Search This Blog

Tuesday, November 17, 2015

Maut ditetak saudara sendiri


WARTAWAN SINAR HARIAN
Maut ditetak saudara sendiri
La Paula (kiri) mengiring suspek kes bunuh saudara senegaranya yang ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
17 NOVEMBER 2015



BIDOR - Gara-gara mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang, seorang lelaki warga Indonesia maut ditetak selepas bergaduh dengan saudara senegaranya di kawasan Ladang Buah Coldstream, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendsn Som Sak Din Keliaw berkata, polis menerima maklumat kejadian pada jam 4.30 petang kelmarin daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, mangsa berusia 37 tahun maut ditetak dengan sebilah parang oleh suspek yang berang apabila mendapat tahu isterinya menjalinkan hubungan dengan mangsa.

"Menurut keterangan suspek, mangsa yang merupakan abang saudaranya telah menjalinkan hubungan dengan isterinya berusia 31 tahun sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Katanya, suspek telah bertindak mengambil sebilah parang dan menetak beberapa kali di anggota badan serta mengelar leher mangsa.

"Isteri mangsa yang turut melihat kejadian telah melarikan diri.

"Suspek juga melarikan diri bersama senjata yang digunakan sebelum ditahan seorang lelaki tempatan yang curiga dengan keadaan suspek sebelum membawanya ke pondok polis Coldstream Bidor," katanya.

Som Sak berkata, Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak telah membantu siasatan.

"Suspek telah pun ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya.

Perintah tahanan reman sehingga Ahad depan itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak di Mahkamah Majistret di sini, petang semalam dan berakhir pada 22 November ini.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap diiringi beberapa anggota polis dan Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Tapah, Inspektor La Paula Abd Muis pada jam 2.30 petang semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Maut terbabas langgar pacuan empat roda


WARTAWAN SINAR HARIAN
16 NOVEMBER 2015

Maut terbabas langgar pacuan empat roda

Maut terbabas langgar pacuan empat roda Mangsa terbaring di tempat kejadian sebelum dihantar ke HPP.

GEORGETOWN - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan melanggar sebuah pacuan empat roda di Jalan Batu Feringghi tiga hari lalu.

Mangsa, Yip Long Chong, 56, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dipercayai melanggar belakang sebelah kanan kenderaan itu yang dalam perjalanan ke pusat bandar.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang, 13 November lalu berdekatan Pantai Miami, Batu Feringghi melibatkan Toyota Hilux dan motosikal Honda EX5.

“Mangsa cedera parah dan dibawa ke HPP dan disahkan meninggal pada jam 6.30 petang. Pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat mangsa berasal dari Butterworth dilakukan pada jam 11 pagi kelmarin dan punca kematian kerana cedera parah pada kepala dan dada akibat bertembung dengan kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kipas angin meletup


WARTAWAN SINAR HARIAN
Kipas angin meletup
 Kipas angin meletup Anggota bomba sedang memeriksa dan mengenal pasti punca kejadian.
16 NOVEMBER 2015


PADANG SERAI - Gara-gara tidak menutup suis kipas angin, tiga rumah di Taman Serai Setia, dekat sini terbakar dalam satu kejadian petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Mages Wari, 32, berada di luar rumah menemani empat anaknya bermain.

Menurutnya, dia terdengar bunyi letupan dan menyangka ada orang bermain mercun.

"Saya jenguk ke luar pagar dan terhidu bau hangit yang datang dari dalam rumah.

"Anak kecil saya yang berumur enam tahun berlari masuk ke dalam rumah dan menjerit ada api," katanya.

Mages berkata, dia pun meluru masuk ke dalam rumah dan mendapati kipas angin di dalam salah sebuah bilik meletup.

"Saya tengok baju dan rak buku dah musnah disambar api.

"Saya cuba nak selamatkan barang di dalam bilik itu tapi api makin marak. Haba yang mula membahang menyebabkan saya bawa anak keluar dari rumah dan meminta pertolongan jiran-jiran," katanya.

Katanya, jiran-jiran turut berusaha membantu memadamkan api dengan menyembur air dari paip bagi mengelakkan kebakaran terus merebak.

