Search This Blog

Tuesday, November 10, 2015

Warga emas maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Besut


10/11/2015 4:55pm

BESUT - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Alor Lintang dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud di sini, hari ini.
Peniaga kedai runcit, Abdul Razak Mohd Amin, 79, dari Rumah Murah Alor Lintang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepalanya dalam kejadian itu yang berlaku kira-kira 10 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, Abdul Razak, yang menunggang motosikal dari arah SK Tengku Mahmud untuk ke Kampung Raja, dikatakan telah melanggar lampu isyarat merah di persimpangan itu sebelum dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux dari arah Kampung Raja.
Mayatnya, dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat, katanya di sini.
Pemandu kenderaan itu, Mohd Azman Ibrahim, 47, dari Jalan Kampung IKM di sini tidak cedera. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz3r5DCJGFM 
Hakcipta terpelihara 

Mentua mungkin lupa jalan pulang


Gua Musang: “Bapa mentua janji masuk hutan semalaman saja sebab tu dia bawa sekilogram tepung gandum untuk bekalan,” kata Sariah Adis 27, menantu Abdul bin Salok, 60, warga emas Orang Asli di Kampung Lebir, Aring 5, dekat sini, yang hilang sejak 10 hari lalu.

Sariah berkata, dia tidak menolak kemungkinan bapa mentuanya terlupa jalan untuk pulang ke rumah kerana mangsa seorang yang pelupa.


Kebiasaan bapa mentua masuk ke hutan sendirian untuk mencari akar kayu antara dua dan tiga malam dengan membawa bekalan beras, periuk dan beberapa kelengkapan lain.

“Sebelum dia (bapa mentua) masuk ke hutan, dia ada memberitahu adik ipar, Mat Shariff Abdul Hakim, 18, mahu masuk hutan semalam saja tapi sekarang belum pulang ke rumah.

“Masalah kehilangan itu diberitahu adik ipar kepada suami saya Jalley Udang, 28, sebelum penduduk kampung dikerah mencari mangsa di kawasan sekitar,”katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Abdul Hakim dilaporkan hilang sebaik memasuki kawasan hutan berhampiran Kampung Lebir, Aring 5 untuk mencari akar kayu dan ikan.

Laporan polis dibuat anak lelakinya, Jalley di Balai Polis Paloh, Jumaat lalu selepas dia bersama penduduk kampung gagal menemui bapanya yang tidak pulang ke rumah sejak sembilan hari lalu.

Menurut Sariah, bapa mentuanya tinggal bersama adik bongsu di rumah terletak 40 meter dari rumahnya dan dia juga selalu mengambil berat mengenai kehidupan bapa bersama adik bongsu itu.

“Sejak dulu, saya melarangnya masuk hutan kerana bimbang dengan kesihatan, tetapi tidak dihiraukan dan bapa mentua juga tidak membenarkan anak-anak mengikutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:06 AM

JKM menghulurkan bantuan kepada Sariah (tengah).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91843#sthash.RnoxeBzI.dpuf

Usung basikal terus hilang

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

am@hmetro.com.my


Puchong: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang secara ‘misteri’ sejak lima hari lalu selepas kali terakhir dilihat memasuki kedai runcit di bawah rumahnya di Pangsapuri Orkid di Puchong Prima, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 7.10 petang itu, Muhammad Amirul Adha, 13, dikatakan pergi ke kedai runcit berkenaan untuk membeli aiskrim buat adiknya, namun mangsa tidak muncul semula selepas itu.

Ibu bapa mangsa yang tinggal di tingkat dua pangsapuri berkenaan resah apabila anak mereka tidak pulang sehingga lewat malam sebelum mencarinya di kawasan sekitar.

Ibu mangsa, Noor Hasharine Mohd Ali Khan, 34, memaklumkan ketika kejadian dia menjaga anak bongsunya, namun menyedari anaknya itu keluar rumah dengan membawa basikal merahnya.

“Amirul sebelum itu sudah ke kedai runcit berkenaan seperti disuruh ayahnya dan memberitahu mahu turun semula ke kedai sama membeli aiskrim untuk adiknya.

“Suami saya melarangnya kerana waktu Maghrib dan jangan membawa basikal turun sekali, namun Amirul terus beredar,” katanya.

Menurutnya, ada jiran memaklumkan ternampak Amirul keluar dari kedai itu dan terus berlalu begitu saja.

“Saya dan suami berusaha mencari Amirul di kawasan sekitar pangsapuri. Kami turut pergi ke rumah rakan baiknya untuk mendapatkan maklumat, namun usaha itu gagal.

“Gambar dan maklumat kejadian sudah kami sebarkan di media sosial dan berharap agar anak saya itu pulang semula ke rumah.

“Adiknya yang bongsu sudah beberapa hari bertanyakan tentang abangnya itu dan kini tidak lalu makan,” katanya.

Katanya, anaknya kali terakhir dilihat memakai baju-T, berselipar dan mengayuh basikal berwarna merah.

“Saya risau jika perkara tidak diingini berlaku pada Amirul. Orang ramai yang terjumpa atau mempunyai maklumat berhubung Amirul diminta menghubungi balai polis berhampiran atau nombor telefon saya 017- 5456634,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:04 AM

Basikal yang digunakan Muhammad Amirul.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91841#sthash.fnwTv6qY.dpuf

Pengorbanan suami...

