Search This Blog

Tuesday, October 27, 2015

Musim Tengkujuh Bermula, Penduduk Di Kelantan Kembali Resah


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 8:15 AM
Ramlah, salah seorang mangsa banjir pada tahun lepas, menjemur pakaian di kawasan penempatan sementara mangsa banjir di Tamam Ethnobotani, Gua Musang.

GUA MUSANG: Musim tengkujuh atau monsun timur laut telah bermula, dengan hujan lebat pertama dijangka berlaku dalam tempoh seminggu lagi.

Bagi beribu-ribu rakyat Kelantan, mimpi ngeri lama kembali menjelma.

Disember lalu, banjir yang paling teruk dalam sejarah telah melanda negeri itu, menyebabkan beribu-ribu penduduk terkandas.

Malah, pejabat daerah dan jawatankuasa bencana juga menjadi mangsa banjir dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mangsa lain.

Lebih daripada 100,000 orang di 12 daerah telah dipindahkan dengan Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang dan Kota Baru menjadi kawasan paling teruk terjejas.

Di Bandar Utama, banyak keluarga kini hidup dalam ketakutan.

Sekurang-kurangnya 14 keluarga masih tinggal di khemah selepas hujan lebat pada Disember lalu menghanyutkan kira-kira 200 buah rumah di Gua Musang.

"Setiap kali hujan saya takut. Ia mengingatkan saya kepada apa yang berlaku tahun lalu," kata Ramlah Ismail, 51, yang masih tinggal di dalam khemah.

"Ia masih segar dalam ingatan saya. Saya tidak fikir khemah ini akan dapat bertahan apabila dipukul ribut."

Pada masa yang sama, dia gembira kerana keluarganya belum lagi berpindah ke rumah baru yang telah dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Rumah-rumah tersebut terletak di atas tanah yang lebih rendah, dengan jarak lebih kurang 5km dan berkemungkinan besar akan musnah sekali lagi jika berlaku satu lagi banjir besar.

"Ia boleh jadi satu rahmat yang terselindung. Tidak ada jaminan bahawa rumah-rumah itu tidak akan ditenggelami air," katanya.

Katanya, dia tidak marah dengan pihak berkuasa kerana mengambil masa yang lama untuk membina rumah-rumah baru, walaupun khemah tempat dia berteduh berada dalam keadaan tidak baik sekarang.

"Hampir semua bahagian koyak selepas berada di bawah matahari dan lembaran plastik terpaksa diletakkan di atasnya," katanya, sambil menambah dia bernasib baik berada di tempat yang lebih tinggi.

Ku Amran Ku Mat, 49, seorang lagi mangsa banjir yang tinggal khemah-khemah di kawasan lapang, tidak gembira apabila janji bahawa rumah ganti akan siap dalam tempoh empat bulan tidak ditunaikan.

"Kami telah tinggal di khemah ini berbulan-bulan lamanya. Saya bimbang kerana musim hujan akan tiba," katanya.

"Mungkin, pihak berkuasa cuba melakukan yang terbaik dan membina rumah baru kami di kawasan bebas banjir," katanya.

"Saya tak kisah menunggu, saya tidak mahu melalui sekali lagi apa yang saya lalui pada tahun lepas.

"Saya pasti semua orang di sini merasakan yang sama," katanya.

127 keluarga daripada kira-kira 200 keluarga yang rumah mereka musnah akibat banjir pada tahun lepas telah tinggal di kem PLKN di Gua Musang.

Tetapi mereka perlu keluar pada bulan Disember sebelum pelatih diambil semula pada Januari.

Pembinaan rumah baharu untuk beratus-ratus mangsa banjir sedang dilakukan namun dalam proses yang perlahan.

Kira-kira 100 buah rumah telah dibina oleh kerajaan negeri dan persekutuan, dan angka itu tidak termasuk rumah yang dibina dan disiapkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan Buddha, Mercy Malaysia dan individu-individu tertentu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada rumah-rumah ini dibina di atas tiang setinggi 2.5 meter. Banjir besar akan menyebabkan mereka terkandas di rumah mereka tanpa jalan keluar sehingga penyelamat tiba.

Kebanyakan mangsa banjir juga enggan berpindah ke Kampung Telekung, kira-kira 30km dari Bandar Kuala Krai kerana mereka bekerja dan mempunyai perniagaan.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan kenyataan akhbar pada Isnin, menyatakan bahawa musim tengkujuh telah bermula dan hujan lebat pertama dijangka turun awal minggu depan.