"Disebabkan terlalu panas, dua rumah jiran turut terbakar di bahagian bumbung akibat disambar api," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Kulim, Mohd Khairul Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 4.35 petang.

Menurutnya, setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati api sedang marak melibatkan tiga rumah teres.

"Operasi memadam kebakaran tamat kira-kira jam 5.15 petang.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku. Rumah pertama musnah terbakar hampir 80 peratus manakala dua lagi rumah terbakar 10 dan 30 peratus," katanya.

Banjir kelima dalam sebulan


MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
Banjir kelima dalam sebulan
Banjir kelima dalam sebulan Air Sungai Ketil naik mendadak selepas hujan mengakibatkan banjir di tiga kampung.
17 NOVEMBER 2015


ALOR SETAR – Seramai 135 penduduk daripada 38 keluarga di tiga kampung sekitar Baling terpaksa dipindahkan lagi akibat banjir, kelmarin.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, antara kampung yang terlibat ialah Kampung Seri Ketengga, Kampung Baru 60 dan Kampung Tanjung Pari.

“Semua mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir kira-kira jam 7.30 malam (kelmarin).

“Buat masa ini, semua mangsa masih belum dibenarkan pulang kerana keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan setakat jam 3 petang semalam masih kekal 135 orang dan tiada pertambahan.

Difahamkan, kejadian itu bermula apabila hujan lebat pada jam 3.30 petang kelmarin sebelum air mula naik beberapa jam kemudian.

Ini merupakan kejadian banjir kelima dalam tempoh sebulan bagi penduduk di Baling.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan semua pusat pemindahan banjir di daerah itu ditutup sepenuhnya pada 12 November kira-kira jam 2 petang selepas cuaca kembali cerah dan air Sungai Ketil kembali pada paras normal.

Ibu pembunuh

Frankfurt: Seorang wanita berusia 45 tahun yang ditahan selepas mayat lapan bayi ditemui dalam sebuah apartmen di Jerman mengaku terbabit melakukan pembunuhan.
Polis di Bavaria berkata, wanita itu yang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki membunuh bayi terbabit mengaku sehari kemudian dia ibu mereka dan membunuh beberapa anaknya, lapor agensi berita dpa.
Polis berkata, kekasih wanita itu berusia 55 tahun yang juga ditangkap pada hari sama sudah dibebaskan.
Siasatan masih dijalankan dan bedah siasat akan dibuat terhadap bayi berkenaan.
Polis di pekan Wallenfels dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang bayi di dalam apartmen itu oleh seorang penduduk di situ Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:40 AM




SEORANG wanita menyalakan lilin untuk memperingati lapan bayi yang ditemui mati dalam kediaman mereka di bangunan berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93578#sthash.1g1CW7US.dpuf

RM700 satu kepala

Kuala Lumpur: Ambil upah RM700 bagi setiap ‘kepala’. Itu aktiviti dilakukan sindiket penyeludupan manusia yang dikesan menggunakan bot nelayan untuk membawa keluar warga asing dari negara ini.
Sindiket dikesan menggunakan laluan haram sekitar perairan laut di Sungai Besar, Sabak Bernam, untuk menyeludup pelanggan ke Sumatera, Indonesia.
Sindiket dipercayai didalangi warga Indonesia dan tempatan yang mengenakan bayaran RM600 hingga RM700 bagi setiap pelanggan yang menggunakan khidmat mereka.
Sumber polis berkata, siasatan pihaknya mendapati kebanyakan pelanggan sindiket itu adalah individu yang masuk ke Malaysia secara haram selain tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Kebiasaan individu yang mahu pulang ke Indonesia akan memaklumkan kepada anggota sindiket beberapa hari awal sebelum perjalanan pulang bagi memudahkan bot disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:42 AM


ANTARA PATI yang ditahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93584#sthash.ErVkikqr.dpuf

