Search This Blog

Wednesday, November 18, 2015

Jawi Buru 'Ustaz Kasanova'


Diterbitkan: Rabu, 18 November 2015 11:43 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang mengesan seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang ustaz kerana menipu 13 wanita melalui perkahwinan dan poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 25 Oktober mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Razis Ismail yang juga dikenali sebagai Ustaz Kasanova selepas dia gagal hadir ke jabatan itu untuk melanjutkan jaminannya.

"Kesalahan yang dilakukan oleh suspek ialah berkahwin tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

"Kebanyakan daripada perkahwinan dan perceraiannya tidak didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Paimuzi berkata modus operandi suspek adalah dengan memperlihatkan dirinya sebagai seorang guru agama untuk menipu mangsa.

"Dia mendakwa masih bujang dan dikenali sebagai Ustaz Arrozi Abdul Rahman dan Ibnu Ar Razi. Beliau menyasarkan pelajar wanita di institusi pengajian tinggi atau janda yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik," katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Jawi, Farah Wahida Zulkiflee di 011-32961821 atau bahagian penguatkuasaan Jawi di talian bebas tol 1-800-88-1771.

Kepala Terputus Dijumpai Dalam Karung Di Jolo


Diterbitkan: Rabu, 18 November 2015 1:59 PM

PETALING JAYA: Satu kepala yang terputus dari badan dipercayai milik tebusan rakyat Malaysia, Bernard Then dijumpai berhampiran bangunan majlis perbandaran di Pulau Jolo pada Selasa malam, demikian menurut pegawai polis di selatan Filipina.
Ketua Polis Jolo, Major Junpikar Sitin memberitahu The Star bahawa seorang pekerja pembersihan menjumpai satu kepala di dalam karung dengan tulisan "Bernard Then Ted Fen" di Marina Street di Jolo kira-kira pukul 8.30 malam Selasa.
Beliau berkata mereka segera mengepung kawasan itu dan kemudiannya mengambil kepala berkenaan untuk pemeriksaan pada kira-kira pukul 10.30 malam.
"Kita telah menyerahkan kepala itu kepada pasukan petugas tentera untuk ujian pemeliharaan dan DNA," katanya.
Bagaimanapun beliau tidak dapat memberitahu mengapa jurutera kelahiran Sarawak berusia 39 tahun itu dihukum sedangkan rundingan pembebasannya sedang berlangsung.
"Kami masih menyiasat," katanya sambil menambah bahawa hanya ujian DNA dapat menentukan kematian Then.

Gempa magnitud 6.7 landa Greece

LONDON: Gempa bumi dengan magnitud 6.7 melanda pantai barat Greece sebentar tadi, mengikut laporan Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat.
Ia berlaku di kedalaman 10 kilometer dari permukaan tanah.
Bacaan kedua kemudian menunjukkan gegaran pada magnitud 6.8 dan di kedalaman lima kilometer. - REUTERS

Ancaman bom, dua pesawat Air France dilencongkan


DUA pesawat Air France yang berlepas dari Amerika Syarikat (AS) dilencongkan selepas menerima ancaman bom. - Foto NBC
PARIS: Dua pesawat Air France yang berlepas dari Amerika Syarikat (AS) dilencongkan selepas menerima ancaman bom, demikian lapor media Kanada dan AS hari ini.
Pesawat pertama dari Washington D.C. ke Paris, dilencongkan ke Halifax, Nova Scotia, manakala satu lagi pesawat dari Los Angeles ke Paris mengubah haluan ke Salt Lake City, demikian lapor stesen penyiaran CNN, NBC dan CBC Kanada.
Kedua-dua pesawat selamat mendarat ke lapangan terbang sebelum penumpang diarahkan turun dari pesawat. - Reuters

