Search This Blog

Sunday, November 1, 2015

Guna lubang seludup barang setiap hari

10 lubang di pagar sempadan

Beginilah keadaan pagar sempadan yang dirosakkan dan digunakan

BEGINILAH keadaan pagar sempadan yang dirosakkan dan digunakan penyeludup berdekatan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis.
MUKADIMAH: Penyeludupan di kawasan sempadan hutan negara jiran bukanlah isu baharu malah sering kali didedahkan oleh media massa.
Pelbagai faktor menjadi punca berlakunya jenayah itu antaranya disebabkan kawasan sempadan yang luas. Namun bagaimana pula jika ‘kerja’ itu dilakukan di kawasan tumpuan awam secara terbuka dan terang-terangan atau di waktu siang hari.
Sudah tentu ini menimbulkan 1,001 persoalan tentang isu penguatkuasaan. Ikuti laporan khas dilakukan wartawan Mingguan Malaysia di sempadan Padang Besar, Perlis dan Thailand, baru-baru ini.

PADANG BESAR 31 Okt. Terdapat kira-kira 10 buah lubang dikesan di pagar sempadan di stesen Keretapi Tanah Melayu Malaysia (KTMB) yang memisahkan antara Padang Besar, Perlis di sini dan Padang Besar, Thailand yang sering kali digunakan oleh penyeludup untuk menyeludup barangan setiap hari.
Lubang-lubang itulah yang digunakan penyeludup untuk membawa masuk dan keluar pelbagai jenis barangan antara dua pekan tersebut selain penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati kesemua lubang adalah berpunca akibat pagar di situ dipotong atau dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai penyeludup.
Ketika wartawan melalui kawasan itu kira-kira pukul 12 tengah hari baru-baru ini, kebetulan terdapat dua lelaki sedang memberhentikan sebuah kereta di kawasan semak berdekatan pagar.
Kedua-duanya kemudian mengeluarkan tiga buah guni padat berisi daun berwarna hijau disyaki ketum dari but kereta lalu berlari dan menghulurkannya kepada tiga lelaki yang sedia menunggu di negara jiran melalui satu lubang di pagar sempadan.
Setiap guni itu dianggarkan seberat 30 kilogram iaitu berat kasar bagi setiap guni ketum yang biasa­nya digunakan oleh penyeludup di negeri ini.
Harga bagi setiap kilogram daun itu di sini adalah antara RM25 hingga RM30, bagaimanapun boleh mening­kat kepada RM80 di selatan Thailand manakala semakin ke arah utara negara jiran tersebut pula boleh mencecah RM140 sekilogram.
Berdasarkan pemerhatian, pertukaran barangan itu dilakukan secara pantas iaitu kurang dua minit tanpa menghiraukan kenderaan yang sedang melalui jalan tersebut.
Lubang-lubang sama dan modus operandi serupa juga diguna pakai untuk menyeludup PATI tetapi kebiasaannya terdapat kenderaan yang sudah siap sedia menunggu di pagar sempadan negara.
Menurut sumber, PATI yang dibawa menggunakan kenderaan tidak akan melalui pemeriksaan keselamatan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di jalan besar iaitu di Sungai Chuchoh di sini, sebaliknya menggunakan jalan-jalan kampung antaranya Jalan Kok Mak dan Jalan Semadong.
Katanya, dari situ, PATI akan dibawa sehingga ke destinasi sete­rusnya seperti di Sungai Petani, Kedah atau Pulau Pinang.
“Setiap PATI perlu membayar kira-kira RM1,100 seorang untuk diseludup masuk ke negara ini dan setiap tekong darat mendapat upah RM50 bagi setiap PATI yang dibawa.
“Laluan sama juga digunakan untuk PATI yang ingin keluar dari negara ini secara haram berikutan ketiadaan dokumen atau dokumen tamat tempoh,” katanya.
Hasil temu bual dengan seorang pekerja di Stesen KTMB di sini yang enggan dikenali berkata, kegiatan penyeludupan berlaku setiap hari tanpa mengira masa.
“Kegiatan penyeludupan itu dilakukan pada waktu siang mahu­pun malam. Kebanyakan orang di sini takut untuk masuk campur (penyeludup) kerana bimbang ke­selamatan diri serta keluarga dan kami hanya buat kerja kami,” katanya ketika ditemui.
Berdasarkan pemerhatian katanya, kesemua penyeludup merupakan orang tempatan di pekan itu dan dia biasa melihat kelibat mereka setiap hari di situ.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/guna-lubang-seludup-barang-setiap-hari-1.152848#sthash.oBH9Wgaz.dpuf

