Search This Blog

Wednesday, October 28, 2015

Suspek pecah masuk kedai ditahan di Shah Alam

RABU, 28 OKTOBER 2015 @ 5:16 PM

 Oleh Norashikin Leman SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah premis perniagaan di Seksyen 15 di sini, Rabu lalu. Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan dalam Ops Pintu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 4.15 pagi, Isnin lalu. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Shafien Mamat, berkata bertindak atas maklumat, suspek ditemui dalam keadaan mencurigakan ketika sedang cuba memasuki sebuah kereta.  Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaannya, polis menemui sebuah beg berisi pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah pecah masuk. "Polis juga turut merampas kenderaan mangsa termasuk dua beg yang mengandungi pelbagai peralatan elektronik serta barangan kemas dipercayai milik mangsa," katanya ketika dihubungi. Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 30 Oktober ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/92570

Nenek tak mengaku salah simpan 4 tenggiling


TERTUDUH, Chia Soi Nan. - Foto Mohd Nazrulaswad
KUALA KANGSAR: Seorang nenek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menyimpan empat ekor tenggiling di rumahnya di Gerik, tahun lalu.
Tertuduh, Chia Soi Nan, 66, didakwa menyimpan tiga ekor tenggiling betina iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya mengikut Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas di sebuah kediaman di Lot 136 Kampung Baru, Batu dua, Gerik, pada kira-kira jam 10.30 malam 30 Disember 2014.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut mengikut Seksyen 70(1) yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM300,000 atau dipenjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Soi Nan didakwa menyimpan seekor tenggiling jantan di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 68 (1)(a) yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Hakim Johari Hassan menetapkan sebutan semula kes 23 November ini selepas tertuduh minta dibicarakan dan mengarahkan tertuduh melantik peguam.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zaki Mohd Rahim.

Operasi mencari guru besar hilang diteruskan



PASUKAN keselamatan diberi taklimat sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat. - Foto Amrullah Abdul Karim
KUALA KUBU BHARU: Operasi mencari dan menyelamat guru besar sebuah sekolah rendah di Keramat, Kuala Lumpur, Jashiah Rabu yang hilang sejak enam hari lepas di Taman Seri Seruling, di sini diteruskan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan, berkata pencarian diteruskan di beberapa kawasan termasuk di hutan simpan Bukit Kutu dan perkampungan Orang Asli.
Kekuatan seramai kira-kira 50 orang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, renjer hutan, penduduk dan Pegawai Pendidikan Daerah ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari ini.
"Semua agensi terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk melakukan pencarian," katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat diteruskan mengikut keadaan cuaca.
Seorang saksi penjaga kandang lembu yang hanya dikenali sebagai Zainal berkata, dia pernah melihat wanita itu berjalan di luar kawasan kandang lembu tetapi tidak menyangka wanita itu akan hilang.
Katanya, pada ketika itu wanita berkenaan kelihatan tidak terurus.
"Saya biasa nampak dia di kawasan sekitar tetapi sebelum dia dilaporkan hilang, saya ada melihat dia berjalan melalui kawasan kandang lembu ini dan menuju ke perkampungan Orang Asli," katanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 53 tahun yang tinggal di Taman Seri Seruling kelihatan murung sejak kebelakangan ini dipercayai kesan pengambilan ubat rawatan barah yang dihidapinya.
- BERNAMA

Helikopter bawa 23 penumpang terhempas di Libya



TRIPOLI : Sebuah helikopter membawa 23 orang di dalamnya terhempas Selasa berhampiran ibu kota ini namun puncanya belum dikenal pasti, kata seorang pegawai keselamatan.
Pegawai berpusat di sini memberitahu AFP, pihaknya juga tidak tahu jumlah sebenar mangsa.
"Kami tidak tahu jumlah mangsa atau jika ada mangsa yang terselamat," katanya.
Negara Afrika Utara itu menyaksikan keganasan meluas sejak penggulingan dan pembunuhan pemimpin diktator sekian lamanya, Muammar Gaddafi pada tahun 2011.
REUTERS pula memetik sumber keselamatan melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam nahas udara itu.
Helikopter itu mungkin terkena tembakan sebelum terhempas di kawasan pantai, dakwa sumber itu.
Ia dipercayai dalam perjalanan keluar membawa wang tunai ke sebuah bank tempatan. -AFP/REUTERS