31 maut, 72 cedera serangan bom di Nigeria



LAGOS, Nigeria: Sekurang-kurangnya 31 terbunuh dan 72 cedera dalam letupan bom di bandar Yola, timur laut Nigeria, menurut pegawai palang merah tempatan, Aliyu Maikano.
Manakala Pegawai Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), Sa'ad Bello, pula berkata, angka kematian adalah 32 orang dan 80 cedera.
Katanya, letupan itu berlaku di Tipper Garage, Jambutu kira-kira jam 7.48 malam waktu tempatan, sejurus selepas solat Isyak.
Kawasan itu menempatkan sebuah pasar haiwan ternakan, sebuah restoran terbuka dan masjid dan berlaku ketika peniaga sedang meninggalkan masjid dan pengunjung lain sedang makan di restoran.
Kejadian ini berlaku lima hari selepas Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari melawat Yola untuk memberikan pingat kepada tentera yang berjuang dalam memerangi militan Boko Haram selain melawat sebuah kem pelarian di situ.
Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab dalam kejadian letupan ini. - CNN

Polis berbalas tembak di Paris



KEJADIAN berbalas tembak dikesan berlaku ketika polis antipengganas melakukan serbuan di pinggir utara bandaraya Paris. - Foto AFP
PARIS: Kejadian berbalas tembak dikesan berlaku ketika polis antipengganas melakukan serbuan di pinggir utara bandaraya ini, sumber memberitahu pada hari ini.
Ia berlaku lima hari selepas serangan paling buruk dalam sejarah Perancis membunuh 129 orang.
Menurut sumber yang rapat dengan agensi penyiasat itu berkata, tembakan itu berlaku ketika operasi polis antipengganas di Saint-Denis, namun tidak dapat mengesahkan tembakan disasarkan untuk siapa.
Sumber lain pula berkata, operasi itu turut disertai pasukan khas bersenjata.
Pihak bomba mengesahkan seorang mengalami kecederaan ringan dalam tembakan itu. AFP

8 ditahan, 1.15kg dadah dirampas di Kuala Kurau


Oleh Saiful Shahrin Ahmad Pauzi


OMAR Bakhtiar (dua dari kiri) bersama anggota menunjukkan dadah yang dirampas. - Foto Saiful Shahrin Ahmad Pauzi
BAGAN SERAI: Polis menahan lapan lelaki dan merampas 1.15 kilogram pelbagai jenis dadah dalam Ops Sarang di kawasan belukar di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaakob, berkata lapan lelaki yang ditahan dalam operasi pada Khamis lalu termasuk dua pengedar utama yang dipercayai bergerak aktif melakukan kegiatan menjual dadah sejak dua bulan lalu.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas daripada dua 'tokan' berusia 28 dan 38 tahun itu adalah 871.9 gram ganja, 261.7 gram heroin dan 17.36 gram syabu.
Katanya, enam lagi yang juga dipercayai pengedar kecil-kecilan dan penagih turut ditangkap kerana memiliki tujuh paket plastik lut sinar dan satu tiub straw berisi dadah heroin seberat 9.97 gram dan sepaket plastik dan tiga tiub straw berisi syabu seberat 0.97 gram.
"Dua tokan dadah utama itu bertindak mendirikan sebuah pondok kanvas sebagai tempat tinggal dalam hutan belukar dan mereka ditangkap ketika asyik membungkus dadah.
"Siasatan lanjut turut mengenal pasti kedua-dua tokan utama mempunyai 11 rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Omar Bakhtiar berkata, kesemua pengedar berusia lingkungan 26 tahun hingga 41 tahun adalah orang tempatan dan dadah dirampas keseluruhan bernilai melebihi RM20,000 dipercayai untuk dipasarkan di sekitar kawasan Kuala Kurau, Tanjung Piandang dan Gunung Semanggol.
Beliau berkata, dua pengedar utama berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala enam suspek lain mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39A (2) akta sama.
Katanya, tangkapan itu berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah terbesar di daerah Kerian tahun ini.
PELBAGAI jenis dadah seberat 1.151 kilogram yang dirampas pihak polis Kerian. - Foto Saiful Shahrin Ahmad Pauzi

