Search This Blog

Saturday, October 31, 2015

Rebah hukuman mati dikembalikan

Putrajaya: Seorang surirumah menangis dan meraung apabila Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman mati terhadapnya dan suaminya kerana membunuh pembantu rumah mereka dengan membiarkan warga Kemboja itu mati kelaparan.
Chin Chui Ling, 43, menangis dan pada satu ketika rebah dalam kandang tertuduh selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan kepadanya dan suaminya, Soh Chew Tong, 46, mengenai keputusan mahkamah itu.
Soh turut memegang Chin sambil mententeramkannya.
Pasangan itu, yang dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu mendengar rayuan mereka, kemudian digari dan dibawa semula ke lokap oleh anggota polis yang ditempatkan di mahkamah.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan terhadap Soh, yang juga pemilik stor, dan Chin kepada tuduhan asal membunuh pembantu rumah mereka, Mey Sichan, 24, yang mempunyai berat badan hanya 26.1 kilogram.
Soh dan Chin, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 16 Mei 2013 atas tuduhan pindaan membunuh tanpa niat.
Mey Sichan, yang mula bekerja dengan pasangan itu pada Julai 2011, dijumpai mati di rumah kedai pasangan suami isteri itu di Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang
dengan kesan kecederaan lama dan baharu pada badannya selain mengalami dehidrasi dan keadaan pipinya yang cengkung.
Hakim Datuk Seri Zakaria Sam, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel hakim, berkata mahkamah mendapati rayuan balas pihak pendakwa mempunyai merit.
Beliau mengketepikan sabitan pasangan itu atas tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat dan hukuman penjara serta menggantikannya dengan hukuman mati kerana membunuh.
Panel hakim juga menolak rayuan pasangan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.
Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili pasangan itu berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mengendalikan pendakwaan bagi kes itu. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:51 PM


Soh Chew Tong, 44, (kanan) dan isterinya, Chin Chui Ling, 42, (kiri) dibawa anggota polis selepas selepas dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun kerana menyebabkan kematian pembantu rumah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada Mei 2013. - Foto NSTP (Fail).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89551#sthash.N3oxuUEi.dpuf

71 PATI ditahan

Johor Bahru: Seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia, Nepal, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam yang berusia 20 hingga 48 tahun ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen di sebuah rumah kongsi di Kampung Dato Onn di sini, awal pagi semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Johor Rashidin Rahmat berkata semua PATI itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal lebih masa dibenarkan di negara ini.
"Ops Sapu oleh Unit Penguatkuasa Pejabat Jabatan Imigresen Johor kira-kira 2.45 pagi itu dijalankan di sebuah rumah kongsi pekerja asing di Jalan Perjiranan Kampung Dato Onn, di sini.
"Seramai 50 anggota menyertai ops itu selepas kami mendapat aduan daripada orang awam yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan dan ketika serbuan dilakukan kebanyakan mereka tidur," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, daripada 71 yang ditahan 58 ialah warga Indonesia termasuk 17 wanita, lima lelaki warga Nepal, seorang lelaki warga Myanmar, lima lelaki warga Bangladesh, serta empat warga Vietnam termasuk seorang perempuan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:57 PM


Anggota Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan. FOTOihsan Jabatan Imigresen.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89536#sthash.JKcRV9M9.dpuf

Lemas di lombong bauksit

Kuantan: Remaja lelaki ditemui lemas ketika mandi di lombong bauksit di Ladang Makmur Bukit Goh, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Nabil Ariff Shaari, 14, dari Taman Impian, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.
Jenazahnya kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama rakannya dipercayai lebih daripada lima orang tiba di lombong berkenaan untuk mandi.
Kejadian itu disedari seorang daripada rakan mangsa yang melihat pelajar tingkatan dua berkenaan terkapai-kapai meminta pertolongan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Othman Bakar, ketika dihubungi, di sini, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 4:05 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89710#sthash.bQtoRhez.dpuf