3 kumpulan penyeludup PATI, ketum di stesen KTMB

Sebuah kereta dilihat berhenti di kawasan semak berdekatan pagar

Sebuah kereta dilihat berhenti di kawasan semak berdekatan pagar sempadan sebelum tiga orang di dalamnya keluar mengambil tiga buah guni dari but kenderaan lalu berlari ke arah pagar itu untuk dihulurkan kepada rakan seludup yang sedia menunggu di sempadan Thailand berdekatan pagar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis.
PADANG BESAR 31 Okt. – Siasatan pihak berkuasa percaya terdapat tiga kumpulan yang aktif menggunakan pagar sempadan di stesen Keretapi Tanah Melayu Malaysia (KTMB), di sini untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ketum, sejak beberapa bulan lalu.
Penggunaan modus operandi itu meningkat setelah pihak berkuasa melancarkan Op Wawasan Khas di kawasan hutan di sempadan negeri ini ekoran penemuan ratusan kubur PATI di Bukit Wang Burma, pertengahan tahun ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga kumpulan itu dikenal pasti merupakan warga tempatan yang tinggal di kawasan berdekatan sejak sekian lama di stesen berkenaan.
“Mereka (penyeludup) ini merupakan penduduk setempat yang menjadikan aktiviti itu sebagai sumber rezeki berdasarkan permintaan,” katanya.
Tambah sumber, penyeludup memilih masa tertentu untuk menjalankan kegiatan mereka iaitu di awal pagi antara pukul 4 hingga 6 pagi dan ketika solat Jumaat.
Katanya, terdapat sejumlah kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang pagar sempadan, namun tidak semua yang boleh berfungsi.
Dalam pada itu, kata sumber, pagar sempadan stesen KTMB telah rosak sejak kira-kira setahun lamanya akibat dipotong oleh pihak-pihak tertentu.
Katanya, namun tiada usaha untuk memperbaikinya kerana bukan di bawah bidang kuasa KTMB atau Perbadanan Keretapi mahupun Maj­lis Perbandaran Kangar (MPK) dan kerajaan negeri.
“Sebaliknya ia terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memerlukan kelulusan peruntukan dari kerajaan Pusat. Sebab itu kerosakan yang berlaku lambat dibaiki,” ujarnya.
Sumber itu mengakui bimbang sekiranya laluan sama digunakan untuk penyeludupan senjata api kerana kurang pengawasan di­sebabkan pagar yang rosak.
Hasil tinjauan mendapati sebahagian daripada lubang-lubang pada pagar itu sudah dibaiki de­ngan menggunakan dawai-dawai untuk sementara waktu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/3-kumpulan-penyeludup-pati-ketum-di-stesen-ktmb-1.152827#sthash.4ky7quBA.dpuf

Warga Korea Mangsa Culik Ditemui Mati Di Jolo


Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 5:56 PM
Pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga bagi memelihara keselamatan penduduk sekitar Jolo.

ZAMBOANGA: Mayat warganegara Korea yang diculik awal tahun ini ditemui di sebuah kolej di daerah Jolo, Sulu pada malam Sabtu.
Ketua Angkatan Tentera Laut Mindanao Barat, Komander Vincent Roy Trinidad berkata, mangsa yang dikenalpasti sebagai Hong Nwi Seong diculik di bandar Roseller Lim, Zamboanga Sibugay.
Kejadian culik membabitkan pemilik restoran yang berusia 73 tahun itu berlaku pada 24 Januari lalu.
Trinidad berkata, mayat Nwi Seong yang mula mereput itu ditemui pada pukul 10.30 malam.
Katanya lagi, laporan awal polis mengatakan pemeriksaan pada mayat mangsa tidak menemui kesan tembakan atau luka tikaman.
Mangsa dianggarkan mati antara tiga hingga lima hari lepas. 

Pejalan Kaki Maut Dilanggar Lori Pikap


Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 7:59 PM

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki lelaki berusia 38 tahun maut dilanggar kenderaan lori pikap dalam kemalangan di Jalan Tuaran di sini, Sabtu.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M.Chandra berkata, dalam kejadian pukul 8 malam, lori pikap itu dari arah Kingfisher menghala ke Tuaran telah melanggar mangsa yang secara mengejut melintas dari arah kiri untuk ke seberang kanan jalan.
"Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Likas oleh pemandu kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 45 minit kemudian.