Geng Wan Botak di Shah Alam lumpuh

RABU, 18 NOVEMBER 2015 @ 3:36 PM

Oleh Norashikin Leman
bhnews@bh.com.my



SHAH ALAM: Polis di sini, percaya dapat melumpuhkan kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Wan Botak' selepas menahan ahli terakhir kumpulan berkenaan dalam satu serbuan malam, di sini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 20-an itu ditahan di sebuah rumah selepas seminggu enam rakannya termasuk ketua kumpulan berkenaan diberkas polis secara berasingan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata serbuan pada jam 3 pagi itu dibuat selepas risikan dan intipan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima daripada rakan suspek.


Katanya, dengan penahanan lelaki berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun yang dilaporkan di sekitar Shah Alam.

"Hasil soal siasat, polis turut menemui empat kereta dan sebuah motosikal yang dipercayai dilarikan suspek selepas menyamun mangsanya.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah. Di ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, tadi.

Shafien berkata, enam Geng Wan Botak yang ditahan minggu lalu, diserahkan kepada IPD Brickfields, Kuala Lumpur untuk siasatan kerana dipercayai turut terbabit dengan dua kes samun di daerah terbabit.

Sabtu lalu, BH melaporkan ketua kumpulan Geng Wan Botak yang berusia 21 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Sri Muda pada jam 1 pagi semalam selepas menyamun seorang wanita dan melarikan kereta mangsa.

Hasil soal siasat terhadap suspek, lima lagi ahli kumpulannya yang berusia antara 19 hingga 27 tahun ditahan di sini.

Susulan penahanan berkenaan juga, polis menemui tiga kereta dan sebuah motosikal yang dilarikan selepas menyamun selain senjata yang digunakan.

Guru didenda terbit tulisan menghasut di Facebook

RABU, 18 NOVEMBER 2015 @ 3:23 PM


KUALA LUMPUR: Seorang guru didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini, selepas didapati bersalah menerbitkan penerbitan menghasut di akaun laman Facebook miliknya mengenai penganut agama Hindu ketika perayaan Thaipusam, tahun lalu.

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu terhadap Hidayat Mohamed, 36, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Hidayat menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh yang kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman itu, membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Hidayat didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di laman facebook di TH 45A, Ariza Garden Villa, Taman Raintree, Batu Caves di sini pada 11.13 pagi, 17 Januari 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Terdahulu, Hidayat yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak berniat untuk menghina agama lain. Timbalan

Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan tertuduh menerbitkan penerbitan yang boleh menggugat keamanan negara apabila menyentuh isu agama melibatkan sambutan Thaipusam.

 "Tertuduh sepatutnya lebih berhati-hati dan sensitif apabila menulis (penerbitan) di laman Facebook agar tidak menyentuh sensitiviti agama lain.

"Hukuman yang bakal dijatuhkan ini penting kerana ia mencerminkan mahkamah memandang serius kesalahan ini selain dapat memberi amaran kepada masyarakat awam bahawa kesalahan seperti ini tidak dibenarkan oleh undang-undang," katanya yang turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pendakwaan mengemukakan 19 saksi manakala hanya tertuduh seorang memberi keterangan membela diri. -- BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/98042

Lans Koperal parah tergelincir dari tingkat 3

RABU, 18 NOVEMBER 2015 @ 2:38 PM

Oleh Muhammad Yusri Muzamir yusri.muzamir@bh.com.my

ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang parah selepas tergelincir dari tingkat tiga Kompleks Kediaman Polis di sini. - Foto Ihsan Pembaca

GEORGETOWN: Seorang polis berpangkat Lans Koperal parah selepas tergelincir dari tingkat tiga Kompleks Kediaman Polis di Jalan Lone Pine, Paya Terubong, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian pada jam