Kerani dibunuh, anak baru 11 bulan

Johor Bahru: Cahaya mata lelakinya baru berusia empat bulan dan pastinya kini belum mengerti ibunya sudah tiada, dibunuh manusia bertopengkan syaitan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam, kerani Sekolah Agama Sungai Raya di Bukit Pasir, Muar dekat sini, Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, dipercayai dirogol sebelum dibunuh di rumahnya di Sungai Terap.
Mayatnya ditemui polis terbaring dalam keadaan separuh bogel di depan pintu bilik selepas polis membuat pemeriksaan sejurus aduan jiran mangsa yang mengesyaki sesuatu apabila mangsa tidak keluar rumah, kira-kira 7 malam.
Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati enjin kereta dipercayai milik mangsa tidak dimatikan, manakala pintu kereta bahagian pemandu terbuka.
Mangsa dipercayai dijerut sehingga mati dan dipercayai turut dirogol dan barangan berharga milik mangsa termasuk dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit didapati hilang.
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa belum disahkan dirogol.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 10:14 AM


Suasana di tempat kejadian kerani di bunuh di Sungai Terap, Muar, semalam. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93673#sthash.645GBULt.dpuf

Kes bunuh kerani: Enam suspek Nepal ditahan

Muar: Polis Muar menahan enam lelaki Nepal berusia 25 hingga 43 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh dan rompak kerani Sekolah Agama Sungai Raya di Sungai Terap di sini, petang semalam.
Ketua Polis daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5 petang semalam, beberapa anggota polis bergegas ke lokasi.
Katanya, apabila tiba pihaknya menemui seorang wanita terbaring dengan kesan jerutan di leher di depan bilik utama rumah itu.
"Berikutan itu, kami menubuhkan satu pasukan khas bagi menjejak penjenayah berkenaan.
"Pada masa sama, kami menahan enam lelaki warga Nepal berusia 25 hingga 43 tahun yang bekerja di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, hari ini.
Berita berkaitan
> Kerani dibunuh, anak baru 11 bulan: http://bit.ly/1ONUnR5
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 4:11 PM

AZMAN Ayob (tengah) mengulas mengenai kes pembunuhan kerani Sekolah Agama Sungai Raya. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Tidak mengaku ugut bunuh isteri

Balik Pulau: Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mengugut mahu membunuh isterinya dan rakan wanita terbabit, semalam.
Tertuduh, Abdul Rahim Che Roos, 48, dituduh melakukan ugutan itu terhadap Nor'Azah Ismail, 51, dan Rozita Saaid, 30, di Mahkamah Syariah Balik Pulau.
Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dan 21 November ini sebagai sebutan semula kes.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Mahadi
Kejadian berlaku 9.30 pagi semalam di Balik Pulau ketika tertuduh serta isterinya berada di Mahkamah Syariah dan Rahim berang kerana isterinya menuntut cerai.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 4:24 PM

TERTUDUH (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau. FOTO Hadzlihady Hassan

Putri Mardiana, pasangan mengaku salah khalwat




Oleh Maria Uffa Zulkafeli


Putri Mardiana Zainal Abidin
KUALA LUMPUR: Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin, 34, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat, tahun lalu.
Turut didenda ialah pasangannya, Shahrizam Abdullah, 31, selepas mengaku salah atas tuduhan sama.
Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tujuh hari sekiranya mereka gagal membayar denda.
Pasangan itu membayar denda berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di premis kediaman beralamat C-05-08 Jalan UP 1/1D Jalan Ukay Perdana, Hulu Klang pada jam 3.03 pagi, 14 Disember 2014.

TNB buat siasatan remaja maut kena renjatan

SEREMBAN: Tenaga Nasional Bhd (TNB) masih menjalankan siasatan teknikal berhubung kejadian seorang remaja maut dipercayai terkena renjatan elektrik berhampiran gelanggang bola keranjang di Taman Desa Melati 2, Nilai pada Jumaat lalu.
Pengurus Besar TNB Negeri Sembilan, Ahmad Fuad Kassim berkata hasil siasatan dijangka akan diperoleh dalam masa seminggu.
"Buat masa sekarang, pihak kami akan meletakkan tanda halangan supaya penduduk di sekitar kawasan tersebut tidak lagi melalui jalan itu.
"Ini kerana tempat berlakunya kejadian pada asalnya adalah lintasan kabel untuk paip TNB, tetapi penduduk sekitar menggunakan ia sebagai laluan pintas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ahmad Fuad berkata pihaknya juga masih menunggu laporan bedah siasat mangsa bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Iman Danish Mohd Sazali, 16, maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melalui jalan pintas di satu kawasan berhampiran substesen TNB, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bermain bola keranjang di gelanggang berdekatan.
-- BERNAMA
TEMPAT kejadian di mana seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik berhampiran gelanggang bola keranjang di Taman Desa Melati 2 Jumaat lalu. - Foto BERNAMA