Rumah tumpangan tumbuh bak cendawan


PADANG BESAR, 31 Okt. – Daerah kecil di sempadan negara jiran ini bukanlah destinasi popular untuk aktiviti pelancongan berbanding di Padang Besar di Malaysia.
Sebaik sahaja malam berlabuh, kebanyakan kedai ditutup kerana ketiadaan pelanggan melainkan satu atau dua kedai makan yang masih beroperasi.
Namun peliknya, rumah tumpangan atau hotel bajet yang berharga antara RM30 hingga RM40 semalam, di pekan itu tumbuh bak cendawan.
Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya aktiviti dijalankan di pekan tersebut.
Sumber memberitahu, sebahagian besar rumah tumpangan dan hotel bajet di pekan itu menjadi destinasi transit untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin memasuki Malaysia.
“Mereka memasuki Malaysia menggunakan laluan di sepanjang pagar sempadan termasuklah di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Malaysia,” katanya.
Kata sumber itu, daripada pagar sempadan, PATI akan dibawa tekong darat yang sedia menunggu ke destinasi seterusnya dengan menggunakan kenderaan menerusi jalan-jalan kampung.
“Ada juga PATI yang menyamar sebagai pelancong atau peniaga di sempadan dan melalui pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Padang Besar,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rumah-tumpangan-tumbuh-bak-cendawan-1.152850#sthash.sxaZ4Coy.dpuf

Lelaki Bangladesh didenda RM5,000 seludup rokok


ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menyeludup 1,940 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama di Alor Mengkudu, di sini, bulan lalu.
Tertuduh, Md Imran Hossen, 25, membuat pengakuan salah itu di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan, Md Imran dituduh menyeludup 440 batang rokok putih jenama John Limited, 480 batang rokok putih jenama John Black, 580 batang rokok putih John 16G, 120 batang rokok kretek jenama Surya 12 dan 320 batang rokok putih jenama Surya 20.
Md Imran dituduh membuat kesalahan itu di sebuah premis beralamat di Taufik Store, No 2, Jalan Alor Mengkudu, dekat sini pada jam 1.45 tengah hari, 21 Oktober lalu.
Majistret kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Penyeludup guna tonto perhati pasukan keselamatan


SEORANG lelaki disyaki tonto yang lengkap menggunakan walkie-talkie mengawasi kenderaan yang lalu-lalang bagi memastikan keselamatan mereka semasa penyeludupan dilakukan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis.
PADANG BESAR 31 Okt. – Terdapat sebuah pos Pasukan Gerakan Am (PGA) dikenali sebagai Pos Bukit Kuan Chu (BKC) 7, iaitu kira-kira satu kilometer daripada pagar sempadan yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab, berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini.
Difahamkan, anggota pasukan itu juga ada melakukan rondaan di kawasan pagar sempadan secara berkala setiap hari, siang dan malam.
Bagaimanapun kumpulan penyeludup sering mengawasi pergerakan anggota PGA bertugas menerusi tonto menyebabkan usaha membanteras kegiatan itu sering kali gagal.
Menurut sumber, kebiasaannya tonto bergerak secara berdua menggunakan motosikal dan akan melalui kawasan pagar sempadan beberapa kali bagi memastikan tiada anggota pasukan keselamatan.
Katanya, tonto kemudian akan memberi isyarat kepada penyeludup untuk memindahkan barang yang ingin diseludup ke negara jiran.
Kelibat orang asing mencurigakan termasuk kereta wartawan yang beberapa kali melalui jalan itu untuk membuat siasatan turut menjadi perhatian tonto.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penyeludup-guna-tonto-perhati-pasukan-keselamatan-1.152849#sthash.PBzyaLVq.dpuf