9.30 pagi itu, mangsa, Mohd Azrell Zainal Abidin, terjatuh akibat tergelincir ketika cuba memasuki rumahnya. Sumber berkata, mangsa cuba memanjat bahagian koridor rumahnya untuk mengambil kunci yang tertinggal di dalam kediamannya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa gagal mengimbangkan badannya dan tergelincir ketika berbuat demikian. "Mangsa memanjat bahagian koridor rumahnya untuk mengambil kunci

yang tertinggal kunci di dalam rumahnya, selain isterinya sedang berkursus di Kuala Lumpur," katanya. Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, mengesahkan kejadian terbabit.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/98036

Anak pukul emak hingga mati di Bachok

RABU, 18 NOVEMBER 2015 @ 12:59 PM
Oleh Siti Rohana Idris bhkb@bh.com.my

KOTA BHARU: Seorang warga emas mati selepas dipukul anak sendiri di kediaman mereka di Kampung Hujung Repek, Bachok dekat sini, kira-kira jam 5 pagi tadi. Suspek berusia 32 tahun yang juga seorang

pesakit mental disyaki memukul mangsa bertalu-talu menggunakan kayu dan buluh. Yasa Muda, 70, disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan muka selain telinga terputus. Ketua Polis

Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.30 pagi sebelum bergegas ke rumah mangsa. "Suspek yang berada di rumah ketika itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap

selepas berlaku pergelutan kerana dia bertindak agresif. "Mangsa pula dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZII) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/98006

Jawi Buru 'Ustaz Kasanova'


Diterbitkan: Rabu, 18 November 2015 11:43 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang mengesan seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang ustaz kerana menipu 13 wanita melalui perkahwinan dan poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya berkata, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 25 Oktober mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Razis Ismail yang juga dikenali sebagai Ustaz Kasanova selepas dia gagal hadir ke jabatan itu untuk melanjutkan jaminannya.

"Kesalahan yang dilakukan oleh suspek ialah berkahwin tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

"Kebanyakan daripada perkahwinan dan perceraiannya tidak didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Paimuzi berkata modus operandi suspek adalah dengan memperlihatkan dirinya sebagai seorang guru agama untuk menipu mangsa.

"Dia mendakwa masih bujang dan dikenali sebagai Ustaz Arrozi Abdul Rahman dan Ibnu Ar Razi. Beliau menyasarkan pelajar wanita di institusi pengajian tinggi atau janda yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik," katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Jawi, Farah Wahida Zulkiflee di 011-32961821 atau bahagian penguatkuasaan Jawi di talian bebas tol 1-800-88-1771.

Trafik Sesak Teruk Di Sekitar Lembah Klang Akibat Kemalangan


Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 2:31 PM

PETALING JAYA: Kemalangan yang berlaku sekitar tengahari Isnin telah mengakibatkan lalu lintas sesak teruk di sekitar Lembah Klang.

Menurut Star Radio Traffic, kelewatan dijangka di sepanjang jalan-jalan berikut: laluan kedua-dua arah di sepanjang Jalan Tun Razak di antara bangunan RHB dan GTower, di Jalan Damansara dari muzium Negara ke bangunan Parlimen, dari Subang berhampiran persimpangan Templer, dari PJ Hilton ke persimpangan LDP  dan di kedua-dua arah di Plaza Pantai.

Mengenai KL-Seremban Expressway E37, trafik bergerak perlahan dari Desa Waterpark ke lebuh raya Persekutuan.

Sebelum itu kira-kira pukul 11.30 pagi, terdapat laporan mengenai dua kemalangan berasingan, satu di KM22.8 melibatkan motosikal berhampiran Tesco ke IOI Mall yang menghalang lorong kiri.

Kemalangan kedua ialah di KM19.9, yang melibatkan pejalan kaki berhampiran Puchong Jaya ke Sunway Tol, yang menghalang lorong kanan.

