Search This Blog

Friday, November 13, 2015

Pelajar UiTM maut dihempap lelaki jatuh dari hotel


MELAKA: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut selepas kereta yang dipandunya dihempap seorang lelaki, dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata mangsa dikenal pasti sebagai Arfan Syazani Salahudin, 19, dari Bukit Rambai, dekat sini.
Katanya, kejadian kira-kira 11 pagi itu, ketika mangsa yang menaiki Perodua Viva baharu tiba di tempat letak kereta hotel berkenaan.
"Hasil hentakan lelaki berkenaan mengakibatkan bahagian bumbung kereta kemek dan terkena mangsa yang juga pekerja sambilan di hotel berkenaan.
"Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Lelaki berusia 43 tahun yang terjatuh di atas kereta mangsa pula mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka kira-kira pukul 3 petang," katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Shaikh Abdul Adzis berkata, lelaki dari Bukit Katil di sini yang dipercayai terjun dari tingkat 13 itu mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan kira-kira pukul 9.40 pagi tadi.
Katanya, kes kematian remaja itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, ibu Arfan Syazani, Aslina Ansari, 43, ketika ditemui berkata anaknya itu sedang bercuti semester tiga dari pengajiannya di UiTM Dungun dan bekerja di hotel itu kira-kira dua minggu.
"Sebelum pergi kerja pagi tadi dia sempat meminta bekal untuk dibawa ke tempat kerja walaupun biasanya dia tidak berbuat demikian.
"Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan pada dirinya, namun pagi tadi saya sempat berpesan pada arwah supaya berhati-hati memandu," katanya.
Aslina berkata, dia dan keluarga reda dengan insiden itu dan mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cina di sini.

Banjir lumpur bencana alam

Kuantan: Banjir lumpur di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak petang semalam, bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Beliau berkata, kejadian itu adalah bencana alam.
"Berdasarkan imej udara yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia, kawasan pembalakan terhampir terletak kira-kira 1.2 kilometer dari kawasan itu.
"Aktiviti itu bagi projek menara talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi itu pun sudah dihentikan empat bulan lalu selepas mendapat bantahan penduduk," katanya, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 6:37 PM


KERJA pembersihan giat dijalankan berhampiran Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak berikutan kejadian banjir lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92583#sthash.RW3F1ce0.dpuf

Lebuhraya KL-Karak, jalan lama ditutup [VIDEO]

Bentong: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (jalan lama) juga ditutup bagi kerja pembersihan.
Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohamad Nor yang berkata, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup di kedua-dua arah berikutan kerja pembersihan banjir lumpur yang berlaku di kilometer 52.4.
"Di jalan lama pula laluan terpaksa ditutup berikutan terdapat tanah runtuh berskala kecil di beberapa lokasi yang mana kerja pembersihan juga sedang dijalankan," katanya.
Ditanya wartawan adakah betul di laluan lama terdapat 27 runtuhan, Mansor berkata, pemeriksaannya kira-kira 3 hingga 5 pagi tadi di Jalan Kuala Lumpur-Bentong (jalan lama) mendapati terdapat tujuh runtuhan tanah.
Katanya, atas faktor keselamatan kedua-dua jalan terpaksa ditutup dan dia menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melalui laluan berkenaan menangguhkan perjalanan mereka.
"Jika keadaan mendesak, saya nasihatkan mereka (pengguna jalan raya) supaya menggunakan laluan alternatif," katanya memberitahu, laluan terbabit akan ditutup sehingga kerja pembersihan berjaya dilakukan sepenuhnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 7:10 PM


KERJA pembersihan giat dilakukan. FOTO Yazit Razali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92588#sthash.tG3V2fmK.dpuf

Angkara tiada lesen memandu

Kapar: Lelaki ditahan polis di Persiaran Masjid, Seksyen 9, Shah Alam selepas melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu dan mengaku mengambil dadah, tengah hari semalam.
Sebelum ditahan, suspek berusia 23 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuh raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), di sini, kira-kira 12 tengah hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis yang sedang menjalankan rondaan kemudian menghampiri kereta dipandu suspek dan mengarahkannya untuk berhenti.
Beliau berkata, suspek kemudian terus memecut kereta sebelum terbabas lalu merempuh lampu isyarat di Persiaran Masjid dan ditahan polis.
"Siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian disebabkan bimbang ditahan polis kerana tidak memiliki lesen memandu selain mengaku mengambil dadah dua hari lalu.
"Polis menyiasat kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan seterusnya," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara, di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 5:22 PM


