Search This Blog

Friday, October 30, 2015

Keluarga gagal minta JPN padam perkataan Islam


Peguam keluarga Jamilah Jan Vasanthegokelam, S. Nithiyawathi (kanan) bersama Peguam Robin Lim (kiri) di Mahkamah Tinggi Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA: Seorang ibu dan empat anaknya gagal dalam rayuan untuk membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menolak permohonan bagi menukar nama dan memadam perkataan 'Islam' dalam kad pengenalan masing-masing.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, diketuai hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan keputusan JPN untuk tidak menukar nama dan agama dalam kad pengenalan mereka adalah betul dari segi undang-undang.
Keluarga berkenaan terdiri daripada Jamilah Jan Vasanthegokelam, 55, anak lelaki dari perkahwinan pertamanya, Mohd Sharif Abdullah, 35 dan tiga anak lelaki daripada perkahwinan kedua iaitu Mohd Jeffrey a/l Mohd Baser, 32, Mohd Jass a/l Mohd Baser, 28, dan Mohd Naser a/l Mohd Baser, 22.
Mohd Zawawi berkata, keputusan JPN tidak boleh dikategorikan sebagai degil, tidak munasabah, tidak rasional dan menyalahi undang--undang sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
"Perayu sudah mengenal pasti diri mereka sebagai India Muslim dan menganut agama Islam," katanya yang bersidang bersama-sama hakim Datuk P Nalini dan Datuk Abdul Rahman Sebli.
Mohd Zawawi berkata hujahan pihak perayu bahawa agama itu adalah silap dinyatakan dalam rekod rasmi tidak disokong dengan sebarang bukti jelas dan menyakinkan.
Panel berkenaan sebulat suara menolak rayuan mereka serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Februari lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi mencabar keputusan JPN itu.
Dalam permohonan semakan kehakiman, keluarga berkenaan menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Mahkamah tersebut turut mengarahkan keluarga itu membayar kos guaman sebanyak
RM5,000 bagi prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Peguam Jamilah, Robin Lim, memberitahu mahkamah bahawa suaminya yang kedua, Mohd Baser a/l Kalakan membawanya ke JPN pada 1983 untuk menukar nama kepada Jamilah Jan Vasanthegokelam.
Katanya, suaminya itu memberitahu Jamilah Jan bahawa pertukaran namanya akan mengelak sebarang komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pasangan itu apabila memohon sijil kelahiran bagi anak kedua mereka kerana nama suaminya seperti nama seorang Islam.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili pihak responden, berkata Jamilah telah memegang kad pengenalan dengan nama Islam selama kira-kira 30 tahun dan MyKad yang dikeluarkan kepadanya pada 2003 membawa nama 'Islam'.
"Rekod JPN juga menunjukkan bahawa Mohd Baser, yang telahpun meninggal dunia, adalah seorang warga negara Malaysia yang menganut agama Islam," katanya.
Selain Lim, keluarga itu turut diwakili peguam S Nithiyawathi.
-- BERNAMA