Tanah runtuh di Jalan KKB-Raub dibersihkan

Kuala Kubu Bharu: Tanah runtuh di Kilometer 4.75, Jalan Kuala Kubu-Raub, dekat Kampung Asam Kumbang di sini, sudah dibersihkan sepenuhnya, petang semalam.
Kejadian yang berlaku malam Sabtu lalu itu menutupi jalan menghubungkan kawasan perkampungan di Pertak dan Gerachi Jaya termasuk Empangan Sungai Selangor, namun dapat dikawal.
Penghulu Mukim Kuala Kubu Bharu Airudin Saranor berkata, runtuhan awal dikesan Rabu lalu sebelum runtuhan besar berlaku pada Sabtu susulan hujan berterusan.
“Kami menerima laporan awal jam 8 malam Sabtu lalu dan melaporkannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan.
“Hujan berterusan turut mengakibatkan banjir lumpur di Kampung Asam Kumbang yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi tanah runtuh,” katanya.
Sumber berkata, tanah runtuh terbabit berlaku pada ketinggian kira-kira 20 meter.
“Selain tanah runtuh di kawasan itu, terdapat 14 lagi kawasan lain di sepanjang laluan antara Kuala Kubu Bharu hingga Gap Bukit Fraser berdepan risiko sama,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:20 AM


JALAN Kuala Kubu-Raub dekat Kampung Asam Kumbang yang berlakunya tanah runtuh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93810#sthash.Fr3en53N.dpuf

'Tebus nyawa' bayar RM2 juta

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan wanita yang juga adik jutawan bergelar Tan Sri diculik sekumpulan penjenayah sebelum suspek meminta wang ‘tebus nyawa’ sebanyak RM10 juta.
Mangsa berusia 62 tahun itu yang memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif syarikat hartanah terkemuka diculik sekumpulan penjenayah di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 10 November lalu.
Sumber berkata, penjenayah melarikan mangsa sebelum mengurung wanita itu di sebuah rumah sekitar ibu kota selama enam hari.
“Difahamkan suspek menghubungi ahli keluarga mangsa sebelum menuntut wang tebusan RM10 juta.
“Bagaimanapun keluarga mangsa meminta jumlah itu dikurangkan sebelum suspek bersetuju dengan bayaran RM2 juta,” katanya.
Menurutnya, keluarga mangsa membayar wang diminta sebelum mangsa dibebaskan pagi kelmarin.
“Sejurus mangsa dibebaskan, polis yang menerima laporan melakukan operasi sebelum menahan 14 suspek termasuk empat wanita.
“Mereka ditahan dalam beberapa serbuan dalam tempoh kurang 24 jam. Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam untuk mendapat perintah reman,” katanya.
Dia berkata, semua suspek warga tempatan itu disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas jenayah culik.
“Berdasarkan siasatan, kejadian culik itu tidak bermotifkan dendam atau perselisihan peribadi. Ia lebih bermotifkan wang.
“Ada antara suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah. Setakat ini polis menemui semula wang tebusan berjumlah RM2 juta itu,” katanya.
Menurutnya, difahamkan mangsa tidak dicederakan sepanjang tempoh dikurung penjenayah.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 6:00 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93844#sthash.8BeXofTB.dpuf

Dua hari cincin gigit jari

Kuala Selangor: Seorang tukang besi menahan kesakitan selama dua hari apabila cincin yang dipakai terlekat pada jari telunjuknya.
Mangsa, G Sritharan, 35, akhirnya dibantu bomba dan penyelamat yang menanggalkan cincin berkenaan, jam 6 petang kelmarin, di Klinik Kesihatan Bestari Jaya di sini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya Rosdi Shafie berkata, cincin dipakai mangsa terlekat berikutan jarinya membengkak akibat terkena ketukan tukul besi ketika sedang bekerja.
“Mangsa datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan namun cincin terbabit gagal dikeluarkan.
“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menanggalkan cincin berkenaan dengan menggunakan bahan pelincir selepas usaha memotongnya menggunakan alat pemotong gagal akibat ketebalan cincin,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rosdi berkata, mangsa turut meminta pihaknya menanggalkan sebentuk cincin dipakai pada jari manisnya kerana bimbang ia tidak dapat ditanggalkan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:22 AM


