Search This Blog

Monday, November 16, 2015

Ambulans bawa pesakit terlibat kemalangan maut


NOR AZURA MD AMIN
Ambulans bawa pesakit terlibat kemalangan maut

15 NOVEMBER 2015
Ambulans bawa pesakit terlibat kemalangan maut Keadaan ambulans dan mangsa kemalangan.

PONTIAN - Seorang buruh binaan maut, selepas motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan dengan sebuah ambulans di kilometer 6.5 Jalan Pontian - Kukup berdekatan dengan Rambah.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, ambulans berkenaan dalam perjalanan ke Hospital Pontian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari, tadi.

Dalam kejadian itu, ambulans K‎linik Kesihatan Serkat yang membawa seorang pesakit berusia 48 tahun dipercayai  hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motorsikal dari arah bertentangan.

"Ambulans yang turut membawa isteri pesakit dan seorang pegawai perubatan itu telah terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan. ‎

"Penunggang motosikal yang merupakan warga Indonesia, Jang Saputra, 45, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pesakit yang berada di dalam ambulan terbabit kini ditahan di wad, manakala pemandu ambulans dan Pegawai perubatan cedera ringan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Jelasnya, ketika kemalangan berlaku keadaan cuaca hujan renyai‎.

"Pihak polis masih lagi melakukan siasatan dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Lelaki cedera parah akibat ditembak



Mohd Roji Kawi

MIRI: Seorang lelaki cedera parah selepas ditembak dengan senapang angin oleh individu tidak dikenali di Kampung Senadin, di sini, pagi tadi. 
Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, suspek dikatakan melepaskan dua das tembakan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan lengan kiri. 
Berikutan kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun yang menerima rawatan di Hospital Miri, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.  
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Junaidi Bujang berkata, selepas terkena tembakan, mangsa sempat melarikan diri ke rumah sepupunya yang berusia 39 tahun untuk mendapatkan bantuan. 
Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, sepupu perempuan mangsa mendakwa tidak mengetahui punca kejadian sebenar namun tidak menolak kemungkinan disebabkan masalah hutang. 
"Wanita itu turut menjelaskan tidak mendengar bunyi tembakan namun terkejut apabila ternampak mangsa cedera serta dalam ketakutan ketika ditemui di ruang dapur rumahnya," katanya. 
Berikutan itu, empat lelaki berusia 24 hingga 45 tahun kini ditahan untuk untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Wanita Patah Betis Dihempap Pokok


Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 4:53 PM
Anggota Bomba dan Penyelamat dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memberikan rawatan kecemasan awal kepada seorang wanita yang cedera. Wanita itu Leong Chai Yoke, 44, patah paha kiri setelah dihempap pokok tumbang ketika berjoging di Bukit Ayer Hitam dekat Taman Wawasan, Puchong, Ahad. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 44 tahun patah betis kiri akibat dihempap pokok ketika mendaki di Bukit Ayer Hitam, Puchong  pagi Ahad.

Pegawai Kanan 2 Bomba dan Penyelamat Kepong, Husain Hasan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada kira-kira pukul 11.26 pagi.

"Selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, sepasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan kerja-kerja menyelamat dimulakan.

"Keadaan tanah yang basah serta licin akibat hujan semalam telah menyukarkan kerja menyelamat sementara pihak bomba turut memotong pokok yang menghempap mangsa dengan menggunakan gergaji," katanya kepada Bernama.

Husain berkata mangsa yang dikenali Leong Choi Yoke berjaya diselamatkan dan dibawa turun mengunakan pengusung pada pukul 1.32 tengah hari oleh pasukan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Menurut Husain, bukit berkenaan selalu menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem untuk mendaki pada hujung minggu.

"Kebanyakan daripada pendaki tempatan turut menjalani latihan sebagai persiapan di Bukit Ayer Hitam sebelum mereka mendaki di luar negara," katanya.

Dua Kenderaan Terperangkap Dalam Banjir Kilat Di Ibu Kota


Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 7:38 PM
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Dua buah kenderaan dilapor terperangkap dalam banjir kilat di ibu negara akibat hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi di Jalan Semantan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata seramai lima anggota ditugaskan ke lokasi kejadian setelah pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.53 petang.

"Bagaimanapun jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan banjir akibat kesesakan lalu lintas dan memaksa anggotanya berjalan kaki ke lokasi tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setiba di lokasi, anggota bomba dan penyelamat mendapati terdapat dua buah kenderaan terperangkap dalam banjir, namun tiada mangsa dalam kenderaan tersebut.