SUSPEK ditahan selepas kereta terbabas lalu merempuh lampu isyarat. FOTO ihsan polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92578#sthash.pOFT0dkz.dpuf

Rentung dalam kereta

Subang Jaya: Wanita berusia 20-an ditemui rentung di dalam kereta selepas dipercayai terbabit kemalangan dengan lori berhampiran Plaza Tol Seafield, Lebuhraya Kesas menghala Klang, dekat sini, 10.41 pagi tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar sebuah lori lalu terbakar.
"Wanita itu ditemui rentung di tempat duduk pemandu dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Api dikawal pada 11.01 pagi dan dipadamkam sepenuhnya lima minit kemudian," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 7:34 PM


Anggota bomba memadamkan kebakaran kereta yang menyebabkan pemandunya rentung. FOTO Osman Adnan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92592#sthash.qWPrEKlP.dpuf

Padah tumbuk orang

Kuala Lumpur: Lelaki berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai membuat kacau dan menumbuk seorang pekerja lelaki di Plaza Low Yat, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 7.20 malam, lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan bertanyakan beberapa soalan kepada pekerja berkenaan tetapi dipercayai tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya sebelum bertindak menumbuk mangsa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, sebaik menumbuk mangsa, suspek terus mengekori mangsa ke premis tempat kerjanya dan terus memarahi mangsa sambil menunjukkan tatu di lengan kanannya.
"Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada pekerja berkenaan dan bertanyakan kepada mangsa sama ada dia mengenalinya.
"Suspek turut merampas sebuah tab sebelum membalingnya kepada seorang lelaki yang merakam perbuatannya,"katanya, ketika dihubungi, malam tadi.
Katanya, suspek kini ditahan reman dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 12:58 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92626#sthash.gXT68t41.dpuf

'Marumi Chia' peras RM4,000

Ipoh: Seorang jurujual berusia 28 tahun berada dalam keadaan trauma apabila video bogelnya disebarkan seorang wanita di laman sosial Facebook (FB) dan Youtube, apabila dia gagal memenuhi permintaan suspek yang memintanya supaya menyerahkan wang sebanyak RM4,000.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam 9 November lalu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, berkenalan dengan seorang wanita berusia 25 tahun menerusi laman sosial berkenaan.
Ng berkata, wanita terbabit memperkenalkan dirinya sebagai ‘Marumi Chia’ dan berasal dari Eropah sebelum mereka berkenalan dengan lebih rapat.
“Selepas perkenalan itu, wanita terbabit meminta pengesahan identiti Skype bagi melihat wajah saya yang sebenar menerusi kamera web.
“Selepas kami melihat wajah masing-masing, wanita terbabit terus membuka pakaiannya menyebabkan saya seolah-olah terpukau.
“Saya tidak menyedari apa yang berlaku selepas itu dan terus tertidur,” katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak di sini, semalam.
NG menunjukkan laporan polis Pejabat MCA Perak.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 8:53 AM


MESEJ suspek yang dihantar kepada mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92418#sthash.QpDa9lJv.dpuf

Wanita terselamat kereta terbalik

Bangi: Seorang wanita berusia 23 tahun selamat walaupun kereta Perodua Myvi dipandunya dirempuh menyebabkannya terbalik dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 295.5, Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan, jam 7.25 pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila sebuah Proton Gen2 dipandu lelaki berusia 34 tahun hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan lebuh raya berkenaan.
Akibatnya, empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Proton Preve, Proton Persona dan Perodua Viva yang berada di belakang gagal mengelak sebelum bertembung.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Deputi Superintendan Azmi Wahid berkata, Proton Gen2 terbabit hilang kawalan sebelum berpusing.
“Perodua Myvi dipandu wanita berkenaan yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri Proton Gen2.
“Kedua-dua kereta berkenaan dirempuh dari belakang oleh Proton Preve,” katanya.
Menurut Azmi, rempuhan kuat itu menyebabkan Perodua Myvi berkenaan terbalik.
Pada masa sama, Azmi berkata, Proton Preve berkenaan turut dirempuh Proton Persona.
“Perodua Myvi yang terbalik di lorong tengah kemudian sekali lagi dirempuh pada bahagian kanan oleh Perodua Viva.
“Kemalangan menyebabkan dua lorong terpaksa ditutup bagi membolehkan kerja pengalihan dan pembersihan dilakukan. Semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan bagaimanapun selamat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 6:42 AM