 Oleh Rosli Ilham

am@hmetro.com.my
Chukai: Seorang jurutera syarikat swasta sempat memuat naik catatan di akaun Instagram mengenai pengorbanannya berulang-alik kerana tinggal berjauhan dengan isteri sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 252.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Perasing, semalam.

‘Inilah pengorbananku berulang-alik dan tinggal berjauhan dengan isteri’ menjadi catatan terakhir Muhammad Faizol Mohamad, 26, jurutera Ethylene Engineering di Kerteh yang maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas jam 10.45 malam.

Rakan mangsa, Hafifi Hasnan, 26, berkata, Muhammad Faizol sempat memuat naik beberapa gambar ketika dia dalam perjalanan dan memaklumkan hampir sampai ke rumah sewanya.

“Saya dapat lihat akaun Instagram miliknya dan arwah sempat muat naik gambar papan tanda Tol Jabor dan memaklumkan dia hampir sampai dan mencoretkan catatan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia kemudiannya terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan serumah Allahyarham jam 12 tengah malam yang memaklumkan Muhammad Faizol terbabit kemalangan.

“Arwah sudah tiga tahun bekerja sebagai jurutera di syarikat kami dan setiap minggu akan pulang ke Seremban bertemu isterinya.

“Arwah seorang yang komited dalam pekerjaan dan disenangi rakan-rakan. Kehilangannya amat kami rasai,” katanya.

Kemalangan itu dipercayai berlaku kerana keadaan jalan licin berikutan hujan sebelum keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh konkrit jambatan Sungai Perasing.

Rempuhan yang kuat itu menyebabkan keretanya terbalik dan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kemasik selepas bercuti dan bertemu isterinya di Seremban, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:24 AM

ANGGOTA polis memeriksa kereta yang dinaiki Muhammad Faizul Mohamad yang maut dalam kemalangan di kilometer 252.01 dekat Perasing LPT2, malam tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91857#sthash.jQejAXVk.dpuf

Tak henti cari Jashiah


Shah Alam: Operasi mencari Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat, Kuala Lumpur Jashiah Rabu, 53, tidak dihentikan walaupun belum ada petunjuk positif yang ditemui pasukan mencari sehingga kini.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, operasi pencarian yang masuk hari ke-17 itu diteruskan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang dapat membantu pasukan pencari.

Menurutnya, sektor carian ditambah daripada empat kepada tujuh sektor dalam lingkungan keluasan lebih kecil di sekitar Kampung Orang Asli Buloh Telur, Kuala Kubu Bharu.

“Keluasan kawasan carian diperkecilkan untuk memudahkan pasukan mencari memfokuskan kawasan dikenal pasti dan mempergiatkan operasi.

“Walaupun alat pengesan haba badan manusia atau Thermo Camera tidak memberikan petunjuk positif, pasukan mencari tetap menggunakannya sebagai kaedah tambahan mengesan mangsa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Meja Bulat Bandar Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.

Katanya, keanggotaan pasukan mencari juga dikekalkan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Batalion 3 Senoi Praq, PGA Batalion 18, Pengkalan Hulu, Perak.

Veteran polis dan tentera, Persatuan Malim Gunung Malaysia dan masyarakat setempat turut membantu operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:26 AM

MALIM gunung membantu mencari dan menyelamat guru besar hilang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91859#sthash.rnl0MATV.dpuf

2 minggu kenal pasti identiti

 Oleh Muhammad Apendy Issahak

apendy@hmetro.com.my


Tapah: Serpihan tulang dan gigi dipercayai milik empat mangsa dibunuh kejam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang, berhampiran Plaza Tol Tapah, di sini yang ditemui pasukan penyiasat di lokasi kejadian sudah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, turut dihantar untuk dianalisis oleh pakar adalah sampel darah ahli keluarga mangsa dan keputusannya dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

“Setakat ini jumlah mangsa masih lagi empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dan polis masih belum mendapat maklumat mengenai mangsa lain yang terbabit dalam pembunuhan kejam itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, semua suspek iaitu empat beranak berkenaan yang kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan terhadap kes kehilangan seorang jurujual alat ganti kenderaan berasal dari Klang, Selangor juga mungkin akan disambung reman lagi selepas tempoh reman mereka tamat pada Khamis ini.

“Sambungan reman berkenaan mungkin diperlukan jika kertas siasatan masih belum lengkap kerana siasatan dijalankan membabitkan keseluruhan empat mangsa iaitu broker tanah, pengusaha bas persiaran, jurujual alat ganti kenderaan dan pekerja mekanik,” katanya.

Sementara itu tinjauan di lokasi kejadian semalam, mendapati tiada lagi siasatan dilakukan pasukan penyiasat, namun anak perempuan suspek berusia 23 tahun dilihat datang sekali lagi ke kawasan bengkel kira-kira jam 2.30 petang memberi makan anjing dan haiwan peliharaan lain iaitu ayam dan itik seperti dilakukannya kelmarin.

Anak sulung suspek itu kini diberi perlindungan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna merah ditemani anggota polis wanita dan berada di bengkel bapanya selama kira-kira 20 minit sebelum beredar pada jam 2.50 petang.