Katanya siasatan awal mendapati longkang di kawasan terbabit tersumbat dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Azizan berkata operasi seterusnya diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menarik kereta terbabit.


Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata sehingga pukul 6.30 petang ini, trafik bergerak perlahan di kawasan tersebut.

Pesawat Ringan Terhempas Di Pulau Pangkor, Empat Mangsa Terselamat


Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 3:09 PM

IPOH: Sebuah pesawat ringan dipercayai jenis Piper PA-32 yang membawa empat penumpang termasuk seorang wanita terhempas di tepi pantai  Kampung Tersusun, Teluk Dalam, Pulau Pangkor, Ahad.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Hisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 1.27 tengah hari tadi.
Beliau berkata kesemua mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor untuk menerima rawatan lanjut.
"Status kecederaan mereka masih dalam siasatan. Pesawat yang dinaiki mangsa adalah pesawat persendirian," katanya ketika dihubungi Ahad.

Empat Parah Bas Rombongan Pelajar Kemalangan Di LTP2


Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 11:00 AM

KEMAMAN: Tiga pelajar dan seorang pemandu bas parah selepas bas yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 292.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini awal pagi Ahad.
Dalam insiden kira-kira pukul 2.15 pagi itu, bas persiaran dua tingkat yang membawa 54 pelajar dan tujuh guru pengiring dari Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram, Kuala Selangor dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supritendan Mohd Said Ibrahim berkata, bas tersebut telah melanggar belakang sebuah treler yang membawa muatan kayu dan papan.
"Siasatan awal mendapati rombongan bas sekolah berkenaan ingin berkunjung ke Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) Kuala Terengganu untuk mengadakan lawatan sambil belajar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala penumpang lain hanya cedera ringan termasuk pemandu lori dan mendapat rawatan pesakit luar.-- Bernama

60 Rumah Di Puncak Alam Dinaiki Air


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 8:28 AM

SHAH ALAM: Kira-kira 60 buah rumah di Taman Lautan Samudera, Puncak Alam dekat sini dinaiki air setinggi satu meter berikutan hujan lebat sejak petang Ahad.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan daripada penduduk setempat berhubung kejadian itu kira-kira 8.25 malam Ahad.
"Buat masa ini kerja-kerja memindahkan mangsa menggunakan bot sedang giat dijalankan dan kesemua mangsa kini di tempatkan di Surau Al Zaharah Puncak Alam," katanya.
Beliau berkata laluan berhampiran pasar raya Econsave Puncak Alam yang turut dilanda banjir kilat, telah beransur pulih.
Katanya sebanyak 11 anggota bomba dan penyelamat daripada tiga balai bomba dan penyelamat terlibat dalam operasi berkenaan. - BERNAMA

Pecah Rumah, Empat Warga Colombia Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 1:50 PM
Antara barang yang ditemui semasa tangkapan tersebut.

SHAH ALAM: Empat warga Colombia ditahan berkaitan beberapa kes pecah rumah di Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata keempat-empat suspek berusia antara 30 dan 34 tahun itu ditahan di Seri Putramas, Jalan Kuching di sini kira-kira pukul 11 malam, 8 November lalu.
Beberapa peralatan untuk kegiatan pecah rumah, pasport, telefon bimbit, sarung tangan, kamera dan beg tangan turut dijumpai di rumah sewa itu.
"Kesemua suspek dikesan selepas kita menahan tiga rakan mereka pada 2 November lalu," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Mohd Adnan berkata tiga suspek mempunyai pasport manakala seorang lagi tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Kami masih cuba untuk menentukan sama ada pasport tersebut tulen tetapi kami percaya ia palsu," katanya.

Pemandu Lori Terlibat Kes Bunuh Dipercayai Ada Masalah Mental


Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 7:38 PM
Pemandu lori (tengah) dipercayai mempunyai masalah mental.

IPOH: Pemandu lori berumur 35 tahun yang ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Jalan Kampung Batu 4, Slim River pada Jumaat dipercayai mempunyai masalah mental.

Namun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Goh Kok Liang berkata polis sedang menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk suspek dan mangsa dikatakan bergaduh sebelum dibunuh.

"Setakat ini tiada suspek lain yang terlibat dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Mayat K. Ganesan, 50, beralamat terakhir di 136, Taman Slim Indah, Slim River ditemukan dalam keadaan tanpa kepala pada 2.10 pagi semalam.   