ANGGOTA bomba menanggalkan cincin yang dipakai Sritharan di Klinik Kesihatan Bestari Jaya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93812#sthash.FTFNhbrQ.dpuf

Ajal datang lebih dulu

Jertih: Hasrat sepasang suami isteri untuk melihatnya anak mereka menjadi seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak kesampaian apabila remaja berkenaan mati lemas ketika mandi di Sungai Pelajat, di sini, petang kelmarin.
Mohamad Nazmi Asyraf Mohd Nawi, 18, dari Kampung Raja, di sini, dikatakan lemas kira-kira jam 5 petang ketika mangsa bersama adik dan dua rakan karibnya di sungai berkenaan.
Bapa mangsa, Mohd Nawi A Bakar, 47, berkata, anaknya itu baru terima surat tawaran untuk menjalani latihan di menyertai TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Menurutnya, anak sulung daripada tujuh beradik itu sepatutnya melaporkan diri sebagai anggota rekrut TLDM awal bulan depan, tetapi Mohamad Nazmi terlebih dahulu menemui ajal.
Katanya, mangsa memang berminat untuk menjadi tentera laut dan gembira selepas permohonannya diterima dan ditawarkan untuk menjalani latihan terbabit.
“Arwah memang tidak pandai berenang, tetapi memilih TLDM sebagai kerjayanya, namun cita-citanya itu tidak sempat direalisasikan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Besut, di sini, semalam.
Menurutnya, Allahyarham pernah menjalani latihan berenang dan menyelam dengan bapa saudaranya yang juga seorang anggota tentera sebagai persediaan menjadi anggota rekrut TLDM sebelum ini.
Katanya, ahli keluarga tidak sangka Allahyarham yang menanam impian untuk bekerja di laut menjadi korban di air.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Saiful Fitri Ali bersama lima orang anggota.
Selain itu, operasi turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan orang awam sebaik menerima maklumat mengenai kejadian terbabit.
Mayat mangsa kemudian ditemui jam 6.15 petang di dasar sungai sedalam dua meter tidak jauh dari lokasi Mohamad Nazmi dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan mangsa dibawa Hospital Besut untuk proses bedah siasat.
Pihaknya menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak kerana musim hujan sudah melanda ketika ini dan berisiko tinggi jika mandi terutamanya di sungai ketika ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:53 AM


ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa , Mohamad Nazmi Asyraf.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93830#sthash.fFpNohvX.dpuf

Porsche dakwa Walker 'cari pasal'

Berlin: Syarikat pengeluar kereta Jerman, Porsche mendakwa bintang Fast & Furious Paul Walker bertanggungjawab atas kematiannya sendiri selepas terbabit dalam kemalangan kereta yang dipandu laju pada 30 November 2013.
Sebagai menjawab tuntutan mahkamah difailkan anak perempuan Walker, Meadow, syarikat kereta itu berkata, pelakon berkenaan pengguna Carrera GT 2005 yang arif dan berpengetahuan luas.
Syarikat itu turut mendakwa, Porsche dinaikinya diubah suai dan tidak diselenggara dengan baik.
Ketika kejadian, kereta GT itu dipandu rakan Walker, Roger Rodas yang juga pemilik kedai kereta lumba apabila ia hilang kawalan di jalan di Valencia, berhampiran Los Angeles sebelum meletup selepas melanggar tiang dan beberapa pokok.
Walker, 40 dan Rodas, 38, mati di tempat kejadian.
Meadow, 16, yang memfailkan saman itu September lalu berkata, kereta itu terbabas dan hilang kawalan kerana tidak mempunyai sistem penstabilan sepatutnya, selain mendakwa Porsche sedia maklum bahawa model kereta itu mempunyai masalah ketakstabilan dan kawalan.
Dalam satu kenyataan, Meadow berkata: “Saya kesal Porsche menuduh mangsa bersalah dalam kejadian ini. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:00 AM