Kes pembunuhan kejam ini terbongkar selepas polis menahan empat beranak pada 26 Oktober lalu iaitu seorang lelaki pemilik bengkel berusia 57 tahun, isterinya berusia 54 tahun dan dua anak lelakinya berusia 20 tahun dan 17 tahun kerana dipercayai terbabit dengan kes kehilangan seorang broker tanah pada Ogos lalu.

Susulan penahanan itu, siasatan lanjut mendapati keluarga berkenaan juga dipercayai terbabit dalam kes kehilangan tiga lagi individu yang hilang pada 2012 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:30 AM

ANAK perempuan suspek memberi makan anjing dan haiwan peliharaan selepas ibu, bapa serta dua adiknya diberkas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91865#sthash.nQ6b9ucP.dpuf

Terjun tak timbul

 Oleh Aizat Sharif

mohd.aizat@mediaprima.com.my
Kangar: “Saya langsung tidak menyangka tubuh yang diselaputi lumpur yang dipegang sebenarnya mayat sepupu sendiri.”

Begitu kata remaja lelaki, Amir Farhan Safar, 16, bersama rakannya, Mohd Badlishah Abdullah, 18 membawa naik dua mayat kanak-kanak berusia tujuh tahun yang lemas di sebuah kolam takungan air di kawasan sawah padi Kampung Syed Omar, Jalan Batu Pahat, di sini, semalam.

Kejadian jam 12 tengah hari itu membabitkan Ahmad Rozaimi Rosli dan Shahril Amri Ramli yang juga murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Padang Kota, di sini.

Amir Farhan berkata, sebelum kejadian dia dan rakannya sedang berehat di halaman rumah kira-kira 50 meter dari kawasan kolam takungan di kawasan sawah padi itu.

“Tidak semena-mena kami terdengar jeritan meminta tolong dari kolam takungan air lalu bergegas ke kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba, kami nampak seorang kanak-kanak menangis sambil menunjukkan dua lagi rakannya yang sedang mandi di kawasan itu tidak timbul selepas terjun ke dalam kolam berkenaan.

“Tanpa memikirkan keselamatan diri, kami terus terjun sambil menyelam untuk mencari kanak-kanak itu dan kira-kira 15 minit kemudian, kami menemui dua mayat itu yang tenggelam di dasar kolam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Menurutnya, sejurus membawa kedua-dua mayat kanak-kanak itu naik, dia bagaikan tidak percaya apabila seorang mangsa adalah sepupunya.

“Saya tidak sangka salah satu mayat itu sepupu saya Ahmad Rozaimin Rosli dan sebelum ini pun tiada sesiapa yang datang mandi di kolam takungan air di kawasan sawah padi itu,” katanya.

Saksi lain Ruzihan Shahidan, 40, berkata kolam takungan air dalam kawasan sawah padi terbabit terbentuk hasil daripada kerja pengorekan tanah sejak lebih seminggu lalu.

“Sebelum kejadian ketiga-tiga kanak-kanak itu dilihat bermain di sekitar kolam itu, namun ditegah adik saya supaya berlalu pergi dari kawasan itu kerana berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Zaini Talib berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:37 AM

AMIR menunjukkan lokasi dua kanak-kanak lemas ketika mandi di kolam buatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91871#sthash.SWnIvcsG.dpuf

Lima mati ditembak polis mengamuk


AMMAN: Seorang anggota polis Jordan yang mengamuk menembak mati lima orang iaitu dua jurulatih dari Amerika Syarikat, jurulatih dari Afrika Selatan dan dua polis negara itu sebelum dia mati ditembak polis di sebuah pusat latihan polis di sini, pagi tadi.

Agensi berita Petra melaporkan, Menteri Penerangan Jordan, Mohammed Momani, berkata dalam kejadian di

Pusat Latihan Raja Abdullah bin Al Hussein itu, dua jurulatih dari Amerika, empat polis Jordan dan seorang dari Lubnan cedera.

Tiga jurulatih asing itu ialah kontraktor untuk polis Jordan, kakitangan syarikat DynCorp yang dilantik Jabatan Negara Amerika untuk melatih polis Palestin.

Sumber yang rapat dengan keluarga penembak itu mengenal pasti dia sebagai Kapten Anwar Abu Zeid.

"Dia tiada kaitan dengan sebarang pertubuhan pengganas dan keluarganya amat terkejut dengan kejadian itu,” kata sumber itu kepada AFP.

Menurut media Jordan, Anwar berusia 28 tahun dan mempunyai dua anak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 3:49 PM

Pusat Latihan Raja Abdullah bin Al Hussein yang melatih polis Jordan serta pasukan keselamatan Palestin. - Foto Daily Mail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91987#sthash.yFtS52yl.dpuf

Warga emas maut dirempuh

 Oleh Abnor Hamizam Abd Manap
Tampin: Warga emas yang sedang berlari-lari anak dan pemandu kereta maut dalam kemalangan di Taman Desa Permai, Gemas di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Gemas, Syed Ammar Syed Abas berkata, dalam kejadian 7 pagi, wanita berusia 67 tahun itu sedang berjoging di tepi jalan di taman itu.

Katanya, datang kereta dipandu lelaki berusia 28 tahun dan merempuh mangsa.