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan pemandu lori berkenaan di rumah bapanya di sebuah kampung di Gerik, petang Jumaat dan menemukan parang panjang kira-kira 0.8 meter dan satu beg silang mengandungi pisau 0.15 meter.   

Selain itu, polis turut menjumpai guni plastik makanan anjing berwarna merah serta kuning dan di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam mengandungi kepala manusia yang disyaki kepala mangsa.

Ibu Mahu Pembunuh Dikenakan Hukuman Setimpal


Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 6:25 PM
Pemandu lori (kiri) ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret pada Sabtu bagi membantu siasatan kes pembunuhan susulan penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala di dalam longkang di Jalan Kampung Batu 4, Slim River, Jumaat. Foto: Bernama

SLIM RIVER: R. Perima, 75, ibu kepada mangsa yang ditemui mati tanpa kepala di dalam longkang di Jalan Kampung Batu 4 di sini pada Jumaat mahu hukuman setimpal dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Perima berkata K. Ganesan, 50, yang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik itu seorang anak yang baik dan tidak suka bergaduh.

"Kenapa buat anak saya macam tu. Dia (Ganesan) tidak suka kacau orang, dia pun tak ada duit, tak ada apa.

"Polis ada bagi tahu saya suspek telah ditangkap, saya mahu jumpa suspek itu, saya mahu pukul dia, saya mahu dia dikenakan hukuman yang setimpal,"katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Slim Indah, Sabtu.

Beliau terkejut dan sedih selepas menerima berita kematian Ganesan daripada anggota polis yang datang ke rumahnya kira-kira 5.30 pagi Jumaat.

"Saya sedih bila dapat tahu dia dibunuh. Saya dah lama tak jumpa anak saya kerana dia bekerja di sebuah bengkel di Slim River dan tinggal di situ. Dia tidak ada hubungi saya.

"Kali terakhir jumpa ketika dia pulang ke rumah dua bulan lepas tetapi dia tidak tidur di rumah," katanya dalam nada sebak.

Perima berkata Ganesan baru dua bulan tinggal dan bekerja di sini (Slim River) kerana sebelum ini dia tinggal di Raub, Pahang bersama isteri serta sepasang anaknya berumur 20 tahun dan 22 tahun.

"Dia bekerja dan tinggal di sini kerana  bergaduh dengan isterinya di sana (Raub). Isteri dan anaknya tahu tentang berita kematian ini dan akan datang ke sini Isnin ini," katanya sambil menambah menantunya mahu mayatnya Ganesan disemadikan di Raub.

Ibu tunggal itu berkata pihak hospital tidak membenarkan beliau serta empat anaknya melihat mayat Ganesan dan meminta mereka untuk datang semula ke hospital pada Isnin ini.

Ganesan ditemukan dalam keadaan tanpa kepala pada 2.10 pagi Jumaat.    

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan seorang pemandu lori di rumah bapanya di sebuah kampung di Gerik, petang Jumaat dan menemukan sebilah parang panjang kira-kira 0.8 meter dan satu beg silang mengandungi sebilah pisau panjang kira-kira 0.15 meter.     

Selain itu, polis turut menemukan satu guni plastik makanan anjing berwarna merah dan kuning dan di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam mengandungi kepala manusia yang disyaki kepala mangsa.

Tiga Individu Dipercayai Letupkan Mesin ATM


Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 3:44 PM
atm

KUALA LUMPUR: Tiga individu merupakan suspek utama dalam kejadian meletupkan dua buah mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 pagi itu disedari anggota polis peronda yang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ketiga-tiga suspek yang memakai topeng muka dipercayai telah menggunakan dua butir bom buatan sendiri untuk meletupkan kedua-dua mesin ATM itu.
"(Rakaman CCTV turut menunjukkan) suspek melarikan diri menggunakan sebuah MPV bewarna gelap," katanya.
Ali berkata hasil siasatan mendapati sebanyak RM160,000 dilarikan dan letupan turut mengakibatkan pintu cermin premis bank pecah.
Namun sebuah mesin pendeposit wang tidak terjejas, katanya.