Mahkamah Rayuan kembali hukuman mati suami isteri bunuh pembantu rumah

Chin Chui Ling (kanan) dan suaminya, Soh Chew Tong dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh pembantu rumah mereka dengan membiarkan warga Kemboja itu mati kelaparan.
PUTRAJAYA: Seorang suri rumah menangis dan meraung apabila Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman mati ke atasnya dan suaminya kerana membunuh pembantu rumah mereka dengan membiarkan warga Kemboja itu mati kelaparan.
Chin Chui Ling, 43, menangis dan pada satu ketika rebah dalam kandang tertuduh selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan kepadanya dan suaminya, Soh Chew Tong, 46, mengenai keputusan mahkamah itu.
Soh turut memegang Chin sambil mententeramkannya.
Pasangan itu, yang dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu mendengar rayuan mereka, kemudian digari dan dibawa semula ke lokap oleh anggota polis yang ditempatkan di mahkamah.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan ke atas Soh, yang juga pemilik stor, dan Chin kepada tuduhan asal membunuh pembantu rumah mereka, Mey Sichan, 24, yang mempunyai berat badan hanya 26.1 kilogram.
Soh dan Chin, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 16 Mei 2013 atas tuduhan pindaan membunuh tanpa niat.
Mey Sichan, yang mula bekerja dengan pasangan itu pada Julai 2011, dijumpai mati di rumah kedai pasangan suami isteri itu dengan kesan kecederaan lama dan baharu pada badannya selain mengalami dehidrasi dan keadaan pipinya yang cengkung.
Hakim Datuk Seri Zakaria Sam, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel hakim, berkata mahkamah mendapati rayuan balas pihak pendakwa mempunyai merit.
Beliau kemudian mengenepikan sabitan pasangan itu atas tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat dan hukuman penjara, serta menggantikannya dengan hukuman mati kerana membunuh.
Panel hakim juga menolak rayuan pasangan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.
Seorang lagi hakim yang berada dalam barisan panel ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.
Pasangan itu asalnya dituduh membunuh Mey Sichan di rumah mereka di Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 1 Januari dan 1 April 2012 tetapi Mahkamah Tinggi meminda tuduhan itu dan mensabitkan mereka kerana membunuh tanpa niat.
Pada perbicaraan mendengar rayuan pada 24 Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan mendengar hujah daripada pihak pendakwa, bahawa Mey Sichan bukan saja tidak diberi makan tetapi dia juga didera dan mengalami kecederaan fizikal di seluruh badan akibat dipukul.
Mahkamah diberitahu bahawa Mey Sichan terpaksa makan sisa makanan dari tong sampah.
Tetapi, peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili pasangan itu berhujah bahawa ia tidak dapat diputuskan gastrik ulser yang dialami oleh Mey Sichan ialah akibat tidak diberi makan oleh anak guamnya.
Kumaraendran berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mengendalikan pendakwaan bagi kes itu.
-- BERNAMA

Gambar terakhir sebelum lemas


Bachok: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Irama di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khairu Yusoff berkata Muhammad Azwan Arif Azmi dari Kampung Buloh Poh, Ketereh, Kota Baharu, hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di pantai itu pada jam 10.30 pagi.


"Mangsa dipercayai dihanyutkan ombak besar ke sekitar kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seramai 21 anggota mencari dan menyelamat (SAR) seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang melancarkan gerakan mencari mangsa.

Muhammad Khairu berkata operasi mencari mangsa agak sukar disebabkan ombak besar dan angin kencang.

Sementara itu, bapa mangsa Azmi Mohammad, 54, berkata anak kedua daripada empat beradik itu meminta izin untuk mandi di pantai berkenaan.

“Dia kata nak datang mandi pantai sekali ni sahaja. Jadi saya benarkan dia pergi," katanya yang mengetahui kejadian menimpa anaknya ketika sedang memasak bubur asyura bersama penduduk kampung.

Seorang jiran mangsa yang sama-sama mandi di pantai itu, Muhammad Muaz Yusof, 19, berkata sebaik tiba di pantai pada jam 8 pagi, mereka terus mandi dan selepas beberapa jam kemudian mereka naik ke darat untuk bergambar sambil menunggu pakaian kering sebelum pulang ke rumah dan mereka sempat merakam gambar mangsa.

“Ketika itu mangsa turun semula untuk mandi bersama seorang rakannya, Muhammad Adam Haikal Yusof, 9. Muhammad Adam hampir lemas tetapi saya sempat menariknya ke darat tetapi Muhammad Azwan sudah tiada," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:54 PM


Gambar Muhammad Azwan Arif Azmi, 8, yang dirakam keluarganya beberapa minit sebelum dia lemas di Pantai Irama, Bachok. - Foto NOR AMALINA ALIAS
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89534#foto