Enjin meletup

Florida: Enjin sebuah pesawat penumpang ke Caracas, Venezuela meletup dan terbakar ketika bersedia untuk berlepas, memaksa anak kapal menurunkan penumpang menggunakan gelongsor kecemasan.
Lima belas orang cedera dengan seorang daripadanya parah, tetapi 101 penumpang dan anak kapal berjaya dikeluarkan dari pesawat Boeing 767-200ER Dynamic International Airways itu, hanya beberapa minit selepas juruterbang menyedari ada sesuatu tidak kena.
Imej disiarkan di televisyen menunjukkan pesawat itu dilitupi buih dan dikelilingi trak bomba di lapangan terbang di Fort Lauderdale itu, manakala enjin kirinya rentung.
Enjin pesawat berusia 29 tahun itu dilaporkan bocor sebelum berlepas, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan. Anak kapalnya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh kapal terbang lain yang berada tidak jauh di belakangnya.
Dalam video diambil penumpang pesawat lain, asap tebal juga dapat dilihat dari kapal terbang berkenaan sebelum api berjaya dipadamkan.
Kebanyakan penumpang hanya cedera ringan, termasuk seorang kanak-kanak, kata jurucakap Pejabat Syerif Broward, Michael Jachles.
Penumpang dipindahkan dalam tempoh 10 minit dan lapangan terbang itu dibuka semula tiga jam kemudian.
Warga emas Luis Campana, 71, berkata, dia dalam perjalanan ke Guarico, Venezuela dengan isteri dan kakaknya.
“Memang menakutkan. Saya duduk di bahagian depan pesawat dan dapat merasakan rasa gegarannya apabila enjin meletup.
“Ketika kami diturunkan menggunakan gelongsor, asap sudah mula memasuki pesawat dan enjin dijilat api,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 7:45 AM


KEPULAN asap hitam keluar dari enjin kiri pesawat berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89645#sthash.YBhQE4Ir.dpuf

Enam lagi kapal nelayan dikaramkan

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia akan menenggelamkan enam lagi kapal nelayan asing hari ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah Sumber Marin dan Perikanan Asep Burhanuddin dalam satu taklimat kepada wartawan, semalam.
Dalam taklimat yang turut dihadiri Menteri Kelautan dan Perikanan Susi Pudjiastuti, Asep berkata, sehingga semalam, kementerian itu dengan kerjasama tentera dan polis laut sudah menenggelamkan 106 kapal asing dan tempatan yang ditahan kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.
Asep juga menggesa Susi melengkapkan bot peronda kementerian itu dengan senjata sebagai cara untuk meningkatkan keberkesanan kawalan terhadap sumber marin.
Menurutnya, rekod menunjukkan 34 daripada bot yang dikaramkan sepanjang tahun ini ialah dari Filipina, 33 Vietnam, 21 Thailand, enam dari Malaysia, dua dari Papua New Guinea dan sebuah dari China.
Sementara itu, Susi berkata, langkah menenggelamkan bot berkenaan adalah bukti kerajaan serius mahu menghapuskan kegiatan menangkap ikan secara haram di samping meningkatkan keselamatan di laut Indonesia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:12 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89659#sthash.mNsAjfAN.dpuf

Kakitangan PBB dipecat kongsi foto lucah


31 OKTOBER 2015

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Empat kakitangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dipecat kerana mengkongsikan foto lucah kanak-kanak bawah umur melalui emel.

Seorang lagi kakitangan PBB diturunkan pangkat kerana menyimpan foto lucah tersebut di komputer di pejabat PBB.

Menurut laporan Mirror, perkara tersebut didedahkan malam semalam dalam sebuah laporan yang menyebut 60 kes salah laku dikalangan 40,000 kakitangan PBB di serata dunia.

Laporan tersebut tidak menyebut lokasi dan nama mereka yang terlibat.

Pendedahan lain termasuk seorang kakitangan dipecat kerana menyeludup 173 kilogram ganja menggunakan kenderaan PBB.

Tindakan disiplin juga diambil terhadap kakitangan PBB yang dituduh mengganggu kakitangan lain, selain mencuri duit kakitangan lain dan merompak barangan milik penumpang pesawat dalam sebuah penerbangan milik PBB.

Mayat melekat pada papan tanda


Mayat melekat pada papan tanda

31 OKTOBER 2015
Mayat melekat pada papan tanda Mayat lelaki melekat pada papan tanda selepas kemalangan.

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki maut dalam keadaan mayatnya melekat di sebuah papan tanda akibat melambung keluar dari keretanya selepas berlanggar dengan sebuah lagi kenderaan, semalam.

Menurut Yahoo News, mangsa yang berumur 20 tahun memandu pada kelajuan laju sebelum terlangar sebuah kereta, terbalik berulang kali dan tercampak keluar dalam kejadian 7 pagi waktu tempatan.

Mayatnya ditemui melekat di sebuah papan tanda yang terletak 400 meter dari kawasan perlanggaran.

Peronda lebuhraya mendakwa mangsa tidak memakai tali pinggang keledar ketika kejadian.

Kejadian tersebut menyebabkan lebuhraya empat lorong tersebut sesak dan kembali pulih selepas empat jam.