Walau bagaimanapun, ia berkata, fenomena El Nino akan mengurangkan risiko hujan lebat dan banjir yang melampau.

WHO Dedahkan Daging Yang Diproses Boleh Cetuskan Kanser


Diterbitkan: Isnin, 26 Oktober 2015 9:33 PM

LONDON: Daging yang diproses seperti bakon/dendeng, sosej dan daging salai - didapati boleh menyebabkan penyakit kanser, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Laporan yang dikeluarkan oleh WHO menyebut, pengambilan 50g daging yang diproses sehari - iaitu bersamaan dengan kurang lebih dua keping bakon - boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mengidap penyakit kanser sebanyak 18%.
Sementara itu, laporan WHo juga menyebut, daging merah juga mempunyai "kecenderungan untuk menyebabkan kanser" tetapi masih belum ada bukti saintifik yang kukuh buat masa ini.
Bagaimanapun WHO turut melaporkan di samping itu semua, daging juga memiliki faedah-faedah lain untuk kesihatan.
Daging yang diproses adalah daging yang telah menjalani proses modifikasi untuk meningkatkan jangka hayat simpanannya atau untuk tujuan mengubah rasanya - dengan cara mengasapkan, mengawet dengan menambah garam atau pun ditambah dengan bahan pengawetan.
Penambahan-penambahan inilah yang meningkatkan risiko kanser.
Pada masa yang sama kajian WHO turut mendapati, memasak daging pada suhu yang tinggi seperti barbeku juga boleh mencetuskan ransangan kimia yang mencetuskan agen kanser.
WHO merumuskan atas nasihat Agensi Antarabangsa Untuk Kajian Kanser mengkategorikan daging yang diproses sama kategori dengan plutonium dan alkohol iaitu dua elemen yang disahkan sebagai boleh mencetuskan agen kanser.
Namun WHO mendapati, ini bukanlah satu indikasi berapa banyak kesan kanser yang boleh dicetuskan menerusi pembikinan daging yang diproses itu.
Bermakna, memakan sandwich bakon tidak boleh disamakan dengan risiko kesan merokok, misalnya.
"Untuk mana-mana individu, risiko untuk terkena kanser usus misalnya kerana mengambil daging yang diproses buat masa ini adalah kecil, tetapi risiko ini bertambah dengan jumlah daging proses yang dimakan," kata Dr Kurt Straif dari WHO.
Anggaran setakat ini adalah, 34,000 kematian daripada penyakit kanser setiap tahun boleh dikaitkan dengan diet yang tinggi dalam pengambilan daging yang diproses.
Jumlah ini sangat jauh jika dibandingkan dengan satu juta manusia yang mati kerana kanser yang diakibatkan oleh amalan merokok dan 600,000 kematian akibat kanser yang disumbangkan daripada pengambilan alkohol yang tinggi.
Pada masa yang sama WHO melaporkan daging merah juga adalah penyumbang utama kepada zat besi, zink dan vitamin B12 kepada manusia.
Buat masa ini, tiada bukti yang nyata pengambilan 100g daging merah sehari misalnya akan meningkatkan risiko mengidap kanser.
WHO menegaskan, penemuan mereka sangat penting untuk membantu setiap negara merancang diet pemakanan yang seimbang dan selamat untuk warganegara mereka.
Prof Tim Key, dari Pusat Kajian Kanser United Kingdom dan juga Universiti Oxford berkata, penemuan ini tidak bermakna setiap orang harus berhenti mengambil daging sebagai diet utama mereka.
"Tetapi jika anda mendapati selama ini anda mengambil atau makan daging proses yang agak tinggi mungkin anda mahu menimbang untuk mengurangkannya," ujar beliau sambil menambah "Makan bakon sekali sekala tidak akan menjejaskan kesihatan anda tetapi yang lebih penting ialah pengambilan diet yang seimbang."

Pelajar Tingkatan Empat Maut Dalam Kemalangan Motosikal


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 4:49 PM
Gambar hiasan.

