22/10/2015 8:29pm
Oleh SHAWKATH AZDE
online@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang pengasuh yang dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun 1 bulan terbongkar selepas klip video memaparkan perbuatan itu tersebar di laman sosial.
Video berdurasi 43 saat itu yang dirakam oleh seorang pengasuh lain di pusat sama dikatakan tersebar sejak beberapa hari lalu menunjukkan kanak-kanak malang itu ditampar berulang-kali pada pipi dan dicubit pada perut.
Selain itu, paparan klip juga menunjukkan pengasuh berkenaan bertindak menutup muka kanak-kanak itu dengan sehelai kain dan menyumbat puting ke dalam mulutnya.
Datuk mangsa, Ruslee Bidi, 55, berkata, seorang rakan telah memaklumkan perbuatan itu kepadanya sebelum dia bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu.
"Apa salah cucu saya sampai diperlakukan sebegitu sekali? Dia seorang anak yatim selepas bapanya meninggal dunia enam bulan lalu akibat masalah jantung.
"Buat masa ini, saya serahkan perkara ini kepada polis untuk tindakan lanjut kerana laporan sudah dibuat. Kami tidak mahu perkara yang sama terjadi kepada orang lain," katanya ketika ditemui KOSMO! di Kubang Parit dekat sini hari ini.
Menurut sumber, pusat asuhan kanak-kanak itu yang mempunyai empat orang pengasuh sudah beroperasi kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, individu yang merakam perbuatan itu juga sudah berhenti kerja kerana tidak tahan melihat perlakuan tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd. Rafar mengesahkan menerima laporan berkenaan. - K! ONLINE
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_35.htm#ixzz3pJ69ykFu
Hakcipta terpelihara