Search This Blog

Saturday, November 7, 2015

Polis tumpas sindiket penipuan SMS


Bandung: Satu sindiket yang aktif menipu orang ramai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) akhirnya tumpas dengan tertangkapnya 15 suspek baru-baru ini.

Jurucakap polis, Kasubdit Jatanras berkata, pihaknya menangkap lapan lelaki di Cianjur, Jawa Barat dan lima lagi di Bandung baru-baru ini.

Katanya, ketua sindiket berkenaan yang dikenali sebagai Effendi ditahan di rumahnya di Malili di Sulawesi Selatan pada Selasa lalu.

Menurutnya, sindiket itu menjalankan penipuan dengan menyebarkan SMS kononnya penerima memenangi hadiah cabutan bertuah daripada sebuah bank.

“Mangsa yang terpedaya akan menghubungi nombor yang tertera dalam SMS itu sebelum anggota sindiket berpura-pura membantu mereka.

“Anggota sindiket kemudiannya memperdaya mangsa ke mesin ATM untuk memindahkan wang mereka ke akaun suspek,” katanya.

Menurutnya, polis mula menjalankan operasi mengesan anggota sindiket itu selepas menerima banyak laporan.

“Ketua sindiket itu tidak mempunyai pekerjaan tetap, tetapi mampu membeli rumah besar dan memiliki beberapa kereta serta motosikal.

“Semua harta milik suspek dirampas kerana disyaki hasil daripada penipuan,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:24 PM

BEBERAPA anggota sindiket penipuan SMS yang ditahan polis di Bandung.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91157#sthash.pq6njTxf.dpuf

Polis kawal Shah Rukh Khan


Mumbai: Polis di bandar raya ini meningkatkan kawalan keselamatan di kediaman bintang Bollywood Shah Rukh Khan ekoran pertelagahan mengenai kenyataan pelakon itu berhubung sikap tidak bertoleransi di negara itu.

Polis dilihat mengadakan sekatan di jalan raya menuju ke rumah aktor berkenaan dan menahan secara rambang kenderaan untuk melakukan pemeriksaan.

Pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) Kailasj Vijaywargiya Selasa lalu mencetuskan kontroversi apabila berkata jiwa Shah Rukh berada di Pakistan walaupun menetap di India.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas pelakon terkenal berusia 50 tahun itu berkata, wujud ‘sikap tidak bertoleransi agama yang melampau’ di negara itu.

Seorang lagi pemimpin BJP Yogi Adityanath pula membandingkan Shah Rukh dengan ketua militan Pakistan Hafiz Saeed yang didakwa merancang serangan di Mumbai hingga menyebabkan ratusan orang terbunuh.

Dia juga menggesa Shah Rukh berpindah ke Pakistan.

Isu toleransi beragama semakin menjadi-jadi di India, membabitkan BJP, parti pelampau Hindu yang menggalakkan anggotanya menyerang penduduk beragama Islam dan kaum kasta rendah negara itu kerana memakan daging lembu.

Parti itu bercadang mengharamkan penjualan lembu, binatang yang dianggap suci dan disifatkan sebagai ibu kerana mengeluarkan susu.

Empat penduduk Islam dibunuh penyokong BJP sejak enam minggu lalu selepas dituduh memakan daging, menyembelih, mencuri atau menyeludup haiwan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:04 AM

POLIS mengawal kediaman Shah Rukh Khan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91380#sthash.toegxD3I.dpuf
Pelajar curi bas untuk duduki peperiksaan
 0    0  0 Google +0
Johannesburg: Seorang pelajar sekolah tinggi mencuri sebuah bas sebagai usaha terakhir untuk membolehkan dia menduduki peperiksaan akhirnya.

Media tempatan melaporkan, Le-Aan Adonis memandu bas berkenaan selepas pemandunya tidak muncul.

Bercakap kepada stesen televisyen eNCA, Adonis berkata, dia menemui kunci di dalam bas itu.

