Mahasiswa Universiti Zhongshan menggantung patung hantu bagi menghalang kemasukan pencuri. AGENSI
Mail Online melaporkan, kejadian kecurian di Universiti Zhongshan mula berlaku sejak beberapa bulan lalu dan pihak universiti hanya memandang enteng aduan yang dibuat.
Pihak universiti enggan melaporkan kejadian kecurian tersebut kepada pihak polis kerana bimbang reputasi pusat pengajian itu akan terjejas.
Sebagai tanda protes, mahasiswa universiti terbabit mengambil initiatif mencipta ‘alat keselamatan’ mereka tersendiri bagi menghalang kemasukan pencuri.
Beberapa keping gambar yang tersebar meluas di laman sosial memaparkan bagaimana mahasiswa terbabit menggunakan pelbagai cara untuk menghalang kemasukan pencuri, termasuk menyendat pintu dengan bagasi, merantai tombol pintu dan menggantung patung seperti hantu.
Pengguna laman sosial memuji kreativiti yang dipamerkan oleh mahasiswa tersebut, selain mengutuk pihak universiti kerana enggan memberi kerjasama.
Selepas dikritik pengguna laman sosial, Universiti Zhongshan, baru-baru ini mengambil tindakan untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sekitar kampus.
Mereka turut menyiasat siapa dalang di sebalik kejadian kecurian di universiti berkenaan.