Walker
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93858#sthash.0GdNTP5L.dpuf

Pasangan pengantin makan kemaluan perogol

Lampung (Indonesia): Satu pasangan pengantin baru ditahan polis kerana dipercayai membunuh dan memakan kemaluan seorang lelaki yang didakwa merogol wanita berkenaan, kata polis semalam.
Suami wanita itu, Rudi Efendi, 30, mengaku membunuh mangsa selepas mendapati isterinya tiada dara ketika malam pertama mereka pada September lalu.
Isterinya yang berusia 20 tahun mengaku dia dirogol seorang pemandu yang juga bekas kekasihnya.
Kerana berang, Rudi mengarahkan isterinya menghubungi lelaki itu dan berpura-pura mahu bertemu pada awal Oktober lalu.
Bagaimanapun, dalam pertemuan itu Rudi menikam lelaki berkenaan hingga mati sebelum memotong kemaluannya.
Mangsa ditemui terbakar bersama kereta miliknya.
Rudi kemudian membawa kemaluan mangsa pulang ke rumah dan meminta isterinya menggoreng alat sulit mangsa itu sebelum makan bersama-sama.
“Saya sangat marah.
“Saya mengambil keputusan memakan alat sulit lelaki itu bagi mengubati hati saya yang sakit,” kata Rudi kepada wartawan.
Seorang jurucakap polis, Sulistyaningsih berkata, kes itu masih lagi dalam siasatan tetapi mengesyaki pembunuhan itu dirancang lebih awal.
“Kami percaya si suami yang melakukan pembunuhan manakala isterinya hanya bersubahat,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:09 AM


RUDI (dua dari kanan) bersama isterinya ketika ditahan di sebuah balai polis di Lampung.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93874#sthash.b4CQ0xIx.dpuf

Gas dalam Parlimen

Pristina (Kosovo): Anggota pembangkang Kosovo menggunakan gas pemedih mata dan penyembur lada sebagai usaha terbarunya untuk menghalang Parlimen bersidang, sementara pada masa sama penunjuk perasaan di luar menconteng dinding dan membaling batu ke arah polis.
Mereka berjaya melumpuhkan sesi Parlimen sejak beberapa minggu lalu bagi menggagalkan dialog Kesatuan Eropah (EU) dan perjanjian dengan Serbia. Kosovo keluar dari Serbia dan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 2008.
Mereka menentang perancangan mewujudkan beberapa perbandaran dikendalikan golongan etnik minoriti Serb kerana dibimbangi semakin menguatkan pengaruh Serbia di Kosovo.
Perjanjian itu dicapai sebelum ini hasil perbincangan dengan Serbia yang melihat EU menjadi orang tengah.
Ia menyasarkan untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua pihak selepas peperangan dari 1998 hingga 1999.
Walaupun dengan kehadiran polis di dalam dan sekitar Parlimen, pembangkang melepaskan gas pemedih mata di dalam dewan untuk menghalang sesi itu daripada diteruskan, lapor wartawan di tempat kejadian.
Seorang ahli Parlimen pembangkang dilihat cuba menyembur gas pemedih mata ke arah menteri, namun berjaya dihalang dua barisan polis.
Ahli Parlimen daripada parti pemerintah bersidang semula di bilik lain dalam bangunan berkenaan untuk meneruskan rundingan tanpa wakil pembangkang.
Sementara itu, Perdana Menteri Isa Mustafa berkata: “Kejadian ini adalah perbuatan jenayah oleh individu tertentu dan tindakan mesti diambil terhadap mereka.
“Mereka mesti dikenakan tindakan undang-undang. Kami tidak akan membenarkan minoriti 30 wakil pembangkang ini menggagalkan usaha gigih golongan majoriti di Parlimen.”
Belgrade enggan mengiktiraf kebebasan Kosovo, yang penduduknya secara majoriti daripada etnik Albania.
Pembangkang turut menolak perjanjian sempadan dengan negara jiran, Montenegro, Ogos lalu, yang dianggap mengakibatkan Kosovo kehilangan wilayah.
Ketua pembangkang, Visar Ymeri berkata: “Pendirian kami jelas. Kami menentang Parlimen hampir dua bulan sehingga kini dan akan meneruskannya sehingga permintaan kami dipenuhi.”
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:01 AM