TERKINI: 350 maut gempa di Afghanistan, Pakistan



SEORANG penduduk mencari mangsa di bawah runtuhan di Pakistan - Foto AFP
ISLAMABAD: Jumlah kematian gempa bumi 7.5 magnitud di Afghanistan dan Pakistan terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 350 orang, dengan pasukan penyelamat kini sudah mula memasuki kawasan pedalaman.
Pihak berkuasa pengurusan bencana Pakistan melaporkan 241 orang terbunuh dan lebih 1,600 yang lain cedera.
Sementara itu, pegawai Afghanistan mengesahkan sekurang-kurangnya 115 orang mati dan beratus-ratus lagi cedera.
Jumlah yang maut di Afghanistan itu termasuk 12 pelajar perempuan, selepas dipijak sehingga mati dalam rempuhan ketika cuba melarikan diri keluar dari kelas mereka di wilayah Takhar, apabila gempa tiba-tiba melanda.
Manakala 35 mangsa yang lain turut cedera di sekolah berkenaan.
Pecahan jumlah kematian yang sah setakat ini di Afghanistan termasuk 30 orang di wilayah Kunar; 12 di Takhar; sembilan di Badakhshan, wilayah berhampiran pusat gempa; lapan di Nangarhar, daerah bersempadan dengan Pakistan, dan sekurang-kurangnya dua di wilayah utara Baghlan.
Di Pakistan pula, sekurang-kurangnya 30 orang disahkan maut di kawasan utara; 185 orang di barat laut; sembilan di Gilgit-Baltistan dan satu di Kashmir.
Pusat gempa terletak di wilayah Badakhshan yang dihuni hampir satu juta penduduk, yang kini di bawah kawalan militan Taliban.
Afghanistan sering dilanda gempa terutamanya di kawasan pergunungan Hindu Kush, yang terletak berhampiran persimpangan Eurasia dan India.
Gempa bumi 7.5 magnitud semalam itu turut dirasai di India, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan. -AFP

Pengurus maut motosikal kuasa tinggi rempuh lori

RABU, 28 OKTOBER 2015 @ 2:17 PM



KEADAAN motosikal berkuasa tinggi milik Mohd Rahimi Abdul Rahman selepas terbabit kemalangan dengan lori dan van di Kilometer 118.5 Lebuhraya Pantai Timur dekat susur keluar Plaza Temerloh, malam tadi.
TEMERLOH: Seorang pengurus syarikat maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit kemalangan dengan lori dan van di Kilometer 118.5 Lebuhraya Pantai Timur dekat susur keluar Plaza Temerloh di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 8.47 malam, mangsa Mohd Rahimi Abdul Rahman, 35, dari Kampung Cacar, Paka, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal berkenaan dari Kuala Lumpur menghala ke arah Kuantan.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang lori membawa muatan jentolak.

"Kira-kira 10 minit kemudian, sebuah van yang berada di belakang kenderaan itu tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga," katanya ketika dihubungi di sini.

Nelayan Indonesia Tangkap Ikan Di Perairan Negara Diberkas


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 5:07 PM

IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut menahan lima awak-awak dan seorang tekong warga Indonesia melakukan aktiviti menangkap ikan, kira-kira 45 batu nautika barat daya Pulau Pangkor di sini, Selasa.
 Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, kapal KM Nyalau yang diketuai Leftenan Madya Mohammad Khairul Faizal bersama 12 anak kapal melakukan rondaan operasi di perairan Selat Melaka sebelum berjaya mengesan bot tersebut.
"Ketika pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat sejumlah ikan hasil tangkapan mereka di dalam bot berkenaan.
"Kesemua awak-awak dan tekong bot itu berumur lingkungan 18 hingga 25 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulinda berkata kes tersebut disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 15(1)(a) dan ia merupakan kes ke-12 melibatkan bot nelayan Indonesia ditahan di perairan negara pada tahun ini.