Sebanyak RM5.6 juta kompaun dikenakan terhadap lori bauksit

MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob membentangkan Bajet 2016 bagi negeri Pahang pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Sebanyak RM5.6 juta nilai kompaun dikeluarkan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap lori mengangkut bauksit yang didapati melanggar pelbagai peraturan dalam tempoh sejak akhir tahun lepas sehingga awal bulan ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 104,537 lori diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 5,028 lori dan 20 jengkaut disita dan dikenakan kompaun.
Menurutnya, antara agensi terbabit ialah Pejabat Tanah dan Galian yang menyita 213 lori, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (dua lori disita), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) (628 lori dikompaun) dan Majlis Perbandaran Kuantan (577 lori disita).
"Memang ada tindakan penguatkuasaan, tetapi tidak mencukupi dan ada kelemahan di sana sini. Pihak berkuasa pernah cuba menjalankan penguatkuasaan 24 jam selama dua bulan dan dalam tempoh itu kita nampak memang ada pengurangan (pencemaran dan pelanggaran undang-undang).
"Namun selepas operasi terhenti, keadaan jadi macam biasa semula seperti sebelum operasi dilakukan," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Adnan berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) mengenai syarikat pengeluaran mineral yang tidak mengikut peraturan sehingga berlaku pencemaran selain bilangan syarikat yang masih menjalankan perlombongan bijih besi.
Katanya, kelemahan dalam beberapa hal tertentu termasuk penguatkuasaan menyebabkan lori bauksit tidak pernah serik untuk melakukan kesalahan.
"Ada lori yang telah mempunyai banyak saman, namun walaupun tidak membayar saman ini, mereka masih lagi dapat memperbaharui cukai jalan, ini menampakkan sedikit sebanyak ada kelonggaran daripada aspek penguatkuasaan," katanya.
Adnan berkata, dalam masa yang sama, kerajaan negeri ini berusaha mencari satu mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah pencemaran habuk di jalan raya akibat kegiatan pengangkutan bahan mineral itu serta kaedah rawatan air sebelum ia disalurkan ke sungai-sungai berhampiran.
Sementara itu, katanya, setakat ini sebanyak lima syarikat masih menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi di negeri ini dengan membabitkan kawasan seluas 250 hektar.
- BERNAMA

Pecah Rumah, Empat Warga Colombia Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 1:50 PM
Antara barang yang ditemui semasa tangkapan tersebut.

SHAH ALAM: Empat warga Colombia ditahan berkaitan beberapa kes pecah rumah di Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata keempat-empat suspek berusia antara 30 dan 34 tahun itu ditahan di Seri Putramas, Jalan Kuching di sini kira-kira pukul 11 malam, 8 November lalu.
Beberapa peralatan untuk kegiatan pecah rumah, pasport, telefon bimbit, sarung tangan, kamera dan beg tangan turut dijumpai di rumah sewa itu.
"Kesemua suspek dikesan selepas kita menahan tiga rakan mereka pada 2 November lalu," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Mohd Adnan berkata tiga suspek mempunyai pasport manakala seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Kami masih cuba untuk menentukan sama ada pasport tersebut tulen tetapi kami percaya ia palsu," katanya.

Lima Lelaki Ditahan Disyaki Terbabit Kumpulan Pengganas - KPN


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 8:18 PM
Anggota polis menahan suspek berusia 30 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas 'Imam Mahdi' di Puchong.

KUALA LUMPUR: Lima lelaki disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas ditahan di Johor dan Selangor pada 9 November dan 13 November lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya kesemua suspek berumur lingkungan antara 22 hingga 40 tahun itu ditahan menerusi dua operasi khas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, selepas disyaki cuba menyertai kumpulan militan I.S di Syria, dan mahu melakukan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang.

