Suspek yang merupakan seorang wa­nita dan seorang lelaki tempatan itu difahamkan telah menyerahkan akaun bank mereka kepada sindiket warga Afrika bagi memudahkan urusan pemindahan wang mangsa.
Walau bagaimanapun, penglibatan mereka tidak berpanjangan apabila ditangkap selepas seorang jururawat di sebuah klinik yang terletak di Cheras membuat laporan polis setelah menyedari ditipu anggota sindiket.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, lelaki tempatan yang juga pemilik akaun bank itu ditahan di Pelabuhan Klang pada Jun lalu manakala wanita tempatan pula ditangkap bersama suaminya warga Nigeria pada 20 Oktober lalu.
Kata Kok Sin, hasil laporan polis yang dibuat jururawat berusia 50 tahun pada peng­hujung tahun lalu itu, pihaknya turut berjaya menahan beberapa lagi anggota sindiket berkenaan yang berusia 25 hingga 30 tahun.
“Jururawat itu berkenalan dengan seorang lelaki bernama Collin di Facebook sejak Jun 2014 dan telah memasukkan wang secara berperingkat-peringkat sebanyak tujuh kali untuk membantu suspek memulakan projek pelantar minyak di Miri Sarawak.
“Mangsa telah memasukkan seba­nyak RM18,400 ke dalam dua akaun bank berbeza milik dua rakyat tempatan. Namun kemudian dia merasakan telah tertipu apabila ahli sindiket berulang kali mendesaknya sehingga dia tidak tahan lalu membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.
Jelas Kok Sin, hasil siasatan lanjut, beberapa operasi dijalankan dan seramai 18 lelaki warga Nigeria ditangkap bersama seorang wanita Thailand serta seorang wanita Nigeria di beberapa lokasi di sekitar ibu negara dan Selangor, minggu lalu.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati wanita tempatan telah digunakan oleh suaminya warga Nigeria untuk urusan pemindahan wang ke dalam akaun bank. Wang itu kemudiannya diserahkan kepada warga Nigeria lain sebelum dipindahkan ke dalam akaun di luar negara.
“Lelaki tempatan telah pun dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan tempoh reman sudah maksimum namun akan dicadangkan untuk dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu ke­salahan menyembunyikan harta,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kok Sin berkata, ke­semua warga Nigeria yang ditangkap merupakan pelajar sebuah kolej swasta. Seorang lagi suspek yang dipercayai dalang utama kes penipuan ini masih diburu,” ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai barangan turut dirampas dalam serbuan itu termasuk telefon bimbit, komputer peribadi dan nota yang bertulis skrip yang akan digunakan untuk menipu mangsa.