Pelajar lakukan seks di sekolah kes terpencil: Pengarah



MELAKA: Jabatan Pendidikan Melaka akan melakukan siasatan terhadap kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang melakukan kegiatan tidak bermoral dengan beberapa pelajar lelaki di sekolahnya di Jasin.
Pengarahnya, Abu Bakar Sahari berkata tindakan itu bagaimanapun hanya akan dilakukan selepas siasatan pihak polis selesai bagi mengelak sebarang gangguan.
"Kami akan meminta pihak sekolah untuk membuat laporan penuh berhubung kes ini selepas siasatan polis selesai untuk tindakan lanjut yang perlu diambil di peringkat sekolah.
"Kami terkejut apabila mengetahui perkara ini. Kes ini adalah terpencil ... pihak jabatan memandang serius hal ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan kegiatan tidak bermoral seorang pelajar tingkatan empat yang dikesan ibunya melakukan hubungan seks dengan beberapa pelajar lelaki di sekolahnya.
Turut dilaporkan keluarga pelajar berkenaan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin dan lapan pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes itu.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata semua pelajar yang terbabit dalam aktiviti tidak bermoral itu akan dipanggil pihak sekolah dan diberi sesi kaunseling secara intensif bagi memberi kesedaran kepada mereka.
"Pihak sekolah dan jabatan juga akan terus memantau perkara ini agar tidak berulang atau berlaku pada pelajar lain atau di sekolah lain," katanya.
- BERNAMA

Remaja Lemas Mandi Di Tasik


Diterbitkan: Jumaat, 30 Oktober 2015 4:23 PM

LAHAD DATU: Seorang remaja lelaki mati lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di sebuah tasik di Terusan Jaya dekat sini pagi Jumaat.
Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd AffendyK Ramin berkata mangsa Mohd Firdaus Ali, 16, lemas ketika mandi bersama lapan lagi rakan sekolahnya.
"Mayat Mohd Firdaus dijumpai kira-kira pukul 7.53 pagi, 33 minit selepas operasi mencari dilancarkan oleh bomba," katanya dalam satu kenyataan.

Jabatan Pendidikan Siasat Kes Pelajar Lakukan Kegiatan Tidak Bermoral


Diterbitkan: Jumaat, 30 Oktober 2015 4:58 PM

MELAKA: Jabatan Pendidikan Melaka akan melakukan siasatan terhadap kes seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang melakukan kegiatan tidak bermoral dengan beberapa pelajar lelaki di sekolahnya di Jasin.
Pengarahnya Abu Bakar Sahari berkata siasatan itu bagaimanapun hanya akan dilakukan selepas siasatan pihak polis selesai bagi mengelak sebarang gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa itu.
"Kami akan meminta pihak sekolah untuk membuat laporan penuh berhubung kes ini selepas siasatan polis selesai untuk tindakan lanjut yang perlu diambil di peringkat sekolah.
"Kami terkejut apabila mengetahui perkara ini. Kes ini adalah terpencil ...  pihak jabatan memandang serius hal ini," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan kegiatan tidak bermoral seorang pelajar tingkatan empat yang dikesan ibunya melakukan hubungan seks dengan beberapa pelajar lelaki di sekolahnya.
Turut dilaporkan keluarga pelajar berkenaan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin dan lapan pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes itu.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata semua pelajar yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu akan dipanggil pihak sekolah dan diberi sesi kaunseling secara intensif bagi memberi kesedaran kepada mereka.
"Pihak sekolah dan jabatan juga akan terus memantau perkara ini agar tidak berulang atau berlaku pada pelajar lain atau di sekolah lain," katanya.

Tahanan Polis Mati Akibat Hentakan Tumpul Di Dada - EAIC


Diterbitkan: Jumaat, 30 Oktober 2015 5:46 PM
Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur

PUTRAJAYA: Hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati kematian Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur ketika dalam tahanan polis disahkan mempunyai kaitan kekerasan secara fizikal semasa ditahan dan disoal siasat polis.
Laporan bedah siasat yang dijalankan Pakar Perunding dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Baru, Dr. Rohayu Shahar Adnan mendapati kematian Syed Mohd Azlan, 26 disebabkan trauma hentakan tumpul di dada.
Pemeriksaan mendapati si mati mengalami 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua kaki di mana sebahagiannya konsisten dengan kecederaan semasa berusaha mempertahankan diri daripada kekerasan fizikal yang dilakukan ke atasnya oleh anggota-anggota polis.
Laporan yang dilengkapkan pasukan petugas khas mendapati adanya gangguan bahan bukti dilakukan pihak polis iaitu membersihkan tempat kejadian sebelum dilawati dan diperiksa oleh pegawai perubatan; melupuskan tikar getah dan karpet yang dipercayai mempunyai kesan darah si mati di tempat kejadian tangkapan, dan perlakuan menyembunyikan/menghilangkan saksi yang melihat kejadian tangkapan si mati.
Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, pihaknya kesal dan memandang serius kes kematian tahanan yang berulang terutama melibatkan perlakuan anggota penguatkuasa yang perlu dibasmi.
"Terdapat perlakuan serangan bersifat jenayah yang melibatkan unsur niat bersama atau pensubahatan oleh anggota polis untuk melakukan kekerasan fizikal secara sengaja yang mengakibatkan kecederaan dan kematian.
"Perlakuan ini adalah kesalahan bersifat jenayah mengikut undang-undang, khususnya Seksyen 302 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atau secara alternatif Seksyen 107 Kanun yang sama," katanya menerusi kenyataan Jumaat.
Kata Yaacob, pemeriksaan mendapati anggota polis yang menahan Syed Mohd Azlan menggunakan gari milik persendirian, bukan dibekalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Penemuan lain juga termasuk beberapa ketidakpatuhan ke atas Standard Operating Procedure (SOP) PDRM berkaitan tatacara tangkapan dan pengendalian tangkapan, sitaan barang kes dan integriti keterangan (SOP Tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM); SOP Jabatan Siasatan Jenayah (Prosedur Penggeledahan dan Rampasan) telah dilakukan pegawai dan anggota pasukan serbuan yang dikenalpasti siasatan ini," katanya.
Sehubungan itu, EAIC menyarankan kepada Pihak Berkuasa Patatertib (PBT) PDRM untuk tindakan tatatertib terhadap pegawai dan anggota-anggota yang dikenalpasti kerana melakukan salah laku mengikut Seksyen 24 Akta 700.
"EAIC juga mengesyorkan kepada Pendakwa Raya bagi pendakwaan jenayah terhadap pegawai dan anggota PDRM yang didapati melakukan salah laku bersifat kesalahan jenayah seperti yang dikenalpasti di dalam laporan penuh siasatan ini," katanya.
Laporan itu dihasilkan susulan tindakan Pasukan Petugas yang dibentuk itu mengambil keterangan 35 saksi termasuk anggota polis berkaitan penangkapan dan tahanan Syed Mohd Azlan, pegawai perubatan, orang awam dan juga ahli keluarga si mati; melawat dan memeriksa tempat kejadian di mana Syed Mohd Azlan telah ditangkap; meneliti dan mengkaji dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk laporan polis berkenaan tangkapan, catatan Buku Perharian Balai, laporan bedah siasat dan laporan kimia serta gambar-gambar berkaitan.
Berdasarkan laporan itu, kejadian melibatkan Syed Mohd Azlan bermula apabila adanya aduan berhubung perbuatannya serta rakan yang bersenjatakan pistol dan pedang samurai lalu menyerang pengadu dan rakan-rakan pengadu sehingga cedera di Kampung Dato Abdul Ghani, Rengit pada 19 September 2014.
Susulan itu, Syed Mohd Azlan ditahan dalam serbuan di sebuah bilik sewa di Kampung Simon Telum Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang pada pukul 3.30 pagi pada 3 November 2014. Bagaimanapun tiada senjata api ditemui.
Seterusnya, Syed Mohd Azlan dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit untuk disoal siasat dan pada 7.10 pagi hari sama ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bagi permohonan reman, suspek didapati dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Berikutan itu, Syed Mohd Azlan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar dan pada kira-kira pukul kurang 8.30 pagi, pegawai perubatan bertugas, Dr. Mohd Mahdzan Mazelan mengesahkan suspek telah meninggal dunia.
Sehubungan itu, kata Yaacob, PDRM disaran supaya menambahbaik SOP berkaitan tangkapan iaitu merujuk kepada pegawai perubatan jika suspek mengalami kecederaan fizikal.
"Latihan atu kursus berterusan secara berkumpulan dan berperingkat kepada semua lapisan pegawai dan anggota yang terlibat di dalam operasi serbuan/tangkapan untuk memastikan juga perlu dilaksanakan, selain memperketatkan serta memantau dengan lebih berkesan khususnya berkaitan soalsiasat ke atas tahanan, penyitaan barang kes dan kewajipan menyediakan borang geledah atau borang bongkar.
"Selain itu, PDRM juga disaran melarang sama sekali mana-mana pegawai atau anggota dari menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan atau peralatan yang bukan dibekalkan oleh PDRM dalam apa-apa operasi tangkapan," katanya.