KOTA TINGGI: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kereta di Kilometer 30.5, Jalan Kulai-Kota Tinggi, dekat sini, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata pada kejadian pukul 6 petang itu, Azmil Azali Adam All Halid bersama rakannya, Muhammad Tuah Bahtiardi, 16, sedang menuju ke Kulai dari arah Kota Tinggi.
"Motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa telah melanggar bahagian tepi sebelah kiri motokar jenis Proton Persona yang mahu masuk ke simpang Kampung Tersusun Sri Delima," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Selasa.
Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi, manakala Muhammad Tuah mengalami cedera di bahagian kaki.
Sementara itu, pemandu kereta berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Azmil Azali merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Linggiu dan Muhammad Tuah pelajar SMK Laksamana dan mereka berdua berasal dari Kampung Semanggar Dalam, Kota Tinggi.
Sementara itu, Rahmat berkata seorang lelaki maut apabila motosikal yang  ditungganginya terbabas gara-gara cuba mengelak daripada melanggar seekor musang.
Beliau berkata kejadian disedari anggota peronda yang membuat rondaan  di Kilometer 8.8, Jalan Perani-Lok Heng berhampiran simpang masuk Pusat Rawatan Dan Pemulihan (CRCC) Kota Tinggi, pada pukul 2.50 pagi Selasa.
Mangsa, Mohamad Asyek Yusof, 31, dipercayai cuba mengelak tetapi melanggar musang yang melintas jalan menyebabkan motorsikal terbabas ke bahu jalan arah bertentangan.
Akibat dari kemalangan itu, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian, kata Rahmat.
Kedua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata beliau. - BERNAMA

OIC Kutuk Pengebom Nekad Umat Islam Di Pakistan


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 3:11 PM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengebom nekad yang menyasarkan jemaah Islam di Pakistan pada Jumaat lepas, mengakibatkan kira-kira 20 orang terbunuh dan mencederakan banyak yang lain.
Dalam satu kenyataan, OIC berkata jemaah berkenaan sedang mengadakan perarakan bagi menyambut Hari Asyura di bandaraya Jacobabad, utara Karachi apabila insiden itu berlaku. Hari Asyura (hari ke-10 bulan Muharam), disambut  bersempena tahun baharu dalam kalendar Islam.
Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani, dalam merakamkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Pakistan serta anggota keluarga mangsa dalam tragedi itu, berkata OIC menyokong usaha kerajaan Pakistan dalam memerangi keganasan.
Beliau mengulangi pendirian 57 anggota pertubuhan itu yang mengharamkan sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme ganas dalam semua bentuk dan menolak sebarang justifikasi bagi keganasan.
Dalam satu lagi kenyataan, Madani mengucapkan tahniah kepada rakyat Republik Ivory Coast atas kejayaan mengadakan pilihan raya Presiden pada Ahad lepas, menggesa mereka untuk meneruskan amalan demokrasi demi pembangunan, keamanan, keselamatan, perdamaian nasional dan tadbir urus baik negara itu.
Pilihan raya itu menyaksikan Alassane Ouattara dipilih semula sebagai Presiden, diadakan di bawah seliaan Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas dan pemerhati antarabangsa termasuk OIC.

Kaki Curi Lembu Diberkas


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 2:47 PM

KULIM: Polis Daerah Kulim dengan bantuan orang ramai telah menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri lembu di Kampung Batu Sarang Ayam, Sungai Seluang, Lunas, di sini petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Supt Abdullah Arshad berkata, kejadian berlaku pada 1.30 tengah hari apabila pemilik ternakan berusia 54 tahun itu terserempak dengan empat lelaki cuba mencuri seekor lembunya.
"Salah seorang daripada empat lelaki itu dilihat menyumpit seekor lembu menyebabkan haiwan peliharaannya itu lemah dan rebah, sebelum mereka memasukkannya ke dalam sebuah kereta untuk dibawa lari," katanya hari ini.
Kegiatan keempat-empat lelaki itu disedari oleh pemilik lembu yang bertindak mengejar kereta membawa lembu curi itu itu bersama-sama rakannya sehingga menyebabkan kereta itu terbabas di semak berhampiran, katanya.
Beliau berkata, tiga daripada empat lelaki di dalam kereta itu bertindak melarikan diri dan meninggalkan pemandu kereta dipercayai berusia 20-an yang mengalami kecederaan selepas kereta dipandunya terbabas.
Lelaki yang cedera itu katanya, telah ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertindak menghantarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan terhadap kecederaan dialaminya itu.
Polis menurut Abdullah masih menyiasat kes itu.