Operasi Cari Guru Besar Hilang Diteruskan


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 4:54 PM

KUALA KUBU BHARU: Operasi mencari dan menyelamat guru besar sebuah sekolah rendah di Keramat, Kuala Lumpur, Jashiah Rabu yang hilang sejak enam hari lepas di Taman Seri Seruling, di sini diteruskan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata pencarian diteruskan di beberapa kawasan termasuk di hutan simpan Bukit Kutu dan perkampungan Orang Asli.
Kekuatan seramai kira-kira 50 orang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, renjer hutan, penduduk dan Pegawai Pendidikan Daerah ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat pada Rabu.
"Semua agensi terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk melakukan pencarian," katanya.
Katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan mengikut keadaan cuaca.
Seorang saksi penjaga kandang lembu yang hanya dikenali sebagai Zainal berkata dia pernah melihat wanita itu berjalan di luar kawasan kandang lembu tetapi tidak menyangka wanita itu akan hilang.
Katanya pada ketika itu wanita berkenaan kelihatan tidak terurus.
"Saya biasa nampak dia di kawasan sekitar tetapi sebelum dia dilaporkan hilang, saya ada melihat dia berjalan melalui kawasan kandang lembu ini dan menuju ke perkampungan Orang Asli," katanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 53 tahun yang tinggal di Taman Seri Seruling kelihatan murung sejak kebelakangan ini dipercayai kesan pengambilan ubat rawatan barah yang dihidapinya.

Penganggur Didakwa Cabul Budak Enam Tahun


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 4:51 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Rabu atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, Jumaat lepas.
Muhammad Iskandar Shahzrin Othman, 23, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak mencabul kanak-kanak itu yang juga jirannya di sebuah unit apartmen di Brickfields di sini, pada 9.30 malam, 23 Okt lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar menawarkan jaminan RM20,000 namun tiada jaminan ditetapkan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris kerana penjamin tertuduh tidak hadir.
Mahkamah menetapkan 3 Dis untuk sebutan semula kes. 

'Panjang' Berkelakuan Mencurigakan Sebelum Amuk


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 9:03 AM

MELBOURNE: Seorang lelaki tidak berbaju dikenali sebagai 'Panjang' mengepung restoran milik rakyat Malaysia, 'Little Ipoh' di Melbourne selama hampir dua jam pada Selasa, didakwa bersikap mencurigakan selepas datang tanpa wang untuk makan di premis itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh pemilik restoran, Raja Yasmin Raja Abdul kepada The Stardalam satu temuramah menerusi panggilan telefon, yang menyampaikan apa yang berlaku seperti diceritakan oleh suaminya dan pengurus restoran yang enggan dikenali.
"Lelaki itu mengunjungi restoran saya beberapa kali sebelum ini. Dia seorang rakyat Malaysia, tetapi saya tidak tahu nama dia. Saya hanya tahu nama panggilannya 'Panjang' kerana dia tinggi," kata Raja Yasmin.
Wanita berusia 44 tahun dari Ipoh itu berkata, lelaki berkenaan bukan pelanggan tetapnya, tetapi sering berkunjung ke restorannya beberapa kali, terutama pada Sabtu dan Ahad, sejak kebelakangan ini.
"Dia kelihatan normal. Dan berdasarkan perbualan bersama dia sebelum ini memberitahu saya bahawa dia mempunyai pekerjaan di Queensland, tetapi dia kini menganggur disebabkan beberapa masalah dalaman dan tidak mempunyai wang," katanya.
"Dia kedengaran tertekan. Jadi, saya menasihatkan dia untuk mencari kerja."
Raja Yasmin berkata, lelaki tersebut hanya bersikap agresif selepas mengunjungi restorannya pada tengah hari Selasa.
"Dia datang dan beritahu pengurus saya bahawa dia lapar dan mahu makan, tetapi tiada wang. Pengurus saya merasakan sesuatu yang tidak betul dan memberitahu bahawa dia akan memberikan makanan kepadanya secara percuma," kata Raja Yasmin.
Pengurus restoran itu kemudiannya berkata, lelaki berkenaan bercakap seorang diri dan berjalan dalam keadaan mencurigakan di sekitar restoran.
"Dia meminta benda yang pelik-pelik daripada pengurus saya, bercakap mengarut dan menjerit. Dia kemudiannya mengancam pengurus saya menggunakan garpu dan memberitahu dia akan membunuhnya sekiranya menghubungi polis.
"Pengurus saya bernasib baik kerana dia dapat menyelinap keluar dan menghubungi polis. Suami saya dan tiga pelanggan juga segera keluar dari restoran itu," kata Raja Yasmin.
Beliau kemudiannya memperjelaskan bahawa tiada pertelingkahan atau pergaduhan sebagaimana yang dilaporkan oleh media tertentu.
"Terdapat sedikit kerosakan pada restoran itu. Lelaki itu menanggalkan kamera CCTV, merosakkan komputer kami, memecahkan gelas dan jag. Dia juga mengambil wang kami dan mencampakkannya ke luar tingkap. 
"Telefon bimbit yang dia gunakan adalah telefon milik kami, dan dia turut mencampakkannya ke luar," katanya, sambil menambah bahawa dia tidak bernasib baik kerana insiden tersebut berlaku di restoran miliknya.
"Saya kasihankan dia. Saya lihat dia dan saya bersimpati," katanya.
Media Australia, The Sun melaporkan suami Raja Yasmin disiasat oleh pihak berkuasa di sana kerana hal berkaitan imigresen tahun lalu. 
Lelaki berkenaan ditahan polis selepas keluar dari restoran dalam keadaan tangannya berlumuran darah.
Laman web Seven News melaporkan lelaki berkenaan yang digari polis dibawa dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan di atas kecederaan yang dialaminya dan menjalani pemeriksaan mental.