Warga emas maut dirempuh MPV


Oleh Faizul Azlan Razak

KUALA NERUS: Seorang warga emas maut ketika melintas jalan selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini, hari ini.   
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa, Munoh Mamat, 69, dirempuh sehingga melambung beberapa meter di atas MPV berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.   
Difahamkan, mangsa dirempuh Toyota Avanza dipandu seorang jururawat yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.   
Anak mangsa, Mohd Din Sulong, 51, berkata ibunya bermalam di rumahnya selepas bapanya, Sulong Abd Rahman, 72, ke Mersing, Johor.   
Katanya, sebelum kejadian, ibunya ada memaklumkan untuk pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dan dia mahu menghantar ibunya itu, tetapi memintanya bersarapan pagi terlebih dulu.   
"Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan dentuman kuat di luar rumah dan terpaku apabila mendapati ibu terbujur di atas jalan.   
"Ketika itu, ibu masih bernyawa dan membawanya ke Klinik Kesihatan Batu Rakit. Setibanya di klinik, doktor mengesahkan ibu meninggal dunia," katanya.   
Anak sulung daripada lapan beradik itu berkata, mayat ibunya kemudian di bawa ke Unit Forensik HSNZ sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.   
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit selepas Asar, petang ini.

3 maut kereta api langgar bom di Pakistan



KAKITANGAN perubatan di hospital awam di Quetta merawat mangsa yang tercedera akibat letupan bom yang dipasang pada landasan di barat daya Pakistan, hari ini. - Foto REUTERS
QUETTA, Pakistan: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala 12 yang lain cedera apabila sebuah kereta api penumpang terlanggar bom yang dipasang pada landasan di barat daya Pakistan hari ini.
Bom berkenaan meletup ketika kereta api berkenaan tiba di Mastung, sebuah daerah di barat daya negeri Baluchistan.
"Bom itu dipasang pada landasan. Ia meletup apabila kereta api itu tiba di kawasan Dasht, Mastung," kata seorang pegawai kanan kerajaan, Shafqat Anwar.
Shafqat berkata, kereta api ekspres Jaffar itu dalam perjalanan dari Quetta, bandar utama di Baluchistan, ke bandar Rawalpindi di tengah negeri Punjab.
Katanya, sebuah gerabak penumpang rosak selepas ia tergelincir akibat letupan bom itu.
"Sekurang-kurangnya tiga penumpang terbunuh, dua di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya. - AFP

Mesir perluas kawasan pencarian mangsa nahas A321

EL-HASANA, Mesir: Pasukan penyelamat Mesir hari ini memperluaskan kawasan pencarian bagi mencari mangsa nahas pesawat penumpang Russia di Sinai selepas menemui mayat mangsa bertaburan sejauh beberapa kilometer sehari selepas insiden itu.
Seorang pegawai tentera berkata, setakat ini pasukan penyelamat menemui 163 mayat daripada 224 penumpang pesawat Airbus 321 yang terhempas selepas berlepas dari pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh menuju ke Saint Petersburg.
Pesawat itu membawa 214 warga Russia dan tiga warga Ukraine bersama tujuh anak kapal.
Menurut pegawai itu, pasukan penyelamat membuat keputusan untuk memperluaskan kawasan carian kepada 15 kilometer.
"Kami menemui mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, lapan kilometer dari lokasi bangkai utama pesawat," katanya kepada media di pangkalan tentera di El-Hasna, kira-kira 60 kilometer dari lokasi nahas.
Menurut pegawai itu, kebanyakan mayat ditemui tanpa kaki atau tangan.
Sementara itu, pasukan khas Russia termasuk Menteri Pengangkutan yang tiba di Kaherah akan ke tempat kejadian iaitu lokasi terpencil di Semenanjung Sinai. - AFP
GAMBAR fail diambil pada 8 Ogos 2014 di Rusia, memaparkan pesawat penumpang Airbus A321. - Foto AFP

Pemuda hilang 4 hari ditemui selamat di Bukit Munduk


OPERASI mencari warga Thailand mangsa, Yahya Che Omar 24, yang hilang di hutan Kampung Batu Munduk.
SETIU: Seorang pemuda warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak empat hari lalu ditemui selamat di dalam hutan Bukit Munduk di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Elias Abu Bakar, berkata Yaya Cheh Omar, 24, dijumpai kira-kira 1 tengah hari ini pada jarak 200 meter dari kawasan rumah kongsinya.
Katanya, pemuda itu yang bekerja sebagai penjaga kebun ditemui lemah dengan beberapa kesan kecederaan ringan pada bahagian kaki dan tangan.
"Kami terpaksa meminta bantuan abangnya menggunakan pembesar suara untuk memujuk mangsa keluar dari tempat persembunyian sebelum membawanya ke Hospital Setiu untuk rawatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Elias berkata, operasi mencari Yaya membabitkan kawasan kebun sawit, kebun getah dan paya oleh polis bersama anjing pengesan, bomba serta penduduk kampung selain turut dibantu 26 orang pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 8 Kelantan.
Katanya, pemuda itu dipercayai melarikan diri ke dalam kawasan hutan itu selepas mengalami gangguan histeria dan siasatan mendapati dia mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
- BERNAMA

Enam lagi kapal nelayan dikaramkan

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia akan menenggelamkan enam lagi kapal nelayan asing hari ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Sumber Marin dan Perikanan Asep Burhanuddin dalam satu taklimat kepada wartawan, semalam.
Dalam taklimat yang turut dihadiri Menteri Kelautan dan Perikanan Susi Pudjiastuti, Asep berkata, sehingga semalam, kementerian itu dengan kerjasama tentera dan polis laut sudah menenggelamkan 106 kapal asing dan tempatan yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.
Asep juga menggesa Susi melengkapkan bot peronda kementerian itu dengan senjata sebagai cara untuk meningkatkan keberkesanan kawalan terhadap sumber marin.
Menurutnya, rekod menunjukkan 34 daripada bot yang dikaramkan sepanjang tahun ini ialah dari Filipina, 33 Vietnam, 21 Thailand, enam dari Malaysia, dua dari Papua New Guinea dan sebuah dari China.
Sementara itu, Susi berkata, langkah menenggelamkan bot berkenaan adalah bukti kerajaan serius mahu menghapuskan kegiatan menangkap ikan secara haram di samping meningkatkan keselamatan di laut Indonesia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:12 AM


GAMBAR hiasan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89659#sthash.gXPZFyWl.dpuf

Nyaris langgar buaya

Sandakan: Bot dinaiki anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja ladang yang dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Lung Payau, Segaliud dekat sini, berdepan detik cemas apabila hampir terlanggar seekor buaya di tebing sungai berkenaan, kelmarin.
Dalam operasi bermula jam 8.30 pagi itu, seekor buaya sepanjang 1.5 meter dilaporkan tiba-tiba turun dari tebing dan hampir terkena pada enjin bot dinaiki anggota pasukan penyelamat terbabit.
Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pihaknya menghantar sepuluh anggota dan berjaya membawa masuk sebuah bot utiliti ke lokasi pencarian.
“Ketika operasi itu, bot pasukan penyelamat hampir terlanggar seekor buaya yang tiba-tiba turun ke dalam air dari sebuah tebing.
“Bagaimanapun, operasi SAR tidak tergendala atau berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:10 AM


PASUKAN mencari pekerja ladang yang dikhuatiri dibaham buaya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89830#sthash.RdbKxMaZ.dpuf

Tiba-tiba hutang RM140,000

Kuala Lumpur: Segelintir pegawai institusi kewangan di negara ini dipercayai bersekongkol dengan sindiket menawarkan pinjaman peribadi hingga menyebabkan kira-kira 20 mangsa terpedaya membabitkan penipuan wang lebih RM2 juta.
Lebih membimbangkan urus niaga haram itu hanya dibuat bermodalkan sehelai salinan kad pengenalan mangsa dan dikendalikan mereka yang dipercayai ada kaitan dengan skim pemasaran bertingkat (MLM)
Dalam kes terbaru dilaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), wanita dikenali sebagai Ana, 33, mendakwa hilang punca sebaik dimaklumkan mempunyai beban hutang mencecah RM140,000 dengan sebuah bank, termasuk empat bulan tunggakan.
“Saya bingung apabila membaca isi kandungan surat diberikan bank. Menurut surat itu, saya membuat pinjaman RM80,000.
“Sedangkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun hanya RM15,000 saja,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 7:46 AM


ANA menceritakan beban hutang ditanggungnya kepada Nadzim.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89844#sthash.ji860I8J.dpuf