Tiga Wanita AS Dakwa Putera Arab Saudi Paksa Lakukan Seks


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 2:19 PM

LOS ANGELES: Tiga wanita warga Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang putera Arab Saudi memaksa mereka melakukan seks selama tiga hari dalam sebuah parti seks dan dadah di rumah agam di Beverly Hills.
Wanita yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah pada September lalu, telah memfailkan saman sivil terhadap Majed Abdulaziz Al Saud, 29 tahun.
Saman yang difailkan mendakwa putera Arab Saudi cuba memaksa salah seorang pekerja wanita itu untuk melakukan seks.
Putera itu juga mengarahkan pengawal keselamatan untuk turut berbogel bersama yang lain di tepi kolam renang.
Salah seorang pekerja wanita merayu supaya putera itu menghentikannya, tetapi putera itu kemudiannya menjerit kepada mereka.
"Kamu bukan perempuan! Kamu bukan siapa-siapa! Saya seorang putera dan saya boleh lakukan apa sahaja yang saya mahu dan tiada siapa akan buat apa sahaja terhadap saya," jeritnya.
Wanita itu turut mendakwa putera itu pernah melakukan seks dengan lelaki lain dan mengambil dadah yang dipercayai kokain.
"Al Saud bertindak ganas dan memaksa pekerjanya untuk melakukan seks secara terbuka dan memalukan mereka di khalayak umum.
"Ini adalah contoh menggunakan kekayaan dan kuasa untuk mengenakan penderaan emosi dan fizikal ke atas mereka," kata Van Frish yang merupakan peguam kepada pekerja wanita itu.
Peguam kepada putera itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Menurut Frish lagi, salah seorang jiran di situ telah menghubungi polis selepas mendengar jeritan anak guamnya yang cuba memanjat pagar di kediaman itu.
Putera itu ditahan kerana cuba memaksa wanita-wanita itu untuk melakukan seks oral.
Disebabkan tiada bukti kukuh, pihak berkuasa Los Angeles tidak meneruskan tuduhan feloni kepada putera itu tetapi akan dikenakan tuduhan kerana melanggar undang-undang. -AFP

Lelaki Bersenjata Ditahan Selepas 'Little Ipoh' Di Melbourne Dikepung


Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2015 2:31 PM

PETALING JAYA: Seorang lelaki bersenjata, pada Selasa telah membuatkan sebuah restoran Malaysia di Melbourne, bertukar menjadi medan pengepungan penuh dramatik selama dua jam.

The Daily Mail melaporkan bahawa polis Melbourne telah dipanggil ke restoran Little Ipoh yang terletak di bahagian tepi Latrobe Street dan Queen Street pada pukul 10 pagi waktu tempatan.

Lelaki tidak berbaju itu terdahulu telah menyerang polis dengan pisau pemotong daging dan berjaya melarikan diri dalam percubaan polis untuk menahannya sebelum melarikan diri ke restoran berkenaan.

Dia dipercayai terlibat dalam usaha perburuan polis awal hari ini.

Lelaki itu telah mengurung diri di restoran itu dan mula membaling objek seperti kaca dan kulit buah oren mandarin dari tingkap di tingkat dua bangunan.

Dia juga dilihat menghantar mesej dan mencederakan tangannya.

Lelaki itu juga didengar menjerit memanggil 'ibunya, isterinya dan orang-orangya," dari tingkap tersebut.

Anggota polis dari Kumpulan Operasi Khas akhirnya menangkapnya selepas tengah hari.

Beberapa orang telah dipindahkan dari bangunan semasa pengepungan.

Polis cekup 3 pengedar dadah



SHAIKH ABDUL ADZIS (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Banda Hilir semalam.


MELAKA – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang wanita warga asing disyaki pengedar dadah dan merampas beberapa jenis dadah yang bernilai kira-kira RM136,000 di sekitar kawasan Melaka Raya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 28 dan 50 tahun serta wanita yang dipercayai warga Vietnam berusia 27 tahun itu ditahan ketika berlegar-legar menaiki kereta jenis Perodua Myvi pada pukul 12 te­ngah malam.
“Susulan penangkapan ketiga-tiga itu, polis berjaya me­rampas kira-kira 500 gram dadah dipercayai heroin, 100 biji pil ekstasi dan 82 pil Eramin5,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3pk8JuIkm 
Hakcipta terpelihara 

Tragedi kereta jatuh kondominium



Keadaan kereta Kenari Paul dan Mary yang terjatuh dari tingkat lima di Kondominium Duta Vista di Taman Duta semalam.


KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri warga emas terbunuh selepas kereta dinaiki mereka terjunam dari tingkat lima, tempat letak kenderaan kondominium Duta Vista di Taman Duta di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.13 malam itu, mangsa Paul William Nunis yang merupakan bekas pekerja Telekom Malaysia bersama isterinya, Mary Nunis Nee Mari Rodrigues, seorang bekas pekerja di Tenaga Nasional terkorban di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala masing-masing.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S. Markandan berkata, tragedi itu berlaku apabila kereta Perodua Kenari yang dipandu Paul hilang kawalan lalu merempuh dinding konkrit di tempat letak kereta sebelum kenderaan itu terjunam dari ketinggian 18 meter.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3pk805Xr7 
Hakcipta terpelihara 

TERKINI: 280 maut gempa di Afghanistan, Pakistan

ORANG menghadiri pengebumian seorang wanita yang terbunuh berikutan gempa bumi 7.5 magnitud, di Peshawar, Pakistan. Sekurang-kurangnya 280 orang telah mati dan beratus-ratus cedera kebanyakannya di Peshawar dan kawasan utara Pakistan. - Foto EPA

ISLAMABAD: Lebih 280 terbunuh dalam gempa kuat 7.5 magnitud yang melanda bahagian tengah pergunungan Hindu Kush di Afghanistan yang gegarannya turut dirasai beberapa negara bersempadan.
Jumlah angka sebenar nyawa yang terkorban dalam bencana besar itu setakat ini belum jelas dengan pihak berkuasa di Pakistan dan Afghanistan meneruskan usaha menyelamat sehingga larut malam.
Tragedi yang menyayat hati akibat gempa ini apabila 12 remaja perempuan Afghanistan maut ketika berhimpit-himpit untuk menyelamatkan diri dari bangunan sekolah yang runtuh.
Jumlah angka korban setakat pagi ini yang dilaporkan di Pakistan ialah 214 orang dan lebih 1,800 lagi cedera.
"Banyak rumah dan bangunan ranap di bandar," kata Arbab Muhammad Asim, Datuk Bandar Peshawar.
Pegawai Afghanistan pula menyebut sekurang-kurangnya 63 orang disahkan maut dan beratus lagi cedera hampir separuh daripada 34 wilayah di negara itu. - AFP

Terkini: Lebih 200 terkorban akibat gempa bumi di Afghanistan

PENDUDUK Pakistan melihat kawasan perumahannya musnah akibat gempa bumi. - Foto AFP

KABUL/PESHAWAR, Pakistan: Angka kematian akibat akibat gempa bumi yang melanda timur laut Afghan menyebabkan lebih 200 orang terkorban di Afghanistan dan utara Pakistan manakala beratus-ratus lagi cedera, kata pegawai.
Angka kematian berkenaan dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang berikutan sistem komunikasi mengalami kerosakan di kawasan pergunungan Hindu Kush, pusat gempa bumi berkenaan.
Gempa bumi itu dilapor berlaku pada kedalaman 213 kilometer (km) (132 batu) dan berpusat di 254 km (158 batu) timur laut Kabul, wilayah Badakhshan.
Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada awalnya mencatat ukuran gempa itu pada 7.7 magnitud, dan kemudiannya mengurangkannya kepada 7.5.
Beberapa dekad lalu, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud di utara Pakistan pernah mengorbankan 75,000 orang.
Di Afghanistan, sekurang-kurangnya 52 orang dilaporkan terkorban di beberapa wilayah akibat gempa bumi berkenaan.
Sementara itu, di Pakistan, pihak berkuasa wilayah Khyber Pakhtunkhwa berkata, angka kematian mencecah 167 orang manakala lebih 1,000 mengalami kecederaan. - Reuters

Gempa 7.7 skala Richter gegar utara Afghanistan

PUSAT gempa di wilayah Hindu Kush, Afghanistan

KABUL: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter melanda utara Afghanistan dan gegarannya turut dirasai di Islamabad, Pakistan dan New Delhi, India.
Pengarah seismologi, Jabatan Meteorologi India, Vineet Gahlot, berkata pusat gempa itu melanda wilayah Hindu Kush di Afghanistan.
Gegaran itu melanda bandar di ibu negara Pakistan dan menimbulkan keadaan panik di kalangan penduduk sehingga ada yang mencari perlindungan di masjid.
Jumlah mangsa yang cedera dan jumlah kerosakan masih belum diketahui dan tiada amaran tsunami dikeluarkan. - AGENSI

21 PATI ditahan cuba keluar dari negara secara haram




KOTA TINGGI: Sebanyak 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan ketika cuba keluar dari negara ini secara haram berdekatan kawasan hutan Pantai Tanjung Gemuk, Jalan Sedili Kecil, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata kesemua PATI itu ditahan dalam serbuan pada 3.15 pagi, ketika dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk membawa mereka pulang ke Indonesia.
"Hasil pemeriksaan mendapati 14 lelaki dewasa dan tujuh perempuan warga Indonesia mengakui sedang menunggu bot pancung. Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mereka yang berumur antara 21 hingga 53 tahun itu, kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kuala Sedili dan ditahan reman dua minggu untuk siasatan lanjut, katanya.
Kes disiasat mengikut Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
- BERNAMA