Bunyi Dentuman Kuat Sebelum Pesawat British Airways Mendarat Cemas


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 10:57 AM

SEBUAH pesawat British Airways dilaporkan terpaksa membuat pendaratan cemas pada malam Selasa selepas penumpang terdengar bunyi dentuman kuat.
Portal Mirror melaporkan penerbangan British Airways yang baharu sahaja berlepas dari Belfast, Ireland untuk ke London, United Kingdom terpaksa mendarat cemas selepas masalah disyaki melibatkan teknikal dikesan.
Pesawat berkenaan mengelilingi di ruang udara selama setengah jam sebelum mendarat selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Belfast.
Seorang penumpang, Justin Hames berkata: "Kami berlepas kira-kira 7.35 malam Selasa (3.35 pagi Rabu waktu Malaysia) dan semasa berlepas, kami mendengar satu bunyi dentuman kuat, dan kami hanya terbang di sekitar Belfast selama kira-kira setengah jam sebelum kami mendarat.
Memetik laporan Belfast Live, juruterbang mengisytiharkan kecemasan selepas mengesyaki masalah teknikal dan mengelilingi di runag udara sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Belfast.
Pesawat Airbus A-319 itu hanya membuat penerbangan sejauh 22 kilometer untuk ke Lapangan Terbang Heathrow di London, di mana ia sepatutnya dijadualkan tiba pada pukul 8.55 malam Selasa (4.55 pagi Rabu waktu Malaysia).
Seorang jurucakap British Airways berkata, penerbangan terpaksa dilencongkan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan masalah yang disyaki melibatkan teknikal dikenal pasti.
"Keselamatan penumpang dan anak kapal kami sentiasa menjadi keutamaan. Pesawat mendarat dalam keadaan biasa selepas dilencongkan sejurus berlepas sebagai langkah berjaga-jaga kerana isu teknikal," katanya. - Mirror

Pemandu Lori Dipenjara Dua Bulan Ugut Ipar


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 7:59 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mengugut iparnya awal bulan ini.
Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan Lim Kien Hooi, 36, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 3 Okober.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Choong Choy Yin, 40, seorang suri rumah, dengan mengancam "Jika saya masuk ke dalam rumah, saya akan pecahkan kepala suami kamu" dan membawa sebatang rotan ke rumah wanita itu di Jinjang Utara, Sentul, di sini pada pukul 12.55 pagi, 3 Oktober lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika rayuan, Lim yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga bapanya yang berusia 70-an.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne. - Bernama

Tiga Kolonel Antara Mangsa Helikopter Ditembak Jatuh


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 11:24 AM

TRIPOLI: Beberapa pegawai tinggi tentera Libya dipercayai terkorban apabila helikopter yang dinaiki ditembak sebelum terhempas ke laut berhampiran bandar Maya dekat sini.
Selain pegawai tentera, helikopter itu dikatakan turut membawa sejumlah besar wang tunai.
Ketua Kakitangan Kerajaan Tripoli, Kolonel Mustafa al-Sharkasi berkata, helikopter itu dalam perjalanan pulang ke ibu negara ini apabila ia ditembak jatuh. 
Sumber keselamatan memberitahu, sekurang-kurangnya 13 mayat ditemui daripada 19 penumpang termasuk tiga pegawai tentera berpangkat Kolonel.
"Mereka menaiki helikopter kerana perjalanan melalui darat lebih berisiko di sekitar kawasan bergolak," kata sumber itu.
Bagaimanapun, setakat ini, punca sebenar kejadian itu belum diketahui.
Keganasan meluas di Libya menyaksikan bermula sejak penggulingan dan pembunuhan pemimpin diktatornya, Muammar Gaddafi pada 2011.