“Pelajar lain meminta saya memandu bas itu kerana mereka yakin saya boleh membawanya,” kata pelajar berusia 20 tahun itu.

Bagaimanapun, polis menahan bas berkenaan tidak jauh dari sekolahnya di wilayah Western Cape dan mendenda Adonis 5,000 rand (RM1,550).

Menurut eNCA, pelajar itu juga akan dibicarakan oleh pihak berkuasa disiplin sekolah kerana tindakannya itu.

Bagaimanapun, dia sudah menerima beberapa tawaran guaman percuma dan sumbangan untuk membantunya membayar denda berkenaan.

Tindakan Adonis itu membolehkan dia dan rakannya sempat menduduki peperiksaan mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:05 AM

ADONIS menunjukkan kepada wartawan bas yang dicurinya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91394#sthash.4zxG6VXH.dpuf

Yakin ada bom

 AFP
Sharm el Sheikh, Mesir: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameron percaya pesawat penerbangan Russia, Metrojet yang terhempas pada 31 Oktober lalu berpunca daripada letupan bom.

Sebuah akhbar di Britain semalam melaporkan teori kedua-dua pemimpin itu kemungkinan berdasarkan satu komunikasi pengganas yang dipintas unit perisikan.


“Terdapat kemungkinan ada bom di dalam pesawat dan kami memandang serius perkara itu.

“Namun, masih terlalu awal untuk mengesahkan perkara itu,” kata Obama kepada sebuah stesen radio di AS.

Cameron yang menerima kunjungan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi di London kelmarin juga percaya kemungkinan bom oleh pengganas menyebabkan pesawat itu terhempas.

Akhbar The Times semalam melaporkan, satu komunikasi elektronik yang dipintas perisik Britain dan AS mencadangkan bom mungkin dibawa ke dalam pesawat itu.

Lapor akhbar itu, satu operasi perisikan bersama menggunakan satelit berjaya memintas perbualan antara militan di Sinai, Mesir dan Syria.

“Kandungan mesej itu meyakinkan penyiasat sebutir bom dibawa ke dalam pesawat oleh seorang penumpang atau kru di lapangan terbang,” kata akhbar itu tanpa memberitahu sebarang sumber maklumat berkenaan.

Pesawat Airbus A320-200 itu terhempas di Semenanjung Sinai beberapa minit selepas berlepas dari bandar ini menyebabkan semua 224 penumpang terbunuh.

Militan di Sinai yang mempunyai hubungan dengan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab, tetapi dinafikan Mesir dan Russia.

Syarikat penerbangan Eropah membawa pulang ribuan pelancong negara itu yang terkandas di bandar ini selepas penerbangan ke benua itu dibatalkan akibat isu keselamatan.

Keadaan tegang di lapangan terbang semalam apabila ribuan pelancong Britain terpaksa pulang semula ke hotel selepas Mesir menghalang tambahan penerbangan untuk membawa mereka pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:05 AM

PELANCONG Britain yang terkandas di lapangan terbang Sharm el-Sheikh menunggu penerbangan untuk membawa mereka pulang semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91390#sthash.0Gjrb6cq.dpuf

Bom dalam pesawat Russia punca terhempas


Londo: Amerika Syarikat dan Britain percaya bom menjadi punca pesawat Russia terhempas di Semenanjung Sinai hujung minggu lalu, ketika kumpulan Negara Islam (IS) bertegas mengaku bertanggungjawab.

Britain dan Ireland menggantung penerbangan ke resort Sharm el-Sheikh di Laut Merah selepas pesawat milik syarikat Russia itu terhempas selepas berlepas ke St Petersburg dari resort berkenaan menyebabkan 224 orang terbunuh.

“Bom adalah kemungkinan paling besar. Ia sesuatu yang kumpulan IS mahu lakukan,” kata seorang pegawai AS.

Pejabat Perdana Menteri Britain menyatakan “ketika lebih banyak maklumat diperolehi, kami mengambil kira pesawat itu terhempas akibat bahan letupan”.