KEADAAN kemalangan di tempat kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92642#sthash.QxkkeaZo.dpuf

YAPEIM sedia disiasat

Kuala Lumpur: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sedia disiasat berhubung sebarang dakwaan salah laku membabitkan badan itu, sekiranya ada salah laku berkenaan pentadbiran, pengurusan dan operasinya.
Ketua Pengarah Yapeim Datuk Abibullah Samsudin berkata dalam kenyataan di sini, hari ini, Yapeim sentiasa terbuka dan akan memberi kerjasama penuh kepada sebarang pihak yang menyiasat sekiranya ada salah laku berkenaan pentadbiran, pengurusan dan operasinya.
Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa berlaku salah guna dana yayasan itu oleh pihak tertentu.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim menegaskan pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip syariah dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan dan operasi.
"Malah Yapeim dikawal selia anggota Lembaga Pemegang Amanah dan Jawatankuasa Syariah yang sentiasa memantau segala urusan operasinya," katanya.
Menurutnya, Yapeim diaudit oleh Jabatan Audit Negara sejak awal penubuhannya.
Sejak ditubuhkan pada 13 Oktpber 1976, Yapeim memfokuskan kepada usaha melaksanakan kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam melalui sektor perniagaan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 11:04 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92616#sthash.JaMBVSyq.dpuf

Banjir lumpur bukan tanah runtuh [VIDEO]

Bentong: ANIH Bhd sahkan kejadian di kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bukanlah disebabkan tanah runtuh sebaliknya banjir lumpur.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Bhd, Datuk Dr Azmil Khalid dalam sidang medianya di lokasi kejadian berkata, kejadian berkenaan disebabkan banjir lumpur yang berlaku di atas kawasan bukit berhampiran.
"Jika kita teliti, tiada runtuhan tebing sebaliknya siasatan mendapati banjir lumpur membawa serpihan kayu dan tanah dari atas bukit.
"Saya tidak boleh pastikan sama ada aktiviti di atas bukit itu berlesen atau tidak kerana di luar bidang kuasa ANIH namun saya tegaskan kejadian ini bukanlah berlaku disebabkan tanah runtuh," katanya.

Kerja pembersihan jalan juga dijangka mengambil masa dua hari, katanya.
Azmil berkata, pihaknya juga mengesahkan video yang tersebar luas di Internet berkaitan tanah runtuh itu sebenarnya berlaku di China dan bukannya di lokasi kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 11:19 AM


KESAN lumpur dan tanah di Kilometer 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Bukit Tinggi. FOTO Yazit Razali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92502#sthash.aN4oWi6y.dpuf

Tidak mengaku bunuh penuntut UiTM

Taiping : Tukang masak berusia 25 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana membunuh penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nor Syuhada Johari, 20, pada 2 Februari lalu.
Syarafi Abu membuat pengakuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Zaini Mazlan.
Dia dituduh melakukan jenayah itu di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, pada 11.55 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 7 hingga 11 Mac dan 17 dan 18 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Yusaini Amer Abdul Karem dan Mohd Amril Johari, manakala Syarafi diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Terdahulu dalam kejadian itu, Nur Syuhada dipercayai dikelar di leher oleh lelaki berkenaan ketika kedua-dua mereka menaiki kereta menghala ke selatan pada hari kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 11:50 AM


TERTUDUH mengaku tidak bersalah. FOTO Yahya Zainuddin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92507#sthash.uFToCGMz.dpuf