"Akibat rempuhan itu, wanita berkenaan terpelanting sejauh lima meter dan maut di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, sementara itu kereta terbabit terbabas dan terbalik dalam longkang berhampiran.

"Pemandunya yang juga penduduk taman itu turut maut selepas tersepit dalam kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 12:15 PM

KERETA terbalik dalam longkang selepas rempuh warga emas berjoging. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91961#sthash.NE9U4s6b.dpuf

73 peratus kemalangan maut melibatkan motosikal


SHAH ALAM: Sebanyak 838 kes kemalangan maut direkod bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan 612 kes daripadanya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 24 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pada tahun lalu, kes kemalangan maut bagi golongan ini bagi tempoh Januari 2014 hingga Oktober 2014 adalah sebanyak 588 kes," katanya kepada pemberita selepas selesai Op Cerah di Plaza Tol Batu Tiga, di sini malam tadi.

Abd Ghafar berkata, antara punca kematian penunggang dan pembonceng motosikal lazimnya daripada tidak memakai topi keledar dengan betul dan menggunakan topi keledar yang tidak menepati spesifikasi SIRIM.



Selain itu, mereka juga tidak mengenakan jaket keselamatan.

Dalam operasi yang turut disertai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis, JKJR mengagihkan 50 buah topi keledar dan 100 jaket keselamatan kepada penunggang dan pembonceng motosikal.

Abd Ghafar berkata, kempen advokasi keselamatan jalan raya memainkan peranan penting bagi mengurangkan kadar kemalangan.

"Ia terbukti di mana indeks kematian jalan raya mencatatkan penurunan daripada 4.51 kematian bagi 10,000 kenderaan pada 2004 kepada 2.66 kematian pada 2014," katanya.

Menjelang 2020 kerajaan menyasarkan indeks pada kadar 2.0 bagi setiap 10,000 kenderaan.

Dalam operasi itu, AADK menahan penunggang motosikal berusia 40-an di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 1:26 PM

KEMALANGAN maut membabitkan kereta dan motosikal. FOTO fail NSTP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91969#sthash.fRT2TCyx.dpuf

Ajal terkena renjatan elektrik

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Lelaki ditemui mati selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Padas Tebobon, Menggatal, dekat sini, pagi tadi.

Mayat Mohd Dinor Karim,32, ditemui 10.30 pagi tadi di pondok usang dalam keadaan terbaring sambil tangan kanannya memegang wayar dan kunci.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.



"Kita menerima panggilan pada 10.36 pagi daripada penduduk kampung yang mendakwa mereka menemui seorang lelaki di sebuah pondok yang ada kesan terbakar.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa terbaring di bahagian bawah pondok terbabit sambil memegang wayar dan kunci dalam keadaan tidak bernyawa dipercayai akibat terkena renjatan elektrik," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 4:06 PM

Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91989#sthash.gLjy6i5R.dpuf

Minta bicara kes dera budak

 Oleh Muhamaad Razis Ismail

razis@hmetro.com.my
Kota Bharu: Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap tuduhan memukul teman wanita dan mendera anak perempuan teman wanitanya berusia dua tahun, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Ramizu Che Mat, 33, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap kanak-kanak perempuan itu di rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, di sini, antara 20 hingga 25 Oktober lalu.



Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa mencederakan teman wanitanya Nor Fadhilah Khori, 21, dengan menggunakan tangan dan kaki.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai mendera kanak-kanak perempuan terbabit dan ibunya yang berusia 21 tahun.

Lelaki itu turut didakwa mengurung dua beranak terbabit di dalam rumah berkenaan sebelum mereka berjaya melarikan diri ke rumah saudara terdekat, di sini dan membuat laporan polis.

Kanak-kanak itu mengalami lebam di kedua-dua mata dipercayai akibat ditampar, punggung dan badan yang mempunyai kesan dicucuh puntung rokok dan kecederaan lain selain ibu mangsa turut didera dan mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini sejurus laporan polis dibuat sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 4:06 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91945#sthash.MCYnoeYo.dpuf

Maut kemalangan selepas samun

 Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Dua lelaki yang baru melakukan samun bersenjatakan parang maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan trak pikap Tenaga Nasional Berhad (TNB) di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuning, Taman Pelangi, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, dua suspek itu maut di tempat kejadian, manakala penumpang trak pikap TNB patah paha dan pemandunya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun itu baru melakukan samun terhadap mangsa lelaki 33 tahun kira-kira 2.5 kilometer dari tempat kemalangan.

"Mereka samun menggunakan parang ketika mangsa ingin masuk ke dalam kereta dan sempat melarikan beg sandang mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa samun kemudian bertindak mengejar suspek menggunakan keretanya sebelum suspek terbabas dan melanggar trak pikap TNB di lokasi kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 4:15 PM

DUA lelaki maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan trak pikap. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91991#sthash.ad8tZPu6.dpuf

Kartun hina nahas pesawat Rusia jadi carian popular




AGENSI - KEDUA-DUA kartun yang disiarkan dalam majalah Charlie Hebdo mencetuskan kemarahan orang ramai kerana mengutuk mangsa nahas pesawat Rusia di Semenanjung Sinai, Mesir pada 31 Oktober lalu.