Russia serta dan Mesir menolak dakwaan IS ia bertanggungjawab menyebabkan pesawat Airbus A-321 itu terhempas dan kumpulan itu sekali lagi menegaskan hari ini bahawa ia bertanggungjawab serta berjanji mendedahkan bagaimana ia dilakukan.

“Buktikan bukan kami melakukannya dan bagaimana pesawat terhempas. Kami akan beri maklumat lengkap bagaimana pesawat itu terhempas,” kata kenyataan IS melalui audio yang disiarkan di internet.

Pakar menyatakan serpihan serta mayat bertaburan dalam kawasan yang luas menunjukkan pesawat itu pecah di udara dan punca ia terhempas berkemungkinan besar akibat masalah teknikal atau bom dalam pesawat. Satelit Amerika mengesan cahaya panas pada pesawat sebelum ia terhempas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 5:22 PM

Bangkai pesawat Airbus milik Russia yang tersadai di Semenanjung Sinai, Mesir. - Foto REUTERS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91007#sthash.NNtsIdxL.dpuf

Balasan si pencuri

Agensi
Nanning, China: Seorang wanita yang ditangkap kerana mencuri daging di sebuah pasar di sini diikat di tepi jalan dan dipakaikan satu sepanduk bertulis ‘Saya pencuri’.

Wanita berusia 40 tahun itu dilihat duduk dengan tangannya diikat ke belakang pada satu besi di tepi jalan di luar pasar berkenaan.

Saksi berkata, wanita itu ditangkap sekumpulan peniaga kerana mencuri daging kambing dan khinzir di pasar itu.

Katanya, wanita berkenaan sudah beberapa kali ditangkap kerana mencuri dan tidak pernah serik melakukan jenayah berkenaan.



“Sebagai pengajaran beberapa peniaga membawa wanita itu ke tepi jalan sebelum mengikatnya pada penghadang besi.

“Seorang peniaga kemudian meletakkan satu sepanduk di leher wanita itu yang bertulis ‘Saya pencuri’, ‘Saya mencuri daging kambing dan khinzir’,” katanya.

Menurutnya, wanita itu dibiar terikat di tepi jalan beberapa jam sebelum orang ramai menghubungi polis.

Beberapa gambar wanita itu dimalukan di tempat awam tersebar di laman sosial di China dan mendapat pelbagai reaksi pengguna.

“Apa sudah jadi dengan negara ini? Di manakah undang-undang?” kata seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna pula menyokong tindakan peniaga itu dan berharap hukuman berkenaan akan membuatkan wanita itu insaf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:02 AM

KEADAAN wanita yang diikat di tepi jalan selepas ditangkap kerana mencuri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/90816#sthash.HX200p0d.dpuf

Wanita tertembak suami ketika bergurau


Hermosillo (Mexico): Seorang wanita secara tidak sengaja menembak hingga mati suaminya ketika bergurau sambil mengacukan pistol ke arah lelaki itu.

Kejadian berlaku ketika Rosa Isela Contreras Leyva, 41, terjaga dari tidur selepas suaminya, Abel Tarango Avitia, 54, yang mabuk pulang dari rumah pada jam 3 pagi (waktu tempatan).

Rosa kemudian memarahi suaminya dan meminta lelaki itu supaya tidak membuat bising.

Bagaimanapun, Avitia mengeluarkan pistolnya dan memberitahu Rosa bahawa dia adalah ketua di rumah itu.



Rosa memberitahu polis, dia tahu suaminya seorang yang berhati-hati dan sentiasa memastikan pistolnya tidak berisi peluru.

Kerana terlalu yakin, dia merampas pistol dari tangan Avitia dan mengacukan ke arah suaminya itu bagi menunjukkan dia tidak takut.

“Saya tidak tahu pistol itu berpeluru dan saya hanya bergurau apabila mengacukan senjata itu ke arah suami saya yang ketakutan.