Redah Kawasan Taliban Bagi Selamatkan Mangsa Gempa Bumi


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 11:02 AM

ISLAMABAD: Laluan ke kawasan pergunungan dan masalah komunikasi menyebabkan pasukan penyelamat tiada pilihan tetapi melalui zon pengawasan militan Taliban untuk menyelamatkan mangsa gempa bumi Pakistan dan Afghanistan.
Setakat ini, bencana berukuran 7.5 pada skala Richter itu mengorbankan kira-kira 345 nyawa.
Pihak berkuasa juga menjangka jumlah kematian meningkat selepas pasukan penyelamat tiba di kawasan pedalaman yang terputus hubungan akibat gempa bumi kuat itu.
Bencana itu turut mengakibatkan tanah runtuh dan tragedi rempuhan di sebuah sekolah di Afghanistan termasuk 12 pelajar terbunuh.
AFP melaporkan, pihak berkuasa negara terlibat tidak dapat berhubung dengan agensi di daerah Kohistan, dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa, untuk meninjau situasi penduduk sekitarnya yang dikhuatiri terjejas.
“Tiada cara untuk berkomunikasi dengan pihak berkuasa di Kohistan berikutan sistem komunikasi terganggu manakala jalan raya pula tersekat. Kami tidak dapat mengulas mengenai keadaan di sana,” katanya.
Di satu lagi kawasan pedalaman, penduduk tempatan termasuk kanak-kanak dan warga emas membantu kerja-kerja menyelamat, termasuk menggali runtuhan dengan tangan bagi mencari mangsa yang masih terselamat.
Helikopter tentera Pakistan mula memindahkan mangsa-mangsa gempa bumi ke ibu kota wilayah Peshawar dan Rawalpindi yang bersempadan dengan Islamabad.
Pihak tentera juga menghantar pasukan perubatan, khemah dan bekalan makanan ke kawasan terjejas sementara kerajaan India yang mempunyai hubungan dingin dengan Islamabad turut menyatakan kesediaannya untuk membantu. 

Angka Kematian Akibat Jerebu Di Indonesia Cecah 19 Orang


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 3:12 PM

JAKARTA: Angka kematian akibat jerebu di sebahagian kawasan di Indonesia meningkat kepada 19 orang, kata menteri, Khofifah Indar Parawansa pada Rabu.
Jumlah tersebut hampir sekali ganda daripada bilangan yang terakhir dikemaskini mengenai kematian disebabkan oleh pembakaran terbuka yang semakin teruk di negara itu.
Dianggarkan setengah juta rakyat Indonesia mengalami penyakit pernafasan sejak pembakaran terbuka berlaku pada Julai lalu.
Terdahulu, agensi bencana Indonesia memaklumkan bahawa pembakaran itu mengakibatkan 10 orang maut, dengan sebahagiannya ketika mahu menangani kebakaran dan selebihnya disebabkan oleh pencemaran.
Bagaimanapun, menteri sosial Indonesia pada Rabu mengesahkan angka kematian telah meningkat.
"Setakat pagi ini, angka kematian akibat jerebu adalah seramai 19 orang," kata Khofifah Indar Parawansa di sini.
Kesemua mangsa dari Sumatera dan Kalimantan. - AFP