MOSCOW – Rusia menduduki tangga teratas dalam ca­rian menerusi laman sosial pada minggu lalu selepas mengecam tindakan majalah satira Perancis, Charlie Hebdo yang menyiarkan kartun mengenai nahas pesawat Rusia yang terhempas di Mesir.
Majalah Perancis itu menyiarkan dua kartun selepas sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbangan Rusia, Kogalymavia terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Semenanjung Sinai yang menyebabkan kesemua 224 penumpang terbunuh pada 31 Oktober lalu.
Karikatur pertama menunjukkan satu tengkorak manusia dengan kapsyen gambar ‘bahaya penerbangan tambang murah Rusia.’
Sementara karikatur kedua menunjukkan serpihan pesawat terjatuh dari langit ke atas seorang militan Islamic State (IS).
“Pasukan tentera udara Rusia menggiatkan sera­ngan udaranya,” tulis kapsyen gambar berkenaan.
Sebuah rangkaian laman sosial terbesar di Rusia, VK melaporkan kartun yang disiarkan dalam majalah itu antara topik paling banyak yang dibincangkan sekali gus mencatatkan 100 juta pengguna yang aktif sejak minggu lalu.
Rusia turut menduduki carian teratas di rangkaian laman sosial seperti Twitter menyebabkan orang ramai turut menyuarakan kemarahan mereka mengenai penerbitan kedua-dua karikatur itu.
“Ia adalah satu penghinaan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi itu, kata seorang pengguna Twitter, Anna Isayeva.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3r56BQWsH 
Hakcipta terpelihara 

Tiga beranak ditahan kes dadah




Rahmat (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah bilik hotel pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Seramai lima individu termasuk sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki mereka berusia lapan tahun ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Habab di sini pada Sabtu lalu.
Dalam serbuan pada pukul 6.20 petang itu, polis merampas empat peket plastik berisi dadah jenis heroin seberat 858 gram, dua peket plastik berisi syabu seberat 1.92 gram dan satu alat penimbang digital untuk menimbang dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat awam mengenai kegiatan haram kumpulan itu yang dipercayai menjadikan bilik hotel tersebut sebagai tempat pembungkusan dadah.
“Dalam serbuan itu, pasangan suami isteri berusia 36 dan 33 tahun dan anak mereka telah ditahan bersama dua lagi suspek berumur 21 dan 39 tahun yang berasal dari Felda Air Tawar 3 dan Rimpang Renggam.
“Lelaki yang sudah berkahwin itu dan seorang lagi suspek didapati mempunyai rekod jenayah termasuk kesalahan dadah manakala seorang lagi suspek lelaki tiada sebarang rekod,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3r55f81gr 
Hakcipta terpelihara 

Empat sekeluarga maut selepas kereta bertembung lori




KEADAAN kereta yang dinaiki empat sekeluarga yang maut selepas bertembung dengan lori membawa muatan anak kelapa sawit di Kilometer 44, Jalan Lama Maran, Pahang semalam.


MARAN – Empat sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan anak kelapa sawit di Kilometer 44, Jalan Lama Maran berhampiran pekan Sungai Jerik di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.50 petang itu, pemandu kereta, Sukri Sampol, 30; isterinya, Mas Hanum Mustafa Kamal, 3; anaknya, Muhammad Aqil Danish Sukri, 3, dan ibu mertua mangsa, Nor Asiah Abdul Aziz, 53, maut di tempat kejadian.
Mangsa yang cedera ialah adik ipar pemandu, Nurul Hidayah Mustapa Kamal, 25, manakala pemandu lori mengalami kece­deraan ringan.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Raub menuju ke Kuantan menaiki kereta Proton Saga.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.
“Kejadian tersebut menyebabkan keempat-empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Mat Rizal, kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di hospital yang sama.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dilakukan.
Ujarnya, siasatan awal mendapati tempat kejadian merupakan jalan selekoh tajam ke kiri dan semasa kejadian cuaca adalah baik.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3r55PUo3D 
Hakcipta terpelihara 

802 saman laju di LPT2


SEORANG anggota polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melanggar peraturan jalan raya dalam operasi khas di LPT2 dekat Ajil semalam.


KUALA NERUS – Polis mengeluar­kan 802 saman kerana kesalahan memandu melebihi had laju kebangsaan 110 kilometer sejam (km/j) di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dalam Operasi Khas selama empat hari di Terengganu bermula dari 5 hingga 8 November lalu.
Saman itu dikeluarkan terhadap pemandu kende­raan yang melanggar peraturan jalan raya semasa memandu di LPT2.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah, operasi itu menggunakan kaedah perangkap had laju, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan dari udara.
“Dalam tempoh empat hari itu, seba­nyak 1,550 saman dikeluarkan dengan 802 daripadanya adalah saman melebihi had laju.
“Sudah tentu kita melihat jumlah itu sesuatu yang membimbangkan terutama apabila kita berjaya merekodkan pemanduan mencecah kelajuan 210km/j pada hari ketiga operasi,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Operasi Khas LPT2 di Pejabat Felda Wilayah Timur di sini semalam. Kenderaan berkelajuan 210km/j yang dirakam pada waktu siang berhampiran Ajil itu merupakan kereta jenama Porsche Cayenne.
Kosmo! semalam melaporkan seorang jurutera petrokimia di Kerteh, Muhammad Faizol Mohammad, 26, menjadi mangsa ke-87 terbunuh di LPT2 selepas kereta Myvi yang dipandunya terbabas di Kilometer 252.1 berhampiran Hentian Rawat & Rawat Perasing dekat Jabor.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3r54s8TpH 
Hakcipta terpelihara 