“Saya berasa lucu melihat suami saya sangat takut dan cuba mengelak dari ditembak,” katanya.

Menurutnya, apabila dia menarik picu pistol itu dia terkejut apabila senjata itu meletup.

Polis berkata, peluru pistol itu menembusi tekak Aviatia menyebabkan dia rebah.

Pasukan perubatan yang tiba mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Rosa kini ditahan polis dan media tempatan melaporkan wanita itu kemungkinan berdepan dakwaan membunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:01 AM

ROSA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/90812#sthash.bpxWP609.dpuf

Pegawai tentera disiasat kes hina raja


Bangkok: Polis Thai semalam memberitahu, pihaknya menumpukan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan tentera kerana dipercayai terbabit dengan sekumpulan individu yang didakwa menghina institusi diraja negara itu.

Pengumuman itu perkembangan terbaru dalam siasatan bermula pada 2014, membabitkan beberapa pegawai polis, bekas puteri dan ahli keluarganya serta seorang tukang tilik nasib.

“Kami menyiasat dakwaan beberapa pegawai berpangkat mejar jeneral dan kolonel turut terbabit dalam skandal ini,” kata jurucakap polis, Piyaphand Pingmuang.

“Sekiranya terdapat bukti kukuh, waran tangkap akan dikeluarkan segera,” tegasnya.

Media melaporkan seramai 40 hingga 50 pegawai tentera akan disiasat polis.

Skandal itu membabitkan seorang pegawai kanan polis, Pongpat Chayaphan yang juga bapa saudara bekas Puteri Srirasmi yang pernah menjadi isteri Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Gelaran Srirasmi ditarik balik pada Disember lalu selepas diceraikan suaminya ketika siasatan berkenaan berjalan.

Skandal itu tercetus apabila beberapa ahli keluarga Srirasmi menyalahgunakan nama putera itu untuk mendapatkan wang.

Sehingga kini tiga individu sudah didakwa di mahkamah dalam siasatan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 6:59 AM

SRIRASMI
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/90810#sthash.tYz3uyg0.dpuf

Nyaris maut kerana seloroh hari perkahwinan


Tengzhou: Hari perkahwinan sepasang pengantin berakhir dengan tragedi apabila pengantin perempuan nyaris maut setelah cedera parah akibat cubaan untuk berseloroh.

Pengantin wanita itu keluar dari kereta setibanya di tempat majlis berlangsung apabila pengiring pengantin lelaki memautnya dan melambungnya untuk meraikan majlis berkenaan.

Perbuatan berseloroh seumpama itu di majlis perkahwinan adalah sebahagian tradisi masyarakat Cina.

Bagaimanapun, dalam kejadian berkenaan, pengantin perempuan itu terjatuh dengan kepalanya terhentak ke tanah apabila pengiring terbabit gagal menangkapnya dengan betul selepas melambungnya.



Majlis itu kemudian dihentikan dan wanita itu dikejarkan ke hospital.

Dia dimasukkan ke jabatan kecemasan, tetapi dilapor semakin pulih.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan kejadian yang berlaku di Tengzhou, bandar di wilayah Shandong, timur China itu berkata, wanita berkenaan tidak gembira dengan apa yang berlaku kerana dia terlepas peluang meraikan hari perkahwinannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 9:40 AM

PENGANTIN perempuan itu diusung masuk ke kereta untuk dihantar ke hospital.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91089#sthash.7MTmNZjO.dpuf

Suami dari neraka

 Agensi
Bangkok: Seorang suami ditahan polis selepas satu rakaman video yang memaparkan aksi kejam lelaki itu menyepak dan memijak muka isterinya hingga pengsan tersebar di internet.

Rakaman video selama 45 saat itu menunjukkan pasangan berkenaan bertengkar di tepi jalan di wilayah Samut Prakan dekat sini pada Rabu lalu.