Khalid berkata tiga daripada suspek disyaki terbabit dengan kumpulan militan I.S. manakala dua lagi dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas 'Imam Mahdi'.

"Empat daripada mereka merupakan warga tempatan dan seorang warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua suspek - warga Indonesia, 22, yang bekerja sebagai penyelia dan pembantu farmasi Kementerian Kesihatan, 22, juga dipercayai merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan I.S.

Khalid berkata kedua-dua suspek itu pernah ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, Johor dan disiasat di bawah Akta Imigresen.

Dua lagi rakyat tempatan berumur 28 dan 30 tahun ditahan di Selangor kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Imam Mahdi.

"Suspek berusia 28 tahun itu disyaki merancang untuk melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan membunuh mana-mana pihak termasuk ahli keluarga mereka sendiri yang cuba menentang perjuangan mereka.

"Suspek yang berusia 30 tahun bekerja sebagai penjual air merupakan bekas anggota sel Al-Ghuraba iaitu kumpulan Jemaah Islamiah yang pernah ditangkap pada tahun 2003 di Karachi, Pakistan," katanya.

Khalid berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan saki-baki anggota kumpulan itu.

Khlaid berkata, kesemua anggota kumpulan itu menggunakan Facebook untuk berinteraksi.

Suspek kelima yang berumur 40 tahun berasal dari Petaling Jaya merupakan bekas pegawai kanan di Felda Global Ventures dan telah menamatkan perkhidmatan di bawah Skim Pemberhentian Secara Sukarela pada Ogos tahun ini.

"Suspek berlepas ke Turki pada 21 Okt lepas untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai militan I.S.

"Urusan pemergian suspek ke Syria diatur seorang warga Somalia yang dikenali melalui Twitter dan telah ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada 25 Okt lepas bersama dengan sembilan warga asing dari etnik Uighur, Morocco dan Rusia sebelum diusir balik ke Malaysia," katanya.

Khalid berkata kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawab bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Penduduk JB, KL Dan Selangor Panik Akibat Banjir Kilat


Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 11:57 AM

KUALA LUMPUR: Suasana panik menyelubungi beberapa kawasan utama di Lembah Klang dan di Johor selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat pada Isnin.
Pengguna jalan raya terperangkap dan terkandas selama beberapa jam apabila jalan utama di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Johor Baru dinaiki air selepas hujan lebat pada petang itu.
Beberapa kenderaan turut tenggelami air manakala perkhidmatan komuter KTM Bhd dibatalkan selepas laluan ke stesen Batu Tiga  dinaiki air beberapa jam.
Satu kejadian tanah runtuh turut berlaku berdekatan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur dan Bulatan Kewajipan di Subang Jaya.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata tanah runtuh berlaku sekitar 1.30 petang apabila terdapat gelongsoran tanah di kawasan cerun itu.
"Tiada yang cedera dalam kejadian itu," katanya.
Tambah Azizan cerun itu sedang dipantau jika berlaku pergerakan tanah.
Kejadian tanah runtuh di Bulatan Kewajipan di Subang Jaya menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 4 kilometer di Lebuhraya Kesas dari pukul 3 petang.
Penyampai berita trafik Kumpulan Radio The Star Priscilla Patrick berkata kesesakan berlaku disebabkan oleh orang ramai yang mahu melihat kejadian itu.
"Lagi kesesakan trafik berlaku di Seksyen 13 Shah Alam apabila banjir kilat menyebabkan kesesakan sepanjang 5 kilometer dari pukul 4.30 petang," ujarnya.
Banjir kilat turut dilaporkan di Persiaran Surian, Petaling Jaya, Jalan Kinabalu berdekatan Masjid Negara dan Jalan Sultan Salahudin berdekatan Bank Negara.
Banjir kembali surut beberapa jam kemudian.
Stesen radio itu turut melaporkan kenderaan di susur keluar Shah Alam sesak dari Setia Alam selepas lebuh raya itu banjir.
Banjir kilat dilaporkan di Seksyen 13, Seksyen 9, U8 dan Batu 3 di Shah Alam menyebabkan kesesakan trafik di sepanjang Persiaran Sukan, Persiaran Hishamuddin dan Persiaran Kayangan.
Pada pukul 5 petang, plaza tol Shah Alam di Bukit Jelutong yang menghala ke lebuhraya NKVE terpaksa ditutup disebabkan banjir.
Kenderaan dilihat bergerak perlahan untuk sampai di plaza tol berkenaan sementara penduduk di Bukit Jelutong bersiap sedia untuk kemungkinan banjir.
Trafik sepanjang Lebuhraya Guthrie sesak dari Bukit Jelutong ke Kawasan Perindustrian Batu 3.
Longkang di SS14 Subang Jaya tidak dapat menampung hujan yang tidak henti-henti dan menyebabkan limpahan ke jalan-jalan dan stesen minyak berdekatan.
Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya Ken Chia mendakwa mendapat banyak mesej daripada penduduk yang prihatin dengan kenaikan paras air.
Beliau kemudian memasukkan beberapa gambar dalam Facebook berkata penduduk meminta untuk Majlis Perbandaran Subang Jaya untuk mengambil tindakan.
Untuk laporan trafik, layari fb.startraffic.my atau @mytraffic di Twitter atau www.startraffic.my.
Di Johor Baru, beberapa jalan utama di bandar terputus hubungan, polis berkata banjir meningkat setinggi 1.5 meter di beberapa kawasan apabila banjir berlaku selepas 1.30 petang berikutan hujan lebat.
Di Kuching, seramai 400 penduduk Kampung Peninjau Baru di Bau terperangkap lebih dari dua jam apabila kampung mereka banjir selepas Sungai Sarawak melimpah pada pukul 2 petang.
Walau bagaimanapun, tiada penduduk yang dipindahkan selepas banjir surut beberapa jam kemudian.

Kerani Sekolah Agama Di Muar Dirogol Dan Dibunuh


Diterbitkan: Selasa, 17 November 2015 12:09 PM
Nurul Shahira

MUAR: Seorang kerani sekolah agama di Bukit Pasir dipercayai telah dirogol dan dibunuh di rumahnya di Sungai Terap di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6 petang di rumahnya di Taman Setia Kasih.

Azman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, ditemui mati terbaring dekat bilik tidurnya di rumahnya di Taman Setia Kasih di sini.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dan terdapat juga kesan darah dan kunci rumah berhampiran mayatnya.

"Barang-barang kepunyaan mangsa seperti beg tangan, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri juga telah hilang," katanya dalam satu kenyataan media.

Sanggup bunuh darah daging

Kuala Lumpur: Tergamak membunuh ahli keluarga sendiri sekiranya mereka didapati menentang perjuangan kumpulan pengganas ‘Imam Mahdi’.
Itu antara ideologi dipegang dua lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun yang berjaya diberkas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor antara 9 hingga 13 November lalu.
Suspek yang bekerja sebagai penjual air soya disyaki cuba melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, salah seorang suspek berusia 30 tahun itu pernah ditahan di Karachi, Pakistan pada 2003 dan difahamkan pernah menganggotai kumpulan Sel Al Ghuraba, Jemaah Islamiah.
Menurutnya, polis masih memburu saki baki kumpulan itu dan mereka dikesan berinteraksi menggunakan laman sosial Facebook (FB).
“Pihak polis turut berjaya menahan tiga individu membabitkan seorang warga Indonesia yang disyaki menyertai dua kumpulan pengganas Militan Islam (IS) dalam operasi sama berkenaan.
“Salah seorang suspek yang ditahan di Johor berusia 22 tahun bekerja sebagai penyelia kantin farmasi kementerian Kesihatan Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. Lelaki itu dikesan merancang berlepas ke Syiria bagi menyertai kumpulan pengganas IS,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi suspek warganegara Indonesia bekerja sebagai pembantu kantin di farmasi sama.
“Kedua-dua mereka sebelum ini pernah ditangkap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang mengikut Akta Imigresen,” katanya.
Khalid berkata, suspek kelima ditahan berusia 40 tahun dan dikenal pasti sebagai bekas pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Lelaki itu bersara secara sukarela pada Ogos 2015. Suspek pernah ditahan pihak berkuasa Turki bersama etnik Uighur, Morrocco dan Russia sebelum diusir balik ke Malaysia 25 Oktober lalu.
“Suspek ditahan mengikut Bab VIA- Kesalahan Berkaitan Keganasan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:12 AM