Anak Jutawan Keluli Ditemui Mati


Diterbitkan: Isnin, 9 November 2015 10:31 AM

ANAK jutawan keluli di Britain ditemui mati selepas dipercayai jatuh dari penthouse yang terletak di tingkat lapan bangunan kediaman lelaki itu di London.
Mangsa, Angad Paul merupakan anak kepada Lord Paul iaitu pemilik syarikat keluli Caparo yang kini sedang dilanda krisis.
Angad dilapor terjatuh di atas bumbung tingkat satu sebelum ke lantai dan mengejutkan orang ramai yang berada berhampiran bangunan berkenaan.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa berusia 45 tahun itu telah meninggal dunia.
Siasatan awal polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah terhadap kematian mangsa.
Keluarga mangsa merupakan individu ke-47 terkaya di Britain dengan memiliki kekayaan sebanyak £2.2 bilion.

Rasuah: Tukang Tilik Thai Mati Dalam Tahanan


Diterbitkan: Selasa, 10 November 2015 12:09 PM
Suriyan dikawal ketat sebaik tiba di mahkamah tentera selepas ditahan Oktober lalu.

BANGKOK: Tukang tilik terkenal Thailand yang didakwa kerana cubaan menipu kerabat diraja negara itu ditemui mati ketika dalam tahanan pihak tentera.
Ia kejadian kedua melibatkan individu yang terlibat dalam siasatan kes sama.
Pihak berkuasa Thai berkata, Suriyan Sucharitpolwong yang lebih dikenali sebagai Mor Yong mati kerana jangkitan darah beberapa jam selepas ditemui tidak sedarkan diri di sel tahanan berek tentera Bangkok pada petang Sabtu.
Jabatan Pemulihan Thailand berkata, tukang tilik berusia 53 tahun itu dibawa ke hospital sebaik ditemui pengsan oleh pengawal sel tahanan itu.
"Pihak hospital cuba menyedarkannya semula tetapi gagal," kata kenyataan yang dikeluarkan sambil menambah bedah siasat mendapati dia mengalami jangkitan pada darah.
Kematian Suriyan menimbulkan persoalan berkaitan peranan pihak tentera berhubung siasatan kes fitnah terhadap kerabat diraja yang turut mengheret pihak berprofil tinggi, selain mendapat perhatian media.
Menteri Keadilan, Paiboon Khumchaya yang juga bekas tentera berpangkat Jeneral memberita pihak media perubahan prosedur tidak perlu dilakukan di berek berkenaan walaupun susulan kematian tahanan di situ.
"Ada masanya banduan mati di penjara," katanya.
Suriyan ditahan bulan lalu bersama pembantunya dan pegawai polis berpangkat mejar, Prakrom Warunprapa yang kemudiannya diumumkan telah 'menggantung' dirinya ketika dalam tahanan pihak tentera.
Mayat pegawai polis itu kemudiannya dibakar walaupun penjelasan mengenai kejadian itu belum dimaklumkan.
Ketiga-tiga mereka ditahan pada 21 Oktober dan dihadapkan ke mahkamah tentera. Mejar Prakrom ditemui mati dua hari kemudian.
Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, 87 dilindungi oleh undang-undang rasuah dan mana-mana pihak yang cuba mengkritik pihak istana akan dikenakan tindakan serta dihukum penjara untuk tempoh lama.

Kemalangan: Kanak-kanak 3 tahun antara empat maut


Kemalangan: Kanak-kanak 3 tahun antara empat maut

MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
Kemalangan: Kanak-kanak 3 tahun antara empat maut

9 NOVEMBER 2015
Kemalangan: Kanak-kanak 3 tahun antara empat maut Orang awam menemani mayat kanak-kanak berusia tiga tahun.
Kemalangan: Kanak-kanak 3 tahun antara empat maut
Kemalangan: Kanak-kanak 3 tahun antara empat maut

MARAN - Enam sekeluarga dengan empat daripadanya maut apabila kereta jenis Proton Saga dinaiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan anak pokok kelapa sawit, di Jalan Lama Maran-Jerantut, kira-kira jam 6 petang tadi.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta terbabit Sukri Sampol, 30; isterinya Mas Hanum Mustapa, 31; ibu Mas Hanum, Nor Asiah Abdul Aziz, 53; dan anak mereka Muhammad Aqil Danish Sukri, 3 tahun.

Mangsa yang cedera Nurul Hidayah Mustapa Kamal, 25, manakala pemandu lori, Abdul Razak Dau, 43, hanya cedera ringan kini menerima rawatan di Hospital Jengka.

Menurut sumber,  semua mangsa dari Kampung Sengkela Dong itu dipercayai dalam perjalanan dari Raub menuju ke Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Md Radzi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

838 kemalangan maut direkod dalam tempoh 10 bulan


LYDIA
Kemalangan

10 NOVEMBER 2015
Kemalangan

SHAH ALAM - Sebanyak 838 kes kemalangan maut direkod bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan 612 kes daripadanya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.  