"Norieen Sangka Adik Tidur"


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 8:00 AM

GUA MUSANG: Tubuh adiknya, Haikal Yaakob, yang terkulai layu cuba diangkat kerana disangka masih bernyawa.
Demi kasih dan sayang seorang kakak, Norieen Yaakob, 10, masih menaruh harapan kemungkinan adiknya yang berusia lapan tahun itu hanya tertidur kerana letih akibat kebuluran.
Walaupun dengan kudrat yang terbatas, Norieen bersama seorang lagi rakannya yang terselamat, Miksudiar Aluj, 11, cuba menarik mayat Haikal naik ke kawasan yang lebih tinggi.
Juhi Angah
“Norieen turun dengan Miksudiar nak angkat. Mereka ingat Haikal hidup lagi... ingat Haikal tidur.
“Dia kejutkan Haikal, cuba nak angkat naik ke pokok besar. Tapi mereka tak berjaya. Mereka naik semula ke akar pokok. Namun keesokan hari mereka tengok mayat Haikal dah hanyut,” demikian menurut Juhi Angah, ibu saudara Norieen.
Kepada Juhi pengalaman hitam itu diceritakan Norieen sedikit demi sedikit sejak dia dan Miksudiar diselamatkan pada 9 Oktober lalu.
Menurut Juhi, anak saudara itu mengalami perubahan emosi yang ketara selain masih trauma selepas melihat seorang demi seorang rakannya mati di depan mata.
“Kita tak boleh tanya dia, kalau dia nak cerita sendiri boleh. Kalau tanya dia akan menangis. Dia tak akan beritahu dan tak nak cakap pasal kejadian tu.
“Kalau dia nak cakap, dia akan beritahu sendiri. Sebelum ini dia ceria...happy. Tapi lepas kejadian itu ada perubahan,” katanya ketika ditemui secara eksklusif di Kampung Penad, Pos Tohoi di sini, baru-baru ini.
Kampung Penad terletak kira-kira 25 kilometer dari Pos Tohoi.
Kunjungan mStar Online bersama rakan wartawan daripada Kumpulan Media Star ke perkampungan Orang Asli itu pada Selasa minggu lalu bagaimanapun tidak disenangi Norieen dan ibunya, Midah Angah.
Bagaimanapun selepas tiga hari meluangkan masa mempelajari dan menyelami gaya hidup suku Temiar itu, Norieen dan ibunya mula mesra dan mudah didekati.
Norieen kembali ceria dan aktif bersama rakan-rakannya di kampung.
Cerita Juhi lagi, Norieen bersama adiknya, Haikal dan Miksudiar serta empat rakan mereka yang lain sentiasa bergerak dalam kumpulan sepanjang berada di hutan.
“Norieen ada cerita dia terpaksa mendukung Juvina sampai ke sungai kerana kakinya patah. Keadaan Ika juga sama, dia sakit di kaki dan tertusuk kayu di pipi.
“Mereka duduk berehat di akar pokok di mana pihak berkuasa jumpa Norieen dan Miksudiar. Haikal yang mati dahulu di situ.
“Sasa pula tergelincir ketika nak minum air di sungai. Juvina sebelum ini sudah ada bisul di kepala, dia mati kerana lapar dan sakit,” kata Juhi.
Ditanya mengenai keadaan Norieen selepas pulang ke rumah, Juhi berkata, kanak-kanak itu pernah bermimpi sambil memanggil nama Juvina.
“Norieen ada mimpi dan sebut nama Juvina. dia trauma sebab nampak mayat Juvina dimakan biawak,” kata Juhi sambil menambah bahawa kumpulan kanak-kanak hanya bertahan dengan memakan buah hutan dan air sungai.
Sementara bagi Midah, beliau masih tertanya-tanya mengenai misteri kehilangan anaknya itu sebelum dijumpai selepas 46 hari bertarung nyawa di dalam hutan.
“Norieen tahu jalan nak balik ke rumah. Tapi entah mengapa mereka ambil laluan yang bertentangan dan terus sesat kerana tak biasa dengan jalan yang mereka lalui itu,” katanya.
Bagi suku Temiar, mereka percaya Norieen masih didampingi ‘semangat jahat' walaupun kanak-kanak itu kini dilihat pulih secara fizikal.
Kunjungan kami ke sana juga sempat untuk menyaksikan acara ritual keagamaan yang dikenali sebagai sewang bagi memulihkan semangat Norieen selain bertujuan untuk memohon supaya kampung mereka dihindar daripada roh jahat.
Kami juga dibawa menziarahi tanah perkuburan penduduk Kampung Penad iaitu lokasi di mana empat lagi kanak-kanak lain disemadikan.
Menurut Midah, hingga kini dia tidak membenarkan Norieen menziarahi kubur adik dan rakan-rakannya sehingga anaknya itu pulih sepenuhnya.

Norieen, Miksudiar dan Haikal merupakan antara tujuh kanak-kanak Orang Asli daripada SK Tohoi dilaporkan hilang di hutan berhampiran sejak 23 Ogos lalu.

Empat yang lain ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7.

Bagaimanapun hingga kini operasi mencari Sasa masih diteruskan.

Johor Baru Dilanda Banjir Kilat, Trafik Perlahan


Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 3:47 PM

JOHOR BARU: Hujan lebat selama dua jam menyebabkan bandar kilat melanda pusat bandar raya ini.
Puluhan kereta terkandas ekoran banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 11 pagi Isnin.
Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Sultan Ibrahim di Danga Bay.
Kebanyakan tempat letak kereta di pusat bandar raya itu juga dinaiki air.
Pergerakan trafik masih lagi perlahan menuju ke pusat bandar raya.

Lelaki Indonesia Maut Bergaduh Di Ladang Buah


Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 11:54 PM
- Gambar hiasan

IPOH: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas bergaduh dengan seorang lagi lelaki warga Indonesia di kawasan Ladang Buah Coldstream, Bidor, dekat Tapah, petang tadi.

Polis menerima maklumat kejadian pada pukul 4.30 petang daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata mangsa berumur 37 tahun ditetak dengan sebilah parang oleh suspek angkara hubungan sulit antara mangsa dan isteri suspek yang berumur 31 tahun itu.

"Menurut keterangan suspek, mangsa merupakan abang saudaranya telah menjalinkan hubungan dengan isterinya sejak beberapa bulan yang lalu, suspek telah mendapat tahu kejadian tersebut dan telah marah dengan mangsa.

"Suspek mengambil sebilah parang dan telah menetak beberapa kali dan mengelar leher mangsa. Semasa kejadian isteri suspek turut melihat kejadian dan telah melarikan diri sejurus kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Som Sak berkata suspek telah melarikan diri bersama senjata digunakan sebelum ditahan seorang lelaki yang membawanya ke pondok polis Coldstream Bidor.

"Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak telah membantu siasatan di tempat kejadian. Suspek akan direman esok," kata beliau.

Kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Penolong Pegawai Veterinar didenda RM7,000

Johor Bahru: Penolong Pegawai Veterinar didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima cek bernilai RM12,500 berhubung program Pinjaman Induk Tanpa Faedah (PINTAF), dua tahun lalu.
Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zablina Bilmas, 43, mengaku bersalah dan turut memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Zablina didakwa menerima sekeping cek Bank Islam Berhad daripada Koperasi Kakitangan Veterinar Johor Berhad (KKVJB) yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasmi yang dijalankan koperasi terbabit dengan Pejabat Veterinar Daerah Segamat berhubung kerja membekal dan menghantar 50 lembu induk dalam negeri ini menerusi program PINTAF.
Tertuduh yang ketika itu bertugas di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Segamat didakwa melakukan perbuatan itu di Bank CIMB Cawangan Segamat, antara 9.30 pagi dan 4.30 petang, 30 Disember 2013.
Dia yang kini bertugas di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Johor Bahru dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 3:50 PM




Zablina didenda RM7,000. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93453#sthash.4WxEn683.dpuf

Bandar raya JB banjir kilat

Johor Bahru: Hujan lebat dan air pasang penuh menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru (JB) dilanda banjir kilat dengan air sedalam satu meter kira- kira 12.30 tengahari tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Johor Bahru Leftenan Muda (PA) Mohd Aziz Jupri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.39 tengah hari berhubung perkara berkenaan daripada orang awam dan menggerakkan dua aset bersama 10 anggota untuk tugas menyelamat.
"Berdasarkan maklumat awal daripada Pusat Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, punca banjir kilat disebabkan hujan lebat dan air pasang penuh yang berlaku serentak.
"Kami menghantar bantuan ke beberapa kawasan yang teruk terjejas iaitu di Jalan Wong Ah Fook dan berjaya mengeluarkan seorang wanita berusia 20-an yang terperangkap dalam keretanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Jalan Wong Ah Fook kira-kira 12.48 tengahari dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru bersama enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Aziz ke tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 2:57 PM


Keadaan kawasan yang ditenggelami air. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93446#sthash.8DklGTMQ.dpuf

Penjaga stor dijel 8 tahun

Kuala Lumpur: Seorang penjaga stor dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku salah atas pertuduhan membuat pakatan mempromosi keganasan di negara ini, April lalu.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hafifi Tarmizi, 25 dan memerintahkan hukuman itu bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 25 April lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohd Hafifi didakwa melakukan pakatan jenayah dan bersetuju untuk mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini, di Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat di sini, antara 7 malam 24 April dan 1 pagi 25 April lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Ridha Abdah Subri.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 3:33 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93451#sthash.KYAxRhLs.dpuf