Warga emas lumpuh ditemukan rentung


KOTA MARUDU 30 Okt. - Seorang warga emas yang lumpuh ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah di Jalan Tandik, Kampung Kuranji dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, mangsa, Abdul Wakil Abdul Salam, 68, dikatakan terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.44 malam dan tiba di lokasi kejadian sekitar 11.07 malam.
Sementara itu, seorang pelajar tingkatan empat, Mohd. Firdaus Ali dilaporkan lemas di terusan dekat Silam, Lahad Datu.
Jurucakap JBPM daerah memberitahu, mangsa ditemukan di lokasi kejadian pada pukul 7.53 pagi tadi. - Utusan Online
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/warga-emas-lumpuh-ditemukan-rentung-1.152262#sthash.15LUBz1Z.dpuf

Maut terbabas di LPT2

Chukai: Lelaki maut, manakala rakan wanitanya parah apabila motosikal Yamaha 125Z ditunggang mereka terbabas menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke bahagian pembahagi jalan dalam kejadian di KM 271.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat Cheneh, pagi tadi.
Dalam insiden kira-kira 4 pagi itu, Yusran Mohamad dari Pekan Pasir Akar, Jerteh, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada sementara rakannya, warga Filipina yang hanya dikenali Margelina, 29, parah di kepala serta kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dalam perjalanan dari aKuantan ke Kuala Terengganu sebelum motosikal ditunggang terbabas dan bergesel penghadang jalan.
"Mereka kemudian tercampak ke kawasan pembahagi jalan. Penunggang meninggal dunia di tempat kejadian apabila parah di kepala dan patah tulang dada, manakala pembonceng parah di kepala dan kaki.
"Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan wanita berkenaan dirawat di hospital sama. Kejadian berlaku tidak jauh daripada kemalangan maut membabitkan enam sekeluarga 14 Oktober lalu," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 4:06 PM


Yusran meninggal duni di tempat kejadian. FOTO Shamsudin Husin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89507#sthash.qPJqR7KA.dpuf

Jumpa mangsa selepas api padam

Kota Marudu: Lelaki warga emas ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan tiga rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), di Jalan Tandik, Kampung Kuranji, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian 10.40 malam itu, Abdul Wakil Abdul Salam, 68, ditemui di dalam rumahnya oleh anggota bomba selepas api dipadamkan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Afenddy K Ramin, berkata sebelas anggota dari Balai Bomba Kota Marudu bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 10.44 malam.
"Anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengambil kira-kira 50 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu.
"Sebaik sahaja operasi tamat, pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:28 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89414#sthash.qvyfrOel.dpuf

Alhamdulillah, panjang umurnya

Prai: Lelaki 24 tahun terselamat walaupun dia tercampak ke laut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jambatan Pulau Pinang, di sini, 9.30 pagi, hari ini.
Dalam kemalangan di KM1.4 menghala ke Georgetown, Mohammad Noor Firdaus Yahya tercampak ke dalam laut selepas motosikalnya merempuh sebuah lagi motosikal.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Prai, Penguasa Kanan Bomba II, Roslan Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.34 pagi.
Katanya, pihaknya menjalankan operasi mencari sebelum menaikkan mangsa menggunakan teknik 'anchoring'.
Menurutnya, operasi menaikkan mangsa yang beralamat di Taman Pauh Jaya, di sini, selesai 10.12 pagi.
Katanya, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi mendapatkan rawatan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 11:34 AM


IHSAN pembaca HM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89444#sthash.2JNx6yza.dpuf