Pesawat Rusia Bawa 224 Penumpang Terhempas Di Sinai


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 5:24 PM

CAIRO: Sebuah pesawat Rusia yang membawa 224 penumpang dan anak kapal terhempas di semenanjung Sinai, Mesir pada Jumaat, jelas  pejabat Kementerian Perdana Menteri Mesir.
Airbus A- 321, yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia Kogalymavia dengan nombor pendaftaran KGL- 9268 , dilaporkan berlepas dari lokasi peranginan di  Sharm el -Sheikh ke St Petersburg sebelum terhempas di kawasan pergunungan terpencil di tengah Sinai.

Sumber keselamatan Mesir berkata tidak ada petunjuk bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh oleh kumpulan militan di Sinai.
Jurucakap pihak berkuasa penerbangan Rusian Rosaviatia, Sergei Isvolsky berkata, pesawat itu berlepas dari Sharm el -Sheikh pada 06:51 (0351 GMT) dan hilang perhubungan kira-kiri 25 minit kemudian. 

A321: Kebanyakan Penumpang Telah Meninggal Dunia - Pegawai Keselamatan Mesir


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 7:36 PM
Pesawat Airbus A321. Foto: AP

CAIRO: Kebanyakan penumpang pesawat Rusia yang terhempas di semenanjung Sinai, Mesir pada Jumaat dilaporkan telah meninggal dunia sebaik sahaja pihak berkuasa penerbangan awam Mesir dan pegawai keselamatan tiba di tempat kejadian pada Sabtu.

Pesawat Airbus A321, yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia Kogalymavia dengan nombor pendaftaran KGL-9268, dalam perjalanan dari tempat peranginan Sinai Laut Merah Sharm el-Sheikh ke St Petersburg, Rusia terhempas di kawasan pergunungan terpencil di tengah Sinai selepas subuh, kata kementerian penerbangan.

Pegawai keselamatan di tempat kejadian memberitahu Reuters melalui telefon, bahawa pasukan mencari dan menyelamat turut mendengar suara-suara di dalam badan pesawat.

"Saya melihat adegan tragis. Mayat-mayat bergelimpangan di tanah dan ada sebahagiannya  meninggal dunia di tempat duduk sendiri di dalam pesawat," jelas salah seorang pegawai yang berada di tempat kejadian.

"Pesawat itu terbelah dua, sebahagian kecil di hujung ekor yang dibakar dan bahagian besar terhempas ke batu. Kami telah mengeluarkan lebih kurang 100  mayat dan selebihnya masih berada di dalam badan pesawat."

Sinai merupakan lokasi kejadian pemberontakan oleh militan yang menyokong Negara Islam. Para pemberontak telah membunuh beratus-ratus tentera Mesir serta polis dan juga telah menyerang sasaran Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Manakala Rusia telah melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pembangkang Syria termasuk Negara Islam pada 30 September lalu.

Namun sumber keselamatan Mesir berkata, tidak ada petunjuk bahawa jet Airbus itu telah ditembak jatuh atau diletupkan.

Pesawat A321 yang  mempunyai 185 tempat duduk merupakan jet jarak sederhana telah digunakan dalam 1,100 operasi di seluruh dunia sejak tahun 1994.

Ia merupakan sebuah pesawat  automatik bergantung kepada komputer untuk membantu juruterbang kekal dalam had yang selamat ketika terbang.

Menurut data daripada Yayasan Keselamatan Penerbangan insiden tersebut merupakan kemalangan maut kedua melibatkan pesawat dari keluarga A320 ini.

Dalam pada itu, dilaporkan Perdana Menteri Mesir Sherif Ismail menuju ke lokasi kemalangan dengan beberapa menteri kabinet lain dengan menaiki  jet peribadi.

Menurut Kementerian Penerbangan Awam Mesir, pesawat Airbus A 321 berlepas pada 05:51 masa Kaherah (0451 BST) dan hilang daripada radar 23 minit kemudian ketika berada dalam ketinggian 31,000 kaki (9,400 meter).

Misi mencari dan menyelamat lewat tiba di lokasi kejadian di kawasan Hassana disebabkan faktor cuaca yang kurang baik.