Enam penyamun ditahan

Petaling Jaya: Enam penjenayah bersenjata yang aktif menyamun kenderaan di sekitar daerah ini ditahan dalam dua serbuan berasingan di Subang dan Puchong, Selasa dan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 22 hingga 37 tahun itu dikesan sering menyamun mangsa ketika mangsa keluar ke tempat kerja pada waktu pagi.
Katanya, suspek menggunakan parang dan tukul untuk menakutkan mangsa sebelum melarikan kereta mangsa.
"Tiga daripada suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Putra Damai, Subang. Susulan tangkapan itu, tiga lagi suspek ditahan di Puchong.
"Kami percaya dengan tertangkapnya suspek berjaya menyelesaikan tujuh kes kehilangan kereta di daerah ini. Suspek kini direman enam hari bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 3:59 PM


Mohd Zani menunjukkan antara kereta yang disamun. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93455#sthash.ELjgud0M.dpuf

Lebih sejam tahan sakit

Port Dickson: Pemandu lori simen menahan sakit lebih sejam akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan dipandu terbabit kemalangan dengan bas persiaran di Jalan Seremban-Port Dickson berhampiran simpang empat lampu isyarat, Sua Betong, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku pada 8.50 pagi apabila mangsa, Hamid Othman, 30, dari arah Sua Betong menuju ke tapak projek perumahan berhampiran, dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu bertembung bas persiaran yang dari arah Seremban menuju ke Teluk Kemang.
Akibat kejadian itu, empat termasuk pemandu bas cedera dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dirawat dan tujuh lagi penumpang tidak cedera.
Pemandu lori patah paha kiri akibat tersepit di tempat duduk pemandu juga di bawa ke hospital sama.
Dua pasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa tersepit selain membantu membersihkan tumpahan minyak di tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 4:27 PM


Lori simen yang terbabit kemalangan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93459#sthash.V8UBxcoP.dpuf

Empat lelaki Columbia ditahan

Shah Alam: Polis menahan empat lelaki Amerika Latin di kondominium mewah di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, 8 Oktober lalu dan merampas pelbagai barangan curi yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, lelaki berusia 30 hingga 34 tahun itu berasal dari Columbia.
Katanya, mereka terbabit dalam kegiatan pecah rumah di kawasan elit sejak setahun yang lalu.
"Polis turut merampas kereta Mercedes yang disewa dan digunakan untuk kegiatan jenayah mereka.
"Semua suspek kini direman sehingga 18 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 6:04 PM


Mohd Adnan (dua dari kanan) pada sidang media di IPK Selangor hari ini. FOTO Shazreen Zamzuri
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93464#sthash.kh4mHUqA.dpuf

Banjir kilat di Shah Alam

Shah Alam: Hujan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan antaranya Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga di sini, dilanda banjir kilat petang tadi.
Hujan sejak 1 tengah hari itu menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air selain kenderaan terperangkap.
Turut terjejas adalah operasi Stesen Komuter Batu Tiga kerana landasan kereta api di situ dinaiki air.
Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika dihubungi berkata, perkhidmatan komuter dan kereta api di stesen berkenaan tidak dapat beroperasi buat sementara waktu kerana landasannya dinaiki air.
Setakat ini, jalan utama keluar masuk ke bandar ini turut mengalami kesesakan lalu lintas namun masih terkawal.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 6:29 PM


Stesen Komuter Batu Tiga dan landasan di situ ditenggelami banjir. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93472#sthash.RNaEhJwP.dpuf

Dua punca aliran

Bentong: Pihak berkaitan diminta mencari punca sumber aliran air deras yang menyebabkan kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.4, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, Rabu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau difahamkan kejadian itu disebabkan aliran air deras daripada dua punca berlainan.
“Air deras yang membawa lumpur dan kayu hingga menyebabkan kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Lentang rosak datang dari sumber lain.
“Manakala yang turun ke lebuh raya daripada punca lain, namun air ini mengalir ke sungai sama iaitu Sungai Benus,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke kawasan tadahan air Hutan Simpan Lentang, di sini, yang terjejas dalam kejadian banjir lumpur itu, semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, dia sudah mengarahkan JPNP dibantu anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia untuk mengenal pasti sumber aliran air deras terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:44 AM


LOKASI kolam takungan air yang musnah dalam kejadian banjir.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93347#sthash.Yw9gVk4I.dpuf