SEBAHAGIAN suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan keganasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93568#sthash.dpImwibf.dpuf

'Toyol gemuk' lembik ditibai

Kajang: Seorang penjenayah ‘toyol gemuk’ dibelasah orang ramai hingga lembik dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas didapati memecah masuk rumah.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, suspek bersama seorang lagi rakannya menceroboh masuk rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras, di sini.
Sumber polis berkata, kegiatan suspek disedari jiran mangsa yang menyedari kelibat suspek cuba melarikan diri.
“Beberapa penduduk mengejar suspek dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka.
“Orang awam yang geram dengan perbuatan lelaki itu terus membelasahnya sehingga lembik, selain menyebabkan kecederaan di kepala,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi rakan suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta.
“Suspek dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapat rawatan lanjut.
“Suspek berusia 39 tahun itu bagaimanapun dilaporkan stabil dan ditahan untuk siasatan lanjut, “katanya.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas badan suspek tidak menemui barang kes.
“Bagaimanapun, rakan suspek yang terlepas dalam kejadian itu berjaya melarikan wang tunai RM5,000 dari rumah mangsa.
“Gerakan memburu suspek giat dijalankan dan polis yakin berjaya menahannya dalam masa terdekat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:14 AM


SUSPEK yang cedera selepas dibelasah orang ramai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93570#sthash.herdGdfB.dpuf

Dikelar penyamun berkali-kali

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bukan hanya disamun malah turut dikelar penjenayah menggunakan pisau hingga parah.
Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, mangsa berusia 30 tahun diserang penjenayah berhampiran Jalan Bangsar, di sini.
Sumber berkata, mangsa dikatakan berjalan bersendirian sebelum dihampiri suspek yang menunggang motosikal.
Menurutnya, suspek pura-pura bertanya jalan daripada mangsa sebelum mengacukan pisau.
“Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan wang dan barangan berharga dibawa ketika itu.
“Mangsa cuba melarikan diri sebelum dikejar suspek yang turut mengelar badannya beberapa kali,” katanya.
Dia berkata, mangsa lari menyelamatkan diri sejauh hampir 100 meter sebelum rebah tidak sedarkan diri.
“Suspek dipercayai sempat melarikan barang berharga milik mangsa. Orang ramai yang menyedari kejadian itu menghubungi pihak polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kuala Lumpur.
“Mangsa yang cedera di dada, leher, tangan dan belakang badan akibat dikelar diberi bantuan kecemasan oleh anggota perubatan JPAM,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:20 AM


MANGSA yang diserang diberi rawatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93572#sthash.m8whUkpQ.dpuf

Sebahagian Jakarta dinaiki air

Jakarta: Sebahagian kawasan di sekitar bandar raya ini, khususnya berhampiran Sungai Ciliwung dinaiki air, berpunca daripada hujan lebat yang melanda Bogor, Jawa Barat kelmarin.
Sehubungan itu, pihak berkuasa berkata, mereka menaikkan status berjaga-jaga di kawasan berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, walaupun banjir berlaku tidak lama, tetapi sampah yang ditinggalkan begitu banyak.
Jurucakap pihak berkuasa Jakarta, Irwan berkata, lautan sampah itu termasuk kayu, bangkai haiwan dan perabot lama menyebabkan Sungai Ciliwung tersumbat.
Katanya, pihaknya mungkin mengambil masa dua hari untuk membersihkan sampah berkenaan bagi mengelakkan banjir lebih buruk berlaku pada musim hujan ini. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:13 AM


SEKUMPULAN pelajar berselfie di depan sekolah mereka di Jakarta yang dinaiki air, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93596#sthash.vGHYp77w.dpuf