2 majikan, 18 PATI di tahan di Kedah


SELASA, 27 OKTOBER 2015 @ 12:39 P
ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan 18 pendatang asing tanpa izin pelbagai warga negara dan dua warga tempatan dalam operasi di Sungai Petani dan Padang Terap semalam.
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi di Batu Arang, Sungai Petani pada kira-kira 5.30 petang semalam, empat lelaki Bangladesh dan lapan lelaki Myanmar berumur antara 22 hingga 46 tahun ditahan di dua pusat mencuci kereta.
"Dua lelaki tempatan berumur 40an yang bertindak sebagai majikan warga asing itu turut ditahan kerana melindungi pendatang asing itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada warga Myanmar itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Mohamad Yusri berkata, anggota Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Durian Burung, Padang Terap turut menahan empat lelaki dan dua wanita Thailand kerana gagal melaporkan diri setelah diberikan Pas Khas sebanyak dua kali.
"Semua mereka berumur 20 hingga 38 tahun itu ditahan 2 petang semalam dan didapati sering masuk dan keluar Malaysia dengan menaiki kereta dan bekerja secara tidak sah di restoran ala Thai di Pulau Pinang," katanya.
Semua warga asing terbabit kini ditahan di lokap Imigresen di sini untuk siasatan lanjut sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, katanya.
Mohamad Yusri berkata, di Jeti Kuah, Langkawi pula, enam lelaki Nepal, dua lelaki Sri Lanka dan seorang wanita China dilarang daripada memasuki pulau peranginan itu pagi semalam kerana tidak mempunyai visa.
"Mereka yang berumur antara 28 hingga 37 tahun itu adalah kru kepada sebuah kapal layar yang berlabuh di Langkawi dari Bali, Indonesia," katanya dan menurutnya semua mereka telah diarah keluar dari Malaysia.
BERNAMA



Ahli perniagaan wanita dakwa rugi RM126,000 ditipu sindiket Love Scam


GEORGETOWN: Seorang ahli perniagaan wanita di sini mendakwa ditipu sindiket 'Love Scam' yang didalangi rakyat asing menyebabkan dia kerugian RM126,000.
Wanita berusia 32 tahun yang telah berkahwin itu mendakwa berkenalan dengan seorang 'lelaki kacak' menerusi laman sosial Facebook yang mengarahkan dia untuk memasukkan wang ke dalam dua akaun bank tempatan untuk membolehkan dia menuntut hadiah pemberian lelaki terbabit.
Pemangku Ketua Wanita Gerakan Pulau Pinang, Hartini Tan Abdullah, berkata wanita berkenaan mengenali lelaki terbabit Julai lepas dan mula memasukkan wang selepas mendapat panggilan daripada anggota sindiket berkenaan bagi mendapatkan hadiah yang dihantar kepadanya.
"Seseorang yang mendakwa dari sebuah jabatan kerajaan memberitahu mangsa yang dia perlu membayar sejumlah wang jika hendak mendapatkan bungkusan hadiah mengandungi wang tunai, emas dan minyak wangi itu.
"Mangsa yang mahukan hadiah itu kemudiannya memasukkan RM126,000 menerusi 19 transaksi ke dalam dua akuan milik orang tempatan sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 5 Oktober lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hartini berkata, wanita itu membuat aduan kepada Gerakan pada 14 Oktober lepas selepas kecewa kerana mendakwa tiada perkembangan daripada pihak polis berhubung kes itu dan telah beberapa kali menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan kes itu secepat mungkin kerana ia membabitkan jumlah kerugian yang besar.
"Gerakan juga bercadang mengadakan kempen dan dialog kepada golongan wanita bagi memberi kesedaran berhubung sindiket Love Scam ini kerana semakin banyak kes seumpama itu dilaporkan sekarang ini," katanya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, ketika dihubungi, berkata polis memulakan siasatan kes itu sebaik menerima laporan.
Beliau berkata, polis telah memperoleh maklumat mengenai pemilik akaun berkenaan dan usaha mengesan mereka yang dipercayai orang tempatan dan anggota sindiket itu giat dijalankan.
"Saya juga ingin menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita agar tidak terpedaya dengan sindiket Love Scam itu," katanya.
- BERNAMA