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 24 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Pada tahun lepas, kes kemalangan maut bagi golongan ini bagi tempoh Januari 2014 hingga Oktober 2014 adalah sebanyak 588 kes," katanya kepada pemberita selepas selesai Op Cerah di Plaza Tol Batu Tiga, di sini malam tadi.

Abd Ghafar berkata, antara punca kematian penunggang dan pembonceng motosikal lazimnya berpunca daripada tidak memakai topi keledar dengan betul dan menggunakan topi keledar yang tidak menepati spesifikasi Sirim. Selain itu, mereka juga tidak mengenakan jaket keselamatan.    

Dalam operasi yang turut disertai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis, JKJR mengagihkan 50 buah topi keledar dan 100 jaket keselamatan kepada penunggang dan pembonceng motosikal.  

Abd Ghafar berkata kempen advokasi keselamatan jalan raya memainkan peranan penting bagi mengurangkan kadar kemalangan.

"Ia terbukti di mana indeks kematian jalan raya mencatatkan penurunan daripada 4.51 kematian bagi 10,000 kenderaan pada 2004 kepada 2.66 kematian pada 2014," katanya.  

Menjelang 2020 kerajaan menyasarkan indeks pada kadar 2.0 bagi setiap 10,000 kenderaan.  

Dalam operasi itu, AADK menahan seorang penunggang motosikal berusia 40-an di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. - Bernama

Remaja perempuan maut langgar belakang lori


ROHANA ISMAIL
Remaja perempuan maut langgar belakang lor

10 NOVEMBER 2015
Remaja perempuan maut langgar belakang lor Mangsa maut manakala kakak dan adik cedera.

TUMPAT - Seorang remaja perempuan maut manakala pembonceng kakak dan adiknya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mangsa melanggar belakang lori, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kok Keli, mangsa, Siti Norzakirah Murad,16, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa merupakan pelajar Giat Mara Kuala Berang Terengganu.

Kakaknya, Siti Nor Diana, 22, cedera di kepala dan adik mereka berusia 3 tahun, Siti Nur Aina, cedera ringan di kaki dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.

Tiga beradik itu dari kampung Kok Keli dalam perjalanan dari Chabang Tiga Gerong menghala ke rumahnya.

Sebaik tiba di tempat kejadian motosikal mangsa melanggar belakang lori yang dipakir di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian tersebut.

Ayah positif dadah bunuh anak umur sebulan


SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
Ayah positif dadah bunuh anak umur sebulan

10 NOVEMBER 2015
Ayah positif dadah bunuh anak umur sebulan Anggota polis memasang amaran larangan memasuki rumah dihuni bayi perempuan dan keluarganya di Pangsapuri Kota Laksamana, Bandaraya Melaka.

BANDARAYA MELAKA - Seorang bayi perempuan berusia sebulan ditemui mati dipercayai dibunuh bapanya di sebuah rumah di Pangsapuri Kota Laksamana, di sini, semalam.

Difahamkan, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Melaka selepas ibunya berusia 25 tahun membawa bayi yang sudah kaku berkenaan ke hospital untuk rawatan kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati bayi berkenaan mati akibat pendarahan dalaman dan retak tempurung kepala.

"Hasil siasatan awal, kita menganggap kes ini selesai berikutan tangkapan seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga bapa kepada bayi tersebut.

"Suspek yang didapati positif methamphetamine kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Remaja selamat selepas terperangkap 50 jam


9 NOVEMBER 2015

Remaja selamat selepas terperangkap 50 jam

Remaja selamat selepas terperangkap 50 jam Pasukan penyelamat memindahkan mayat mangsa ke dalam ambulans selepas sebuah kilang empat tingkat runtuh di Pakistan, Rabu lalu. - Foto AFP

LAHORE - PAKISTAN . Seorang remaja lelaki ditemui selamat selepas terperangkap lebih 50 jam di bawah sisa runtuhan kilang pembuat plastik Rajput yang runtuh di Lahore, Pakistan.

Pegawai tempatan Muhammad Usman berkata, mangsa terperangkap sejak lebih dua hari lalu dan disangka telah meninggal dunia oleh keluarganya selepas penemuan seorang mayat yang disangka milik remaja terbabit.

"Muhammad Shahid, 18, berjaya ditarik keluar hidup-hidup oleh pasukan penyelamat," katanya.

Difahamkan, keluarganya yang tersilap mengenal pasti mayat remaja lain sebagai milik mangsa bertindak 'mengebumikannya' di kampung halaman mereka di Kabirwala, terletak kira-kira 265 kilometer dari Lahore.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 37 mayat telah ditemui selepas kilang setinggi empat tingkat itu runtuh secara tiba-tiba pada Rabu lalu. - AFP

Pencuri pulang semula duit yang dicuri


9 NOVEMBER 2015

Pencuri

 Gambar hiasan

BAGHDAD - IRAQ. Seorang pencuri memulangkan semula wang hasil curiannya selepas menyedari ia adalah milik anak yatim.

Pencuri itu memulangkan 10 juta dinar ( RM 38, 605) yang dicurinya dari sebuah rumah dua hari selepas dia mengetahui duit itu adalah milik anak yatim dengan meletakkan duit itu di dalam sebuah plastik di depan rumah berkenaan di wilayah Diyala, lapor AL Sumeria.