ANGGOTA pembangkang Kosovo melepaskan gas pemedih mata dan penyembur lada dalam dewan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93860#sthash.5QlVKgIr.dpuf

Tak jadi mati

Bangkok: Seorang wanita ‘hidup semula’ dan menyerah diri kepada polis semalam bagi berdepan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh bakal menantunya sendiri.
Juree Jan-ngam, 72, menyerah diri selepas cuba menipu kematiannya bagi mengelak dikenakan hukuman kerana membunuh seorang ahli farmasi, Riewprae Chotikarn.
Riewprae, 26, yang hamil tiga bulan ditembak mati di kliniknya di daerah Khuan Niang, Songkhla pada 13 Disember 2007, 16 hari sebelum mangsa dijadual melangsungkan perkahwinan dengan anak lelaki Juree, Wikrom.
Serangan itu turut menyebabkan seorang pembantu klinik maut akibat terkena peluru sesat.
Ahli perniagaan kaya itu merancang membunuh Riewprae kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan berkenaan.
Sebelum perbicaraan bermula, Juree dilapor pernah menawar 2 juta baht (RM244,226) kepada keluarga Riewprae supaya kes berkenaan ditarik.
Juree dituduh mengupah seorang lelaki, Narin Janchay, 36, untuk membunuh bakal menantunya itu.
Kedua-dua mereka kemudian didapati bersalah membunuh wanita itu dan dihukum mati oleh mahkamah.
Juree yang dalam proses rayuan dibenarkan ikat jamin sebanyak 5 juta baht (RM610,565) tetapi terus menghilangkan diri selepas dibebaskan.
Pada Februari tahun lalu, anak perempuan Juree, Rassamee memohon mahkamah mengembalikan wang jaminan ibunya dengan alasan wanita itu sudah meninggal dunia.
Rassamee turut mengemukakan sijil kematian dan mendakwa mayat wanita itu sudah dibakar.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Juree dilihat berada di Hat Yai menyebabkan polis melancarkan operasi memburu wanita itu semula.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:08 AM


JUREE
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93872#sthash.azHQ7XO0.dpuf

Kereta mewah ditahan bawa patung beruang

Chengdu (China): Seorang pemandu kereta sport mewah ditahan polis di bandar ini didapati membawa satu patung beruang gergasi di belakang kenderaan itu.
Gelagat pemandu kereta berwarna hijau itu dirakam beberapa pengguna jalan raya sebelum dimuat naik di laman sosial di China.
Beberapa gambar menunjukkan patung beruang gergasi itu diikat di belakang kenderaan sehingga menutup cermin belakang.
Anggota polis yang menahan kereta itu dilihat berbual dengan pemandu berkenaan sebelum mengeluarkan saman.
Anggota polis itu kemudian dikenal pasti sebagai selebriti tempatan, Tan Qiao yang mengetuai jabatan penerangan polis Chengdu.
Tan adalah hos satu rancangan televisyen bagi mempromosikan keselamatan jalan raya di bandar itu.
Keadaan itu menyebabkan ramai beranggapan kemungkinan kejadian berkenaan dirancang.
Bagaimanapun, Tan menafikan dakwaan berkenaan dan meminta orang ramai menonton episod terbaru rancangan televisyennya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:10 AM


GAMBAR menunjukkan Tan menahan sebuah kereta mewah yang membawa patung beruang gergasi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93876#sthash.B5Q1uQ7v.dpuf