SEORANG ahli perniagaan wanita di sini mendakwa ditipu sindiket 'Love Scam' yang didalangi rakyat asing menyebabkan dia kerugian RM126,000. - Foto hiasan

STING rampas 10kg syabu, tahan 8 suspek warga Iran - KPN


Oleh Siti Azila Alias

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas menahan lapan suspek warga Iran dalam satu serbuan di Bukit Kiara, Jalan Ampang dan Kinrara, di sini, semalam.
Dalam serbuan itu, sejumlah 10 kilogram (kg) dadah jenis syabu serta peralatan yang digunakan untuk pemprosesan dirampas.
Kejayaan itu disahkan Ketua Polis Negara melalui akaun Twitter beliau pagi ini.
"Syabas STING @PDRMsia semalam tangkap 8 warga Iran di Mt Kiara, Jln Ampang dan Kinrara dan rampas 10kg Syabu dn alat2 prosesnya. Go PDRM Go," katanya menerusi Twitter.

20 mangsa banjir di Jasin dipindah ke pusat sementara


fairuzaidan@bh.com.mySeorang penduduk, Amirulizam Ibrahim, 39, meredah banjir di halaman rumahnya yang dinaiki air berikutan hujan lebat selama kira-kira 3 jam di Kampung Sungai Dua, Asahan, Jasin, Melaka. Foto Muhammad Hatim Ab Manan.
Oleh Fairuz Zaidan
Foto Muhammad Hatim Ab Manan & Zuhairi Zuber
JASIN: Seramai 20 penduduk membabitkan lima keluarga di Kampung Sungai Dua Asahan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Asahan, di sini, selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir awal pagi tadi.
Tinjauan BH di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan asahan sehingga jam 11.30 malam tadi, kesemua keluarga dilaporkan mula mendapatkan perlindungan seawal jam 11 pagi tadi ekoran air naik secara mendadak.
Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pejabat Kebajikan Daerah Jasin, Norman Abu Bakar, berkata pihaknya mula membuka pusat pemindahan itu mula jam 11 pagi selepas kampung terbabit dinaiki air.
"Keseluruhan mangsa banjir yang terjejas adalah seramai 195 penduduk. Bagaimanapun, hanya 20 mangsa yang tinggal di pusat pemindahan ini.
"Kesemua mangsa kini dalam pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk menyediakan makanan, keperluan asas, pakaian dan selimut," katanya.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya belum pasti berapa lama kesemua mangsa akan ditempatkan di pusat berkenaan.

Warga Britain dituduh pecahkan cermin kereta jurutera di lebuh raya


Oleh Maria Uffa Zulkafeli

KAJANG: Seorang lelaki warga Britain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua tuduhan membuat ugutan jenayah dan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta seorang jurutera di Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, Ahad lalu.
Mcgruer Kenneth George, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Aina Azahra Arifin.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Dzulzalali Iqram Osman, 30, di Kilometer 305 Lebuhraya Utara Selatan dari Kuala Lumpur menghala Seremban antara jam 6.25 petang dan 6.30 petang, 25 Oktober lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan dan menahan pasport, sebelum menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Semalam, perbuatan lelaki terbabit dikesan melalui satu rakaman video berdurasi lebih dua minit yang tersebar meluas dan menjadi viral di laman sosial.

Beratus-ratus pelancong terperangkap akibat salji di Pakistan


SEORANG lelaki membersihkan kenderaannya yang dilitupi salji di utara Pakistan.
PESHAWAR: Beratus-ratus pelancong terkandas semalam selepas salji paling awal dalam tempoh 40 tahun menghadang lebuh raya utama di kawasan utara Pakistan, lambakan satu meter salji dalam masa kurang daripada 24 jam.
Pihak berkuasa terpaksa menghantar mesin berat bersama tentera dan pekerja penyelamat untuk membersihkan jalan raya di Lembah Naran di Daerah Mansehra.
Rakyat Pakistan menikmati cuti hujung minggu panjang sempena sambutan Hari Ashura hari suci dalam bulan Muharam untuk melancong ke kawasan itu yang sememangnya terkenal dengan kecantikan lama semula jadi, apabila mereka dikejutkan oleh salji yang belum pernah berlaku.
Pegawai Polis Daerah Mansehra, Najeeb Ur Rehman, memberitahu AFP, lebih daripada 1,200 orang setakat ini telah dipindahkan tetapi masih ada 800 hingga 1000 orang terkandas dan kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan.
Katanya, bandar Naran paling teruk terjejas, menerima lebih daripada satu meter salji sejak awal pagi semalam.
Sementara itu, seorang pelombong arang bantu mati lewat kelmarin apabila lombong runtuh akibat glasier di kawasan Babusar 40 kilometer dari Naran.
Rehman berkata, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 15 pelombong arang batu lain yang terperangkap akibat runtuhan salji hingga merosakkan bekalan elektrik dan merosakkan beberapa jambatan kecil.
"Keutamaan kami sekarang adalah untuk memindahkan pemandu yang terperangkap di jalan raya akibat salji dan pihak berkuasa yang lain menumpukan usaha memindahkan pelancong yang masih berada di hotel.
Pegawai berkata, salji yang turun itu adalah yang terawal dalam tempoh 40 tahun. Pada kebiasaannya salji melanda kawasan utara Pakistan pada awal Disember. - AFP