Luahan hati ayah Intan Suraya

Balik Pulau: Keluarga arwah Intan Suraya Mawardi yang maut dikelar di Flat Bandar Baru, Teluk Kumbar, Ahad lalu, mohon orang ramai hentikan segala spekulasi dan hormat perasaan mereka yang masih trauma.
Bapa arwah, Mawardi Abdul Hak, 36, berkata kejadian menimpa anak sulungnya cukup mengejutkan dan memilukan mereka.
Menurutnya, pihaknya berharap semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi buruk yang boleh menimbulkan fitnah dan sehingga keluarganya menjadi trauma apabila terpaksa berdepan semua tanggapan buruk.
"Tolong hormati perasaan kami. Kes berkenaan sudah diserahkan kepada polis dan biar undang-undang menentukannya.
"Kami pasrah dengan apa yang terjadi dan yang penting kematian Intan Suraya akan mendapat pembelaan sewajarnya," katanya ketika menerima kunjungan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Yahaya di rumahnya, pagi ini.
Sementara itu, Dr Hilmi berkata, keluarga arwah bakal menjalani rawatan kaunseling dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan keluarga mangsa untuk mendapatkan rawatan berkenaan berikutan mereka kini masih lagi dalam keadaan trauma.
Beliau berkata, bukan mudah untuk melalui peristiwa kehilangan anak perempuan kesayangan yang masih bersekolah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 12:32 PM


FOTO Ramdzan Masiam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89491#sthash.oPA1uWgN.dpuf

Empat pegawai kanan TLDM didakwa lagi


IPOH 30 Okt.-Empat pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sebelum ini didakwa atas tuduhan rasuah, hari ini didakwa lagi atas tuduhan melakukan kesalahan penggubahan wang haram berjumlah RM 2.172 juta.
Keempat-empat mereka ialah Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36; Leftenan Rozlin Mustafa,33; Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd. Khir, 37, dan Leftenan S.Kuvendran, 31.
Dalam kes ini, Rizalman dan Rozlin masing-mading didakwa atas tiga pertuduhan manakala Khairul Izwan dan Kuvendran pula masing-masing dengan lima pertuduhan.
Keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan berkenaan ketika pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed. - UTUSAN ONLINE
Habis
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/empat-pegawai-kanan-tldm-didakwa-lagi-1.152265#sthash.3SfRuMgA.dpuf

15 pau inti babi dirampas

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan merampas 15 bungkusan kecil seberat dua kilogram (kg) mengandungi pulut mangga dan pau dipercayai berintikan daging babi yang cuba dibawa masuk dari negara jiran di pintu masuk Kompleks Kastam Kuarantin dan Imigresen (ICQ) Rantau Panjang, kelmarin.
Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, makanan itu dirampas daripada seorang peniaga asing yang masuk ke negeri ini mengikut laluan sah, kira-kira jam 7 pagi.
“Ia susulan operasi bersepadu yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Rantau Panjang.
“Sebanyak 235 barang makanan diperiksa dan daripada itu terdapat tiga bungkusan plastik besar berisi 15 bungkusan kecil pulut mangga dan pau dipercayai berintikan daging babi,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 10:01 AM


PAU dipercayai mengandungi daging babi dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89412#sthash.STUL1rSx.dpuf

Drebar ‘pagar makan padi’

Shah Alam: Sepatutnya dia menghantar produk makanan syarikat ke Pelabuhan Klang, di sini, namun disebabkan bersekongkol dengan sindiket jenayah, pemandu treler sanggup ‘melencongkan’ laluan untuk memunggah muatan.
Ia modus operasi dilakukan pemandu treler bersama beberapa individu lain yang menunggu di tepi jalan di kawasan tersorok untuk memunggah barang terbabit sebelum menghantarnya ke gudang di Taman Len Seng, Cheras sejak Oktober tahun lalu.
Akibat kes pecah amanah, syarikat terbabit rugi RM2 juta dan sindiket terbabit didapati menjual produk makanan itu kepada pihak lain.
Timbalan Ketua Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Hamza Taib berkata, syarikat itu mengesyaki pemandu treler itu melakukan pecah amanah kerana sering kehilangan barang ketika dihantar ke pelabuhan.
“Selepas menerima laporan, kami dengan bantuan JSJK Kontinjen Selangor menjalankan siasatan sejak awal bulan lalu termasuk memantau pergerakan treler dari gudang di Shah Alam ke Pelabuhan Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 9:47 AM