Tiga sekeluarga maut


MACHANG 31 Okt.- Tiga sekeluarga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kren di Kilometer 37, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai berdekatan Bukit Belah, di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang, Mohd. Sabri Abdul Rahman, 51, isterinya, Hilwani Hassan, 36 serta anak mereka, Nur Athirah, 13, maut di tempat kejadian.
Difahamkan mereka bertiga dari Ajil, Terengganu dan dalam perjalanan ke Teluk Jering, Tumpat.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu, MPV dipandu Mohd. Sabri dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal lalu bertembung dengan kren yang datang dari arah bertentangan. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-sekeluarga-maut-1.152697#sthash.GKuxTxG6.dpuf

Pesawat penumpang Rusia terhempas di Mesir


Nasib 224 penumpang, kru belum diketahui

MOSCOW 31 Okt. – Sebuah pesawat penumpang milik syarikat penerbangan Rusia, Kogalymavia dilaporkan terhempas di Sinai, wilayah tengah Mesir hari ini selepas hilang daripada radar di ruang udara Cypriot.
Menurut agensi berita RIA, pesawat jenis Airbus A-321 yang dalam penerbangan dari kawasan percutian Mesir, Sharm el-Sheikh ke bandar Rusia, St. Petersburg, membawa 224 orang termasuk penumpang dan krew.
Bagaimanapun nasib kesemua penumpang dan anak kapal masih belum diketahui. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pesawat-penumpang-rusia-terhempas-di-mesir-1.152687#sthash.zm131DSo.dpuf

Bayi ‘Syukur’ dilarikan dua lelaki bermotosikal ditemui


KUALA LUMPUR 30 Okt. – Sebuah kelu­arga melalui detik men­cemaskan apabila bayi lelaki mereka dilarikan dua lelaki menaiki motosikal di Jalan Sentul, Setapak, di sini hari ini.
INILAH bayi yang dipercayai dilarikan penculik bermotosikal.
INILAH bayi yang dipercayai dilarikan penculik bermotosikal.
Bayi lelaki berusia 15 bulan itu dikatakan dilarikan ketika dia bermain bersama abang tirinya di ha­dap­an sebuah kedai run­cit kira-kira pukul 6 petang.
Abang mangsa yang menyedari kejadian itu terus memaklumkan kepada keluarganya sebelum kakaknya membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Mat Zani Che Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, mangsa ba­gai­manapun ditemukan selamat.
“Salah seorang anggota keluarga telah membuat laporan po­lis pada pukul 6.28 petang berhubung kes ini, sebelum polis mengerahkan pasukan untuk me­lakukan tindakan lanjut.
“Polis bersama penduduk kemudian menemukan bayi di sebuah perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak dalam keadaan baik,” katanya di sini hari.
Kehilangan bayi di­kenali sebagai ‘Syu­kur’ itu viral di laman sosial teruta­manya ap­likasi WhatsApp setelah dikatakan di­culik oleh suspek yang bertubuh kurus tinggi, bermisai dan berjanggut serta memakai pakaian hitam selain bertopi keledar penuh.
Mengulas lanjut, Mat Zani memberitahu, bayi itu dipercayai ditinggalkan di perhentian bas setelah suspek mendapat maklumat gerakan mencari sedang dilakukan polis.
“Setakat ini kita masih tidak dapat mengesan suspek dan gerakan memburu sedang dilakukan. Bayi itu juga dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya belum mengklasifikasikan kes tersebut sebagai culik kerana saksi kejadian masih dicari polis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bayi-8216-syukur-8217-dilarikan-dua-lelaki-bermotosikal-ditemui-1.152588#sthash.eSpjca9d.dpuf

Media kecam tindakan sekat kebebasan bersuara


Media kecam tindakan sekat kebebasan bersuara

31 OKTOBER 2015
Media kecam tindakan sekat kebebasan bersuara Kekecohan tercetus selepas pihak berkuasa menyerbu pejabat Koza-Ipek Holding.

ANKARA - TURKI. Media Turki mengecam tindakan kerajaan di bawah pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan kerana melancarkan tindakan kekerasan ke atas mereka sebagai langkah untuk menyekat kebebasan bersuara menjelang Pilihan Raya Parlimen esok.

Ketua editor stesen TV pembangkang, Bugun, Tarık Toros mendakwa ia adalah operasi terbesar dalam sejarah yang menyasarkan media di negara itu.

Rabu lalu, pihak berkuasa dilaporkan bertindak menyerbu pejabat stesen TV milik konglomerat, Koza-Ipek Holding itu di Istanbul yang didakwa mempunyai kaitan dengan musuh politik Erdogan, Fethullah Gulen dan turut menggunakan gergaji rantai untuk memecahkan pintu masuk premis tersebut.