"Kami menjumpai duit yang diletakkan di dalam beg plastik di luar pintu.

"Duit tersebut adalah milik seorang anak yatim yang bapanya meninggal dunia akibat serangan bom, empat tahun lalu, kata sumber terdekat keluarga berkenaan.

Polis Thai serah kereta seludup dicuri di Malaysia


polis thai

9 NOVEMBER 2015
polis thai Timbalan Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (seragam biru gelap) memeriksa kereta curi Malaysia yang diserahkan kembali oleh polis Thailand hari ini. - Foto Bernama

BANGKOK - THAILAND.  Polis Thailand hari ini menyerahkan kepada polis Malaysia 30 kereta yang dicuri di Malaysia dan diseludup ke Thailand.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Winai Thongsong berkata ini kali ketiga penyerahan serupa dilakukan tahun ini dan menjadikan kesemuanya 75 kereta curi dihantar balik ke Malaysia.

Kebanyakan kereta ini, yang selalunya dicuri kumpulan di Malaysia dan diseludup ke Thailand, digunakan di Thailand dengan nombor pendaftaran palsu, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kereta berkenaan kepada Timbalan Ketua Polis Negara Malaysia Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, rakyat Thailand yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan kereta itu dihadapkan ke mahkamah.

Noor Rashid mengucapkan tahniah kepada polis Thailand atas kejayaan mereka menjumpai kembali kereta berkenaan dan berkata polis kedua-dua negara sentiasa bekerjasama rapat bagi membanteras jenayah itu dan dalam menyelesaikan isu lain.

Penemuan semula dan penyerahan kembali kereta curi itu mencerminkan hubungan

baik yang wujud antara Malaysia dan Thailand, katanya.

Seorang pegawai memberitahu Bernama bahawa kereta berkenaan kini menjadi kepunyaan syarikat insurans kerana pemiliknya telah membuat tuntutan selepas kereta mereka dicuri, termasuk lebih setahun hingga beberapa tahun lepas.

Sesetengah kereta curi yang diseludup ke Thailand juga dihantar ke negara lain oleh sindiket terlibat, katanya. - Bernama

Bunuh guna ketuhar, elak rakan jadi 'zombi'


zombi

9 NOVEMBER 2015
zombi Gambar hiasan
Bunuh guna ketuhar, elak rakan jadi 'zombi'

ALBUQUERQUE - MEXICO. Gara-gara percaya rakannya akan bertukar menjadi zombi sama seperti apa yang ditontonnya dalam drama televisyen sebelum itu, seorang lelaki bertindak memukul rakannya sehingga maut.

Damon Perry,23, dari Prewwit, New Mexico dituduh melakukan pembunuhan ke atas Christopher Paquin, 23, dengan menendang, menumbuk, dan menikam mangsa dengan objek tajam termasuk memukul dengan gitar serta ketuhar gelombang mikro.

Menurut polis, sebelum kejadian, kedua rakan itu menonton rancangan televisyen "The Walking Dead' yang menceritakan mengenai zombi di kediaman lelaki itu yang terletak di bandar kecil Grants, 130 kilometer barat Albuquerque.

Pegawai polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai insiden tersebut berkata, beberapa pekerja penyelanggaran telah berjaya menahan Damon dan mayat Christopher turut ditemui serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Memetik DailyMail, Perry yang mengakui minum arak dalam kuantiti yang banyak ketika kejadian memberitahu pegawai penyiasat, dia bertindak memukul rakannya itu selepas mangsa dikatakan mengigitnya terlebih dahulu.

Sementara itu, pegawai penyiasat Jabatan Polis Grant, Moses Marquez berkata, pembunuhan ini adalah kes pembunuhan pelik dan mengerikan yang pernah dikendalikannya.

Perry kini ditahan di Pusat Tahanan Cibola dan kesnya akan didengar 3 November ini.

Jururawat dirogol dalam bas sedang bergerak


Jururawat dirogol dalam bas sedang bergerak

9 NOVEMBER 2015
Jururawat dirogol dalam bas sedang bergerak Bantahan terhadap keganasan seksual di India

KARNATAKA - INDIA. Seorang remaja  19 tahun dirogol di dalam sebuah bas yang sedang bergerak di wilayah Karnakata, India.

Remaja yang juga merupakan seorang jururawat menaiki bas berkenaan untuk ke hospital tempat dia bekerja ketika dia diserang dan dirogol.

Jurucakap polis Bangalore Rural,  B Ramesh berkata, mangsa hanya berada berseorangan ketika kejadian yang berlaku jam 7.30 pagi Jumaat lalu.

"Pemandu bas tersebut menukar laluan perjalanan dan kemudian menyuruh pencuci bas berkenaan untuk memandu sebelum bertindak merogol mangsa,' katanya dipetik BBC.

Mangsa kemudian memberitahu kejadian itu kepada salah seorang doktor tempat dia bekerja dan kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Pemandu serta pencuci bas kini ditahan.

Isu serangan seksual telah menjadi agenda utama di India sejak seorang pelajar berusia 23 tahun dirogol dan dibunuh di dalam bas di New Delhi pada Disember 2012.