Broker Kereta Dituduh Beri Maklumat Palsu Kepada SPRM


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 1:56 PM
Mohamad Azhan Hamza (ditutup muka) berjalan masuk ke kamar mahkamah untuk menghadapi pertuduhan memberi penyataan palsu kepada SPRM, Rabu.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Komersial di sini berhubung kesalahan memberi penyataan palsu dalam siasatan.
Difahamkan, kes membabitkan anak pegawai kanan polis Bukit Aman itu dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.
Mohamad Azhan Hamza, 31, yang juga broker kereta, dituduh mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhan didakwa melakukan kesalahan memberi penyataan palsu kepada pegawai SPRM, Mohamad Farid Jabar, dalam penyataan di bawah Seksyen 32(2)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, berhubung siasatan yang dijalankan SPRM.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai 2014, antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Mengikut pertuduhan, bagi soalan "berapa biji kereta yang kamu telah jual melalui 'dealer' kereta di TTDI Cars, Melinium Auto di Sentimas Sdn Bhd tersebut", Mohamad Azhan didakwa menjawab "dari  2008 sehingga 2013, lebih kurang 50 biji."
Mohamad Azhan didakwa memberi penyataan palsu berhubung jumlah kereta yang dijual melalui pengedar kereta di TTDI Cars, Melinium Auto dan di Sentimas Sdn Bhd.
Jika sabit kesalahan, Mohamad Azhan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes bagi pihak SPRM dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir.
Hakim Norsharidah Awang membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes.

35 Kes Samun Kedai Serbaneka 24 Jam Dicatat Di Pahang


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 5:48 PM

KUANTAN: Sebanyak 35 kes samun kedai serbaneka 24 jam dicatatkan di negeri ini sejak Januari hingga Oktober tahun ini dengan 68 peratus daripadanya dilaporkan berlaku antara pukul 1 hingga 8 pagi.
Ketua Siasatan Jenayah Pahang Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata daripada jumlah itu, polis berjaya menyelesaikan 24 kes atau 70.6 peratus melibatkan beberapa kumpulan antaranya Geng Black, Geng Ayat, Geng Ivan, Geng Chik Bob serta individu yang melakukan samun secara solo.
"Seramai 24 suspek berusia 20 hingga 40an telah diberkas dan ada di antaranya telah dituduh dan dijatuhkan hukuman penjara selain yang telah diambil tindakan mengikut Undang-Undang Pencegahan Jenayah (POCA).
"Polis percaya kedai serbaneka 24 jam menjadi sasaran mudah penjenayah terutamanya pada waktu tengah malam dan situasi ini menyebabkan pekerja premis itu berada dalam keadaan kurang selamat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Sehubungan itu, polis menasihati pengurusan premis agar menutup pintu kedai selepas tengah malam dan hanya berurusan menerusi kaunter tingkap atau hanya membuka pintu setelah topi keledar dan penutup muka ditanggalkan pelanggan bagi tujuan keselamatan.
Sementara itu, dalam kejadian terbaru 6.25 pagi Sabtu lepas, sebuah kedai serbaneka di sini disamun seorang lelaki memakai topi keledar bertutup penuh dan bersenjatakan parang.
Raja Shahrom berkata ketika kejadian terdapat dua kakitangan sedang bertugas sebelum didatangi suspek yang kemudian bertindak mengacukan parang.
"Lelaki berkenaan mengugut mangsa mengeluarkan wang hasil jualan dan beberapa kotak rokok jika enggan dicederakan sebelum melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di premis berkenaan," katanya.
Menurut Raja Shahrom, dalam kes berasingan seorang pekerja wanita berusia 18 tahun di sebuah kedai serbaneka di sini, dicabul seorang lelaki yang menyamar sebagai pelanggan, kira-kira 3.30 pagi Sabtu lepas.
Bagaimanapun suspek melarikan diri setelah seorang rakan setugas mangsa menjerit meminta tolong. - BERNAMA

Polis Rampas Dadah Bernilai RM1.5 Juta, Tahan 8 Lelaki Iran


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 6:47 PM
Antara syabu yang dirampas dalam operasi STING.