Dalam satu kenyataan, jurucakap pejabat ketua pendakwa raya memaklumkan serbuan itu kononnya adalah sebahagian daripada proses siasatan sedang dijalankan ke atas konglomerat tersebut yang disyaki menyebarkan propaganda dan membiayai kegiatan militan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akin Ipek mengecam langkah itu yang didakwa bermotifkan politik kerana mereka tetap dikenakan tindakan selepas serbuan itu gagal menemui sebarang perkara mencurigakan, lapor PTV.

Ramai bantu kutip telur bertaburan atas jalan


Ramai bantu kutip telur bertaburan atas jalan

30 OKTOBER 2015
Ramai bantu kutip telur bertaburan atas jalan Orang ramai yang membantu mengutip telur.

SHANDONG - CHINA . Tindakan orang ramai yang berada di lokasi kejadian kemalangan sebuah lori yang mengakibatkan ribuan biji telur bertaburan di atas jalan raya mendapat pujian netizen.

Sebuah lori yang membawa muatan telur terbabas di persimpangan di Tai'an, wilayah Shandong menyebabkan ribuan biji telur ayam yang dibawanya turut bertaburan di atas jalan raya pada Ahad.

Namun apa yang mengejutkan, orang ramai yang berada di kawasan kemalangan turut sama-sama membantu mengutip telur yang jatuh tanpa mengambil kesempatan ke atas insiden tetsebut.

Bukan sahaja orang ramai membantu pemandu lori tersebut mengutip dan mengasingkan telur yang tidak pecah, malah beberapa pemilik kedai makan di kawasan sekitar juga membantu dengan membeli telur ayam yang retak sekali gus dapat meringgankan kerugian lebih 10,000 yuan yang terpaksa ditanggung pemandu berkenaan.

Beberapa foto yang bertebaran di media sosial meraih perhatian netizen di China.

Netizen memuji tindakan orang ramai yang tidak mencuri telur-telur berkenaan sebaliknya membantu pemandu lori itu.

"Dengan mengutip telur mereka juga menunjukkan akhlak mereka. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya semua orang lakukan,” komen netizen dipetik CCTV News.

Lelaki bunuh bos dipenjara 22 tahun tanpa parol

Li Deng Cheng



31 OKTOBER 2015
Li Deng Cheng Pemilik kedai Noodle Paradise di Wagga Wagga, Li Deng Cheng yang mati dibunuh.

MELBOURNE - AUSTRALIA. Seorang lelaki yang melarikan diri ke Malaysia selepas membunuh bekas majikan di sebuah kedai mie di Wagga Wagga, selatan New South Wales dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya 16 tahun setengah, lapor ABC News.

Wong Kin Yee, 29, telah menikam mati Li Deng Cheng, 51, hingga mati di kedai Noodle Paradise di Wagga Wagga pada September 2006.

Bulan lepas Wong didapati bersalah membunuh oleh juri Mahkamah Tinggi di Griffith.

Hari ini dia dijatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun dengan tempoh tanpa parol 16 tahun enam bulan.

Semasa menjatuhkan hukuman Pemangku Hakim, Robert Shallcross Hulme mengambil kira beban emosi dan kewangan ahli keluarga Li berikutan kematiannya.  

ABC melaporkan Wong ditangkap di Malaysia tahun lalu.

Menurut keterangan dalam perbicaraan mangsa ditemui di dalam tandas dengan kesan luka di tangan.

Selepas menikam mangsa Wong telah menaiki kereta api ke Sydney dan menaiki pesawat ke Malaysia. - Bernama

Premis pengurup wang disamun


AHMAD ISMADI ISMAIL
Premis pengurup wang disamun

31 OKTOBER 2015
Premis pengurup wang disamun Premis pengurup wang yang disamun sekumpulan penjenayah, semalam.

AMPANG - Sekumpulan penjenayah menyamun premis pengurup wang di Jalan Kolam Ayer, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, sekumpulan lapan penjenayah dipercayai menaiki empat buah motosikal melarikan sejumlah mata wang asing dianggarkan bernilai RM50,000.

Menurut sumber, salah seorang penjenayah bersenjatakan parang memasuki premis berkenaan dan mengacukan parang ke arah seorang pekerja.

“Kita akan menyiasat semua bukti termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dan mengenal pasti jumlah kerugian premis terbabit.

“Kita juga jumpa sarung parang di lokasi. Kita masih mengesan suspek,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Bomoh durjana ditahan mengaku rogol gadis


WARTAWAN SINAR HARIAN
Rogol
Sekadar gambar hiasan
31 OKTOBER 2015


KUANTAN - Seorang pengamal perubatan tradisional ditahan polis kerana disyaki merogol seorang gadis di rumah mangsa di Sungai Isap Perdana, di sini, kelmarin.