HAMZA (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89401#sthash.SMyUK7LO.dpuf

Maut terjatuh di lereng bukit

Ampang: Wanita berusia 28 tahun maut selepas terjatuh di lereng bukit setinggi 50 meter dalam kejadian di Taman Bukit Permai, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa, Jaspal Kaur disahkan maut akibat parah di kepala oleh anggota paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.15 tengah malam.
Katanya, enam anggota bomba termasuk pegawai dan sebuah jentera ke lokasi kejadian untuk bantuan segera.
"Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 4:34 PM


Lokasi kejadian wanita maut terjatuh dari lereng bukit. FOTO ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89516#sthash.FOSR8QRD.dpuf

Penunggang motosikal terselamat jatuh ke laut


BUKIT MERTAJAM 30 Okt. - Seorang penunggang motosikal terselamat apabila dia terjatuh ke laut setelah motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal lain di KM 1.4 Jambatan Pulau Pinang di sini pagi ini.
Mangsa, Mohamamad Noor Firdaus Yahya, 24, dalam perjalanan dari sini ke bahagian pulau dalam kejadian pukul 9 pagi ini.
Sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang dihubungi berjaya membawa mangsa naik ke atas jambatan itu. - Utusan Online
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/penunggang-motosikal-terselamat-jatuh-ke-laut-1.152267#sthash.bxY8yMGP.dpuf

Tiga nelayan hilang ditemui selamat

Kuala Terengganu: Tiga nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dipukul ribut sejak Ahad lalu ditemui selamat berhampiran pelantar cari gali minyak Petronas di Kertih pada Selasa lalu.
Semua mangsa termasuk seorang tekong berusia antara 26 hingga 30 tahun selamat tiba di Jeti Pulau Kambing, di sini, jam 3 pagi tadi.
Sebelum ini, mereka keluar menangkap ikan dari Jeti Losong, di sini, kira-kira 7.30 pagi pada Jumaat lalu sebelum enjin bot dinaiki rosak pada Ahad ketika berada dalam jarak 30 batu nautika dari jeti.
Selain kerosakan pada enjin bot, alat perhubungan turut rosak menyebabkan mereka gagal mendapatkan bantuan sebelum bot dinaiki mereka dipukul ombak dan dihanyutkan berhampiran Dulang B, pelantar cari gali minyak Petronas, Kertih kira-kira 68 batu nautika dari Jeti Losong.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, Semua mangsa ditemui berhampiran dulang pada Selasa lalu oleh sebuah bot yang membawa makanan kepada pekerja di pelantar minyak berkenaan sebelum mereka diberi makanan dan pakaian.
"Bot dinaiki mangsa ditunda sebuah bot nelayan lain dan selamat tiba di Jeti Pulau Kambing, di sini jam 3 pagi tadi. Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 4:12 PM


Idris maklumkan semua mangsa tidak cedera. FOTO Syafiq Ambak
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89509#sthash.ZdB250r7.dpuf

4 bernafsu serakah

Alor Gajah: Empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan merogol, melakukan hubungan seks luar tabii serta merompak seorang siswi sebuah universiti, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Arshad Kamarulzaman, 22, Mohd Rolferi Rosman, 25, Muhammad Taufiq Mohd Zamri, 21, serta remaja lelaki berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.
Muhammad Arshad, Muhammad Taufiq dan Mohd Rolferi didakwa di hadapan Hakim Nariman Badruddin di Mahkamah Sesyen manakala pesalah juvana didakwa dalam mahkamah tertutup di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.
Muhammad Taufiq dan Muhammad Arshad berdepan tiga pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara berkumpulan merogol mangsa berusia 18 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 9:53 AM


EMPAT lelaki yang dibicarakan semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89407#sthash.jcTnRJ0C.dpuf