Lelaki itu dilihat memukul isterinya sebelum menyepak muka wanita itu sehingga menyebabkan mangsa pengsan.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berkenaan memijak muka isterinya sebanyak tiga kali sebelum menarik kolar baju dan mencampakkan mangsa ke jalan.

Lelaki itu kemudian terus berlalu pergi dan membiarkan isterinya terbaring di tepi jalan.

Aksi kejam lelaki itu dirakam seorang pengguna jalan raya yang kemudiannya memuat naik video berkenaan di Internet.

Video berkenaan menjadi viral dan ramai pengguna In ternet mengecam tindakan lelaki itu sebelum melaporkan kepada polis.

Jurucakap polis Bunrit Chernchue berkata, siasatan polis mendapati wanita itu, Nongluck Churat, 41, yang cedera parah di muka dan kepala kini dirawat di hospital di Samut Prakan.

Katanya, Nongluck memberitahu polis, dia dipukul suaminya, Wut Sompakdi, 45, selepas bertengkar di kedai makan.

“Susulan keterangan wanita itu kami menahan Wut yang berada dalam keadaan mabuk di rumahnya di daerah Phra Pradaeng.

“Wut memberitahu dia memukul isterinya kerana mengesyaki wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya.

Menurutnya, polis menahan lelaki itu dan bakal mendakwanya atas tuduhan menyerang dan menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:25 PM

GAMBAR dipetik dari klip video menunjukkan Wut memijak kepala isterinya (kiri) sebelum menghempas badan wanita itu ke jalan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91159#sthash.UvZuUNt2.dpuf

43 tahun penjara



Bangkok : Dua lelaki dihukum penjara 43 tahun semalam selepas didapati bersalah melancarkan sebutir bom tangan terhadap sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan pada tahun lalu.

Serangan pada 7 Mac 2014 itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kematian, tetapi ia antara siri keganasan sepanjang bantahan besar-besaran yang menyebabkan 258 orang maut.


Mahkamah Jenayah di sini diberitahu, kedua lelaki berkenaan adalah anggota Barisan Hadapan Demokrasi Menentang Diktator (UDD).

UDD atau lebih dikenali sebagai kumpulan Baju Merah adalah penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan adiknya, Yinluck yang juga bekas Perdana Menteri.



Selepas serangan berkenaan, tentera akhirnya merampas kuasa sekali gus menamatkan pemerintahan
Yingluck.

Hakim berkata, saksi memberi bukti kukuh untuk menyabitkan kedua-dua tertuduh.

“Mereka sepatutnya dihukum penjara seumur hidup, tetapi dikurangkan kepada 43 tahun dan empat bulan kerana mengaku bersalah,” katanya.

Mereka juga turut didakwa memiliki senjata secara haram dan cubaan membunuh.

Bom tangan jenis M79 dilepaskan terhadap sekumpulan penunjuk perasaan antikerajaan berhampiran pasar Chatuchak di Bangkok.

Bantahan besar-besaran tahun lalu adalah sebahagian konflik berpanjangan antara golongan pertengahan dan elit yang disokong tentera menentang golongan luar bandar dan kelas pekerja yang setia kepada keluarga Shinawatra.

Kedua-dua kumpulan yang dikenali sebagai Baju Kuning dan Baju Merah itu mengalami kehilangan nyawa dalam konflik berkenaan yang berpunca daripada tembakan dan serangan bom tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:06 AM

GAMBAR fail menunjukkan seorang daripada tertuduh, Narongsak Plaiaram (duduk) pada sidang akhbar selepas dia ditahan pada Julai 2014.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91405#sthash.0pnlcZex.dpuf
Nenek siat wang tunai RM4.5j
Agensi
Vienna: Seorang wanita berusia 85 tahun menyiat wang kertas berjumlah 950,000 euro (RM4.5 juta) kerana tidak mahu keluarganya mewarisi hartanya.

Nenek itu juga dilapor menyiat buku akaun simpanannya sebelum dia mati di pusat penjagaan orang tua.

Bagaimanapun, anggota keluarganya bernasib baik kerana bank pusat Austria berikrar untuk menggantikan 950,000 euro yang dimusnahkannya.

Cebisan wang kertas dan dokumen bank itu ditemui selepas dia mati, kata pendakwa raya.

Pendakwa raya Erich Habitzl mengesahkan penemuan itu, tetapi berkata, dia tidak boleh berbuat apa-apa bagi pihak keluarga wanita itu.

“Wang yang dimusnahkan itu milik wanita berkenaan. Ia bukan perbuatan jenayah. Kerana itu kami tidak boleh memulakan siasatan,” katanya.

Bagaimanapun, timbalan ketua bahagian pengeluaran wang bank pusat Austria berkata, pihaknya akan menggantikan wang berkenaan.

Bercakap kepada akhbar tempatan Kurier Daily, Friedrich Hammerschmidt berkata: “Jika waris wanita itu boleh menunjukkan wang kertas yang sudah disiat-siatkan itu dan sekiranya sumber wang itu terjamin, sudah pasti kami akan menggantikannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:06 AM

GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91397#sthash.9RpSmEwM.dpuf

Kereta RM6.55 juta kemalangan


Budapest: Sebuah LaFerrari, antara kereta paling mahal di dunia, terbabit dalam kemalangan sebaik keluar dari kedai menjualnya selepas pemandunya gagal mengawal kenderaan itu.

Kejadian berlaku di jalan raya yang sibuk di ibu negara Hungary ini beberapa hari lalu dan dirakam oleh rakan pemandunya yang memandu kereta lain.

Mulanya, pemandu berkenaan dilihat mengendalikan kereta berharga RM6.55 juta itu dengan baik. Bagaimanapun, apabila tiba di satu selekoh, dia mungkin tertekan dengan kuat pedal minyak, menyebabkan kereta itu meluncur laju dan gagal dikawal.

LeFerrari itu yang boleh memecut 100 kmj di bawah tiga saat terbabas lalu melanggar beberapa kereta yang diparkir di tepi jalan.

Tidak ada yang cedera dalam kejadian itu.

Ferrari hanya mengeluarkan 499 LaFerrari sejak awal tahun lalu. Kejadian di Budapest itu adalah keretanya yang keempat terbabit dalam kemalangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:06 AM

KEADAAN kereta itu selepas kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91401#sthash.0YoISzVS.dpuf

Simpan hidung tunggu wang


Jiujiang: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun terpaksa menahan sakit selepas hidungnya putus digigit anjing liar ketika bermain di luar rumah.

Lebih malang lagi, hidung kanak-kanak itu, Xiaowen masih belum disambung semula kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos perubatan yang mahal.

Xiaowen kini dirawat di sebuah hospital di sini dan hidungnya direndam dalam cecair khas sementara menunggu ia disambung semula.

Bapa Xiaowen, Wu Huajing berkata, anaknya diserang seekor anjing liar pada 31 Oktober lalu sehingga menyebabkan sebahagian hidungnya terputus.

“Saya membawa Xiaowen ke hospital, tetapi doktor memberitahu kecederaan anak saya sangat parah dan tidak boleh dirawat di sini.

“Doktor berkata, anak saya perlu menjalani pembedahan menyambung semula hidungnya di hospital di Shanghai,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak mampu membawa anaknya ke Shanghai kerana kos pembedahan dianggarkan berjumlah 300,000 yuan (RM203,555).

Huajing yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terpaksa menyara lima lagi anak kini merayu derma orang ramai untuk membantu kos pembedahan anaknya itu.

“Saya sudah tidak sanggup lagi melihat keadaan anak saya. Setiap hari dia menangis kerana kesakitan,” katanya.
KEADAAN hidung Xiaowen yang putus akibat digigit anjing.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:07 AM


IBU dan bapa Xiaowen berusaha memujuknya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91413#sthash.wBCaVZNz.dpuf

Mayat bayi jadi petunjuk 
baharu nahas Metrojet di Sinai


Mayat ibu Darina Gromova , Tatiana yang berusia 26 tahun masih belum ditemukan. AGENSI
KAHERAH 6 Nov. – Pasukan pen­yiasat tragedi pesawat milik Rusia, Metrojet yang terhempas di Semenanjung Sinai pada minggu lalu, tidak menolak kemungkinan penemuan mayat seorang bayi perempuan jauh dari lokasi kejadian, boleh menentukan sama ada pesawat itu menjadi mangsa keganasan atau sebaliknya.
Mayat bayi berusia 10 bulan, Darina Gromova dari Saint Petersburg, ditemukan kira-kira 33 kilometer dari lokasi bangkai pesawat berdekatan lapangan terbang, sekali gus menjadi petunjuk bahawa pesawat itu mungkin meletup lebih awal dari jangkaan iaitu sebaik-baik sahaja berlepas.
Menurut laporan Mail Online, penemuan berkenaan membuatkan pasukan penyiasat meluaskan kawasan pencarian dalam lingkungan 40 kilometer bagi mencari petunjuk baharu berhubung tragedi itu.
Mayat ibu dan bapa bayi berkenaan, Tatiana, 26, dan Alexei Gromov, 27, masih belum ditemukan.
Dalam perkembangan lain, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Perdana Menteri Britain, David Cameroon tidak menolak kemungkinan pesawat yang membawa 224 orang itu terhempas akibat letupan bom milik pengganas.
Kenyataan kedua-dua pe­mimpin tersebut mengukuhkan lagi teori pembabitan pengganas dalam insiden itu susulan beberapa bukti seperti corak letupan, imej satelit, dan beberapa data lain yang menyokong dakwaan terbabit.
Bagaimanapun kerajaan Mesir dan Rusia menolak teori tersebut memandangkan tiada bukti kukuh yang menunjukkan kumpulan pengganas terlibat dalam tragedi itu.
Sementara itu, Moscow menggantung sijil penerbangan bagi kira-kira 200 pesawat Boeing 737 yang digunakan dalam penerbangan di negara itu sehingga dibe­ritahu.
Jawatankuasa Penerbangan Antara Negeri (IAC) membuat pengumuman itu selepas mendapati pesawat Airbus 321 yang terhem­pas di Mesir, didaftarkan di Ireland tetapi beroperasi untuk syarikat Metrojet, atau dikenali sebagai Kogalymavia.
Jelas IAC, penggantungan itu akan kekal sehingga notis baharu dikeluarkan daripada pihak berkuasa penerbangan Rusia, Rosaviatsya dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS tentang tahap keselamatan pesawat Boeing 737.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mayat-bayi-jadi-petunjuk-8232-baharu-nahas-metrojet-di-sinai-1.155538#sthash.1384JgsN.dpuf

Lelaki kena renjatan elektrik 
13,000 voltan terselamat


Detik-detik Rioler Martinez terkena renjatan elektrik sempat dirakam.
DETIK-DETIK Rioler Martinez terkena renjatan elektrik sempat dirakam. AGENSI
BOGOTA 6 Nov. – Berpantang ajal sebelum maut. Itulah yang berlaku kepada seorang juruteknik di Colombia yang terselamat selepas terkena renjatan elektrik lebih 13,000 voltan apabila cuba membaiki sendiri kabel elektrik yang menghubungkan rumahnya, baru-baru ini.
Mangsa dikenali sebagai Rioler Martinez dari Barrangquilla, utara Colombia hanya mengalami luka akibat terbakar di seluruh badan selepas menggunakan kayu panjang untuk membetulkan kabel elektrik tanpa memakai sarung tangan.
Menurut laporan portal Mail Online, kejadian tersebut sempat dirakamkan seorang penduduk tempatan, Cesar Sarmiento, yang menunjukkan percikan api besar tercetus lalu mengenai badan Martinez, sebaik-baik sahaja kayu ber­kenaan menyentuh kabel elektrik.
Selepas letupan kecil berlaku, badan Martinez kaku di atas tiang elektrik tersebut seolah-olah tidak bernyawa, tetapi pasukan perubatan yang tiba lebih sejam kemudian mendapati mangsa masih bernafas lalu membawanya ke hospital.
Doktor Karen Flanco yang me­rawatnya, terkejut mendapati Martinez selamat walaupun terkena renjatan elektrik melebihi 11,000 voltan yang kebiasaannya boleh menyebabkan kematian.
“Apabila tiba di hospital, ke­­­­-
a­daan mangsa sangat kritikal, tetapi dia terselamat,” katanya.
Martinez berkata, dia tidak mengingati dengan jelas insiden yang hampir meragut nyawanya itu.
“Perkara terakhir saya ingat ialah memegang kayu yang menyentuh bahagian kabel elektrik,” katanya.

‘Bayi ajaib’ terselamat nahas pesawat kargo


penduduk kampung membawa seorang bayi yang ditemui selamat dalam
Penduduk kampung membawa seorang bayi yang ditemui selamat dalam nahas pesawat kargo di tebing Sungai Nil Putih, Sudan Selatan,kelmarin. AGENSI
JUBA, Sudan Selatan 5 Nov. - Seorang bayi terselamat dalam nahas pesawat kargo di tebing Sungai Nil Putih, Sudan Selatan, semalam yang mengakibatkan 41 orang terbunuh, ketika pasukan keselamatan meneruskan usaha mencari kotak hitam dan saki baki mayat yang masih belum ditemui.
Laman web Daily Express melaporkan, bayi berusia 14 bulan itu merupakan salah seorang daripada dua orang penumpang yang terselamat dalam nahas tersebut, sebelum seorang penumpang terbabit meninggal dunia akibat kecederaan teruk.
Bayi tersebut dikenali sebagai Nyloak Tong dan kini menerima rawatan di sebuah hospital di Juba, Sudan Selatan.
“Dipercayai bayi ajaib itu menaiki pesawat berkenaan bersama ibu dan empat orang abangnya. Kesemua keluarga itu kecuali bayi berkenaan maut dalam kejadian itu,” kata sumber.
Jurucakap Presiden Sudan Selatan, Ateny Wek Ateny berkata, pesawat jenis Antonov itu didaftarkan di Tajikistan dan dimiliki syarikat Allied Services Limited.
“Nahas itu turut mengorbankan lima orang anak kapal warga Armenia dan seorang warga Rusia. Pesawat itu turut membawa 12 orang penumpang yang kesemuanya rakyat tempatan,” jelas Ateny, sambil menambah kata, 10 orang penduduk yang tinggal berhampiran kawasan nahas turut maut dalam kejadian tersebut.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Lapangan Terbang Juba, Stephen Warikozi berkata, usaha mencari saki baki mayat dan kotak hitam pesawat itu sedang dipergiatkan.
Setiausaha Ketiga Ukraine di Kenya, Alexander Kalinchuk berkata, pesawat kargo berkenaan diperbuat di Rusia dan bertanggungjawab mengangkut bekalan minyak dari beberapa buah syarikat di Sudan Selatan.
Stesen televisyen Rusia LifeNews mendedahkan maklumat daripada sumber yang enggan dikenali bahawa pesawat Kesatuan Soviet yang dibina pada 1971 itu kelihatan seperti membawa lebihan muatan.
“Kebiasaannya pesawat hanya membawa 12 orang penumpang, masalah berlaku apabila berlaku penambahan penumpang. Pesawat tersebut dibina untuk muatan kargo dan bukannya untuk menampung manusia,” kata Pembantu Pengurus Operasi Combined Air Services, Kenyi Galla. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-bayi-ajaib-8217-terselamat-nahas-pesawat-kargo-1.155150#sthash.ucFh66E7.dpuf