Suspek  berusia 58 tahun yang terkenal dengan kebolehan mengubati penyakit secara tradisional itu  ditahan di rumahnya di bandar ini tidak sampai 24 jam selepas mangsa membuat laporan berhubung perbuatan terkutuknya itu, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan  Asisten Komisioner Othman Bakar berkata, mangsa berusia 20 tahun itu dipercayai dipukau bomoh tersebut sebelum dirogol sebanyak dua kali pada hari berasingan di dalam bilik yang sama.

Menurutnya, suspek datang ke rumah itu kira-kira jam 10 malam,  Isnin lalu untuk mengubati ibu mangsa yang dipercayai mengalami gangguan akibat terkena buatan orang.

“Selepas sejam berubat, suspek meminta kebenaran ibu mangsa untuk masuk ke dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah itu kononnya ingin berzikir.

“Pada masa yang sama, dia juga turut mengarahkan mangsa masuk ke dalam bilik itu bersendirian kononnya gadis itu juga perlu dirawat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Othman berkata, mangsa mendakwa, sejurus dia masuk, lelaki itu seperti membaca sesuatu sebelum menghembuskan ke arah mukanya menyebabkan dia tidak sedar dan hanya menuruti arahan bomoh tersebut.

“Selepas memuaskan nafsunya, suspek keluar namun sempat berpesan kepada ibu mangsa dia akan datang semula keesokannya harinya kerana sesi pengubatannya masih belum selesai.

“Bomoh itu datang kembali ke rumah itu kira-kira 11 malam keesokan harinya untuk meneruskan sesi rawatan,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengambil kesempatan  masuk ke dalam  bilik itu sekali lagi dengan alasan sama sebelum mengulangi perbuatan jijiknya terhadap mangsa.

Menurutnya, menyedari dirinya dirogol, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kira-kira jam 6 pagi, Rabu lalu sebelum suspek berjaya dikesan dan ditahan beberapa jam kemudian.

“Berdasarkan semakan ke atas rekod lelaki itu, suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri malah hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku merogol gadis itu,” katanya.

Othman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek ada memerangkap mangsa lain bagi tujuan melepaskan nafsunya menggunakan helah tersebut.

“Suspek kini direman selama seminggu sehingga 2 November depan  manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani pemeriksaan,” katanya.

Tiga kali restoran dipecah masuk


NORAWAZNI YUSOF
Tiga kali restoran dipecah masuk

31 OKTOBER 2015
Tiga kali restoran dipecah masuk Barangan seperti rokok dan minuman turut lesap sehingga menyebabkan Moon Peng mengalami kerugian hampir RM10,000.

KUANTAN – “Saya dah penat sebab macam-macam cara dah saya buat, tapi restoran saya tetap kena pecah masuk,".

Demikian luahan, Quek Moon Peng, pengusaha restoran di Jalan Bukit Ubi, di sini, selepas premis perniagaannya itu di pecah masuk buat kali ketiga sepanjang Oktober.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu menurutnya, dia tergamam sebaik sahaja tiba di restorannya apabila melihat keadaan premis perniagaannya itu bersepah dan terdapat kesan pecah masuk di bahagian pintu sisi sebelah kanan kedai berkenaan.

Malah, barangan perniagaan yang disimpan dalam stor juga lesap sehingga menyebabkan lelaki berusia 47 tahun ini terduduk mengenangkan dugaan yang dialaminya itu.

“Sebelum tutup kedai jam 2 pagi, semua pintu dikunci. Tapi bila saya datang hari ini (Khamis), saya terkejut tengok kedai berselerak dan bekalan seperti rokok dan minuman keras lesap.

“Saya percaya kegiatan ini dilakukan oleh individu sama dan mahir memandangkan sudah tiga kali restoran saya dimasuki pencuri dalam tempoh sebulan,” katanya.

Dia berkata, pintu restoran tersebut diumpil di bahagian tengah dan mereka memasukinya dari situ sebelum bertindak memecahkan mangga di tempat penyimpanan barang perniagaan.

“Kalau tengok cara mereka buat jenayah ini, seolah-olah mereka ini ada satu kumpulan sebab kes kecurian yang berlaku pada 10 dan 22 Oktober lalu juga babitkan barang sama.

“Kali ini, saya alami kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM10,000. Ia angka yang cukup banyak terpaksa saya tanggung,” katanya.

Moon Peng berkata, pencuri tersebut turut memotong wayar CCTV bagi mengelakkan identiti dan jenayah mereka lakukan terbongkar.