Maut digilis jentera perata jalan

Johor Baharu: Seorang pekerja kontrak maut selepas dilanggar jentera penggelek beroda ketika sedang menjalankan kerja meratakan jalan di KM97.5 Jalan Johor Baharu-Seremban, Ayer Hitam dekat Batu Pahat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, Irwan Shah Salleh, 35, sedang meratakan tar di jalan berkenaan bersama tiga pekerja lain.
"Tanpa disedari, sebuah jentera (tyre roller) dipandu lelaki berumur 34 tahun sedang berundur ke arah Irwan Shah dan terus melanggarnya," katanya
ketika dihubungi hari ini.
Akibat pelanggaran itu, Irwan Shah cedera dari bahagian pinggang hingga kaki dan meninggal dunia pada 2.45 petang ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ayer Hitam, katanya.
Menurut Din, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan
Jalan 1987. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 8:53 PM


Irwan Shah Salleh dibantu rakan sekerja selepas digelek jentera perata jalan petang semalam. - Foto MUSTAPHA ISMAIL
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92606#sthash.8yDeVYDX.dpuf

Penyamun tetak warga emas

Kuantan: Seorang lelaki warga emas menerima tujuh jahitan di kepala akibat ditetak dalam kejadian samun di Felda Keratong 4, Rompin, dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata mangsa berusia 65 tahun ditetak kerana tidak mengendahkan amaran empat pencuri yang masuk ke bilik tidurnya supaya tidak membuat bising.
Dalam kejadian antara 2.30 hingga 3.30 pagi itu, seorang suspek menutup muka dengan topeng dan bersenjatakan parang.
"Suspek dipercayai masuk ke rumah itu dengan memotong empat batang besi tingkap nako rumah. Seorang anak mangsa berusia 23 tahun yang tidur di bilik
berasingan diikat sebelum mereka ke bilik mangsa," katanya di sini, hari ini.
Muhammad Aidil Roneh berkata, suspek menggeledah rumah mangsa dan melarikan wang tunai RM250 serta dua telefon bimbit.
"Apabila suspek tiada, mangsa keluar mendapatkan bantuan jiran yang menghantarnya Hospital Muadzam Shah," katanya.
Muhammad Aidil Roneh berkata keadaan mangsa kini stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 8:27 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92604#sthash.MBTo4lts.dpuf

Wanita Korea antara pelacur ditahan

Kuala Lumpur: Wanita Korea antara 146 pelacur warga asing yang ditahan dalam operasi Ops Noda dan Ops Cantas oleh Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman dalam enam serbuan berasingan di premis hiburan dan pusat urut di sekitar Jalan Kuchai Lama dan Jalan Klang Lama, awal pagi tadi.
Dalam operasi bermula 1 pagi itu, pelacur yang ditahan berusia 21 hingga 47 tahun.
Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sembilan lelaki tempatan yang dipercayai penjaga kepada pelacur berkenaan dan pekerja premis ditahan.
"Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 121 wanita warga Thailand, 20 wanita warga Vietnam, dua wanita warga Laos dan masing-masing satu warga Korea, Filipina dan Indonesia menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM8,939,buku catatan perniagaan, kondom, minyak pelincir dan mahkota serta selempang yang digunakan pelanggan untuk dipakaikan kepada pelacur berkenaan," katanya.
Katanya, semua yang ditahan termasuk dua pelanggan warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 55(1)(d) Akta Imigresen dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:05 PM


Antara pelacur yang ditahan. FOTO Nabihah Kamal
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92610#sthash.J0AlKZ07.dpuf

Maut terjun dari tingkat tiga

Petaling Jaya: Lelaki pesakit mental berusia 42 tahun maut selepas terjun dari tingkat tiga rumahnya di Kondominium Oasis Village, Ara Damansara, pagi tadi.
Dalam kejadian 11.40 pagi itu, mangsa Kong Chock Fuei yang masih bujang mempunyai masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah berkenaan dan ketika kejadian tiada saksi yang melihat mangsa terjun.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian tidak membabitkan unsur jenayah dan barangan milik mangsa seperti dompet dan telefon miliknya ditemui di badannya dalam keadaan baik.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:15 PM


Mangsa terjun dari tingkat tiga. FOTO ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/92612#sthash.eac4rJ9d.dpuf

Kapten kapal kekal kesalahan membunuh



GAMBAR fail bertarikh 17 April 2014 menunjukkan pasukan penyelamat mencari mangsa feri Sewol yang karam di perairan selatan Korea Selatan berhampiran Jindo. - AGENSI