KUALA LUMPUR: Polis telah merampas syabu bernilai RM1.5 dan menahan lapan lelaki warga Iran dalam operasi di sekitar Lembah Kelang.
"Penahanan itu dilakukan dalam tempoh kira-kira lapan jam malam semalam dan telah melumpuhkan sindiket yang membawa syabu dari Iran untuk diedarkan di negara ini," kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
"Bagaimanapun kami percaya ada lagi saki-baki sindiket ini yang masih bebas. Kami akan memburu mereka," katanya.
Beliau berkata operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawainya bersama STING (Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik) dari pukul 4 petang sehingga pukul 11.25 malam.
Kesemua suspek berumur 23 hingga 47 tahun ditahan di Dang Wangi, Sri Hartamas, Kepong, Bandar Kinrara dan Seri Kembangan, Mohd Mokhtar memberitahu pemberita di Bukit Aman pada Selasa.
Katanya polis menemui makmal mini di sebuah unit kondominium di Jalan Cendana di sini yang digunakan untuk memproses semula dan membungkus syabu.
Mohd Mokhtar berkata operasi bermula dengan penangkapan seorang lelaki Iran  yang sedang berjalan di sini dengan membawa sebuah beg berisi syabu seberat hampir satu kilogram.
Lelaki itu membawa polis ke makmal mini itu dan menjumpai syabu seberat sembilan kilogram.
Beliau memberitahu polis juga merampas peralatan dan bahan kimia untuk memproses syabu, wang tunai RM 9,830, seutas jam tangan serta empat buah kereta dan sebuah motosikal di kondominium itu.
Katanya hanya seorang suspek tidak mempunyai pasport, sementara lima daripada mereka memiliki pasport yang telah tamat tempoh dan dua lagi memiliki pas pelajar.
Menurut beliau kesemua pasport suspek akan dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk pengesahan keasliannya.
Mohd Mokhtar berkata seorang suspek disahkan positif dadah.
Katanya kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Selasa di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan.
Menurutnya polis telah menangkap 151, 448 orang terlibat dalam kes dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM216 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Oktober tahun ini di seluruh negara. - BERNAMA

Dua Beradik Gelandangan Mati Lemas


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 8:10 PM

MIRI: Kegembiraan mandi di pantai berakhir dengan tragedi buat dua beradik dari keluarga gelandangan setelah kedua-duanya mati lemas di Pantai Tanjung Lobang pada pukul 4.30 petang Selasa.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh King berkata Nuraini Abdullah, 6, serta adik lelakinya Suhaid Abdullah, 5, sedang mandi berhampiran jeti batu di hadapan gerai tempat mereka tinggal tanpa diawasi ibu mangsa yang berusia 28 tahun.
"Ibu mangsa menyedari kehilangan kedua-dua anaknya setelah anak bongsu lelakinya berusia tiga tahun balik ke gerai itu berseorangan," katanya.
Law berkata ibu mangsa cuba mencari namun gagal dan operasi mencari dijalankan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang.
Menurutnya mayat mangsa ditemui di pesisiran pantai oleh pengawal keselamatan pada pukul 5.07 petang.
"Mangsa dipercayai terhantuk batu di tepi pantai selepas dipukul ombak," katanya lagi. - BERNAMA

Kedai Emas Rugi RM50,000 Dirompak


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 8:16 PM

SEREMBAN: Sebuah kedai emas kerugian RM50,000 selepas dua penjenayah melarikan barang kemas dalam kejadian di Jalan Tuanku Hassan, di sini Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, dua penjenayah dipercayai  seorang lelaki dan seorang wanita yang memakai topi keledar menutup muka,  memecahkan cermin pameran dan mengambil barang kemas tersebut.
Kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Semasa kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai dan hanya terdapat seorang pekerja berada di bahagian hadapan, manakala dua lagi pekerja di belakang kedai berkenaan.
Pemeriksaan yang dilakukan polis mendapati, kedai emas berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun tiada pengawal keselamatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Pemilik kedai emas dinasihatkan supaya mempunyai pengawal keselamatan,  selain CCTV bagi memastikan keselamatan kedai emas mereka dan juga pelanggan terjamin," katanya. - BERNAMA

Seorang Rentung, Dua Cedera Nahas Kebakaran Kenderaan


Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2015 12:27 PM
Gambar Hiasan

JOHOR BARU: Seorang pemandu kereta rentung, manakala dua lagi cedera setelah kenderaan yang dinaiki masing-masing terbakar selepas terlibat dengan kemalangan di Jalan Ulu Choh, Pekan Nenas dekat Pontian, awal pagi Rabu.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi dan melibatkan dua kenderaan yang dilapor bertembung dan terbabas ke tepi jalan sebelum terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas, Mohd Nor Manap, berkata mangsa yang rentung merupakan pemandu kereta Toyota Vios dan identitinya sukar dikenal pasti ekoran keadaan kenderaan yang hangus teruk.
Beliau berkata, dua lagi mangsa ialah Chian Chli Ned,47 dan Loot Ting Ching, 51 yang mengalami kecederaan setelah kenderaan Proton Exora mereka naiki turut terbakar hampir 70 peratus akibat kemalangan itu.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pontian dekat sini untuk dibedah siasat.--Bernama