“Semua wayar CCTV mereka potong, nampak sangat mereka memang pakar dalam jenayah ini. Sebab itu saya harap sangat mereka ini berjaya ditangkap polis,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Menurutnya, dia berharap polis dapat segera menyelesaikan masalah yang dihadapi ini kerana sekiranya kejadian rompakan ini berlaku secara berterusan menyebabkan dia mengalami kerugian.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang mendakwa jenayah ini mungkin dilakukan satu kumpulan atau sindiket kerana modus operandinya  sama iaitu mencuri minuman keras dan rokok.

“Saya lihat kejadian (curi) ini sama yang dialami Moon Peng yang mengalami kerugian sebanyak tiga kali berturut-turut dalam bulan ini. Malah dua barang yang lesap itu juga dapat permintaan daripada pengusaha kedai dan individu.

“Jadi disebabkan itu sasaran utama mereka memasuki premis perniagaan seperti restoran atau kedai dengan ambil dua barangan itu sebab harganya mahal.

"Polis juga diharap dapat terus melakukan rondaan," katanya.

Letupan Di Kelab Malam, 25 Terbunuh


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 9:24 AM

BUCHAREST: Seramai 25 orang terbunuh dalam satu letupan di sebuah kelab malam yang dipenuhi pengunjung di Romania pada Sabtu.
Ketika kejadian seramai lebih 400 pengunjung dilapor sedang menonton konsert di kelab malam berkenaan sebelum letupan berlaku.
Akibat letupan kuat itu seramai 88 pengunjung turut mengalami kecederaan dan di antara mereka terdapat yang parah.
Pasukan keselamatan yang tiba dilokasi kejadian terpaksa menggunakan pelbagai alatan bantuan untuk memasuki premis berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.
Kenyataan rasmi kerajaan setakat ini mengesahkan seramai 25 pengunjung kelab malam itu terbunuh dalam insiden berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Raed Arafat berkata, jumlah kematian dijangka meningkat kerana terdapat 400 pengunjung di dalam premis berkenaan ketika kejadian.

Dua Beradik Ditahan Miliki Pistol, Peluru


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 3:57 PM

TAWAU: Dua beradik ditahan dan sepucuk pistol berserta   peluru dirampas daripada mereka di Felda Umas 4 dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata antara yang dirampas ialah revolver 38 Smith  and  Wesson dan  48 butir peluru 9mm serta peluru senapang angin.
Beliau berkata kedua-duanya dilapor menggunakan pistol berkenaan untuk menakutkan seorang individu lain pada 24 Okt lepas.

Kes Culik: Budak 13 Tahun Bantu Polis Buru Suspek


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 3:51 PM


Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik seorang kanak-kanak lelaki di Wangsa Maju dan hanya bergantung kepada maklumat seorang saksi berusia 13 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Mohamad Salahuddin Che Ali berkata pegawainya masih cuba memahami mengapa kanak-kanak itu dibebaskan hanya 30 minit selepas insiden cuk di Kampung Padang Balang, petang Jumaat.
Katanya, saksi tunggal kes culik tersebut adalah budak lelaki berusia 13 tahun yang kebetulan sedang bermain di lokasi kejadian.
"Gambaran mengenai suspek tidak lengkap. Dia berkata kedua-dua suspek bertubuh kurus dan mungkin orang Melayu. Mereka berada di atas motosikal ketika menculik kanak-kanak itu.
"Kami masih mencari jalan lain untuk mendapatkan gambaran mengenai suspek dan mengapa mereka bertindak meninggalkan kanak-kanak itu begitu cepat selepas menculiknya.
"Mungkin mereka takut selepas mendapati polis sedang memburu mereka," katanya.
Motif penculikan masih belum diketahui sehingga hari ini.
Kanak-kanak lelaki warga Indonesia itu ditemui hanya dua kilometer dari rumahnya yang ditinggalkan di perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak kira-kira pukul 7 malam.