Muhammad Azwan sudah ditemui

Bachok: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui lemas di Pantai Irama, di sini, kira-kira 12.10 tengah hari, hari ini.
Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, ditemui pasukan penyelamat di sekitar 1.39 batu nautika dari pantai Kubang Golok, Pantai Irama.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bachok, Mohammad Khairu Yusoff, berkata operasi mencari dan menyelamat itu bermula 10.30 pagi semalam, selepas dimaklumkan mangsa lemas dan berhenti pada 6.30 petang.
"Hari ini, kita mula operasi pada 8 pagi dan menemui mangsa di sekitar 1.39 batu nautika oleh Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang turut membantu membuat rondaan dengan menggunakan bot.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya ketika dihubungi.
Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa bersama abangnya, Muhammad Amar Faiz, 11, dan dua rakan iaitu Muhammad Muaz Jusoh, 19, dan adiknya, Muhammad Adam Haiqal, 9, ke pantai berkenaan, 8 pagi semalam, untuk mandi sebelum dkhuatiri lemas.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:07 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89724#sthash.PhUY8pgh.dpuf

Lelaki hilang ditemui lemah

Setiu: Pengait kelapa sawit warga Thailand, Yahya Che som, 24, yang hilang di Hutan Bukit Munduk, di sini, sejak Rabu lalu ditemui dalam keadaan lemah 1 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, lelaki berkenaan ditemui di kawasan padang kira-kira 150 meter dari rumahnya.
Menurutnya, mangsa ditemui lemah dan mempunyai beberapa kesan luka di badannya.
"Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai polis, JPAM, RELA serta penduduk kampung melakukan operasi pencarian meliputi kawasan seluas enam kilometer persegi.
"Dengan penemuan mangsa, operasi yang dijalankan sejak dia dilaporkan hilang ditamatkan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 2:23 PM


FOTO Aminudin Ismail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89870#sthash.1kV0oc9r.dpuf

Sekurang-Kurangnya Tiga Terbunuh Kereta Dibom Di Pakistan


Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 3:43 PM
Para petugas mengusung salah seorang mangsa letupan keretapi ke hospital di Quetta.

QUETTA (Pakistan): Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 12 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang terkena bom yang ditanam di atas landasan keretapi di barat daya Pakistan, Ahad, menurut pegawai.
Bom itu meletup apabila keretapi itu memasuki Mastung, sebuah daerah di kawasan dilanda pemberontakan di wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan.

"Bom itu ditanam di landasan keretapi. Ia meletup apabila keretapi tiba di kawasan Dasht (sebahagian daripada Mastung)," pegawai kanan kerajaan di lokasi kejadian, Shafqat Anwar memberitahu AFP.

Anwar berkata ekspres Jaffar itu dalam perjalanan dari Quetta, bandar utama Baluchistan, ke bandar Rawalpindi di wilayah Punjab pusat.

Satu gerabak penumpang telah rosak selepas ia tergelincir akibat kesan letupan itu, katanya.

"Sekurang-kurangnya tiga penumpang terbunuh, dua di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan dalam perjalanan ke hospital," kata Anwar.

Anwar Sammo, seorang lagi pegawai kanan kerajaan, memberitahu AFP bahawa peranti letupan improvisasi (IED) telah digunakan dalam serangan itu.

"IED ditanam di landasan kereta api. Mereka yang terbunuh dan cedera adalah pekerja keretapi," kata Sammo kepada AFP, sambil menambah seramai 650 penumpang menaiki keretapi itu.

Tidak ada kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan itu tetapi kumpulan pemisah Baluch menuntut autonomi yang lebih besar telah melancarkan pemberontakan sejak beberapa tahun.

Bangkai Airbus Russia ditemui di pergunungan Sinai

"Pesawat tentera telah menemui bangkai pesawat yang membawa 224 penumpang di kawasan pergunungan dan 45 ambulans sudah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memindahkan mangsa yang cedera dan terkorban," menurut satu kenyataan Kabinet.
Pesawat Airbus A321 itu dilaporkan musnah dan hampir semua penumpang dipercayai terkorban, kata seorang pegawai keselamatan Mesir yang tiba di tempat kejadian.
Pesawat itu terhempas di kawasan pergunungan di tengah Sinai dan cuaca buruk menyukarkan pasukan menyelamat untuk sampai ke tempat kejadian.
Mangsa yang terselamat dan yang terkorban akan diterbangkan ke Kaherah, kata sumber itu.
Sementara itu, kementerian penerbangan awam dalam kenyataan berkata pesawat itu berada pada ketinggian 31,000 kaki ketika hilang dari radar. - Agensi
SEMENANJUNG Sinai.
DATA penerbangan Flightradar24.com menunjukkan pesawat Airbus A-321 mebawa 217 penumpang yang berlepas dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir ke St Petersburg, Russia hilang dari radar di ruang udara Cyprus.