SEOUL – Mahkamah Agung Korea Selatan semalam mengekalkan sabitan kesalahan membunuh dan hukuman penjara seumur hidup ke atas kapten dalam bencana feri Sewol, dengan menyatakan pesalah itu telah membiarkan lebih 300 penumpangnya lemas semata-mata mahu menyelamatkan diri sendiri.
Feri Sewol ketika itu membawa 476 penumpang apabila karam di pulau Jindo pada 16 April tahun lalu. Daripada 304 mangsa yang terbunuh, 250 merupakan pelajar sekolah.
Tragedi itu mengejutkan dan mencetus kemarahan rakyat negara ini apabila terbukti berpunca daripada kesilapan manusia, termasuk pengubahsuaian haram, ruang kargo lebih muatan dan kru tidak berpengalaman .
Kapten Lee Jun-Seok dan krunya dikecam umum, khususnya selepas munculnya satu rakaman video menunjukkan mereka melarikan diri dari feri tersebut ketika beratus-ratus mangsa terperangkap.
"Kapten Jun-Seok meninggalkan kapal untuk menyelamatkan diri sendiri tanpa memberi arahan pemindahan. Keadaan ini umpama dia menolak semua penumpang itu ke laut dan membiarkan mereka lemas," kata Ketua Hakim Yang Sung-Tae semalam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3rK2MrIvQ 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak maut dipatuk ular




ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan maut akibat dipatuk seekor ular dipercayai tedung di Kampung Kubang Pisang, Pendang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd. Danish Izat Syukri dikatakan sedang bermain seorang diri berhampiran rumahnya.
Mangsa yang cedera dipatuk pada ibu jari kaki kiri bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kira-kira pukul 5 petang.
Bapanya, Syukri Zainon, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang mengail di sebuah kolam berhampiran rumahnya sebelum mendengar tangisan Mohd. Danish yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
"Saya kemudian bergegas mendapatkannya dan ketika itu, adik (Mohd. Danish) beritahu kaki kirinya sakit.
"Saya sangkakan dia terjatuh ketika bermain sebelum menyapu ubat gamat di bahagian tersebut," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3rK1upkA7 
Hakcipta terpelihara 

Isteri subahat bunuh anak dijel




SELAYANG – Seorang ibu yang bersubahat dengan suaminya membunuh dan menanam mayat anaknya sendiri di lantai dapur rumah sewa mereka di Kepong Mac lalu dipenjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Asyida Abdul Rahim@Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujah dan mitigasi kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela serta kesediaan tertuduh, Tan Boa Jia (gambar), 33, untuk menjadi saksi utama pendakwaan suaminya, Loo Chon Wen, 33, atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi selepas ini.
Selain itu mahkamah turut mengambil kira penderaan fizikal dan emosi yang ditanggung tertuduh sebelum, ketika dan selepas kejadian bunuh itu berlaku, keikhlasannya menukar pengakuan kepada bersalah serta kesalahan yang merupakan kali pertama dilakukannya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3rK1dYjp9 
Hakcipta terpelihara 

Pelajar kolej aibkan kehormatan suri rumah didakwa di mahkamah




AMPANG JAYA – Seorang pelajar kolej swasta yang dikaitkan dengan satu video viral menunjukkan seorang lelaki mengintai jirannya sambil melakukan onani minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini semalam.
Tertuduh, Ahmad Zikrizaid Abdullah (gambar), 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Zikrizaid didakwa mengaibkan kehormatan seorang suri rumah berusia 47 tahun dengan cara menunjukkan kemaluan dalam keadaan bogel terhadap mangsa di belakang dapur sebuah rumah di Jalan Pandan Indah dekat sini pada pukul 12.20 tengah malam 7 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3rK1KBl2f 
Hakcipta terpelihara 

Tukang masak didakwa membunuh



GAMBAR fail menunjukkan Nur Syuhada cedera parah selepas dikelar pada leher, 2 Februari lalu.


TAIPING – Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan membunuh rakan wanitanya, Nur Syuhada Johari yang meninggal dunia akibat dikelar pada leher di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Gantang di sini pada 2 Februari lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3rK0Xcr3f 
Hakcipta terpelihara