Gadis Pekak, Bisu Kembali Pulang Selepas Terkandas Di Pakistan 13 Tahun


Diterbitkan: Isnin, 26 Oktober 2015 4:52 PM
Geeta melambaikan tangan kepada orang ramai sebaik sahaja tiba di lapangan terbang New Delhi di India. Gadis pekak dan bisu ini kembali pulang ke tanah air selepas terkandas di Pakistan selama 13 tahun selepas merayau-rayau ke sempadan kedua-dua negara. Foto Reuters

KARACHI (Pakistan): Seorang gadis warga India pekak dan bisu yang terkandas di Pakistan selama 13 tahun selepas merayau-rayau sehingga ke sempadan negara jiran kembali pulang ke tanah air pada Isnin.
Gadis berkenaan, Geeta dipertemukan semula dengan keluarganya yang dikenal pasti menerusi gambar.
Kisah Geeta, seorang wanita beragama Hindu berusia 20an menarik perhatian India dan Pakistan ketika konflik berlaku antara kedua-dua negara.
"Seorang anak perempuan kembali pulang. Geeta tiba di New Delhi ditemani anggota Yayasan Edhi," kata jurucakap Kementerian Luar India, Vikas Swarup menerusi Twitternya, yang merujuk yayasan itu sebagai pertubuhan kebajikan yang melindungi gadis berkenaan.
Geeta berusia 11 tahun ketika dia memasuki Pakistan dari India.
Tidak dipastikan secara jelas bagaimana keadaan itu berlaku namun menurut bahasa isyarat Geera menunjukkan satu letupan berlaku dan bagaimana dia mengelak insiden tersebut serta cuba melarikan diri sebelum ditahan oleh sekumpulan lelaki bersenjata.
Pada mulanya, Geeta ditempatkan di rumah kanak-kanak di bandar Lahore, di mana dia diberikan nama Islam iaitu Fatima.
Dia akan menunjukkan peta India, terutama di kawasan di selatan iaitu negeri Jharkhand sehingga dia dapat memaklumkan bahawa dia berasal dari India, bukannya Pakistan.
Geeta menaiki penerbangan di lapangan terbang di Karachi untuk ke New Delhi pada awal pagi Isnin.
"Geeta tinggal bersama kami selama 13 tahun. Sekarang tiba masanya untuk dia pulang ke rumah," kata Faisal Edhi, anak lelaki kepada pengasas Yayasan Edhi yang menjaga gadis itu.
Dia dibawa untuk berjumpa keluarganya dari negeri Bihar di India, yang disahkannya menerusi gambar-gambar yang dihantar oleh Suruhanjaya Tinggi di Pakistan.
Edhi berkata, siasatan akan dilakukan bagi memastikan keluarga tersebut benar-benar mempunyai pertalian saudara dengan Geeta.
"Jika DNA tidak sepadan, pihak berkuasa India akan terus melakukan pencarian untuk keluarga itu."
Edhi berterima kasih kepada India dan Pakistan kerana membawa pulang Geeta ke tanah air.
Kisah Geeta meraih banyak perhatian berikutan sebuah filem yang memaparkan kisah hampir sama, dikeluarkan tahun ini.
Filem bertajuk 'Bajrangi Bhaijaan' menyaksikan bintang Bollywood, Salman Khan melakonkan watak seorang lelaki warga India yang menemui seorang gadis warga Pakistan yang bisu dan cuba untuk menyatukan semula dengan keluarganya.
Penulis skrip bagaimanapun tidak menyedari kisah Geeta namun filem itu sedikit-sebanyak memaparkan kisah gadis tersebut. - Reuters