Lelaki Bunuh Majikan Dan Lari Ke Malaysia Dipenjara 16 Tahun


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 3:34 PM

MELBOURNE: Seorang lelaki yang melarikan diri ke Malaysia selepas membunuh bekas majikan di sebuah kedai mie di Wagga Wagga, selatan New South Wales dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya 16 tahun setengah, lapor ABC News.
Wong Kin Yee, 29, telah menikam mati Li Deng Cheng, 51, hingga mati di kedai Noodle Paradise di Wagga Wagga pada September 2006.
Bulan lepas Wong didapati bersalah membunuh oleh juri Mahkamah Tinggi di Griffith.
Hari ini dia dijatuhi hukuman penjara berjumlah 22 tahun dengan tempoh tanpa parol 16 tahun enam bulan.
Semasa menjatuhkan hukuman Pemangku Hakim Robert Shallcross Hulme mengambil kira beban emosi dan kewangan ahli keluarga Li berikutan kematiannya.
ABC melaporkan Wong ditangkap di Malaysia tahun lalu.
Menurut keterangan dalam perbicaraan mangsa ditemui di dalam tandas dengan kesan luka di tangan.
Selepas menikam mangsa Wong telah menaiki kereta api ke Sydney dan menaiki pesawat ke Malaysia.

Skil Survival Bantu Pemandu Teksi Terus Bertahan Tiga Hari


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 8:39 AM
Johar masih menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang.

KLUANG: Pengalaman sebagai bekas tentera yang mempratikkan skil survival membantu pemandu teksi Johar Kassim terus bertahan meskipun terperangkap selama tiga hari di dalam gaung berikutan teksinya terjatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter itu.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata beliau tidak pernah terfikir mengenai kematian.
"Bekas tentera tidak pernah putus asa. Saya sentiasa percaya bahawa ia mengambil sedikit masa sebelum seseorang datang menghulurkan bantuan," kata pemandu teksi berusia 68 tahun itu ketika ditemui di wad hospital pada Jumaat.
Mengimbas kembali detik cemas pada Selasa lalu apabila teksinya yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung selepas dia cuba mengundurkan teksi tersebut di Taman Sri Kluang di sini, Johar berkata:
"Saya mengalami kecederaan di kaki apabila cuba naik kerana laluan agak licin berikutan hujan turun di kawasan tersebut.
"Namun, hujan yang turun ibarat satu rahmat. Ia mengalir ke sungai yang memberikan saya air untuk terus bertahan selama lebih 48 jam," katanya.
Johar berkata beliau telah mencuba beberapa kali untuk naik tetapi terus tergelincir.
Berbekalkan kemahiran yang dipratikkan semasa berkhidmat sebagai tentera 22 tahun lalu dengan Rejimen Askar Melayu, Johar membina tempat berteduh dengan menggunakan dahan pokok.
"Saya tidak boleh bergerak dengan banyak," katanya.
Johar yang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di sini berkata telefon bimbitnya berada di dalam teksi, jadi dia tidak dapat mencapainya akibat kecederaan di kaki kiri.
Pada Khamis, seorang pejalan kaki yang terlihat kesan tayar di atas jalan menggerakkan hatinya untuk memeriksa sesuatu ke kawasan gaung dan menjumpai Johar.
Anggota bomba kemudiannya tiba di tempat kejadian.
Isteri Johar, Murni Merdan, 47, berkata suaminya itu dalam perjalanan ke rumah mereka di Jalan Haji Manan dari rumah isteri pertamanya di Taman Seri Kluang pada hari kejadian.
Murni berkata dia bimbang apabila Johar tidak sampai di rumah pada malam itu.
"Saya menghubungi telefon bimbitnya setiap minit tetapi tidak berjawab. Ia mendorong saya untuk membuat laporan polis. Saya turut menghubungi rakan-rakan kami untuk cuba mencarinya.
"Doa saya akhirnya terjawab apabila seorang rakan memberitahu saya bahawa suami saya telah dijumpai dalam keadaan selamat," kata Murni.
Murni yang bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah pusat membeli-belah berkata, dia akan memasak lauk kari kegemaran suaminya sebaik sahaja dia dibenarkan keluar dari hospital.
"Buat masa ini, dia hanya akan makan biskut dan bubur seperti dinasihatkan doktor," katanya.

Mangsa Culik Ditemui Selamat Di Perhentian Bas Gombak


Diterbitkan: Sabtu, 31 Oktober 2015 12:20 AM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa culik ditemui selamat di perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak di sini, Jumaat.
Polis kini sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik berkenaan di Kampung Padang Balang, Sentul di sini petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kedua-dua suspek dipercayai menculik mangsa yang berumur setahun dua bulan itu ketika dia sedang bermain di hadapan rumahnya.
"Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal membawa lari mangsa. Susulan itu, kakak mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak pada 6.30 petang tadi.
"Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan selamat setengah jam kemudian oleh polis bersama penduduk kampung di perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak di sini," katanya ketika dihubungi.
Katanya, mangsa dipercayai ditinggalkan suspek setelah mengetahui polis sedang mengesan mereka.
Mangsa kemudian dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama