan pada 19 Februari.

Walau bagaimanapun beliau telah dibebaskan pada hari berikutnya selepas permohonan reman empat hari telah ditolak oleh Mahkamah Majistret.

Sivarajan juga menyeru sokongan untuk Arutchelvan serta lain-lain aktivis sosial dan politik yang ditahan di bawah akta itu di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Isnin .

Pengawal Keselamatan Cabul Rakan Sekerja


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 3:09 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Cheras pada Jumaat didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencabul dan mengaibkan kehormatan rakan sekerjanya.
Mohd Azizulakim Dzulkifli, 31, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail.
Bagi pertuduhan pertama sehingga ketiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa, 18, yang juga pengawal keselamatan di tempat sama.
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di kaki lima Aras 19, Blok A, berdekatan tangga kecemasan aras 19 Blok B dan di kaki lima Aras 17 Blok A sebuah kondominium di Bandar Tasik Selatan, Cheras, di sini pada 3 petang 6 Jun, 4 petang 18 Jun dan 9.30 malam 3 Julai tahun ini.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Mohd Azizulakim didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa menyebut perkataan dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan mangsa di kaki lima Aras 19 Blok A kondominium itu pada 3 petang, 16 Jun lepas.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dipenjara Kerana Simpan Kereta Curi Milik Kedutaan Turki


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 3:14 PM

KUALA LUMPUR: Gara-gara menyimpan kereta curi milik penasihat Kedutaan Turki di Malaysia, seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Saiful Bahtiar, 28, selepas dia mengaku bersalah menyimpan kereta Toyota Camry milik Bora Er, 37, di hadapan padang futsal, Kampung Kurnia, Simpang Pulai di Ipoh, Perak pada 11.30 pagi, 4 Dis 2014.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 4 Dis 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 10 malam 22 Okt tahun lepas, Bora meletakkan keretanya yang berwarna putih dalam keadaan enjin hidup dan tidak berkunci di stesen minyak Petronas Jalan Ampang untuk membeli minuman di kedai Mesra.
Kemudian, beliau terdengar jeritan juruwang menyatakan keretanya dilarikan oleh seorang lelaki.
Bora cuba mengejar kereta itu namun tidak berjaya.
Pada 11.30 pagi 4 Dis tahun lepas, polis berjaya menangkap tertuduh yang sedang menaiki kereta itu di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke arah selatan dan keluar di Tol Simpang Pulai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung ibu dan bapanya. 

Bunuh Kerani: Hampir 10 Pengguna Facebook Dipanggil Beri Keterangan


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 10:45 PM
Nurul Shahira

MUAR: Polis mengambil keterangan hampir 10 pengguna laman sosial Facebook bagi mengesan dalang sebenar penyebaran berita dan gambar bersabit kes pembunuhan seorang kerani sekolah agama di Taman Setia Kasih Sungai Terap, Bukit Pasir di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata, kesemua yang dipanggil sejak Selasa sehingga hari ini itu adalah pengguna laman sosial berkenaan yang dikatakan berkongsi maklumat awal kes berkenaan sehingga ia menjadi viral.

"Polis memandang serius perkara ini dan dijangka akan memanggil beberapa lagi pengguna Facebook dan juga WhatsApp untuk diambil keterangan.

"Tindakan ini diambil selepas pengguna laman sosial ini tidak mengendahkan peringatan dan amaran daripada pihak berkuasa agar bertanggungjawab terhadap perkara-perkara sebegini. Berikutan itu, kami terpaksa mengambil tindakan tegas dan saya menasihatkan orang yang memulakan hebahan itu supaya tampil kerana kami yakin dapat mengesannya tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kerani sekolah agama, Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, ditemui terbaring dengan kesan jerutan di lehernya di depan pintu bilik utama rumahnya di Taman Setia Kasih Sungai Terap di sini, Isnin lalu.

Mayat mangsa ditemui jiran selepas enjin kereta Honda Civicnya tidak ditutup selama empat jam bermula pukul 2 petang, selain pintu pemandu kereta dan pintu rumah terbuka menyebabkan jiran terasa pelik dan mencarinya.

Polis kemudiannya bertindak menahan enam lelaki warga Nepal berumur 25 hingga 43 tahun yang bekerja di kawasan berhampiran selang beberapa jam selepas menemui mayat mangsa bagi membantu siasatan.

Azman berkata siasatan memanggil pengguna laman sosial itu dijalankan mengikut Akta Rahsia Rasmi dan menasihatkan dalang sebenar supaya tampil atau berdepan tindakan lebih tegas.

Katanya, tindakan itu diambil bagi mengelak ia mengganggu siasatan selain menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan lain namun telah menemui petunjuk baharu berhubung kes itu.

Menurutnya suami mangsa telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan petang semalam.

Sementara itu, seorang keluarga mangsa yang ditemui berkata suami mangsa Muhammad Faris Jaafar, 30, kini dikatakan lebih banyak termenung dan mendiamkan diri dipercayai mengenangkan arwah isterinya itu.

"Sejak kejadian ini berlaku, kami dapati Muhammad Faris lebih banyak mendiamkan diri dan ada masanya termenung memikirkan sesuatu. Alhamdulillah kesihatannya masih baik dan kami faham dia bersedih, namun kami berharap dia dapat menguatkan semangatnya secepat mungkin.

Menurutnya, Muhammad Faris bukan saja bersedih apabila mengenangkan nasib isterinya itu, malah kecewa apabila kes berkenaan dan gambar keluarganya mula viral di laman sosial dan WhatsApp sedangkan ketika kes masih belum disahkan polis.

Ibu saudara mangsa, Anita Abdul Aziz, 42, berkata anggota keluarga mangsa bukan saja sedih apabila kehilangan insan tersayang, malah hati terluka apabila membaca komen yang bukan-bukan di dalam laman sosial Facebook.

Katanya pengguna laman sosial perlu lebih bertanggungjawab dan memikirkan kesannya kepada keluarga mangsa kerana ada fakta yang ditulis di laman sosial itu bertentangan dengan fakta sebenar.

Suspek Kes Curi Kenderaan Ditemui Mati Dalam Lokap


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 11:06 PM
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis pada Khamis mengesahkan seorang suspek kes curi kereta meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari (jantung) dalam lokap di sini semalam.

R. Thanagaraja, 36, ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 11.45 malam tadi oleh anggota polis yang bertugas ketika membuat pemeriksaan di lokap.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata hasil pemeriksaan doktor, tahanan itu didapati menghidap sakit jantung dan kencing manis yang kronik.

"Tahanan itu adalah seorang daripada dua suspek yang ditahan di kawasan tempat letak kereta Sunlight Badminton Court, Taman Kencana, Pandan Indah, di sini pada Ahad lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi kenderaan.

"Polis turut menahan rakan suspek dan merampas masing-masing sebuah kereta Proton Saga, motosikal dan lori Daihatsu selain beberapa kunci kereta dan sebuah beg yang mengandungi kunci lori," katanya ketika dihubungi Bernama.
Chong berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala rakannya memiliki tiga rekod jenayah.

Mayat Lelaki Reput Ditemui Tidak Berpakaian


Diterbitkan: Khamis, 19 November 2015 11:08 PM
- Gambar hiasan

KUANTAN: Mayat lelaki tidak berpakaian ditemui sekumpulan pekerja tapak kuari di Bukit Sekilau, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata mayat itu ditemui di bawah jambatan berhampiran kawasan kuari berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi.

Abdul Aziz berkata pemeriksaan awal mendapati mayat itu adalah lelaki berbangsa India dan sudah meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaannya yang sudah reput.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui berhampiran mayat itu dan kita perlu tunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata mayat itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

"Polis juga telah merekod keterangan pekerja kuari yang menemui mayat itu.Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Bagaimanapun, jika ada bukti baharu atau laporan bedah siasat menyatakan mangsa mati akibat perbuatan jenayah, kita akan tukar siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau juga memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan atau mana-mana balai polis berhampiran.

Bayi Perempuan Baharu Lahir Dibuang Di Jengka 3


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 2:39 AM
- Gambar hiasan

KUANTAN: Seorang gadis yang sedang menyidai kain terkejut mendengar tangisan bayi perempuan yang ditinggalkan di hadapan rumahnya di Felda Jengka 3, Maran, dekat ini, Khamis.
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata bayi malang itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat semasa ditemui Mimi Asmidah Mohamad Arsad, 20, pada kira-kira 12 tengah hari tadi. 
"Pengadu yang mendengar tangisan bayi memeriksa sekeliling rumah dan menemui bayi itu, yang tidak dibaluti seurat benang pun, di atas meja batu di hadapan rumahnya.
"Pengadu terus memberitahu ibunya yang kemudiannya membawa bayi itu ke Poliklinik Jengka 3," katanya semasa dihubungi di sini, malam Khamis. 
Mat Rizal berkata bayi itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Jengka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran telah dimaklumkan mengenai kes itu. 

Warga New Zealand Miliki Cop Keselamatan Palsu Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 2:29 PM

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga New Zealand yang cuba keluar ke Thailand ditahan Imigresen negeri kerana memiliki cop keselamatan palsu pada pasport semasa pemeriksaan di laluan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, awal pagi Jumaat.
Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata warga asing berumur 56 tahun itu ditahan pada 7.30 pagi Jumaat semasa pemeriksaan dibuat di laluan keluar penumpang ke Thailand.
"Semasa pemeriksaan, pegawai Imigresen yang bertugas mendapati cop lawatan dan cop keluar yang dikeluarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru itu meragukan.
"Hasil siasatan, lelaki tersebut tiba di Kompleks ICQS dari Kuala Lumpur dan hendak ke Thailand bagi tujuan melancong. Turut ditahan seorang wanita dari Sarawak berumur 50 tahun yang mendakwa sebagai isteri lelaki berkenaan namun wanita berkenaan tidak dikenakan sebarang tindakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 56 (1)(I) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan ditahan di lokap Imigresen, bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA

Budak Dua Tahun Maut Ditembak Di Semenyih


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 3:31 PM

KAJANG: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut manakala bapanya cedera parah akibat ditembak di Jalan Besar, Semenyih pada malam Khamis.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam itu, mangsa bersama bapanya sedang menunggu ibunya di hadapan kedai bunga di Jalan Besar, Semenyih sebelum didekati suspek tidak dikenalpasti dan melepaskan tembakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata siasatan mendapati suspek mungkin menjadikan bapa kanak-kanak itu sebagai sasaran.
"Kami percaya kanak-kanak itu terkena tembakan peluru sesat. Dia disahkan maut di tempat kejadian oleh sepasukan perubatan sementara bapanya dikejarkan ke Hospital Kajang," katanya mangsa sedang berada dalam keadaan kritikal.
Mohd Adnan berkata polis masih dalam proses menyiasat motif di sebalik serangan itu.
Mengimbas kembali kejadian berkenaan, seorang pemilik kedai berhampiran yang tidak mahu dikenali berkata keadaan seperti biasa sehingga sebuah kereta dialihkan.
"Ia berlaku dengan sekelip mata. Budak perempuan yang dikenali sebagai Nisha sedang bermain di hadapan kedai dan dilihat oleh bapanya.
"Selepas itu, bapa kanak-kanak itu memutuskan untuk mendukung kanak-kanak berkenaan. Itu selepas dilepaskan beberapa das tembakan. Selepas itu apa yang kami tahu, mereka sudah berada di bawah dan berlumuran darah," jelasnya.
Kes sedang disiasat kerana membunuh.

Juruterbang Cedera, Pesawat Ringan Mendarat Cemas Di Kelab Golf Senai


Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2015 3:50 PM

JOHOR BARU: Sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan cemas di sebuah kelab golf di Senai, Kulai pada Jumaat.
Juruterbang seorang warga Singapura yang mengendalikan pesawat Piper Warrior PA28 hilang kawalan sekitar pukul 1 petang mendarat cemas dan melanggar beberapa pokok di kelab golf berkenaan.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulai untuk rawatan.
Menurut sumber, mangsa adalah seorang juruterbang pelatih berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Lagu surai rusuhan

Manila: Polis antirusuhan Filipina memasang lagu penyanyi pop terkenal, Kate Perry dalam usaha menyuraikan tunjuk perasaan di persidangan pemimpin Asia Pasifik semalam.
Beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di luar lokasi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan pemimpin 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bermesyuarat.
Tunjuk perasaan itu hampir menjadi ganas apabila ada aktivis cuba merempuh sekatan polis untuk ke lokasi persidangan.
Polis bertindak balas dengan menembak meriam air dan bergelut dengan penunjuk perasaan yang melaungkan slogan anti-APEC.
Apabila keadaan semakin tidak terkawal, polis akhirnya mengeluarkan senjata rahsia mereka, memasang lagu Roar nyanyian Perry melalui beberapa pembesar suara gergasi.
Beberapa lagu lagi dipasang dengan kuat yang bertujuan mengalihkan perhatian penunjuk perasaan dan menenggelamkan suara mereka.
Beberapa anggota polis juga dilihat mengetuk belantan pada perisai mereka mengikut rentak lagu yang berkumandang.
“Ini sangat mengarut,” kata ahli Parlimen pembangkang, Carlos Isagani Zarate.
Ramai penunjuk perasaan juga berang dengan pihak berkuasa yang dianggap cuba menenggelamkan mesej mereka yang menentang dasar perdagangan bebas oleh APEC.
“Kami mahu suara kami didengari,” kata peladang mangga berusia 64 tahun, Candelario Rusasena.
Bagaimanapun, sebilangan penunjuk perasaan tidak dapat menyembunyikan perasaan kagum mereka.
“Ini satu tindakan biadap dan terdesak,” kata seorang peladang, Redo Pena sambil tersenyum.
Jurucakap polis Metro Manila, Kimberly Gonzales berkata, muzik itu bertujuan mengurangkan ketegangan.
“Rakyat Filipina sangat sukakan muzik kerana ia boleh memberi ketenangan kepada semua orang,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:33 AM


POLIS antirusuhan (kiri) cuba menghalang penunjuk perasaan yang berusaha menghampiri lokasi persidangan APEC di Manila, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94375#sthash.G1DJayWu.dpuf

Terliur habis cincin berlian

Ampang: Seorang wanita terpaksa merayu belas simpati kepada lima perompak yang mengugut mahu memotong jari manisnya selepas mereka gagal mencabut cincin berlian dipakai mangsa.
Kejadian berlaku jam 4.30 pagi semalam, apabila penjenayah menceroboh masuk rumah mangsa berusia 40-an di Taman Hijau, di sini.
Difahamkan mangsa terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak yang disapu pada jari tangannya bagi mencabut cincin perkahwinan dipakai sebelum diserahkan kepada penjenayah.
Suami mangsa, seorang warga Perancis yang hanya mahu dikenali sebagai Alain, 50-an berkata, ketika kejadian hanya dia dan isterinya berada di rumah manakala dua anaknya belajar di luar negara.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati lima penjenayah berpakaian serba hitam dan bertopeng berada di dalam bilik tidurnya sambil mengacukan pisau.
“Mereka (penjenayah) terus bertindak mengikat saya dan isteri menggunakan kabel pengecas telefon sebelum menyelongkar seluruh rumah untuk mencari barangan berharga.
“Sebaik mereka terlihat cincin berlian tersarung di jari tangan isteri saya, penjenayah cuba mencabutnya tetapi gagal,” katanya.
Dia berkata, penjenayah kemudian mengugut mahu memotong jari, namun isterinya merayu supaya dia dibenarkan berusaha menanggalkan cincin itu terlebih dahulu.
“Cincin itu sudah lama disarung menyebabkan ia menjadi ketat dan sukar dicabut daripada jari. Isteri saya terpaksa menggunakan sabun dan minyak masak sebelum berjaya menanggalkan cincin itu.
“Sebaik memperoleh cincin itu, semua suspek melarikan diri melalui pintu belakang dan memasuki kawasan hutan di belakang rumah,” katanya.
Dia yang memeriksa rumah mendapati jeriji besi pintu di belakang rumah diumpil sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.
“Mereka melarikan wang tunai pelbagai matawang asing termasuk wang tunai RM1,000. Selain itu mereka turut melarikan pelbagai jenis barang kemas, sembilan utas jam tangan dan tiga beg galas mengandungi Ipad.
“Kerugian dianggarkan sekitar RM28,000 tetapi saya bersyukur kerana kami tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden ini,” katanya.
Rumah dipecah masuk pencuri di TamanHijau, Ampang.
Alain berkata, dia sudah berada di negara ini sejak 15 tahun lalu dan baru berpindah ke rumah itu sejak dua bulan lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:26 AM

KEADAAN pagar rumah mangsa dalam kejadian pecah masuk penyamun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94428#foto

Ketua kumpulan curi kenderaan diburu

Kampar: Seorang lelaki yang juga ketua kumpulan curi kenderaan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes kecurian empat kereta membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Iskandar, di sini, 9 November lalu.
Lelaki berkenaan dikenali sebagai S Mathekumar, 33, yang alamat terakhirnya di Taman Bandar Baru, Ipoh dikehendaki kerana dipercayai menjadi ketua kumpulan Geng Mathe yang aktif mencuri kenderaan di sekitar Kampar.
Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai membabitkan lima orang dan dua berjaya ditahan polis, baru-baru ini, manakala tiga lagi masih bebas.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, dua suspek yang berjaya diberkas adalah lelaki tempatan berusia 30 dan 23 tahun dan hasil soal-siasat dijalankan berjaya mengenal pasti ketua kumpulan berkenaan.
“Tangkapan pertama berjaya dilakukan pada hari kejadian (9 November) di Jalan Tronoh Mines, di sini, kira-kira jam 8.30 pagi iaitu dua jam selepas mangsa (pemilik bengkel) membuat laporan polis selepas mendapati empat kereta pelanggan di bengkelnya dicuri.
“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas satu daripada empat kereta yang hilang jenis Proton Persona dan satu telefon bimbit serta pelbagai peralatan untuk mencuri kereta seperti pemotong besi, parang, pisau, pengumpil, gergaji dan tiga bateri kereta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, semalam.
Menurutnya, suspek pertama yang ditahan sudah dituduh di Mahkamah Sesyen, Ipoh manakala suspek kedua pula berjaya ditahan di kediamannya di Bidor pada Selasa lalu dan kini masih direman untuk siasatan lanjut.
“Polis mengesan tiga lagi penjenayah yang masih bebas di mana seorang sudah dikenal pasti. Polis juga sedang mengesan tiga lagi kereta jenis Perodua Myvi, Nissan Almera dan Suzuki Swift yang masih hilang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 05-4652222 atau membuat laporan di balai polis berdekatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:24 AM


NG (tengah) dan pegawainya menunjukkan barang kes ketika tangkapan suspek pertama.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94425#sthash.gaOQ8J0A.dpuf

Jaga 'disergah' tiga lelaki bertopeng

Georgetown: Seorang pengawal keselamatan di GiatMara, Gelugor, di sini, diikat individu tidak dikenali sebelum mereka memecah masuk ke dalam bilik fotografi dan melarikan barangan berharga lebih RM5,000, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa berusia 21 tahun bertugas di pos pengawal keselamatan sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi dan menutup muka menggunakan sapu tangan.
Difahamkan, lelaki bertopeng berkenaan kemudian menarik mangsa ke dalam bilik fotografi di situ sebelum diacukan benda tajam di belakang badannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika berada di dalam bilik berkenaan, dia sempat melihat kelibat tiga lelaki sebelum salah seorang daripada mereka mengarahkan mangsa tidak membuat bising jika ingin selamat dan mengikat tangannya.
Katanya, ketiga-tiga suspek kemudian menyelongkar bilik berkenaan bagi mencari barangan berharga sebelum melarikan beberapa kelengkapan.
“Sebelum melarikan diri, ketiga-tiga suspek mengunci mangsa di dalam bilik berkenaan dengan tangan terikat sebelum mangsa berjaya membuka ikatan tangannya dan pulang ke rumahnya.
“Mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada pengurus GitMara berkenaan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, suspek masuk ke dalam bilik berkenaan dengan mengumpil pintu bilik kelas fotografi dan masuk serta keluar melalui jalan yang sama sebelum melarikan pelbagai barangan berharga yang berada dalam bilik berkenaan.
“Antara barangan yang hilang termasuk dua unit telefon bimbit, kad pengenalan, wang tunai RM50, dua unit komputer riba dan kamera yang dianggarkan semuanya bernilai lebih RM5,000,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:03 AM


Mior Faridalathrash (kanan) bersalaman dengan orang ramai di Pondok Polis Lembah Permai, Tanjung Bungah, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94399#sthash.563fBBrF.dpuf

Lelaki mati lawan perompak

Kajang: Tindakan berani seorang lelaki cuba melawan dua perompak bersenjatakan pisau menyebabkan dia mati ditikam penjenayah di leher.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi semalam, mangsa, Joshua Chong Weng Choon, 24, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Desa Bunga Raya, Sungai Chua, di sini, selepas berhibur di pusat karaoke berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mangsa pergi ke pusat karaoke itu bersama tiga rakannya.
“Bagaimanapun mangsa berjalan kaki pulang ke rumah bersendirian sebelum dihampiri dua suspek.
“Dua suspek lelaki itu mengacukan pisau dan cuba merompaknya. Bagaimanapun mangsa dipercayai melawan.
“Suspek bertindak ganas apabila menikam leher mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Willey berkata, rakan mangsa yang secara kebetulan keluar dari pusat karaoke itu sempat melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya.
“Rakan mangsa kemudian bertanya apa yang berlaku kepada suspek. Namun, suspek menipu dan mendakwa mangsa mabuk.
“Suspek mendakwa mahu membantu mangsa masuk ke dalam kereta. Bagaimanapun rakan mangsa mengesyaki berlaku kejadian buruk selepas melihat seorang suspek memegang pisau,” katanya.
Menurutnya, suspek melarikan diri sejurus rakan mangsa memanggil orang ramai.
Willey berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:24 AM


ANGGOTA polis mencari bukti di kereta mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94423#sthash.GECJtXni.dpuf